• Tiada Hasil Ditemukan

View of Kaedah Pengajaran Dalam Talian Guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan di Kawasan Bandar Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "View of Kaedah Pengajaran Dalam Talian Guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan di Kawasan Bandar Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan"

Copied!
14
0
0

Tekspenuh

(1)

Kaedah Pengajaran Dalam Talian Guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan di Kawasan Bandar Sepanjang Tempoh Perintah

Kawalan Pergerakan

(The Implementation of Online Teaching Methods by Malay Language Teachers at Urban National Type Schools During

Movement Control Order Period)

Irma Mahad1*, Zamri Mahamod1, Nurul Azira Sapian2

1 Sekolah Kebangsaan Batu Berendam, 75350 Batu Berendam, Melaka

2 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor

*Pengarang Koresponden: p106607@siswa.ukm.edu.my

Accepted: 15 October 2021 | Published: 1 November 2021

_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Semua guru mendepani pelaksanaan pengajaran norma baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Pandemik COVID-19. Perubahan corak pengajaran pendidikan konvensional memerlukan guru Bahasa Melayu memilih dan menguasai kaedah pengajaran dalam talian dengan berkesan. Kajian ini dijalankan untuk meneroka kaedah pengajaran dalam talian yang digunakan oleh guru Bahasa Melayu sekolah kebangsaan di kawasan bandar sepanjang tempoh PKP. Kajian ini dijalankan secara kualitatif yang melibatkan tiga orang guru Bahasa Melayu yang mengajar di tiga buah sekolah kebangsaan di kawasan bandar. Data temu bual dianalisis secara bertema. Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru Bahasa Melayu telah menggunakan pelbagai kaedah pengajaran yang menarik mengikut keperluan murid seperti pembelajaran penyelesaian masalah, kaedah e-permainan (gamification), kelas berbalik, pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran menggunakan modul semasa pengajaran bahasa Melayu dalam talian. Kepelbagaian kaedah pengajaran guru Bahasa Melayu dalam talian ini telah mempengaruhi penglibatan murid dalam PdP dalam talian.

Kata kunci: Kaedah pengajaran dalam talian, pengajaran dan pembelajaran di rumah, penglibatan murid

Abstract: During the period of the Movement Control Order (MCO) due to COVID-19 pandemic, teachers nationwide embrace teaching in the new normal. This change requires Malay language teachers to choose and master online teaching methods effectively. This study was conducted to explore online teaching methods implemented by Malay language teachers of national type schools in urban areas during the Movement Control Order period. This qualitative study involves three Malay language teachers in three primary schools in urban areas. Interview data were analyzed thematically. The results showed that Malay Language teachers have used a variety of teaching methods in accordance to the needs of pupils such as problem solving learning, gamification, flipped classroom, project-based learning, contextual learning and use of modules during online teaching. The use of various online teaching methods in teaching Malay language has influenced students’ participation in online teaching and learning.

(2)

Keywords: Online teaching, home based learning, students’participation

_________________________________________________________________________

1. Pengenalan

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan telah menyebabkan semua institusi pendidikan termasuk sekolah ditutup bagi menghalang penularan wabak COVID-19. Hal ini telah menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan arahan agar pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang selama ini dijalankan secara bersemuka diubah kepada pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang menggunakan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) sebagai penghubung antara guru dan murid dalam proses penyampaian ilmu. Menurut Losius et al. (2020), pelaksanaan PdP secara maya atau dalam talian dilaksanakan sebagai alternatif kepada sistem pembelajaran secara konvensional yang tidak dapat memenuhi tuntutan pendidikan sepanjang penguatkuasaan PKP.

Kaedah pengajaran dalam talian merupakan kaedah pengajaran norma baharu yang perlu dikuasai oleh guru-guru bagi memastikan kelancaran proses PdP yang dilaksanakan. Selain itu, situasi Pandemik Covid 19 yang tidak menentu ini juga telah mengubah persepsi guru-guru dan murid-murid tentang kaedah pengajaran dalam talian. Menurut Muniroh et al. (2020), teknologi perlu menjadi teman setia sebagai alat bantu bagi proses pengajaran masa kini dan pendedahan kepada teknik-teknik tertentu dalam pengajaran secara maya perlu dipelajari supaya ilmu mudah disampaikan dan difahami oleh para pelajar.

Nur Izzati Hazwani (2021) menyatakan kehadiran kelas secara virtual (maya) membuatkan murid-murid kurang fokus ketika sesi pembelajaran ditambah lagi dengan suasana persekitaran yang tidak memberangsangkan kerana kurangnya sokongan daripada ibu bapa, capaian internet yang lemah dan kekurangan gajet untuk digunakan oleh anak-anak. Kenyataan ini disokong oleh Mahizer (Berita Harian, 2020) yang menyatakan faktor penyumbang kepada hilang tumpuan murid ialah persekitaran di rumah yang tidak sesuai untuk pembelajaran, bahan pembelajaran tidak menarik, masalah capaian internet, kegagalan peralatan teknologi yang digunakan, penjadualan tidak sesuai, kurang sokongan ibu bapa dan murid yang lemah dalam mata pelajaran.

2. Penyataan Masalah

Norma baharu pendidikan memerlukan warga pendidik berubah sepenuhnya daripada kaedah pengajaran tradisional kepada kaedah pengajaran dalam talian. Bagi memastikan guru-guru boleh beradaptasi dengan kaedah pengajaran berasaskan digital maka KPM telah menyediakan pelbagai kursus bagi memastikan guru-guru dapat menambah kemahiran TMK yang boleh digunakan dalam memantapkan kaedah pengajaran dalam talian serta membina bahan pengajaran berasaskan teknologi. Namun begitu, dapatan kajian Johari dan Siti Norazlina (2010) menunjukkan terdapat segelintir guru yang masih belum menguasai kemahiran TMK.

