• Tiada Hasil Ditemukan

BAB I PENGENALAN

1.1 Latar Belakang Kajian

Dalam Dunia Islam, selain perayaan hari raya puasa dan haji, juga dikenal perayaan MN (Arab. mawlid an-nabī). Namun demikian, perayaan MN selalu menjadi isu kontroversial dalam sejarah perjalanan Islam, bahkan berlangsung hingga kini. Isu kontroversial tersebut tentu saja berkaitan dengan fahaman dan fatwa yang membolehkan dan yang melarang perayaannya.1 Bagi kelompok yang setuju, mereka mempercayai bahawa seseorang akan beroleh keberkatan jika meraikan MN. Dengan demikian, pada kelompok ini boleh ditemui berbagai-bagai bentuk perayaan MN yang meriah dengan corak yang khas dan beragam. Kondisi ini berlaku di ramai wilayah Islam, sama ada di daratan Arabia mahupun di wilayah Nusantara.

Di wilayah Nusantara misalnya, tradisi perayaan MN boleh ditemui dalam berbagai-bagai bentuk dan ekspresi tempatan. Perayaannya ada yang dilakukan dengan menggelar majlis pengajian dan ada pula yang menyelenggarakan kenduri selamat. Di Indonesia, bahkan ada yang menggelar prosesi besar-besaran, seperti tradisi “Grebeg Maulud” di Keraton Kesultanan Surakarta, Yogyakarta dan Cirebon. Semua bentuk perayaan itu dimaksudkan sebagai ungkapan rasa syukur kepada Allah atas kelahiran Nabi Muhammad.2 Selain muncul berbagai-bagai bentuk perayaan, di Nusantara juga lahir literasi berkenaan MN dalam kalangan ulama tempatan, sama ada dalam bentuk salinan mahupun tulisan (karangan).

1Berbagai-bagai kajian berkenaan sejarah dan dinamika perdebatan perayaan MN sudah dilakukan oleh beberapa sarjana, di antaranya Nico Kaptein, Perayaan Hari Lahir Nabi Muhammad SAW: Asal Usul dan Penyebaran Awalya; Sejarah di Magrib dan Spanyol Muslim Sampai Abad ke-10/ke-16, (Jakarta: INIS, 1994); baca juga artikelnya yang bertajuk “The Berdiri Mawlid issue among Indonesian muslims in the period from circa 1875 to 1930”, dalam Bijdragen tot de Taal-, Land- en Volkenkunde 149 (1993), no: 1, Leiden, hlm. 124-153. Lihat juga Aviva Schussman, “The Legitimacy and Nature of Mawlid al-Nabī: Analysis of a Fatwā”, dalam Islamic Law and Society, Vol. 5, No. 2 (1998), hlm. 214-234. Baca juga Brannon D. Ingram. “Deobandis Abroad:

Sufism, Ethics and Polemics in a Global Islamic Movement”, Dissertation Doctor of Philosophy of faculty of the University of North Carolina, Chapel Hill, 2011.

2Bahkan, dalam kebudayaan Aceh perayaan MN ada keharusan bagi masyarakatnya untuk mengadakan kenduri untuk merayakan MN. Keharusan ini seperti disebutkan dalam undang-undang Aceh: “Diwajibkan bagi rakyat Aceh belajar dan mengajar jual beli di dalam dan luar negeri; belajar dan mengajar mengukir; memelihara ternak yang halal dan bermanfaat; mengerjakan kenduri

Dalam khazanah kesusasteraan Melayu, kisah berkenaan Nabi Muhammad merupakan teks yang mudah ditemui di berbagai-bagai wilayah Nusantara. Berbeza dengan sirah (biografi) dan tarikh (sejarah) karya sejarawan, kisah kelahiran Nabi Muhammad yang dikenal dengan nama ‘maulid’ ramai ditemui dalam genre yang beragam. Ada yang bercorak prosa dan ada pula yang digubah dalam bentuk syair, sama ada dalam bahasa Arab, Melayu mahupun dalam bahasa tempatan. Namun demikian, semua genre yang ada memiliki kesamaan isi, iaitu huraian kisah penciptaan Nabi Muhammad, kisah kehamilan ibunda Nabi, berbagai keajaiban menjelang kelahiran beliau, sosok dan keperibadian Nabi, perjuangan dakwah beliau, serta pujian-pujian terhadap Nabi, keluarga dan para sahabatnya.3

