• Tiada Hasil Ditemukan

PERSEPSI PELAJAR PELBAGAI ETNIK DI IPG KAMPUS GAYA TERHADAP KONSEP KELUARGA MALAYSIA

In document E-Prosiding PERSEP II 2022 (halaman 121-131)

112

PERSEPSI PELAJAR PELBAGAI ETNIK DI IPG KAMPUS GAYA

113 Pengenalan

Golongan belia merupakan pelapis negara yang akan menyumbang ke arah transformasi negara yang lebih maju. Golongan belia khususnya mahasiswa perlu dilatih dan dididik menjadi seorang warganegara yang mempunyai jiwa Keluarga Malaysia yang supaya dapat menjamin kelangsungan dan kemajuan negara. Menurut Yaakob Daud, et. al, (2017), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengambil berat dalam usaha melahirkan golongan belia yang berilmu pengetahuan, bersemangat muhibbah dan mempunyai berkepribadian tinggi. Hal ini untuk melahirkan belia yang mampu mengendalikan negara pada masa hadapan kelak. Namun demikian, walaupun mereka masih alam pendidikan, mereka juga mampu memberi idea-idea terhadap pembangunan negara bahkan dapat membantu negara dalam program-program sukarelawan. Sehubungan dengan itu, media sosial merupakan medium pengantaraan untuk golongan belia dalam menyampaikan hasrat serta keinginan mereka untuk kemajuan negara.

Bukan sahaja untuk menyampaikan hasrat malah ia juga tempat untuk mereka menyatakan keluhan mereka terhadap negara. Oleh itu, pemimpin-pemimpin haruslah memberi perhatian terhadap suara anak muda kerana mereka golongan belia kini menaruh harapan yang tinggi akan perubahan negara yang lebih positif.

Sehubungan dengan itu, slogan Keluarga Malaysia iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama masih lagi segar untuk golongan belia dan belum ada kajian bersifat empirikal yang membincangkan perkara ini. Oleh itu, tepat masanya untuk merungkai persepsi golongan belia terutamanya mahasiswa terhadap konsep Keluarga Malaysia dalam konteks pembangunan masyarakat.

Abad “Keluarga Malaysia”

Abad Keluarga Malaysia merupakan satu alternatif yang diperkenalkan pada 22 Ogos 2021 oleh Perdana Menteri ke-9, iaitu Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Alternatif ini merupakan satu pendekatan yang merentasi agama, bangsa dan kaum yang pelbagai di Malaysia dan seterusnya tidak dapat dinafikan dapat menjamin kemajuan negara.

Menurut ucapan yang disampaikan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pendekatan Keluarga Malaysia berpotensi untuk menjamin pembangunan serta kelangsungan setiap kelompok komuniti. Selain itu, konsep Keluarga Malaysia diibaratkan dapat mengikat rakyat yang berlatarbelakangkan pelbagai kaum menjadi sebuah keluarga yang besar.

Pelan konsep Keluarga Malaysia adalah berdasarkan tiga nilai utama, iaitu inclusivity (keterangkuman), common ground (kebersamaan), contentment (kesyukuran). Sebagaimana yang tertera di dalam pekeliling dasar keterangkuman gender negeri Pulau Pinang (2019), istilah ‘keterangkuman’ didefinisikan sebagai penerimaan serta penghormatan terhadap keperluan individu yang mempunyai pelbagai variasi dalam sesebuah komuniti dan keseimbangannya adalah terjamin. Justeru dalam konteks konsep Keluarga Malaysia, nilai keterangkuman membawa maksud setiap rakyat Malaysia menerima dan menghormati rakyat lain yang berlatarbelakangkan kaum yang berbeza. Seterusnya nilai kedua iaitu kebersamaan lebih menekankan kepada penghargaan terhadap persamaan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), istilah kebersamaan ditakrifkan sebagai keadaan atau hal bersama dengan masyarakat lain. Hal ini dikukuhkan dengan pernyataan yang dikemukakan oleh Othman Napiah (2005) dalam bukunya Kebersamaan dalam Ilmu Tasawuf, bahawa rasa kebersamaan dengan anggota masyarakat ini menyebabkan setiap individu berasa seakan ‘terikat’ di antara satu sama lain. Nilai ketiga kesyukuran pula seperti yang dikemukakan di dalam portal rasmi National Institute of Public Administration (INTAN) dalam konteks Keluarga Malaysia,

114 merupakan rasa syukur terhadap toleransi dalam kalangan masyarakat agar tidak akan mewujudkan bibit-bibit perbezaan status masyarakat serta konflik.