Dapatan yang sama turut diperolehi daripada kajian Siti Nurbaizura dan Nurfaradilla (2020) yang mendapati guru-guru kurang pengetahuan dan kemahiran dalam melaksanakan PdP dalam talian serta tidak mahir dalam penggunaan platform pendidikan atas talian.

Menurut Fullan dalam buku The New Meaning of Educational Change menyatakan perlunya tindakan penyesuaian dalam sistem pendidikan apabila berlaku bencana atau wabak (Fahmi, 2021). Dalam tempoh PKP ini, guru-guru perlu bertindak lebih proaktif dalam

(3)

mempelbagaikan kaedah pengajaran dalam talian bagi memastikan proses PdP dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Menurut Fenny et al. (2021), kaedah PdP yang biasa dijalankan oleh guru-guru di sekolah terpaksa diubah atau disesuaikan mengikut fungsi aplikasi TMK yang dikendalikan. Guru perlulah mempelbagaikan kaedah pengajaran dengan menggunakan pelbagai aplikasi yang menarik seperti Quizziz, Kahoot, Wordwall dan lain-lain.

Namun begitu, hasil kajian yang dilaksanakan oleh Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Prof Madya Dr Azlin Norhaini mendapati sebanyak 40 peratus hingga 50 peratus guru sahaja yang mahir mempelbagaikan pengajaran secara dalam talian. Kajian juga menunjukkan kaedah pengajaran yang digunakan guru kurang berkesan kerana kurang selari dengan tahap kebolehan dan pembelajaran murid (Utusan Borneo, 2021).

Selain itu, pengajaran dalam talian bukan sahaja cabaran kepada guru-guru di kawasan luar bandar namun ia juga merupakan cabaran kepada guru-guru yang berada di kawasan bandar bagi memastikan murid-murid sentiasa bersemangat dan fokus sepanjang pelaksanaan PdP dalam talian. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Siti Balqis dan Muniroh (2020), terdapat segelintir murid yang masih belum bersedia untuk meneruskan pembelajaran dalam talian disebabkan capaian internet yang tidak memuaskan dan pelajar belum bersedia dari segi fizikal dan mental. Dapatan kajian ini selari dengan dapatan kajian Nor Aidawati dan Mazidah (2021) yang menunjukkan kesediaan pelajar dalam pembelajaran secara dalam talian berada pada tahap sederhana.

Menurut Tamilmullai dan Salini (2021), terdapat segelintir murid yang tidak menyiapkan kerja tetapi menghadiri kelas PdP dalam talian dan ada juga murid-murid yang menghadapi masalah kehadiran dalam kelas PdP dalam talian yang dijalankan terutamanya murid-murid yang lemah dalam pelajaran. Oleh itu, pengkaji berhasrat untuk menjalankan kajian tentang kaedah pengajaran dalam talian guru Bahasa Melayu dan penglibatan murid di sekolah kebangsaan kawasan bandar sepanjang tempoh PKP. Hal ini demikian, kebanyakan kajian lepas berkaitan cabaran PdP dalam talian adalah lebih berfokus kepada masalah guru-guru dan murid-murid yang berada di kawasan luar bandar.

3. Tujuan Kajian

Tujuan utama kajian ini adalah untuk meneroka kaedah pengajaran dalam talian guru yang digunakan oleh guru-guru Bahasa Melayu sekolah kebangsaan di kawasan bandar sepanjang tempoh PKP.

4. Ulasan Kajian Lepas

Sektor pendidikan merupakan sektor yang terjejas sejak negara melaksanakan PKP bagi membendung penularan wabak COVID-19. Pelaksanaan PKP telah menyaksikan penutupan semua institusi pendidikan daripada peringkat tinggi hinggalah peringkat rendah. Buat para pendidik, guru secara khususnya telah memaksa mereka berhadapan dengan norma baharu iaitu budaya pengajaran secara maya (Suhaidah, 2020). Suka atau tidak, pendekatan PdP dilihat sebagai pendekatan terbaik yang banyak membantu guru-guru dan murid-murid untuk meneruskan sesi PdP dalam waktu pandemik ini. Menurut Mohd Fairuz et al. (2020), situasi Pandemik COVID-19 telah menjadi “push factor” kepada golongan pendidik untuk meningkatkan pengetahuan dalam melaksanakan pembelajaran dalam talian. Oleh itu, guru- guru diharap akan terus mengadaptasikan diri dan melaksanakan sesi PdP seperti biasa menerusi pelbagai platform yang signifikan dalam mewujudkan interaksi semasa PdP dalam

(4)

talian dilaksanakan seperti Google Classroom, Telegram, Zoom, Webex, Microsoft Team dan Google Meet.

Namun begitu, cabaran utama kepada guru-guru dalam pelaksanaan PdP secara maya ialah dalam menggunakan platform digital dan teknologi yang ada (Hasliza et al. 2016).

Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan garis panduan yang memperincikan peranan dan tanggungjawab pentadbir, guru, ibu bapa dan murid untuk memastikan penyampaian PdP yang berkesan. Selain itu, sikap guru juga memainkan peranan penting bagi memastikan teknologi maklumat yang digunakan secara efektif dan mempengaruhi tahap keyakinan guru terhadap penggunaan komputer ketika melaksanakan pengajaran secara dalam talian (Nur Hazirah dan Masayu, 2020). Dapatan kajian Azhar dan Mohd Mahzan (2017), mendapati guru tidak menghadapi masalah menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi, namun begitu mereka hanya menggunakannya dalam kerja-kerja pentadbiran dan pembinaan slaid powerpoint dan tidak mengaplikasikan teknologi dan komunikasi dengan lebih kreatif seperti membina perisian pendidikan, animasi dan multimedia. Begitu juga dengan kajian yang dijalankan oleh Noraini et al. (2010) mendapati guru yang mempunyai tahap efikasi kendiri komputer yang tinggi lebih suka mengintegrasikan TMK dalam PdP berbanding guru yang mempunyai tahap efikasi kendiri komputer yang rendah.