Salah satu wilayah yang memiliki dinamika wacana MN yang unik dan penuh kontroversial ialah di Minangkabau. Selain ramai dijumpai bentuk perayaan MN, di wilayah ini juga mudah ditemui literasi MN sebagai hasil kreativiti ulama-ulama tempatan. Menariknya, beberapa karya ulama tempatan itu—sama ada dalam genre puisi (syair) mahupun prosa, berbentuk sastera mahupun bukan sastera— masih ada yang dibacakan saat perayaan MN. Berbagai-bagai praktik perayaan MN tersebut juga menjadi salah satu punca polemik antara golongan ulama Kaum Muda dengan Kaum Tua. Polemik tersebut terakam dalam karya-karya para ulama Minangkabau. Salah satu punca polemik perayaan MN ialah adanya praktik “berdiri maulid”, iaitu keharusan jemaah majlis berdiri pada saat cerita yang dibacakan sampai pada kisah kelahiran Nabi Muhammad. Keharusan berdiri tersebut dilakukan untuk menghormati Nabi Muhammad. Hal ini kerana ada kepercayaan ketika dibacakan “kisah kelahiran Nabi”

pada saat itu Nabi Muhammad “datang” di tengah-tengah majlis.

3Dalam versi Melayu, karya sastera hagiografi yang mengisahkan Nabi Muhammad, telah menjadi perhatian pengkaji Barat, di

Kepercayaan semacam itu oleh ulama golongan Kaum Muda dianggap perbuatan yang dinilai sebagai bidaah dalalah (Kaptein, 1993: 124-153). Dalam konteks ini, ulama yang menentang dan yang membolehkan praktik “berdiri maulid”, masing-masingnya mempertahankan keyakinannya melalui tulisan; menulis untuk mendebat pendapat yang diyakini tidak benar dan tidak berdasar. Maknanya, dengan adanya polemik tersebut berpengaruh positif terhadap dunia ke penulisan dalam kalangan ulama Minangkabau.

Selain itu, praktik perayaan MN yang mewah juga menjadi sorotan ulama Kaum Muda di Minangkabau. Belum lagi beberapa praktik yang meyakini keberkatan MN untuk hal-hal lain. Misalnya, pengikut Kaum Tua meyakini bahawa cita-cita atau keinginan terhadap sesuatu hal akan mendapat keberkatan dan dikabulkan Allah jika bernazar mengadakan perayaan MN. Sebagai contoh, seseorang bernazar akan mengadakan MN jika anaknya sembuh dari sakit, mendapatkan pekerjaan yang diinginkan, padi di sawah menjadi dan lain sebagainya. Dalam masyarakat Minangkabau yang menganut faham Kaum Tua, kondisi seperti itu hingga kini masih berlaku atau masih dipraktikkan.

Salah satu contoh karya ulama Minangkabau dari golongan Kaum Muda yang berisi serangan terhadap praktik yang dianggap bidaah tersebut, iaitu Irshad al-Awwam pada Menyatakan Maulud al-Nabi alaihi al-Salam. Tulisan dalam bentuk syair yang cukup panjang ini dikarang oleh H. Abdul Karim Amarullah. Karya ini bernada satira yang dimaksudkan untuk menyerang praktik perayaan MN dalam kalangan Kaum Tua.

Serangan ini meliputi praktik “berdiri maulid”, perayaan yang mewah, dan berbagai-bagai praktik yang menurut beliau tidak sesuai atau bahkan melanggar nilai-nilai keislaman.

Serangan itu dibalas oleh Syeikh Sulaiman ar-Rasuli, seorang ulama dari golongan Kaum Tua, dengan menulis syair pula. Syair tersebut diberi tajuk Thamaru ’l-Iḥsān fī Wilādati Sayyidi ’l-Insān. Secara am memang syair ini berisi kisah MN, namun dalam banyak kesempatan di dalamnya beliau juga menyempatkan mendebat serangan yang dilontarkan oleh H. Abdul Karim Amarullah. Maknanya, syair ini tidak melulu berisi pembelaan Kaum Tua terhadap pembenaran perayaan MN, tetapi di dalamnya menghuraikan riwayat Nabi Muhammad.

Selain itu, ditemukan juga syair isinya perihal MN, iaitu “Fasal pada Menyatakan Kelebihan Maulid Nabi” yang ditulis oleh Buya Abdul Salam. Sama halnya dengan syair di atas, syair ini juga berisi kisah Nabi Muhammad. Namun demikian, di dalamnya juga berisi pembelaan Kaum Tua terhadap praktik perayaan MN.

