• Tiada Hasil Ditemukan

MASYARAKAT LUAR BANDAR DI SABAH

In document E-Prosiding PERSEP II 2022 (halaman 30-40)

Ahmad Faisal Ahmad Fashil @ Ahmad Fazil1 Nor Amalina Mohd Hasarudin2

Siti Aisyah Rosli3

1 Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Sabah, Malaysia, (E-mail: faisal24-300@epembelajaran.edu.my)

2 Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Sabah, Malaysia, (E-mail: amalina24-313@epembelajaran.edu.my)

3 Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Sabah, Malaysia, (E-mail: aisyah24-319@epembelajaran.edu.my)

Abstrak: Pengajaran dan pembelajaran dalam talian menjadi salah satu kaedah pengajaran terkini yang diaplikasikan di seluruh dunia ketika menghadapi krisis Covid-19. Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sebagai satu medium pengajaran baharu kepada guru-guru dan murid-murid di sekolah rendah serta sekolah menengah di mana proses tersebut berlangsung di rumah secara dalam talian. Namun, pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPr) dilihat memberi kesan kepada segelintir golongan terutamanya terhadap penduduk kawasan pendalaman dan luar bandar khususnya di Sabah bagi mengikuti sesi pembelajaran dan pengajaran dengan baik. Penglibatan murid yang kurang aktif dalam talian menyebabkan kesukaran kepada penyampaian pembelajaran terutamanya pada subjek Tilawah Al-Quran.

Subjek Tilawah Al-Quran melibatkan proses mengenal huruf, membaca, mengenal hukum tajwid dan proses penghayatan Al-Quran yang memerlukan penglibatan aktif kedua-dua pihak iaitu guru dan murid. Pelbagai cabaran dihadapi oleh guru dan murid sewaktu pembelajaran dalam talian ini bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan baik dan mampu melahirkan insan yang celik Al-Quran. Oleh itu, kertas konsep ini dihasilkan bertujuan menelusuri kesan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) terhadap murid sekolah rendah dalam bidang Tilawah Al-Quran.

Kata Kunci: Kesan PDPR, Implikasi, Tilawah Al-Quran, Sekolah Rendah.

Pengenalan

Krisis pandemik Covid-19 telah memberi wajah baru kepada sistem pendidikan di Malaysia.

Pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 16 Mac 2020 berikutan peningkatan kes Covid-19 telah merubah landskap pendidikan di Malaysia secara langsung daripada pendidikan secara bersemuka kepada sistem pendidikan atas talian yang berteraskan literasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara atas talian merupakan suatu inisiatif bagi menjamin kehadiran dan penglibatan murid dalam kelas sepanjang PKP dilaksanakan. Perubahan ini memberikan impak kepada pengajaran dan pembelajaran al-Quran murid sekolah rendah (Hamdi Ishak, Siti Fatimah Mohd Maiyurid & Sabri Mohamad, 2021).

Tilawah al-Quran adalah salah satu pengajaran yang perlu diajar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam kerana al-Quran merupakan elemen teras dalam sistem pendidikan di Malaysia sejak Islam mula tersebar di Malaysia. Berdasarkan Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961, subjek Pendidikan Islam wajib diajar di semua sekolah sekiranya terdapat sekurang-kurangnya 15 orang murid beragama Islam di sekolah

22 tersebut. Guru Pendidikan Islam berperanan membentuk murid agar dapat menguasai Tilawah al-Quran dengan tartil dan berkesan. Kepelbagaian kaedah seperti Talaqqi Musyafahah merupakan pemangkin kepada pembentukan generasi al-Quran yang alim, soleh dan musleh.

Al-Quran merupakan kitab suci yang menjadi pedoman dan petunjuk kepada manusia.

Justeru itu, al-Quran perlulah sering dibaca, tadabbur, ditelaah, dikaji dan diimplementasikan dalam kehidupan. Salah satu inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh guru bagi memastikan seseorang murid akrab dan sering berdamping dengan Quran adalah melalui pembacaan al-Quran dan pembelajaran tajwid. Proses pengajaran Tilawah al-al-Quran amat penting kerana murid sekolah rendah merupakan aset negara yang perlu digilap kemampuan akademik, rohani dan spiritualnya agar mampu berbakti kepada negara pada masa akan datang. Justeru itu, PdPR Tilawah al-Quran membantu murid mempelajari kemahiran membaca al-Quran. Saidina Uthman bin Affan berkata:

ْرُقلا َمَّلَعَت ْنَم ْمُكُرْيَخ ُهَمَّلَع َو َنآ

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”.