Platform untuk menjalankan pembelajaran atas talian terlalu banyak, namun untuk melaksanakannya tidak semudah yang disangka. Menurut Nor Fauziana (2020), kaedah PdP secara dalam talian menuntut komitmen dan kerjasama daripada semua pihak terutamanya dari segi pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi maklumat demi kelangsungan proses PdP norma baharu pelajar. Dapatan kajian Losius (2020) mendapati sebanyak 29 peratus guru masih belum mahir mengendalikan pembelajaran dalam talian berpunca daripada kurang mahir menggunakan aplikasi TMK. Hal ini demikian, tahap pengetahuan guru dalam teknologi amat penting dalam memastikan PdP dalam talian berjalan lancar dan menarik minat murid untuk menjalani proses PdP yang dijalankan oleh guru semasa tempoh PKP (Nur Hazirah dan Masayu, 2020). Tahap kesediaan pelajar untuk menghadapi PdP dalam talian amat diperlukan kerana mereka merupakan subjek utama dalam PdP yang dijalankan. Menurut Muniroh et al.

(2020), walaupun guru-guru bersemangat menyediakan pelbagai bahan pengajaran namun jika tiada penyertaan daripada pelajar maka hasil pembelajaran atau objektif pembelajaran yang ingin dicapai tidak dapat disampaikan dengan sempurna.

Menurut Mohd Fairuz et al. (2020), pelajar mempunyai keinginan yang tinggi terhadap pembelajaran tetapi pelbagai halangan yang terjadi semasa proses PdP dalam talian seperti talian internet lemah, masalah peranti yang digunakan dan masa pembelajaran membantutkan proses pembelajaran mereka. Kekangan juga dihadapi oleh murid-murid apabila belum dapat menyesuaikan diri memasuki kelas dalam talian disebabkan suasana yang berbeza daripada kelas harian yang dijalankan secara bersemuka. Hasil dapatan kajian oleh Siti Azura (2021) menunjukkan antara halangan yang dihadapi pelajar dalam PdP dalam talian ialah capaian internet yang lemah, suasana persekitaran rumah yang tidak kondusif untuk pembelajaran, sukar untuk menyesuaikan diri dengan e-pembelajaran dan kualiti pengajaran guru ketika melaksanakan PdP dalam talian. Oleh itu, bagi menarik minat dan meningkatkan tahap penglibatan murid ketika proses PdP dalam talian, guru boleh menggunakan pelbagai kaedah pengajaran dalam talian di samping menyediakan bahan pembelajaran yang menarik dan sesuai, sama ada dalam bentuk video, lembaran kerja, animasi dan sebagainya.

Secara keseluruhannya, pandemik COVID-19 telah membawa satu kebiasaan baharu kepada dunia pendidikan. Menurut Muniroh et al. (2020), sistem pendidikan perlukan perubahan

(5)

seiring dengan kebiasaan baharu dengan mencari tindakan dan penyelesaian yang kreatif yang diperlukan untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu ini. Justeru, guru- guru perlu bijak menangani sebarang isu dengan berhemah dengan mengambil langkah proaktif bagi memastikan murid-murid tidak ketinggalan di sepanjang proses PdP serta matlamat utama pembelajaran secara holistik dan inklusif tercapai (Mohamad Idham, 2020).

5. Metodologi Kajian

Metodologi kajian adalah penting supaya penyelidikan yang dijalankan mempunyai kaedah yang paling sesuai dan berkesan dalam menjawab permasalahan kajian.

Reka Bentuk Kajian

Pengkaji telah menggunakan reka bentuk kualitatif dalam kajian ini. Rasional penggunaan kaedah kualitatif adalah untuk membantu mengumpul data secara lebih terperinci tentang kaedah pengajaran guru Bahasa Melayu dan bagaimana murid-murid mengadaptasikan pembelajaran norma baharu.

Pemilihan Peserta Kajian

Dalam kajian ini, kaedah persampelan bertujuan digunakan supaya peserta kajian yang dipilih mempunyai ciri-ciri tertentu yang telah ditetapkan. Peserta kajian yang dipilih dalam kajian ini dirujuk sebagai Guru Bahasa Melayu 1-GBM 1, GBM 2 dan GBM3. Kesemua peserta kajian mempunyai ciri-ciri homogen. Menurut Fenny et al. (2021), peserta homogen merujuk kepada sekumpulan individu yang memiliki ciri-ciri persamaan. Dalam kajian ini juga, lima kriteria pemilihan peserta kajian ditetapkan, iaitu:

1) Guru opsyen Bahasa Melayu yang mengajar di sekolah kebangsaan di kawasan bandar.

2) Guru yang memiliki Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh KPM.

3) Guru yang mempunyai pengalaman mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu sekurang- kurangnya lima tahun.

4) Guru pernah melaksanakan PdP dalam talian semasa tempoh PKP.

5) Guru yang dipilih secara sukarela untuk melibatkan diri dalam kajian yang dijalankan.

