• Tiada Hasil Ditemukan

METODOLOGI KAJIAN

3.7 Pendekatan kualitatif

Kajian ini melaksanakan penyelidikan berbentuk kualitatif. Pemilihan pendekatan kualitatif ini dibuat berdasarkan kesesuaian dan kekuatan memperoleh data berkenaan dunia sosial bagi mencapai matlamat kajian ini.

Pendekatan kualitatif ini secara umumnya diaplikasikan oleh penyelidik untuk meneroka setiap elemen penting didalam objektif-objektif kajian dan pembolehubah kajian ini secara bebas tanpa disandarkan kepada teori mahupun model kajian tertentu. (Mack, N., Woodsong, C., Macqueen, KM., Guest, G., & Namey, E., 2005).

Selain itu, pendekatan kualitatif ini membolehkan penyelidik mendapatkan informasi atau maklumat yang terbaik dan disokong oleh sesebuah teori bagi mengesahkan hasil kajian nanti. Berdasarkan tatacara ini juga jenis tingkah laku dapat diketahui secara mendalam (Kothari, 2019).

Jika diperhalusi pemilihan pendekatan kualitatif dalam setiap objektif kajian ini amat berkesan dalam mencapai objektif kajian pertama, iaitu menilai peranan pengurusan institusi masjid di Seberang Perai Utara dalam menjayakan keusahawanan sosial untuk menangani persepsi negatif terhadap pihak pengurusan masjid , objektif ini belum diselidiki secara mendalam oleh mana-mana penyelidik.

Oleh itu, usaha bagi memperolehi data bagi kajian ini merupakan satu kaedah meneroka dan menilai realiti sosial yang pelbagai. Penilaian ini juga akan melihat pelbagai bentuk tindakan yang dilakukan oleh sampel kajian.

Proses mendapatkan data melalui pendekatan kualitatif ini juga membolehkan penyelidik meneroka setiap pemboleh ubah dengan tidak dipengaruhi dengan mana-mana teori atau gagasan yang telah dibentuk oleh penyelidik lain sebelumnya. Oleh itu, data yang diambil daripada pendekatan kualitatif ini adalah asli menerusi sampel kajian yang spesifik.

Pendirian ini diambil berdasarkan kenyataan dibuat oleh Mack, N., Woodsong, C., Macqueen, KM., Guest, G., & Namey, E. (2005) yang menyatakan elemen operasional setiap pembolehubah dalam kajian kuantitatif mempunyai kekurangan tersebut.

3.7.1 Persampelan

Kajian ini mengguna pakai kaedah persampelan bertujuan (purposive sampling) untuk mendapatkan data. Individu yang dipilih menjadi sampel kajian ini mempunyai ciri-ciri tertentu yang selari dengan tujuan kajian (Kothari, 2019). Persampelan jenis

bertujuan ini dipilih bagi disesuaikan dengan ciri-ciri yang khusus yang disenaraikan penyelidik dalam sampel kajian ini. Sebanyak tujuh responden dijadikan sebagai sampel bagi kajian ini.

3.7.2 Kaedah Kajian

Kaedah kajian menerangkan tentang tatacara yang digunapakai untuk data kajian diperolehi oleh penyelidik (Kothari, 2019). Sesuatu kaedah kajian ditentukan berdasarkan keupayaannya bagi memperolehi data yang diperlukan oleh penyelidik.

Data kajian yang diperolehi diperlukan untuk mencapai objektif kajian ini. (Babbie, 2010).

Pendekatan kualitatif yang dipilih ini menjelaskan bahawa penyelidik boleh menggunakan kaedah analisis kandungan, temu bual dan perbincangan kumpulan berfokus (PKB). Penyelidik berpendapat ketiga-tiga kaedah berkenaan bersesuaian untuk digunapakai untuk kajian ini. Penggunaan reka bentuk kajian sebegini menuntut penyelidik mendapatkan data secara intensif.

