• Tiada Hasil Ditemukan

KONFLIK DALAM NOVEL-NOVEL JONG CHIAN LAI

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "KONFLIK DALAM NOVEL-NOVEL JONG CHIAN LAI"

Copied!
201
0
0

Tekspenuh

(1)

KONFLIK DALAM NOVEL-NOVEL JONG CHIAN LAI

CHIENG LAY HUA

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

2017

(2)

KONFLIK DALAM NOVEL-NOVEL JONG CHIAN LAI

oleh

CHIENG LAY HUA

Tesis diserahkan untuk memenuhi keperluan bagi

Ijazah Sarjana Sastera

Ogos 2017

(3)

ii

PENGHARGAAN

Syukur kepada Tuhan Yang Maha Kuasa kerana dengan izinnya maka tesis ini berjaya disempurnakan.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Dr. Sakinah Abu Bakar, selaku penyelia utama yang telah banyak memberi pengajaran dan nasihat dalam membantu menyiapkan tesis ini bagi memenuhi syarat Ijazah Sarjana sastera dalam bidang Kesusasteraan. Secara tulus ikhlas saya, kerana segala usaha dan tunjuk ajar serta memimpin saya dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab dengan baik dan dedikasinya. Sekalung penghargaan dan ribuan terima kasih diucapkan juga kepada Encik Jong Chian Lai, seorang novelis yang begitu berbakat dan berbudi pekerti kerana sudi berkongsi ilmu dan menjawab persoalan-persoalan tentang karya beliau khususnya yang berkait dengan kajian saya.

Penghargaan dan berbanyak-banyak terima kasih kepada kakitangan di perpustakaan Universiti Sains Malaysia, perpustakaan UNIMAS, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuching atas kerjasama dan tanggungjawab. Sumbangan itu amat dihargai.

Akhir sekali, terima kasih juga kepada ahli keluarga dan rakan-rakan seperjuangan yang saya sayangi kerana banyak memberi sokongan moral dan semangat kepada saya. Terimalah serangkap pantun daripada saya;

Bijak mengurus satu rahmat, Bijak berteman gembira badan;

Membaca adalah jambatan maklumat, Ilmu dikuasai tanpa sempadan.

Sekian, saya akhiri penghargaan ini dengan lafaz terima kasih.

(4)

iii

ISI KANDUNGAN

Penghargaan ii

Isi Kandungan iii

Abstrak v

Abstract vii

BAB SATU - PENDAHULUAN 1.1 Pengenalan 1

1.2 Permasalahan Kajian 7

1.3 Objektif Kajian 10

1.4 Kepentingan Kajian 10

1.5 Skop Kajian 11

1.6 Kajian Literatur 12

1.7 Teori dan Metodologi 20

1.7.1 Pengertian Konflik 22

1.7.2 Senario Pembangunan yang Mencetuskkan Konflik 25

1.7.3 Teori Psikoanalisis 30

1.8 Organisasi Kajian 35

BAB DUA - SENARIO PERKEMBANGAN KESUSASTERAAN DALAM GENRE NOVEL DI NEGERI SARAWAK DALAM TAHUN 1990-AN 2.1 Latar Belakang 37

2.2 Senario Penulisan Genre Novel di Negeri Sarawak 54

2.3 Kepengarangan Jong Chian Lai 59

2.4 Latar Belakang Kaum Iban 63

2.5 Kesimpulan 69

(5)

iv

BAB TIGA - KONFLIK DALAMAN DAN LUARAN DALAM NOVEL GUGURNYA LANGIT HIJAU NANGA TIGA DAN PINDAH

3.1 Pengenalan 72

3.2 Latar Belakang 73

3.3 Konflik Dalaman dalam Novel Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga dan Pindah 75

3.4 Konflik Luaran dalam Novel Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga dan Pindah 100

3.5 Kesimpulan 109

BAB EMPAT - KONFLIK DAN PENYELESAIAN 4.1 Pengenalan 111

4.2 Konflik dan Penyelesaian dalam Novel Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga 113

4.3 Konflik dan Penyelesaian dalam Novel Pindah 129

4.4 Kesimpulan 149

BAB LIMA - KESIMPULAN 152

NOTA HUJUNG 167

RUJUKAN 168 SENARAI LAMPIRAN

(6)

v

KONFLIK DALAM NOVEL-NOVEL JONG CHIAN LAI

ABSTRAK

Pembangunan yang drastik telah berlaku di Sarawak sehingga meninggalkan kesan yang bukan sedikit pada tanah pusaka dan masyarakat peribumi iaitu kaum Iban. Permasalahan pembangunan ini mendapat tentangan dan perhatian termasuklah pencinta alam dan masyarakat Iban yang masih terikat dengan tradisi budaya nenek moyang. Jong Chian Lai telah mengangkat permasalahan pembangunan di Sarawak serta kesannya kepada alam sekitar dan budaya kaum Iban. Kajian ini mempunyai 2 objektif utama. Objektif pertama ialah mengenal pasti dan menganalisis konflik- konflik luaran dan dalaman menerusi watak-watak utama dalam dua buah novel pilihan dengan mengunakan teori psikoanalisis. Objektif kedua pula untuk mengupas konflik luaran dan dalaman terhadap budaya, adat dan tradisi serta kelangsungan hidup dan kesejahteraan kaum Iban dalam dua buah novel terpilih serta penyelesaian terhadap konflik-konflik tersebut. Menerusi dua buah novel yang menjadi pilihan kajian ini iaitu novel Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga dan Pindah didapati Jong Chian Lai banyak menyelitkan konflik dalaman dan luaran menerusi watak-watak utamanya akibat pembangunan fizikal yang secara langsung dan tidak langsung mengubah pemikiran dan cara hidup serta budaya masyarakat tersebut. Penghayatan terhadap isu dan pemasalahan serta gelojak jiwa watak-watak utama kedua-dua buah novel terpilih mewakili sekelompak masyarakat peribumi yang amat cintakan hutan belantara yang amat dicintai. Yang menarik ialah pada penyelesaian yang dianjurkan oleh pengarang yang berjaya membuka minda khalayak untuk berfikir secara rasional, adil dan saksama terhadap pihak-pihak yang terbabit. Kejayaan lain yang dilihat sangat bermakna pada kedua-dua buah novel berkenaan ialah pada pemerian

(7)

vi

alam dan selok belok kehidupan masyarakat kaum Iban yang sangat kaya dengan adat dan budaya yang unik dan tersendiri.

(8)

vii

CONFLICT IN THE NOVELS OF JONG CHIAN LAI

ABSTRACT

Drastic development in Sarawak had caused the problems of heritable land of indigenous people especially the Iban people. These problems had gained both the contrasts and concerns from the nature lovers and Iban people that bounded to their culture traditions. Jong Chian Lai brings these problems that related to the consequences of development in Sarawak and effects to the forest and the Iban people. Thus, this research aim for two main objectives. The first objective is to identify and analyze the external and internal conflicts through its main characters in two selected novels using psychoanalysis theory. The second objective is to examine the external and internal conflicts on the culture, customs and traditions also the survival and the well-being of the Ibans in these two selected novels. And also the solutions to the conflicts. Throughout the selected novels Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga and Pindah, Jong Chian Lai incorporated many of the conflicts through its main characters that caused by the physical development which had change their way of life and thinking. Appreciation to the issues and its problems as well as the conflicts of the main characters of these two novels represents a group of native peoples who loved the nature. One of the interesting parts of these novels is the solution made up by the author which opens the mind of the audience to think rationally and fairly towards the parties involved. Both novel succeeded in portraying the nature and the lives of Iban people who are rich and unique in their culture.

(9)

1

BAB SATU: PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2015:814) konflik diertikan sebagai satu perselisihan atau pertentangan antara individu, idea, kepentingan diri.

Manakala dalam konteks lain pula, konflik berasal dari kata kerja Latinconfigere yang bererti saling memukul. Secara sosiologis, konflik diertikan sebagai suatu proses sosial antara dua orang atau lebih yang mana salah satu pihak berusaha menyingkirkan pihak lain dengan menghancurkannya atau membuatnya tidak berdaya. Hal ini bertepatan dengan pandangan-pandangan sarjana-sarjana Barat iaitu Charles Darwin (1868-1882), Karl Marx (1818-1883), dan Sigmund Freud (1856- 1939) menyatakan bahawa konflik boleh dilihat dari perspektif psikologi sosial.

Charles Darwin menegaskan bahawa kehidupan telah berevolusi sepanjang sejarahnya dan mekanisme yang menyebabkan terjadinya evolusi adalah seleksi alam iaitu perjuangan manusia untuk hidup (2008:28). Pandangan Karl Marx pula menekankan bahawa situasi yang mendesak, setiap individu harus membina hubungan, penyesuaian, untuk membangun tugas-tugas memandangkan masyarakat bergerak dalam proses perkembangan di mana konflik diperlukan untuk mengakhiri konflik yang terus terjadi (1998:7).

Sigmund Freud (2006:33) menitikberatkan id, dan superego yang dikatakan sering berkonflik dan Freud percaya konflik inilah menyebabkan tingkah laku devian. Di samping itu juga, keperibadian adalah semua corak perilaku dan kebiasaan individu terhimpun dalam diri dan digunakan untuk bereaksi serta menyesuaikan diri terhadap segala rangsangan baik dari luar mahupun dari dalam.

Jelasnya, konflik adalah satu perspektif dalam sosiologi yang memandang

(10)

2

masyarakat sebagai satu sistem sosial yang saling bergantungan antara tindakan individu dan kelompok dalam kehidupan sosial.

Ternyata, kenyataan Sigmund Freud iaitu desakan naluri manusia akan mendorong manusia untuk bertindak berkonflik dalam memenuhi keperluannya.