Kaedah Pengumpulan Data dan Instrumen Kajian

Instrumen kajian adalah cara yang digunakan untuk mengumpul data. Pengkaji telah menggunakan kaedah temubual sebagai instrumen utama kajian. Dalam hal ini, informasi diperoleh terus daripada informan. Meriam (1998) menyatakan terdapat tiga jenis temu bual iaitu temubual berstruktur, temubual separa struktur dan temu bual tidak berstruktur. Dalam kajian ini, kaedah temu bual separa struktur yang mana ia bersifat fleksibel digunakan. Keadaan ini membolehkan informan menghuraikan maklumat yang difikirkan sesuai kepada pengkaji.

Bagi kajian ini, temu bual dilaksanakan secara dalam talian iaitu menggunakan aplikasi Google Meet disebabkan pelaksanaan PKP. Temu bual yang dijalankan bertujuan untuk mengumpul maklumat mengenai kaedah pengajaran dalam talian yang digunakan oleh guru dan penglibatan murid terhadap pembelajaran dalam talian. Soalan temu bual dibina dahulu sebelum protokol temubual dijalankan secara dalam talian. Soalan yang dibina dibahagiakan kepada dua konstruk iaitu Konstruk A berkaitan dengan demografi peserta kajian dan Konstruk B berkaitan kaedah pengajaran dalam talian yang digunakan oleh guru Bahasa Melayu ketika mengajar dalam talian.

(6)

Analisis Data

Analisis data adalah berdasarkan objektif dan persoalan kajian yang telah ditetapkan. Dalam kajian ini, transkripsi temu bual didengar semula melalui rakaman temu bual yang dijalankan menggunakan aplikasi Google Meet. Data temu bual ditranskripsikan ke dalam komputer menggunakan perisian Microsoft Word. Selepas itu, data temu bual dikategorikan kepada tema dan subtema hasil daripada transkripsi temu bual tersebut sebelum aktiviti pelaporan hasil dapatan kajian dibuat.

6. Dapatan Kajian dan Perbincangan

Demografi Peserta Kajian

Berdasarkan Jadual 1, GBM1 merupakan seorang guru lelaki yang berumur 30 tahun dan mempunyai pegalaman mengajar bahasa Melayu selama 6 tahun. GBM2 pula merupakan seorang guru perempuan yang berumur 30 tahun. Peserta ini juga mempunyai pengalaman mengajar bahasa Melayu selama 6 tahun bermula dari tahun pertama mengajar. Peserta kajian seterusnya pula merupakan seorang guru perempuan yang berumur 32 tahun dan mempunyai pengalaman mengajar bahasa Melayu selama 8 tahun. Kesemua peserta kajian ini mempunyai tahap pendidikan Ijazah Sarjana Muda Perguruan dalam bidang pengkhususan bahasa Melayu.

Subjek Bahasa Melayu merupakan subjek utama yang diajar di sekolah sejak awal perkhidmatan mereka sebagai seorang guru.

Jadual 1: Profil peserta kajian

Kod Peserta Kajian GBM1 GBM2 GBM3

Jantina Lelaki Perempuan Perempuan

Umur 30 tahun 30 tahun 32 tahun

Tahap pendidikan Ijazah sarjana muda Ijazah sarjana muda Ijazah sarjana muda

Pengalaman mengajar 6 tahun 6 tahun 8 tahun

Kaedah Pengajaran dalam Talian Guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan di Kawasan Bandar Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan

Analisis dapatan kajian ini merujuk kepada objektif 1 kajian, iaitu meneroka kaedah pengajaran dalam talian guru Bahasa Melayu yang bertujuan untuk mengenal pasti kaedah pengajaran serta cara pelaksanaan yang dijalankan oleh guru Bahasa Melayu secara dalam talian sepanjang tempoh PKP. Berdasarakan analisis temu bual yang telah dijalankan, peserta kajian telah mengadaptasikan kaedah pengajaran yang dicadangkan oleh KPM dalam Modul PdPR 2.0.

Antara kaedah PdPR yang dicadangkan oleh KPM dalam modul PdPR 2.0 ialah kaedah pembelajaran menggunakan modul, pembelajaran berasaskan projek, kelas berbalik, pembelajaran berasaskan inkuiri, pembelajaran masteri, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran penyelesaian masalah (KPM, 2021).

Hasil dapatan kajian telah menunjukkan bahawa setiap guru mempunyai kaedah pengajaran yang tertentu mengikut kesesuaian dan kemampuan pelajar mereka. Terdapat enam tema kaedah pengajaran yang telah diaplikasikan oleh GBM1, GBM2 dan GBM3 sepanjang pengajaran dalam talian semasa PKP. Antara kaedah yang telah dikenal pasti ialah kaedah penyelesaian masalah, kaedah gamifikasi, kelas berbalik (flipped classroom), pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran menggunakan modul.

Beberapa tema ini dipilih berdasarkan analisis temubual peserta kajian yang menunjukkan kaedah pengajaran ini diamalkan bersifat rutin atau tanpa disedari. Hasil analisis juga mendapati kaedah pengajaran yang digunakan menepati garis panduan yang dikeluarkan oleh

(7)

KPM bagi menjamin proses pengajaran norma baharu dengan berkesan. Berikut merupakan kaedah pengajaran dalam talian yang pelbagai digunakan oleh GBM1, GBM2 dan GBM3 seperti dalam Jadual 2.

