• Tiada Hasil Ditemukan

Rumusan menunjukkan bahawa kesederhanaan adalah keseimbangan dan jalan pertengahan dengan memberikan setiap perkara akan haknya dengan kadar yang paling wajar

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "Rumusan menunjukkan bahawa kesederhanaan adalah keseimbangan dan jalan pertengahan dengan memberikan setiap perkara akan haknya dengan kadar yang paling wajar"

Copied!
13
0
0

Tekspenuh

(1)

ZAKAT:

PENJERNIHAN SEMULA KEKELIRUAN MAKNA NILAI KESEDERHANAAN: SOROTAN DARI ASPEK PENCARIAN DAN PERBELANJAAN HARTA

Dr. Noor Hisham Md Nawi

Pusat Pengajian Bahasa & Pembangunan Insaniah Universiti Malaysia Kelantan

hisham@umk.edu.my

ABSTRAK

Konsep dan makna nilai kesederhanaan seringkali digunakan oleh pelbagai pihak menurut konteks kefahaman, situasi dan keperluan diri atau kelompok tertentu yang belum tentu memancarkan maknanya yang asal. Justeru, penggunaannya sering dieksploitasi yang menyebabkan maknanya menjadi kacau dan keliru. Setiapnya mendakwa inilah makna kesederhanaan sebenar yang dicari- cari sementara selain daripadanya adalah ekstrim atau melampau. Lantaran konsep dan nilai ksederhanaan terpakai dalam pelbagai wilayah kehidupan meliputi aspek sosial, politik, ekonomi dan agama, perjernihan semula maknanya adalah sesuatu yang amat diperlukan dan signifikan.

Penulisan ini hanya menyorot satu aspek sahaja sebagai contohan iaitu ekonomi yang menjurus kepada aspek pencarian dan perbelanjaan harta. Rumusan menunjukkan bahawa kesederhanaan adalah keseimbangan dan jalan pertengahan dengan memberikan setiap perkara akan haknya dengan kadar yang paling wajar. Kesederhanaan tidak hanya ditentukan oleh wasilah atau bentuk luaran seperti kuantiti dan bentuk harta bahkan hakikatnya banyak ditentukan oleh faktor niat dan tujuan. Meskipun warna zahir sederhana itu mungkin berlainan dan beragam menurut tahap keilmuan, kerohanian, bebanan tanggungjawab yang dipikul dan kesanggupan serta keperluan konteks yang berbeza-beza, namun intipati maknanya tetap sama dan utuh.

Kata Kunci : Nilai kesederhanaan, pelampauan, pencarian harta, perbelanjaan harta, keseimbangan

1. Pengenalan

Dewasa ini ramai pihak mula berminat dengan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah. Islam sebagai satu sistem hidup yang sempurna meletakkan nilai kesederhanaan di tempat yang sangat istimewa.

Islam menjunjung tinggi konsep wasatiyyah dan menjadikannya sebagai salah satu ciri asas ajarannya. Prof. Yusuf al-Qaradhawi, seorang ulama besar masa kini telah meletakkan kesederhanaan sebagai ciri utama wawasan peradaban Islam yang ingin dilahirkan. Ciri khas umat Islam sebagai umat yang sederhana, seimbang , adil dan pertengahan adalah berasaskan kepada firman Allah :

(2)

Maksud: "Dan demikianlah kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia."

Baru-baru ini, bersempena dengan persidangan antarabangsa Pergerakan Moderat Global (ICGMM), kerajaan telah mengumumkan penubuhan Institut Wasatiyyah bagi memupuk sifat kesederhanaan dan kesimbangan dalam semua aspek kehidupan. Serentak dengan itu juga, Yayasan Pergerakan Moderat Global turut ditubuhkan sebagai sebuah pusat mengumpul dan menyebar maklumat serta bahan kempen bagi badan-badan kerajaan mahupun bukan kerajaan yang mahu menentang ekstremisme. Sesungguhnya kita menyambut baik usaha tersebut. Walau bagaimanapun, penulisan ini ingin mengajak kita semua untuk menyemak semula konsep dan nilai kesederhanaan yang sering disakahfahami oleh masyarakat. Kita tidak mahu pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasikan konsep kesederhanaan tanpa mengetahui maksudnya yang sebenar. Kita juga tidak mahu umat Islam tenggelam dalam retorik kesederhanaan. Apakah sebenarnya maksud kesederhanaan dan apakah bentuk kesederhanaan yang dituntut dan diiktiraf oleh ajaran Islam.

2. Pengertian Kesederhanaan

Dalam al-Quran terdapat beberapa istilah yang digunakan untuk menunjukkan makna kesederhanaan seperti al-wasatiyah dan al-iqtisad. Al-Zuhaily (2005) memilih istilah al-iqtishad untuk menggambarkan maksud kesederhanaan. Pengertian al-iqtishad secara bahasa bermakna tengah- tengah, seirnbang, petunjuk, istiqamah, adil, mudah dan mengambil jalan pertengahan atau yang sedang-sedang. Muqtashid adalah orang yang seimbang dan menempuh jalan yang lurus.