Kepuasan yang diperoleh dapat mengembalikan keseimbangan tubuh badan dipetik dari tulisan-tulisan Ahmad Amri Zainal Adnan (2009:7). Dengan itu, terbuktilah superego itu berhubungan erat dengan apa-apa yang disebut dalam etika dengan nama hati nurani. Hal ini sejajar dengan pandangan dengan sarjana Barat iaitu K.

Bertens (1993:66-67) dalam bukunya bertajuk “Etika”. Dalam hal ini superego merefleksikan nilai-nilai sosial dan menyedarkan individu atas tuntutan moral.

Jadi pada hakikatnya konflik dalam kehidupan manusia sebenarnya adalah fenomena yang sangat alamiah dengan situasi yang boleh menimbulkan kedamaian atau kekerasan. Fenomena ini sesuai dengan pandangan Sigmund Freud (2007:67) bahawa manusia dan lingkungan sosialnya selalu berada dalam konflik yang tiada henti. Konflik itu hanya akan hilang dengan hilangnya masyarakat itu sendiri.

Berikutan dengan wujudnya proses pembangunan selalu sahaja ada kewujudan juga keseimbangan dan ketidakadilan, apalagi jika dirasakan kekurangan, ketidakpuasan dan ketidaksesuaian dengan hasilnya, atau dijalankan dengan situasi kekecewaan yang dapat berkembang menjadi konflik. Kewujudan situasi ini akan menimbulkan masalah-masalah kepada masyarakat sebagai penerima manfaat pembangunan.

Hal ini turut disokong oleh pandangan-pandangan Anthony Payne & Nicola Phillips (2010:6), yang menegaskan bahawa pembangunan merupakan akses pembangunan negara yang penting untuk kehidupan masyarakat yang mengambil bahagian. Lebih-lebih lagi pembangunan dinilai juga sebagai satu perjalanan kehidupan yang berterusan bagi masyarakat. Jadi, jelas menunjukkan bahawa

(11)

3

pembangunan merupakan prasyarat dalam kehidupan masyarakat dan manusia selaku penerima manfaat pembangunan.

Realitinya, pembangunan ialah konsep pertumbuhan ekonomi, modenisasi, industrialisasi, normatif atau hak keperluan asas dan environmentalism (Ahmad Shukri Mohd. Nain dan Rosman Yusoff, 2003:49). Selain itu, pembangunan juga boleh dirujuk sebagai sebuah perubahan sosial yang terencana dan ia tidak boleh hanya dijelaskan secara kuantitatif dengan pendekatan ekonomi semata-mata kerana pembangunan mempunyai aspek tersembunyi yang berlaku pada masyarakat seperti tekanan, persepsi, gaya hidup, motivasi dan budaya yang dapat mempengaruhi pemahaman masyarakat dalam memanfaatkan peluang-peluang yang sedia ada.

Sehubungan dengan itu, pembangunan maju turut membawa impak dari segi interaksi manusia sesama manusia, manusia dengan alam sehingga wujudnya konflik-konflik dalaman dan luaran dalam kehidupan masyarakat. Sebagai akibatnya seperti dalam tulisan Nommy Horas Thombang Siahaan (2004:24) mengakui bahawa pembangunan merupakan proses interaksi manusia dengan lingkungan yang mendapat risiko dari dampak pembangunan tersebut. Lanjutan dari proses pembangunan adalah lingkungan hidup, mencegah tindakan yang mengarah kepada kehabisan dan kerosakan sumber daya alam (Nommy H.T.S. 2004:49). Hal sedemikian membawa pelbagai konflik dalam situasi yang berlainan dalam kehidupan masyarakat.

Secara umumnya apa juga bentuk pembangunan fizikal akan memberi kesan positif dan negatif terhadap sesebuah masyarakat. Hal yang sama telah ditonjolkan oleh Jong Chian Lai dalam dua buah novelnya yang menjadi pilihan kajian ini iaitu novel GugurnyaLangit Hijau Nanga Tiga dan Pindah. Pembangunan fizikal dapat dilihat dalam aspek ekonomi, teknologi dan perindustrian manakala pembangunan

(12)

4

non-fizikal dirujuk pula kepada keperluan-keperluan manusia iaitu keperluan sosial, keperluan rohani dan keperluan materialistik.

Pada dasarnya pembangunan tidak dapat dipisahkan daripada konteks sosial yang melibatkan hubungan manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekitarnya. Hal demikian menunjukkan bahawa proses pembangunan turut membawa konflik-konflik terhadap masyarakat dan alam persekitarannya. Hal ini dapat juga dijelaskan lagi melalui tulisan Portes (1976:43-74) yang mendefinisikan pembangunan sebagai transformasi ekonomi, sosial dan budaya. Usaha-usaha pembangunan dapat dibuktikan melalui proses perubahan yang direncanakan untuk penambahbaikan berbagai aspek kehidupan masyarakat. Justeru itu, kejayaannya sering dilihat daripada perspektif fizikal. Pembangunan juga boleh dilihat sebagai proses perubahan yang mencakupi seluruh sistem sosial seperti politik, ekonomi, infrastruktur, pertahanan, pendidikan dan teknologi (Alexander 1994:13).

Daripada penjelasan yang tersebut dapatlah difahami bahawa antara punca- punca wujudnya konflik dalam pembangunan ialah sumber organisasi yang terhad, perbezaan matlamat, saling persandaran aktiviti kerja dan wujudnya perbezaan nilai atau tanggapan dalam kalangan anggota organisasi. Di samping itu, konflik juga berpunca daripada ketidaksamarataan susunan organisasi, latar belakang berbeza dan perbezaan personaliti individu itu sendiri yang terlibat dalam sesebuah organisasi.

Keadaan ini boleh menimbulkan pelbagai masalah antara perhubungan antara budaya, sosial dan alam sekeliling mereka. Sungguhpun begitu konflik dan pembangunan bukan sahaja mendatangkan kesan-kesan yang negatif kepada sesebuah organisasi dalam kehidupan masyarakat tetapi juga memberikan kesan- kesan yang positif seperti membawa era pemodenan dan kehidupan yang lebih selesa

(13)

5

dan harmoni jika dirancangkan dengan teratur dan dapat menangani konflik-konflik pembangunan ini dengan baik.

Hal yang penting ialah untuk mewujudkan situasi keseimbangan dan kesamarataan antara konflik dalam pembangunan. Justeru, proses pembangunan perlu dirancang dengan teliti untuk mengelakkan konflik-konflik yang ketara berlaku dalam kehidupan masyarakat. Dalam konteks kajian ini, konflik luaran dan dalaman akan diteliti menerusi paparan naratif yang membabitkan watak dan perwatakan.

Oleh yang demikian konflik dalaman dalam kajian ini akan ditanggapi daripada watak-watak utama dalam kedua-dua buah novel tersebut. Konflik berkenaan mempamerkan situasi sebenar atau gambaran langsung tentang masyarakat kaum iban seperti yang dikisahkan dalam novel-novel terpilih iaitu GugurnyaLangit Hijau Nanga Tiga dan Pindah.

Kreativiti dan imaginasi Jong Chian Lai tentang situasi dan latar konflik- konflik yang wujud akibat arus pembangunan begitu nyata dan rinci dalam penulisannya tentang kaum Iban khasnya di Bahagian Sri Aman, negeri Sarawak.

Konflik berkenaan berjaya dipaparkan melalui pengalaman dan pengamatan Jong Chian Lai secara peribadi. Konflik-konflik yang tercetus antara kaum Iban dengan pihak penjarah dan pihak individu dengan masyarakatnya sendiri khususnya tentang isu menerima pembangunan sepenuhnya ataupun hanya sebahagian sahaja dalam kumpulan kaum Iban. Konflik-konflik yang dibincangkan dalam novel Jong Chian Lai adalah yang melibatkan perselisihan faham serta ketidakpuasan hati antara kedua-dua pihak tentang perubahan arus pembangunan yang menggugat kesejahteraan budaya, adat, sosial serta keperluan-keperluan rohani. Hal ini bertepatan sekali dengan mesej yang cuba disampaikan oleh Jong Chian Lai

(14)

6

menerusi novel-novelnya yang dapat pula dihubungkan dengan isu konflik seperti yang ditegaskan oleh Shahnon Ahmad dalam novel Rentong (1965) iaitu:

Kekuatan sensitiviti dan imaginasi sebagai seniman berhasil menangkap konflik-konflik jiwa orang kampung.

(Shahnon Ahmad, 1965, hlm.123)

Oleh hal yang demikian, pengalaman serta pengamatan pengarang sendiri dapat memberikan mereka ilham untuk mereka menulis tentang masyarakat berdasarkan keadaan persekitaran mereka. Hal ini disokong pula oleh pandangan Rene Wellek dan Austin Warren (1949:257) dalam Theory of Literature yang menyatakan bahawa,

Literature represents ‘life’ and ‘life’ is, in large measure, a social reality, even though the natural world and the inner are subjective world of the individual have also been objects of literary ‘imitation’.

Petikan di atas menjelaskan bahawa kesusasteraan mempersembahkan tentang kehidupan, dan kehidupan itu pula diukur dalam skala yang besar, realiti kehidupan justeru dunia sebenar ialah dunia dalaman yang subjektif daripada seseorang individu juga menjadi objek imitasi kesusasteraan. Sebuah novel merupakan salah satu jenis kesusasteraan yang mampu diketengahkan dalam kehidupan masyarakat. Dengan kata lain novelis adalah tukang cerita dengan segala keterampilan. Keterampilannya bukan sahaja wujud dan dipertingkatkan selaras dengan keadaan persekitaran semasa, tetapi sesuai dengan tuntutan berbagai era dan tidak lari daripada manusia dan kemanusiaannya.

