• Tiada Hasil Ditemukan

Bilangan penduduk Brunei pada zaman Pentadbiran Residen British I telah bertambah dengan drastik. Jika dikira dari anggaran penduduk pada tahun 1906, penduduk Brunei telah meningkat sebanyak 63.1 peratus daripada 25,000 orang pada tahun 1906 kepada 40,774 orang pada tahun 1941. Peratusan peningkatan ini menjadi 87.7 peratus, jika dikira daripada banci penduduk pertama Brunei tahun 1911, iaitu daripada 21,718 orang pada tahun 1911 kepada 40,774 orang pada tahun 1941 (lihat Jadual 3.3).

Dalam tempoh zaman tersebut, banci penduduk dijalankan sebanyak tiga kali, iaitu pada tahun 1911, 1921 dan 1931. Berdasarkan kepada ketiga-tiga banci tersebut, didapati bilangan penduduk daripada semua komuniti kecuali komuniti lain-lain adalah bertambah pada setiap banci. Komuniti Melayu dan puak asli lain merupakan komuniti terbanyak di Brunei pada masa itu. Walaupun peratusan komuniti ini daripada jumlah keseluruham penduduk menurun pada setiap banci, namun dari segi bilangannya sentiasa bertambah, iaitu daripada 20,881 orang pada tahun 1911, kepada 23,943 dan 26,972 pada tahun 1921 dan 1931 (lihat Jadual 3.4). Pertambahan komuniti ini disebabkan tahap kesihatan yang bertambah baik hasil usaha pihak pentadbiran dalam mempertingkatkan dan memperluaskan mutu perkhidmatan kesihatan. Di samping itu penguatkuasaan undang-undang yang menegah penduduk tempatan berhijrah keluar negeri khasnya kawasan berhampiran Sarawak dan Borneo Utara juga antara penyebab pertambahan komuniti ini (Jatswan, 1995: 104-105).

Berikutan perkembangan yang menggalakkan perusahaan getah pada tahun 1920an dan perusahaan minyak dan gas pada tahun 1930an seperti yang dijelaskan sebelum ini telah menarik ramai komuniti Cina untuk berhijrah ke Brunei. Walau bagaimanapun, penghijrahan komuniti ini ke Brunei bukanlah secara langsung dari benua

Jadual 3.3: Jumlah Penduduk Brunei 1906-1941 (Brunei Annual Report, Pelbagai keluaran; BDSYB, Pelbagai keluaran)

Tahun Jumlah Penduduk

1906 25,000

1907-1910 t.d.

1911 21,718*

1912-1920 t.d.

1921 25,451*

1922-1926 t.d.

1927 37,878

1928 35,000

1929 28,329

1930 31,170

1931 30,135*

1932 30,590

1933 32,900

1934 32,971

1935 33,732

1936 34,016

1937 35,963

1938 37,868

1939 39,387

1940 39,445

1941 40,774

Nota: * - data Banci Penduduk.

t.d. - tiada data.

Jadual 3.4: Penduduk Brunei Mengikut Banci Penduduk 1911, 1921 dan 1931 (Brunei Annual Report, 1911: 11; Nathan, 1922: 126)

Kaum/Tahun 1911 1921 1931

Bil. % Bil. % Bil. %

Melayu dan

Puak Asli Lain 20,881 96.15 23,943 94.06 26,972 89.50

Eropah 20 0.09 35 0.14 60 0.20

Eurasian 2 0.01 1 0.004 10 0.03

Cina 736 3.39 1,423 5.59 2,683 8.90

India 44 0.20 38 0.15 377 1.25

Lain-Lain 35 0.16 11 0.04 33 0.11

Jumlah 21,718 100 25,451 100 30,135 100

China tetapi melalui Singapura atau kawasan berhampiran seperti Jesselton, Labuan dan Miri (Jatswan, 1995: 106: Brunei Annual Report, 1924: 24; Jiram, 1997: 186).