Berdasarkan firman Allah dalam Surah Luqman ayat 32 dan Surah aI-Ma’idah ayat 66, kesederhanaan adalah merujuk kepada jalan yang lurus atau seimbang, tidak condong pada hal yang melampaui batas ataupun pemborosan, jujur serta tidak menyimpang dari kebenaran. Justeru, kesederhanaan dalam istilah al-iqtishad adalah pertengahan dalam hukum-hukum agama, mengambil jalan tengah antara berlebihan dan meringan-ringankan dalam pengamalan atau pertengahan antara sesuatu yang melampaui batas dan meremehkan bertepatan dengan hadis nabi iaitu :

“Tidak sia-sia orang yang beristikharah untuk memilih mana yang terbaik, dan tidak akan rugi orang yang selalu bermusyawarab serta tidak akan miskin orang yang sederhana (cernat).” (Riwayat Thabrani)

(3)

Satu lagi istilah yang sangat mashyur dengan pengertian kesederhanaan ialah al-wasatiah yang juga digunakan dalam al-Quran dan hadis. Menurut al-Qaradhawi, al-wasatiyah bermaksud pertengahan antara dua keadaan atau pihak. Ia bermaksud setiap perkara diletakkan pada tempatnya yang paling sesuai dan hak, dalam keadaan harmoni atau fitrah. Keadaan tersebut akan menyebabkan semua perkara dan pihak ditunaikan haknya dan tiada satupun diabaikan. Dengan kata lain al-wasatiyah adalah tidak ifrat (melampau) dan tidak tafrit (cuai). Menurut al-Qaradhawi (1996) al-wasatiyah atau kesederhaaan adalah salah satu ciri Islam yang istimewa. Islam bersifat wasatiyah dalam semua perkara. Ia dijadikan sebagai ciri keistimewaan asasi bagi umatnya. Konsep kesederhanaan dalam Islam sangat indah. Untuk menikmati keindahannya, kita harus meneliti konsep tersebut dalam semua aspek melibatkan pelbagai bidang, dimensi, sudut dan bentuk.

Salah satu cara untuk memahami maksud konsep kesederhanaan atau pertengahan ialah dengan memahami perkataan yang menjadi lawannya iaitu melampau atau ekstrim. Kadang-kadang sifat ekstrim ini sering digunakan secara salah untuk menggambarkan seseorang yang mempunyai komitmen mentaati ajaran-ajaran dasar dan jelas dalam Islam. Menurut al-Qaradhawi, sikap ekstrim bererti suatu posisi yang paling jauh. Sikap ekstrim berlawanan dengan prinsip asas ajaran Islam.

Islam mengajar umatnya supaya bersikap sederhana dan seimbang dalam segala sesuatu. Banyak nas Al-Quran dan hadis yang memerintahkan penganutnya agar mengamalkan sikap sederhana dan menolak semua bentuk pelampauan, ghuluw (berlebihan) dan tashdid (fanatik ). Diriwayatkan bahawa nabi s.a.w. telah bersabda :

“ Waspadalah terhadap sikap berlebih-lebihan. (Orang-orang) sebelum kamu telah binasa kerana sikap berlebih-lebihan (semacam itu).

Menurut hadis lain, nabi Muhammad s.a.w. bersabda :

“Telah binasa orang-orang yang melampau batas-batas” dan baginda mengulanginya tiga kali.

Berkenaan dengan hadis ini, Imam Nawawi membuat ulasan bahawa hal ini merujuk kepada mereka yang melampaui batas dalam ucapan dan perbuatan yang mengakibatkan kerugian dunia dan akhirat.

3. Kekaburan, Kekeliruan Dan Kesalahfahaman

(4)

Menyedari betapa hebatnya konsep kesederhanaan, ramai pihak atau organisasi menggunakan konsep tersebut untuk menarik perhatian orang ramai. Oleh sebab itulah, terdapat pelbagai pengertian dan tafsiran mengenai kesederhanaan. Adalah tidak menghairankan jika konsep tersebut sering dimanipulasi, diperguna dan disalahfahami oleh pelbagai pihak. Terdapat banyak salah faham mengenai kesederhanaan. Salah faham tersebut boleh disebabkan oleh kejahilan seseorang atau persepsi ahli masyarakat dan persekitaran yang terherot.

Kesalahan yang biasa dilakukan dalam memahami makna kesederhanaan adalah tanggapan masyarakat bahawa konsep tersebut sama dengan makna 50-50. Makna kesederhanaan ini difahami sebagai satu keadaan yang tidak terlalu baik dan tidak juga terlalu buruk. Sebagai contoh, wajahnya sederhana sahaja iaitu tidaklah cantik sangat dan tidak juga terlalu buruk. Contoh yang lain, kehidupan sederhana ialah kehidupan yang tidaklah terlalu kaya dan tidak pula terlalu miskin.

