• Tiada Hasil Ditemukan

Modifikasi dalam Memoir Seorang Guru

In document NOVEL-NOVEL TERPILIH AZIZI HAJI ABDULLAH: (halaman 193-200)

BAB 5: PENGANALISISAN MODIFIKASI

5.3 Modifikasi dalam Memoir Seorang Guru

Dalam novel Memoir Seorang Guru ini juga, pengkaji mendapati adanya prinsip modifikasi yang dilakukan oleh pengarang berdasarkan teks asal pengarang itu sendiri.

Salah satu daripada teks asal pengarang dapat ditemukan dalam bab 3 yang bertajuk

“Imbasan”. Pengarang telah memasukkan teks ini dengan tujuan untuk bercerita kepada anaknya akan sikap murid-murid yang malas untuk belajar sebaliknya lebih gemar memikat burung di hutan. Kesan daripada itu maka watak yang diwakili oleh Mat telah menerima nasib yang buruk kerana sewaktu hendak mendapatkan anak burung pipit hitam pada sebatang pokok pinang, tiba-tiba batang pokok pinang itu merekah lalu tersungkap dan tersula dengan selumbar tercacak tajam.

Kehadiran ibu bapa Mat, Can yang merupakan sahabat Mat, penghulu kampung dan orang-orang kampung di tempat kejadian tidak dapat mengubah keadaan kerana tiada seorang pun yang boleh memanjat pokok pinang tersebut yang boleh patah bila-bila masa sahaja. Maka dalam episod yang menyayat hati ini, kita dapat lihat bagaimana seorang bapa yang bulat tekadnya untuk segera menamatkan penderitaan si anak manakala si ibu pula cuba untuk menghalang niat gila suaminya yang mahu menamatkan penderitaan anaknya dengan cara menembak anaknya sendiri. Hal ini dapat diteliti melalui petikan di bawah ini:

“Jangannnnn! Mati anak akuuuu!” Mak Mat menghalang.

(“Tersungkap”, 1977:80)

Daripada teks asal pengarang, dikesani berlakunya modifikasi yang dilakukan oleh pengarang. Berikut merupakan petikan yang dirujuk dan telah dilakukan ubahsuai oleh pengarang:

“Tolonglah, tuk...tembak saja,” rayu bapa Mat lagi. Rayuannya sungguh-sungguh. Bahu tuk penghulu digoncang-goncang, meminta simpati.

“Jangan! Mati anak kita tu bang!” emak Mat menghalang.

(MSG,2007:40)

Ternyata penambahan frasa bersifat menimbulkan kesan yang menyentuh hati pembaca yang simpati dengan keadaan yang menimpa keluarga yang malang tersebut.

Pengarang menambahkan frasa ayat yang berbunyi, Bahu tuk penghulu digoncang-goncang menunjukkan bahawa bapa benar-benar merayu supaya tuk penghulu bersetuju dengan rancangannya untuk menamatkan penderitaan anaknya itu dengan cara menembak sedangkan dalam teks asal frasa tersebut tidak dimasukkan. Begitu juga halnya dengan frasa “Mati anak akuuuu” telah ditambah menjadi Mati anak kita tu bang! telah dimodifikasi daripada teks asal bertujuan menyedarkan bapa Mat bahawa nyawa yang dipertaruhkan itu bukan anak emak Mat sahaja tetapi anak mereka bersama supaya bapa Mat berfikir kembali akan keputusannya yang tidak masuk akal itu.

Manakala frasa yang berbunyi “kainnya hampir terlondeh” telah ditiadakan dalam teks baharu.

Melalui cerpen “Mohd Dhuha” (Oktober 1993) turut menjadi hipogram kepada novel Memoir Seorang Guru (2007) oleh Azizi Hj Abdullah. Sekali lagi kebencian seorang guru terhadap muridnya dizahirkan dalam karya beliau. Dhuha merupakan seorang watak murid yang dibenci oleh gurunya kerana selekeh, bodoh dan tidak menunjukkan minat untuk belajar. Mohd Dhuha yang sering ponteng kelas pada sebelah pagi dalam diam-diam telah mengikut ustaznya menunaikan solat dhuha.

Kebencian dan rasa muak ustaz terhadap Mohd Dhuha ditunjukkan melalui ungkapan-ungkapan tengkingan seperti bahlul, bongok dan bodoh. Hal ini boleh dilihat melalui petikan di bawah ini:

“Bodoh!”