Penghijrahan ini telah menjadikan komuniti ini menjadi komuniti kedua terbanyak di Brunei. Di samping itu, bilangan dan peratusan komuniti ini juga sentiasa meningkat pada setiap banci, iaitu daripada 736 orang (3.39 peratus) pada tahun 1911, menjadi 1,423 orang (5.59 peratus) pada tahun 1921 dan seterusnya menjadi sebanyak 2,683 orang (8.90 peratus) pada tahun 1931 (lihat Jadual 3.4). Ini menunjukkan bahawa dari tahun 1911 hingga tahun 1931, komuniti Cina telah bertambah sebanyak 265.0 peratus.

Walaupun bilangan dan peratusan komuniti India mengalami sedikit penurunan daripada 44 orang pada tahun 1911 kepada 38 orang pada tahun 1921. Namun demikian, pada tahun 1931 komuniti ini telah bertambah sebanyak 892.1 peratus daripada tahun 1921 yang menambahkan komuniti ini menjadi 377 orang (lihat Jadual 3.4).

Pertambahan sangat drastik tersebut adalah kesan daripada penguatkuasaan The Indian Immigration Enactment pada tahun 1924 (Brunei Annual Report, 1924: 6), berikutan keperluan tinggi terhadap tenaga buruh India daripada ladang-ladang getah dan syarikat cari gali minyak kepunyaan pemodal barat. Sama seperti komuniti Cina, kemasukan komuniti India ke Brunei dibawa dari Singapura dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Jatswan, 1995: 106-107).

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, pihak pentadbiran telah memberi ruang yang luas kepada para pemodal barat untuk mengusahakan beberapa kegiatan ekonomi di Brunei. Keadaan ini sekali gus telah menambahkan bilangan komuniti Eropah dan Eurasian. Walaupun bilangan dan peratusan kedua-dua komuniti ini sangat kecil jika dibandingkan dengan komuniti-komuniti lain, namun bilangan kedua-dua komuniti ini telah bertambah dengan drastik pada tahun 1931. Ini jelas apabila komuniti Eropah telah

meningkat sebanyak 200 peratus, iaitu daripada 20 orang pada tahun 1911 kepada 60 orang pada tahun 1931. Begitu juga komuniti Eurasian, telah bertambah daripada dua orang pada tahun 1911 kepada 10 orang pada tahun 1931 iaitu peningkatkan sebanyak 400 peratus (lihat Jadual 3.4). Peningkatan drastik kedua-dua komuniti ini berkaitan dengan kejayaan penemuan minyak oleh pihak BMPC pada tahun 1929 yang menghendaki mereka untuk membawa masuk lebih ramai komuniti Eropah dan Eurasian selaku tenaga mahir dalam perusahaan minyak.

Peningkatan bilangan dan peratusan bagi komuniti-komuniti di atas tidak berlaku bagi komuniti lain-lain. Ini jelas, walaupun komuniti lain-lain telah bertambah daripada 11 orang pada tahun 1921 kepada 33 orang pada tahun 1931, namun jumlah ini tetap menurun jika dibandingkan dengan jumlah komuniti ini pada tahun 1911 seramai 35 orang (lihat Jadual 3.4). Dengan pertambahan drastik bilangan penghijrahan komuniti Cina, India, Eropah dan Eurasian, menunjukkan bahawa pada zaman Pentadbiran Residen British I telah lahir sebuah masyarakat kosmopolitan di Brunei yang boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu peribumi dan imigran.

Taburan penduduk dalam ketiga-tiga banci penduduk Brunei juga memperlihatkan bahawa pertambahan penduduk dipengaruhi oleh keadaan ekonomi, perkembangan pusat bandar (pentadbiran) dan perdagangan. Perkara ini jelas apabila sebahagian besar penduduk menetap di daerah Brunei yang menjadi pusat pentadbiran dan perdagangan. Sungguhpun daerah ini menjadi tumpuan penduduk, namun bilangan penduduknya pada tahun 1921 telah mengalami penurunan 2.3 peratus daripada tahun 1911, iaitu daripada 14,663 orang pada tahun 1911 menjadi 14,130 pada tahun 1921.

