• Tiada Hasil Ditemukan

REVOLUSI INDUSTRI 4.0: TEKNOLOGI SIRNA NILAI PERADABAN

In document E-Prosiding PERSEP II 2022 (halaman 92-103)

Taufik bin A. Latif1 Mohd Syuja bin Saedin2

Norazilah binti Buhari3 Ira Meilita binti Ibrahim4

1Jabatan Pengajian Umum, Fakulti Industri Kreatif, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampus Sungai Long, Malaysia, (E-mail: taufik@utar.edu.my)

2Jabatan Pengajian Umum, Fakulti Industri Kreatif, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampus Sungai Long, Malaysia, (E-mail: syuja@utar.edu.my)

3Jabatan Pengajian Umum, Fakulti Industri Kreatif, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampus Sungai Long, Malaysia, (E-mail: norazilah@utar.edu.my)

4Jabatan Pengajian Umum, Fakulti Industri Kreatif, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampus Sungai Long, Malaysia, (E-mail: meilita@utar.edu.my)

Abstrak: Alat yang telah dan masih digunakan dalam membangunkan masyarakat dunia sejak fajar tamadun ialah kemajuan teknologi. Kini kita dalam era teknologi Industri 4.0 atau revolusi perindustrian keempat. Nama yang dicetuskan daripada prakarsa kerajaan Jerman, Industrie 4.0 untuk mempromosikan pembuatan yang berkaitan dan penumpuan digital antara industri, perniagaan dan proses-proses lain. Namun seperti kemajuan teknologi industri-industri yang lalu, Industri 4.0 ini tetap ada kekurangan, iaitu keterabaian nilai-nilai peradaban. Penyelidikan sebelum ini menunjukkan terdapat perubahan-perubahan nilai yang berlaku dalam masyarakat daripada pembangunan teknologi baharu ini. Justeru itu, kajian ini bertujuan untuk membincangkan bagaimana teknologi menyirnakan nilai peradaban dan menganalisis kesan ketirisan nilai peradaban ini. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif deskriptif menggunakan kajian kepustakaan (library research). Hasil perbincangan kajian ini diharap dapat menyeimbangkan antara kepintaran manusia dalam dunia teknologi dan ketahanan nilai-nilai kemanusiaan.

Kata Kunci: Kemajuan teknologi, Revolusi Industri, Nilai-nilai peradaban, Menyirnakan, Ketirisan

Abstract: The tool that has been and still is used to develop the world community since the dawn of civilization is technological advancement. We are now in the era of Industry 4.0 technology or the fourth industrial revolution. The name is triggered by the German government’s initiative, Industrie 4.0, to promote connected manufacturing and digital convergence between industries, businesses, and other processes. However, like the past technological advancement, Industrial Revolution 4.0 still has its shortcomings, namely the neglect of the values of civilization. Previous research has shown that there are value changes taking place in society from the development of these new technologies. Therefore, this study aims to explore the technologies that destroy the value of civilization and analyze the impact of the loss of civilization value. This study uses a descriptive qualitative method using library research. The expected results of this study are to balance human intelligence in technology and the resilience of human values.

Keywords: Technological advancement, Industrial Revolution, Values of civilization, Destruction, Leakage.

84 Pengenalan

Peralihan Revolusi Industri 3.0 ke Revolusi Industri 4.0 atau Industrial Revolution 4.0 (IR4.0) merupakan sebuah revolusi digital dan pembangunan teknologi dalam sesebuah industri khususnya melibatkan sektor pengeluaran dan automasi ke tahap yang lebih pintar dan sistematik. Menurut pengasas Forum Ekonomi Dunia, Klaus Schwab (2016), IR4.0 ini ditandai dengan kemunculan super-komputer, robot pintar, suntingan genetik dan perkembangan neuroteknologi yang memungkinkan manusia untuk lebih mengoptimalkan fungsi otak. Situasi ini akan menjadikan hidup manusia akan dipermudahkan dengan bantuan robot sebagai

“kawan” yang akan menguruskan keperluan tugasan harian dan keselesaan manusia.

Pengurangan penggunaan tenaga manusia atau manual semakin ketara dalam perkembangan IR4.0, dengan menukar pengoperasian kepada sistem automatik melalui sistem berkomputer atau format yang boleh dibaca oleh oleh komputer (Mashitoh Yaacob et.al, 2021). Teknologi automasi ini tidak memerlukan penglibatan manusia secara langsung. Sebaliknya, kecekapan teknologi terbukti dapat memperolehi dan menghantar maklumat menjadi lebih dinamik tanpa sekatan ruang dan masa.