Dengan bahasa matanya kelihatan meminta aku mengulangi.

“Bahlul!”

Mohd Dhuha berdiri megah menunggu kata-kataku selanjutnya.

“Bongok! Nak jadi apa, ha?”

Mohd Dhuha tetap berdiri sebagai murid yang sangat sedia menerima hukuman.

“Sekali lagi saya dapat tahu kamu main air di surau, saya hentam dengan pembaris!”

(“Mohd. Dhuha” 259-260)

Namun demikian perkataan-perkataan negatif yang diucapkan telah berlaku pengubahsuaian dalam hiperteks yang dihasilkan setelah 14 tahun kelahiran cerpen tersebut. Tiada lagi kata-kata yang bersifat menghina dan mencaci golongan pelajar digunakan. Hal ini dapat dilihat melalui petikan dialog di bawah ini:

Dia tetap berdiri gagah sebagai murid yang sangat setia menerima hukuman. Dia tetap berdiri dengan gagah sebagai murid yang sangat setia menerima hukuman.

“Sekali lagi saya dapat tahu awak main air di surau, saya rotan dengan pembaris. Ingat!”

(MSG, 2007:187) Seterusnya, dalam konteks memperlihatkan hubungan intertekstual dalam kepengarangan Azizi Hj Abdullah ini sendiri, diperlihatkan secara khusus bagaimana hubungan novel Memoir Seorang Guru (2007) dengan cerpen awalnya yang berjudul

“Mohd Dhuha” (1993). Seluruh cerpen ini telah dipindahkan oleh pengarang dalam novelnya pada bab 17. Sekali lagi prinsip modifikasi telah dilakukan dalam hiperteksnya terutama pada bahagian akhir cerita apabila pengarang merincikan lagi rasa kesal, kasih dan insaf atas perbuatannya terhadap murid yang bernama Mohd Dhuha ini. Berikut diperturunkan beberapa contoh (‘a’) mewakili teks Memoir Seorang Guru sementara (‘b’) mewakili teks “Mohd Dhuha”.

1a. Bapa menangis kerana terasa sesuatu yang baru hendak bermula tiba-tiba hilang

dan bapa semakin tersedar tentang kesalahan bapa yang cukup lama, tidak sempat bapa memohon maaf.

Bapa menangis sambil memeluknya. Dia adalah anak bapa. Bapa ingin menjadi murabbi tapi sudah tidak berpeluang. Ketika bapa hendak melepaskan jeritan kesal, dada bapa terasa sakit dan bapa tidak sedar apa-apa lagi.

1b. Aku menangis kerana terasa sesuatu yang baru hendak bermula tiba-tiba

hilang, dan kemudiaanya aku tidak sedar apa-apa lagi

Dapat dilihat bahawa pengarang telah melakukan modifikasi terhadap hiperteksnya. Khalayak juga diperjelaskan tentang perasaan bapa yang selama ini bersikap dingin terhadap Mohd Dhuha cuba untuk mengubah persepsinya terhadap seorang murid yang baik akhlaknya dan menawarkan dirinya untuk mengajar Mohd Dhuha secara peribadi di rumahnya. Namun demikian hasratnya itu terbatal apabila kereta yang dipandu oleh Aku/Bapa telah secara tidak sengaja melanggar Mohd Dhuha yang sedang menunggang basikal akibat debu yang menghalang pandangan Aku/Bapa.

Kematian Mohd Dhuha pada saat bapa mahu menjadi seorang murabbi menyebabkan pengarang melakukan modifikasi daripada teks awal bagi menimbulkan kekesalan dalam diri seorang guru yang mempunyai keazaman untuk berubah menjadi seorang guru yang lebih bertanggunjawab.

Cerpen yang bertajuk “Beruk” (1970) aspek modifikasi turut berlaku apabila sebahagian cerpen tersebut dipindahkan ke dalam novel yang bertajuk Memoir Seorang Guru (2007). Hal ini dapat diperlihatkan sewaktu peristiwa Cikgu Sunan diserang oleh beruk yang diberi nama Pon. Pon dimiliki oleh salah seorang murid cikgu Sunan iaitu Alias. Dalam cerpen awal, beruk kepunyaan Alias ini tidak diberi sebarang nama dan namun setelah dipindahkan kepada novel, pengarang telah menamakan beruk tersebut.