Lazimnya semua hal yang ditonjolkan di atas telah mencetuskan pula persoalan yang besar mengenai konflik-konflik yang berlandaskan kehidupan masyarakat yang cuba menjalinkan kebenaran peristiwa dan mempunyai unsur-unsur yang mendalam, kuat dan kukuh. Konflik kejiwaan yang disisipkan menerusi watak-

(15)

7

watak utama dalam novel terpilih karya Jong Chian Lai turut meninggalkan kesan yang mendalam. Gambaran ini terlakar dengan rincinya dalam novel-novel Jong Chian Lai yang akan diutarakan oleh pengkaji dalam kajian ini. Walaupun hanya dilihat berdasarkan dua buah novel, kajian ini mempunyai kerelevanannya kerana merupakan pancaran realiti sebenar masyarakat yang digarap oleh penulis melalui pengalamannya sendiri. Jong Chian Lai sendiri mengaku bahawa novel-novel tersebut merupakan pengamatan beliau sepanjang tinjauan beliau terhadap seratus buah rumah panjang di Bahagian Sri Aman. Usaha tersebut telah meningkatkan proses kreatif berdasarkan masyarakat Sarawak khasnya tentang masyarakat Iban secara tulen.

Justeru itu, karya-karya Jong Chian Lai menyampaikan situasi dan realiti konflik-konflik dalam arus pembangunan yang dihadapi oleh suku kaum Iban dengan kompleks sekali. Tujuan novel-novel tersebut dikarang antara lain adalah untuk menghidangkan segala keperihalan manusia dengan segala kompleksiti (Shahnon Ahmad, 1995:49). Pertembungan konflik luaran yang membabitkan cara hidup, budaya, adat dan pandang alam sesuatu kaum mengakibatkan wujudnya konflik dalaman atau kejiwaan. Hal inilah yang menjadikan novel-novel tersebut kompleks. Kompleksiti ini sangat mencabar daya apresiasi khalayak khususnya para pengkaji untuk mendalami dan menghayati isu-isu yang diketengahkan dengan saksama.

1.2 Permasalahan Kajian

Isu pembangunan sering mengundang masalah terhadap alam sekitar dan menimbulkan konflik-konflik luaran dan dalaman. Konflik-konflik berkenaan sentiasa diperdebatkan sama ada di peringkat negara mahupun di peringkat

(16)

8

antarabangsa. Ironinya, arus pembangunan yang semakin pesat telah banyak menimbulkan isu-isu yang berkaitan dengan konflik-konflik individu, antara sesama masyarakat sendiri dan juga dengan alam. Isu-isu tersebut ialah isu tanah adati, isu budaya, isu adat, isu hutan dan kesamarataan hak-hak pemilik. Hal ini dapat dilihat dalam isu berkenaan, yang diperdebatkan juga dalam persidangan kebangsaan geografi dan alam sekitar kali ke-4 anjuran Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan pada 5-6 Mac di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Isu tentang kes tanah adat melibatkan kes-kes pemilik tanah dengan pihak pemaju dalam mencapai kesamarataan hak bagi Orang Asli dalam konteks pembangunan orang asli telah dijalankan pihak kontraktor atau sebaliknya.

Dalam masa yang sama, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia telah menerima kira-kira 500 aduan berkaitan isu tanah adat, di sepanjang 11 hari Konsultasi Inkuiri Nasional mengenai hak tanah adat yang dijalankan di negeri Sabah. Antara isu-isu yang dibincangkan adalah isu tanah adat, di samping juga mendengar dan mendapatkan pandangan serta membuat penyelesaian konflik masalah Bumiputera di Sabah mengenai konflik tanah adat yang telah berlaku. Sehubungan ini, isu berkaitan konflik pembangunan di luar bandar telah mewujudkan konflik tanah dalam kalangan pihak pemaju dan masyarakat setempat. Keadaan ini telah menyebabkan Orang Asli yang terlibat telah kehilangan tempat tinggal dan kawasan pencarian hasil serta sumber hutan bagi menyara kehidupan mereka.

Sebagai akibatnya dari kes-kes konflik yang telah terjadi, menimbulkan persoalan sama ada ia dapat diselesaikan sepenuhnya serta memberikan manfaat kepada masyarakat atau sebaliknya? Kesan daripadanya, ramai kaum Iban khasnya yang masih terikat kuat dengan adat istiadat sedaya upaya mempertahankan tanah nenek moyang sebagai penempatan mereka di rumah-rumah panjang di kawasan

(17)

9

pedalaman iaitu daerah Lubok Antu terutamanya di Bahagian Sri Aman, negeri Sarawak yang dianggap masih mundur dalam banyak aspek seperti ketiadaan kemudahan asas dan infrastruktur.

Isu kesejahteraan dan konflik yang muncul dalam masyarakat Iban turut dipersoalkan dalam novel Jong Chian Lai menerusi watak-watak utama ke dua-dua buah novel yang menjadi fokus kajian ini. Dalam hal ini, secara umumnya negeri Sarawak juga merupakan salah sebuah negeri yang unik dalam Malaysia yang tidak dapat dipisahkan dengan isu pembangunan ini. Keunikan tersebut disebabkan negeri Sarawak didiami oleh pelbagai kaum seperti kaum Ibanii, Cina dan Melayu. Hal sedemikian hanya berlaku di negeri Sarawak yang majoriti penduduknya adalah kaum Iban berlainan dengan negeri Semenanjung Malaysia yang majoritinya adalah kaum Melayu.

Persoalan yang membabitkan kaum Iban belum dikaji secara meluas oleh para pengkaji di Malaysia khasnya. Justeru isu kepelbagaian kaum dan masalah yang dihadapi mereka telah menarik minat pengkaji khususnya bagi membincangkan konflik dalaman dan luaran yang disebabkan oleh pembangunan dalam masyarakat kaum Iban yang masih mengamalkan cara hidup yang diwarisi turun temurun itu.

Mereka menjadikan alam dan hutan belantara sebagai harta peninggalan nenek moyang, kawasan penempatan serta sumber rezeki harian sebagai cara hidup mereka.

Justeru amatlah sukar untuk suku kaum ini menerima serta menghadapi arus pembangunan yang begitu pesat.

Perbincangan akan merujuk dan meneliti dua buah fiksyen Jong Chian Lai berlatar dunia suku kaum Iban serta perkampungan rumah-rumah panjang di kawasan pedalaman, Bahagian Sri Aman, Sarawak. Masyarakat yang mendiaminya tidak dapat tidak terpaksa berhadapan dengan impak negatif hasil pembangunan

(18)

10

fizikal dan material sehingga mencetuskan konflik dalaman dan luaran yang serius dan berterusan.

1.3 Objektif Kajian

Kajian ini lebih menjurus situasi konflik akibat pembangunan dalam fiksyen terpilih karya Jong Chian Lai. Dalam konteks itu, kajian menetapkan 3 objektif iaitu;

i) Mengenal pasti dan menganalisis konflik-konflik luaran dan dalaman menerusi watak-watak utama dalam dua buah novel pilihan.

ii) Mengupas konflik luaran dan dalaman terhadap budaya, adat dan tradisi serta kelangsungan hidup dan kesejahteraan kaum Iban dalam dua buah novel terpilih serta penyelesaian terhadap konflik-konflik dalaman dan luaran.

1.4 Kepentingan Kajian

Antara kepentingan kajian yang dapat digariskan adalah seperti berikut;

i. Membuka minda khalayak sastera dan generasi masa kini tentang usaha mempertahankan tradisi budaya kaum Iban.

ii. Menambah koleksi kajian sebagai khazanah kesusasteraan di Malaysia dalam genre novel khususnya di negeri Sarawak dan di Malaysia Amnya.

iii. Kajian ini akan menambah sumber rujukan dalam genre novel bagi kajian-kajian seterusnya di peringkat pengajian tinggi.

(19)

11 1.5 Skop Kajian

Kajian ini berfokus 2 buah novel Jong Chian Lai bagi mengenal pasti konflik dalaman dan luaran yang timbul akibat pembangunan. Kaum Iban merupakan golongan terpencil yang bermastautin di kawasan pedalaman di Sri Aman daerah di Sarawak. Kisah-kisah yang ditampilkan adalah berdasarkan pengamatan dan pengalaman penulis sewaktu menjalankan tugasnya sebagai penceramah kepada kelompok kaum Iban yang bekerja dalam jabatan hasil lada hitam di Bahagian Sri Amaniii iaitu bagi Lembaga Pemasaran Lada Hitam Sarawak di kawasan pedalaman khasnya rumah-rumah panjang Sri Aman iaitu Kampung Telegram dan Nanga Tiga di negeri Sarawak. Beliau juga seorang yang peramah dan selalu berdampingan dengan komuniti setempat semasa bertugas sebagai penceramah tentang hal ehwal pemasaran lada hitam di daerah-daerah tersebut.

Dalam hal ini, kejayaan dan ketajaman pena penulis berjaya mengungkapkan situasi yang realistik dan terperinci dalam peristiwa-peristiwa yang berhubung rapat dengan arus pembangunan yang menimbulkan konflik luaran dan dalaman menerusi watak-watak utama dalam kedua-dua novel iaitu Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga (1988) dan Pindah (1986). Kedua-dua novel ini dihasilkan pada sekitar tahun- tahun 1980-1990. Dalam tempoh berkenaan, isu pembangunan telah menjadi isu yang sangat hangat dan bersifat kontemporari. Hal ini demikian kerana pembangunan mewujudkan banyak konflik yang membabitkan masyarakat dan alam. Hal ini juga selalu diperkatakan oleh banyak pihak sama ada di peringkat tempatan mahupun luar negara. Maka secara umumnya dapat dikatakan bahawa isu konflik dan pembangunan turut menjadi agenda antarabangsa.

Tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan fizikal yang menyebabkan konflik luaran dan dalaman menjadi sesuatu fenomena yang bersifat relatif,

(20)

12

bergantung pada jenis, situasi yang mewujudkan konflik tersebut. Kajian ini terbatas kepada permasalahan, konflik-konflik masyarakat kaum Iban yang berlaku hasil daripada isu pembangunan yang diperlihatkan dalam novel-novel pilihan pengkaji dalam kajian ini. Oleh itu, adalah wajar isu konflik luaran dan dalaman dipilih sebagai fokus kajian memandangkan isu-isu konflik-konflik luaran menyentuh adat. Budaya, kepercayaan dan cara hidup serta konflik dalaman yang dapat menyelami masalah psikologi masyarakat terbabit dan mempamerkan realiti kehidupan yang benar-benar berlaku di Bahagian Sri Aman.

1.6 Kajian Literatur

Setakat ini ramai penulis sastera di Malaysia mengetengahkan tentang isu-isu alam sekitar khasnya di Bumi Kenyalangiv namun yang khusus tentang sesuatu kaum agak kurang mendapat perhatian daripada para peminat sastera di Sarawak kerana kekurangan penyelidikan yang meluas dan mendalam. Justeru itu, perkembangan kesusasteraan di Sarawak berlangsung dalam suasana yang agak sederhana berbanding pertumbuhan yang berlaku di Semenanjung Malaysia (Jurnal e-Utama, Vol.2 (2009). Jadi, usaha-usaha pengumpulan serta penyelidikan khasnya tentang Kesusasteraan Iban perlulah diperkembangkan melalui penulis-penulis sastera Sarawak khasnya sebagai rujukan atau satu dokumentasi sastera.

Penulis-penulis Bumi Kenyalang yang berkecimpung dalam bidang penulisan genre kesusasteraan antara lain ialah William Chan Khun Neng, Dahiri Saini, Abdul Malek Haji Bedu, Harry Usup Umbar, Jais Sahok, Jemat Gani, Jaya Ramba, dan juga Jong Chian Lai. Mereka juga mengarang dalam pelbagai genre sama ada puisi, cerpen, novel, naskhah drama ataupun esei kritikan. Memang ada penulis memiliki kekuatan penulisan yang seimbang dalam pelbagai genre itu seperti Awangku

(21)

13

Merali Pengiran Mohamad (cerpen dan naskhah teater), Jong Chian Lai (cerpen dan novel), Jais Sahok (cerpen, novel dan esei kritikan) dan Abang Patdeli Abang Muhi (cerpen dan esei kritikan). Maka tidak hairanlah kejayaan dan kesungguhan penulis- penulis Sarawak ini menciptakan kemenangan hasil dari penglibatan penuh komited dalam penulisan. Hal ini sudah terbukti dan warga sastera Sarawak khususnya berbangga apabila Jong Chian Lai menerima S.E.A Award pada tahun 2006 dari kerajaan Thailand. Jong Chian Lai seorang penulis berbangsa Tionghua yang telah berjaya menghasilkan karya-karya sastera Iban yang banyak menyelitkan bahasa Iban dan paparan corak kehidupan masyarakat suku kaum Iban khasnya. Jong Chian Lai diiktiraf sebagai penulis yang berjaya dan diakui setaraf dengan penulis-penulis lain seperti Jais Sahok, Hamlin Bolhi, Zaini Ozea dan Saiee Driss memang dikenali dalam jagat kesusasteraan Iban negeri Sarawak.

Isu alam sekitar merupakan isu sejagat yang menarik perhatian penulis- penulis untuk dikemukakan dalam karya mereka. Kebanyakan isu-isu yang melibatkan konflik manusia dan isu sosial serta alam sekitar khasnya yang menyentuh tentang konflik pembangunan dalam sesuatu suku kaum di negeri Sarawak. Antara karya sastera yang membicarakan isu tersebut ialah seperti novel Pindah (1987), Suara Dari Rimba (2008) dan Gugurnya Langitnya Hijau Nanga Tiga (1986) oleh Jong Chian Lai serta Ngayau Air (2001) oleh Hamlin Bolhi, dan Jagung Pulut Pusaka Moyang (2001) oleh Jais Sahok.

Menyedari hakikat berkenaan, pengkaji ingin menelusuri kedua-dua buah novel Jong Chian Lai iaitu Pindah (1987) dan Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga (1986) sebagai teks kajian yang memfokuskan konflik pembangunan dan mengakibatkan pula konflik kejiwaan dalam kalangan kaum Iban sebagaimana disisipkan dan dikupas di dalam novel-novel berkenaan berbanding novel-novel

(22)

14

beliau yang lain. Di samping juga, penggunaan bahasa Iban dan amalan-amalan tradisi kaum Iban banyak diserapkan di dalamnya.

Beberapa kajian tentang karya Jong Chian Lai telah berjaya dikumpulkan dalam bentuk latihan ilmiah, kertas kerja, esei dan buku. Kebanyakan kajian mengenai penerapan nilai-nilai murni, tema dan persoalan novel, melihat isu alam sekitar dan budaya. Kajian tentang karya beliau pernah dibahaskan oleh pengkaji- pengkaji iaitu terutamanya daripada mahasiswa dan mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi di universiti-universiti tempatan. Hal ini memberi maklumat kepada pengkaji tentang kajian yang pernah dibuat dan juga maklumat tentang karya dan proses pengkaryaan Jong Chian Lai.

Ng Phee Tuck dalam latihan ilmiah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1991, Universiti Malaya bertajuk “Penulis-penulis Tionghua Dalam Kesusasteraan Melayu Moden 1969-1980-an”, memfokuskan kepada beberapa tema iaitu cinta, kemiskinan, adat tradisi, sosial dan manusia sejagat. Kajian Ng Phee Tuck menumpukan pada cerpen-cerpen Jong Chian Lai seperti “Semanjau Tapan”,

“Pindah” dan “Bukan Kebebasan” dengan melihat aspek tema dan teknik penulisan pengarang. Kajian mahasiswa Universiti Malaya tersebut adalah lebih berfokus kepada beberapa tema iaitu cinta, kemiskinan, adat tradisi, sosial dan manusia sejagat.

Sara binti Reden pula membicarakan tentang kepengarangan Jong Chian Lai menerusi tiga buah novel iaitu Gugurnya Langit Hijau Nangga Tiga (1986), Pemberontakan (1994) dan Ensera Marga Timur dari St Anthony (2009) yang dikemukakan dalam Tesis Sarjana Sastera, Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2010. Sara telah menggunakan teori teksdealisme berdasarkan prinsip kehadiran, perlanggaran, pengukuhan dan individualisme dalam tesisnya bertajuk

(23)

15

“Kepengarangan Jong Chian Lai: Analisis Teksdealisme”. Tesis ini lebih menjuruskan penelitian sifat-sifat unggul karya-karya Jong Chian Lai serta usaha yang dicapai beliau membentuk keperibadian sepanjang berkarya. Di samping itu, kajian tersebut juga cuba membuktikan karya-karya Jong Chian Lai yang dianggap memiliki sifat-sifat unggul kerana mematuhi prinsip-prinsip kehadiran, perlanggaran dan pengukuhan dalam teori teksdealisme.

Quah Chew Heong pula melengkapkan projek kajian kesusasteraan dalam latihan ilmiah Sarjana Muda Sastera, Universiti Sains Malaysia dengan tajuk “Satu Analisis Ke Atas Novel-novel Jong Chian Lai” pada tahun 2002. Kajian beliau juga berdasarkan dua buah novel iaitu Gugurnya Langit Hijau Nangga Tiga (1986) dan Pindah (1987) dalam menganalisis isi dan bentuknya dalam kedua-dua novel tersebut tanpa menyentuh aspek-aspek lain. Quah Chew Heong turut memfokuskan kepada tema dan persoalan dalam setiap bab dalam kedua-dua novel berkenaan.

Manakala latihan ilmiah Sarjana Muda Sastera oleh Kartini binti Amir, dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1995, bertajuk “Konflik Budaya Dalam Novel-novel Timur” turut mengkaji karya Jong Chian Lai dengan bertemakan konflik budaya Iban sahaja dalam novel-novel Gugurnya Langit Hijau Nangga Tiga (1986) dan Pindah (1987). Kajian beliau lebih menjurus pada pertentangan pendapat antara dua generasi sehingga menimbulkan pelbagai konflik. Kajian beliau menyentuh tentang konflik budaya sesama anggota masyarakat Iban dan juga konflik dengan kaum Cina sahaja.

“Pertemuan Budaya Cina-Hakka dan Iban di Sarawak dalam fiksyen terpilih Jong Chian Lai: Satu Kajian Kecekapan Komunikasi antarbudaya” adalah sebuah tesis Sarjana oleh Hu Ann Leh pada tahun 2006. Lima buah novel iaitu, Pemberontakan, Pindah, Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga, Buaya Putih Buaya

(24)

16

Kudung dan Long Busang serta kumpulan cerpen seperti Musim Terakhir, Bunga Rimba dan Menziarahi Dunia Sebayan telah diambil oleh beliau untuk dijadikan bahan kajian. Kajian tersebut menggunakan teori Kecekapan Komunikasi Antarbudaya yang dipelopori oleh ahli sosiologi seperti Myron W. Lustig, Jolene Koester dan William B. Gudykunst. Aspek kajian terhadap karya yang dikarang oleh Jong Chian Lai merangkumi faktor-faktor pertemuan budaya Cina-Hakka dan Iban, serta tiga kecekapan komunikasi antar budaya terbabit yang berorientasikan pengetahuan, tingkah laku peranan perhubungan dan fleksibiliti tingkah laku.