Kesalahfahaman ini membawa kepada rentetan salah faham yang lain dalam masyarakat umat Islam seperti :

1. Campur-aduk antara hal-ha1 yang membawa dosa dengan pahala atau antara maksiat dan amal soleh. Sebagai contoh, sederhana ialah seseorang muslim yang pergi ke masjid dan juga ke panggung wayang, menunaikan haji ke Makkah dan juga mengunjungi disko, berpuasa dan mendedahkan aurat atau mengeluarkan zakat dan mengambil riba. Dalam konteks yang lain, siaran televisyen yang menyiarkan azan dan diikuti dengan persembahan nyanyian yang melalaikan atau majlis tari-menari dimulakan dengan bacaan doa.

2. Tidak boleh ekstrim dalam beragama dengan maksud tidak mengikuti keseluruhan ajaran agama.

Yang sederhana ialah mengamalkan ajaran Islam setakat mana yang tidak bercanggah dengan adat resam atau budaya sesuatu bangsa. Mereka yang menolak adat persandingan dianggap ekstrim.

Wanita yang berpurdah dikatakan melampau. Isteri yang mentaati suami dianggap bodoh dan melulu. Hidup cara sunnah digelar ortodoks. Asyik dengan Al Quran dikatakan gila. Berzuhud dianggap ‘anti establishment’.

Salah faham ini menjadikan budaya dan amalan Islam di kalangan masyarakat menjadi keliru dan berkecamuk. Masyarakat Islam di Malaysia sebagai contoh sangat ketat dan tegas mengenai halal dan haram dalam hal ehwal makanan dan minuman. Namun mereka tidak pula begitu mengambil berat mengenai sumber yang digunakan untuk membeli makanan yang dimasukkan ke mulut ahli keluarga. Mereka merasa jijik jika mengetahui bahawa makanan yang dihidang telah bercampur dengan daging babi tetapi ramai tidak terasa jijik menerima wang hasil daripada pihak yang

(5)

menindas orang yang lemah. Ramai yang tidak terasa jijik untuk menerima hasil rasuah dan menggunakannya untuk menyuapkan isteri dan anak-anak berbanding dengan kesalahan meminum arak.

Salah faham pengertian kesederhanaan juga boleh berlaku dalam pelbagai dimensi lain seperti kesederhanaan dalam berusaha, kesederhanaan dalam pencapaian, kesederhanaan dalam berfikir, kesederhanaan dalam menuntut ilmu atau kesederhanaan dalam ketaatan kepada Tuhan. Sebagai contoh, pengertian sederhana dikaitkan dengan sikap tidak komited atau separuh komited. Atau sederhana pencapaian seperti pencapaian yang tidak cemerlang dan juga tidak gagal. Ini adalah pengertian yang salah dan diherotkan. Muslim yang sederhana adalah muslim yang komited dan berpegang teguh dengan prinsip-prinsip agama dan tidak melampau atau ekstrim. Muslim yang sederhana dan muslim yang ekstrim sangat berbeza dari sudut penunaian sesuatu tanggungjawab, sikap dan tahap pengamalan Islam, kefahaman dan interpretasi ajaran agama, serta pendekatan hubungan kemanusiaan dalam mengajak orang lain kepada kebenaran. Kerapkali sikap ekstrim disalahgunakan untuk menggambarkan seseorang yang sangat komited dalam melaksanakan dan mentaati ajaran-ajaran dasar Islam.

Mengapa terjadinya demikian? Ada banyak faktor penyumbang tetapi dikesempatan ini dikemukakan empat sebab yang lahir dari tiga golongan yang berbeza keadaan dan situasinya iaitu:

1 . Tidak faham agama atau ilmu agama yang dangkal.

Mereka salah faham kerana kekurangan ilmu agama dan tidak memahami hakikat sebenar mengikut neraca al-Quran dan Sunnah secara tuntas. Apa yang mereka fahami adalah berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi dari pelbagai sumber yang tidak berautoriti. Kefahaman yang tidak masak dan tidak menyeluruh menyebabkan kesimpulan yang dibuat salah, tersasar dan tidak tepat.

2. Menjaga kepentingan diri.

Golongan ini sebenarnya faham tetapi berpura-pura tidak faham kerana menjaga periuk nasi masing- masing. Maka didiamkanlah kesalahan tersebut, bahkan turut sama memalu gendang dan menyebarkan kekeliruan. Mereka lebih berminat untuk menjaga hati tuan-tuan besar mereka berbanding mencari keredhaan Allah. Sikap mereka ini semakin teguh apabila mendapat puji-pujian dan habuan dari tuan-tuan mereka. Mereka juga dianugerahkan dengan gelaran-gelaran muluk seperti ulama yang berdedikasi, dinamis, berfikiran luas dan terbuka.

3 . Ingin menutup kelemahan diri

(6)

Mereka memesongkan makna dan pengertian kesederhanaan lantaran kelemahan mereka sendiri yang gagal untuk menterjemahkannya dalam kehidupan seharian. Untuk menutup kelemahan diri, mereka cuba mereka-reka maksud kesederhanaan supaya sesuai dengan nafsu dan kehendak mereka.

