• Tiada Hasil Ditemukan

KAJIAN DALAM NOVEL KASYAF AIN

In document E-Prosiding PERSEP II 2022 (halaman 58-69)

49

50 the purpose of this study is to analyse the noble values and belief practices of the Malay community through the novel of Kasyaf Ain. This study applies the Pengkaedahan Melayu theory by Hashim Awang (2002) to examine the reality of Malay civilization through worldly and religious techniques. The method of this study is in the form of content analysis that explores Kasyaf Ain and previous studies related to the research questions on the noble values and belief practices of the Malay community. The noble values and belief practices of the Malay community are analysed through each chapter in Kasyaf Ain to clearly show the noble values and beliefs of the Malay community. The analysis of this study found that Kasyaf Ain contains many noble values such as working together, consensus, maintaining good relationship and obedience to leaders, as well as belief practices such as the role of ‘medicine man’ and Islamic religion in Malay society. The reality of the Malay civilization clearly shows there is an attachment of noble values and belief practices that shape their lives. In short, this study can be used as an intellectual and educational medium to society, especially the younger generation.

Keywords: Belief, Malay, Noble Values, Novel, Civilization.

Pengenalan

Nilai murni didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu dalam hubungannya sesama manusia, alam dan Tuhan (Latifah Abd. Majid et.al, 2012). Menurut Jumali Hj Selamat (2012), nilai atau akhlak membawa maksud tingkah laku atau perlakuan yang memperlihatkan budi pekerti yang tinggi lagi mulia. Manakala murni adalah unsur-unsur yang bersih, tulen, suci dan tidak mencemarkan. Dalam Islam, nilai murni ini disamaertikan dengan akhlak. Secara asasnya, akhlak terbahagi kepada dua, iaitu akhlak mahmudah (terpuji) dan akhlak mazmumah (tercela). Akhlak terpuji ialah akhlak yang baik dan harus diikuti oleh setiap Muslim seperti amanah, pemaaf, santun, sabar, belas kasihan, bantu-membantu dan sebagainya. Manakala akhlak tercela merupakan akhlak yang perlu dihindari dan dijauhi seperti tamak, takbur, hasad dengki, dendam, khianat, bertabiat lalai kepada Allah dan lain-lain sifat keaiban hati. Dalam budaya masyarakat Melayu, akhlak sangat berkaitan dengan adab.

Hal ini kerana etimologi peradaban adalah berasal dari kata dasar ‘adab’ dalam bahasa Melayu, yang merujuk kepada tingkah laku, akhlak, etika dan tabiat samaada baik ataupun buruk (Raja Ahmad Iskandar, 2014).

Secara epistemologinya, adab dalam budaya Melayu bukan sekadar mengenai akhlak yang baik, bahkan ianya bersangkut paut dengan adat dan amalan kepercayaan. Adat merupakan nilai baik yang dipupuk di dalam masyarakat dan diamalkan, manakala adab ialah peraturan nilai yang baik dari segi agama dan diamalkan dalam masyarakat (Siti Kausar Zakaria et. al, 2020). Budaya masyarakat Melayu sangat terkenal dengan bangsa yang mementingkan adat. Ini dapat dilihat daripada pepatah Melayu seperti, ‘biar mati anak, jangan mati adat’ atau ‘hidup dikandung adat, mati dikandung tanah’. Pandangan semesta masyarakat Melayu terhadap adat tidak pernah berubah sama ada sebelum atau selepas kedatangan Islam kekal menjadi sebahagian kehidupan mereka. Daripada adat muncullah adab, akhlak, nilai, tingkah laku atau perihal etika yang merupakan manifestasi daripada adat yang dipegang sejak zaman berzaman. Oleh hal yang demikian, pengadaptasian nilai murni dapat dilihat melalui penerapan akhlak dan budi pekerti mulia melalui tingkah laku, perbuatan atau gerak laku yang menjurus ke arah kebaikan dan menjadi teladan yang merangkumi nilai kemanusiaan sejagat (Abdullah, 2000) dengan berlandaskan agama, kepercayaan, adat resam dan kebudayaan.