Dalam IR4.0, Internet of Things (IoT) menjadi teknologi peneraju utama di mana manusia dan objek disediakan dengan identiti ekslusif dan kemampuan untuk memindahkan data melalui jaringan tanpa memerlukan dua arah manusia ke manusia iaitu interaksi manusia ke komputer (Mashitoh Yaacob et.al, 2021). Melalui jaringan internet dan kerjasama dengan peralatan pintar, ianya dapat menghubungkan berbilion-bilion individu dan manusia ke dalam satu jaringan (web). Misalnya, pelbagai jaringan laman media sosial tersedia seperti Facebook, Youtube, Instagram, TikTok dan sebagainya menjadi pemudah cara dalam berinteraksi hasil daripada IoT. Senario ini telah membentuk sebuah masyarakat dengan gaya hidup yang baru bercirikan masyarakat pascamoden seperti sekularisme yang ekstrim, individu melawan masyarakat, kebebasan manusia, gerakan hak asasi manusia untuk mencabar budaya dan nilai keagamaan (Vitz, 2016; Pratama, 2019; Mashitoh Yaacob et.al, 2021). Selain itu juga, ketergantungan manusia kepada teknologi dalam IR4.0 menunjukkan suatu interaksi individu terhadap alat digital sehingga hilangnya rasa sentuhan dengan manusia, dan interaksi dengan masyarakat juga semakin sirna serta pudar. Eratnya hubungan manusia dengan teknologi mampu memperlahankan fungsi mental sehingga membentuk manusia tanpa jiwa dan kehilangan nilai-nilai kemanusiaan. Manusia dan kemanusiaan akan tergugat apabila perkembangan manusia terganggu dengan kebangkitan konsep transhumanisme iaitu kecenderungan manusia bertindak sebagai mesin atau lebih tepat lagi berfungsi seakan-akan peralatan tidak bernyawa berciri kepantasan kecekapan, kecerdasan dan tanpa henti (Badhrulhisham, Johar & Rashid, 2019).

Perkembangan teknologi yang berlaku sering memberi impak besar kepada perubahan budaya, nilai, agama, cara hidup dan cara berfikir dalam sesebuah masyarakat. Menurut Che Wan Jasimah & Osman Bakar (1996), kegagalan atau kelalaian manusia dalam menempatkan teknologi dalam kerangka akhlak telah menghasilkan susunan masyarakat yang kacau dan tidak beradab. Keghairahan masyarakat mengadaptasi IR4.0 dalam pembangunan negara dilihat membawa ketirisan nilai peradaban yang kian sirna dan terancam dalam kehidupan masyarakat bertamadun. Berdasarkan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebanyak 178 pertuduhan penyalahgunaan media sosial difailkan bagi tempoh Januari sehingga September 2020 membabitkan perbuatan penyebaran kandungan lucah, penyebaran kandungan palsu, perkongsian jelek, pornografi kanak-kanak dan pemerasan atau mengancam secara jenayah (MCMC, 2020). Selain daripada itu, pelbagai bentuk jenayah siber turut berlaku sebagai satu budaya baru dalam kalangan masyarakat kini seperti penipuan,

85 perjudian siber, pencerobohan hak individu, penggodaman maklumat dan data komputer serta penyebaran pemikiran keganasan. Hasil penyalahgunaan teknologi yang dilakukan melalui talian bersifat maya ini melangkaui sempadan fizikal sehingga berkeupayaan mengancam dan memudarkan nilai murni daripada amalan hidup seharian masyarakat. Perbuatan ini bukan sahaja menimbulkan kesan negatif kepada individu malahan akan merencatkan aktiviti pembangunan dalam sesebuah masyarakat dan negara.

Pembangunan sesebuah negara yang membangun dan maju tidak hanya menitikberatkan kemajuan dari segi pembangunan material tetapi turut membangunkan pembangunan nilai yang meliputi soal tingkah laku manusia. Nilai ialah konsep dalaman atau luaran yang bertujuan untuk membezakan seseorang individu, perwatakan, ciri-ciri sesuatu kumpulan, ataupun keinginan yang mempengaruhi pemilihan sesuatu cara hidup mereka, matlamat dan tujuan sesuatu perlakuan tersebut (Shukri, 2002) yang mempunyai harga, kepentingan atau keburukan. Nilai menjadi ukuran dan pegangan tentang baik buruk atau cantik hodoh sesuatu perlakuan berasaskan kelaziman atau kebiasaan dalam sesuatu masyarakat. Nilai bagi budaya dalam sesebuah peradaban akan menjadi hukum dan berfungsi dalam menentukan pandangan hidup atau welstanchauung suatu masyarakat dalam menghadapi masalah dalam kehidupan. Nilai merupakan dimensi yang amat relevan dengan sikap untuk pembangunan insan dan ini amat penting dalam proses pembangunan. Pengamalan nilai murni dan nilai peradaban yang baik adalah untuk mewujudkan suasana aman, harmoni, kerjasama, hormat-menghormati, kasih sayang dan kesejahteraan (Jamilah & Nur Nasliza, 2018). Tiada gunanya jika sesebuah masyarakat kaya dengan sifat kebendaan tetapi muflis dari segi keperibadian dan ketamadunan.

Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk membincangkan bagaimana teknologi menyirnakan nilai peradaban dan menganalisis kesan ketirisan nilai peradaban tersebut dalam kalangan masyarakat. Semakin defisit nilai peradaban maka semakin hilang adab sopan dan kesusilaan masyarakat. Kajian ini akan menggunakan kaedah kualitatif deskriptif sebagai kaedah kajian, di samping melihat kajian-kajian lepas yang pernah dijalankan oleh pengkaji terdahulu dengan memfokuskan kepada revolusi industri dan teknologi serta nilai-nilai peradaban. Analisis kajian ini akan melihat perubahan nilai peradaban kesan daripada perkembangan teknologi IR4.0.

Sorotan Kajian

Sejak bermulanya revolusi industri pertama pada abad ke-18 hingga ke revolusi industri ke-3, masyarakat global telah menyaksikan kesan dan perubahan dalam kehidupan manusia.

Revolusi industri pertama telah membantu memperkukuh penggunaan kuasa hidro, kuasa wap dan penghasilan peralatan mesin; revolusi industri kedua pula telah membawa kepada penjanaan kuasa elektrik dan sektor pembuatan berskala besar. Kewujudan komputer dan internet dalam revolusi industri ketiga telah mempercepat kecekapan industri pembuatan dan pengeluaran (Keliang, Taigang & Lifeng, 2015). Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) pula sebuah revolusi digital yang merujuk kepada proses pembangunan teknologi dalam sesebuah industri khususnya melibatkan sektor pengeluaran dan automasi ke tahap lebih pintar dan sistematik (Morrar, Arman & Mousa, 2017). Badhrulhisham (2019) dalam kajiannya telah memberikan beberapa pandangan sarjana tentang definisi IR4.0; Hermann et. al (2015), merujuk kepada teknologi dan konsep nilai rantaian organisasi; Klaus Schwab (2016), merupakan perubahan yang dipacu oleh tiga domain teknologi utama iaitu fizikal, digital dan biologikal dan Keong (2017), IR 4.0 adalah mesin yang dapat menghantar, menerima dan bertindak mengikut arahan

86 yang disambungkan kepada sistem melalui rangkaian komunikasi yang membolehkan ianya berinteraksi dengan mesin lain serta manusia untuk menghasilkan produk atau barangan.

IR 4.0 boleh meningkatkan perkembangan pesat ekonomi dan pertumbuhan sesebuah negara. Menurut Mohd Azaharin (2019) ledakan Revolusi Industri 4.0 akan menggiatkan aktiviti seharian manusia yang berasaskan kepada proses automasi dan aplikasi dengan menggunakan jaringan internet. Penggunaan robotik akan terus meningkat dan berkembang sejajar dengan perkembangan dunia negara maju dengan terma Kecerdasan Buatan atau

‘Artificial Intelligence’ (AI) bersama penggunaan Internet Pelbagai Benda atau Internet of Things (IoT). Kecenderungan ledakan aplikasi perhubungan dan komunikasi seperti WhatsApp, Telegram, Instagram, Uber, Maps, Trivago, Waze, Foodpanda dan pelbagai lagi syarikat berunsurkan perniagaan berlandaskan jaringan internet mula mendapat tempat perhatian oleh masyarakat di negara membangun seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan sebagainya. Laporan World Economic Forum 2016 menyatakan bahawa era Industri 4.0 akan dipacu oleh automasi dan sambungan ekstrem (extreme automation and connectivity).

Manakala kecerdasan buatan (artificial intelligence atau AI) dan data besar (Big Data) diramalkan akan semakin mengautomasikan beberapa kemahiran yang dahulunya hanya dilakukan oleh manusia (Wye Chung & Nasir Saukani , 2018).

Roziah Sidek (2019) menyatakan bahawa pelbagai kategori pekerjaan terutamanya dalam sektor perkilangan diautomasikan dengan penggunaan robotik dan teknologi terkini.