Konsep Keluarga Malaysia dibina berdasarkan satu visi, iaitu memulihkan negara dan mencapai status Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi. Hal ini demikian kerana, alternatif Keluarga Malaysia ini diperkenalkan semasa berlakunya pandemik secara besar-besaran di Malaysia. Pandemik akibat penyebaran wabak Covid-19 ini memberi impak besar kepada negara khususnya dari segi status ekonomi negara. Dalam erti kata lain, status ekonomi negara terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan atas sebab kedesakan situasi. Hal ini dikukuhkan dengan bukti pernyataan media yang dikeluarkan oleh Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut negeri bagi tahun 2021 bahawa ekonomi Malaysia telah mengalami penyusutan sebanyak 5.5% pada tahun 2020 kesan daripada krisis global Covid-19. Namun pada tahun 2021, ekonomi Malaysia menunjukkan pemulihan iaitu meningkat sebanyak 3.1%. Peningkatan tersebut berlaku sejurus selepas konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan. Justeru, masyarakat tidak dapat menjalankan rutin harian mereka termasuk pergi bekerja. Hal ini menyebabkan masyarakat tidak dapat mencari sumber pendapatan seperti sedia kala. Maka, konsep Keluarga Malaysia telah diperkenalkan demi membantu memulihkan kembali negara Malaysia dan seterusnya mendorong kepada peningkatan status ekonomi negara Malaysia.

Pelan Keluarga Malaysia mempunyai tiga bidang tumpuan utama yang terdiri daripada yang pertama sekali, memulih semula serta merapatkan jurang ekonomi. Tumpuan yang pertama ini adalah bertujuan untuk menitikberatkan tentang aktiviti ekonomi yang semakin merundum di Malaysia akibat pandemik Covid-19. Justeru, pelbagai alternatif yang akan diambil oleh kerajaan demi menjayakan matlamat pelan Keluarga Malaysia, iaitu menstabilkan kembali status ekonomi negara. Tumpuan yang kedua adalah untuk menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia di bawah naungan Keluarga Malaysia. Justeru, perpaduan rakyat Malaysia yang terkenal dengan variasi kaum akan dipertingkatkan demi menjamin kesefahaman di antara satu sama lain. Dengan adanya persefahaman yang baik dalam kalangan rakyat, kemajuan negara dapat dipertingkatkan dan seterusnya menjamin keharmonian negara. Tumpuan yang terakhir dalam pelan Keluarga Malaysia adalah untuk mengetepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan. Umumnya, setiap rakyat mempunyai pendapat politik yang berbeza di antara satu sama lain. Maka, tumpuan ketiga ini mendidik rakyat untuk tidak menjadikan perbezaan pendapat tentang politik sebagai satu jurang dalam kalangan rakyat. Hal ini demikian untuk menjamin kestabilan negara dari segi ekonomi, keselamatan dan keharmonian.

Metode kajian

Pendekatan kajian ini melibatkan aplikasi kaedah kuantitatif melalui teknik survey yang menggunakan borang soal selidik. Borang soal selidik diedarkan kepada 250 orang pelajar IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu. Pelajar-pelajar ini terdiri daripada pelajar dari Semester 1, Semester 4, Semester 6 dan Semester 8. Pengedaran borang soal selidik ini ialah secara rawak untuk memastikan kepelbagaian kumpulan etnik dan latar belakang pelajar tersebut. Kaedah pengedaran ini penting untuk memastikan variasi persepsi golongan belia khususnya pelajar IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu terhadap konsep Keluarga Malaysia berasaskan persekitaran serta kumpulan etnik mereka. Sehubungan dengan itu, saiz sampel yang melibatkan 250 pelajar dijangka akan memberi gambaran yang jelas terhadap konsep Keluarga Malaysia di IPG Kampus Gaya.

