• Tiada Hasil Ditemukan

KEUSAHAWANAN SOSIAL UNTUK MEMBANGUN MODAL INSAN 2014-2019

4.4 Kesimpulan

Dalam skop pengurusan profesional, ia melibatkan pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan institusi masjid. Bidang pengurusan masjid pada hari ini memerlukan pengurusan yang profesional atau profesional yang menguruskan masjid, begitu juga dengan imam Islam yang profesional atau profesional yang menjadi imam (Sabri, M. F. M dan Tonot, H., 2017). Pemerkasaan masjid dapat dilaksanakan melalui pengurusan profesional, namun memerlukan tindakan segera semua pihak terutama pihak yang bertanggungjawab terhadap pengurusan masjid.

Ketiga-tiga elemen ini, jika dipenuhi dan dikekalkan, akan menjadikan masjid sebagai institusi yang menarik untuk dikunjungi dan menjadi daya tarikan dakwah bagi orang bukan Islam. Berdasarkan perspektif sejarah pengurusan masjid, umat Islam kini perlu mengambil sikap proaktif dan memainkan peranan lebih aktif dalam menjadikan masjid sebagai institusi yang boleh menjana modal insan. Langkah-langkah yang boleh diambil untuk menguruskan masjid dengan berkesan termasuk:

1. Pemilihan jawatankuasa berwibawa

Antara lain, kewibawaan masjid ditentukan oleh faktor jawatankuasa. Jika sesebuah masjid itu dikendalikan oleh jawatankuasa yang berwibawa dan mempunyai kredibiliti, masjid akan berjaya sebagai sebuah institusi yang menonjolkan peranannya sebagai agen pembangunan masyarakat. Ahli jawatankuasa yang tidak berkelayakan sering kekurangan idea untuk mereka bentuk dan melaksanakan perancangan aktiviti-aktiviti masjid. Sebaliknya, ia lebih memfokuskan kepada fungsi institusi ibadat semata-mata. Selain itu. Pengurusan masjid perlu mempunyai kreativiti masing-masing untuk menjadikan masjid dimakmurkan melalui pelbagai aktiviti, termasuk program berlatarkan keusahawanan sosial, bukannya sekadar menjadikan masjid sebagai institusi ibadah semata-mata. Pengurusan masjid perlu mengetengahkan peranan masjid yang lebih dinamik dalam konteks yang lebih luas, meliputi aspek kebajikan, ekonomi, budaya, politik, sosial dan lain-lain. Shaykh Ali Mohammad Mokhtar (1997:23) menyatakan berkaitan pemilihan jawatan kuasa masjid:

“ Pemilihan mereka hendaklah dilakukan dengan teliti, mengikut neraca yang adil dan saksama. Ini kerana peranan mereka amat besar dan mulia”

2. Program yang menarik

Program masjid sebenarnya berkait rapat dengan jawatankuasa yang menjadi pentadbir masjid. AJK yang berwibawa akan sentiasa merancang program dan aktiviti masjid. Pengurusan masjid tidak hanya bergantung kepada program sedia ada, mereka juga kreatif merancang pelbagai program masjid yang baharu. Program yang boleh dijalankan oleh sesebuah masjid untuk membangunkan kualiti dan sahsiah seseorang termasuklah perkhemahan remaja (seperti kem Kembara Insan), hari keluarga, kelab remaja masjid dan lain-lain aktiviti yang boleh mencapai matlamat ini. Pihak masjid juga boleh bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan sebagainya untuk latihan dan peluang perniagaan kepada ahli-ahli kariah setempat.

3. Persekitaran Bersih dan ceria

Persekitaran yang suci dan bersih adalah sebahagian daripada tuntutan Islam. Ia juga mencerminkan imej Islam dalam masyarakat. Justeru, imej masjid perlu dijaga bagi memastikan masjid sentiasa kelihatan bersih dan ceria. Program kitar semula adalah selaras dengan idea menjaga kebersihan berdasarkan aktiviti keusahawanan sosial apabila dana daripada aktiviti kitar semula dapat digunakan untuk keceriaan masjid.

Ini boleh dicapai melalui konsep membina masjid di taman dengan membangunkan landskap yang menarik (berbunga) memastikan tandas sentiasa bersih. Dalam hal ini, label yang mengingatkan pengguna supaya menjaga kebersihan kawasan masjid perlu diletakkan di kawasan masjid supaya pengguna dapat memberi perhatian terhadap isu kebersihan ini. Kini didapati terdapat banyak masjid di negara ini yang mementingkan keceriaan dan kebersihan dalam hal ini. Malah, kebersihan dan keceriaan masjid ini menjadi tarikan orang ramai berkunjung ke masjid.