[Riwayat al-Bukhari (5027)]

Hadis tersebut jelas menunjukkan Allah SWT menyukai hamba-Nya yang melazimi al-Quran dalam kehidupan seharian. Sehubungan dengan itu, PdPR dilaksanakan bagi memastikan tiada murid yang tercicir dalam pembelajaran mereka termasuklah Pendidikan Islam. Kajian ini akan merungkai implikasi pelaksanaan PdPR pengajaran al-Quran dalam kalangan masyarakat luar bandar di Sabah menggunakan data-data daripada kajian yang telah dilakukan dan berita-berita semasa.

Masyarakat luar bandar di Sabah merujuk kepada sebuah masyarakat yang hidup di kawasan yang kurang mendapat kemajuan berbanding kawasan bandar. Data daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Negeri Sabah (2010) menyatakan bahawa terdapat 21 buah bandar kecil di Sabah iaitu Kunak, Kota Kinabatangan, Ranau, Kundasang, Beluran, Kota Belud, Tuaran, Penampang, Kinarut, Papar, Kudat, Kota Marudu, Sipitang, Tenom, Keningau, Tambunan, Pitas, Nabawan, Kuala Penyu, Semporna dan Beaufort (Syivero Patrick & Ubong Imang, 2016). Pendidikan di Malaysia sentiasa memberikan peluang sama rata terhadap semua masyarakat tanpa mengira kawasan atau wilayah setempat. Hasrat tersebut seiring dengan fokus Menteri Pembangunan Luar Bandar ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang ingin meningkatkan taraf pendidikan luar bandar Sabah supaya masyarakat di sana mendapat lebih banyak peluang pendidikan dan kemudahan seperti di kawasan bandar (Berita Harian, 2021).

Definisi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)

Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermaksud proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan di rumah, pusat komuniti atau mana-mana lokasi yang bersesuaian tanpa bersemuka dalam bilik darjah. Proses pengajaran dan pembelajaran ini dapat dilaksanakan secara dalam talian, luar talian atau secara off-site dengan berstruktur dan terancang (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2020). Kepelbagaian mod pengajaran dan pembelajaran ini dapat membantu guru dan murid melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik. Beberapa aspek perlu dilihat dalam pemilihan mod pengajaran yang sesuai. Sebagai contoh, mod pengajaran dan pembelajaran dalam talian boleh dilaksanakan apabila terdapat capaian internet yang baik dan murid mempunyai peranti yang membolehkan murid mengikuti kelas dalam talian. Antara pelantar pembelajaran yang boleh digunakan dalam

23 mod pengajaran dalam talian ini adalah seperti Digital Educational Learning Initiative (DELIMa), Google Meet, Microsoft Teams, eBuku, rakaman dan sebagainya.

Namun terdapat kekangan dalam mod pengajaran dalam talian ini apabila murid menghadapi masalah peranti dan talian internet yang lemah menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti pengajian dengan baik. Ini jelas dapat dilihat pada murid-murid yang berada di kawasan luar bandar kerana capaian internet yang lemah serta kekurangan peranti yang sesuai.

Pedagogi Pengajaran Tilawah Al-Quran

Pedagogi membawa maksud prinsip atau kaedah mengajar yang digunakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Guru perlu mengetahui pelbagai kaedah pengajaran bagi memastikan murid dapat menguasai kemahiran-kemahiran dan pengetahuan dengan lancar. Slavin (1995) dalam Noor Lela Ahmad & Nur Afrina Haziqah Azman (2020) menyatakan bahawa terdapat empat faktor yang mendorong kepada keberkesanan pengajaran guru iaitu pemilihan kaedah pengajaran, aras pengajaran bersesuaian dengan kemampuan pelajar, mewujudkan insentif pengajaran dan masa yang diperuntukkan untuk mengajar.

Kaedah pengajaran Tilawah al-Quran yang sering digunakan oleh guru adalah kaedah Talaqqi Musyafahah, Tasmik dan Tikrar. Guru boleh melaksanakan pengajaran menggunakan kaedah yang bersesuaian dengan tahap pemahaman murid. Selain itu, Hamdi Ishak, Siti Fatimah Mohd Maiyurid & Sabri Mohamad (2021) menyebutkan bahawa guru juga boleh menggunakan insentif sama ada berbentuk material atau pujian dalam pengajaran Tilawah al-Quran bagi meningkatkan motivasi dan semangat dalam diri murid. Kaedah tersebut telah disebutkan dalam Teori Pembelajaran Behaviorisme yang menyatakan bahawa peneguhan positif mampu membangkitkan tingkah laku yang diingini dan mampu mengawal sikap murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, 2017).