Dalam borang soal selidik yang diedarkan, terdapat tiga bahagian yang diberi tumpuan iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Setiap kata kunci itu mempunyai tiga

115 soalan yang perlu dijawab oleh responden dengan menyatakan skala dari 5 hingga 1 dimana skala 5=Sangat setuju, 4=Setuju, 3=Kurang pasti, 2=Tidak setuju, 1=Sangat tidak setuju.

Pensampelan berstrata telah digunakan untuk mendapatkan hasil kajian dimana responden dikategorikan kepada etnik berdasarkan kepada populasi iaitu Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak, Melayu, Cina, India dan lain-lain. Sehubungan dengan itu, kajian ini mengambil kira faktor etnik sebagai salah satu indikator dalam mempengaruhi persepsi pelajar IPG Kampus Gaya terhadap konsep Keluarga Malaysia. Hal ini demikian kerana setiap kumpulan etnik yang berbeza kebiasaannya mempunyai pelbagai pandangan terhadap sesuatu perkara.

Dapatan dan perbincangan

Dapat dirumuskan daripada respon-respon yang diberikan oleh pelajar, terdapat pelbagai persepsi pelajar IPG Kampus Gaya yang dikaji berlandaskan jenis etnik terhadap konsep

‘Keluarga Malaysia’. Secara umumnya, terdapat lapan etnik pelajar yang dikaji dalam kajian ini, iaitu terdiri daripada etnik Melayu, Cina, India, bumiputera Sabah dan bumiputera Sarawak. Sebanyak 250 pelajar telah memberi respon kepada borang soal selidik yang telah diedarkan untuk kajian ini. Hasil daripada analisis menunjukkan bahawa pelajar bumiputera Sabah merupakan jumlah responden tertinggi dalam kajian ini, iaitu sebanyak 35.2%. Hal ini demikian kerana, majoriti pelajar IPG Kampus Gaya merupakan pelajar bumiputera Sabah diikuti dengan Melayu, Bumiputera Sarawak, Cina, lain-lain dan India. Berikut merupakan carta pai yang menunjukkan peratusan responden berdasarkan jenis etnik:

Rajah 1: Peratusan Responden Berdasarkan Kumpulan Etnik

Tidak dapat dinafikan bahawa kepelbagaian etnik tersebut mendorong kepada wujudnya perbezaan persepsi dalam kalangan pelajar IPG Kampus Gaya. Hal ini dikatakan demikian kerana perbezaan etnik merupakan salah satu faktor terbesar yang menyebabkan perbezaan cara berfikir seseorang individu. Hal ini dikukuhkan dengan dapatan kajian Zulkifley Hamid & Muammar Ghaddafi Hanafiah (2016) yang menyatakan bahawa perbezaan

116 cara berfikir dalam kalangan belia Malaysia adalah disebabkan perbezaan etnik, tahap umur serta status ekonomi. Selain itu, analisis menunjukkan bahawa majoriti responden dalam kajian ini merupakan responden perempuan. Sebanyak 82% responden dalam kajian ini merupakan pelajar perempuan dan 18% merupakan responden pelajar lelaki. Jumlah responden perempuan adalah tinggi demikian kerana majoriti pelajar IPG Kampus Gaya merupakan pelajar perempuan manakala pelajar lelaki merupakan golongan minoriti di IPG Kampus Gaya.

Rajah 2: Peratusan Responden Berdasarkan Jantina Pelajar IPG Kampus Gaya Kepelbagaian persepsi pelajar IPG Kampus Gaya terhadap konteks konsep Keluarga Malaysia dapat dilihat dengan lebih terperinci dalam Graf 1, 2, 3 serta 4.