51 Pengaruh agama Islam banyak mengubah budaya masyarakat Melayu. Justeru, nilai kehidupan inilah yang menjadi asas kepada peradaban Melayu berteraskan kepada nilai-nilai keislaman. Sebelum kedatangan Islam dalam peradaban Melayu, masyarakat Melayu sangat berpegang kepada ajaran animisme, dinamisme dan Hindu-Buddha. Fahaman animisme merupakan kepercayaan primitif yang memberi penekanan kewujudan makhluk halus, roh atau semangat sebagai asas kepercayaan manusia. Masyarakat Melayu beranggapan benda-benda yang berada di sekeliling mereka mempunyai semangat dan kuasa ghaib seperti kuasa bulan, bintang dan matahari. Hal ini memberi kesan kepada kehidupan masyarakat Melayu yang akhirnya memberikan penghormatan kepada alam melalui aktiviti seharian seperti di dalam percakapan dan tingkah laku mereka melalui pemujaan dan penyembahan ke atas pokok, sungai, gunung dan fenomena alam lain. Kuasa ghaib pula disifatkan sebagai makhluk halus seperti hantu, jembalang atau jin yang menjadi penunggu kepada objek berkenaan. Untuk berhubung dengan perkara ghaib tersebut, masyarakat Melayu menggunakan khidmat bomoh, pawang atau ahli nujum sebagai orang tengah yang dipercayai dapat menghalau hantu melalui acara ritual yang dijalankan (Syaimak Ismail et. al, 2020). Kepercayaan animisme seterusnya melahirkan kepercayaan dinamisme hasil tindak balas masyarakat Melayu ke atas kepercayaan terhadap kekuasaan alam sekitar dan makhluk ghaib. Setelah kedatangan agama Islam, nilai dalam kehidupan masyarakat Melayu bersandarkan Al-Quran dan hadis. Ciri-ciri Islam menjadi teras kelakuan dan tindakan, bentuk hubungan, nilai dan sikap serta pandangan sistem sosiobudaya masyarakat Melayu. Ini dijelaskan dalam pepatah Melayu iaitu ‘adat bersendi syarak, syarak bersendi hukum, hukum bersendi kitab Allah’. Kendatipun, masyarakat Melayu masih lagi mengamalkan adat dan budaya tinggalan nenek moyang mereka yang sebati sebagai budaya turun-temurun. Ini bukan bermakna masyarakat Melayu menafikan kekuasaan Allah, tetapi kepercayaan mereka diserasikan dengan kepercayaan bahawa kekuasaan Allah mengatasi kekuasaan jin syaitan yang cuba merosakkan manusia (Syaimak Ismail et. al, 2020).

Maka, budi pekerti mulia tidak akan wujud tanpa kepercayaan terhadap agama terutama tentang kewujudan dan kekuasaan Allah. Akhlak yang baik pula lahir daripada amalan dan didikan agama yang menyeluruh. Gabungan budi pekerti mulia dan akhlak yang baik berupaya mewujudkan masyarakat yang harmonis, jiwa yang tenang, keyakinan yang kukuh dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang ancaman (Jumali Hj Selamat, 2012).

Penggarapan nilai murni dan amalan kepercayaan dalam karya sastera disampaikan oleh pengarang melalui perbuatan, tingkah laku, pertuturan mahupun perwatakan watak-watak dalam penceritaan kepada khalayak pembaca. Che Abdullah Che Ya (2018) turut menjelaskan bahawa melalui penghasilan karya juga, fikiran pengarang tentang rencam kehidupan manusia dan alam persekitarannya diadun bersama pengalaman dengan daya kreativiti, imaginasi dan wawasannya. Kajian ini memilih novel Kasyaf Ain sebagai bahan kajian kerana penulisan novel juga merupakan plot cerita yang berkait rapat dengan situasi dan menyerlahkan warna-warni kehidupan dunia sebenar, sementelahan inti sarinya adalah fenomena kehidupan yang berkait dengan manusia, haiwan dan makhluk ghaib. Pemilihan novel tulisan Ramlee Awang Murshid ini kerana memaparkan nilai murni dan kepercayaan masyarakat Melayu. Justeru, kajian ini dilakukan bertujuan menganalisis nilai murni dan kepercayaan masyarakat Melayu menerusi novel Kasyaf Ain. Kajian ini akan mengaplikasikan Teori Pengkaedahan Melayu oleh Hashim Awang (2002) untuk menganalisis mengenai realiti peradaban masyarakat Melayu.

Sorotan Literatur

Kajian berkaitan nilai murni dalam novel telah ada dilakukan oleh ramai pengkaji. Antaranya kajian oleh Jumali Hj Selamat (2012) dalam novel Seteguh Karang dan Ani Haji Omar (2015).