Jadual 2: Kaedah pengajaran guru Bahasa Melayu dalam talian Kaedah Pengajaran Dalam Talian

Peserta kajian

GBM 1 GBM 2 GBM 3

Pembelajaran penyelesaian masalah / / /

Kaedah gamifikasi / / /

Flipped Classroom / / x

Pembelajaran berasaskan projek / / x

Pembelajaran kontekstual x x /

Pembelajaran menggunakan modul / x x

Pembelajaran Penyelesaian Masalah

Berdasarkan Jadual 2, ketiga-tiga peserta kajian telah mengaplikasikan kaedah pengajaran pembelajaran penyelesaian masalah dengan menggunakan aplikasi dalam talian yang menarik dan mempunyai cara pelaksanaan yang berbeza. Hasil temubual menunjukkan GBM 1 melaksanakan pembelajaran penyelesaian masalah secara berkumpulan bagi membincangkan isi penting sesuatu topik untuk merangka isi karangan. Murid melaksanakan perbincangan antara rakan secara dalam talian atau luar talian dan aktiviti ini dapat meningkatkan kemahiran kolaboratif murid. Guru juga dapat menjalankan perbincangan yang aktif bersama murid secara dalam talian untuk membincangkan hasil perbincangan.

Saya pecahkan murid kepada beberapa kumpulan. Murid ini perlu berbincang mengenai aktiviti yang sesuai dilaksanakan sepanjang cuti penggal semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Mereka boleh berbincang secara dalam talian atau luar talian, terpulang kepada mereka dan hasil perbincangan akan dibincangkan pada minggu hadapan semasa Google Meet bersama guru (GBM1/TB).

GBM 1 juga telah menggunakan aplikasi Desmos sebagai medium untuk mendapat maklum balas daripada murid berkaitan isu yang dibincangkan. Perbincangan dua hala dapat diwujudkan dengan menggunakan aplikasi ini untuk merangsang idea murid dalam menyelesaikan masalah yang dibincangkan semasa dalam talian. Aktiviti ini juga memainkan peranan dalam mempengaruhi penglibatan murid secara menyeluruh semasa pembelajaran dalam talian. Pelaksanaan aplikasi Desmos dalam mengaplikasikan perbincangan dua hala secara dalam talian dijalankan seperti berikut:

Contohnya perbincangan cara menjaga keselamatan diri sewaktu PKP 3.0. Saya akan berikan pautan aplikasi Desmos dalam ruangan sembang Google Meet, murid akan klik dan selepas mereka klik…mereka boleh menulis pandangan mereka dan dalam masa yang sama dalam Google Classroom tu, saya boleh lihat hasil setiap murid itu...apa isi yang mereka tulis…sebagai guru kita ada akses untuk berkongsi paparan semua hasil murid dan murid boleh tengok paparan yang disediakan guru untuk berbincang isi yang ditulis (GBM1/TB)

GBM2 pula menggunakan kaedah pembelajaran penyelesaian masalah dengan menggunakan aplikasi yang menarik dan interaktif seperti Padlet bagi aktiviti membina ayat berdasarkan gambar. Aplikasi Padlet ini juga dapat membantu guru menyemak dan membetulkan ayat

(8)

murid secara langsung dan murid boleh membuat pembetulan semula ayat yang salah secara interaktif bersama guru. Murid juga dapat belajar sambil bermain menggunakan aplikasi Padlet ini. Kata GBM2:

Saya pernah buat aktiviti bina ayat berdasarkan gambar. Murid perlu bina ayat dalam Padlet itu. Padlet tu saya pilih berdasarkan tema. Saya pilih satu tema bentuk peta dunia, saya letakkan lokasi dan masukkan soalan bina ayat berdasarkan gambar.

Murid perlu cari lokasi yang mempunyai soalan. Selepas jumpa lokasi dalam peta yang disediakan, murid perlu baca arahan dan bina ayat pada ruangan yang telah disediakan. Terdapat juga soalan bina ayat menggunakan perkataan. Contohnya perkataan menjual, murid akan bina ayat dekat situ terus. Saya akan letak banyak- banyak lokasi supaya murid mencari tempat di dalam peta yang ada soalan. Saya akan berbincang dengan murid, ayat yang sudah dibina dan betulkan ayat yang salah dan murid boleh edit balik jawapan dia tu. (GBM2/TB)

GBM3 pula mengaplikasikan pembelajaran penyelesaian masalah dengan menggunakan aplikasi Jamboard untuk murid berbincang aktiviti pengajaran secara dalam kumpulan berdasarkan soalan tugasan penulisan yang dibekalkan oleh guru. Murid teruja dan seronok dalam melibatkan diri dengan aktiviti penyelesaian masalah menggunakan aplikasi yang menarik dan dapat memaparkan hasil perbincangan yang telah dibincangkan bersama ahli kumpulan. Contohnya:

...ini Jamboard kan…ok kita boleh bahagi murid kepada kumpulan..5 kumpulan…ok jadi setiap kumpulan akan dibekalkan satu topik dan waktu tu lah mereka akan berbincang dalam kumpulan masing-masing...kita akan bagi pautan lah…jadi benda tu kena terancang contohnya di awal kita dah bagitahu ok kumpulan ini akan gunakan pautan ini…jadi bila mereka dah siap berbincang mereka akan paparkanlah mengikut kumpulan masing-masing jadi kita akan dapat lihat hasil perbincangan murid berdasarakan paparan yang disediakan guru (GBM3/TB)

Ketiga-tiga guru Bahasa Melayu ini telah menggunakan kaedah penyelesaian masalah dengan berorientasikan kaedah perbincangan dua hala serta aktiviti berkumpulan menggunakan aplikasi-aplikasi yang terkini sebagai medium interaksi antara guru dan murid serta rakan sekelas semasa pengajaran dalam talian. Kaedah penyelesaian masalah ini kerap digunakan bagi merangsang idea murid serta mewujudkan pengajaran dua hala antara guru dan murid khususnya bagi mengajar kemahiran lisan dan kemahiran menulis murid semasa pengajaran dalam talian.

