• Tiada Hasil Ditemukan

BAB 5: PENGANALISISAN MODIFIKASI

5.1 Pengenalan

Dalam bab ini memperlihatkan fungsi prinsip modifikasi dalam mengkaji tiga buah novel pilihan karya Azizi Haji Abdullah ini. Salah satu tujuan sesebuah karya dibaca ialah bagi memperoleh makna. Justeru melalui ruang interteks inilah, pembaca atau khalayak akan melalui beberapa proses seperti penyaringan, penapisan dan seterusnya menafsir bagi memperoleh makna teks. Maka, dalam proses penafsiran ini, pembaca akan mendapati bahawa sesebuah teks itu tidak berdiri dengan sendiri sebaliknya terdapat hubungan antara satu teks dengan satu teks yang lain.

Pengkaji mendapati bahawa prinsip modifikasi yang merupakan salah satu daripada prinsip yang terkandung dalam teori intertekstualiti ini adalah antara yang dominan terdapat dalam bahan yang digunakan. Untuk menganalisis modifikasi ini, pengkaji terlebih dahulu akan meneliti hipoteks yang dipetik oleh Azizi Haji Abdullah daripada teks asal atau hiperteks untuk dijadikan bahan sumber dalam karyanya.

Dengan mengambil rujukan pengarang itu sendiri, pengkaji mendapati bahawa Azizi Haji Abdullah telah menggunakan ruang hiperteksnya sebagai wahana untuk memberi penegasan, penjelasan serta pengukuhan terhadap konflik yang pernah dilakukan dalam hipoteksnya. Satu analisis akan dijalankan terhadap aspek pemaknaan untuk melihat kesan daripada modifikasi yang dilakukan sama ada berlakunya pemaknaan secara konkrit ataupun secara abstrak. Hal ini bagi membolehkan pengkaji

merungkai aspek pemaknaan yang terhasil sebagai wadah yang lebih berkesan dan mencabar untuk beresperimen. Akhir sekali pengkajian akan bertumpu pada penilaian terhadap elemen peluasan yang dilakukan dari sudut penkonkritan tema dan persoalan, watak dan perwatakan serta aspek kebahasaan.

5.2 Modifikasi dalam Ayahanda

Untuk menganalisis prinsip modifikasi ini, pengkaji akan meneliti hipoteks yang dijadikan rujukan oleh pengarang dan sejauh manakah pengarang melakukan pengubahsuaian bagi menepati jalan cerita bagi teks yang baharu. Menurut rumus yang terkandung dalam teori intertekstualiti ini, tidak hanya merujuk kepada teks-teks tertentu tetapi lebih kepada proses yang berlaku seperti penyerapan, pemindahan, pengubahan dan kutipan petikan. Hal ini dapat ditemukan dalam novel Ayahanda, apabila pengarang menyerap masuk watak dari hipoteks tetapi berlaku perubahan daripada aspek perwatakan sesuai dengan teks baharu yang ditangani pengarang.

Dalam bab 5 novel Ayahanda, Azizi telah menggunakan rujukan daripada hipoteks karyanya sendiri yang berjudul “Sengat Sembilang” (1987) Aku yang mempunyai hobi memancing telah pulang ke kampung untuk melawat emak dan bapanya. Ketika aku menyuarakan hasratnya untuk memancing bapa terus bersiap kerana ingin mengikut Aku ke Pulau Sayak untuk memancing. Ketika Aku berjaya menangkap seekor ikan sembilang dengan tiba-tiba Aku telah disengat oleh ikan sembilang tersebut. Keengganan bapa untuk membawa ‘aku’ yang sakit ke hospital akibat bisa sengatan sembilang tersebut telah menimbulkan kemarahan dalam diri ‘aku’

dengan petua bahawa bisa sembilang tersebut hanya akan hilang setelah tiga puluh enam jam atau setelah bertemu kobnya mengikut petua yang diamalkan oleh bapa.

