• Tiada Hasil Ditemukan

Hubungan Emosi, Otak dan Kognitif

In document KECERDASAN EMOSI DALAM NOVEL REMAJA (halaman 86-92)

KERANGKA TEORITIS

2.4 Hubungan Emosi, Otak dan Kognitif

Untuk memahami konsep kecerdasan emosi dengan lebih jelas, huraian tentang struktur otak dan fungsi otak yang mempunyai kaitan dengan kognitif dan emosi manusia harus difahami terlebih dahulu. Walaupun otak manusia hanya seberat 1.5 kilogram dan hanya dua peratus daripada keberatan badan manusia namun otak memerlukan 25 peratus daripada jumlah oksigen yang diperlukan oleh badan kerana di otak inilah semua aktiviti mental manusia berlaku. Manusia adalah makhluk Allah yang istimewa kerana dikurniakan otak yang mempunyai fungsi yang amat menakjubkan.

Otak manusia terbahagi kepada tiga susunan iaitu neokorteks (otak berfikir), otak tengah (sistem limbik/ otak perasaan) dan otak bawah (otak reptilia). Ketiga-tiga otak ini melakukan sistem komunikasi yang amat kompleks dan bertindak sekurang-kurangnya dalam tiga peringkat serentak dalam satu masa. (Abdul Fatah Hassan, 1999:

144). Bahagian otak tengah yang membentuk sistem limbik memainkan peranan penting

dalam menghasilkan emosi dan tingkah laku bermotivasi. Struktur binaan otak dapat dilihat dalam rajah di bawah:

Rajah 2.1: Struktur Otak Manusia (Sumber: Diubah suai daripada http://www.sofiatopia.org/index.htm )

Berdasarkan kajian evolusi otak manusia berjuta-juta tahun dahulu dipercayai pusat emosi bermula daripada pangkal otak dan berkembang menjadi kawasan emosi yang disebut sebagai sistem limbik yang berfungsi secara automatik mengawal persekitaran dalaman otak termasuk emosi. Sistem limbik hanya berfungsi penuh di dalam spesies manusia dan dianggap sebagai saluran terpenting untuk mengubah satu perlakuan yang tidak disengajakan kepada perlakuan yang berasaskan pemikiran yang bijak. Kemudian dari sistem limbik ini berkembang kepada otak fikir yang dikenali sebagai korteks atau serebral korteks. Disebabkan korteks berkembang daripada kawasan limbik, hubungan antara emosi dan fikiran rasional amat rapat, bahkan emosi berkuasa untuk mempengaruhi fikiran rasional. Hubungan yang erat antara emosi dan fikiran rasional ini telah memberi kesan kepada perencanaan kehidupan manusia.

Otak luar:

Korteks dan neokorteks (fungsi IQ) Otak tengah:

sistem limbik (fungsi EQ)

Pangkal otak

amigadala

Dalam sistem limbik juga terdapat talamus, hipotalamus, amigdala dan hipokampus. Talamus yang menjadi sebahagian daripada sistem limbik adalah alat komunikasi yang penting di antara deria-deria dengan korteks kerana talamus menerima isyarat-isyarat yang mendatang, menentukan sumbernya dan menilai kepentingannya sebelum menyalurkannya kepada serebral korteks untuk tindakan lanjut. Hipokampus pula merupakan pengawal utama bagi emosi dan motif-motif yang lain dan memberi kesan kepada tingkah laku seperti marah, seksual, kawalan suhu badan, pengeluaran hormon dan emosi. Hipokampus bertindak sebagai lorong terakhir bagi banyak jenis tingkah laku yang meninggalkan otak. Sistem limbik hendaklah dikawal dan dikelola dengan baik kerana peranannya sebagai pusat emosi amat penting disebabkan sahsiah dan perlakuan manusia adalah hasil interaksi antara sistem limbik dan neokorteks.