Mereka menyembunyikan kebenaran dan tidak berani menyatakan sesuatu yang hak walaupun ia pahit dan menikam diri sendiri.

4. Perbezaan latar belakang dan lingkungan kehidupan

Latar belakang keluarga dan lingkungan kehidupan banyak mempengaruhi pandangan seseorang dalam menentukan apa itu sikap ekstrim atau moderat. Sebagai contoh, orang yang dibesarkan dalam lingkungan yang Islami, cenderung untuk menganggap segala penyelewengan sebagai penderhakaan dan tindakan yang mengerikan. Pada sisi ekstrim yang lain ialah mereka yang dibesarkan dalam suasana yang sama sekali tidak Islami menganggap suatu ketaatan minimum kepada Islam sebagai suatu bentuk sikap yang ekstrim. Mereka berasa sangat kagum pada seseorang yang mengerjakan solat lima kali sehari (padahal ia adalah wajib yang paling minimum) dan menganggap bahawa penutupan aurat sebagai satu tindakan yang ekstrim, fanatik dan mundur.

3. Neraca Kesederhanaan Dalam Islam

Majoriti manusia sememangnya sukakan sikap kesederhanaan. Sifat kesederhanaan merentasi agama, bangsa, budaya, lokasi, masa, warna kulit dan peringkat umur manusia. Namun demikian, neraca kesederhanaan dalam Islam bukanlah sesuatu yang subjektif dan ditentukan oleh akal manusia semata-mata. Walaupun akal, tradisi, bidang, hierarki, amalan dan situasi semasa merupakan antara faktor-faktor yang diambil kira dalam membincangkan kesederhanaan.

Namun kesederhanaan yang bertunjangkan ajaran Islam perlu mematuhi prinsip-prinsip tertentu dan bukan mengaitkannya secara lepas bebas. Kesederhanaan yang diiktiraf oleh Islam menjadikan al- Quran dan Sunnah sebagai petanda aras (benchmark) yang standard dan mematuhi semua kriteria asas iaitu aqidah (prinsip tauhid), syariat (maqasid syariyyat) dan akhlak.

Islam telah pun meletakkan neraca dan prinsip-prinsip yang jelas mengenainya berdasarkan al- Quran dan al-Sunnah. Islam mahukan umatnya bersederhana dengan mengambil keseluruhan ajaran Islam. Dalam erti kata lain, jika kita mengamalkan ajaran Islam yang sahih dan bersungguh- sungguh secara menyeluruh, maka ia akan membawa kepada kehidupan yang sederhana. Sebaliknya pelampauan akan berlaku sekiranya seseorang meninggalkan perintah agama atau melakukan sesuatu larangannya. Kesederhanaan dalam Islam tidak boleh dan tidak akan dicapai dengan meninggalkan ajaran Islam yang telah thabit secara qat’ie seperti bersolat, berpuasa dan memakai hijab. Sebagai

(7)

contoh yang mudah, kesederhanaan dalam berpakaian mestilah mengambil kira aspek iman, penutupan aurat dan niat yang baik. Tanpa salah satu daripadanya, ia melanggar batas kesederhanaan. Oleh yang demikian, kesederhanaan dalam Islam bukan hanya dilihat dalam konteks kehidupan di dunia secara sempit tetapi melibatkan kesinambungannya dengan alam akhirat.

Oleh itu, untuk memahami kesederhanaan dalam Islam, seseorang itu perlulah memahami tasawwur Islam yang menyeluruh dan tepat. Di samping itu, dia juga perlu memahami falsafah/hikmah di sebalik ajaran Islam dan maqasid di sebalik shariat Islam. Adalah lebih mantap lagi sekiranya dia juga memahami proses pencernaan (istinbat) hukum-hakam dari al-Quran dan al-Sunnah serta sumber-sumber hukum yang lain. Atas dasar ini, tidak syak bahawa konsep dan erti kesederhanaan dalam Islam ada persamaan dengan apa yang dimaksudkan oleh masyarakat awam atau apa yang dikehendaki oleh méreka, namun terdapat juga perbezaan-perbezaan yang mendasar yang memerlukan penelitian dan ketekunan yang tinggi.

4. Bentuk Dan Dimensi Kesederhanaan

Satu perkara yang kita sebagai umat Islam seharusnya sedar ialah konsep sederhana merangkumi pelbagai aspek iaitu iktiqad, ibadah dan cara mengerjakannya, akhlak dan cara hidup, muamalah dan perundangan hinggalah dalam apa jua bentuk kehidupan dunia. Rasulullah s.a.w. telah bersabda dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi:

Maksud : “ Sebaik-baik perkara ialah yang paling sederhana”

Terdapat pelbagai dimensi kesederhanaan. Ada yang berbentuk perimbangan antara dua perkara dan ada juga berbentuk kesederhanaan yang ideal dalam perspektif tertentu secara khusus. Berikut dinyatakan dimesi-dimensi kesederhanaan dalam bentuk perimbangan antara dua tuntutan.