Namun setelah bapa meminta ‘aku’ untuk mengenang kembali peristiwa yang pernah berlaku sebelum ini menyebabkan ‘aku’ sedar adanya kebenaran kata-kata bapa dan alasan bapa tidak membawa ‘aku’ ke hospital. Hal ini dapat dilihat melalui petikan kata-kata di bawah ini yang dipetik daripada sumber asal pengarang:

Aku mengangguk, tetapi kotak fikirku masih kuat teringatkan peristiwa tujuh tahun dahulu ketika bapa terkena duri sembilang yang lebih dasyat. Aku masih ingat bagaimana bapa sanggup merahsiakan kesakitannya daripadaku. Aku masih ingat bapa cuba menunjukkan tidak apa-apa dalam keadaan begitu.

Aku masih ingat bapa telah membuktikan kekerasan azamnya.

Dan aku mengerti segala-galanya itu hanya untuk tidak mematahkan semangatku.

(“Sengat Sembilang:1987)

Maka di sinilah berlakunya elemen modifikasi yang dilakukan oleh pengarang apabila dalam hipoteks, bapa menyuruh aku mengenang peristiwa yang berlaku sejak tujuh tahun dulu sedangkan dalam hiperteksnya, pengarang meminta watak supaya memanggil kembali ingatan terhadap peristiwa 15 tahun yang lalu seperti mana yang terdapat dalam petikan kata di bawah ini:

Aku mengangguk, tetapi kotak fikiranku masih kuat teringat peristiwa lima belas tahun yang lalu dimana bapa terkena duri semilang yang lebih dasyat. Aku masih ingat bagaimana bapa sanggup merahsiakan kesakitannya. Aku masih ingat bagaimana bapa cuba menunjuk keras hatinya. Aku masih ingat bapa telah membuktikan kekerasan azamnya. Dan aku mengerti segala-galanya. Barangkali itu satu pengajaran untuk aku.

(Ayahanda, 1997: 112)

Tujuan pengarang melakukan modifikasi pada bilangan tahun tersebut adalah untuk menyedarkan ‘aku’ bahawa pada satu ketika dulu bapa juga pernah disengat sembilang karang yang lebih dasyat daripada apa yang dialami oleh ‘aku’. Namun demikian bapa telah merahsiakan kesakitan yang ditanggungnya demi membuktikan bahawa bapa lebih tabah dan sabar dalam menghadapi kepayahan. Ketika bapa menghadapi musibah tersebut bapa telah menggunakan petua yang sama tanpa perlu ke hospital. Akhirnya kesakitan yang ditanggung oleh ‘aku’ semakin berkurangan.

Kasih seorang anak terhadap orang tua merupakan satu perkara yang dituntut dalam syariat kerana tanpa ibu bapa tidak mungkin kita berada di alam ini. Watak Aku dalam hiperteks Ayahanda ada jawapannya terhadap persoalan kasih sayang anak terhadap kedua-dua ibu bapanya. Sewaktu Bapa tidak pulang ke rumah selama dua malam seluruh ahli keluarga gempar dan mula bimbang akan keadaan bapa yang kali terakhirnya memberitahu emak bahawa dia mahu ke laut. Disebabkan rasa bimbang akan keselamatan bapanya yang sudah uzur akhirnya Aku membuat keputusan untuk mencari bapa di sungai. Tiba-tiba perahu yang dikayuh oleh mereka terhenti disebabkan dayungnya yang tersangkut akibat tali rawai ikan sembilang kepunyaan bapa yang sangat dikenalinya. Bapa ditemui dalam perahu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan wajahnya pula bagai menahan kesakitan akibat dipatuk oleh ular kapak bakau.

Pada ketika inilah Aku menangis semahu-mahunya kerana tidak mahu kehilangan bapa yang disayangi dan pada waktu yang sama ditentanginya. Hal ini dapat

Dengan gopoh-gapah, Abang Ramli mendayung balik. Aku meriba bapa. Sepanjang kayuhan Abang Ramli, air mataku mencurah-curah dan ada titik-titiknya jatuh ke dada bapa.