Perkara ini telah pun berlaku pada masa terkini dan perkembangannya dijangka lebih rancak dengan perubahan teknologi IR4.0. Dalam IR4.0 ini ramai pakar industri melihat tugas hakiki manusia akan digantikan oleh tenaga robotik yang mengakibatkan jutaan manusia akan kehilangan pekerjaan khususnya dalam sektor pengilangan. Hubungan komunikasi manusia kini saling berkaitan dengan elemen gabungan ‘tri-techno’ yang melibatkan teknologi digital, teknologi biologi dan teknologi fizikal. Kebanyakan tugasan utama manusia melibatkan perkhidmatan, tele-pemasaran dan komunikasi boleh diakses menerusi proses aplikasi pintar (Mohd Azaharin, 2019). Industri 4.0 telah menyebabkan perubahan penggunaan tenaga kerja manusia secara mendadak dalam sektor pekerjaan (Kim & Heo, 2018) kerana teknologi-teknologi baru yang mampu menggantikan tenaga kerja manusia dan menyebabkan penglibatan manusia semakin mengecil dalam sektor pekerjaan (Keliang, Taigang & Lifeng, 2015, 2015). Laporan oleh McKinsey Global Institute (Disember 2017), IR4.0 akan menyebabkan tugas 800 juta tenaga kerja manusia hingga 2030 akan diambil alih oleh robot automasi (Abdul Malik, 2019).

Walaupun penggunaan IR4.0 banyak membantu menggiatkan sektor perkilangan dan memberi keuntungan yang besar kepada negara, namun impaknya ia membawa cabaran baharu kepada manusia. Ini kerana masa yang panjang diperlukan untuk melahirkan golongan tenaga yang mahir dalam bidang teknologi dan digital dalam IR 4.0 . Tambahan pula ini melibatkan kos yang terlalu tinggi. Hal ini akan mendatangkan masalah besar kepada kebanyakan negara di dunia dalam berhadapan dan menyesuaikan diri dengan revolusi teknologi baru (Shukri Mohamad, 2020). Klaus Schwab (2016) meramalkan IR4.0 akan memberi kesan yang mendalam kepada keselamatan dalam negara dan antarabangsa. Hal ini berlaku dengan pantas kerana interaksi sosial menjadi tanpa batas (unlimited) yang banyak menggunakan kemudahan akses internet dan teknologi. Hak kerahsiaan akan menjadi cabaran utama pada era IR4.0.

Pihak kerajaan mahu pun individu terdedah kepada ketirisan maklumat penting akibat kecanggihan perisian yang dicipta. Kehidupan manusia disambungkan secara meluas dan bebas kepada pelbagai peranti moden seperti telefon bimbit, kamera keselamatan rumah dan pembesar suara pintar. Kemudahan teknologi ini dicipta bertujuan untuk memudahkan kehidupan. Namun teknologi ini juga mampu membawa kemudaratan apabila terdapat individu

87 yang menyalahgunakan teknologi tersebut untuk kepentingan sendiri. Maka berlakulah penggodaman (hacking), penipuan (scammer) dan jenayah siber (cybercrime). Nur Sarida (2022) menyatakan bahawa peningkatan jenayah siber kini berada dalam keadaan membimbangkan dan ia dikaitkan dengan kekerapan penggunaan internet yang semakin meningkat dan kebergantungan masyarakat terhadap teknologi sehingga mengakibatkan mereka terdedah kepada ancaman siber. Kajian yang dilakukan oleh Mashitoh Yaacob dan rakan-rakan (2021) mendapati pemodenan hidup dalam era IR 4.0 hanya membangunkan teknologi baharu yang berpaksikan keuntungan sehingga mengabaikan perubahan nilai-nilai yang berlaku dalam masyarakat. Hal ini seterusnya membawa cabaran kepada manusia sendiri dari aspek pekerjaan, pencemaran dan generasi baru. Sekumpulan penyelidik, iaitu Leib, Köbis, Rilke, Hagens dan Irlenbusch (2021) telah melakukan penyelidikan bertajuk, the corruptive force of AI-generated advice . Mereka telah mengkaji peserta kajian yang bermain permainan diberi nasihat tidak jujur oleh AI, iaitu cara untuk menipu. Dapatan kajian menunjukkan peserta kajian menerima nasihat tidak jujur itu dan menipu untuk menang.

Rumusan kajian itu menyatakan bahawa manusia boleh lebih kuat “dirosakkan” oleh sistem AI seperti mana dirosakkan oleh manusia lain.

Analisis dan Perbincangan

Teknologi Merubah Nilai Peradaban

Sejarah telah menunjukkan bahawa manusia berterusan mencari dan mencipta teknologi baru untuk mempercepat, memudahkan, lebih efektif dan keselesaan dalam menyiapkan sesuatu kerja atau aktiviti. Tekanan ini mengakibatkan manusia bermotivasi untuk mencipta peralatan teknologi bagi memenuhi kehendak mereka dan seterusnya membawa kemajuan dalam kehidupan. Buktinya, hari ini kita menikmati kehidupan yang lebih mudah dan lebih santai kerana sumbangan teknologi. Bahkan peralatan teknologi telah wujud dalam kehidupan masyarakat sejak permulaan tamadun dan kemajuan manusia sehingga kini bergantung kepada teknologi (Tai MC, 2020). Namun kemajuan yang dinikmati dalam kehidupan moden ini lebih menjurus kepada aspek fizikal. Kemajuan teknologi yang dinikmati turut telah mempengaruhi nilai-nilai peradaban masyarakat masa kini.

