• Tiada Hasil Ditemukan

1.6 Definisi Operasional

1.6.5 Novel Remaja

Kalimat novel berasal dari bahasa Itali iaitu novella atau novellete, yang bermaksud satu bentuk cerita secara prosa yang panjang dan mempunyai ciri-ciri tertentu yang berbeza dengan hikayat atau romance dan bentuk ini sangat baharu dalam kesusasteraan. (S.

Othman: 1985:4) Novel adalah hasil garapan dalam bentuk kreatif yang di dalamnya terkandung tentang realiti kehidupan manusia sebab itulah novel dikatakan sebagai karya sastera yang bertunjangkan realiti masyarakat. Kesedaran masyarakat terhadap kemiskinan, penindasan, pergolakan oleh situasi politik yang tidak stabil, tekanan penjajah dan sebagainya telah menimbulkan tindak balas dalam bentuk karya kreatif seperti novel. Ini bersesuaian dengan pendapat A. Bakar Hamid, setiap definisi novel

yang telah dipelajarinya menekankan tentang pengalaman manusia. (1980:21) Justeru, manusia akan mencerna peristiwa yang dilihatnya dengan adunan imaginasi dan fantasi supaya sebuah karya kreatif akan terhasil.

Penghasilan novel bukan sekadar cerita biasa tetapi menggambarkan kelakuan watak, latar belakang pelbagai masyarakat dan masalah menerusi cerita yang menggunakan pelbagai teknik. Kebanyakan novel ditulis berdasarkan gambaran realiti masyarakat secara keseluruhannya yang diadun dengan daya kreativiti dan imaginasi pengarang untuk menjadikan sesebuah cerita itu menarik. Kemunculan novel sebagai genre sastera dapat mengangkat gambaran kehidupan realiti ke alam imaginasi lalu tercanai dalam ungkapan-ungkapan wacana dalam novel. (Nor Raudah, 2006)

Novel remaja merupakan hasil karya yang dicipta khas untuk golongan remaja yang berusia sekitar 14 tahun sehingga 21 tahun. Dalam hasil karya ini, remaja yang menjadi objek perbicaraannya. Novel remaja merupakan hasil ciptaan yang mengandungi unsur dan nilai serta perasaan pengkarya terhadap situasi remaja kini yang menuntut pemahaman secara lahiriah dan batiniah. Sudah pasti mesej dan persoalan yang dikemukakan haruslah bersifat informatif, mengajar dan berupaya membina watak remaja pada masa kini. Novel remaja dituntut supaya dapat menampilkan watak-watak taulan dan dan watak yang bercitra jujur, setia, gigih, lasak, kreatif dan berfikiran rasional dan matang. Dengan sifat mengajar bermakna sastera remaja harus menabur, menanam dan mencambahkan bibit atau nilai murni yang berkaitan dengan keimanan, ketakwaan kepada Allah serta kerukunan hidup beragama sesuai dengan masyarakat kita yang pelbagai, di samping menekankan nilai-nilai kemanusiaan, rasa tanggungjawab dan cinta akan diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. (Othman Puteh, 1998)

Oleh itu, novel remaja terdiri daripada bahan-bahan berkualiti yang dapat memenuhi kehendak, psikologi dan cita rasa remaja pada zaman kini. Novel remaja harus menampilkan mesej yang sesuai dengan peredaran zaman dan sesuai dengan jagat baru. Watak-watak remaja protagonis dalam cereka haruslah menjadi model kepada para remaja pada masa kini. Tampilkan watak yang memiliki citra yang positif dan sesuai dengan generasi yang bakal menempuhi Wawasan 2020. Malah watak-watak antagonis yang diwujudkan oleh pengarang haruslah dapat menjadi teladan agar terhindar sikap-sikap yang kurang baik dan menginsafi keterlanjuran perbuatan mereka.

Yang paling penting, elemen-elemen yang terkandung dalam novel remaja mampu meningkatkan kecerdasan emosi remaja.