(Ayahanda, 1997:133)

Pembaca pada tahap ini akan merasakan betapa Aku sebenarnya sangat sayang akan bapanya sedangkan dalam kebanyakan hal hubungan bapa dan aku agak renggang kerana bapa digambarkan sebagai seorang yang pendiam tetapi kaya dengan ilmu dan petua-petua lama. Melalui hipoteks “Bapa”, pengarang telah melakukan pemindahan idea bagi mengukuhkan hubungan antara ayah dan Aku yakni pengarangnya sendiri.

Hal ini dapat dilihat melalui petikan di bawah ini:

Dengan gopoh-gapah, kami mendayung pulang dan bapa aku riba hingga sampai di pengkalan. Entah berapa cupak air mataku tumpah,aku tidak tahu.

(“Bapa”, 1974:31)

Melalui petikan di atas, pengarang cuba menjelaskan perwatakan Aku yang sangat menyedari bahawa terdapatnya ikatan kasih sayang yang padu antara ahli keluarga. Pengarang melakukan modifikasi terhadap peristiwa Aku bagi menggambarkan betapa Aku bimbang akan keselamatan dan nyawa bapanya ketika itu yang dalam keadaan tidak sedar diri langsung. Terjemahan ayat yang bercetak tebal membuktikan bahawa rasa kesal seorang anak yang tidak dapat dibendung menyebabkan air matanya mengalir deras hingga mengenai dada bapanya. Namun disebabkan sikap bapa yang pendiam dan kadang kala disifatkan oleh aku sebagai tidak mempedulikan dirinya dan adik beradik yang lain menyebabkan aku menyimpan perasaan benci terhadap ayahnya sendiri.

Kebanyakan karya Azizi Hj Abdullah mempunyai rumus yang hampir sama iaitu karya yang penuh beremosi. Watak dan perwatakan yang dipilih ialah gelagat manusia biasa yang terdiri dalam sebuah institusi keluarga. Azizi dalam karya-karyanya mengajar generasi muda dengan teladan secara sinis. Orang tua juga tidak menunjukkan emosi secara terbuka tetapi secara halus mengajar anak-anaknya dengan kesan makna yang cukup mendalam. Prinsip modifikasi telah diaplikasi oleh pengarang dalam peristiwa yang terkandung dalam novel Ayahanda iaitu, sewaktu bapa yang berasa begitu sedih disebabkan anaknya yang tidak menunaikan janji untuk membelikan sebuah kipas angin untuk diletakkan di sebuah masjid yang baru. Aku berhadapan dengan masalah kewangan dan dalam masa yang sama tersepit dengan menunaikan janji kepada ayahnya. Ayah yang juga merupakan seorang imam telah memaklumkan kepada qariah masjid bahawa anaknya yang tinggal di bandar akan mendermakan kipas angin di masjid yang baharu siap dibina.

Binaan cerita yang dikembangkan oleh Azizi menunjukkan betapa sikap seorang anak yang tidak mengambil berat tentang pembelian kipas angin untuk masjid baru menyebabkan hati bapa benar-benar tersentuh. Namun kasih sayang pada anak dan demi menutup keaiban anaknya maka kipas angin dibeli sendiri dan dihebahkan pula kepada para jemaah bahawa anaknya membeli kipas angin tersebut.

Dan apabila sampai pada ayat-ayat yang menggambarkan orang menderma pada jalan Allah itu – Allah akan mengggandakan sepuluh kali ganda. Bapa sengaja meninggikan suaranya, tetapi gementar juga. Seluruh makmum agak hairan.

Mengapa bapa jadi begitu akhirnya suara bapa menurun sedikit demi sedikit dan tanpa diduga oleh sesiapapun, mata bapa tergenang air dan kemudiannya jatuh setitik demi setitik di atas buku khutbahnya. Bapa mengesat-ngesat.

