• Tiada Hasil Ditemukan

KAJIAN LITERATUR

2.5 Pembangunan Modal Insan

2.5.1 Masjid Sebagai Pusat Pembangunan Insan

Pelaporan daripada institusi penyelidikan PEW Research Centre (2017) bahawa Islam merupakan agama yang paling pantas berkembang menunjukkan bahawa pentingnya peranan masjid dalam membentuk khaira ummah. Oleh itu Gerakan tajdid atau pembaharuan dalam membangunkan modal insan ummah menerusi institusi masjid perlu dilihat secara lebih berkesan dengan memperkemaskan pengurusan masjid dan memperkasakan aktiviti berbentuk keusahawanan social institusi masjid dalam menjadi wahana pembentukan khaira ummah. Institusi masjid memerlukan pengurusan yang kompeten agar dapat mempersiapkan juga ahli kariah generasi muda yang kompeten untuk memimpin umat bagi memenuhi tuntutan duniawi dan ukhrawi. Institusi masjid perlu memainkan peranan dalam menonjolkan umat Islam sebagai khaira ummah yang membentuk rahmatan lil alamin iaitu rahmat buat sekalian alam.

Isu yang selalu ditimbulkan dalam kalangan masyarakat yang cakna agama adalah berkenaan kedudukan masjid-masjid yang kurang atau tidak lagi diimarahkan di Negara Malaysia (Mahazan & Abdullah, 2013). Sedangkan menurut Ibn Hisyam (1971) dan al-Thabari (1965), Nabi Muhammad s.a.w. telah mendirikan Masjid Quba’, Masjid al-Mirbad dan Masjid Nabawi di Madinah yang telah dijadikan pusat pendidikan Islam. Masjid merupakan pusat pendidikan Islam bagi sebuah tempat ibadah bagi umat Islam seluruh pelosok dunia. Namun ibadah yang dimaksudkan bukanlah solat semata - mata malahan lebih luas dari itu. Hal ini bertepatan dengan

firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali di rumah - rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat

nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. Ibadah dikerjakan oleh orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat, mereka takut hari kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan”.

Daripada ayat-ayat di atas, dapat difahami bahawa peranan masjid bukan sekadar sebagai tempat solat – mata malah mempunyai pelbagai fungsi dan peranan dalam pembangunan manusia dan masyarakat, rohani dan jasmani. Masjid adalah tempat suci untuk memupuk keimanan dan menggalakkan manusia menerima cahaya hidayah. Masjid ialah tempat di mana jiwa manusia dipelihara dan Tuhan dapat dikenang selama-lamanya dalam apa jua keadaan, sama ada ibadat awam mahupun ibadat khusus (Hamka, 1985). Pembangunan insan yang berpaksikan akidah akan melahirkan masyarakat yang kukuh yang sekaligus memacu kehidupan yang baik dan sejahtera. Seseorang yang mempunyai keyakinan dan jiwa yang kuat akan membentuk masyarakat yang patuh kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran (Khalim & Aminuddin, 2008).

Dalam konteks ini, jelaslah masjid merupakan tapak pembangunan insan, dan terasnya terletak kepercayaan sebenar dalam membina masyarakat yang mempunyai nilai hidup yang tinggi (Roslan, 2004). Oleh itu, sistem pendidikan masjid dilihat sebagai satu wadah penting untuk mendidik jiwa manusia menjadi insan yang soleh dan bertaqwa. Rasulullah SAW membuktikan masjid memainkan peranan penting dalam pembangunan insan kerana ia membina masjid sebaik tiba di Madinah semasa peristiwa hijrah. Pada zaman Rasulullah SAW, masjid merupakan pusat kegiatan

perbincangan, pendidikan, pentadbiran, penyatuan ummah, politik, masyarakat dan sebagainya. Bagi melengkapkan peranan masjid yang menjadi teras kekuatan Ummah ketika itu, Rasulullah SAW juga menjadikan masjid sebagai pusat pentadbiran (Abdul Razak, Mohd Khairil, & Ezry Fahmy, 2010)

Selain itu, Rasulullah SAW juga turut menjadikan masjid sebagai tempat menerima rombongan-rombongan yang datang menemui Baginda. Di sinilah tetamu -tetamu Rasulullah SAW di tempatkan dan bermalam. Daripada sinilah juga rombongan dihantar ke perkampungan kabilah - kabilah Arab di sekitar Madinah. Selain itu juga, golongan fakir miskin turut ditempatkan di suatu ruang dalam Masjid Nabawi sebagai bukti menunjukkan bahawa masjid juga turut berfungsi sebagai pusat kebajikan kepada umat Islam. Sejarah kegemilangan Islam telah membuktikan bahawa Masjid Quba merupakan bukti masjid sebagai institusi kegiatan intelektual, apabila Rasulullah SAW berdakwah secara langsung dan melakukan halaqah, kecuali para sahabat yang duduk di sekelilingnya melakukan soal jawab. Aktiviti sebegini diteruskan di Masjid Nabawi, Masjidil Haram, Masjid Kufah, Masjid Basrah dan lain-lain (Abdul Razak et al., 2010).