Rajah 3: Graf persepsi pelajar IPG Kampus Gaya terhadap ciri keterangkuman dalam konsep Keluarga Malaysia

117 Berdasarkan kepada graf 1, sebahagian besar responden pelajar IPG Kampus Gaya tidak kira etnik telah menunjukkan sokongan terhadap pernyataan pertama pada teras satu, iaitu yang menyatakan: Konsep Keluarga Malaysia melibatkan inklusiviti di mana rakyat pada era Keluarga Malaysia saling menghormati dan mengasihi sesama keluarga. Dalam erti kata lain, majoriti responden pelajar IPG Kampus Gaya telah memberi skala lima pada pernyataan tersebut, iaitu ‘sangat setuju’ bahawa ciri keterangkuman dalam pelan Keluarga Malaysia dapat dicapai pada era Keluarga Malaysia kini. Hal ini membuktikan bahawa majoriti pelajar IPG Kampus Gaya peka terhadap isu semasa terkini di mana mereka dapat membezakan perubahan yang berlaku daripada sebelum kewujudan konsep Keluarga Malaysia dan semasa konsep tersebut telah diperkenalkan di Malaysia. Selain itu, dapat dilihat juga pada graf 1 dimana hanya sebahagian sahaja pelajar dari pelbagai kaum menyokong skala tiga iaitu “tidak pasti”.

Perkara ini menunjukkan bahawa mereka masih belum mendalami dengan lebih dalam berkenaan dengan teras pertama iaitu ciri keterangkuman dalam era Keluarga Malaysia. Bukan itu sahaja, dapat disimpulkan daripada graf 1 bahawa responden pelajar IPG Kampus Gaya tidak mempunyai pendapat yang bertentangan daripada pernyataan yang diberi. Hal ini demikian kerana tidak ada responden yang memberi skala empat dan lima, iaitu ‘tidak setuju’

dan ‘sangat tidak setuju’ terhadap pernyataan yang diberi. Kesimpulannya, responden pelajar IPG Kampus Gaya tidak kira etnik memberi persepsi yang sama terhadap penyataan dalam teras yang pertama, iaitu menunjukkan sokongan terhadap pernyataan tersebut.

Rajah 4: Persepsi pelajar IPG Kampus Gaya terhadap ciri kebersamaan dalam konsep Keluarga Malaysia

Berdasarkan kepada graf 2 iaitu bagi teras kebersamaan yang menyatakan:

Kebersamaan membawa kepada perubahan yang positif dalam sistem politik Malaysia. Bagi pernyataan ini, majoriti pelajar IPG Kampus Gaya dari pelbagai bangsa menyokong skala lima iaitu “sangat setuju”. Perkara ini membuktikan bahawa para pelajar masih mengambil berat terhadap isu politik di Malaysia. Sehubungan dengan itu, pelajar-pelajar ini juga sudah pandai untuk mengaitkan isu politik dengan Keluarga Malaysia. Dapat dilihat dari graf 2, kaum yang

118 paling ramai menyokong skala 5 ialah dari bumiputera Sabah. Hal ini berkemungkinan kerana para pelajar IPG Kampus Gaya dari bumiputera Sabah mengambil berat berkaitan dengan isu politik yang berlaku di Sabah. Mereka tahu akan setiap perubahan yang berlaku sepanjang Keluarga Malaysia dilancarkan oleh Perdana Menteri kita iaitu Dato’ Seri Ismail Sabri. Bukan itu sahaja, pelajar-pelajar dari kaum lain juga masih peka terhadap politik di tempat masing-masing kerana berdasarkan graf 2, mereka sudah mampu menilai perubahan yang positif atau yang negatif. Namun demikian, tidak dapat dinafikan juga bahawa masih terdapat pelajar yang tidak setuju akan pernyataan di atas. Hal ini demikian kerana mungkin di kawasan mereka belum terjadi apa-apa perubahan yang positif sepanjang Keluarga Malaysia diwujudkan.