52 Kajian mereka berfokuskan kepada nilai-nilai murni dalam kehidupan remaja dari perspektif moral dengan berobjektifkan penyemaian nilai murni untuk membentuk akhlak dan budi pekerti remaja. Amalan nilai murni turut dilihat dalam cerita rakyat dalam kajian Mohd Firdaus Che Yaacob et.al (2017) yang menganalisis nilai kasih sayang dan nilai keadilan dalam masyarakat Melayu. Selain itu, kajian lain turut dilakukan oleh Eizah Mat Hussin et.al (2021) dalam Analisis Nilai Murni dalam Manuskrip ‘Hikayat Saerah Dengan Suami’. Kajian ini meneliti dan manganalisis nilai-nilai murni dalam menjalani kehidupan seorang isteri dengan bersandarkan pendekatan moral dalam Teori Pengkaedahan Melayu.

Sementelahan itu, kajian berkaitan amalan kepercayaan dalam budaya Melayu turut dilakukan oleh ramai pengkaji. Antaranya kajian Hamidah Abd. Wahab (2013) yang mengkaji kepercayaan dan amalan turun-temurun yang memanifestasikan petua-petua dan pantang larang lama dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak. Sebaliknya Syaimak Ismail et.al (2020) melihat unsur-unsur mistik dan pemujaan dalam kalangan masyarakat Melayu yang berfokus di Pulau Besar Negeri Melaka.

Pengkaedahan Melayu dikemukakan berdasarkan cara dan sikap hidup, nilai-nilai tradisi, kepercayaan dan kebudayaan setempat iaitu masyarakat Melayu yang berpaksikan agama Islam dan dipengaruhi oleh alam dalam melahirkan karya-karya tersebut. Teori Pengkaedahan Melayu yang dibina oleh Hashim Awang (2002) telah dibahagikan kepada dua pengkaedahan iaitu pengkaedahan alamiah dan pengkaedahan keagamaan yang fungsinya saling berkaitan antara satu sama lain. Ini dapat dijelaskan seperti dalam Rajah 1.

Rajah 1: Pendekatan dalam Teori Pengkaedahan Melayu (diubahsuai daripada Hashim Awang, 1994)

Pengkaedahan alamiah adalah berteraskan kepada sikap dan cara hidup masyarakat Melayu itu sendiri yang menjadikan alam sebagai sebahagian diri dan kehidupan. Melalui pengkaedahan ini, ia dipecahkan kepada tiga pendekatan iaitu pendekatan gunaan, moral dan firasat.

Pendekatan gunaan berdasarkan kepada anggapan bahawa sastera merupakan salah satu daripada objek-objek alam, iaitu objek daripada ciptaan manusia. Oleh hal yang demikian, sastera perlu dilihat kejadiannya sebagai mempunyai sebab, hikmah, tujuan dan fungsi tertentu.

Ini boleh dinilai dari segi penyampaian persoalan isi dan strukturnya dalam sastera tersebut.

Manakala pendekatan moral menyatakan sastera mengandungi pengalaman hidup yang dapat Teori

Pengkaedahan Melayu

Pendekatan Alamiah

Pendekatan Gunaan Pendekatan Moral Pendekatan Firasat

Pendekatan Keagamaan

Pendekatan Dakwah Pendekatan Kemasyarakatan Pendekatan Seni

53 memberi pengajaran kerana mempunyai pelbagai ilmu pengetahuan dan berkisar pengalaman ilmu-ilmu yang boleh diambil atau diteroka dalam karya sastera. Pendekatan firasat sama seperti pendekatan moral ditunjangi dengan tanggapan bahawa sastera adalah suatu kejadian alam yang menghasilkan pengalaman hidup, namun dikaitkan dengan mimpi yang memerlukan proses takbir dan taksiran. Ianya merupakan satu proses menemukan makna menerusi tafsiran lambang atau alamat tertentu yang wujud di dalamnya.