Apabila sistem limbik ini terjejas atau tercedera, tingkah laku yang berbentuk agresif dan tingkah laku yang terlalu pasif boleh berlaku kepada individu yang mengalaminya.

Dalam sistem limbik terdapat bahagian yang dikenali sebagai amigdala yang memainkan peranan penting dalam merangsang emosi manusia. Amigdala juga dikenali sebagai pusat agresif dan sekiranya amigdala ini terkena rangsangan, tindakan emosi yang agresif akan berlaku. Peranan amigdala amat penting dalam mencetuskan emosi di dalam minda manusia dan amigdala bolehlah diumpamakan seperti pusat sebuah roda kerana peranannya menerima maklum balas daripada peringkat rendah dari kawasan-kawasan deria tertentu di talamus, maklum balas peringkat tinggi dari kawasan-kawasan-kawasan-kawasan deria tertentu di korteks dan maklum balas peringkat yang tinggi dari hipokampus.

Peranan amigdala yang menerima semua maklum balas daripada kawasan-kawasan deria yang terletak di talamus, korteks dan hipokamus ini telah menjadikan amigdala berupaya untuk memproses makna emosi sama ada daripada rangsangan tunggal mahupun rangsangan yang lebih kompleks.

Pada aras sedar, talamus (pusat kawalan deria) menerima isyarat yang datang, menentukan sumbernya, menilai kepentingannya sebelum menyalurkan isyarat kepada serebral korteks untuk tindakan lanjut, dengan ini emosi dikawal oleh minda rasional.

Namun begitu, di amigdala terdapat suatu laluan yang membolehkan penghantaran maklumat secara terus kepada talamus tanpa melalui korteks. Dengan adanya laluan ini, reaksi emosi boleh terjadi tanpa melibatkan sistem proses yang lebih tinggi di dalam otak manusia seperti fikiran, taakulan dan kesedaran. Menurut Goleman (1995), signal-signal indra dari mata atau telinga akan terlebih dahulu berjalan di otak menuju ke talamus kemudian terus menuju ke amigdala dan signal kedua dari talamus akan disalurkan ke neokorteks otak yang berfikir. Persimpangan yang wujud ini telah menyebabkan amigdala memberi respons sebelum neokorteks, yang mengolah maklumat melalui beberapa lapisan jaringan otak sebelum otak sepenuhnya memahaminya. Akhirnya respon yang ditunjukkan ialah respons yang telah diolah terlebih dahulu.

Amigdala mempunyai pengaruh yang lebih besar ke atas korteks berbanding dengan pengaruh korteks terhadap amigdala. Keadaan ini telah menyebabkan emosi yang dicetuskan oleh amigdala dapat menguasai fikiran. Walaupun pemikiran dapat mencetuskan emosi dengan merangsang amigdala namun pemikiran tidak berkesan untuk melumpuhkan amigdala bagi meredakan kerakusan emosi. (LeDoux, 1996: 33).

Melalui jalan pintas yang ditemui itu nyata amigdala dapat bertindak lebih cepat ke atas manusia melalui cetusan emosinya berbanding tindakan korteks ke atas emosi. Emosi akan menenggelamkan fikiran dan apabila keadaan ini terjadi maka banyak pengalaman emosi yang tidak disedari akan mendap di amigdala dan akan timbul kembali apabila menerima rangsangan yang sesuai. Keadaan ini yang membimbangkan Goleman dan beliau melihat penemuan LeDoux tentang peranan amigdala telah membawa satu

perkembangan baharu yang memperlihatkan kesan emosi ke atas tindak-tanduk manusia.

Menurut LeDoux, laluan singkat talamo-amigdala mungkin menjadi faktor kepada sesuatu emosi itu menguasai seseorang tanpa disedari. Laluan pintas ini akan menyebabkan seseorang itu dikuasai emosi negatif seperti marah dan bertindak tanpa disedari kerana minda kognitif tidak sempat menganalisis rangsangan yang merangsang emosi marah dengan segera. Jika amigdala tidak dapat berfungsi secara harmoni dengan korteks, seseorang itu akan dikuasai oleh emosi ataupun mengalami rampasan emosi seperti yang dinyatakan oleh Goleman. Sekiranya hal ini berlaku, semua tindakan yang dilakukan adalah berada di bawah telunjuk emosi.