Terdapat beberapa orang sarjana yang menggunakan teori kritikan eko. Salah satu daripadanya ialah Zuraihan binti Zakaria, sarjana sastera daripada Universiti Sains Malaysia. Dalam tesis “Kelestarian Alam dalam Puisi-puisi Penyair Mutakhir Malaysia dan Indonesia: Satu Perbandingan” yang dihasilkan pada tahun 2009, beliau menyelidik puisi-puisi yang dicipta oleh penyair mutakhir Malaysia, Sahrunizam Abdul Talib dan penyair mutakhir Indonesia, Acep Zamzam Noor.

Tema-tema kelestarian alam yang terpapar dalam puisi-puisi tersebut diurai berpandukan teori falsafah alam. Beliau meringkaskan bahawa setiap flora dan fauna yang hidup dalam alam semesta ini mempunyai kegunaan dan kepentingan masing- masing. Dalam kajian, beliau mendapati bahawa terdapat lima fungsi yang terbentang dalam karya tersebut. Antaranya ialah alam sebagai guru, alam sebagai sumber rezeki atau sumber makanan, alam sebagai ubat atau penawar, alam sebagai perlambangan atau kias ibarat, alam dan manusia sebagai suatu bentuk hubungan bertimbal balik, serta alam sebagai tanda kekuasaan Allah S.W.T.

Selain itu, pada tahun 2006, sebuah tesis yang bertajuk “Krisis Alam Sekitar dalam Cerpen-cerpen Dewan Sastera dari Tahun 1980 sehingga 2005: Satu Kritikan Ekologikal” telah dihasilkan oleh Nordiana binti Hamzah. Beliau menyelitkan teori

(25)

17

kritikan ekologikal yang dibangkitkan oleh William Howarth. Empat prinsip utama iaitu ekologi, etika, bahasa dan kritikan yang menjadi pegangan teori tersebut telah digunakan oleh beliau dalam menganalisis teks-teks yang berkisar tentang alam sekitar. Dari segi sudut ekologi manusia, tulisan tersebut memperlihatkan pembangunan dan interaksi antara manusia serta antara manusia dengan alam sekitar.

Pada tahun 2010, Romikoronaldo bin Edy Basirman telah menulis tesis sarjana sastera yang bertajuk “Laut dan Pantai dalam Puisi-puisi Terpilih Marzuki Ali: Satu Kritikan Eko”. Dengan berpandukan puisi-puisi terpilih Marzuki Ali, beliau menyelidik tentang krisis alam sekitar dalam laut dan pencemaran pantai. Menurut beliau, Marzuki Ali menggunakan pelbagai gaya bahasa yang membuat puisi menarik dan memberi ilham kepada fikiran serta perasaan pembaca.

Di samping itu, Loh Chun Chuan, sarjana sastera daripada Universiti Sains Malaysia telah menghasilkan sebuah tesis yang bertajuk “Permasalahan Pembalakan dan Kesannya terhadap Masyarakat Penan dalam Cereka Jong Chian Lai: Satu Kritikan Ekologikal” pada tahun 2013. Beliau menjadikan novel Suara dari Rimba dan cerpen “Meroboh Tembok” sebagai bahan kajian beliau. Kajian tersebut ialah tentang isu pembalakan dan etnik Penan semata-mata yang mengandungi implikasi negatif pembalakan terhadap sungai, sumber makanan dan tanah etnik Iban. Ternyata kajian berkenaan berkisar persoalan tematik.

Pada tahun 2015 pula, sebuah tesis yang bertajuk “Masyarakat Iban dan Alam dalam Fiksyen Terpilih Jong Chian Lai: Satu Kajian Keadilan Ekologi” telah dihasilkan oleh Hu Ann Leh, pada peringkat doktor falsafah, di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia. Beliau telah menganalisis corak hubungan masyarakat Iban di Sarawak dengan alam sekitar berlandaskan konteks sistem kepercayaan masyarakat Iban seperti yang terpancar dalam karya Jong Chian Lai;

(26)

18

meneliti konflik antara tuntutan kelangsungan hidup dan pembangunan dengan pemeliharaan tradisi Iban; dan menyelidik cara pengarang menggunakan bahasa untuk menampilkan alam sekitar dan hubungannya dengan masyarakat Iban. Kajian ini memperlihatkan teori keadilan ekologi yang dibangunkan oleh Brian Baxter dan ketajaman pena Jong Chian Lai dalam menggunakan gaya bahasa untuk menyampaikan mesejnya kepada pembaca.

Sebanyak empat kertas kerja yang membincangkan karya Jong Chian Lai telah dibentangkan oleh empat orang pengkaji sastera terkemuka iaitu Anuar Haji Rahamat, Jeniri Amir, Mohd Saleeh Rahmat dan Hazami Jahari. Sesi pembentangan ini telah dipengerusikan oleh Abang Haliman Abang Julai. Mohd. Anuar Rahamat membicarakan sumbangan Jong Chian Lai dalam genre cerpen, khususnya cerpen yang bertajuk “Engsera” dalam kertas kerja bertajuk “Cerpen Engsara Jong Chian Lai: Legasi Pahlawan dalam Mitos dan Realisme Magis”. Kertas ini memperlihatkan kesinambungan cerpen-cerpen terdahulu, turut memperlihatkan elemen yang menambah nilai kekuatan cereka Jong di samping banyak penyelidikan yang diusahakannya berjaya membantu beliau menghasilkan cerpen-cerpen bercorak sejarah, perhubungan antara kaum, serta sosiobudaya Iban dalam pelbagai cabaran moden dan pembangunannya.

Manakala kertas kerja berjudul “Citra Subaltern, Comprador, dan Ambrivalence dalam novel-novel Jong Chian Lai: Analisis Budaya”, oleh Mohd Saleeh Rahmat membincangkan karya Jong Chian Lai yang berlegar dalam lapangan disiplin budaya yang ditampilkan dalam karya sastera. Pemakaian bahasa itu membentuk satu citra budaya yang diterapkan dalam masyarakat. Kebijaksanaan dan kreativiti Jong Chian Lai dalam penyampaian idea budayanya itu tanpa mengatakannya secara terus terang tetapi membiarkan imej dan aksi watak bermain

(27)

19

di pentas bersifat fiksi secara artistik . Misalnya watak utama atau pembelaan ialah golongan subaltern, dan mereka yang ditindas oleh golongan penguasa sebagai comprador, tetapi dalam masa yang sama sikap berbelah bagi antara keinginan membela golongan subaltern dengan keinginan untuk menerima agenda penguasa manakala citra ambivalence yang menyelubungi ideanya bergelut dalam diri setiap watak dipaparkan secara bersahaja.

Jeniri Amir pula dalam kertas kerjanya bertajuk, “Dari Pindah ke Meredah Ombak Keributan: Dunia Beraneka Gaya” menyatakan bahawa Jong Chian Lai mengakui bahawa hasratnya ketika mengarang novel, antara lain adalah untuk menjadi individu berbangsa Cina yang mendukung cita-cita mendaulatkan bahasa Melayu dan menerima jambatan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai melalui sastera. Di samping itu, kekuatan novel Jong Chian Lai turut terletak pada kekuatan bahasa dan penampilan watak-watak yang begitu meyakinkan, plot ceritanya tersusun kemas serta menimbulkan keinginan pembaca untuk terus membacanya.

Menerusi kertas kerja Hazami Jahari bertajuk “Dari Pindah ke Pemberontakan: Tingkat Kematangan Kepengarangan Jong Chian Lai”

memperlihatkan Jong Chian Lai sebagai penulis yang cukup menonjol melalui cerpen dan novel. Bagi Hazami Jahari juga keupayaan Jong Chian Lai memindahkan pengalaman, pemikiran dan sejarah lampau ke dalam dunia kreatif menampakkan kematangannya sebagai penulis. Jelasnya, wacana pemikiran Jong Chian Lai berjaya mengupas pelbagai sudut dunia penulisan penerima anugerah SEA Write Award bagi tahun 2006 ini.

Berdasarkan kajian-kajian terdahulu yang telah dibincangkan, pengkaji mendapati belum ada kajian yang menjurus konflik kejiwaan watak-watak utama dalam novel-novel beliau akibat pembangunan daripada bacaan psikoanalisis.

(28)

20

Kajian ini akan menjadi sangat bermakna hasil pertalian dua bentuk konflik yang terjadi hasil daripada pembangunan fizikal yang dilakukan terhadap kaum Iban di Sarawak. Manakala penelitian terhadap susur galur pemikiran masyarakatnya menerusi kajian psikoanalisis akan memaparkan Impak negatif dan positif. Hal ini wajar diteliti kembali demi kelangsungan budaya kaum Iban yang merupakan kaum Bumiputera terbesar di Malaysia Timur, negeri Sarawak. Justeru itu, matlamat perdamaian, perkongsian, kesejahteraan dan kepelbagaian kaum akan lebih difahami demi keamanan negara.

1.7 Teori dan Metodologi

Kajian ini akan mengaplikasikan teori psikoanalisis yang dianggap berupaya menelusuri konflik dalaman atau oleh watak-watak utama dalam dua buah novel terpilih karya Jong Chian Lai. Konflik ini terjadi hasil sifat perhubungan antara manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekitarnya serta wujudnya interaksi antaranya. Secara umumnya konflik menurut Karl Marx (2008:192) menumpukan pada usaha untuk memperlihatkan perhubungan antara manusia sesama manusia sehingga mewujudkan konflik-konflik akibat ketidaksamaan dalam aspek-aspek sosial, politik, atau sumber-sumber yang dicapainya.