Pengkaedahan keagamaan pula berdasarkan kepada keimanan yang bersendikan agama Islam. Al-Quran dan hadis adalah sumber rujukan yang paling besar. Pembentukannya adalah bersandarkan tujuan menyerlahkan sifat-sifat keagungan dan kebesaran Allah melalui sastera supaya dapat mempertingkatkan ketakwaan terhadap-Nya. Tiga pendekatan yang saling berhubungan iaitu pendekatan dakwah, kemasyarakatan dan seni. Pendekatan dakwah melihat sastera sebagai wadah untuk mempertingkatkan nilai ketakwaan seseorang insan kepada pencipta-Nya serta mengukuhkan keimanan dengan memaparkan sifat-sifat kesucian dan kemurnian agama Islam. Pendekatan masyarakat pula menganggap karya sastera sebagai alat pendedahan segala persoalan yang berlaku dalam masyarakat yang bertujuan mencari kebaikan dan keadilan dalam masyarakat, sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Manakala pendekatan seni digunakan untuk menilai dan memfokuskan unsur-unsur keindahan karya sastera yang berlandaskan nilai-nilai etika Islam yang tidak bertentangan dengan akidah serta ajaran Islam.

Pendekatan moral dan pendekatan kemasyarakatan digunakan dalam konteks ini untuk menyingkap dan menyumbangkan pengalaman dan pengetahuan kepada khalayak pembaca.

Metodologi

Kajian ini berbentuk deskriptif kualitatif dan dilakukan secara analisis kandungan untuk menganalisis nilai murni dan amalan kepercayaan masyarakat Melayu dalam novel Kasyaf Ain karya Ramlee Awang Murshid. Novel ini berkonsepkan psycho-thriller, mempunyai 42 bab, berjumlah 399 halaman, mula dijual di pasaran atas talian pada Oktober 2018 dan merupakan naskah sulung terbitan RAM Typewriter. Kajian novel ini dimulakan dengan sorotan literatur dari Julai hingga Oktober 2021 dan analisis kandungan dari November 2021 sehingga Februari 2022. Novel ini dipilih kerana menonjolkan nilai-nilai murni masyarakat Melayu yang dapat dijadikan medium pendidikan dan pengetahuan kepada masyarakat. Penyelidik turut melihat kajian-kajian lepas yang pernah dilakukan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu yang berfokuskan kepada nilai-nilai murni dan amalan kepercayaan masyarakat Melayu menerusi karya-karya sastera. Justeru, kajian ini seterusnya mengaplikasikan Teori Pengkaedahan Melayu yang dibina oleh Hashim Awang berpandukan kepada pengkaedahan alamiah dan pengkaedahan keagamaan dalam menganalisis nilai murni dan kepercayaan masyarakat Melayu di dalam novel ini.

Analisis dan Perbincangan

(A) Nilai Murni Melalui Pendekatan Moral

Pendekatan moral terhasil daripada tanggapan yang dibuat berdasarkan pengalaman hidup yang diperoleh. Pengalaman tersebut biasanya terdiri daripada dua perkara penting iaitu tentang peristiwa yang dilalui oleh manusia dan maklumat yang berkaitan dengan manusia serta suasana persekitaran mereka. Novel Kasyaf Ain memperlihatkan ragam peristiwa yang positif mahu pun negatif untuk dijadikan contoh teladan yang baik ataupun cerminan perbandingan dengan memaparkan nilai-nilai murni yang boleh diteladani dan diaplikasikan

54 oleh masyarakat pembaca dalam kehidupan nyata. Garapan pendekatan moral dalam novel ini dapat dilihat menerusi penerapan nilai-nilai murni seperti gotong-royong, musyawarah, menjaga hubungan silaturrahim dan ketaatan kepada pemimpin. Nilai-nilai murni adalah sebahagian daripada budaya peradaban masyarakat Melayu dan merupakan satu bentuk idea yang dikongsi bersama anggota masyarakat mengenai perkara yang dianggap betul dan baik (Norazlina M. Kiram, 2017).

Kandungan novel menunjukkan adanya amalan musyawarah dan gotong-royong dalam kalangan penduduk kampung. Musyawarah merupakan suatu perbincangan yang dilakukan untuk mendapatkan kesepakatan dan menyelesaikan suatu permasalahan atau untuk mengambil suatu keputusan terutamanya bagi permasalahan atau keputusan yang berhubungan dengan kelangsungan hidup masyarakat setempat dan berkaitan dengan perlanggaran etika norma atau hukum adat masyarakat setempat. Segala keputusan diserahkan kepada ketua atau pemimpin yang dipercayai menjadi wakil suara masyarakatnya. Setiap keputusan yang telah diputuskan akan menjadi sesuatu yang tetap, harus ditaati, dan harus dilaksanakan. Keadaan ini melambangkan ketaatan kepada pemimpin. Di dalam novel ini, nilai musyawarah dapat dilihat menerusi hubungan antara penduduk Kampung Lembah Beringin ketika ditimpa musibah di mana mereka telah bersepakat untuk menguruskan dan menyempurnakan mayat-mayat orang kampung yang terkorban apabila mempertahankan akidah mereka dari menyekutukan Allah, sebagaimana di bawah:

Pada siang hari ini, imam musala kampung, Mansur berserta anaknya Adi, dibantu beberapa orang kariah masjid, mengumpulkan mayat-mayat mangsa. Satu lubang besar digali untuk dijadikan liang lahad. Mereka yang terbunuh disempurnakan menurut Syariah agama Islam.