Terdapat beberapa pendapat berkenaan kaedah temu bual dan kaedah perbincangan kumpulan berfokus. Secara umumnya, kedua-dua cara ini berbeza dari sudut pengaplikasiannya. Kaedah temu bual ini mempunyai andaian kekurangan dari sudut objektiviti disebabkan kemungkinan penyelidik boleh dipengaruhi oleh sampel kajian ataupun sebaliknya.

Protokol Kajian kes ini adalah berdasarkan beberapa langkah seperti berikut :

• Menentukan rekabentuk kajian adalah kajian kualitatif.

• Menentukan pemilihan kajian kes meliputi tiga buah masjid yang aktif dalam keusahawanan sosia seperti saranan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

• Menentukan instrumen catatan nota lapangan dan perakam suara.

• Menentukan tema temubual meliputi peranan pengurusan masjid, penglibatan ahli kariah dalam aktiviti keusahawanan sosial masjid dan menentukan aktiviti keusahawanan sosial terbaik institusi masjid di daerah Seberang Perai Utara.

• Menentukan analisis temubual dan analisis kandungan bagi kajian ini.

• Memperoleh keputusan dan memberi cadangan

Sementara itu, bagi perbincangan kumpulan berfokus pula diandaikan berlaku kekurangan kerana boleh dipengaruhi oleh sampel kajian yang lain ketika proses temu bual dilaksanakan. (Todd, Nerlich, McKeown dan Clarke, 2004). Justeru, data yang didapati daripada kedua-dua kaedah ini dianggap sukar mendapat kebolehpercayaan (Andrew dan Halcomb, 2009). Walaubagaimanapun, seandainya data yang diperolehi daripada kedua-dua kaedah ini adalah sama, maka kebolehpercayaan (reliability) data tersebut tidak perlu lagi dipersoalkan. Oleh itu, penyelidik perlu melaksanakan kaedah kajian ini dengan berhati-hati agar data yang diperolehi mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi.

Bias merupakan satu masalah yang mungkin terjadi dalam kaedah temubual. Bagi mengatasi masalah bias, kaedah temu bual mendalam perlu dilaksanakan terlebih dahulu diikuti dengan temubual perbincangan kumpulan berfokus. Seandainya kaedah temubual perbincangan kumpulan berfokus diadakan terlebih dahulu maka

akan terjadi bias apabila sampel kajian boleh dipengaruhi oleh sampel yang lain.

Kaedah temubual mendalam perlu dilakukan dahulu bagi memberi peluang kepada setiap sampel memberi jawapan yang bebas tanpa dipengaruhi oleh sampel yang lain dalam kajian ini. Oleh yang demikian, penyelidik mampu memperolehi data yang dipercayai dan lebih tepat.(Hesse-Biber, 2010).

3.7.3 Kaedah temu bual mendalam

Kaedah temubual mendalam dipilih oleh penyelidik kerana ianya selaras dengan pendekatan kualitatif dalam kajian ini.Kajian berbentuk kualitatif ini bergantung kepada kaedah temubual untuk mendapatkan data. Berdasarkan kenyataan Marvasti (2004), menyatakan bahawa penyelidik mempunyai ruang yang besar untuk mendapatkan data secara mendalam daripada sampel kajian. Temubual mendalam secara berseorangan membolehkan penyelidik memperolehi data secara bebas dan tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.

Oleh itu, kaedah temubual ini dapat dijalankan agar penyelidik melihat secara mendalam satu persatu jawapan yang dinyatakan oleh sampel kajian dan mengaitkannya bagi memberi jawapan kepada persoalan dan objektif kajian.

(Marvasti, 2004).