Jelas sekali, konflik merupakan perspektif dalam sosiologi yang merujuk kepada lingkungan seperti keluarga, masyarakat, desa dan juga alam sekitarnya.

Dalam hal ini bererti konteks geografi serta lingkungan sosial amat berhubung kait dana akan menyebabkan terjadinya konflik. Maka jelas terbukti bahawa konflik merupakan suatu fenomena kemasyarakatan yang sentiasa ada dalam kehidupan bermasyarakat. Konflik lebih kompleks sifatnya apabila membabitkan manusia dan kemanusiaan, hal ini demikian kerana setiap individu dan kelompok masyarakat

(29)

21

punyai cara berfikir yang berbeza yang dipengaruhi oleh latar belakang, pendidikan dan pegangan serta kepercayaan yang berbeza pula.

Kajian ini akan dijalankan melalui 3 kaedah iaitu kaedah kepustakaan, temu bual dan pemerhatian di lapangan untuk mendapat maklumat-maklumat terperinci dalam membantu penulisan tesis tentang fiksyen terpilih karya Jong Chian Lai.

Melalui kaedah kepustakaan, fiksyen Jong Chian Lai daripada genre novel, cerpen akan dikumpulkan, dibaca dan bahan-bahan karya Jong Chian Lai adalah isu tentang tugasan terhadap karya beliau dengan tajuk kajian akan diteliti dengan terperinci bagi pengkaji. Selain itu, penulisan tentang karya Jong Chian Lai serta budaya etnik Iban juga akan dijadikan bahan rujukan. Teks-teks berkaitan kritikan konflik dan pembangunan juga akan dikumpul, dibaca, dianalisis dan diambil dapatan pentingnya. Bahan-bahan melalui kaedah kepustakaan akan dikumpul daripada Perpustakaan Hamzah Sendut I, Perpustakaan Hamzah Sendut II, Universiti Sains Malaysia; Perpustakaan Universiti Malaysia Sarawak, Dewan Bahasa Pustaka Cawangan Sarawak; Pustaka Negeri Sarawak serta koleksi latihan ilmiah dan kertas kerja berkaitan dengan etnik Iban khasnya dibaca sebagai rujukan. Begitu juga bahan-bahan koleksi peribadi Jong Chian Lai serta bahan yang dimuatkan dalam laman sesawang akan turut diberi perhatian.

Selain itu, dalam sesi temu bual dengan Jong Chian Lai, pengkaji juga menemu bual Tuai Rumah serta penduduk tempatan rumah panjang untuk mendapat penjelasan yang lebih lanjut tentang kehidupan, budaya dan tradisi mereka. Pengkaji juga melakukan pemerhatian di lapangan untuk memahami personaliti dan gaya kehidupan Jong Chian Lai hasil komitmen dan hubungan baik beliau dengan etnik Iban lebih-lebih lagi isteri beliau sendiri juga seorang yang berketurunan Iban. Di samping itu, kunjungan yang dibuat ke rumah-rumah panjang Sri Aman juga dapat

(30)

22

membantu pengkaji mendapat pengetahuan serta maklumat yang lebih mendalam tentang latar belakang kehidupan suku kaum Iban.

1.7.1 Pengertian Konflik

Konflik terjadi kerana didorong oleh pelbagai sebab. Oleh itu isu ini wajar dimengertikan terlebih dahulu sebelum dapat dicari punca penyelesaiannya. Konflik yang sukar dirungkai antaranya ialah konflik psikologi atau kejiwaan kerana sifatnya rumit disebabkan pihak yang berkonflik adalah manusia yang terkenal dengan sifatnya yang kompleks. Secara umumnya konflik boleh diertikan sebagai pertembungan antara dua hal dalam menghasilkan tindak balas antara satu sama lain dalam kehidupan manusia. Kewujudan konflik juga melibatkan interaksi antara pertalian situasi peranan individu, kelompok atau masyarakat dalam pelbagai situasi dan peristiwa. Justeru, konflik berhubung rapat dengan perhubungan manusia dengan manusia sehingga membawa pelbagai kejadian, emosi, perasaan, tekanan dan sebagainya. Tindak balas tersebut membawa pelbagai konflik dalam berbagai pihak yang juga terjadi dalam kehidupan masyarakat dan alam sekitarnya. Konflik-konflik sering diperhatikan seperti pertelingkahan, pertempuran, perselisihan faham, ketidakpuasan, mencuci maki dan lain-lainnya. Berikutan situasi tegangan dan kekangan antara pihak berkuasa atau pemerintah dengan pihak dikuasai dapat dirasai dalam kehidupan manusia secara amnya. Walaupun tidak digambarkan dalam suasana pemberontakan, peperangan tetapi sudah cukup jelas dipaparkan dalam situasi kehidupan.

Menurut Sigmund Freud (1993:66-67), ‘superego’ merupakan konstruksi terpenting yang menonjolkan tentang nilai-nilai sosial dan menyedarkan individu atas tuntutan moral. Apabila terjadi pelanggaran nilai maka superego menimbulkan

(31)

23

rasa bersalah. Akibat ini terjadinya konflik-konflik antara manusia sesama manusia sehingga membawa pengertian tentang nilai baik buruk dan moral. Ahmad Amri Zainal Adnan (2009:7) yang turut mengakui bahawa teori Freud menekankan tentang naluri manusia yang mendorong manusia memenuhi keperluannya.

Oliver Ramsbotham (2009:36), turut menyatakan bahawa konflik membentuk pertalian dan peranan individu termasuk pemikiran, suara ketidakpuasan akibatnya situasi kekangan yang teruk. Maka konflik berlingkar dalam kehidupan manusia akibat interaksi dan kesan-kesan yang melibatkan hubungan dua hala dalam berbagai situasi. Tidak dihadkan kepada individu malahan melibatkan berbagai pihak akibat berkomunikasi dalam berbagai keadaan dan peristiwa.

Lugwig Gumplowicz (1884:120) pula menegaskan bahawa tamadun telah dibentuk oleh konflik antara budaya dan kumpulan etnik. Berdasarkan kenyataan

“Civilization has been shaped by conflict between cultures and ethnic groups.

Gumplowicz theorized that large complex human societies evolved from war and conquest. Class conflict, race conflict and ethnic conflict.” Lugwig menjelaskan bahawa pembentukan masyarakat yang kompleks berkembang daripada situasi peperangan dan penaklukan yang melibatkan hubungan pelbagai kelas, kaum dan etnik sehingga membentuk konflik-konflik digelar sebagai konflik kelas, konflik kaum dan konflik etnik. Melalui tindak balas dan hubungan pelbagai pihak turut menghasilkan konflik-konflik yang berlaku dalam susunan masyarakat mengikut kelas, kaum dan etnik. Jelasnya, pengawalan bersistematik, berikutan dengan pengurusan yang baik dan cekap berjaya dalam menangani konflik-konflik berlaku antara manusia sesama manusia dalam pembentukan sesebuah tamadun, negara- negara maju dan negara-negara makmur.

(32)

24

Dalam hal ini juga, konflik merupakan sesuatu yang melekat dalam kehidupan manusia ketika berkomunikasi dengan manusia dan alam sekitarnya yang sering dipengaruhi oleh emosi, tekanan dan perasaan. Ketegangan tersebut mencetuskan pelbagai konflik dalam pelbagai hal-hal kemasyarakatan, sosial, ekonomi dan politik sesebuah negara ataupun masyarakat. Situasi konflik berlaku antara pihak dengan pihak pertengahan berpengaruh dan pihak yang diperintah. Hasil daripada pengurusan pentadbiran serta pengawalan kurang meyakinkan merenggangkan perhubungan antara satu sama lain. Maka tidak hairanlah konflik- konflik mendorongkan mereka bertindak, melawan, melakukan apa saja untuk mencapai kehendak mereka.

Kenyataan ini juga dipaparkan dalam pandangan Karl Marx (Conflict Resolution: A Foundation Guide) dalam petikan berikut:

“He argues that in all stratified societies there are two major social groups: a ruling class and a subject class. The ruling class derives its power from its ownership and control of the forces of production and exploits the subject class hence a conflict between the two classes.”

( Karl Marx, 1998, hlm.7)

Bagi Karl Marx (1998:7), semua masyarakat bersusun lapis mewujudkan dua kumpulan sosial yang utama iaitu kelas pemerintah dan kelas rakyat jelata. Kuasa pengawalan dan pentadbiran ditangani pihak pemerintah terhadap kelas rakyat jelata.

Kumpulan tersebut berkuasa lahir dari pemilikan dan kawalan ke atas kuasa pengeluaran dan mengeksploitasi kelas rakyat sehingga terjadinya pelbagai konflik antara kedua-dua kelas. Dalam konteks kajian terhadap teks Jong Chian Lai ini, konflik-konflik ini dapat dikesan melalui konflik dalaman atau kejiwaan yang membabitkan emosi serta konflik luaran yang membabitkan pertentangan atau

(33)

25

perselisihan antara pihak-pihak yang memberi impak pada cara hidup dan budaya masyarakat berkenaan.

Pandangan Karl Marx (1988:91) juga menyorot situasi-situasi konflik yang mewujudkan masalah pertikaian, perselisihan faham, perhubungan antara manusia dengan manusia yang menjadi tegang jika tidak diuruskan dengan sistematik atau teratur. Justeru itu akan membangkitkan suasana ketidaktenteraman dalam kehidupan; hubungan antara manusia dengan alam akan terjejas kerana masing- masing berusaha untuk mencapai tujuan dan kepentingan.

