• Tiada Hasil Ditemukan

BAB V SUNTINGAN TEKS DAN TRANSLITERASI NASKHAH

5.1 Dasar-dasar Penyuntingan Teks

Dalam konteks kajian ini—terutamanya untuk mencapai tujuan kajian selanjutnya—

pertanyaan yang harus diajukan dari senarai naskhah-naskhah pada bab IV ialah bagaimana caranya melalui naskhah-naskhah itu boleh menjelaskan dinamika wacana MN di Minangkabau? Bagaimana ia (naskhah dan kandungan isinya) mampu menjadi pintu masuk untuk melihat secara luas dan mendalam perihal dinamika wacana MN di Minangkabau? Jawapan untuk kedua-dua pertanyaan ini bukanlah objektif kajian ini, namun ia dijadikan jambatan dan landasan bagi jalan analisis agar sampai pada tujuan kajian yang telah ditetapkan sebelumnya.

Secara sederhana, naskhah-naskhah berkenaan dengan MN karya ulama-ulama Minangkabau itu boleh dibagi menjadi tiga kumpulan. Pertama, naskhah-naskhah berbahasa Arab dan kecenderungannya ialah salinan dari kitab-kitab pengarang Arab, daripadanya ialah Kitab Syaraf al-Anam. Naskhah-naskhah dalam kumpulan ini ialah Salinan-A sampai Salinan-D dan Salinan-F sampai Salinan-M. Naskhah-naskhah tersebut antaranya masih dibacakan pada perayaan MN di Minangkabau dan sebahagian yang lain hanya disimpan sahaja. Dalam perspektif CDA, hal yang penting untuk dijelaskan dari kumpulan naskhah ini ialah proses “produksi” dan “konsumsi” dalam kalangan penggunanya. Selain itu, fenomena perdagangannya juga penting untuk diungkap bagi menjelaskan dinamika wacana MN di Minangkabau. Berbagai-bagai motivasi dan dorongan ideologi untuk memiliki dan membaca naskhah-naskhah kumpulan ini merupakan data yang penting untuk dianalisis secara CDA.

Kedua, kumpulan naskhah yang ditulis dengan bahasa Melayu atau Melayu-Minangkabau, sama ada dalam bentuk prosa mahupun puisi (syair). Kumpulan naskhah ini cenderung berisi kisah MN dan dibacakan pada perayaan MN di Minangkabau, terutamanya dalam kalangan penganut Tarekat. Selalunya pada bahagian awal dan akhir berisi huraian kelebihan merayakan MN dan pembenaran/pembelaan terhadap bentuk-bentuk praktik perayaan MN. Naskhah-naskhah yang termasuk ke dalam kumpulan ini ialah Salinan-E, Salinan-N, dan Salinan-P. Melalui kandungan isi naskhah ini boleh menjelaskan dinamika wacana MN di Minangkabau, terutamanya dalam kalangan penganut Kaum Tua yang meraikannya.

Ketiga, kumpulan naskhah yang isinya secara khusus berkenaan dengan polemik perayaan MN di Minangkabau. Jika naskhah yang ditulis oleh ulama Kaum Muda, maka isinya cenderung satira, iaitu serangan terhadap praktik perayaan MN yang dipraktikkan oleh golongan ulama Kaum Tua. Dan, jika naskhah yang ditulis oleh ulama Kaum Tua, maka isinya lebih bersifat apologetik, iaitu pembelaan terhadap keyakinan perayaan MN dan berbagai-bagai praktik perayaannya. Naskhah Salinan-O, Salinan-Q, dan Salinan-R merupakan naskhah yang boleh dimasukkan dalam kumpulan ini. Melalui teks yang terkandung dalam naskhah ini, dapat dijelaskan salah satu aspek penting dalam dinamika wacana MN di Minangkabau, iaitu polemik perayaan MN antara golongan Kaum Muda dengan Kaum Tua.