1) Kesederhanaan antara penggunaan akal (ijtihad) dan panduan wahyu (nas) 2) Kesederhanaan antara keperluan kebendaan dan kerohanian.

3) Kesederhanaan antara tuntutan hamba dan khalifah 4) Kesederhanaan antara hak dan kewajipan

5) Kesederhanaan antara individu dan jamaah 6) Kesederhanaan antara idea dan realiti

7) Kesederhanaan antara turath (warisan lama) dan ramalan masa depan 8) Kesederhanaan antara kepentingan dunia dan akhirat

(8)

Manakala kesederhanaan dalam perspektif tertentu secara khusus pula ialah 1) Kesederhanaan pada perasaan sayang dan benci

2) Kesederhanaan dalam mengerjakan ibadat 3) Kesederhanaan dalam mencari harta kekayaan 4) Kesederhanaan dalam niat dan tujuan

5) Kesederhanaan pada keperluan hidup 6) Sederhana mencari nama dan pangkat 7) Kesederhanaan dalam pendidikan

8) Kesederhanaan dalam menghadapi kehidupan dan masyarakat 9) Kesederhanaan dalam konteks dakwah

5. Kesederhanaan Mencari Harta

Di kesempatan yang terbatas ini, penulis hanya memilih satu sahaja dimensi kesederhanaan yang sering disalahfahami oleh masyarakat iaitu kesederhanaan dalam mencari harta kekayaan dan membelanjakannya. Manusia memerlukan harta untuk hidup dan seharusnya menggerakkan aktiviti ekonomi untuk memajukan negara. Islam menggalakkan umatnya kuat bekerja mencari harta kerana hanya golongan yang kaya mampu dan diwajibkan mengeluarkan zakat. Bahkan kemiskinan boleh menjatuhkan seseorang kepada kekufuran. Namun harta bukanlah matlamat kehidupan manusia kerana hakikat sebenar harta hanyalah wasilah atau alat keduniaan sahaja. Sesiapa yang mengangkat martabat harta lebih daripada itu, sesungguhnya dia telah melampau. Keperluan kita kepada harta tidak dapat dinafikan. Manusia tanpa harta miskin dan kemiskinan mendekatkan diri kepada kekufuran. Untuk mendapatkan harta, manusia berusaha seribu satu cara. Ada yang jadi majikan dan ada yang jadi buruh upahan. Ada yang bekerja sendiri dan ada makan gaji. Ada yang bekerja secara halal seperti bertani dan bekerja kilang. Dan ada pula yang bekerja melalui jalan haram seperti menipu, memperdaya, mencuri, memberi rasuah dan lain-lain walaupun pada zahirnya nampak semacam lurus. Kadang-kadang ada juga manusia menggunakan kekerasan dan senjata. Yang lebih teruk, ada yang mencari harta dengan memperniagaan kehormatan diri, menjual maruah bangsa, tanah air, negara dan agamanya.

Sejak zaman berzaman, harta telah banyak menimbulkan fitnah dan kesulitan kepada manusia.

Namun kesalahan itu bukannya terletak kepada harta tetapi kepada sifat ketamakan manusia. Kalau harta disalahkan, bukankah dengan harta orang mendirikan masjid, surau, sekolah, institusi pengajian dan lain-lain. Yang menjadikan manusia tamak adalah dua perkara. Pertama kita memandang jiwa kehidupan itu ialah harta dan kedua ialah keuntungan. Benar, kita hidup mencari untung, menerima

(9)

upah dan gaji, tetapi jangan sampai segala upah itu mengubah jalan kebenaran. Sempurnakan pekerjaan dahulu barulah ingat kepada upah. Begitu juga bagi pihak majikan, imbangilah antara keuntungan dan kebajikan. Janganlah perah keringat pekerja untuk kepentingan diri semata-mata.

Begitu juga seorang pemimpin sejati akan terus memimpin bangsanya dengan segala daya upaya.

Kadang-kadang ia disanjung dan kadang-kadang ia dicerca. Dia akan bekerja juga walaupun upahnya hanya dikutuk dan difitnah orang. Begitu juga seorang pejuang bangsa membela tanah airnya siang dan malam, pagi dan petang. Upah tidak tentu, kadang-kadang difitnah, dihumban ke dalam penjara, dihina dan diaibkan bahkan ada juga dibunuh.

Islam memberi jalan pertengahan yang sangat cantik dalam memberi panduan kepada manusia untuk mencari kesenangan kebendaan di dunia. Dalam hal ini, Islam tidak menghalang manusia mencari dan mengumpul kesenangan harta benda samada melalui perniagaan, perladangan dan sebagainya.