Berdasarkan pandangan-pandangan tentang konflik yang dibicarakan di atas, jelas memaparkan ketegangan sosial, perpecahan politik dan kemunduran ekonomi berpunca daripada ketidakfahaman perhubungan antara manusia dengan manusia ataupun manusia dengan alam. Masalah-masalah sosial, politik, ekonomi sering berlaku dalam susunan masyarakat.

1.7.2 Senario Pembangunan yang Mencetuskan Konflik

Menurut Peter T. Oleman (2000:108) konflik berkait rapat dengan faktor- faktor kekuasaan yang melibatkan hubungan antara manusia dengan manusia dalam pelbagai kehidupan atau peristiwa. Hakikat ini menunjukkan bahawa konflik adalah mengenai persepsi dan pengertian orang-orang mengenai kejadian, kebijakan dan institusi. Analisis konflik dalam konteks pembangunan merupakan gambaran yang menyeluruh tentang keadaan pola-pola kemasyarakatan, kepentingan dalam pencapaian tujuan pembangunan, kemajuan dan program-program pembangunan yang dicapainya.

Pembangunan juga merujuk era pemodenan dalam pelbagai bidang yang dapat memberikan keselesaan dan keharmonian terhadap masyarakat dan negara

(34)

26

sendiri. Hasil dari arus pembangunan ini turut membawa konflik sebagai penghalang dan pendorong dalam pelbagai situasi dan peristiwa. Tidak dinafikan proses pembangunan melibatkan interaksi antara manusia dengan manusia atau manusia dengan alam sekitar. Jika situasi pembangunan dikawal dan diuruskan dengan cekap dapat membantu memperkembangkan masyarakat dan negara tetapi sebaliknya menghasilkan masalah-masalah yang digelarkan sebagai konflik-konflik terhadap pembangunan dan non-pembangunan. Secara umumnya, ketidaksamaan dan ketidakadilan dalam pengagihan sektor pengurusan dan pentadbiran mencetuskan konflik sesama manusia manakala konflik non-pembangunan seperti konflik–konflik jiwa, emosi dan fizikal. Dalam hal ini, konflik dengan pembangunan bertindak balas antara satu sama lain turut mewujudkan pelbagai situasi dan peristiwa dalam kehidupan manusia.

Jeffrey Haynes (2008:1) menyatakan bahawa “Development is a key dimension of personal life, social relations, politics, economics and culture in the countries and regions.” Hal ini bermaksud pembangunan adalah satu dimensi penting dalam kehidupan individu, hubungan sosial, ekonomi, politik dan budaya dalam negara-negara dan wilayah. Justeru itu, pembangunan berperanan dalam pelbagai aspek kehidupan manusia.

Proses pembangunan juga sering dikaitkan dengan kejadian konflik-konflik dalam sosialisasi manusia dengan alam sekitarnya. Lantaran pertumbuhan ekonomi pesat turut membawa persaingan dan perjuangan sesama masyarakat dalam bidang ekonomi, pembangunan, politik dan mencorakkan budaya sesebuah masyarakat.

Tindak balas antara dua hala turut membentuk pelbagai konflik dalaman dan luaran.

Antaranya perselisihan faham, ketidakpuasan, kekurangan atau ketidaksamaan pengagihan dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa konflik pembangunan

(35)

27

melibatkan interaksi manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Lebih-lebih lagi jika kepesatan pembangunan sesebuah negara memberi impak pada cara manusia berfikir; mereka menjadi tamak dalam mengejar kemajuan sehingga meninggalkan kelaziman yang pada dasarnya lebih baik dan boleh dipertahankan.

Tambahan pula, konflik-konflik sesama manusia turut berlaku seperti persaingan, pertelingkahan dan pemberontakan. Di samping juga, konflik-konflik antara pihak pemerintah selalu menggunakan kuasa bagi menguasai golongan pekerja, anak buah, rakyat biasa demi tujuan kepentingan sendiri. Situasi tersebut boleh menimbulkan masalah-masalah sosial, kerjasama, pertentangan sesama sendiri dan jika tidak dikawal boleh mencetuskan pemberontakan, pemogokan dan peperangan. Maka jelas memperlihatkan bahawa konflik-konflik tetap berlaku kerana kehidupan manusia begitu berkait rapat dengan arus pembangunan dalam aspek-aspek sosial, ekonomi, politik dan budaya masyarakat di sekitarnya.

Secara umumnya konflik yang terjadi akibat pembangunan boleh dikategorikan kepada konflik luaran dan dalaman. Konflik-konflik ini banyak berhubung dan bertimbal-balas antara satu sama lain yang juga melibatkan pihak yang terbabit. Justeru itu, alam sekitar memang selalunya dijadikan sumber utama dan nadi kehidupan manusia memandangkan ia sebagai sumber kekayaan, kepentingan, habitat dan sebagainya.

Akibat daripada tindakan-tindakan manusia yang tidak terkawal dan sistematik dalam pengawalan, pengurusan dan pengagihan yang cekap maka telah menimbulkan konflik-konflik sesama manusia dan alam sekitarnya. Konflik-konflik tersebut memburukkan pertalian kehidupan manusia dalam banyak aspek iaitu sosial, politik, ekonomi dan corak kehidupan sebuah masyarakat.

(36)

28

Konflik luaran amat berkait rapat dengan arus pemodenan, pembangunan yang merangkumi pertumbuhan ekonomi, pertanian, perkilangan dan pembangunan tempat kediaman berleluasa di sesebuah kawasan. Hasil dari era globalisasi membawa impak besar kepada alam dan manusia sendiri. Ironinya, konflik-konflik berlaku dalam pelbagai situasi yang boleh disaksikan daripada pelbagai sisi.

Antaranya seperti pencemaran alam, suasana ketidaktenteraman yang banyak menimbulkan tekanan-tekanan jiwa manusia terhadap perubahan atau kesan-kesan negatif hasil daripada tindakan manusia sendiri.

Hal sedemikian selalu dipaparkan dalam media massa sebagai sumber isu penyebaran dan penyuaraan manusia akibat proses pembangunan tidak terkawal atau sebaliknya. Jadi, konflik-konflik pembangunan boleh dikategorikan sebagai ketidakadilan dalam pengagihan hasil dapatan ekonomi dan ketidaksamaan pendapatan dan pemberian sumber negara. Di samping juga, projek pembinaan dan perkilangan yang berleluasa membawa pencemaran alam iaitu pencemaran air, udara, darat dan yang lebih teruk adalah perubahan suhu negara dan dunia. Lantaran berlakunya kemusnahan alam iaitu banjir kilat, Tsunami, angin taufan, tanah runtuh dan sebagainya turut memberi impak besar kepada harta benda dan sumber negara.

Jika ketidaksamarataan daya sumber tenaga, pencemaran alam dan budaya kehidupan terhadap proses pembangunan pesat yang tidak terkawal ini akan turut membawa konflik-konflik sesama manusia dalam kehidupan. Tindakan negatif berlaku seperti pemberontakan dan rusuhan tempatan, masyarakat tercetus akibat impak alam sekitar tercemar hasil perbuatan manusia ini. Begitu pula, kebisingan, ketidaktenteraman hati terutamanya berlaku di kota-kota malahan juga merebak ke kawasan pedalaman iaitu kampung-kampung. Tidak hairanlah, kegiatan-kegiatan penyuaraan dan pertentangan juga turut disaksikan melalui perjumpaan-perjumpaan

(37)

29

secara kecil-kecilan atau besar-besaran yang ditunjukkan di kawasan utama iaitu bandar raya, dewan dan padang utama. Situasi konflik pembangunan bukan sahaja melibatkan golongan rakyat saja malah juga golongan berkuasa dan berkedudukan juga turut mencetuskan tunjuk perasaan dan pemogokan-pemogokan di tempat awam. Hal sedemikian jika tidak dibendung dan dikawal sudah pasti akan menjejaskan suasana keharmonian kemasyarakatan dan berubah menjadi isu sejagat dan isu sosial utama bagi sesebuah negara. Konflik pembangunan seperti situasi ketegangan dan perpecahan dalam hubungan kemasyarakatan turut terganggu.

Misalnya yang berlaku di negara-negara jiran kita iaitu Thailand, Bangkok, Indonesia, Iran dan Amerika Syarikat.

Konflik yang kedua ialah konflik dalaman atau konflik kejiwaan yang terjadi akibat pembangunan melalui tindakan-tindakan manusia yang menentang perancangan pembangunan dan proses pembangunan. Perasaan dendam, maki-caci, kekecewaan, penderitaan dan tekanan-tekanan kejiwaan dan kerohanian boleh disimpulkan dalam konflik-konflik dalaman berkenaan. Hasil daripada wujudnya ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa dalam pengagihan sumber-sumber, ekonomi, pendapatan-pendapatan dan pengawalan sistematik dalam sesuatu kelompok, komuniti mahupun negara. Sebagai akibatnya berlaku pertentangan dan pemberontakan yang diadakan secara senyap dan terbuka yang melibatkan golongan rakyat iaitu golongan pekerja, buruh, anak-anak buah dan golongan pertengahan dalam sesuatu pertubuhan sosial pekerja.

Lazimnya konflik-konflik dalaman yang mengakibatkan tindakan seperti tunjuk perasaan dan seumpamanya banyak menimbulkan masalah-masalah sosialisasi dan pertumbuhan sesebuah komuniti kerana tiada kerjasama dalam membangunkan ekonomi, politik, sosial dan budaya mereka. Kesan-kesan daripada

(38)

30

itu, maka timbulnya konflik-konflik seperti keruntuhan perhubungan kekeluargaan, komuniti serta ketegangan suasana kemesraan dalam kehidupan manusia.