Teknologi mampu mempengaruhi kita memilih tindakan yang bermoral dan juga mempengaruhi kita untuk menonjolkan tingkah laku terburuk (Kugler, 2021). Platform media sosial memudahkan kita berhubung dengan orang di samping membantu atau mempengaruhi kita untuk melakukan tindakan yang bermoral dalam isu yang dekat di hati seperti menyokong rakan yang mengalami kesukaran mahupun menyumbangkan wang untuk membantu mangsa-mangsa bencana alam. Sebaliknya pada masa yang sama, netizen boleh berkelakuan buruk di media sosial melalui penggunaan bahasa yang kesat dan ancaman yang keterlaluan dalam menyuarakan pandangan tentang sesuatu isu.

Dalam salah satu kajian Peer Influence Via Instagram: Effects on Brain and Behavior in Adolescence and Young Adulthood (Sherman , Greenfield, Hernandez dan Dapretto, 2018) mendapati bahawa Instagram secara langsung mempengaruhi neurokimia pelajar sekolah menengah dengan merangsang pusat ganjaran otak apabila foto yang mereka hantar disukai.

Fabioano, yang melakukan penyelidikan tentang implikasi moral teknologi baru menyatakan,“Changing certain aspects of our neurochemistry with technology is bound to affect our moral behaviour” ( Fabioano J, dipetik dalam Kugler, 2021, m.s 2).

Implikasi ini boleh terdiri daripada memotivasikan kita untuk membuat keputusan moral yang positif kepada memberi insentif kepada kita untuk membuat keputusan yang buruk.

88 Ini bukan bermaksud kita tidak perlu menyalahkan diri atas tingkah laku kita kerana otak kita telah digodam oleh teknologi. Sebaliknya, ini bermaksud bahawa teknologi mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap cara kita berfikir dan bertindak. Pengaruh teknologi yang baru kita mula fahami. Contohnya, kita akan memuji apabila wanita yang bertudung dan berpakaian sopan di media sosial tetapi akan bertindak sebaliknya, iaitu menghina dan mengutuk apabila gambar yang berpakaian sopan tanpa bertudung terpapar di media sosial.

Jelaslah sedikit perubahan dalam kandungan yang hampir sama di media sosial menyebabkan dua tindakan moral yang bertentangan.

Jean-Francis Bonnefon, Pengarah Penyelidikan di France’s Toulouse School of Economics yang membuat kajian psikologi moral dan kecerdasan buatan (artificial intelligence -AI) menyatakan bahawa,

“If I want to do something unethical, technology can provide me with better information and better tools to achieve my ill-intentioned goals, giving me opportunities that I would not have pursued without technological help.” (Jean Francis, dipetik dalam Kugler, 2021, m.s 2).

Hal ini membawa kepada kemunculan jenayah siber seperti memancing data (phising).

Menurut portal MCMC, 2022, memancing data adalah bertujuan untuk menipu selalunya dilakukan menerusi e-mel untuk mencuri maklumat peribadi seseorang. E-mel memancing data ini biasanya muncul seperti ianya daripada organisasi yang sangat dikenali dan meminta maklumat peribadi anda seperti nombor kad kredit, nombor akaun atau nama-nama login dan kata laluan. Di Malaysia, sebahagian besar serangan memancing data dikesan mensasarkan kepada pengguna perbankan internet dan muslihat mereka adalah untuk mendapatkan maklumat kewangan mangsa.

Peralatan teknologi baru bakal mengurangkan dan mengikis keakraban manusia secara perlahan-lahan. Dalam kehidupan harian masyarakat yang merupakan amalan biasa, iaitu bertemu muka secara fizikal untuk berbual-bual, berbincang mahu pun pertukaran idea.

Kewujudan teknologi AI hanya memerlukan masyarakat untuk memprogramkan mesin canggih untuk kita berkomunikasi dengan orang lain tanpa lagi perlu bertemu muka secara fizikal. Amalan kunjung mengunjungi atau berziarah dalam kehidupan masyarakat akan digantikan dengan pertemuan secara alam maya di platform Zoom, Google Meet, mahu pun panggilan video di Whatsapp. Situasi begini akan memberi kesan negatif kepada generasi yang taksub dengan teknologi apabila mereka kurang bersosialisasi dengan anggota masyarakat secara fizikal dan akan pudarlah nilai kehidupan bermasyarakat yang menjadi amalan sejak zaman berzaman.