Akan tetapi Islam tidak memberi kebebasan dalam mencari harta kekayaan dunia sehingga berlaku penindasan dan penganiayaan ke atas orang lain. Kesenangan kebendaan yang diperolehi janganlah sampai melalaikan seseorang daripada tugas dan tanggungjawab keagamaan, kekeluargaan dan tangggungjawab sosial. Firman Allah :

لطابلاب مكنيب مكلاومأ اولكأت لا اونمآ نيذلا اهيأي مكنم ضارت نع ةراجت نوكت نأ لاا

Maksud : Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan cara yang salah kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu (al-Nisa’ : 29)

Secara mudahnya, maksud kesederhanaan dalam mencari harta kekayaan ialah mencari rezeki yang halal. Dari sisi yang lain, Islam menyeru kita supaya bekerja bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal, membina peradaban dan mempunyai segala macam kemudahan hidup di dunia, tetapi ingat, segala nikmat tersebut hendaklah digunakan untuk ketaatan kepada Allah dan mencari keredhaanNya dengan berkhidmat untuk Islam. Sesungguhnya umat Islam yang kaya dan bermanfaat lebih baik dari umat Islam yang miskin, sabar dan meminta-minta.

6. Kesederhanaan Membelanjakan Harta

Selain kesederhanaan dalam mencari harta, kesederhanaan turut dituntut dalam membelanjakan harta tersebut. Menafkah harta tidak semuanya terpuji dan tidak semuanya tercela. Yang terpuji ialah harta

(10)

yang dinafkahkan kepada sedekah yang perlu atau memberi belanja anak isteri menurut semestinya.

Yang tercela ialah terlalu berlebih-lebihan (boros) dan terlalu berkurang-kurangan (bakhil). Terlalu berlebih-lebihan ialah orang yang berbelanja melebihi pendapatan sehingga tidak sepadan dengan kekuatan dirinya. Manakala terlalu berkurang-kurangan pula bermakna tidak mahu menafkahkan harta pada yang mesti atau mengurangi dari yang perlu. Firman Allah :

اماوق كلذ نيب ناكو اورتقي ملو اوفرسي مل اوقفنأ اذإ نيذلاو

Maksud : “ Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian ”

Selain kesederhanaan dalam mencari harta kekayaan, kesederhanaan turut dituntut dalam aspek membelanjakan harta tersebut. Menafkah harta tidak semuanya terpuji dan tidak semuanya tercela.

Yang terpuji ialah harta yang dinafkahkan secara bermanfaat seperti sedekah, mengeluarkan zakat atau memberi belanja anak isteri menurut semestinya. Yang tercela ialah belanja terlalu berlebih- lebihan (boros) atau terlalu berkurang-kurangan (bakhil).

Terlalu berlebih-lebihan ialah orang yang berbelanja lebih dari pendapatan sehingga tidak sepadan dengan kekuatan dirinya. Manakala terlalu berkurang-kurangan pula ialah tidak mahu menafkahkan harta pada yang mesti atau mengurangi dari yang perlu. Firman Allah :

كلذ نيب ناكو اورتقي ملو اوفرسي مل اوقفنأ اذإ نيذلاو اماوق

Maksud : “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian”. Firman Allah lagi :

Oleh itu jalan yang paling baik adalah jalan tengah dan sederhana supaya tidak terjerumus dalam kelompok pemboros atau kelompok kikir. Umumnya terdapat tiga golongan manusia dalam menghadapi masalah harta. Golongan pertama adalah mereka yang karam disebabkan oleh hartanya yang banyak. Ada ketikanya mereka merasa insaf tetapi banyak dibibir sahaja. Kalau mereka mendengar seseorang menerangkan pelajaran akhirat, bahaya harta dan lain-lain, mereka akan mengeluh berasa bersalah. Tetapi bila selesai sahaja pengajaran tersebut, mereka kembali lalai. Itulah yang paling banyak. Golongan kedua pula adalah mereka yang berpaling dari dunia dan harta sama sekali, tidak peduli malahan benci. Mereka hanya berminat dengan tujuan kehidupan sahaja iaitu amal ibadat untuk Allah dan kehidupan di akhirat. Golongan ketiga adalah golongan pertengahan iaitu orang yang mengambil hak dunia dan membayar hak akhirat. Diambil harta dunia sepuas- puasnya dan digunakan untuk menyokong amalnya menuju akhirat. Mereka membantu sesama kerana Allah, mendirikan masjid dan madrasah atau sekolah untuk mengembangkan ilmu dunia

(11)

dan akhirat. Golongan ini disebut golongan pertengahan dan sederhana. Golongan ini lah yang diakui sah oleh orang-orang yang muhaqqiqin.

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w didatangi oleh Malaikat Jibril untuk disampaikan kepadanya pertanyaan Allah. Manakah yang disukai sama ada menjadi nabi yang kaya raya seperti Nabi Sulaiman a.s atau jadi miskin seperti Nabi Ayub a.s. Rasulullah menjawab bahawa baginda lebih suka makan sehari dan lapar sehari. Mengapa begitu? Tanya Jibril. Rasulullah menjawab: “Di waktu kenyang saya bersyukur kepada Tuhan dan di waktu lapar saya meminta ampun kepadaNya. Ini bermakna bagi mereka yang memahami hakikat, kekayaan itu adalah nikmat. Pun begitu, kemiskinan juga nikmat dariNya. Mereka tetap kekal istiqamah di jalan kebenaran sama ada di waktu senang atau susah, kaya atau miskin, sukar atau mudah. Semuanya adalah pintu untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.