Justeru, dalam hal ini pihak kerajaan haruslah mengambil inisiatif yang bermakna bagi membuktikan bahawa Keluarga Malaysia dapat memberi impak yang positif terhadap sistem politik di Malaysia. Bukan itu sahaja, kebersamaan dalam Keluarga Malaysia akan tercapai jika semua rakyat Malaysia memberi kerjasama kepada kerajaan dalam merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia.

Rajah 5: Persepsi pelajar IPG Kampus Gaya terhadap ciri kesyukuran dalam konsep Keluarga Malaysia

Berdasarkan graf 3, majoriti responden dari Bumiputera Sabah memberi sokongan yang banyak pada skala 5 iaitu “sangat setuju”. Graf ini menunjukkan ciri kesyukuran dalam konsep Keluarga Malaysia yang menyatakan: Konsep Keluarga Malaysia membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Bagi kaum lain pula, yang majoriti mereka menyokong skala lima untuk pernyataan ini. Hal ini demikian kerana pada musim pandemik, keadaan masyarakat menjadi huru-hara. Hal ini dibuktikan apabila ramai golongan belia menyatakan ketidakpuasan hati mereka di media sosial. Oleh itu, melalui penubuhan Keluarga Malaysia pada tahun 2021, keharmonian antara masyarakat semakin wujud. Berdasarkan garf 2, pelajar IPG Kampus Gaya dapat melihat masyarakat yang harmoni walaupun masih dalam pandemik Covid-19. Justeru, ia bermakna bahawa penubuhan Keluarga Malaysia memberi impak yang sangat positif kepada pembangunan masyarakat yang harmoni. Satu kelompok masyarakat yang harmoni sangatlah

119 penting kerana ia dapat memudahkan semua pihak bagi menjalankan pelbagai urusan. Tidak dinafikan bahawa masyarakat yang hidup dalam kawasan yang sejahtera akan memberi impak yang positif kepada pembangunan negara ke arah lebih maju setanding dengan negara-negara luar. Oleh hal yang demikian, dalam pelaksanaan Keluarga Malaysia adalah lebih wajar jika segala perkara negatif dapat dielakkan demi mencapai visi dan misi Keluarga Malaysia. Namun demikian, segelintir pelajar IPG Kampus Gaya khususnya pelajar dari Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak masih tidak pasti akan wujudnya keharmonian pada era Keluarga Malaysia. Hal ini demikian kerana kemungkinan mereka belum pasti sama ada mereka tinggal di dalam kehidupan yang harmoni atau sebaliknya.

Rajah 6: Graf persepsi pelajar IPG Kampus Gaya terhadap perkembangan ekonomi dalam konsep Keluarga Malaysia

Berdasarkan kepada graf 4, majoriti responden pelajar IPG Kampus Gaya tidak kira etnik menunjukkan sokongan terhadap pernyataan pertama pada teras yang keempat. Teras keempat adalah bertujuan untuk menganalisis persepsi pelajar IPG Kampus Gaya terhadap perkembangan ekonomi semasa konsep Keluarga Malaysia dilaksanakan. Pernyataan tersebut berbunyi: Pada era Keluarga Malaysia, peluang pekerjaan semakin terbuka luas untuk semua etnik di Malaysia. Namun, terdapat sebahagian kecil yang menunjukkan persepsi bertentangan, di mana mereka telah memberi skala keempat dan kelima, iaitu ‘tidak setuju’ dan ‘sangat tidak setuju’ terhadap pernyataan tersebut. Sebahagian kecil tersebut merupakan responden pelajar daripada etnik bumiputera Sabah, bumiputera Sarawak dan Melayu. Dapat disimpulkan bahawa, minoriti daripada ketiga-tiga kaum tersebut mempunyai persepsi yang berbeza dan tidak bersependapat bahawa peluang pekerjaan semakin terbuka luas semasa era Keluarga Malaysia. Secara tidak langsung daripada kajian ini, dapat dirumuskan bahawa pelajar generasi kini semakin peka terhadap isu-isu semasa dan perkembangan ekonomi negara. Hal ini demikian kerana, mereka dapat memberi skala yang jelas mengikut persepsi mereka. Selain itu, didapati bahawa segelintir pelajar memberi skala tiga, iaitu ‘tidak pasti’ terhadap pernyataan berkenaan dengan perkembangan ekonomi pada era Keluarga Malaysia kini.