Dalam artikel It’s hard to be a moral person. Technology is making it harder oleh wartawan Samuel S. (2021), dia menjelaskan bagaimana teknologi menjadikan masyarakat sukar "untuk mengekalkan perhatian tanpa gangguan kepada perkara yang benar-benar penting, atau untuk melihatnya pada mulanya." Artikel itu turut menjelaskan bagaimana media sosial dan ciri ketagihan platform media sosial seperti Instagram dan Facebook menggalakkan kita untuk menumpukan pada mencipta identiti kita sendiri dan bukannya

memberi perhatian kepada orang di sekeliling kita, "yang merupakan prasyarat untuk perhatian moral, yang merupakan prasyarat untuk empati, yang merupakan prasyarat untuk tindakan beretika.” Namun teknologi digital selalunya menyukarkan kita untuk bertindak balas dengan cara yang betul apabila seseorang menderita dan memerlukan bantuan. Hal ini adalah masalah besar yang melanda masyarakat kini. Begitulah kuatnya implikasi teknologi dalam kehidupan kita ini.

89 Kesan Ketirisan Nilai Peradaban

Peradaban merujuk kepada masyarakat yang memiliki budaya yang tinggi dan terpuji seiring dengan kemajuan fizikal yang dinikmati dalam kehidupan. Berbudaya tinggi dan terpuji pula merujuk kepada kehalusan budi dan kesempurnaan moral yang menjadi amalan kehidupan mereka. Oleh itu, aspek paling jelas dapat dilihat apabila nilai-nilai peradaban kian tiris adalah perubahan dari segi adab, moral dan etika dalam kehidupan bermasyarakat. Haryati Ariffin (2019), Hasnah Hussiin (2022), semua menyatakan bahawa kehidupan masyarakat kini dalam budaya baru yang tidak lagi memiliki kehalusan budi dan kesempurnaan moral. Masyarakat kini seolah-olah begitu selesa dengan kehidupan harian mereka yang dilingkari dengan perbuatan, tingkah laku dan tutur kata yang tidak beradab, tidak bermoral dan tidak beretika.

Hilang adab dan etika ini bukan sahaja berlaku di tempat-tempat awam malahan amat kronik di media sosial. Media sosial bebas menyebarkan perlakuan, perbuatan dan tutur kata individu tertentu yang disifatkan tidak beradab, menggambarkan nipisnya adab masyarakat pada hari ini. Hilangnya adab dan etika pada diri seseorang menyebabkan ada individu menghina sesiapa sahaja termasuklah pemimpin sama ada dengan kata-kata atau perbuatan. Lebih parah apabila ada mereka yang berani menghina negara sendiri di media sosial, termasuk apa saja yang menjadi lambang negara. Buktinya mereka memijak dan menterbalikkan Jalur Gemilang. Ada juga individu yang menjadikan platform media sosial untuk mempersendakan agama, budaya dan adat masyarakat. Apabila disebut bahasa kurang sopan, tergambar perkataan kotor, mencarut dan ayat-ayat maki hamun yang keluar daripada percakapan seseorang atau tulisan mereka di media sosial. Masyarakat seakan selesa berkomunikasi menggunakan bahasa yang kurang sopan dan tidak berhemah ini (Haryati Ariffin, 2019). Ia seolah-olah trend komunikasi masa kini. Mengutuk dan menjatuhkan maruah orang yang tidak dikenali dengan perkataan kasar dan memalukan seakan budaya baharu masyarakat kita. Lebih banyak perkataan mencarut dan lucah yang ditulisnya, lebih ramai yang komen dan memberi respons. Ianya seperti memeriahkan komunikasi di alam maya. Inilah padahnya apabila adab dan etika sebagai rakyat Malaysia tidak diamalkan lagi. Kemajuan teknologi masa kini yang menjadi pencetus kepada perkembangan media sosial baharu sekaligus telah mempengaruhi budaya dan kehidupan manusia seharian. Media sosial menjadi tempat untuk individu-individu meruntuhkan adab dan nilai murni masyarakat apabila melontarkan apa juga perasaan dan pendirian mereka tanpa batasan. Terkubur sudahlah amalan budi bahasa budaya kita dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Kejadian buli masih berlaku dalam kehidupan masyarakat sehingga kini. Jika dahulu buli ini berlaku secara fizikal, kini telah lahir buli siber hasil daripada ledakan teknologi. Buli siber ialah satu amalan komunikasi melalui perantaraan teknologi. Tujuan untuk mengganggu, mengecam, memalukan atau menggugut mangsa melalui perkataan yang negatif, penyebaran maklumat palsu atau perkongsian yang boleh merosakkan imej atau maruah mangsa (Azianura Hani & Mohammad Rahim, 2019). Amat jelas, pembuli-pembuli siber ini ialah insan yang ketandusan budi pekerti dan kesempurnaan moral. Mereka seolah-

olah raksasa yang bersembunyi di alam maya yang menyakiti mangsa dengan tindakan buruk mereka sehingga mangsa mereka berasa malu, sedih yang melampau, takut, perasaan marah yang tidak dapat dibendung dan mengasingkan diri. Bahkan ada antara mangsa raksasa ini yang berkeinginan untuk membunuh diri. Di negara-negara barat, fenomena bunuh diri dalam kalangan mangsa jenayah buli siber bukanlah satu fenomena yang baru (Syed Mohammad Hilmi et. al, 2022). Pusingan buli siber ini akan berterusan apabila ada antara mangsa menjadi pelaku buli siber juga.