Jelasnya, konflik-konflik dalaman banyak menghalang kerjasama sesama manusia sehingga menyebabkan wujudnya ketidaksefahaman dan pertelingkahan serius antara individu dalam masyarakat. Hilangnya kepercayaan dan dendam kesumat antara satu sama lain akan mencetuskan situasi yang tegang sesama mereka.

Ringkasnya, konflik dalaman antara manusia dengan manusia melibatkan tekanan- tekanan kejiwaan, emosi yang akan mendorong tindakan yang bersifat negatif. Hasil daripada masalah-masalah perhubungan manusia dengan manusia tersebut memberi kesan negatif dalam bekerjasama pembangunan negara dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial, politik dan budaya sesuatu kelompok dan bangsa.

Hal ini bersesuaian dengan pandangan Hunting (1996:19) yang menegaskan pemodenan mempunyai kesan negatif terhadap pembangunan yang menyebabkan keruntuhan politik. Dalam hal ini sesuatu strategi pembangunan dan modenisasi sesebuah masyarakat dan keperluan kepada pemahaman yang jelas dan nyata tentang unsur asa yang penting dalam proses pembangunan, iaitu manusia sendiri. Ternyata sekali Fisher (2001:6) juga menganalisis konflik sebagai suatu proses praktik untuk mengkaji dan memahami kenyataan konflik dari pelbagai sudut pandangan dan menjadi dasar untuk mengembangkan strategi dan merencanakan tindakan sewajarnya.

1.7.3 Teori Psikoanalisis

Sigmund Freud (1856-1939) ialah seorang ahli neurologi Austria serta pengasas psikoanalisis iaitu satu sub-bidang psikologi. Kajian-kajian Sigmund Freud adalah terhadap nafsu berahi, penindasan dan fikiran bawah sedar. Freud juga dirujuk

(39)

31

sebagai ‘Bapa Psikoanalisis’ kerana kerja-kerjanya amat terpengaruh dalam imaginasi yang popular. Beliau mempopularkan tanggapan-tanggapan terhadap fikiran bawah sedar, mekanisme pertahanan, kesilapan dan perlambangan mimpi.

Teori Freud mengembangkan teori psikoanalisis berdasarkan pengalamannya dalam menangani kehidupan mental pesakit-pesakit. Abraham Drassinower (2003:74) turut menyatakan bahawa keperibadian memiliki 3 struktur iaitu: id, ego dan superego atau dikenal dengan struktur keperibadian Freud. Menurut Freud, id adalah struktur paling mendasari dari keperibadian iaitu tujuannya memenuhi kepuasan yang segera. Ego adalah perkembangan dari id, struktur keperibadian yang mengawal kesedaran dan mengambil keputusan atas perilaku manusia manakala superego berkembang dari ego saat manusia mengerti nilai baik buruk dan moral.

K. Bertens (2006:33) menjelaskan bahawa psikoanalisis Sigmund Freud yang membezakan 3 sistem dalam hidup psikik iaitu id, ego dan superego. Ketiga-tiga faktor ini dikenali sebagai 3 instansi yang menandai hidup psikik. Jelaslah, 3 faktor ini saling bertindak dan berhubungan antara satu sama lain dalam pemikiran seseorang manusia. Selain itu, pandangan Sigmund Freud lebih dekat kepada antropologi sosial dari pada psikologi sosial. Menurut Henk de Berg (2004:57), psikoanalisis lebih memperlihatkan fungsi masyarakat, keluarga, ego berlaku dalam fungsi kelompok teori Freud. Konflik-konflik terjadi apabila tertindak balas antara manusia dengan lingkungan sosialnya. Di samping juga, kelompok-kelompok dan masyarakat terbentuk sebagai lanjutan keterikatan pertalian kekeluargaan. Keadilan sosial timbul dari perasaan saling mempersetujui dan saling memenuhi antara anggota masyarakat.

Pandangan Alfred Adler, (1924:32) juga menekankan pada faktor kesedaran dan unsur ego. Teorinya banyak menyentuh unsur lingkungan sosial. Carl Custav

(40)

32

Jung (1989:170) turut mengajukan beberapa konsep utama yang disuguhkan oleh Freud. Beliau menekankan bahawa ketidaksedaran sebagai penentu perilaku manusia dan menyatakan bahawa sumber ketidaksedaran adalah warisan dari nenek moyang sehingga bersifat sosial dan bergantung pada kelompok ras.

Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa, psikoanalisis adalah teknik yang khusus menyelidik aktiviti ketidaksedaran seperti yang dianjurkan oleh tokoh- tokoh psikoanalisis Sigmund Freud, Alfred Adler dan Carl Gustav Jung. Konsep psikoanalisis masih relevan dan sangat berpengaruh dalam kehidupan manusia sehingga semasa kini. Konsep ini juga masih diaplikasikan dalam kajian-kajian kususasteraan misalnya yang membabitkan persoalan kejiwaan atau konflik dalaman khususnya watak-watak yang ditampilkan dalam genre kesenian seperti cerpen atau novel.

Ketidaksedaran merupakan bahagian terpenting dari jiwa manusia. Secara khusus, Freud membuktikan bahawa ketidaksedaran bukanlah abstraksi hipotesis tetapi itu adalah kenyataan empirik. Ketidaksedaran itu berisi naluri, impuls yang dibawa dari lahir dan pengalaman-pengalaman traumatik biasanya masa anak-anak yang ditekan oleh kesedaran dipindah ke daerah ketidaksedaran. Isi atau materi ketidaksedaran itu memiliki kecenderungan yang kuat untuk bertahan terus dalam ketidaksedaran, pengaruhnya dalam mengatur tingkah laku sangat kuat namun tetap tidak disedari (Freud.2014:5). Dalam tanggapan Freud, naluri bertindak sebagai perangsang fikiran yang mendorong individu untuk memenuhi keperluan-keperluan tertentu. Naluri juga lazimnya, dipandang sebagai gambaran psikologi dari proses biologi yang berlangsung dalam diri individu tertentu.

Psikoanalisis juga menggunakan kaedah menganalisis dan mengenal pasti faktor-faktor alam bawah sedar seseorang individu. Dengan menggunakan prinsip

(41)

33

tersebut, faktor-faktor yang menyebabkan neurosis dikenal pasti melalui teknik- teknik evasif keperibadian dan diusahakan untuk menghilangkan faktor-faktor dalam rangka gejala-gejala penyakit.

Menurut Yustinus Semiun (2006:12), idea-idea utama Freud mengenai pembentukan keperibadian lahir daripada pengalamannya dalam merawat pesakit- pesakit neurotik. Misalnya tentang sikap dan perasaan yang diungkapkan oleh pesakit-pesakitnya dianggap tidak mungkin berasal dari alam sedar, melainkan dari alam bawah sedar. Pengalaman-pengalamannya dalam sesi-sesi terapi memberinya keyakinan bahawa ketidaksedaran merupakan faktor penentu tingkah laku yang penting dan dinamik.

Begitu juga dengan dorongan-dorongan batin individu, seperti seks dan agresi, dalam pandangan Freud bertentangan dengan aturan-aturan sosial dan norma-norma moral. Aturan-aturan sosial dan norma-norma moral itu diinternalisasikan sebagai bahagian-bahagian dari diri individu. Dengan demikian, perjuangan dinamik individu menjadi konflik antara kekuatan-kekuatan internal yang berlawanan. Pada saat tertentu tingkah laku individu yang kelihatan dan fikiran serta emosinya merupakan hasil dari penentangan di dalam dirinya.

(Yustinus Semiun, 2006:13).

Selain itu, Robert Bocock (1983:47) menyatakan bahawa psikoanalisis adalah berkenaan dengan interaksi antara potensi dalam tubuh badan manusia untuk pelbagai keseronokan erotik dan proses sosialisasi. Kenyataan tersebut dipetik seperti berikut;

Psychoanalysis is concerned with the interaction between the potentialities in the body for a variety of erotic pleasures and the process of socialization.

(Robert Bocock,1983:47)

Jelaslah bahawa dalam proses perkembangan seorang manusia maka konflik akan selalu terjadi antara id dan superego, sedangkan ego selalu berada di antaranya.

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN

Seharusnya, Maniam perlu merangsang ego supaya berfikiran positif dengan membaiki keadaan dengan cara yang betul, namun ego yang kalah dengan tuntutan id memakan diri

Secara keseluruhan, kebanyakan pengkaji menumpukan kajian terjemahan terhadap aspek bahasa dan budaya dalam penterjemahan novel, terjemahan bahasa figuratif dalam karya

Secara kesimpulannya, buku Sumbangan Novel Mesir Zainab dalam Kemunculan Novel Malaysia Faridah Hanom merupakan sebuah buku yang baik dan menarik kerana penulisnya berjaya menemui

Hal ini berikutan tunjang kepada Teori Sistem Pemikiran Bersepadu 4 K ini merupakan pemikiran kekreatifan, pemikiran kebitaraan, pemikiran kesaintifikan dan pemikiran kerohanian

Berdasarkan kepada permasalahan yang telah dibincangkan, pengkaji melihat konflik-konflik yang berlaku terhadap pemilik tanah adat adalah bermula dengan disebabkan

Inilah yang berlaku dan menimpa dalam masyarakat Melayu pada zaman Jepun dan penjajahan Inggeris yang menjadi latar terhadap novel Tembok Tidak Tinggi dan Patah Sayap

Walau bagaimanapun, pengkaji menjadikan kajian ini sebagai rujukan bagi melakukan kajian dalam tajuk yang dipilih dari segi konflik-konflik yang berlaku dalam kalangan masyarakat,

Sementara itu dalam novel BANKL?, turut mengetengahkan peranan pemimpin dan ahli politik yang menyebabkan masyarakat peribumi mengalami masalah akibat pengambilan tanah- tanah untuk