Pengajaran Tilawah Al-Quran Semasa Pandemik Covid-19

Pengajaran Tilawah al-Quran semasa pandemik agak sukar untuk dilaksanakan memandangkan pengajaran kebiasaannya memerlukan penglibatan guru dan murid secara berhadapan namun perlu diteruskan untuk mengelakkan berlakunya keciciran dalam pengajaran al-Quran di kalangan murid sekolah rendah. Hal ini amat penting bagi merealisasikan matlamat utama bidang Ulum Quran iaitu melahirkan generasi yang celik al-Quran seawal umur 7 tahun. Justeru itu, guru Pendidikan Islam hendaklah lebih kreatif dalam merancang proses PdPR bagi pengajaran Tilawah al-Quran dalam kalangan murid sekolah rendah terutamanya masyarakat luar bandar di Sabah. Oleh itu, antara inisiatif guru bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam pengajaran Tilawah al-Quran adalah mewujudkan komunikasi dua hala melalui teknologi menggunakan medium seperti rakaman video bacaan potongan ayat tilawah, aplikasi Google Meet, Zoom, Google Classroom dan lain-lain (Nor Asmah Abdullah & Muhammad Syawal Amran, 2021). Aplikasi tersebut wajar dimanfaatkan supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih efektif (Ainul Afzan Ramli & Ishak Abd Rahman, 2021). Setiap usaha yang dilaksanakan bertujuan untuk memastikan pengajaran Tilawah al-Quran dapat dijalankan dengan baik walaupun secara atas talian.

24 Implikasi PdPR Tilawah Al-Quran Terhadap Masyarakat Luar Bandar di Sabah Pandemik Covid-19 merupakan satu cabaran yang besar dan memberikan kesan terhadap sistem pendidikan dan kaedah pengajaran terutamanya terhadap guru dan murid. Tambahan pula, mata pelajaran Pendidikan Islam terutamanya bidang Tilawah al-Quran perlu dilaksanakan secara bersemuka menggunakan kaedah Talaqqi Musyafahah bagi mendapatkan hasil yang terbaik lebih-lebih lagi terhadap masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Oleh itu, para guru perlu berusaha sebaik mungkin bagi melaksanakannya secara atas talian melalui aplikasi-aplikasi yang mudah dan bersesuaian dengan kedua-dua pihak guru dan murid (Ashraf Ismail, Khazri Osman, & Nurul Hudaa Hassan, 2020). Terdapat sembilan implikasi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) Tilawah al-Quran terhadap masyarakat luar bandar di Sabah yang akan dibincangkan dalam penulisan ini. Secara umumnya, implikasi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) boleh dibahagikan kepada implikasi positif dan negatif.

Implikasi positif

Implikasi yang pertama adalah proses pengajaran menjadi lebih fleksibel bersesuaian dengan aspirasi yang telah digariskan oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu mempelopori penggunaan teknologi yang bersesuaian dan keupayaan digital untuk memacu agenda pendidikan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2019). Kaedah pembelajaran di rumah yang perlu dilaksanakan secara atas talian memerlukan murid dan guru untuk menguasai kemahiran teknologi seperti penggunaan aplikasi Google Meet dan Google Classroom. Selain itu, guru dan murid juga boleh memanfaatkan aplikasi Youtube, panggilan suara (voice call) dan video untuk dijadikan medium pengajaran Tilawah al-Quran sebagai satu inisiatif baharu.

Menurut Zuhaira Laily & Kusuma (2015), pendekatan pembelajaran dalam talian ini menjadi lebih bermakna apabila dilaksanakan semasa tempoh pandemik Covid-19 kerana penggunaan teknologi semakin dipelbagaikan dan lebih menarik. Kaedah tersebut membuktikan bahawa mempelajari Tilawah al-Quran adalah fleksibel kerana dapat dilaksanakan secara bersemuka atau secara atas talian di mana-mana sahaja.