4. Memahami konsep takmir masjid

Semua pihak yang terlibat dalam pengurusan sesebuah masjid hendaklah memahami atau diberi kefahaman tentang konsep takmir (kemakmuran) kepada institusi masjid.

Kepelbagaian program yang dilaksanakan akan menjadi petunjuk kepada kefahaman jawatankuasa masjid/ surau tentang konsep takmir masjid. Sebagai contoh, dalam pengurusan kewangan, salah satu masalah yang ditemui ialah masjid tidak memahami konsep takmir. Beberapa masjid dengan bangganya mengumumkan jumlah simpanan yang besar di bank yang tidak digunakan bagi memakmurkan masjid melalui pelbagai aktiviti seperti keusahawanan sosial yang memberi impak kepada pembangunan ummah.

Sekiranya jumlah wang simpanan yang banyak tidak digunakan, maka konsep takmir masjid tidak wujud atau tidak berfungsi. Kini banyak masjid di negara ini yang mengimarahkan surau dengan kuliah-kuliah ilmu. Tidak seperti dahulu, di mana masjid hanya menjadi tempat solat dan bacaan yasin serta tahlil semata-mata.

5. Pengurusan Masjid medium Memasyarakatkan masjid

Masjid sememangnya sebuah institusi yang dianggap sinonim dengan masyarakat Islam. Pelaksanaan aktiviti masjid tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti keagamaan semata-mata. Pihak pengurusan masjid juga harus mencari jalan untuk mendekatkan masjid dengan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Walaubagaimanapun, aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan tidak luput dari semangat masjid. Dengan kata lain, aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan hendaklah mengikut model masjid. Ini bermakna aktiviti sosial di masjid hendaklah mengikut ruh Al-Quran yang menekankan konsep “al-taawun ala albirr wa al-taqwa”

(tolong bantu/kerjasama dalam kebajikan dan takwa). Dalam Surah al-Ma'idah, ayat 2.

Aktiviti gotong royong, membantu fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, jemaah haji yang sakit, meninggal dunia, membantu membanteras kemungkaran melalui tabung masjid adalah semua aktiviti kemasyarakatan yang boleh disertai oleh masjid.

Banyak masjid di seluruh negara kini mempunyai kiosk yang menjual barangan ibadat, kedai runcit, gerai makanan terbuka, pusat dialisis terbuka dan banyak lagi.

Inisiatif ini harus dipuji apabila masjid menunaikan tanggungjawab sosial mereka di samping fungsi utamanya sebagai institusi ibadah.

6. Latihan kepada Pihak Pengurusan Masjid

Satu aspek yang tidak boleh dipandang remeh ialah latihan. Sehubungan itu, jawatankuasa masjid perlu mendapat latihan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan profesionalisme pengurusan masjid. Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, di bawah Jabatan Agama Islam Negeri boleh memainkan peranan ini dengan melibatkan jawatankuasa masjid dalam latihan yang dianjurkan untuk meningkatkan kualiti pengurusan masjid. Latihan berterusan yang dirancang akan memberi sumbangan penting untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan masjid secara lebih profesional.

7. Penawaran Subjek Pengurusan Masjid di sekolah dan IPT

Salah satu langkah yang dianggap perlu dan penting dalam meningkatkan keberkesanan pengurusan masjid adalah dengan menyediakan kursus berkaitan pengurusan masjid di sekolah (sekolah menengah) dan institut pengajian tinggi

(awam/swasta). Sebagai contoh, di Universiti Kebangsaan Malaysia, pengurusan masjid telah menjadi mata pelajaran di pusat kurikulum bersama. Pelajar boleh lulus mata pelajaran ini (HD 1011 dan 1021, Pengurusan Masjid I dan II) sebagai mata pelajaran elektif tetap dengan nilai kelulusan 2 kredit. Gred yang diperolehi diambil kira semasa mengira PNGS dan PNGK. Pelajar hendaklah melepasi kedua-dua peringkat dan unit tersebut dianggap memenuhi keperluan kokurikulum guru (Panduan Prasiswazah Pusat Kokurikulum UKM Sesi Akademik 2006/07: 27).

Selain itu juga Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang telah mewujudkan satu program untuk ditawarkan pada peringkat diploma berkaitan pengurusan institusi sosial Islam yang termasuk pengurusan institusi masjid hasil sebahagian input daripada kajian ini.

Penawaran kursus pengurusan masjid ini akan memberi peluang kepada pelajar memahami konsep pengurusan masjid, fungsinya serta kaedah berkesan pengurusan masjid. Kursus ini merupakan satu pendedahan yang bermakna kepada pelajar yang akan terlibat dalam institusi masjid selepas tamat pengajian di universiti atau kolej.