Daripada petikan di atas dapat dibuktikan bahawa perasaan kecewa dalam diri seorang bapa yang dikata sangat berpengaruh jelas terpancar sewaktu khutbah di sampaikan kepada qariah masjid. Tiada siapa yang boleh menduga mengapa bapa sampai sebak dan menitiskan air mata sewaktu menyampaikan khutbah. Malah perasaan kasih seorang bapa ini telah dipindahkan oleh pengarang daripada teks cerpennya yang asal yang bertajuk “Kipas Angin” (1975) dengan melakukan beberapa modifikasi namun masih mengekalkan jalan cerita yang sama. Hal ini dibuktikan melalui petikan di bawah ini:

Dan bila sampai pada ayat-ayat yang menceritakan perihal orang yang menderma ke jalan Allah akan menggandakan sepuluh kali ganda daripada sedekahnya bapa sengaja meninggikan suaranya, tetapi gementar juga.

Sekalian makmum jadi hairan. Semua memaku penglihatan kepada bapa yang cengkung di atas mimbar.

Mengapa bapa jadi begitu? Akhirnya suara bapa menurun sedikit demi sedikit.

Aku menjadi sebak. Dan bukan aku saja, malah semua anak jemaah nampak mata bapa tergenang air dan kemudiannya jatuh setitik demi setitik di atas buku khutbahnya. Bapa cepat-cepat mengesatnya.

(Ayahanda, 1997:52)

Melalui perkataan yang dicetak tebal tersebut pengarang telah melakukan unsur modifikasi kerana menurut Kristeva dalam proses kreatif perlu untuk seorang penulis melihat teks yang lebih awal. Teks lebih awal merupakan peristiwa yang dilihat sebelumnya bukanlah menunjukkan pengarang kematian idea, tetapi mereka membuat penilaian semula kepada peristiwa lama (Kristeva,1977:36).

Pengarang ingin menggambarkan kepada pembaca bahawa disebabkan kasih kepada anaknya maka beliau sanggup melakukan apa sahaja demi menjaga nama dan maruah anak. Seorang Bapa sanggup menggadaikan gelang emas isterinya hanya untuk mendapatkan wang bagi membeli kipas angin yang dijanjikan atas nama anaknya itu. Dalam hiperteksnya, pengarang turut melukiskan dalam bentuk pemerian bahawa perasaan aku turut sebak melihat bapa yang tiba-tiba menangis di atas mimbar sedangkan perasaan tersebut tidak digambarkan oleh pengarang dalam hipoteksnya.

Hal ini bertepatan dengan kata-kata yang diungkapkan oleh Shahnon Ahmad dalam Dewan Sastera, Jun 1999 bahawa aspek komunikasi antara manusia sememangnya penuh dengan misteri dan rahsia. Lebih-lebih lagi misteri dan rahsia komunikasi antara anak dengan bapa, bapa dengan emak, bapa dengan sanak saudara yang lain, bapa dengan dirinya sendiri yang seluruhnya berada dalam budaya tradisi kekeluargaan yang unik sehingga sukar diramal terhadap tindakan yang akan dilakukan.

Peristiwa seorang yang bergelar isteri kepada seorang suami yang digambarkan sangat setia dan patuh terhadap arahan suami jelas tergambar dalam peristiwa ‘emak’

yang amat terkejut apabila anaknya dengan lantang memarahi suaminya iaitu bapa Aku. Aku yang naik angin kerana sikap bapa yang telah mengambil dua keping papan yang sepatutnya digunakan untuk membuat rumah sebaliknya telah digunakan untuk membuat perahu. Emak sangat sedih dengan perlakuan Aku yang sewenang-wenangnya memarahi Bapa. Daripada petikan dialog di bawah dapat dibuktikan

“Sampai hati kaukata kata bapa kau begitu.”

Aku tidak mengerti sikap ibu. Rupa-rupanya benci ibu pada bapa, sayangnya lebih juga. Patutlah ibu tidak tergamak berkata sesuatu pada bapa. Sejak dulu. Apa ilmu yang bapa pakai? Apa kasih yang bapa tabur?

(“Bapa”,1974 : 28)

Azizi telah melakukan beberapa modifikasi daripada teks asalnya iaitu cerpen

“Bapa” (1974) lalu dipindahkan ke dalam teksnya yang baharu iaitu Ayahanda (2001) setelah 27 tahun cerpennya dihasilkan. Hal ini dapat dibuktikan melalui perkataan yang telah dicetak tebal:

“Sampai hati kau kata pak kau macam tu.”