Implikasi kedua adalah meningkatkan penguasaan dan kemahiran teknologi murid melalui kaedah Home-Based Learning iaitu mendidik murid untuk belajar mandiri kerana tiada bimbingan secara langsung daripada guru. Murid juga dapat meningkatkan penguasaan pembelajaran teknologi dan bukan sekadar pandai bermain permainan mudah alih di telefon pintar. Nor Hidayati Mokhtar (2020) menyatakan bahawa pembelajaran sepanjang hayat (Lifelong Learning) dengan pembelajaran secara dalam talian boleh menghasilkan individu yang mempunyai kemahiran. Secara tidak langsung, PdPR juga membuka minda ibu bapa untuk meneroka dunia teknologi bagi membantu anak-anak mereka belajar di rumah dengan baik (Aqilah Mior Kamarulbaid, 2021). Tilawah al-Quran pula merupakan mata pelajaran yang tidak memerlukan penggunaan aplikasi yang rumit, malah asas untuk pengajaran hanyalah rakaman audio dan video atau panggilan video dan audio sahaja. Namun, cara tersebut mungkin menyebabkan pengajaran menjadi bosan dan tidak menarik sekiranya kerap dilaksanakan. Oleh itu, guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran tilawah seperti menggunakan YouTube, Google Meet dan LiveWorkSheet supaya PdP lebih menyeronokkan serta dapat meningkatkan penguasaan murid dalam kemahiran teknologi.

Implikasi seterusnya adalah murid di kawasan luar bandar Sabah berpeluang menikmati kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) yang ditambah baik secara berperingkat. Cabaran pendidikan setelah Covid-19 melanda menyebabkan kerajaan

25 membangunkan pusat internet desa bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia dapat menggunakan kemudahan internet terutamanya bagi tujuan pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman. Walau bagaimanapun, hanya terdapat tiga pusat internet desa di Sabah iaitu di Kota Marudu, Tenom dan Kota Belud yang akan diperluaskan lagi untuk menampung keperluan masyarakat luar bandar bagi menyelesaikan masalah pembelajaran secara atas talian (Shamsul Arieya Ariffin, 2020).

Inisiatif tersebut sejajar dengan Pelan Jalinan Digital Negara yang menjadi teras dalam merealisasikan aspirasi digital seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama menjelang 2030 (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, 2022). Inisiatif lain yang dilaksanakan oleh kerajaan agar murid di kawasan luar bandar dapat meneruskan pembelajaran di rumah dengan baik adalah melalui program DidikTV. Antara solusi kerajaan berkenaan masalah capaian internet di kalangan pelajar adalah dengan melaksanakan Pelan Jendela Malaysia untuk menguji tahap keberkesanan internet terhadap sistem pendidikan sekaligus mengurangkan jurang perbezaan capaian internet antara bandar dan luar bandar (Nur Syazwani Pasaran, 2021). Oleh itu, semua murid di kawasan luar bandar Sabah juga dapat menggunakan kemudahan internet ketika PdPR berlangsung hasil inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Implikasi keempat adalah mengurangkan kos pendidikan bagi murid sekolah luar bandar di Sabah. Hal ini demikian kerana perbelanjaan berkaitan pendidikan seperti kos makanan, pengangkutan ke sekolah, buku-buku latihan dan sebagainya dapat dijimatkan.

Murid juga tidak memerlukan duit poket tambahan untuk membeli bahan rujukan seperti buku aktiviti dan nota kerana bahan-bahan rujukan boleh didapati secara atas talian oleh guru subjek berkenaan. Hal ini demikian kerana pelaksanaan PdPR telah mengembangkan kemahiran guru dalam menghasilkan bahan bantu mengajar digital seperti ‘hipermedia’ dan ‘multimedia’ (Nor Saadah Azahari & Nik Mohd Rahimi, 2022).

Guru Pendidikan Islam cenderung memberikan tugasan dan nota pembelajaran dalam bentuk digital kepada murid bagi memudahkan proses PdPR sepanjang perintah kawalan pergerakan. Lanjutan hal tersebut, murid dapat menjimatkan wang daripada membeli buku nota atau latihan tambahan. Murid juga dapat fokus kepada video, nota dan latihan interaktif yang diberikan guru seperti video bacaan surah, nota flipbook, Quizizz dan Wordwall. Tegasnya, pelaksanaan PdPR membantu murid luar bandar mencapai proses belajar menggunakan pendekatan yang ideal agar pembelajaran yang bermakna dapat dicapai.