Menariknya, karya tersebut ditulis dalam bentuk syair untuk digunakan menyerang (satira) dan membalas serangan (apologetik). Meskipun begitu, bukan bermakna pula bahawa semua karya yang merakam dinamika MN di Minangkabau yang ditulis oleh ulama tempatan berbentuk syair. Ada juga yang ditulis dalam genre prosa yang ditulis ulama tempatan yang isinya juga berhubung kait dengan MN.

Setakat ini, naskhah-naskhah karya ulama Minangkabau yang berkenaan dengan MN–sama ada ceritera Nabi Muhammad mahupun polemik perayaan MN—ditemui dalam salinan tangan mahupun salinan cetakan dengan aksara Jawi. Ada kalanya karya berupa salinan dari kesusasteraan Arab (berbahasa Arab) dan ada juga yang dikarang dengan menggunakan bahasa Melayu atau yang lebih tepatnya Melayu-Minangkabau.

Penting dikemukakan di sini bahawa, karya dalam bentuk syair ada kalanya wujud dalam satu karya utuh dan ada pula dalam bentuk fragmen dalam sebuah karya lain

yang bukan karya sastera. Selain itu, ada pula syair yang ditemui dalam sebuah majalah, iaitu Majalah al-Munir (1912) dan al-Mizan (1916)4.

Dalam konteks wacana Islam tempatan (Islamic local discourse), naskhah-naskhah karya ulama Minangkabau tersebut di atas menarik dan penting untuk dilakukan kajian terhadapnya. Sebagai bentuk penggubahan dari teks-teks sumber, naskhah-naskhah tersebut tidaklah seragam dalam penjelasan, interpretasi dan penjelasan atas doktrin-doktrin, konsep-konsep atau wacana tertentu. Mengikut dengan lingkungan sosial, budaya dan keagamaan yang ditemuinya, para penulis naskhah menunjukkan usaha-usaha kontekstual dan indigenises Islam tanpa harus mengorbankan prinsip-prinsip dasar Islam, khususnya dalam bidang aqidah, kalam, dan bahkan fiqah (Azyumardi Azra, 2004: 3). Dengan demikian, maka kajian terhadap naskhah-naskhah berkenaan MN tersebut dapat memberikan sumbangan penting dalam pengungkapan dan dinamika wacana MN di Minangkabau, sama ada dalam hal sejarahnya mahupun tradisi intelektualnya yang dibungkus dengan estetika tempatan.

Melalui kajian terhadap naskhah-naskhah tersebut tidak hanya dapat merekonstruksi sejarah dan wacana keislaman tempatan Minangkabau, tetapi juga boleh mengungkapkan ekspresi keagamaan masyarakat yang sangat beragam, salah satunya tentang MN. Tidak boleh dinafikan juga bahawa naskhah-naskhah tersebut telah menyumbang dalam pembentukan pandangan hidup, sistem nilai, dan gambaran dunia masyarakat Minangkabau. Naskhah-naskhah itu juga menjadi bukti bagaimana tradisi berdebat dan intellectuality yang baik yang dimiliki oleh ulama-ulama Minangkabau pada masanya. Dalam konteks polemik itu juga telah memperlihatkan tingkat kefahaman penguasaan pengetahuan agama yang dimiliki oleh ulama Minangkabau

4 Kedua-dua majalah ini, sama ada majalah al-Munir mahupun al-Mizan, merupakan majalah yang masih bertuliskan Jawi. Majalah

pada masa itu, termasuk kebolehan di antara ulama tersebut dalam bidang kesusasteraan.

Sayangnya, sehingga kini, sejauh penyelongkaran yang dilakukan, kajian yang menggunakan naskhah-naskhah keislaman tempatan masih sedikit dilakukan, sama ada oleh sarjana Barat mahupun sarjana peribumi. Dengan demikian, rakaman dinamika MN Minangkabau, utamanya melalui teks dan konteks naskhah-naskhah karya ulama tempatan belum tersedia secara baik. Oleh sebab itu, kajian ini, salah satunya dimaksudkan untuk mengisi “kekosongan” kajian terhadap naskhah-naskhah karya ulama tempatan di Minangkabau.

Melalui kajian ini akan dilihat seberapa besar naskhah-naskhah karya ulama Minangkabau (yang berkenaan dengan MN) itu menggambarkan dinamika wacana MN di wilayah tersebut. Penting dikemukakan di sini bahawa, dalam konteks dinamika Islam tempatan, perayaan MN merupakan salah satu isu polemik keislaman di Minangkabau yang cukup kontroversial. Dengan teori CDA, melalui sumber naskhah itu akan boleh dilihat faktor yang mempengaruhi terlahirnya teks, penyebaran teks, pentafsiran teks, dan dinamika yang ditimbulkannya.