(Ramlee Awang Murshid, 2018: 6)

Amalan bergotong-royong pula telah menjadi budaya kehidupan masyarakat Melayu sehingga kini sebagai kelaziman dalam majlis kenduri-kendara, majlis perkahwinan, kematian dan sebagainya. Gotong-royong dapat memelihara keutuhan budaya masyarakat Melayu serta penerapan etika dalam komunikasi sosial seperti semangat kerjasama, perasaan kekitaan, saling menghormati, tolong-menolong dan pelbagai nilai positif yang perlu diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat. Dalam konteks sosial, nilai sememangnya menjadi sesuatu yang dekat dengan masyarakat Melayu (Mohd Rashid Md Idris, 2011). Nilai dan etika yang dipegang dalam konteks ini menjadi cerminan kepada masyarakat Melayu dan membentuk jati diri serta world view dalam interaksi dan kehidupan secara bermasyarakat. Nilai bergotong-royong boleh dilihat sebagaimana di bawah:

Senandung lebih menjurus kepada kemakmuran. Kita, penduduk kampung ni mencintai kedamaian. Saling bermuafakat. Suka tolong-menolong. Lalu pembunuhan yang berlaku siang tadi merupakan cabaran getir untuk kita.

(Ramlee Awang Murshid, 2018: 51-52)

Pendekatan moral dalam novel ini dapat dilihat melalui nilai menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia. Nilai ini melibatkan perasaan yang mendalam dan berkekalan yang lahir daripada keikhlasan hati seseorang. Hubungan silaturrahim yang terjalin sesama manusia boleh mewujudkan keselesaan dalam kehidupan bermasyarakat. Hubungan silaturrahim ini adalah penting untuk memupuk budaya murni yang cukup tinggi lagi mulia. Di dalam novel ini, Mansur bertindak untuk keluar berhijrah bagi mengelakkan pertumpahan darah. Ini

55 menggambarkan kesanggupan Mansur yang sanggup berkorban meninggalkan orang-orang kampungnya melebihi segala-galanya. Nilai ini juga menunjukkan sifat mahmudah Mansur yang sabar, pemaaf dan penyayang terhadap manusia lain lantas boleh melahirkan individu yang bertanggungjawab, bersahsiah mulia dan seimbang personalitinya (Asmah dan Iran, 1995). Nilai silaturrahim juga memperlihatkan hubungan yang terjalin antara sesama manusia tidak akan putus walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan seperti kata pepatah ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’ atau ‘air dicincang tidak akan putus’. Berikut merupakan gambaran nilai silaturrahim keluarga Mansur:

Mansur memberi nasihat sebelum dia bersama keluarganya keluar dari kampung itu. Mansur seperti menyembunyikan kesedihannya. Padahal, dia antara marga yang bertungkus-lumus membangunkan kampung ini dengan

keringat, cinta, doa serta tawakal.

(Ramlee Awang Murshid, 2018: 8) Pendekatan moral yang disampaikan oleh pengarang dalam novel ini berupaya membawa

maklumat kepada masyarakat mengenai amalan nilai dan corak kehidupan tradisional masyarakat Melayu yang masih berkesinambungan sehingga kini. Nilai murni yang diutarakan dalam novel ini harus dipupuk untuk mengeratkan hubungan manusia dengan orang lain, keluarga serta anggota masyarakatnya dan dijadikan ikutan dalam kehidupan. Pendekatan ini juga menegaskan nilai gotong-royong, musyawarah, menjaga hubungan silaturrahim dan ketaatan kepada pemimpin sebagai unsur keindahan dalam novel ini adalah selari dengan etika Islam. Nilai-nilai tersebut merupakan sebahagian daripada nilai murni yang harus dipupuk untuk mengeratkan hubungan kemanusiaan dengan orang lain, keluarga dan anggota masyarakatnya. Pendekatan moral yang diketengahkan dalam novel ini dapat sekadar sebagai sumber maklumat ilmu pengetahuan, sebaliknya dapat memberikan pengiktibaran kepada pembaca dan masyarakat.