Kaedah Gamifikasi atau Permainan

Hasil dapatan mendapati kaedah gamifikasi merupakan satu kaedah yang paling popular yang sering digunakan oleh guru semasa pengajaran dalam talian. Kaedah gamifikasi bersifat interaktif dan mampu mempengaruhi minat murid untuk mengikuti pengajaran dalam talian kerana konsep pembelajaran gamifikasi mengaplikasikan teknik permainan sambil belajar.

Terdapat pelbagai aplikasi yang boleh digunakan dan menyokong kaedah gamifikasi secara dalam talian iaitu aplikasi Quizizz, Kahoot dan Live Worksheet. Hasil dapatan temu bual mendapati aplikasi ini telah digunakan oleh ketiga-tiga guru Bahasa Melayu untuk menguji kefahaman murid terhadap topik yang telah dipelajari selepas tamat sesi pengajaran secara dalam talian atau sebelum pengajaran bermula sebagai set induksi. Guru juga dapat membuat pentaksiran kepada murid menggunakan kaedah ini berbentuk soalan kuiz dengan memperoleh markah murid secara langsung.

(9)

Hasil dapatan temubual, GBM1 menggunakan kaedah gamifikasi sebagai latihan murid dan set induksi sebelum guru memulakan aktiviti pengajaran bagi menarik perhatian murid. Latihan yang diberikan merujuk kepada pengajaran yang lepas untuk melihat kefahaman murid sebelum mempelajari tajuk baharu. Contohnya:

Saya akan berikan pautan Quizizz atau Kahoot untuk latihan kepada murid, mereka akan jawab dan kadang-kadang Quizizz dan Kahoot ni juga saya laksanakan dalam set induksi sebelum pengajaran dalam talian untuk menarik perhatian murid dan memastikan murid bersedia kerana soalan latihan yang diberi berdasarkan pengajaran sebelumnya. Contohnya, sebelum saya mengajar topik baharu hari ini, saya akan minta murid jawab soalan kuiz daripada aplikasi Quizizz atau Kahoot berdasarkan isi pelajaran yang lepas sebagai latihan pengukuhan (GBM1/TB).

GBM2 mengaplikasikan kaedah gamifikasi sebagai medium aktiviti latih tubi murid untuk meningkatkan kefahaman mereka semasa pengajaran dalam talian. Kata GBM2: ...saya bagi kuiz seperti Kahoot sebagai latih tubi murid menjawab soalan mesti kena ada. GBM3 pula menggunakan aplikasi Quizizz untuk membuat penilaian kepada murid dan dapat mengenal pasti tahap penguasaan dan kelemahan murid mengikut soalan yang disediakan. Keputusan secara langsung ini dapat membantu guru mengenal pasti murid yang tidak menguasai bahagian yang tertentu untuk diberi pengukuhan dan perhatian. GBM3 ini juga menyediakan soalan sendiri mengikut sukatan yang dipelajari menggunakan aplikasi Quizizz.

• …penilaian secara terus, saya akan gunakan Quizizz, keputusan Quizizz ni dapat terus secara langsung…ni antara contoh kuiz-kuiz yang telah berjaya saya siapakan.

Biasanya kita akan guna pada akhir pengajaran untuk menilai balik apa yang murid faham atau tidak. Ok. Ini keputusan yang ok l, dapat 57% maksudnya murid kurang faham aaa apa yang saya ajar tu (GBM3/TB).

GBM3 juga menggunakan aplikasi Live Worksheet sebagai medium untuk menguji kefahaman murid dan latihan kerja rumah. Aplikasi ini juga memudahkan guru untuk merekod dan menanda hasil kerja murid dengan berkesan. Murid hanya perlu jawab soalan dan jawapan murid terus disemak.

…satu lagi live worksheet, yang ini pun sangat-sangat memudahkan saya, contohnya macam saya ada ajar sajak baru-baru ini, murid hanya jawab soalan dekat sini dan murid terus dapat markah je. Biasanya sama ada selepas pengajaran atau sebagai kerja rumah, ataupun sewaktu pengajaran dalam talian berlangsung (GBM3/TB).

Kaedah gamifikasi ini dapat membantu guru Bahasa Melayu melaksanakan pengajaran dalam talian khususnya untuk menguji kemahiran tatabahasa murid dan kefahaman isi pengajaran yang dijalankan. Guru-guru dilihat sangat selesa dan mudah dalam melaksanakan kaedah gamifikasi kerana ianya mampu mempengaruhi minat murid secara menyeluruh. Namun, beberapa peraturan telah ditekankan sebelum menggunakan kaedah ini bagi mengelakkan fokus murid tidak terganggu kerana mahu bermain sahaja bagi memastikan objektif pengajaran dalam talian guru tercapai.

Pembelajaran Berasaskan Projek

Berdasarkan Jadual 2, kaedah pembelajaran berasaskan projek ini dilaksanakan oleh GBM1 dan GBM2. GBM1 dan GBM2 mengaplikaskan pembelajaran berasaskan projek dengan meminta murid menghasilkan projek rakaman video. Pembelajaran projek menghasilkan rakaman video ini dapat merangsang kreativiti murid untuk meningkatkan kemahiran berbahasa dan keyakinan diri dalam proses pembelajaran yang berkesan. GBM1 meminta murid menghasilkan rakaman video membaca berita untuk menguji kemahiran lisan murid.

(10)

Saya juga ada laksanakan tugasan kepada murid untuk menghasilkan rakaman video bagi melihat kemahiran lisan mereka. Mereka perlu menonton berita di rancangan televisyen kemudian membuat simulasi semula cara membaca berita dan merakamkan video tugasan untuk dimuatnaik ke dalam Google Classroom dan kita akan lihatlah hasil daripada rakaman mereka…membaca berita (GBM1/TB)

GBM 2 mengimplementasikan kaedah rakaman video dalam meransang kreativiti murid seperti membuat lakonan semula dan bercerita berdasarkan cerita yang dibaca. Murid menggunakan imaginasi untuk menceritakan semula bahan yang dibaca mengikut kreativiti dan cara masing-masing. GBM 2 juga mendapati murid sangat kreatif dalam menghasilkan rakaman video yang pelbagai bentuk dan menarik.