90 Hantaran di media sosial Facebook mengenai ‘Skala Gred SPM’ dengan kapsyen

“ Patut aku pelik budak-budak sekarang berderet A”, bukanlah daripada Lembaga Peperiksaan (Bernama, 2021). Ini antara insiden yang kerap berlaku di media sosial iaitu penyebaran maklumat palsu. Ini termasuklah isu MH370, MH17, banjir di Lembah Klang dan pandemik Covid-19. Jika dahulu, masyarakat suka bergosip, kini keghairahan untuk menyebarkan sesuatu berita sebagai individu terawal tanpa amengesahkan kebenaran berita itu menjadi trend dalam kalangan pengguna media sosial. Trend ini amat membimbangkan kerana sesuatu berita yang palsu dan maklumat yang salah yang tular di media sosial mudah untuk dieksploitasi. Ia boleh menyebabkan kebencian dan provokasi, khasnya dalam konteks Malaysia yang masyarakatnya pelbagai kaum. Ini kerana maklumat palsu yang negatif bebas didedahkan akan mempengaruhi bentuk fikiran manusia secara beransur-ansur sehingga menghasilkan pelbagai tindakan negatif seperti bergaduh, menyebarkan fitnah dan sebagainya (Shahidah Hamzah et.

al dipetik dalam Syed Mohammad Hilmi Syed Abdul Rahman et. al, 2022). Terdapat individu yang lebih gemar mencari, membaca dan menyebarkan maklumat yang sesuai dengan apa yang dia percaya walaupun belum jelas kebenarannya. Yang lebih menjelikkan, mereka menganggap tindakan mereka sebagai salah satu masalah kecil sahaja apabila terbukti maklumat yang disebarkan itu salah, malah ada kalanya tidak dianggap sebagai satu kesalahan pun (Nyhan & Reifler, 2012). Sikap segelintir masyarakat yang menyebarkan berita palsu dan maklumat tidak benar ini amat tidak beretika. Walaupun pihak berkuasa telah mengambil tindakan tegas dengan mendakwa penyebar berita palsu di mahkamah dan hukuman denda atau penjara, berita palsu dan maklumat tidak benar masih lagi tersebar luas.

Teknologi memberikan keselesaan, meningkatkan prestasi manusia dan memudahkan komunikasi sesama manusia. Tidak hairanlah, manusia berlumba-lumba untuk membangunkan teknologi supaya keselesaan hidup menjadi bertambah bagus. Malangnya, ada individu-individu yang menggunakan teknologi yang dicipta oleh kepintaran manusia itu untuk mendapatkan sesuatu secara tidak bermoral dan beretika. Jika dahulu kita berhadapan dengan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda, kepintaran individu-individu yang tidak beretika digunakan untuk mengeksploitasi teknologi baharu untuk melakukan jenayah siber. Jenayah siber secara amnya merujuk kepada aktiviti jenayah berkaitan teknologi dan komputer yang dihubungkan kepada Internet (MyGovernment, 2021). Gaya hidup masyarakat kini telah membuka peluang kepada individu-individu pintar teknologi untuk melakukan jenayah siber.

Perkongsian secara berlebihan di media sosial seperti maklumat peribadi, jumlah kekayaan, kisah peribadi dan sebagainya telah membuka peluang kepada penjenayah siber untuk melakukan penipuan dan pencurian maklumat. Terdapat enam jenis penipuan dalam talian yang berlaku di negara ini, iaitu Macau Scam, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, Lovescam dan memancing data (phishing). Dari bulan Januari hingga Julai tahun 2022, sebanyak 11, 367 kes jenayah siber direkodkan (Bernama, 2022). Bagi tempoh dari tahun 2017 hingga 2021, RM2.23 bilion telah dikaut oleh pelaku-pelaku penipuan dalam talian (DOSM, 2021). Jelaslah ada individu yang bijak dan berkemahiran memilih jalan pintas untuk kesenangan hidup walaupun sedar tindakan mereka itu tidak bermoral dan salah dari segi undang-undang. Satu lagi jenayah yang wujud dalam kehidupan masyarakat era teknologi ini ialah jenayah seksual siber. Tingkah laku manusia yang kini yang suka berkongsi perasaan, gambar, video dan sebagainya memudahkan individu-individu tidak bermoral untuk melakukan pengantunan siber atau cybergrooming. Pengantunan siber iaitu rayuan mesra atau pujukan siber ini mempunyai pelbagai tujuan, antaranya untuk aktiviti seks.(Asmi Asmidar et.

al, 2018). Media sosial memudahkan pengantunan seksual terhadap golongan muda dilakukan.