Jelas bahawa dari ketiga-tiga kumpulan naskhah di atas, yang langsung berhubung kait dengan “produksi” teks berkenaan dengan wacana MN di Minangkabau ialah kumpulan kedua dan ketiga. Oleh sebab itu, diperlukan “teks terbaca” dari kedua-dua kumpulan tersebut. Melalui teks terbaca ini dilakukan interpretasi isi dan analisis konteksnya untuk menjelaskan dinamika wacana MN di Minangkabau. Dengan

demikian, diperlukan suntingan teks dan transliterasi dari naskhah terpilih dari kumpulan naskhah kedua dan ketiga. Pemilihan naskhah yang akan disunting ini didasarkan pada isi atau teks yang terkandung di dalam naskhahnya, iaitu dengan pertimbangan bahawa melalui teks itu—serta kaitannya dengan teks-teks lain—akan boleh menjelaskan dinamika wacana MN di Minangkabau.

Adapun naskhah yang akan disunting atau disusun edisi teksnya ialah Salinan-E dan Salinan-O. Kedua-dua naskhah ini memiliki kriteria pertimbangan di atas. Secara lebih terperinci, berikut ini disenaraikan alasan kenapa Salinan-E dan Salinan-O terpilih dan atau dipilih untuk disunting dan ditransliterasi. Pertama, Salinan-E masih diguna pakai oleh masyarakat Minangkabau—khususnya penganut Tarekat Syattariyah di Padang—untuk “pedoman” dan masih lagi dibacakan pada perayaan MN. Naskhah ini berisi tidak hanya kisah MN, tetapi juga berbagai-bagai pernyataan apologetik terhadap serangan ulama golongan Kaum Muda terhadap praktik perayaan MN di Minangkabau. Maknanya, perjalanan dan dinamika wacana MN di Minangkabau terakam dalam naskhah ini.

Untuk sekadar menambah deskripsi naskhah yang telah pun disebutkan pada bab IV, Salinan-E merupakan salinan yang lumayan panjang yang terdiri daripada 45 teks atau fasal. Bahagian pertama diberi judul oleh penulisnya dengan “mukadimah”.

Bahagian ini berisi huraian yang menjadi latar belakang penulisan naskhah. Adapun latar belakang penulisan naskhah ini dikemukakan oleh penulisnya, Imam Maulana Abdul Manaf Amin Al-Khatib, sebagai berikut.

“Dengan nama Allah kita tulis ini kitab yang menerangkan sejarah Maulud nya Nabi Muhammad s.m. dan fadilat nya iaitu yang bersangkutan kelebihan menghormati hari lahirnya junjungan kita nabi Muhammad s.m. Sebab di akhir-akhir ini sudah ada pula sebahagian dari ustaz bahawa

membesar-besarkan hari lahir Nabi Muhammad s.m adalah bidaah, sebab Nabi katanya tidak pernah membesarkan hari lahirnya”

(hlm. 3)

Bahagian kedua sampai dengan keempat puluh lima memaparkan cerita MN sampai hijrahnya ke Madinah. Masing-masing bahagian atau fasal diberi judul oleh penulisnya dan panjang pemaparan masing-masing fasal tidak sama. Penulisnya sering kali menyebutkan sumber kitab yang menjadi rujukan penulisannya. Hal ini, salah satunya, bertujuan untuk meyakinkan pembacanya (kaumnya) bahawa semua yang tertulis dalam naskhah tersebut merupakan ajaran yang benar dan berdasar. Adapun nama-nama judul setiap fasal dan letak halamannya boleh dilihat pada daftar isi yang terdapat di akhir halaman naskhah, yang dikutip sebagai berikut:

1. Mukadimah

2. Kelebihan memperingati Maulid Nabi ṣalla`Llāhualayhi wa sallam 3. Yang Mula-Mula mengadakan Perayaan Maulid

4. Tahun Lahir Nabi ṣalla`Llāhualayhi wa sallam 5.Kehancuran Tentera Abrahah

6. Nur Muhammad ṣalla`Llāhualayhi wa sallam 7. Nabi Dikandung Ibunya

8. Aminah dalam Kesedihan

9. Abdul Mutalib Menerima Khabar Gembira

10. Menyusukan Nabi Muhammad ṣalla`Llāhualayhi wa sallam 11. Muhammad Kembali kepada Ibunya

12. Isteri Aminah Wafat 13. Berangkat ke Negeri Syam 14. Pendeta Buhaira

15. Muhammad selalu Terpelihara 16. Ke Syam yang Kedua

17. Laporan Maysarah kepada Khadijah 18. Menjadi Hakim

19. Turun Wahyu

20. Orang yang Mula-Mula Beriman 21. Mulai Berterang-terang

22. Azab atas Kaum Muslimin 23. Bilal Diazab Kaum Quraisy

24. Kaum Quraisy Hendak Membunuh Nabi 25. Mereka Datang kepada Abu Talib 26. Ghassan Bin Malik al-Amri

27. Abu Jahal Berkirim Surat kepada Raja Habib 28. Kaum Quraisy Mencuba Menghalangi Nabi 29. Hijrah ke Habsyah yang Pertama