Pernah jugak saya buat bagi tugasan video…maksudnya saya akan bagi murid tiga pilihan cerita untuk dibaca dalam bentuk pdf. Kemudian murid boleh pilih cerita yang diminati dan mereka perlu menghasilkan satu video tidak melebihi daripada 5 minit tentang cerita yang dibaca…macam-macam video lah kita terima. Saya ada terima lah video tu, penglibatan murid pun bagus lah. Ya…ikut kreativiti…pada saya kalau dalam kelas pun saya memang ada buat lakonan macam ini...berkumpulan…tu buat guna adik dia (sambil menonton video hasil rakaman murid sambil tu dia baca cerita tu, macam ni lah kita nak murid tu lebih kreatif (GBM2/TB)

GBM 2 juga mendapati pelbagai jenis bentuk rakaman video yang dihasilkan oleh murid dan penghasilan video yang dihantar sangat menarik. Terdapat murid yang bercerita sambil berlakon dengan bantuan alatan atau prop yang pelbagai, bercerita menggunakan boneka dan menghasilkan video yang telah disunting dengan animasi yang menarik. Pembelajaran berasaskan projek ini dapat mencungkil potensi murid walaupun semasa pengajaran dalam talian. Guru juga boleh berkongsi hasil kerja murid dengan memaparkan hasil rakaman semasa bersemuka menggunakan Google Meet supaya dapat ditonton oleh semua murid tanda penghargaan buat mereka.

Kelas Berbalik atau Flipped Classroom

Hasil dapatan seterusnya pula menunjukkan bahawa guru telah menggunakan kaedah kelas berbalik. Kaedah ini merupakan salah satu strategi pembelajaran abad ke-21 yang menekankan pembelajaran kendiri menggunakan bahan pengajaran yang disediakan oleh guru sebelum sesi pengajaran sebenar dilaksanakan. GBM1 menggunakan kaedah kelas berbalik semasa tutorial pembelajaran bahasa Melayu secara luar talian (offline) dengan memberi video pengajaran sebelum guru mengajar dan menerangkan tajuk tersebut secara bersemuka dalam talian.

Kaedah ini dapat memberikan gambaran awal kepada murid mengenai tajuk pelajaran yang akan dibincangkan semasa bersemuka dengan lebih berkesan.

…untuk flipped classroom, saya berikan tugasan ini sewaktu masa tutorial yang mana hasil perbincangan tu saya akan laksanakan sewaktu pengajaran bersemuka dalam talian. Saya bagi tajuk pelajaran contohnya dalam mata pelajaran tatabahasa, kata sapaan dalam bentuk video. Kemudian dalam sesi pengajaran dalam talian, kita akan berbincang dengan murid berkaitan tajuk yang telah dipelajari sendiri berdasarkan video sebagai pengetahuan sedia ada murid (GBM1/TB).

Kaedah ini dapat memudahkan guru mengoptimumkan masa pengajaran secara bersemuka dalam talian. Murid lebih cepat faham jika sudah mengetahui isi pelajaran yang hendak dipelajari. Dengan itu, proses pengajaran guru dalam talian dapat berjalan dengan lancar dan murid dapat menguasai kemahiran bahasa dengan baik. Kaedah ini juga digunakan oleh GBM2 dalam pengajaran tatabahasa dengan menghantar video pengajaran melalui Google Classroom

(11)

sebelum proses pengajaran secara bersemuka supaya murid boleh bersedia dengan tajuk yang akan diajar secara dalam talian.

Selalunya saya akan carila video pengenalan kata adjektif dalam dua tiga minit dan akan hantar ke dalam GC. Saya bagi video dekat murid dulu, murid tengok, kemudian di dalam kelas, kita bincang dan murid yang tidak faham akan tanya. Selalunya saya akan beri video malam sebelumnya, esok kita akan belajar tajuk ini. Murid sudah tahu topik apa yang dia nak belajar (GBM2/TB).

Kaedah kelas berbalik ini dapat membantu murid untuk lebih bersedia dengan pengajaran bersemuka guru di dalam talian. Di samping itu, guru boleh merangsang pembelajaran kendiri murid dengan menggunakan akses teknologi maklumat yang bersesuaian dengan keperluan murid.

Pembelajaran Kontekstual

Berbeza dengan hasil temubual GBM3, beliau menggunakan kaedah pembelajaran kontekstual dengan membuat tayangan video kepada murid berkaitan situasi sebenar dalam pengajaran penulisan karangan. GBM3 menggunakan gambar dan video yang berkaitan yang tiada di dalam buku teks untuk merangsang idea murid menggunakan teknik sumbang saran dan perbincangan mengenai isi yang berkaitan bersama-sama murid secara dalam talian menggunakan Google Meet.

Saya memaparkan gambar dan video yang bersesuaian seperti perarakan Hari Malaysia yang memperlihatkan pakaian pelbagai etnik daripada Sabah dan Sarawak.

Saya tunjukanlah yang tiada dalam buku teks, saya cari bahan yang sesuai untuk bantu murid faham. Kemudian, murid dan guru berbincang untuk tulis karangan dalam bentuk karangan catatan (GBM3/TB).