Akhir sekali, pelaksanaan proses pengajaran Tilawah al-Quran melalui kaedah PdPR merupakan alternatif terbaik dalam mewujudkan suasana PdP yang menyeronokkan dan mudah difahami oleh murid. Pelaksanaan tilawah secara PdPR menggunakan platform seperti Google Classroom, Whatsapp, Powtoon, Canva dan sebagainya amat penting dalam usaha menjamin keberkesanan pengajaran al-Quran secara atas talian. Dr Fahmi Abdul Rahim (2021) menekankan manfaat bahan pengajaran yang efektif merangkumi pelbagai kaedah dan platform termasuklah realiti visual dan realiti terimbuh (AR) adalah sejajar dengan hasrat KPM untuk mendukung agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030. Kesannya, murid dapat menyesuaikan diri dengan amalan pembelajaran teradun secara maksima dengan pengantaraan teknologi, maklumat dan multimedia (Nor Saadah Azahari & Nik Mohd Rahimi, 2022). Proses PdPR yang berintegrasikan teknologi maklumat sangat relevan dengan PPPM supaya strategi pembelajaran menjadi lebih efektif dan luas (Faizatul & Shahiliah, 2017; M.

Azli, K.T Wong & Noraini, 2016). Jelaslah, pelaksanaan PdPR dapat membantu murid menerima maklumat dengan jelas dan teratur dalam suasana yang menyeronokkan. Pemilihan kaedah PdPR Tilawah al-Quran yang berkualiti dapat membantu murid memahami dan meningkatkan minat serta motivasi terhadap pembelajaran al-Quran.

26 Implikasi negatif

Implikasi negatif yang pertama adalah pengajaran dan pembelajaran di rumah kurang berkesan untuk semua murid disebabkan oleh jurang digital. Di Sabah, tidak semua kawasan mempunyai liputan internet dan kemudahan teknologi yang baik terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah. Dalam Sidang Parlimen ke-14 yang diadakan pada 21 September 2021, Ahli Parlimen Kalabakan iaitu Ma’mun Sulaiman menyatakan bahawa liputan internet di Sabah terutamanya kawasan luar bandar berada pada kadar 30 peratus sahaja menyebabkan penyertaan murid dalam mod PdPR amat rendah (Nurhidayah Hairom & Muhammad Amnan Hibrahim, 2021). Berdasarkan artikel tersebut, pelaksanaan PdPR dalam kalangan murid pribumi di Sabah adalah kurang berkesan kerana wujudnya kekangan dari aspek teknologi, talian internet dan ekonomi hingga menyebabkan ramai murid tercicir. Faktor yang menyebabkan murid tercicir adalah tahap sosioekonomi keluarga mereka mempengaruhi penglibatan murid dalam PdPR. Majoriti murid yang tinggal di luar bandar berasal daripada keluarga yang berstatus sosioekonomi yang rendah. Kesimpulannya, PdPR turut memberikan kesan negatif terhadap murid di kawasan pedalaman Sabah menjadi semakin ketinggalan dalam pengajaran terutamanya pengajaran tilawah al Quran yang penting untuk kemenjadian diri seorang muslim.

Selain itu, kurangnya motivasi murid menyebabkan mereka tidak mahu melibatkan diri dalam sesi PdPR. Dalam pengajaran Tilawah al-Quran, elemen teknologi yang biasa diterapkan di sekolah hanya sebatas tayangan video menggunakan projektor dan televisyen sahaja.

Kebanyakan murid sekolah rendah di kawasan luar bandar Sabah masih belum mahir menggunakan aplikasi digital dan teknologi secara sendiri lebih-lebih lagi tidak semua keluarga di kawasan tersebut mampu membelikan anak-anak mereka peranti pintar. Oleh itu, bagi menjayakan pengajaran atas talian, sokongan daripada ibu bapa sangat diperlukan.

Nur Izzati Hazwani (2021) menyatakan bahawa kehadiran kelas secara virtual (maya) membuatkan murid-murid kurang fokus ditambah lagi dengan suasana persekitaran yang tidak memberangsangkan kerana kurangnya sokongan daripada ibu bapa, capaian internet yang lemah dan kekurangan gajet untuk digunakan. Kenyataan ini disokong oleh Mahizer Hamzah (Berita Harian, 2020) yang menyatakan faktor penyumbang kepada hilang tumpuan murid-murid ialah persekitaran rumah yang tidak sesuai, bahan pembelajaran tidak menarik, masalah capaian internet, kurangnya peralatan teknologi yang canggih serta kurangnya sokongan daripada ibu bapa. Oleh itu, pengajaran Tilawah al-Quran di rumah terhadap masyarakat pribumi di pedalaman Sabah turut memberikan implikasi yang negatif terhadap pencapaian murid.

