• Tiada Hasil Ditemukan

Gagasan Pemikiran Azizi Hj Abdullah dari Sudut Pandang Sarjana

In document NOVEL-NOVEL TERPILIH AZIZI HAJI ABDULLAH: (halaman 115-119)

BAB 3: PENGARANG DAN KEPENGARANGAN AZIZI HAJI ABDULLAH

3.9 Gagasan Pemikiran Azizi Hj Abdullah dari Sudut Pandang Sarjana

Karya-karya yang dihasilkan oleh Azizi Hj Abdullah cukup popular bukan sahaja kepada khalayak pembaca tetapi juga kepada para pengkaji. Kepopularan Azizi kepada khalayak pembaca dapat ditelusuri melalui sambutan pembaca terhadap karya-karya yang dihasilkannya. Hal ini dibuktikan melalui penerbitan novel Seorang Tua di Kaki Gunung yang telah diulang cetak sebanyak lima kali. Malah karya-karya Azizi juga turut menjadi tarikan kepada pengkaji dan mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi, para peneliti sastera mahupun para pengkritik.

Justeru, pengkaji akan menyatakan beberapa pandangan daripada beberapa orang sarjana dan pengkaji dalam menjustifikasikan kekuatan yang terdapat dalam cerpen-cerpen dan novel-novel Azizi Hj Abdullah. Melalui ucaptama sewaktu

“Seminar Pemikiran Azizi Hj Abdullah” Sasterawan Negara Dato’ Anwar Ridhwan mengatakan bahawa,

Azizi Hj Abdullah telah berkarya menjangau tempoh masa 47 tahun.

Dalam tempoh tersebut, cerpen-cerpen dan novel-novel beliau selalu memberi impak kerana keunikan persoalannya, diperkuatkan dengan kerja-kerja penyelidikan yang berhasil diterapkan secara bersahaja di dalam karya-karyanya dan mencapai mutu yang wajar dibanggakan melalui hadiah-hadiah sastera yang diraihnya dari masa ke masa. Penulisannya bertapak pada gaya konvensional tetapi menarik dan kadang-kadang melangkah ke gelanggang satira. Daerah temanya pelbagai daripada kehidupan petani yang miskin dan tertindas, nilai-nilai tradisi yang bersemuka dengan modenisme hinggalah ke pada nilai-nilai Islam yang bersemuka dengan kepercayaan lain.

Daripada pernyataan tersebut dapat dirumuskan bahawa pada sudut pandang Sasterawan Negara Dato’ Anwar Ridhwan menunjukkan bahawa Azizi Hj Abdullah merupakan seorang penulis yang prolifik dan berjaya mengangkat pelbagai tema dan persoalan yang mengajak pembaca agar berfikir akan sesuatu isu itu secara terperinci dan saling bergantung pada emosi dalam setiap karya yang dihasilkan.

Bagi pengkaji sastera, Professor Madya Dr. Siti Hajar Che Man (2010,19) pula, beliau berpendapat bahawa Azizi merupakan seorang penulis prolifik yang berjaya menghasilkan karya dengan cermat, teliti, rinci, jelas dan berkesan. Cara Azizi

mempersembahkan cerita secara bersahaja menunjukkan bahawa beliau mahir dan prihatin dalam menjiwai sebarang isu yang dibicarakan. Gaya bahasa yang berulang-ulang serta ayat yang ringkas tetapi masih memperlihatkan kesinambungan cerita dengan santai telah memberi satu kejutan pada bahagian pengakiran cerita yang ditamatkan secara luar jangkaanyang penuh kejutan. Bagi Siti Hajar cara ini telah secara tidak langsung mengekalkan identiti Azizi dalam kepengarangan beliau kerana penamatan cerita yang diolahnya itu kerap menganggu emosi pembaca yang sudah menjadi trend dan paten Azizi.