Ya Allah...aku sungguh tidak mengerti sikap emak. Rupa-rupanya benci emak pada bapa, sayangnya masih kental. Tidak seperti aku. Patutlah emak tidak tergamak berkata sesuatu kepada bapa sejak dahulu lagi. Apa ilmu yang bapa pakai? Bunga kasih apakah yan bapa tabor? Benih taatkah yang bapa semai sejak dahulu?

(Ayahanda,2001: 129)

Melalui perkataan yang dicetak tebal dapat dirumuskan bahawa kasih sayang seorang isteri terhadap suaminya amat tulus dan ikhlas. Frasa Bunga kasih apakah yan bapa tabor? Benih taatkah yang bapa semai sejak dahulu? memperlihatkan bahawa emaknya sangat mentaati kata-kata suaminya walau apa-apa jua keadaan sekalipun.

Seterusnya elemen modifikasi dapat diterjemahkan melalui teks pengarang itu sendiri iaitu “Ranggi Anak Cucu” yang menjadi sebahagian daripada novel Ayahanda.

Makan bersama-sama ahli keluarga merupakan waktu yang sangat dinanti-nantikan bagi ketua keluarga kerana di meja makanlah terjalinnya hubungan komunikasi dua hala.

Namun pengarang telah memerihalkan rasa kecewa seorang bapa yang hampa apabila niat sucinya ini dipandang sepi oleh anak-anak.

Petikan dialog di bawah memberi jawapan kepada rasa hampa seorang ayah.

“Fasal apa ‘ni, mereka...Bapa tidak dapat menghabiskan pertanyaanya. Bapa nampak tersebak sebu. Kelopak matanya nampak genangan air lalu meleleh menuruni celah-celah kedut pipi.

“Atuk...” Anita tiba-tiba bersuara.

(“Ranggi Anak Cucu”: 287)

“Apa pasal tak datang?” suara bapa berlainan sekali.

Gementar dan sedih. Ada sedikit sebak. Kelopak mata bapa nampak genangan air lalu meleleh di celah-celah kedut pipi.

“Atuk...” Anita tiba-tiba bersuara.

“Takkanlah semua tak setuju dan tak sudi kenduri aku ni,”

kata bapa dengan sedih. “Malam ini aku cuba hidupkan semula budaya makan sekeluarga, begini pula jadinya,” kata bapa lagi.

(Ayahanda ,2001:169)

Ternyata perasaan duka seorang bapa tidak dapat diselindungkan lagi apabila dalam kedua-dua genre yang dikemukakan ini, walaupun transformasi idea dilihat

kata kerana pada saat semua ahli keluarga patut berkumpul untuk makan bersama-sama dengan bapa didapati ada antara ahli keluarga yang tidak mengambil endah akan niat seorang bapa dan tidak turut sama dalam ‘majlis’ tersebut.

Dalam Ayahanda ini juga perbincangan terhadap sumber asal pengarang telah dimodifikasikan oleh pengarangnya untuk menggambarkan perasaan duka yang ditanggung oleh seorang bapa yang semakin uzur ini. Bapa yang menghidap penyakit gatal-gatal akibat terkena air masin berasama-sama ‘aku’ sewaktu menolak perahu kerana air timpas menyebabkan bapa terpaksa menanggung rasa gatal pada kulit yang amat kronik. Keadaan menjadi semakin serius apabila sewaktu bapa dan ahli keluarganya sedang duduk untuk makan bersama-sama tiba-tiba Anita cucunya menjerit kerana terkejut apabila melihat lengan bapa yang penuh dengan ‘sisik’ akibat penyakit gatalnya itu. Anita tidak dapat menahan rasa loya lalu termuntah melihat keadaan atuknya itu.

Tiba-tiba Anita meloya dan termuntah.

“Tangan atuk ada sisik, kotor!” Anita menjerit dengan geli gelemannya. Dia berundur ke belakang sambil menekup mulutnya.