Seterusnya, kesan PdPR tilawah al-Quran terhadap murid di kawasan luar bandar Sabah adalah sikap malas semakin berleluasa menyebabkan murid gagal menguasai asas tilawah al Quran seperti hukum tajwid dan makhraj huruf. Faktor-faktor seperti kekangan teknologi dan internet akhirnya menimbulkan satu stigma dalam kalangan murid yang beranggapan bahawa PdPR tidak begitu penting. Malah, suasana di rumah yang berbeza dengan keadaan di sekolah menjadikan murid kurang fokus dan ada dalam kalangan mereka justeru melayari internet dan bermain permainan video pada masa yang sama (Mohd Haziqi Hilmi & Muhammad Hakimi Shafiai, 2022).Tambahan pula, guru tidak dapat memaksa murid untuk menyertai PdPR kerana halangan-halangan tertentu. Kurangnya bimbingan dan pemantauan daripada guru menyebabkan murid memandang remeh terhadap pembelajaran secara atas talian menyebabkan mereka merasa bebas untuk melaksanakan tugasan yang diberi atau tidak. Oleh itu, satu mekanisme perlu dicari untuk mengelakkan murid daripada terus pasif di rumah dan tidak memasuki kelas PdPR tanpa rasa bersalah.

27 Implikasi yang terakhir adalah kesihatan mental murid semakin terjejas disebabkan tekanan perasaan, ketakutan, cemas, bimbang dan kemurungan sepanjang PdPR berlangsung.

Ramai murid berpotensi mengalami hal sedemikian kerana PdPR merupakan perkara baharu yang perlu mereka hadapi dan pelbagai cabaran menanti mereka seperti tidak dapat bertemu kawan, perlu menguasai teknologi dan belajar tanpa bantuan guru (Zhooriyati Sehu Mohamad, 2021). Dr Mimi Fitriana Zain, pakar psikologi klinikal International University of Malaya-Wales menyatakan bahawa apabila seseorang tidak dapat menyeimbangkan penggunaan komputer, mereka tidak dapat melihat fenomena pembelajaran itu sebagai sesuatu yang positif (Raja Nur Faznie Aida, 2020). Ketidakseimbangan tersebut akhirnya telah menyumbang kepada ketidakstabilan emosi dan tekanan terhadap murid-murid. Ini bertepatan dengan data laporan tahunan Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu terdapat 465 kes cubaan bunuh diri antara Januari sehingga Jun 2020 (Adham Baba, 2020). National Health and Morbidity Survey (NHMS 2019) juga mendapati bahawa sebanyak 424,000 kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental (Bernama, 2020).

Rumusannya, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah sememangnya memberikan pelbagai dampak positif dan negatif terhadap murid, guru serta masyarakat di seluruh Malaysia.

Lantaran itu, kaedah pengajaran dan pembelajaran sama ada secara atas talian atau bersemuka perlu sentiasa diberi perhatian yang serius supaya para pelajar dapat meningkatkan daya saing mereka seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan individu yang berpotensi secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Kesimpulan

Konklusinya, PdPR Tilawah al- Quran telah memberikan pelbagai impak positif dan negatif terhadap murid di kawasan luar bandar Sabah. Namun pengajaran al-Quran masih perlu diteruskan kerana pembelajaran al-Quran sangat penting dan merupakan teras kepada pembentukan modal insan yang seimbang jasmani dan rohani. Oleh itu, guru Pendidikan Islam perlulah kreatif dalam merancang PdPR serta memahami pengurusan pengajaran atas talian dan menambah kemahiran TMK supaya proses pelaksanaan PdPR Tilawah al-Quran menjadi lebih efektif dan memberikan impak positif kepada murid (Mohd Haziqi Hilmi et al, 2022).

Tuntasnya, sistem pengajaran Tilawah al Quran secara atas talian menjadikan murid-murid lebih fleksibel serta mampu meningkatkan kualiti penguasaan Tilawah al-Quran.

Rujukan

Al Quran Karim.

Abdul Rahim Abd. Jalil, & Mohd Zulkifli Muhammad. (2021). Perbezaan Cabaran Pdpr Dan Pembelajaran Di Sekolah Serta Kesannya Terhadap Pembinaan Karakter Kanak-Kanak. In Paradigma Sosial 2021 (86-91). Institut Sosial Malaysia.