Melihat novel remaja sebagai genre dalam sastera remaja mendekatkan kita kepada gambaran, penilaian dan pengalaman penulis, imaginasi dan realiti kehidupan remaja. Hal ini dikukuhkan dengan kenyataan Shahnon Ahmad yang menyatakan novel adalah gambaran tentang kerencaman daripada kepelbagaian rentak dan tari hidup manusia individu mahupun masyarakat yang dibentuk daripada pengalaman penulis, imaginasi dan realiti. (Ali Ahmad, 1978). Dapatlah disimpulkan bahawa penghasilan novel remaja merupakan hasil penciptaan pengkarya untuk menceritakan tentang kehidupan remaja zahir dan batin. Melalui perasaan-perasaan dan buah fikiran yang dilahirkan dengan bantuan bahasa yang sesuai dengan umur remaja menjadikan novel remaja sebagai satu hidangan yang sesuai untuk menggambarkan atau menceritakan kehidupan yang dilalui oleh golongan remaja. Antara tema yang sering ditonjolkan dalam novel-novel remaja ialah tema percintaan, tema kekeluargaan, tema persahabatan, tema keagamaan, tema kemasyarakatan dan tema perjuangan. Dalam dunia globalisasi atau tanpa sempadan ini telah merancakkan lagi arena penulisan novel remaja dengan melahirkan tema-tema baharu yang berkaitan dengan kemajuan teknologi maklumat dan dunia siber.

Sejarah kewujudan novel-novel remaja dalam kesusasteraan Melayu mula dikesan sekitar awal 1920-an apabila Pejabat Karang Mengarang menterjemah novel-novel remaja yang berbahasa Inggeris sebagai satu bacaan ringan bagi pelajar-pelajar sekolah Melayu. Antaranya ialah novel Robin Hood terjemahan daripada Robin Hood, novel Sherlock Holmes terjemahan Adventure of Sherlock Holmes dan novel Pulau Karang terjemahan daripada Carol Island. Ketiga-tiga novel ini diterjemahkan oleh Yazid Ahmad. (Abdullah Sanusi, 1966: 46 – 47). Seterusnya pada tahun 1937 pula, Za’ba telah menterjemahkan novel Anak Raja dan Anak Papa daripada The Prince and The Pauper. Walau bagaimanapun, novel-novel terjemahan ini tidak dapat diterbitkan pada tahun tersebut kerana menghadapi beberapa masalah. Pada tahun 1958 barulah Dewan Bahasa dan Pustaka dapat menerbitkan novel-novel tersebut.

Sekitar tahun 1940-an pula, tidak terdapat satu pun novel remaja yang diterjemahkan. Pendudukan Jepun selama 3 tahun 8 bulan (15 Februari 1942 hingga 14 Ogos 1945) banyak mempengaruhi perkembangan kesusasteraan Melayu. Dalam tempoh tersebut bukan sahaja novel-novel remaja yang tidak diterbitkan tetapi penerbitan novel-novel kategori lain juga tidak ada. Sebaliknya karya berbentuk sajak yang menampilkan mesej propaganda “Asia untuk Asia” dan “Asia Timur Raya Makmur di Bawah Nipon’ mendapat perhatian. (Rahman Shaari dan Nurazmi Kuntum, 1984: 216). Pihak Jepun membenarkan sajak bertema sedemikian kerana sajak-sajak ini mengandungi mesej yang memperlekehkan penjajahan British dan memuji penjajahan Jepun pada ketika itu. Menurut Rahman Shaari dan Nurazmi Kuntum (1984 :222), pada tahun 1946 sehingga 1956 terdapat 118 buah novel yang dihasilkan oleh penulis tempatan tetapi hanya tiga buah novel remaja sahaja yang dikesan muncul pada ketika itu. Novel remaja pertama yang ditulis oleh penulis tempatan ialah novel yang bertajuk Cincin Rahsia yang dihasilkan oleh Hashim Amir Hamzah pada tahun 1951.

Novel ini dianggap sebagai novel asli penulis tempatan kerana novel ini memenangi

Peraduan Mengarang Cerita-cerita Terpanjang yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1951. (Abdullah Sanusi Ahmad, 1966: 51).

Novel remaja kedua yang dapat dikesan selepas itu ialah novel Bahagia Sesudah Derita karya Muhamad Akhir bin Leman dan novel Ahad karya Zakaria Salleh. Novel ini juga diperoleh melalui peraduan karang-mengarang yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1956 iaitu selepas lima tahun novel pertama dikesan. Dalam tahun 1950-an perkembangan novel remaja agak perlahan kerana pada tahun ini juga, ASAS 50 (Angkatan Sasterawan 50). Setiap ahli telah disedarkan dengan dasar perjuangan ASAS 50 iaitu memperjuangkan semangat kecintaan kepada negara dan bangsa di samping memberi tumpuan kepada matlamat kemerdekaan negara. Justeru pada ketika ini, golongan penulis hanya menulis karya-karya yang boleh menyedarkan masyarakat tentang perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan dan membebaskan diri daripada kesengsaraan, kemiskinan dan membebaskan diri daripada kuasa kapitalis.