Modifikasi yang dilakukan oleh pengarang ini jelas memberi kesan kepada keseluruhan novel setelah beruk diberi nama kerana berlakunya hubungan yang lebih akrab antara manusia dan haiwan tersebut. Peristiwa yang berlaku ini telah membuktikan bahawa hasil penulisan sastera mempunyai hubungan yang rapat dengan karya sebelumnya.

Idea-idea yang ada dalam karya sastera di peringkat awal menjadi bahan utama atau sampingan untuk menghasilkan karya sastera yang berikutnya (Julia Kristeva, 1980:

72-Oleh itu, pengkaji turut menemukan dalam proses modifikasi yang berlaku ini, pengarang tuut mengambil kira elemen emosi. Hal ini dapat diteliti dalam peristiwa pada saat beruk ditamatkan riwayatnya oleh tuannya sendiri iaitu Alias. Jiwa pembaca berjaya disentuh oleh pengarang apabila mereka turut sama merasakan kesedihan Alias dan kesakitan yang ditanggung oleh beruk tersebut sewaktu ditusuk dengan lembing yang berkarat demi menyelamatkan satu nyawa yang selama ini sering berprasangka buruk terhadap Alias. Peristiwa kematian beruk dapat dilihat melalui petikan di bawah ini:

Demi untuk menyelamatkan cikgu Sunan, Alias mencapai sebatang lembing yang digunakan untuk menghimpun buah-buah kelapa.

Lalu dengan sekuat-kuat hatinya dia meradak lembing ke perut beruknya, Cuma itulah saja jalan yang boleh menyelamatkan gurunya.

Beruk yang garang itu menjadi lemah. Terlentang di atas lantai.

Sebelum menghembus nafasnya yan akhir, mata hitamnya memandang pada Alias dengan sayu. Kelopak mata yang berbulu itu tergenang air jernih.

(“Beruk”, 1970: 3 )

Peristiwa kematian beruk sewaktu ditikam dengan lembing telah diceritakan oleh pengarang dalam teks asal dengan nada yang sedih kerana berpisahnya dua entiti yang berbeza iaitu manusia dan juga haiwan yang mempunyai pertalian yang utuh dan saling menyayangi antara satu sama lain. Namun setelah pengarang melakukan pengubahsuaian terhadap beberapa bahagian maka kesan yang lebih beremosi dan tragis dapat diperlihatkan dan dirasai oleh khalayak. Memandangkan tidak semua dalam kalangan pembaca mempunyai pengalaman seperti mana Alias dan beruknya itu namun setelah diperincikan oleh pengarang tentang saat-saat akhir beruk yang menghadapi saat kematiannya maka kita dapat menanggapi perasaan yang ditanggung oleh Alias yang

sangat sayang kepada beruknya itu. Melalui petikan di bawah, pembaca dapat melihat bagaimana hubungan akrab yang terjalin antara manusia dan haiwan peliharaanya serta momen terpisahnya jasad seekor haiwan yang banyak berjasa dalam hidup seseorang itu:

Untuk menyelamatkan guru yang sangat disayangi dan dihormatinya, Alias mencapai sebatang lembing yang digunakan untuk menghimpun buah-buah kelapa. Lalu dengan sekuat-kuat hatinya dia meradak lembing ke perut beruknya, Cuma itulah saja jalan yang boleh menghentikan keberangan beruknya.

Terhentilah drama menggigit itu. Beruknya yang garang itu menjadi lemah. Terlentang di atas lantai dengan darah berlepa-lepa sedang matanya terkelip-kelip menahan sakit. Sebelum menghembus nafasnya yang akhir, mata hitamnya memandang Alias dengan sayu. Dua tangannya menggapai-gapai dan kemudian terjatuh begitu sahaja.

Kelopak mata yang berbulu itu basah oleh air matanya.

(MSG: 2007:54-55)

Melalui frasa yang dicetak tebal itu, merupakan unsur modifikasi yang dilakukan oleh pengarang. Guru yang pernah menampar Alias tanpa usul periksa tetap disifatkan oleh Alias sebagai guru yang sangat disayangi dan dihormati olehnya kerana adab murid terhadap gurunya yang telah banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

Manakala frasa menghentikan keberangan beruknya menunjukkan bahawa Alias tidak mempunyai pilihan lain selain mengambil keputusan nekad demi menyelamatkan nyawa gurunya itu ialah dengan mengorbankan nyawa beruknya yang sedang dalam kemarahan itu.

In document NOVEL-NOVEL TERPILIH AZIZI HAJI ABDULLAH: (halaman 193-200)