Fokus terhadap kaedah temubual mendalam ini dalam mendapatkan data daripada sampel kajian amat penting kerana kaedah ini memaparkan perasaan, pemikiran serta sudut pandang yang jelas daripada setiap sampel kajian dan ianya tidak dapat dilihat secara zahirnya oleh penyelidik.(Vanderstoep dan Johnston, 2009). Hal ini termasuk juga akan persepsi, pendapat dan idea daripada informan kajian ini.(Maginn, et al.,

2008). Kaedah ini amat bersesuaian dengan kajian ini kerana memerlukan penyelidik meneroka secara mendalam kekuatan serta kelebihan pengurusan setiap masjid, penglibatan ahli kariah terhadap aktiviti keusahawanan sosial dan meneroka setiap aktiviti keusahawanan sosial yang berkesan dalam membangun modal insan.

Dalam melaksanakan kaedah temubual mendalam, protokol temubual semi berstruktur menjadi pilihan penyelidik. Berdasarkan kenyataan O’Leary (2004), Goulding (2003) dan Berg (2007), protokol temubual secara semi berstruktur ini memberi peluang kepada penyelidik mengumpul data secara lebih sistematik di mana temubual ini menggarapkan ciri-ciri yang lebih anjal diantara kedua-dua kaedah temubual berstruktur dan tidak berstruktur.

Kaedah temubual semi berstruktur ini dapat memberi panduan kepada penyelidik bagi mencapai tujuan kajian ini. Kaedah ini yang bersifat memberi arahan dan juga iainya turut mengandungi ciri-ciri yang fleksibel. Ciri-ciri fleksibel yang wujud dalam kaedah ini membolehkan sampel kajian memberi jawapan yang lebih menyeluruh bagi menjawab persoalan serta objektif kajian dengan lebih tepat (Walliman, 2006).

3.7.4 Kumpulan Berfokus

Selepas kaedah temubual mendalam, penyelidik akan melaksanakan kaedah temubual perbincangan kumpulan berfokus. Kaedah ini dijalankan dalam bentuk kumpulan kecil seperti temubual ahli-ahli pengurusan masjid yang terlibat.

Kelebihan temubual kumpulan berfokus ini adalah dapat melengkapi dan memberi pengesahan bagi setiap pandangan ahli kumpulan yang lain. Kaedah ini juga mampu

memberi kekuatan kepada setiap jawapan berdasarkan perkongsian jawapan daripada setiap ahli kumpulan dan jawapan lebih berfokus dalam kalangan ahli kumpulan.

Berdasarkan kenyataan Hammersley (1989) bilangan yang ideal adalah perlu jika melibatkan kaedah kumpulan berfokus. Penyelidik bersetuju dengan kenyataan Sherman dan Webb (2001) bahawa jumlah yang ideal amat perlu bagi memudahkan penyelidik mengawal temubual dalam kaedah ini.

3.7.5 Analisis kandungan

Selain daripada kaedah temubual mendalam dan perbincangan kumpulan berfokus, kaedah analisis kandungan turut menjadi pilihan penyelidik. Kaedah ini memerlukan penyelidik melihat secara mendalam bahan-bahan daripada sumber sekunder.

Sumber sekunder adalah terdiri daripada laporan-laporan aktiviti-aktiviti masjid, laporan mesyuarat dan sebagainya yang boleh diberi pertimbangan bahawa terdapat perkaitan dengan pembolehubah dalam kajian ini. Sumber sekunder ini adalah amat penting kepada penyelidik kerana ia merupakan sumber pengesah kepada sumber data primer bagi kajian ini. Berdasarkan kenyataan Othman Lebar (2006), menyatakan bahawa analisis kandungan memberi kelebihan kepada penyelidik agar dapat meniliti isu kajian itu dengan lebih meluas dan membuat perbandingan diantara kandungan yang dikaji dan realiti. Justeru, kesannya dapat dilihat melalui hasil kajian kelak yang berimpak tinggi dari sudut nilai akademik dan praktikalitinya yang boleh memberi manfaat kepada oleh semua pihak yang berkepentingan dalam kajian ini.