Di Malaysia, sejarah telah membuktikan bahawa masjid merupakan institusi penting dalam Kesultanan Melayu Melaka, di mana masjid dan surau merupakan pusat pengajian dan penyebaran agama Islam (Mohd Roslan dan Wan Mohd, 2011).

Catatan sejarah jelas menunjukkan bahawa masjid ini memainkan peranan penting dalam pembangunan manusia dan masyarakat serta dalam kegemilangan tamadun Islam itu sendiri. Oleh itu, dalam era moden ini, umat Islam harus mempromosikan

masjid sebagai alat untuk menyatupadukan umat Islam dan mengembalikan peranan masjid dalam semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Selain itu, semua pihak yang terlibat dalam pengurusan masjid perlu mempunyai pemikiran yang terbuka, kritis dan kreatif untuk merangka dan melaksanakan pelbagai program yang melahirkan umat Islam yang baik (Nik Daud, Mohd Helmi &

Rosmawati, 2014). Usaha menyeluruh untuk mempromosi dan menghidupkan semula projek masjid di seluruh negara perlu diperkasakan agar mendapat tempat di hati dan minda semua lapisan masyarakat. Kapasiti dan kepakaran jemaah boleh digerakkan bersama jawatankuasa masjid untuk kegunaan ahli kariah dan masyarakat setempat, seterusnya menjayakan usaha mengoptimumkan fungsi masjid.

Masjid merupakan institusi intelektual yang unggul bagi masyarakat Islam. Budaya intelektual ini perlu diperluaskan dengan mengadakan kursus agama serta program akademik lain seperti tuisyen akademik, kursus kemahiran komputer, kursus sains, matematik dan lain-lain kursus dari kanak-kanak hingga dewasa. Hal ini amat bertepatan dengan keperluan hidup masyarakat Islam masa kini khususnya bagi mereka yang berada di luar bandar dan jauh dari pusat kegiatan intelektual. Justeru, peranan masjid sebagai pusat ilmu perlu dioptimumkan untuk membangunkan masyarakat Islam. Perpustakaan dengan buku rujukan fardhu ain dan kifayah boleh diwujudkan di masjid. Ini bermakna rujukan di dalam masjid tidak terhad kepada kitab Al-Quran dan buku surah Yasin, tetapi juga sarat dengan pelbagai kitab-kitab agama. Sains sosial, ekonomi, politik dan lain-lain lagi.

Selain itu, masjid juga berfungsi sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran al-Quran (ulum al-al-Quran) dan hadis (ulum al-hadith). Kebanyakan masjid kini dijadikan pusat pengajian Al-Quran dan Hadis. Amalan ini hendaklah diteruskan, tetapi sebaiknya dengan menerangkan maksudnya atau menerangkan al-Quran kepada mereka supaya al-Quran dapat difahami dan diamalkan dengan baik. Begitu juga kefahaman hadith harus diajar melalui penggunaan kitab hadith secara konsisten (Mohd Norzi et al. 2016).

Sehubungan dengan itu, modul khas boleh dirangka mengikut tahap keupayaan individu dengan mempromosikan pengajaran dan pembelajaran Al-Quran dan Hadis di semua masjid di Malaysia. Usaha ini juga dapat mengurangkan masalah buta Al-Quran dalam masyarakat Islam. Menurut Ahmad Fakhrurrazi (2010), keseimbangan sukatan pelajaran bagi aktiviti pendidikan di masjid juga perlu dinilai dan disemak.

Pihak pengurusan masjid perlu memastikan mata pelajaran pendidikan dan sukatan pelajaran masjid mengandungi tiga elemen agama utama iaitu Iman, Islam dan Ihsan.

Selain itu, hala tuju pendidikan masjid juga perlu dipertingkatkan. Pendidikan di masjid, seperti pondok atau institusi pendidikan menggunakan buku rujukan yang diluluskan leh Jabatan Agama Islam. Selain itu, usaha untuk mengintegrasikan ilmu perlu dilakukan bagi memperkasakan lagi peranan institusi masjid. Dalam konteks ini, konsep pembelajaran di masjid seharusnya mempunyai semangat integrasi ilmu, di mana ilmu – ilmu Islam yang diajar di masjid perlu sentiasa dikaitkan dengan ilmu dan realiti semasa. Pada masa yang sama, ilmu semasa yang dibincangkan dalam paradigma pemikiran Islam juga dapat didedahkan kepada masyarakat. Oleh itu, bukan sahaja para Ustaz dan Ustazah yang perlu mengajar di masjid,tetapi juga

golongan profesional dan cendekiawan muslimin juga memainkan peranan (Abdul Halim & Mahfuzah, 2010).

Oleh itu, ianya dianggap sangat sesuai dengan masyarakat Islam abad ke-21, yang terdiri daripada latar belakang pendidikan dan kehidupan yang berbeza. Oleh itu, pendidikan masjid yang realistik dilihat sebagai faktor penting dalam membangunkan masyarakat Islam di Malaysia secara holistik.