Penurunan ini disebabkan penghijrahan penduduk daerah Brunei ke daerah-daerah lain untuk menjadi buruh di beberapa buah syarikat kepunyaan pemodal barat. Pada tahun

1931, barulah jumlah penduduk daerah Brunei bertambah daripada 14,130 orang pada tahun 1921 kepada 16,686 orang pada tahun 1931, iaitu pertambahan sebanyak 18.1 peratus (lihat Jadual 3.5).

Taburan jumlah penduduk di daerah-daerah lain pula lebih dipengaruhi oleh perkembangan ekonomi yang diusahakan. Perkara ini jelas apabila jumlah penduduk yang menetap di daerah Belait yang hanya meningkat sebanyak 36 peratus dalam tempoh antara tahun 1911 hingga 1921, telah meningkat dengan drastik sebanyak 152.7 peratus pada tempoh 10 tahun kemudian (1921-1931). Peningkatan drastik ini disebabkan penemuan minyak di daerah Belait pada tahun 1929. Manakala daerah Tutong yang terletak di antara daerah Brunei dan daerah Belait juga telah mengalami pertambahan penduduk pada setiap banci. Penduduk yang menetap di daerah ini telah bertambah daripada 3,423 orang pada tahun 1911 kepada 4,319 dan 5,651 pada tahun 1921 dan 1931 (lihat Jadual 3.5). Pertambahan ini juga disebabkan oleh kewujudan beberapa kegiatan ekonomi terutama sektor perhutanan dan pertanian seperti sagu, kayu balak dan getah (Brunei Annual Report, 1911: 6).

Kepentingan ekonomi dalam mempengaruhi bilangan penduduk tersebut bertambah jelas lagi apabila bilangan penduduk yang menetap di daerah Muara (Brooketon) dan daerah Temburong hanya mengalami peningkatan pada tempoh tahun 1911 hingga 1921 sahaja. Manakala pada tempoh tahun 1921 hingga 1931 telah mengalami penurunan. Peningkatan pada tempoh awal tersebut disebabkan perkembangan pesat perusahaan arang batu di daerah Muara dan perusahaan getah di daerah Temburong. Apabila perusahaan arang batu mengalami kemerosotan pada pertengahan tahun 1920an dan kejatuhan harga getah pada awal tahun 1930an, sekali gus telah mengurangkan jumlah penduduk di kedua-dua daerah ini. Ini jelas apabila bilangan

Jadual 3.5: Taburan Penduduk Menurut Daerah (Brunei Annual Report, Pelbagai keluaran; Saunders, 1994: 119; Nathan, 1922: 158; Vlieland, 1932: 158) Tahun /

Daerah

1911 1921 1931

Bilangan Peratus Bilangan Peratus Bilangan Peratus

Brunei 14,463 66.6 14,130* 55.5 16,686 55.4

Muara 1,447 6.7 2,548 10 1,595 5.3

Belait 1,126 5.2 1,542 6.1 3,897 12.9

Tutong 3,423 15.8 4,319 17 5,651 18.8

Temburong 1,259 5.8 2,912 11.4 2,306 7.7

Jumlah 21,718 100 25,451 100 30,135 100

Nota: * - 3,297 orang daripadanya dibanci daripada Kampung Kedayan.

penduduk daerah Muara telah berkurangan daripada 2,548 orang pada tahun 1921 menjadi 1,565 orang pada tahun 1931, dan daerah Temburong daripada 2,912 orang pada tahun 1921 menjadi 2,306 orang pada tahun 1931 (lihat Jadual 3.5). Pertambahan drastik bilangan penduduk yang dipengaruhi oleh keadaan ekonomi, perkembangan pusat bandar (pentadbiran) dan perdagangan secara langsung telah meningkatkan permintaan sumber pemakanan termasuk juga sumber perikanan sebagai sumber protein yang telah meningkat dari masa ke semasa.

3.5 Perkembangan Perusahaan Perikanan Semasa Zaman Pentadbiran