Novel remaja masih lagi sukar diperoleh sekitar tahun 1960-an walaupun negara sudah pun merdeka pada ketika itu. Hanya terdapat empat buah novel remaja sahaja yang dikesan diterbitkan sekitar tahun 1960-an iaitu novel Jasmin (1965) oleh Darussalam, Kanak-kanak Kampung Bahagia (1967) oleh M. Balfas, Yang Berat Sama Dipikul (1969) oleh A. Samad Said. (Abdul Ahmad, 1994). Kebanyakan isu yang diketengahkan pada ketika itu ialah tentang fenomena selepas kemerdekaan. Antara peristiwa yang dimuatkan dalam novel pada ketika itu ialah peristiwa rusuhan di Pangkor 1959, Bukit Mertajam 1964, Singapura 1964, Pulau Pinang 1967 sehinggalah pada peristiwa 13 Mei 1969. Isu-isu tentang remaja masih tidak mendapat tempat di hati penulis novel pada ketika itu.

Penubuhan GAPENA (Gabungan Persatuan Penulis Nasional ) pada 23 Oktober 1970 telah menampakkan satu perkembangan positif dalam penulisan novel remaja kerana GAPENA telah menganjurkan sayembara menulis novel dengan menawarkan hadiah yang agak lumayan kepada pemenang. Antara penulis yang aktif menghasilkan novel remaja pada tahun 1970-an ialah A. Samad Said, Matlob, Arman Sani, Othman Puteh, Nazel Hashim Muhammad, Johan Jaafar dan ramai lagi. Selain GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga turut menganjurkan sayembara penulisan novel remaja. Kebanyakan tema yang digarap dalam novel remaja pada tahun 1970an ialah kisah-kisah penyiasatan dan pengembaraan yang dilalui oleh golongan remaja. Selain tu, ada juga tema-tema kekeluargaan yang ditulis dalam novel pada masa ini.

Bermula dekad 1990-an, penulisan novel remaja semakin rancak dan semakin mudah didapati di pasaran kerana pelbagai sayembara menulis novel diadakan. Selain itu, syarikat-syarikat penerbitan tumbuh bagai cendawan dan mengeluarkan pelbagai jenis buku dan novel termasuk novel remaja. Antara sayembara sastera yang sentiasa mendapat tempat di negara ini ialah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) yang diadakan sejak tahun 1986 sehingga kini. Antara novel yang lahir melalui pertandingan ini ialah novel Julia oleh Abu Hassan Morad, Pas Salju oleh Talib Samat, Novel oleh Jusang Bolong, Tanah Ini oleh Gunawan Mahmood, Ekspedisi oleh Mohd Ghazali Tocheh dan banyak lagi novel lain yang laris di pasaran.

Perkembangan pasaran novel remaja semakin pesat selepas tahun 2000. Hal ini dibuktikan melalui kajian yang bertajuk “Sambutan Khalayak Terhadap Novel Melayu di Malaysia” yang dijalankan oleh Mohamad Mokhtar & Hamedi (2004) mendapati 94.8 peratus responden menyatakan mereka minat membaca novel Melayu dengan 19.7 peratus daripadanya menyatakan bahawa mereka terlalu minat membaca novel Melayu.

Kajian yang dijalankan ini menunjukkan bahawa 32.3 peratus daripada responden

membaca novel sebanyak enam hingga 10 judul setahun, 8.5 peratus responden membaca novel antara 11 hingga 15 judul dan, 10.4 peratus membaca lebih daripada 16 judul setahun. Hal ini membuktikan bahawa pasaran novel di Malaysia sangat menggalakkan.

Apabila Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan komponen sastera dimasukkan dalam subjek Bahasa Melayu, semua pelajar tanpa mengira kaum wajib mempelajari komponen sastera di sekolah. Mulai pada tahun itu, semua pelajar wajib membaca novel dan genre sastera dalam komsas seperti yang diarahkan supaya mereka mudah menguasai komponen sastera yang diajarkan di sekolah. Kalau sebelum ini karya sastera dikatakan terpinggir namun kini tidak lagi setelah karya sastera dimasukkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Dengan ini golongan remaja telah diperkenalkan dengan pelbagai genre sastera terutamanya genre novel remaja.

In document KECERDASAN EMOSI DALAM NOVEL REMAJA (halaman 53-59)