• Tiada Hasil Ditemukan

Kepentingan Kajian

In document KECERDASAN EMOSI DALAM NOVEL REMAJA (halaman 31-34)

Karya kesusasteraan memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah dan jati diri remaja kerana elemen-elemen yang terdapat dalam karya sastera seperti ilmu dan kemahiran serta nilai yang berkaitan dengan aspek intelek dan emosi mampu mendidik remaja. Elemen-elemen ini akan menjadikan remaja insan yang berfikir tentang kebaikan dan mempunyai kehalusan budi pekerti serta memiliki daya intelek yang tinggi. Selain itu, remaja akan dididik supaya mempunyai kecekalan hati dan menghargai keindahan seni dan kebenaran. Seterusnya menghargai kehidupan dan nilai kemanusiaan. Dengan ini, sahsiah diri yang baik dalam kalangan remaja dapat dipupuk.

Begitu juga dengan pembentukan jati diri kerana karya-karya sastera remaja dapat mencetuskan semangat dan motivasi bangsa ke arah pembangunan sesebuah negara.

Selain itu, karya sastera juga berupaya membangkitkan semangat nasionalisma dalam kalangan remaja.

Menyedari hakikat pentingnya peranan sastera pada pembentukan sahsiah remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mewujudkan semula Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (PURNAMA) pada 16 Januari 2006. Penubuhan PURNAMA jelas membuktikan bahawa pentingnya sastera remaja dikembang dan dimantapkan supaya remaja dapat didedahkan dengan karya-karya sastera yang sesuai dan mempunyai nilai-nilai sahsiah yang tinggi terutamanya dari aspek kecerdasan emosi. Menurut Yang Dipertua Majlis Kanak-kanak Malaysia, Tan Sri Zaleha Ismail semasa ucapan melancarkan ‘Sahabat PURNAMA’ pada 28 November 2006, penubuhan PURNAMA bukan sahaja dapat menggerakkan

pembangunan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja di Malaysia, tetapi juga memberi petanda baik dalam usaha kerajaan untuk merealisasikan pembangunan modal insan peringkat awal secara menyeluruh dan meluas. (Akibah Abu Hassan dan Azihani Md Mizan, 2006). Usaha yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ini harus dipuji kerana dengan tertubuhnya PURNAMA, kerja-kerja penyelidikan, pendokumentasian, penerbitan dan pemasyarakatan sastera remaja akan menjadi semakin rancak. Kajian ini berupaya mengisi matlamat dan tujuan penubuhan PURNAMA tersebut. Walau bagaimanapun pada bulan Ogos 2010, PURNAMA telah dibubarkan namun ditubuhkan pula Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja dan Bahagian Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja. Kedua-dua bahagian baharu yang ditubuhkan di Dewan Bahasa dan Pustaka ini memainkan peranan yang hampir sama dengan matlamat penubuhan PURNAMA dahulu malah fungsinya lebih besar terhadap perkembangan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja di negara ini.

Kesusasteraan remaja merupakan wahana yang amat penting dalam usaha dan upaya untuk mengisi sebahagian daripada tuntutan keperluan remaja, terutama dari sisi pengisian minda, pembentukan sahsiah, kerohanian, dan pemantapan psikologi. Kajian tentang kecerdasan emosi dalam novel remaja adalah penting untuk memberi maklumat tentang komponen kecerdasan emosi yang terdapat dalam novel remaja. Sebahagian daripada novel-novel remaja yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) telah diguna pakai sebagai teks KOMSAS. Kajian ini mampu memberi manfaat kepada para guru khasnya guru yang mengajarkan Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu tentang pentingnya komponen kecerdasan emosi dikupas dengan mendalam dalam teks sastera yang dikaji. Dengan ini, para pelajar dapat menghayati jalan cerita dengan mudah dan mengaplikasi kecerdasan emosi dalam kehidupan seharian mereka. Maklumat yang diperoleh dalam kajian ini diharap dapat menyedarkan para guru tentang pentingnya meningkat dan memantapkan kemahiran kecerdasan

emosi dalam diri pelajar supaya pelajar mampu mengendalikan konflik yang dihadapi dan dapat mengawal emosi negatif daripada menguasai diri mereka. Kajian ini juga diharapkan dapat membantu guru untuk mencapai objektif pendidikan dalam domain afektif yang merangkumi proses fisiologi, serta perlakuan yang berkait rapat dengan emosi.

Dapatan kajian ini amat berguna kepada ibu bapa dan ahli masyarakat untuk mengetahui tentang komponen kecerdasan emosi yang boleh membentuk sahsiah remaja menjadi lebih cemerlang dalam kehidupan peribadi dan kehidupan sosial mereka. Jika dahulu, kecerdasan intelek diberi perhatian utama oleh ibu bapa kerana ingin melihat kejayaan cemerlang anak mereka dalam bidang akademik. Namun kini aspek kecerdasan emosi menjadi komponen yang sama penting dengan kecerdasan intelek supaya pembesaran anak remaja menjadi seimbang dan sempurna. Dengan ini, ibu bapa akan menggalakkan anak-anak mereka membaca novel-novel remaja yang bermutu tinggi yang boleh meningkatkan kemahiran kecerdasan emosi dalam diri anak-anak mereka. Apabila anak-anak-anak-anak remaja mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi maka ibu bapa tidak perlu bimbang tentang akhlak anak-anak mereka kerana anak remaja ini akan dapat mengawal diri daripada perkara-perkara yang tidak bermoral jika mereka dibimbing dengan baik dalam aspek kecerdasan emosi. Cara-cara mengawal emosi diperoleh melalui watak-watak protagonis yang mempunyai tahap kecerdasan emosi yang tinggi dengan mempamerkan sahsiah diri yang unggul.

Bagi penulis novel remaja, dapatan kajian ini diharap berupaya meningkatkan keprihatinan terhadap pentingnya memasukkan komponen kecerdasan emosi untuk menghasilkan karya yang bermutu dan menepati kriteria tertentu serta memenuhi fitrah remaja. Novel remaja yang dihasilkan kelak diharapkan dapat meningkatkan kemahiran kecerdasan emosi dalam diri remaja yang akan membantu mereka menjadi insan yang

lebih cemerlang dalam kehidupan di samping dapat menambah ilmu dan merangsang pemikiran mereka. Dengan ini, secara tidak langsung golongan remaja dibimbing menjadi insan yang bukan sahaja intelek tetapi bijak mengawal emosinya serta dapat mengekalkan tingkah laku-tingkah laku positif dalam diri mereka.

Sudah tiba masanya Garis Panduan Kurikulum Pendidikan Sekolah Menengah dan Rendah disusun semula supaya dapat memasukkan kemahiran-kemahiran kecerdasan emosi sebagai landasan penting di samping menekankan aspek Ketuhanan yang menjadi tonggak utama dalam sistem pendidikan di negara ini. Adunan kedua-dua aspek ini akan dapat melahirkan insan yang seimbang dan holistik seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Dapatan kajian ini diharap dapat dijadikan panduan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sesuai dengan keperluan negara pada masa kini yang memerlukan insan yang berkemahiran tinggi dalam menangani perubahan dan krisis secara proaktif malah melangkaui pemikiran.

In document KECERDASAN EMOSI DALAM NOVEL REMAJA (halaman 31-34)