7. Jalan Kesederhanaan Mencari Dan Membelanjakan Harta

Untuk mencapai kesederhanaan dalam kedua-dua dimensi tersebut, seseorang itu seharusnya bersederhana dalam memenuhi keperluan hidup. Manusia sering tersasar dalam membezakan antara apa yang ‘diperlukan’ dan apa yang ‘dihendaki’. Nafsu dan selera manusia sering menuntut lebih daripada yang diperlukan. Ada manusia yang mempunyai citarasa yang sangat tinggi biarpun keupayaannya terbatas. Keperluan asas manusia pada umumnya ada tiga sahaja iaitu pakaian, tempat tinggal dan makanan. Setiap keperluan itu pula ada tiga tahap cara pelaksanaannya iaitu terlalu di bawah, pertengahan (sederhana), dan terlalu di atas. Dalam konteks pakaian, paling di bawah ialah menutup bahagian yang perlu sahaja dengan kain yang murah. Kalau di bawa pada masa, cukup untuk sehari dan semalam. Jika kotor, ganti dan bersihkan. Tahap pertengahan ialah yang sesuai dengan kesanggupan badan, tidak sengaja berlagak dan boros dan tidak pula pakaian yang haram.

Manakala tahap yang terlalu di atas ialah mengumpulkan kain baju sebanyak-banyaknya untuk menunjukkan kemampuan dan keborosan.

Kesederhanaan pada keperluan hidup bermakna merasa cukup dengan apa yang ada iaitu sifat qanaah di samping terus berusaha untuk mendapatkan apa yang dicita. Selain itu, seseorang itu perlu pandai mengukur baju pada tubuh sendiri atau membelanjakan sesuatu tidak melebihi kekuatan diri serta tahu membezakan apa yang perlu dan apa yang dikehendaki mengikut keutamaan keperluan. Orang yang telah membiasakan dirinya hidup sederhana, tidak akan merasa kekok dan canggung dengan apa sahaja perubahan yang berlaku. Kehidupannya masa senang tidak jauh berbeza dengan kehidupannya semasa susah. Mereka juga tidak mementingkan kekayaan lahir atau kemegahan luaran. Sekiranya terperosok dari pekerjaan atau jatuh miskin secara tiba-tiba, dia tidak tenggelam punca malah berusaha melepaskan diri dengan cara yang halal. Mereka yang memilih

(12)

kesederhanaan dalam memenuhi keperluan hidup, hatinya tidak akan ditumbuhi hasad dengki kepada kelebihan orang lain. Ini adalah kerana kekayaan dan kecukupan itu pada hakikatnya bukanlah merujuk kepada harta tetapi pada hati. Perlu diingat bahawa warna kesederhanaan adalah berbeza mengikut kelas-kelasnya. Kesederhanaan orang yang berharta tentulah berbeza dengan kesederhanaan orang yang tidak berada. Bagi mereka yang menolak ajaran jalan pertengahan ini atau yang telah diperdayakan oleh kemewahan yang melebihi kekuatan, keadaannya selalu saja tidak mencukupi, menyesakkan hati dan menghakis ketenteraman. Manusia yang lebih hebat ialah tetap memilih cara hidup yang sederhana walaupun mampu untuk hidup secara bermewah-mewahan.

8. Rumusan

Sebagai rumusan, kesederhanaan yang dianjurkan adalah keseimbangan dan jalan pertengahan dengan memberikan setiap perkara akan haknya dengan kadar yang paling wajar. Kesederhanaan dalam Islam adalah olahan yang terbaik antara dua titik yang melampau dengan menunaikan setiap tuntutan itu dengan keadaan yang paling sesuai. Hakikat kesederhanaan banyak ditentukan oleh niat dan tujuan;

bukannya bekas luar atau bentuk lahir. Warna kesederhanaan mungkin berlainan dan beragam menurut tahap keilmuan, kerohanian, bebanan tanggungjawab yang dipikul dan kesanggupan tiap- tiap orang, namun ia tetap mematuhi prinsip-prinsip yang telah ditetapkan.

Pendekatan sederhana yang mengambilkira semua elemen itulah yang secocok dengan kejadian dan tabiat hidup manusia serta kemanusiaan itu sendiri. Apabila kesemua tuntutan itu disempurnakan mengikut kadarnya yang sesuai, maka akan kesederhanaan. Dan kesederhanaan dalam bentuk dan kefahaman inilah yang dikatakan hasil terbaik yang dicanang-canang oleh al- Quran sebagai ‘ummatan wasatan’ umat yang adil lagi pertengahan. Kesederhanaan inilah kemajuan sebenar dan pemodenan yang mengislah dan bukan memusnahkan. Kesederhanaan ini juga menjadikan Islam sebagai rahmat ke seluruh alam.