Adham Baba. (2022). 465 kes cuba bunuh diri dalam tempoh enam bulan. Petaling Jaya:

Sinarharian.

Ahmad Fadhullah Adnan. (2021). 21,316 murid berhenti sekolah: Segera lakukan Pelan Pemulihan Pendidikan. Petaling Jaya: Utusan Malaysia.

Ainul Afzan Ramli, Ishak Abd Rahman. (2021). Isu dan Cabaran dalam Pelaksanaan Pendidikan Peringkat Rendah dan Menengah: Pendekatan Malaysia Semasa

28 Pandemik Covid-19. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities(MJSSH), 1-13.

Aqilah Mior Kamarulbaid. (2021). PKP tingkat penguasaan ICT pelajar, komuniti. Utusan Malaysia.

Ashraf Ismail, Khazri Osman, Nurul Hudaa Hassan. (2020). Cabaran Pengajaran dan Pembelajaran Tasmik Hafazan Al Quran Secara Atas Talian Sewaktu Pandemik Covid-19. Bicara Dakwah Kali Ke 21: Dakwah Dalam Talian Semasa Pandemik, 110-116.

Bahariah Ab Rahman, Azmil Hashim, & Hamdi Ishak. (2021). Medium komunikasi guru pendidikan islam dalam pengajaran dan pemudahcaraan tilawah Al Quran Program Pendidikan Khas Integrasi. International Journal Education, Phychology and Counseling, 110-125.

Bernama. (2020). Survey finds almost half a million Malaysians experience symptoms of depression. Diakses daripada astro awani: https://www.astroawani.com/berita- malaysia/survey-finds-almost-half-million-malaysians-experience-symptoms-depression-262944

Carroll, J. (1963). A model of school learning. Teacher College Record, 64, 723-73.

Fahmi Abdul Rahim. (2021). Bahan pengajaran efektif pastikan keberkesanan PdPR. Berita Harian.

Faizatul Hafilah Abdul Halim, & Nor Shahilian Aris. (2017). Persepsi Pelajar Terhadap Pembelajaran Teradun (Blended Learning). Journal Of Technical And Vocational Education. Volume 1, NO. 2, 53-63.

Hamdi Ishak, Siti Fatimah Mohd Maiyurid, & Sabri Mohamad. (2021). Pengajaran Tilawah Al Quran Murid Sekolah Rendah Secara Maya Semasa Pandemik Covid 19. Tinta Artikulasi Membina Ummah, 50-57.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). (2020, November 8). Pemakluman Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR). Diakses daripada Kementerian Pendidikan: https://www.moe.gov.my/covid-19/pengumuman/pemakluman-pdpr Kementerian Pendidikan Malaysia. (2019). Ringkasan Eksekutif Pelan Transformasi ICT

Kementerian Pendidikan Malaysia 2019-2023. KPM.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2020). Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah.

Mahdzir Khalid. (2021). Pendidikan teras KPLB ubah kehidupan luar bandar. Berita Harian.

Mahizer Hamzah. (2020). Sedia hadapi kelas maya sesuai normal baharu. Berita Harian.

Diakses daripada

https://origin.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/679003/sedia-hadapi-kelas-maya-sesuai-normal-baharu

Mohd Haziqi Hilmi, & Muhammad Hakimi Shafiai. (2022). Cabaran Pengajaran dan

Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam Keberkesanan Penyampaian Pendidikan dalam Pembentukan Modal Insan. Jurnal Dunia Pendidikan, 4(2), 231-239.

Mohd Syakir bin Moktar, & Mohd Farid bin Mohd Sharif. (2021). Kaedah Talaqqi

Musyafahah dalam Tilawah Al Quran. Jurnal Pusat Penataran Ilmu & Bahasa, 153 - 174.

Muhammad Syafiq Ismail. (2022). Tadabbur al-Quran menurut Sidi Zarruq (w. 899H) di dalam al-Nasihah al-Kafiyah. TURATH JOURNAL OF QURAN AND AL-SUNNAH, 7(1), 73-79.

Noor Leela Ahmad, & Nur Afrina Haziqah Azman. (2020). Tahap Amalan Pengajaran Berkesan Guru Prinsip Perakaunan Berasaskan Model Slavin. Jurnal Pendidikan Malaysia, 53-62.

