• Tiada Hasil Ditemukan

BAB 3: PENGARANG DAN KEPENGARANGAN AZIZI HAJI ABDULLAH

3.11 Kesimpulan

Kegiatan Azizi Hj Abdullah dalam bidang penulisan kreatif bermula pada ketika usia muda merupakan perkara biasa bagi mana-mana juga sasterawan Malaysia yang memulakan kerja berkarya mereka pada usia yang muda. Bidang yang diceburinya juga pada genre yang kelihatan mudah seperti rencana, sajak, cerpen dan drama radio.

Namun demikian setelah karya Azizi semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, maka sasterawan itu akan melanjutkan kerja kreatifnya pada genre yang lebih mencabar seperti filem, skrip drama tv dan juga novel.

Kemampuan Azizi mengangkat pelbagai tema dan persoalan dalam karyanya bertitik tolak daripada pengalaman yang dilalui oleh beliau bersama-sama ahli keluarganya seperti bapa, ibu, isteri, abang, kakak dan anaknya telah menjadi asas kepada pemilihan watak dan perwatakan yang digarap dalam kebanyakan cerpen dan novelnya. Personaliti sebahagian besar ahli keluarganya sering dijadikan sumber watak dan diimaginasikan sesuai dengan keperluan penceritaan beliau.

Tambahan pula, pengalaman semasa kecil Azizi turut membantu menggerakkan getusan kepengarangan Azizi. Pengalaman mengajar, pengalaman sebagai seorang ustaz, pengalaman alamrumahtangganya dan pengalaman yang diperoleh melalui pembacaan terutama dengan melakukan rujukan terhadap karya-karya Shahnon Ahmad telah dijadikan sebagai pedoman. Rasa tidak puas hati, ingin mengkritik, rasa memberontak seringkali bermain difikirannya lalu diterjemahkan dalam bentuk penulisan. Berbekalkan pengalaman sedia ada dalam diri Azizi ternyata tidak

sekali gus membuktikan bahawa Azizi merupakan seorang penulis yang mapan dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam diri.

Gaya kepengarangan Azizi yang .menarik dapat dilihat apabila Azizi berjaya mengangkat secebis kisah masyarakat lalu digarap menjadi sebuah cerpen. Daripada cerpen yang terdiri daripada beberapa orang watak telah dikembangkan menjadi sebuah novel yang akhirnya meninggalkan impak yang besar dalam khalayak masyarakat pembaca. Daripada keratan akhbar yang memuatkan berita luar negara tentang seorang lelaki berusia 93 tahun yang bertemu jodohnya dengan Pemilik rumah sewa telah diangkat menjadi sebuah karya besar yang berjudul Sangeetha. Daripada berita yang menggugah daya kreativitinya, Azizi berjaya mencipta sebuah novel hiperteks. Dengan menjawab persoalan seperti apa, mengapa, siapa, bila dan bagaimana, Azizi telah menokok tambah dengan elemen-elemen sastera agar menjadi novel yang berkesan.

Dengan mengambil masa selama lebih satu tahun akhirnya beliau menggubah berita menjadi sebuah novel.

Azizi juga dilihat sebagai seorang pengarang yang kreatif bertanggungjawab apabila dalam kebanyakan karya yang pada asalnya merupakan sebuah cerpen, ditangannya telah diangkat menjadi sebuah novel yang membentuk pemikiran baru dengan horizon yang lebih meluas. Kerja-kerja peluasan ini didapati bukanlah kerja yang remeh dan mudah sebaliknya memerlukan ketelitian, kesabaran dan kesungguhan agar karya baharu tersebut mengandungi nilai-nilai estetika dan bukan sekadar tempelan semata-mata. Justeru, pemahaman memerlukan dialog sebagai proses interaksi, iaitu

pembaca dan teks saling berhubung secara serentak di dunia kehidupan yang terdiri daripada dunia objektif dan dunia sosial.

Menelaah karya-karya Azizi ini, secara tidak langsung, pembaca akan banyak menemukan gelagat manusia biasa yang ada dalam keluarga masing-masing tetapi diungkap dengan penuh beremosi. Dunia anak dengan orang tua melalui watak Aku sering dipilih oleh Azizi bagi meyakinkan pembaca untuk lebih mendekati kehidupan dan perasaan orang-orang tua. Tambahan pula, realiti dunia remaja hari ini yang bersikap acuh tak acuh dengan orang tua yang kaya dengan pengalaman hidupnya.