Wujud istilah pedofilia (pedophilia) bermaksud pedo iaitu kanak-kanak dan filia iaitu ‘cinta, suka’, merujuk kepada kesukaan atau kecintaan orang dewasa kepada kanak-kanak, yang

91 membawa kepada perlakuan seksual oleh orang dewasa terhadap golongan kanak-kanak (Amran Hassan & Suriati Ghazali, 2013). Kehadiran media sosial telah merancakkan pembabitan golongan ini. Penjenayah seks menjadikan golongan muda ini sebagai alat pemuas nafsu di alam maya, iaitu sebagai seks siber. Seks siber ialah aktiviti seks yang dilakukan tanpa bersentuhan atau bersemuka tetapi dilakukan secara atas talian (Young dipetik dalam Norhayati Mat Ghani & Suriati Ghazali, 2021). Kanak-kanak yang belum matang menjadi mangsa individu-individu yang telah matang tetapi daif dari segi amalan nilai-nilai murni demi kepuasan dan keseronokan seks mereka. Jika peri laku ini tidak dibendung, sudah pasti, masyarakat akan hidup dikelilingi oleh insan-insan tanpa jiwa yang buas ini.

Kesimpulan

Manusia merupakan penggerak utama dalam memajukan peradaban masyarakat dan negara.

Setelah menguasai teknologi awal, kita kini telah berada dalam revolusi industri ke-4 yang berteraskan automasi dan digital. Perubahan ini membawa kehidupan semakin maju, semakin canggih dan bertambah moden. Lonjakan kemajuan ini seharusnya diseimbangkan dengan kemajuan nilai-nilai peradaban yang seolah-olah ketinggalan dalam revolusi industri terbaru ini. Teknologi baru hasil kepintaran manusia dalam IR 4.0 telah merobek tembok nilai-nilai kemanusiaan dalam kehidupan masyarakat masa kini. Oleh itu, perlunya ada tindakan bersepadu dan efektif untuk menyeimbangkan kepintaran manusia dalam ciptaan teknologi baharu dan keutuhan nilai-nilai peradaban supaya manusia memperoleh kemajuan kehidupan yang sempurna. Pencipta-pencipta teknologi perlu lebih bertanggungjawab dalam usaha mereka supaya ciptaan yang dihasilkan memberi kesan positif ke atas tingkah laku manusia untuk memastikan kelangsungan nilai-nilai peradaban masyarakat terus kukuh.

Rujukan

Abdul Malik. (2019). Creating Competitive Advantage through Source Basic Capital Strategic Humanity in the Industrial Age 4.0. International Research Journal of Advanced Engineering and Science. 4(1), 209-215.

Abdul Rasyid Abdul Aziz. (2019). Cabaran & formula murabbi mendepani revolusi industri 4.0: satu pandangan. Seminar Integriti Pendidik Sekolah Kafai & SRI Peringkat Negeri Selangor, 13 Mac 2019.

Amran Hassan & Suriati Ghazali. (2013). Attraction and Sex Symbol of Males in the Eyes of Malaysian Male-to-Female Transsexual. International Journal of Social Science and humanity, 3(2), 176-179.

Asmi Asmidar Zainal Rashid, Mohammad Rahim Kamaluddin, Suzaily Wahab, Dayang Anita Abdul Aziz, Zarina Abdul Latiff & Balan Rathakrishnan. (2018). Kerentanan Kanak-Kanak Malaysia terhadap Pengantunan Seksual dalam Talian. Jurnal Psikologi Malaysia 32(3), 91-108.

Azianura Hani Shaari & Mohammad Rahim Kamaluddin. (2019). Buli Siber :

Ketidaksantunan Bahasa dan Etika Media Sosial dalam Kalangan Remaja Malaysia.

Journal of Social Sciences and Humanities 16(6), 1-16.

Badrulhisham, A. Johar, M.H.M. & Rashid, T.A. (2019). Mendepani Cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam Konteks Mahasiswa: Analisis Menurut Perspektif Islam.

Jurnal Ilmi. 1(9) , 90 -101.

Bernama. (2021). Skala Gred SPM Tular di Media Sosial Bukan Milik Lembaga Peperiksaan – KPM. Dipetik daripada https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/716740.

In document E-Prosiding PERSEP II 2022 (halaman 92-103)