(B) Amalan Kepercayaan Melalui Pendekatan Kemasyarakatan

Pendekatan kemasyarakatan menekankan unsur kebaikan dan keadilan dalam masyarakat di dalam sesebuah karya sastera yang mendedahkan dengan jelas, benar dan berani mengenai permasalahan-permasalahan yang wujud dalam masyarakat. Pendekatan kemasyarakatan juga berfungsi sebagai kawalan sosial dalam mensejahterakan dan membahagiakan umat manusia sebagaimana yang dituntut oleh ajaran Islam. Pengarang melihat keselarian persoalan amalan kepercayaan masyarakat Melayu dengan pengukuhan keimanan dan ketakwaan insan berteraskan nilai-nilai keislaman. Olahan pendekatan kemasyarakatan dalam novel ini dapat dilihat melalui peranan perwatakan seperti bomoh, dukun, ahli nujum atau pawang menjalankan ritual daripada segi hubungan antara ‘cara’ dengan ‘matlamat’ perlakuannya (Norhuda Salleh et.al, 2015) yang ditonjolkan dalam karya sastera ini.

Novel ini memperlihatkan kepercayaan masyarakat melalui peranan bomoh dalam kalangan penduduk kampung. Masyarakat Melayu yang mempunyai hubung kait rapat dengan kepercayaan mistik sebegini disebut sebagai bomoh, pawang atau dukun. Lazimnya, mereka mendapat kepercayaan daripada masyarakat setempat dan dijadikan orang rujukan bagi menyelesaikan masalah seperti anak kecil yang suka menangis di waktu senja, mencari orang sesat di hutan, memulihkan semangat diri orang yang disampuk atau hilang semangat, atau meminta air penawar hati. Golongan ini menguasai ilmu perbomohan atau perubatan melalui menuntut, mimpi, mewarisi daripada inidvidu lain, atau daripada pengalaman yang diperolehi

56 daripada ilmu ghaib (Mohd Taib Osman, 1972). Ilmu perbomohan tidak akan dikongsi dengan sewenang-wenangnya dan biasanya akan kekal sebagai rahsia di antara bomoh dan pewarisnya.

Berdasarkan novel ini, masyarakat Kampung Lembah Beringin memberi kepercayaan yang sangat tinggi kepada Liau Gantua yang merupakan seorang bomoh. Kepercayaan ini adalah berdasarkan pengalaman masa lampau mereka bersama Liau Gantua. Ini juga dibuktikan dengan ketua kampung itu sendiri yang masih berpegang teguh kepada kepercayaan perbomohan dan meletakkan seratus peratus keyakinan bahawa hanya Liau Gantua mampu menyelesaikan masalah gangguan mistik (disebut sebagai ‘jembalang’) yang berlaku di dalam kampung mereka. Mereka percaya hanya orang yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam bidang perbomohan yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah termasuklah penyakit misteri yang dihidapi oleh sesetengah manusia (Rentse, 1931). Antara petikan yang dapat menggambarkan betapa pentingnya peranan bomoh ialah:

Menjelang petang, barulah datuk penghulu muncul bersama Liau Gantua, orang pandai di kampung ini. Lelaki ini merupakan seorang dukun.

Kejaguhan ilmu jampi serapahnya memang tak ada bandingan. Dianggap benteng pengampuh di antara alam nyata dan ghaib.

(Ramlee Awang Murshid, 2018: 5-6)

Petikan di atas jelas menunjukkan bagaimana perkhidmatan perbomohan masih mendapat tempat di dalam masyarakat. Mereka yakin dengan ilmu dan kepakaran yang dimiliki oleh bomoh dan ini dapat dibuktikan apabila apabila masyarakat kampung mempercayai apa jua yang diperkatakan oleh Liau Gantua mengenai kerasukan ‘jembalang’ yang telah mengganggu keamanan kampung mereka dan kepercayaan ini disokong sepenuhnya oleh sebahagian penduduk kampung tersebut, lebih-lebih lagi ketua kampung itu sendiri.