Apabila Azizi melakukan peluasan daripada keratan akhbar menjadi sebuah cerpen lalu diangkat sebagai sebuah novel beliau telah menggarap persoalan bagi mengajar dan mendidik generasi muda dengan teladan secara sinis. Orang tua tidak menunjukkan emosi secara terbuka tetapi secara halus mengajar anak-anaknya dengan kesan makna yang yang cukup bermakna.

Proses kreatif yang dilalui oleh pengarang membolehkan jalan cerita yang meninggalkan impak yang mendalam dalam diri pembaca. Azizi yang merupakan seorang pendidik telah melakukan anjakan paradigma apabila perkara yang sepatutnya berlaku iaitu murid yang dididik oleh seorang guru berubah kepada “Guru yang dididik”. Sudah pasti untuk melukiskan keadaan ini perlu dilakukan dengan berhati-hati agar berhati-hati guru tidak terguris kerana bertentangan dengan etika sebagai seorang pendidik dan keadaan yang pada dasarnya bersifat luar biasa sebenarnya boleh berlaku dalam dunia pendidikan dan dianggap tidak mustahil boleh terjadi. Namun setelah

mengambil kira elemen emosi seperti rasa kasih, rasa marah dan rasa duka maka khalayak dapat menerima karya tersebut dengan hati yang terbuka.

Azizi juga dilihat sebagai seorang pengarang yang memiliki semangat juang yang tinggi, memiliki sifat patriotik dan cinta akan tanah air, menghargai nilai-nilai murni dan menjunjung tinggi fahaman keagamaan serta menyanyangi alam yang terdiri daripada flora dan fauna. Kejujuran Azizi terpancar dengan jelas melalui hasil karyanya yang begitu telus dan jelas mengangkat persoalan yang memerlukan khalayak untuk berfikir di ‘luar kotak’. Walaupun Azizi cuma bersekolah agama namun beliau berusaha meletakkan dirinya setanding dengan individu-individu lain yang berjaya dalam hidupnya. Buktinya Azizi dapat meletakkan dirinya pada tahap yang tinggi dalam arena penulisan kreatif apabila beliau berjaya mengguli hadiah-hadiah yang ditawarkan serta anugerah yang berprestij.

Karya-karya Azizi juga boleh disifatkan sebagai merentasi sempadan masa dan bersifat universal tetapi masih relevan dalam konteks semasa. Keupayaan Azizi memaparkan cara hidup orang Melayu dalam ruangan yang khusus ternyata mempunyai keunikannya yang tersendiri. Mempertahankan warisan keperibadian bangsa, menyerahkan diri pada Yang Kuasa, rajin berusaha dan sangat mencintai alam semula jadi begitu akrab dalam kehidupannya. Pada masa yang sama Azizi telah membuktikan bahawa budaya adalah milik masyarakat dan citra sesuatu bangsa, manifestasinya dinyatakan dalam pelbagai bentukk dan rupa, idea, falsafah, adat resam dan kebudayaan.

Jelaslah bahawa, Azizi Hj Abdullah telah mengangkat fungsi sastera dalam kalangan masyarakat Melayu yang bermakna dan berfaedah. Segala yang dinukilkan oleh Azizi mempunyai dampak yang hebat apabila pembaca diajak untuk merenung makna pengalaman yang diwarisi daripada amalan tradisi, menghargai hubungan manusia dengan manusia, hubungan manusia dengan penciptaNya yang pada hari ini dilihat semakin longgar nilai kemanusiaan dan kemasyarakatannya. Tidak dilupakan juga unsur kasih sayang antara ahli keluarga, hubungan anak dan emak, adik dan abang yang juga dilhat semakin goyah. Justeru usaha Azizi berkarya bukan sekadar untuk menempa nama semata-mata tetapi sebagai terapi untuk menyatukan umat manusia pada hari ini.

In document NOVEL-NOVEL TERPILIH AZIZI HAJI ABDULLAH: (halaman 121-126)