Justeru, tidak dapat dinafikan juga bahawa daripada kajian ini dapat dilihat terdapat responden

120 pelajar yang tidak peka terhadap status ekonomi khususnya pada zaman pandemik Covid-19 dimana berlaku pelbagai perubahan ekonomi di Malaysia. Oleh itu, berdasarkan hasil analisis pada graf empat, dapat disimpulkan bahawa setiap etnik menunjukkan persepsi yang berbeza berkenaan dengan suatu pernyataan.

Rumusan

Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan dengan jelas bahawa setiap etnik dari kalangan responden pelajar IPG Kampus Gaya menunjukkan pelbagai persepsi terhadap konsep Keluarga Malaysia. Persepsi yang berbeza berdasarkan kumpulan etnik adalah suatu senario yang tidak pelik, demikian kerana setiap etnik dididik dengan fahaman yang tersendiri. Hal ini dikukuhkan dengan pernyataan di dalam kajian Mohd Mahadee Ismail, Mohd Sabri Mohd Nor

& Zatul Himmah Adna (2019) yang menyatakan perbezaan persepsi berdasarkan kumpulan etnik merupakan perkara yang sememangnya telah dijangka berdasarkan kepada bentuk masyarakat Malaysia yang bersifat multi-etnik, multi-budaya serta multi-agama. Justeru, kepelbagaian tersebut menjadi faktor utama kepada perbezaan persepsi responden pelajar IPG Kampus Gaya. Di samping perbezaan persepsi dalam kajian ini, masih dapat dilihat bahawa majoriti responden pelajar IPG Kampus Gaya tidak kira etnik menunjukkan sokongan terhadap ciri-ciri dalam konsep Keluarga Malaysia dapat dicapai pada era kini khususnya etnik Melayu, bumiputera Sabah dan bumiputera Sarawak. Bumiputera Sabah dilihat lebih objektif dalam mengemukakan pendapat mereka mengenai isu ekonomi kini, iaitu pada era Keluarga Malaysia. Mereka berpendapat sangat realistik dan berpandukan keadaan masyarakat di Sabah kini. Namun begitu, lebih daripada separuh bumiputera Sabah menunjukkan sokongan terhadap pernyataan berkenaan dengan ekonomi negara. Hal ini seiring dengan persepsi majoriti responden pelajar IPG Kampus gaya daripada kumpulan etnik yang berlainan. Dapat dirumuskan majoriti responden pelajar IPG Kampus Gaya menunjukkan sokongan terhadap perlaksanaan konsep Keluarga Malaysia. Dalam erti kata lain, matlamat konsep Keluarga Malaysia tercapai.

Sebagai cadangan untuk kajian akan datang, skop sasaran responden akan diperluaskan meliputi seluruh pelajar Institut Pendidikan Guru seluruh Malaysia. Hal ini bertujuan sebagai persediaan pelajar IPG sebagai seorang bakal guru baharu yang menyokong aspirasi pendidikan negara. Hal ini dapat membantu pengkaji untuk menganalisis persepsi masyarakat dengan lebih luas dan seterusnya dapat mengkaji serta membandingkan persepsi golongan yang berumur dan golongan belia. Akhir sekali, persepsi yang diberi dalam kalangan responden pelajar IPG Kampus Gaya memberi impak besar kepada kajian ini. Dengan persepsi mereka, dapat dianalisis tentang pelaksanaan konsep Keluarga Malaysia.Tidak dapat dinafikan bahawa perbezaan persepsi adalah penting demi dijadikan sebagai panduan untuk masyarakat yang bervariasi etnik di Malaysia menjalani kehidupan bersama.