(Ayahanda: 1997:170)

Dalam hiperteksnya Azizi tidak memasukkan tambahan ayat yang bercetak tebal. Namun untuk menunjukkan bahawa betapa bapa digambarkan sangat jijik sehinggkan cucunya sendiri menunjukkan reaksinya apabila melihat keadaan tangan bapa yang bersisik.

Tiba-tiba Anita meloya dan termuntah.

“Tangan atuk bersisik!” Anita menjerit dengan geli gelemannya.

(“Ranggi Anak Cucu” 1994:170)

Kesedihan yang ditanggung oleh bapa ini telah dimodifikasikan oleh pengarang selepas tiga tahun kelahiran cerpennya yang bertajuk “Ranggi Anak Cucu” (1994).

Pengarang telah melakukan beberapa pengubahsuaian untuk menimbulkan kesan yang mendalam dalam diri pembaca. Sudahlah permintaan bapa untuk makan bersama-sama seluruh ahli keluarganya dipandang ringan apabila cucu-cucunya serta menantunya tidak turut sama hadir untuk makan malam bersama. Pada malam itu sewaktu aku datang untuk meminta maaf daripada bapa setelah sedar bahawa perlakuan mereka telah menyinggung peasaan bapanya sendiri, maka dapat dilihat pengarang melakukan beberapa pengubahsuaian untuk meninggalkan kesan kepada pembaca dan bukan sekadar pemindahan fizikal semata-mata seperti mana yang terdapat dalam teori intertekstualiti. Hal ini dapat dilihat melalui petikan berikut:

Bapa menelentang. Matanya terkelip-kelip memandang siling rumah. Dua belah tangannya yang kelihatan bersisik, berdebu, kemerah-merahan kerana terlampau digaru itu diletak di atas dada.

Bapa seperti bersedia hendak melepaskan nyawanya kepada malaikat.

(“Ranggi Anak Cucu”, 1994: 289) Bapa tidur menelentang. Matanya terkelip-kelip memandang

siling rumah. Di sudut matanya meleleh air jernih. Tangannya yang kelihatan bersisik, berdebu dan melenyar itu, diletakkan di atas dada. Bapa seperti menahan gatal yang teramat. Bapa seperti merayu kepada malaikat supaya segera mencabut nyawanya.

(Ayahanda, 1997: 172)

Pemaparan keresahan dan kekecewaan yang dialami oleh bapa merupakan dialog yang harus diharmonikan oleh pembaca untuk mendatangkan kesan penghayatan yang lebih baik dan berkesan. Keberkesanan menghidupkan unsur dialogik ini dikonkritkan lagi melalui pemerian keadaan fizikal bapa yang menderita akibat penyakit kulit yang ditanggungnya. Frasa ‘di sudut matanya meleleh air jernih’ menunjukkan kedukaan yang dialami oleh bapa sedangkan perwatakan bapa sebelum ini digambarkan sebagai seorang yang keras hati. Watak bapa yang diperlihatkan sudah berumur dan ketuaannya dapat diasosiasikan dengan kemuraman, keterasingan dan kesepian. Malah bapa seolah-olah ‘merayu agar nyawanya segera dicabut oleh malaikat’ manakala dalam teks asal bapa pasrah dan bersedia untuk melepaskan nyawanya kepada malaikat.

Seterusnya melalui cerpen “Bapa” (1974), pengarang turut melakukan modifikasi dalam novel yang dihasilkan bertajuk Ayahanda (1997) Setelah 23 tahun kelahiran cerpen tersebut dilakukan, pengarang telah melakukan beberapa pengubahsuaian untuk memberi makna yang baru kepada khalayak. Maka di sinilah terletaknya keistimewaan karya baharu yang dihasilkan apabila bukan semata-mata pemindahan fizikal itu dilakukan sebaliknya telah memberi impak kepada khalayak tentang perasaan duka yang ditanggung oleh seorang bapa yang cuba disorokkan daripada pengetahuan anak-anaknya. Aku yang tidak sensitif dengan perasaan bapanya sendiri sanggup mengeluarkan kata-kata yang kesat sehingga mengguris hati seorang bapa. Hakikatnya seorang anak itu akan dianggap derhaka andainya dalam kata-katanya terhadap orang tua itu mengandungi kata-kata’ah’ seperti mana yang terdapat dalam surah al –Isra’ ayat 23 hingga 24 yang bermaksud,