Tambahan pula, kepercayaan animisme masih lagi diamalkan iaitu di mana mereka percaya akan kewujudan roh atau semangat yang menguasai setiap benda di dunia yang mana ianya mampu mempengaruhi baik buruk kehidupan seseorang itu. Kepercayaan bahawa penunggu dan penghuni suatu kawasan itu harus dipuja demi menjaga keselamatan serta kemaslahatan anggota masyarakat. Justeru, manusia perlu memohon izin sekiranya ingin melakukan sesuatu (Harkavy, 1996) pekerjaan atau rancangan bagi mengelakkan ancaman makhluk ghaib berkenaan. Dengan itu wujudlah pantang-larang, tarian, mainan serta jampi mantera yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kepercayaan sebegini. Ini dapat dilihat daripada petikan di dalam novel ini:

Daging lembu sudah kering darahnya. Dihurungi lalat. Asap kemenyan tidak berupaya mengusir serangga-serangga kecil hitam bersayap itu. Juadah itu langsung tidak disentuh oleh jembalang yang dipuja-puja selama ini.

(Ramlee Awang Murshid, 2018: 53)

Analisis di atas menggambarkan kepercayaan terhadap budaya tradisional dan karut masih menjadi sebahagian amalan kehidupan masyarakat Melayu. Memang tidak dapat dinafikan bahawa dalam realiti kehidupan hari ini masih ada kelompok masyarakat yang mempercayai pelbagai kepercayaan dan amalan yang bercanggah dengan nilai keagamaan dan budaya Melayu.

Setelah kedatangan agama Islam ke Alam Melayu, masyarakat tempatan yang beragama Islam masih lagi mengamalkan adat dan amalan kepercayaan budaya peninggalan

57 nenek moyang mereka. Segala bentuk pengaruh kepercayaan anamisme dan Hindu-Buddha masih tidak dapat ditinggalkan kerana sudah sebati sebagai warisan turun-temurun dan masih dijalankan dalam kehidupan seharian mereka. Namun begitu, ini tidak bermakna masyarakat Melayu menafikan kekuasaan Allah, sebaliknya kepercayaan mereka diserasikan dengan kepercayaan bahawa kekuasaan Allah mengatasi kekuasaan jin dan syaitan yang cuba merosakkan manusia (Syaimak et.al, 2020). Terdapat beberapa upacara ritual melibatkan unsur tradisi dan unsur agama yang digabungkan bagi mendapatkan tujuan tertentu. Ini boleh dilihat dalam penggunaan bahan-bahan semula jadi iaitu herba yang dikatakan memainkan peranan utama di dalam ilmu perbomohan untuk melakukan perawatan dan perubatan. Di dalam novel ini, penggunaan lada hitam dan garam bukit dikaitkan dengan amalan kepercayaan masyarakat Melayu kepada kuasa alam semula jadi untuk melakukan upacara penyembuhan atau ritual perubatan. Penggunaan herba dipercayai memberi khasiat dan manfaat dalam ilmu perubatan tradisi Melayu untuk penyembuhan badan manusia mahupun mengusir sesuatu kuasa ghaib.

Petikan berikut menggambarkan amalan penggunaan bahan semula jadi dalam ilmu perbomohan:

Di lantai kelihatan mayat seorang wanita terbaring kaku dalam satu lingkaran ritual, iaitu serbuk campuran garam bukit dan lada hitam dalam bentuk mengepung.

(Ramlee Awang Murshid, 2018: 19)

Dalam usaha merawat pesakit contohnya, seharusnya bomoh melakukan ikhitiar pada peringkat manusia sahaja. Sama ada sembuh atau tidak itu menjadi hak mutlak Allah. Ilmu perbomohan seharusnya berlandaskan sumber-sumber yang pasti daripada Al-Quran dan al-Sunnah serta sumber-sumber yang diiktiraf oleh Islam. Dikhuatiri sekiranya ini tidak dipatuhi dan bercanggah dengan akidah maka amalan perbomohan itu boleh dikatakan terkeluar dari landasan Islam. Kebergantungan kepada bomoh yang dikatakan mempunyai kuasa yang hebat dan mampu menyelesaikan kerumitan harus dielakkan. Justeru, bantuan dan harapan seharusnya disandarkan kepada Allah sahaja. Dengan berpegang kepada konsep pandangan semesta agama Islam iaitu keimanan, kekuasaan dan kemanusiaan sebagai tunjang kehidupan, segala matlamat kehidupan adalah memohon kepada PenciptaNya dengan melakukan perkara-perkara yang baik dan mencegah perkara-perkara-perkara-perkara yang mungkar seperti mana yang digarap dalam karya ini:

Teruslah bertegas. Tiada TUHAN disembah melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad tu adalah utusan ALLAH. Berapa lama pun, kebenaran tu pasti mengatasi kebatilan. Percayalah, yakinlah pada ALLAH.