Rujukan

Abdul Aqmar Ahmad Tajudin & Muhamad Nadzri Mohemed Noor. (2021). Budaya politik federal: Memikirkan federalisme Malaysia dari perspektif normatif. Malaysian Journal of History, Politics & Strategic Studies, 48 (2), 138-163.

Abdul Aziz A’zmi, Farrah Wahida Mustafar, Aimi Khairunnisa Abdul Karim & Nurliana Suhaini. (2017). Realiti kepelbagaian kaum ke arah perpaduan nasional pasca merdeka.

Jurnal Sains Sosial, 2(1), 1-24.

121 Dori Efendi & Jayum Jawa. (2017). Pembangunan Politik dan Pendemokrasian: Suatu Analisis

Konseptual. Journal of Social Sciences and Humanities, 12(3), ms 1-13.

Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perangkaan Malaysia. (2022). Kenyataan media KDNK

mengikut negeri.

https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/5_Gallery/2_Media/4_Stats%40media/4-Press_Statement/2022/06.%20JUN/KDNK%20Negeri%202021.pdf

Jabatan Perdana Menteri. (2022). Keluarga Malaysia. https://keluargamalaysia.gov.my/en/

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2015). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang. (2020). Dasar Keterangkuman Gender.

https://www.penang.gov.my/images/dasarnegeri/(D)%20Dasar%20Keterangkuman%

20Gender.pdf

Mohd Mahadee Ismail, Mohd Sabri Mohd Nor & Zatul Himmah Adna. (2019). Persepsi Golongan Mahasiswa Pelbagai Etnik Terhadap “Malaysia Baharu” Dalam Pembangunan Masyarakat Di Semenanjung Malaysia. Prosiding Persidangan Serantau Peradaban dan Etnik (PERSEP 2019), Sabah.

Muhammad Nadzif Ramlan, Faidhi Hakim Mohd Nordin & Muhammad Faris Shamsur Baharim. (2021). ‘Keluarga Malaysia’ from the social perspective of Islam, linguistics and economics. Persatuan Ulama’ Malaysia Muslim Scholars Association of Malaysia.

25-56.

National Institute of Public Administration (INTAN). (n.d.). Keluarga Malaysia.

https://www.intanbk.intan.my/iportal/en/civil-servant/national-agenda/keluarga-malaysia

Othman Napiah. (2005). Kebersamaan dalam ilmu tasawuf. Johor: Universiti Teknologi Malaysia Press.

Salmiwati Othman, Roshima Said & Awis, M., L. (2021). Wanita Dalam Konsep Keluarga

Malaysia BERNAMA.

https://www.researchgate.net/publication/356984869_Wanita_dalam_konsep_keluarg a_Malaysia_BERNAMA

Solahuddin Abdul Hamid, Mohd Nizho Abdul Rahman, Syed Sultan Bee Packeer Mohamed, Muhamad Amar Mahmad, Khairiah Mohd Yassin, Suhanim Abdullah, Syahrul Faizaz Abdullah, Muhammad Ahmad, Azman Md Zain, Rafidah Mohamad Cusairi &

Mohamad Faizal Abd Matalib. (2019). Hubungan etnik. Kedah: Universiti Utara Malaysia Press.

Yaakob Daud, Yahya Don, Mohd Isha Awang, Siti Hajar Mohamad Yusoff, Kamaruddin Kasim & Shukri Zain. (2017). Kefungsian keluarga dalam kalangan belia di Malaysia.

Malaysia Journal of Youth Studies, 20 (1), 43-60.

Zulkifley Hamid & Muammar Ghaddafi Hanafiah. (2016). Pemikiran Belia Malaysia:

Pengaruh Umur, Etnisiti dan Status Ekonomi. GEOGRAFIA Online™ Malaysia Journal of Society and Space. Selangor, Malaysia.

122

KRT SEBAGAI TAPAK INTEGRASI: PERANANNYA DALAM

In document E-Prosiding PERSEP II 2022 (halaman 121-131)