29 Nor Saadah Azahari, & Nik Mohd Rahimi. (2022). Amalan Pembelajaran Teradun sebagai

Satu Pendekatan Pembelajaran Norma Baharu. Jurnal Dunia Pendidikan, 186-196.

Nor Asmah Abdullah, Muhammad Syawal Amran. (2021). Perspektif Guru Terhadap Penglibatan Murid Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Secara Atas Talian Semasa Pandemik Covid-19 Di Malaysia. International Journal of Advanced Research in IslamicStudies and Education (ARISE) 5(1), 32-38.

Nor Hidayati Mokhtar . (2020). Pembelajaran Atas Talian Untuk Pembelajaran Sepanjang Hayat. UtmNewsHub.

Norfiza Apfandi, Nurul Hafizah Marof, Nor Syamilah Md Zain, Nurul Suzaina Joli, &

Rorlinda Yusof. (2021). Kajian Amalan Penggunaan Medium Atas oleh Pelajar Bagi Proses Pembelajaran di Rumah. Jurnal Dunia Pendidikan, 285-295.

Noriati A. Rashid, B., Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, & Zuraidah A. Majid. (2017). Budaya dan Pembelajaran. Selangor: Oxford Fajar Sdn Bhd.

Nur Adibah Liyana Awi, & Hafizah Zulkifli. (2021). Amalan Kreativiti Guru Pendidikan Islam dalam Pembelajaran Abad ke 21. ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization (ACER J), 40-54.

Nur Hanisah Ahmad Saifudin, & Mohd Isa Hamzah. (2021). Cabaran Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) Dalam Talian Dengan Murid Sekolah Rendah.

Jurnal Dunia Pendidikan, 250-264.

Nur Hasliza Mohd Salleh. (2020). Pandemik Covid-19 Sebabkan Murid Prasekolah Mungkin Buta Huruf Sebelum Masuk Alam Persekolahan. Malaysia Now.

Nur Izzati Hazwani Abdul Hadi. (2021). Cabaran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) Terhadap Para Pendidik. Diakses daripada jejaktarbiah:

https://www.jejaktarbiah.com/cabaran-pengajaran-dan-pembelajaran-di-rumah-pdpr-terhadap-para-pendidik/

Nur Syazwani binti Pasaran. (2021). Masalah internet di kampung halaman, pelajar kembali ke kampus. Diakses daripada ASTiF UMS: https://demisabah.com/masalah-internet-di-kampung-halaman-pelajar-kembali-ke-kampus/

Nurhidayah Hairom, & Muhammad Amnan Hibrahim. (2021). Penyertaan, keberkesanan PdPR di Sabah membimbangkan. Sinar Harian.

Raja Nur Faznie Aida. (2020). Pembelajaran online boleh beri kesan kesihatan mental. Shah Alam: Sinarharian.

Rosalinda Hashim. (2021). Belajar 'online' terlalu lama beri kesan prestasi pelajar. Alor Setar: Sinarharian.

Slavin , R. E. (1995). A model of effective instruction. The Educational Forum 59 (2), 166-176.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia . (2022). MCMC Perluas Capaian Internet Di Kawasan Pedalaman. Diakses daripada Official Portal Ministry of Communications and Multimedia Malaysia:

https://www.kkmm.gov.my/en/public/news/18743-mcmc-perluas-capaian-internet-di-kawasan-pedalaman

Syamsul Arrieya Ariffin. (2020). Perkasa pusat internet desa. Berita Harian.

Syivero Patrick, & Ubong Imang. (2016). Pembangunan Bandar Kecil di Sabah: Isu dan Cabaran. Geografi Vol. (4), No. (2), 65-82. Diakses daripada

file:///C:/Users/User/Downloads/Telegram%20Desktop/1936-Article%20Text-3230-1-10-20190416.pdf

Zhooriyati Sehu Mohamad. (2021). Memahami tekanan perasaan dalam kalangan pelajar.

Berita Harian.

30 Zuhaira Laily Kusuma, & Subkhan. (2015). Pengaruh Motivasi Belajar dan Kedisiplinan

Belajar terhadap Prestasi Belajar Mata Pelajaran Akuntansi Siswa Kelas XI IPS SMA N 3 Pati Tahun Pelajaran 2013/2014. Economic Education Analysis Journal: 4(1), 164-171.

31

PENDEKATAN STRATEGI PEMULIHAN (TURNAROUND

In document E-Prosiding PERSEP II 2022 (halaman 30-40)