(Ramlee Awang Murshid, 2018: 8)

“…cukuplah Allah menjadi wakil (pelindung) kami yang sebaik-baiknya.

Tiada daya upaya melainkan daya dan upaya kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

(Ramlee Awang Murshid, 2018: 311)

Pendekatan kemasyarakatan yang disampaikan oleh pengarang dalam novel ini berupaya membawa maklumat kepada masyarakat mengenai amalan kepercayaan dan corak kehidupan tradisional masyarakat Melayu yang masih berkesinambungan sehingga kini. Bagi mengelakkan kepercayaan terus merebak dan diamalkan oleh sebahagian masyarakat, fakta

58 perlu diketengahkan dan seterusnya menjelaskan hukum agama bagi menegakkan kebenaran supaya masyarakat terhindar daripada kepercayaan karut dan perkara khurafat.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan mengenai teks novel Kasyaf Ain ini, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat kecenderungan penulis dalam menghasilkan karya novel dengan meneliti dan menghayati nilai murni dan amalan kepercayaan dalam budaya kehidupan masyarakat Melayu.

Malahan, masyarakat Melayu sendiri mudah menerima pengaruh kepercayaan anamisme dan Hindu-Buddha kerana dasar keterbukaan yang diamalkan sejak dari zaman dahulu asalkan tidak mengganggu gugat dan bertentangan dengan ajaran Islam. Analisis kajian membuktikan bahawa novel Kasyaf Ain dapat menyerlah cerminan nilai murni dan amalan kepercayaan masyarakat Melayu yang dapat memberi pendidikan berkesan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam masyarakat dan menolak perkara bertentangan dengan ajaran Islam. Paparan permasalahan dan pergolakan masyarakat dalam karya juga dapat memberi keindahan, makna kesenian dan kebaikan. Bagaimanapun, keindahan tidak akan memberi sebarang erti jika tidak membawa kebaikan. Begitu juga sebaliknya, kebaikan tidak akan bermakna jika tidak memancarkan keindahan. Nilai keindahan dan kemaknaan setiap karya akan memancarkan keistimewaan apabila nilai dan unsur tersirat dan tersuratnya bermakna. Justeru, hal ini bertepatan seperti kata-kata Muhammad Haji Salleh (2008) bahawa sastera dianggap amat dasar dalam sesebuah masyarakat kerana selama ini sastera dianggap dan diisi sebagai wadah rohaniah, intelektual dan praktikal bagi sesebuah bangsa.

Rujukan

Abdullah Kamaruzzaman. (2000). Nilai Murni Cerpen Diari Seorang Pengawas. Berita Harian. 10 Oktober 2010.

Ani Haji Omar. (2015). Nilai Murni Dalam Sastera Remaja Memupuk Kecintaan Terhadap Negara. Rumpun Jurnal Persuratan Melayu. 3 (1). 128-152.

Asmah Bee Mohd Noor & Iran Herman. (1995). Membina kesejahteraan remaja. Bandar Baru Bangi: Penerbit Tekno Edar.

Che Abdullah Che Ya. (2018). Manifestasi Kehidupan Masyarakat Melayu Dalam Bedar Sukma Bisu Daripada Perspektif Pengkaedahan Melayu. Jurnal Melayu.17 (2), 328- 342.

Eizah Mat Hussin, Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali & Zahir Ahmad. (2021). Analisis Nilai Murni dalam Manuskrip ‘Hikayat Saerah Dengan Suami’. International Journal of the Malay World and Civilization. 9 (2). 15-23.

Hamidah Abd Wahab. (2013). Petua dan Pantang Larang Tradisional Dalam Alam Melayu Sarawak. International Journal of the Malay World and Civilisation. 1 (1). 89 – 97.

Harkavy, M.D. (1996). The Webster’s International Encyclopedia. Florida: Trident Press International.

Hashim Awang. (1994). Pengkajian Sastera: Pengkaedahan Melayu. Pengarang, Teks dan Khalayak. Dlm. Sahlan Mohd Saman (pnyt). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

____________. (2002). Teori Pengkaedahan Melayu dan Prinsip Penerapannya. Kertas Kerja Bengkel Kajian Teori Sastera Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, Riviera Bay Resort, Melaka.

In document E-Prosiding PERSEP II 2022 (halaman 58-69)