“Dan Tuhanmu (Allah) telah memerintahkan hendaklah kamu jangan menyembah selain dari Dia (Allah), dan hendaklah kepada kedua-dua orang ibu bapa berbuat baik dengan sempurna. Jikalau salah seorang dari ibu bapamu atau keduanya sudah sampai kepada umur tua, janganlah sekali-kali kamu berkata ‘Ah!’ kepada mereka. Dan jangan pula kamu menengking mereka. Dan ucaplah kepada mereka perkataan yang sopan (dan hormat)”

Sensitiviti seorang bapa telah dilukiskan dengan baik oleh Azizi apabila beliau mempunyai kaedah atau cara untuk mendidik jiwa anak-anak secara berhemah dan sekaligus meruntuhkan ego anak yang secara sengaja telah melukai hati bapanya sendiri. Hal ini dapat dilihat melalui petikan berikut:

Aku rasa ayat yang ditulis bapa semacam menyindir aku. Bapa telah menganggap aku ini orang asing dan hutangnya padaku mesti dibayar.

(“Bapa”, 1975: 29)

Melihat cara modifikasi dan dilakukan dalam teks baharu ternyata telah membuka ruang untuk menghubungkan perwatakan dengan teknik laporan yang berkesan. Unsur dialogik dapat dihidupkan oleh pembaca dan mencantumkannya dalam minda untuk membentuk kesatuan idea. Teliti petikan di bawah ini:

Aku rasa ayat yang bapa tulis semacam menyindir aku. Patutlah bapa sampai bersusah payah mengirim surat. Bapa telah menganggap aku ini orang asing dan hutangnya padaku mesti dibayar. Seolah-olah aku ini bukan anaknya.

(Ayahanda,2001: 130)

Dalam teks yang telah berlakunya elemen modifikasi ini, pengarang telah melukiskan kedukaan seorang ayah setelah anaknya sanggup mengeluarkan kata-kata yang mengguris perasaannya. Lalu melalui teknik surat yang ringkas, pendek tetapi padat yang dihantar oleh bapa kepada aku menyebabkan aku rasa bersalah atas keterlanjuran kata-kata yang dihamburkan kepada bapanya sendiri. Hal ini dapat dilihat melalui teks asal yang dilakukan oleh pengarang dalam cerpen yang bertajuk “Bapa”:

Modifikasi terhadap peristiwa itu adalah untuk meninggalkan impak yang mendalam dalam diri pembaca. Melalui kata-kata yang dicetak tebal pengkaji mendapati pengarang telah menzahirkan rasa duka yang sewajarnya ditanam dalam diri seorang anak setelah terlanjur bicara hingga hati bapanya sendiri telah dilukainya. Ayat yang berbunyi Patutlah bapa sampai bersusah payah mengirim surat menunjukkan sikap bapa yang terlalu berduka dengan sikap anaknya yang biadap hinggakan terpaksa menghantar surat untuk secara tersiratnya mengharapkan si anak memaafkan bapa yang telah menggadaikan barang kemas ibunya untuk menggantikan dua keping papan yang telah diambil untuk dibuat perahu. Manakala frasa, Seolah-olah aku ini bukan anaknya menerangkan bahawa bapa begitu tegas dalam prinsip hidupnya yang tidak mahu ‘kalah’ dengan anaknya sendiri.

Jelaslah bahawa modifikasi yang berlaku dalam teks karya pengarang itu sendiri mempunyai tujuan dan matlamat untuk menimbulkan kesan dalam diri watak dan seterusnya pembaca yang menelaah novel tersebut.

In document NOVEL-NOVEL TERPILIH AZIZI HAJI ABDULLAH: (halaman 174-193)