Pendapat Siti Hajar ini turut disokong oleh Sasterawan Negara, Professor Dato’

Hj Shahnon Ahmad (2010:xii-xv). Beliau menyatakan bahawa Azizi merupakan salah seorang penulis yang terbaik di negara ini. Kehebatan Azizi terserlah bukan sahaja apabila beliau dapat menulis karya secara aktif dan produktif, malah penulisannya telah menggondol banyak pengiktirafan dan anugerah terutamanya yang melibatkan genre novel dan cerpen. Disiplin beliau yang cukup tinggi dalam menulis sesuatu karya sehingga sanggup mengasingkan diri membolehkan beliau mengambil masa yang tidak begitu lama dalam pengkaryaan yang dilakukan.

Hashim Ismail (2010:20) mengemukakan pendapat beliau tentang Azizi dengan mengatakan bahawa Azizi mampu menunjukkan signifikan kepengarangannya.

Signifikan ini dilihat dari aspek gaya dan bentuk cerpen yang sedia “keberadaannya”

sejak sekian lama. Ruang kehidupan yang selesa untuk melukiskan hal-hal kemasyarakatan, bangkit melaung-laungkan masalah marhaen, perasaan dan maruah

besar Azizi. Di samping itu, keupayaan Azizi dalam menggabungjalinkan kehidupan marhaen petani dan alamnya, berkali-kali disulam dengan loghat utara telah membentuk jati diri kepengarangannya. Ditambah pula dengan gaya bahasa yang ringkas dan ayat-ayat yang pendek adalah ciri-ciri realisme masyarakat marhaen yang mudah dalam jalan fikirnya tetapi payah dalam jalan hidupnya.

Dalam satu laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 yang dipetik daripada laman web Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.my telah memilih novel Beruk karya Azizi Hj Abdullah sebagai pemenang bagi kategori novel kanak-kanak daripada 47 novel yang dipertandingkan. Antara kriteria dasar yang ditetapkan dalam proses penilaian ialah karya perlu memenuhi ciri-ciri kekuatan kesatuan organik, kekuatan dan keaslian persoalan, keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan, keindahan moral, dana inovasi dalam kreativiti.

Ternyata novel Beruk ini telah memenuhi aspek kriteria yang dipertaruhkan. Di samping itu pengarang juga berjaya melontarkan kritikan terhadap masyarakat yang bertindak melulu tanpa menyelidik sesuatu perkara secara lebih jelas. Selain itu, kedaifan hidup masyarakat desa yang kurang pembelaan juga dapat menyedarkan kita bahawa tidak semua manusia bernasib baik dan perlu dibantu. Ternyata kreativiti penulis dalam melontarkan kritikan sosial dalam novel ini sangat menyerlah dan berkesan.

Pengalaman dan kematangan pengarang amat berperanan kerana hanya pengarang yang berpengalaman dan mapan mampu merencanakan karyanya dengan baik dan dapat diterima oleh khalayak pembaca sasaran. Ringkasnya, novel yang diangkat sebagai pemenang mempunyai kekuatan dan kehebatannya yang tersendiri, melepasi novel-novel dalam kategori yang sama.

Akhir sekali, Hasan Baseri Budiman menyatakan pendapat peribadinya mengenai Azizi dalam belasungkawa (Hasan, 2011:42) beliau menganggap Azizi bukan sahaja seorang sasterawan, tetapi juga seorang pengkritik yang sangat lantang bersuara.

Keberanian Azizi ketika menyuarakan pendapat bukan sahaja terserlah dalam karya, tetapi juga dapat dilihat dalam perbincangan terbuka. Azizi pada perawakannya nampak seperti seorang yang garang tetapi hakikatnya beliau merupakan seorang yang senang berbicara dan bersifat terbuka dalam segala perkara. Malah komitmen Azizi kepada dunia penulisan dapat dilihat sewaktu Azizi terlantar di hospital kerana keuzurannya namun beliau masih terus berkarya dan menjadikan komputer riba sebagai peneman setianya sehingga novel terbaharu bertajuk Mandala Dunia Kedua telah selesai diedit dan diserahkan kepada penerbit PTS untuk diterbitkan (Osman Ayob, 2011:44)

In document NOVEL-NOVEL TERPILIH AZIZI HAJI ABDULLAH: (halaman 115-119)