30. Dua Orang Pahlawan Quraisy 31Pengasingan Bani Hasyim 32.Hijrah ke Habsyah yang Kedua 33. Lima Orang Bangsawan Quraisy 34. ’Āmu `l-Ḥuzn

35. Hijrah ke Taif

36. Nabi Kahwin dengan Saudah dan Siti Aisyah 37. Islam Menjalar ke Madinah

38. Perjanjian Aqabah yang Kedua 39. Hijrah ke Madinah

40. Dāru `l-Nadwah

41. Syuraqah akan Menangkap Nabi 42. Nabi Bertemu Kafilah Buraidah 43. Nabi Memasuki Yathribah

44. Mukjizat Nabi ṣalla`Llāhualayhi wa sallam 45. Doa Maulid Nabi ṣalla`Llāhualayhi wa sallam

Ada yang perlu ditegaskan di sini, bahawa pemilihan naskhah ini juga didasarkan pada kelengkapan isi, iaitu berkenaan dengan MN. Selain itu, teks yang terkandung di dalam naskhah ini boleh mewakili ideologi MN dalam kalangan Kaum Tua di Minangkabau. Melalui teks ini—tentunya juga dikaitkan dengan teks-teks lain—

dapat menjelaskan ideologi berkenaan MN dalam kalangan ulama golongan Kaum Tua di Minangkabau. Dalam perspektif CDA, bahagian ini merupakan salah satu bahagian yang penting untuk dikemukakan dan dijelaskan.

Kedua, Salinan-O merupakan naskhah yang isinya khusus berkenaan dengan polemik berkenaan MN di Minangkabau. Sebagaimana disebutkan di atas, penulisnya ialah tokoh paling penting dalam kumpulan ulama golongan Kaum Muda di Minangkabau. Melalui teks ini—pastinya juga dikaitkan dengan teks lain—boleh digali dinamika wacana MN yang berkenaan dengan polemik keislaman tempatan. Dalam konteks ini, menarik jika disandingkan dengan Salinan-P yang merupakan syair apologetik terhadap Salinan-O. Namun demikian, transliterasi Salinan-P tidak dimasukkan dalam bab ini, tetapi ia akan menjadi lampiran sahaja. Alasannya jelas, bahawa naskhah yang terpilih untuk mewakili “semangat” Kaum Tua sudah diwakili

oleh Salinan-E. Teks Salinan-P jelas menjadi sumber penting dalam usaha memperoleh penjelasan yang seluas-luasnya dan sedalam-dalamnya berkenaan dinamika wacana MN di Minangkabau.

Salinan-O disebut oleh Kaptein (1993: 135) sebagai syair yang cukup panjang berkenaan gambaran polemik MN, khususnya di Minangkabau. Hal yang menarik dari teks ini ialah dalam hal setting waktunya, iaitu awal kurun ke-20. Maknanya, waktu mulainya polemik berkenaan MN di Minangkabau memuncak. Namun demikian, berbagai-bagai hal yang dikritik oleh HAKA dalam karyanya ini masih berlaku hingga kini di Minangkabau. Kompleksiti ini menjadi bahagian yang penting tentunya dalam menjelaskan dinamika wacana MN di Minangkabau.

Salinan-E ataupun Salinan-O dijadikan dasar dalam penjelasan dinamika wacana MN di Minangkabau. Sebagai sebuah dasar, maka kedua-dua teks dari dua salinan itu tidaklah berdiri sendiri. Kedua-dua teks ini sudah tentu berhubung kait dengan teks-teks lain yang terkandung di dalam naskhah-naskhah karya ulama Minangkabau berkenaan MN. Melalui perspektif CDA, semua dijalin menjadi makna yang luas, utuh, dan dalam tentang dinamika wacana MN di Ranah Minang.