Konsep kesederhanaan ini tidak pernah bertentangan dengan konsep kecemerlangan atau itqan (assanu ‘amala). Bahkan sederhana anjuran Islam itulah yang dikatakan sebaik-baik amalan dan pekerjaan. Justeru, konsep dan gagasan kesederhanaan adalah suatu pencapaian yang tinggi di mana ia berada dalam suatu posisi terbaik antara dua atau lebih keadaan yang melampau sama ada bersifat tafrit (cuai atau bermudah-mudahan) atau ifrat (berlebih-lebihan atau melampau). Titik atau kawasan kesederhanaan dalam Islam pada satu-satu aspek atau keadaan tertentu adalah satu daerah yang terindah, amat mendamaikan, paling hampir dengan fitrah kejadian manusia yang harmoni, seiringan dengan keadilan, paling dekat dengan kebenaran dan ketaqwaaan serta paling cemerlang dan

(13)

gemilang. Ia adalah titik dan daerah ketenangan dan kebahagiaan yang dicari-cari oleh manusia namun tidak ramai yang berjaya menemui dan merasai kemanisannya.

9. Rujukan

Aisha Lemu. 1996. Sikap ekstrim : penyakit dakwah. Selangor : ABIM

Al-Habib Umar Muhammad Hafidz. 2010. Agama moderat : menghidupkan kembali hakikat ajaran Islam. Terj. Ahmad Dairobi. Jakarta Selatan : Nurani Publishing.

Al-Qaradhawi. Fatwa : antara ketelitian dan kecerobohan. Kuala Lumpur : Thinker’s Library Al-Qaradhawi. 1996. Islamic awakening between rejection and extremism. Washington DC:

International Institute of Islamic Thought (IIIT).

Al-Qaradhawi Yusuf. Kesederhanaan dalam Islam. Terj. Rosli Mokhtar. Selangor : CASA Publication

Al-Solabi Ali Muhammad. 2009. Al-Wasatiyyah fi al-Quran al-Karim. Beirut : Dar al-Ma’rifah Al-Zuhaily, Muhammad. 2005. Moderat dalam Islam. Terj. Kuwais. Jakarta : Akbar Media Eka

Sarana.

Hamka. 1995. Falsafah hidup.. Singapura : Pustaka Nasional PTE LTD.

Hamka. 1983. Tafsir al-Azhar. Singapura : Pustaka Nasional PTE LTD.

Ishom Talimah. 2001. Manhaj fikihYusuf Al-Qaradhawi. Terj. Samson Rahman. Jakarta Timur:

Pustaka Al-Kautsar.

Mohd Asri Zainul Abidin. 2006. Membela Islam : tanggungjawab dan disiplin. Selangor : Karya Bestari Sdn. Bhd.

Osman Bakar. Islam and civilizational dialogue : the quest for a truly universal civilization. Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya

PERGAS. Kesederhanaan dalam Islam dalam konteks masyarakat Islam Singapura. 2004. Singapura : PERGAS

Siddiq Fadzil 2012. Islam dan Melayu ; martabat umat dan daulat rakyat. Selangor : Akademi Kajian Ketamadunan Kolej Dar al-Hikmah.

Sheikh Muhammad Al-Madani. 1992. The moderation of Islam. Terj. M. Ahmed dan T.Tawfik.

Cairo : Ministry of Waqfs

Syed Qutb. 2000. Di bawah bayangan al-Quran. Terj. Yusoff Zaky Hj Yacob. Jld 4. Kota Bharu:

Pustaka Aman Press Sdn Bhd.

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN

Manhaj al-Quran dalam menerangkan sesuatu hukum dengan meletakkan perbincangan mengenai perkara di beberapa ayat yang terletak di beberapa surah telah digunakan

Perjuangan menegakkan hukum syarak dan mempertahankan kedudukan bangsa adalah perjuangan yang berkesinambungan dengan hasrat dan cita-cita ulama serta agamawan yang telah

Oleh hal yang demikian adalah perlu kepada suatu usaha untuk mempastikan bidang perubatan dan rawatan yang dilaksanakan sesuai dengan inspirasi al-Quran dan al-Sunnah

Justeru, dengan mengambil contoh kes karya al-Munabbihāt ‘Ala al-Isti’dad Li Yawm al-Ma’ad, penulis berharap akan ada lagi pengkaji-pengkaji lain yang akan memberikan

Nyatakan dan takrifkan hukum-hukum yang berkaitan dengan kedua-dua proses yang disebut dalam (i)?. Tunjukkan hubungan bagaimana kadar efusi bergantung kepada tekanan

Selain itu, kajian juga perlu dilakukan terhadap pemikiran hukum dan aliran pemikiran hukum Syeikh Daud dalam skop yang lebih kecil seperti fiqh al-Tahārah, fiqh

Penyakit (sama ada dalam bentuk fizikal atau spiritual) juga boleh berlaku dengan sentuhan atau rempuhan iblis atau syaitan atau jin, maka kaedah menjadikan amalan rutin

Kajian ini memfokuskan penelitian terhadap pengajian al-Quran kepada golongan kelas menengah di masjid. Tumpuan lokasinya adalah di beberapa buah masjid terpilih di