Menurut Goleman (1995:55), emosi dalam minda manusia terjadi dalam dua peringkat iaitu peringkat sedar dan peringkat tidak sedar. Pada peringkat sedar, emosi sampai ke korteks dan dikawal oleh minda rasional manakala emosi yang tidak disedari pula boleh mempunyai impak yang kuat ke atas cara seseorang yang menanggapinya dan bertindak terhadap sesuatu tanpa menyedari jenis emosi yang beroperasi di dalam dirinya. Hakikatnya cara otak manusia dibina memberi ruang yang sedikit untuk manusia menentukan bila dia dikuasai oleh emosi dan jenis emosi yang dialami namun manusia dapat mengawal atau menentukan berapa lama emosi itu dapat bertahan dalam diri mereka. Keupayaan emosi untuk bertindak mempengaruhi tubuh dan fikiran manusia. Bentuk dan kesan emosi kepada manusia akan bergantung kepada keupayaan mereka memahami dan membentuk emosi itu. Kemampuan ini menjadi sebahagian daripada kecerdasan emosi yang diperkatakan oleh Goleman. Mengikut pandangan Goleman, masyarakat harus menguasai kemahiran-kemahiran yang berhubungan dengan kecerdasan emosi ini supaya mereka kenal dan dapat mengawal serta melentur

emosi itu sebagai panduan ke arah meningkatkan darjat kecerdasan emosi mereka demi sebuah kehidupan yang harmonis.

Goleman tidak menolak semua jenis rampasan emosi cuma yang membimbangkan beliau ialah rampasan emosi yang negatif iaitu apabila emosi marah dan takut menguasai manusia. Keadaan emosi sedemikian akan bertambah parah dalam kehidupan yang semakin kompleks dan serba cepat. Pengalaman sebegini akan berulang-ulang dan akan menjadi penghalang kepada manusia menikmati hidup yang lebih bermakna. Ketidaktelitian manusia terhadap emosinya telah menyebabkan hubungan sesama manusia menjadi renggang. Keadaan ini akan dapat diatasi dengan memiliki kemahiran-kemahiran yang berhubungan dengan kecerdasan emosi.

Tidak ramai yang menerima dan mendalami emosi sebagai satu kecerdasan dan ramai ahli psikologi menganggap emosi bukan unsur psikologi manusia dan tiada kaitan langsung dengan kecerdasan. Kecerdasan hanya dikaitkan dengan kecerdasan intelek dan mental kognitif sahaja. Pandangan ini telah dijawab oleh Goleman yang menyatakan bahawa dalam keadaan yang dikuasai oleh emosi, kecerdasan kognitif atau intelek tidak berfungsi kerana IQ ataupun kecerdasan intelek tidak menyediakan manusia untuk menghadapi tekanan emosi atau stres. IQ tinggi juga tidak menjamin kejayaan apabila seseorang itu mudah dikuasai oleh emosi. IQ sahaja belum menjamin kebahagiaan. Sebaliknya, orang yang mempunyai IQ sederhana dan mampu mengurus emosinya dengan baik lebih berjaya daripada orang yang mempunyai IQ yang tinggi tetapi gagal membendung desakan emosi. Walaupun Peter Salovey pernah menggunakan istilah Emotional Intellegence atau EQ namun istilah ini bukan istilah yang saintifik tetapi lebih kepada usaha untuk memasarkan ilmu sahaja. Atas kesedaran bahawa manusia harus difahamkan dengan kemahiran-kemahiran kecerdasan emosi, telah mendorong Goleman untuk membentuk teori kecerdasan emosi.

In document KECERDASAN EMOSI DALAM NOVEL REMAJA (halaman 86-92)