Pembelajaran Menggunakan Modul

Hasil dapatan juga mendapati GBM1 mengaplikasikan kaedah pembelajaran menggunakan modul. GBM1 menghasilkan modul pembelajaran dengan menetapkan beberapa objektif yang bersesuaian berdasarkan penjajaran kurikulum mengikut kemahiran yang sesuai berdasarkan tajuk dalam buku teks. GBM1 menyediakan nota dan latihan mengikut standard pengajaran yang ditetapkan sebagai bahan pembelajaran murid untuk dibincangkan semasa pengajaran bersemuka dalam talian. Pembelajaran menggunakan modul juga membolehkan guru melaksanakan pentaksiran bilik e-darjah yang dijalankan secara dalam talian.

Saya laksanakan pembelajaran berasaskan modul pembelajaran berdasarkan tajuk pembelajaran yang telah disusun. Kemudian, saya buat penjajaran kemahiran mana yang sesuai berdasarkan tajuk tajuk dalam buku teks kerana aaaa kaedah ini sesuai apabila kita nak mengajar secara dalam talian murid ada bahan sedia ada. Selain itu, aktiviti-aktiviti yang kita laksanakan pun berfokus kerana kita melihat tajuk daripada buku teks. Pentaksiran pun akan lebih mudah kerana dia lebih tersusun menggunakan kaedah modul (GBM1/TB).

GBM1 menggunakan modul sebagai bahan pembelajaran murid untuk berbincang semasa pengajaran dalam talian. Di samping itu, beliau menggalakkan aktiviti soal jawab antara murid bagi membantu murid yang kurang faham dan lemah. Dengan itu, pengajaran dalam talian lebih berfokus dengan menggunakan modul pembelajaran.

Dalam maklum balas yang biasanya saya gunakan ialah kita akan minta murid untuk membuka bahan pengajaran yang kita dah ajar kemudian kita akan berbincanglah

(12)

dengan aaa murid-murid. Kita juga buka sesi soal jawab dan ada latihan pengukuhan untuk membantu murid yang tidak faham (GBM1/TB).

Secara keseluruhannya, semua peserta kajian telah menggunakan kaedah pengajaran yang sesuai seperti yang dicadangkan oleh KPM. Peserta kajian juga sangat kreatif dalam memilih bahan pengajaran dan aplikasi yang terkini serta sesuai dengan kaedah pengajaran yang digunakan bagi menarik minat murid secara menyeluruh terhadap proses pengajaran bahasa Melayu dalam talian dengan berkesan.

Tugasan yang diberikan oleh guru kepada murid masih perlu dihantar mengikut waktu yang telah ditetapkan agar guru dapat menyemak dan melaksanakan pentaksiran. Pentaksiran bilik darjah masih dilaksanakan dalam suasana pandemik ini agar guru dapat melaksanakan tindakan susulan bagi meningkatkan prestasi pembelajaran semasa murid-murid. Namun, masih terdapat segelintir murid yang tidak menghantar tugasan yang diberikan. Sikap segelintir murid yang mengambil mudah dan sambil lewa menyebabkan guru tidak dapat menyemak dan mengenal pasti tahap penguasaan murid terhadap sesuatu topik yang diajar. Maka, guru perlu sentiasa cakna dan proaktif dalam menyediakan kemudahan dari segi platform yang lebih mudah dan mesra pengguna untuk diakses oleh murid mengikut kemampuan dan kemahiran mereka.

7. Kesimpulan

Secara keseluruhan, dapatan kajian ini telah menunjukkan bahawa guru Bahasa Melayu sentiasa proaktif merancang kaedah PdP dalam talian mengikut evolusi perkembangan aplikasi terkini yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran norma baharu. Penerokaan kaedah pengajaran yang dilaksanakan dapat memberi alternatif dan idea yang terbaik dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran dalam talian yang lebih interaktif dan responsif. Hal ini amat penting bagi memenuhi keperluan pendidikan murid yang lebih berkesan untuk menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran pendidikan yang dibekalkan oleh guru dalam menempuhi cabaran pendidikan pada zaman pandemik ini.

Oleh itu, usaha guru dalam memastikan pelaksanaan PdP dalam talian yang berkesan haruslah disambut baik oleh semua pihak khususnya daripada komitmen murid dan kerjasama ibu bapa yang berterusan. Hal ini amat penting dalam memangkin semangat guru untuk meningkatkan kemahiran sibergogi dari semasa ke semasa seiring dengan perkembangan trend pendidikan terkini. Peluang ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru Bahasa Melayu dengan mendalami aplikasi-aplikasi terkini yang lebih interaktif agar dapat diimplementasikan dalam kaedah PdP Bahasa Melayu dalam talian secara menyeluruh. Guru dapat melahirkan murid yang bermotivasi tinggi dalam mendepani transformasi pendidikan norma baharu sepanjang PKP bagi memastikan keperluan pendidikan murid tidak terabai dan menjalani ruang PdP yang lebih efektif dan berkualiti.

Rujukan

Anwar Patho Rohman & Mohd Nasaruddin Parzi. (2020). Hanya 20-30 peratus murid ikuti

PdP dalam talian. Berita Harian Online.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/06/703364/hanya-20-30-peratus- murid-ikuti-pdp-dalam-talian [22 Jun 2021].

(13)

Azhar Ahmad & Mohd Mahzan Awang. (2017). Perbezaan aplikasi TMK dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah berpandukan demografi guru. Jurnal Penyelidikan Pendidikan, 18, 92-104.

Fahmi Abdul Rahim. (2021). Bahan pengajaran efektif pastikan keberkesanan PdPR. Berita Harian

Online.https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/01/778749/bahan- pengajaran-efektif-pastikan-keberkesanan-pdpr [22 Jun 2021].

Fenny Lau Yeo Feng, Kee Guek Fen, Khoo Phau Liang & Lee Huoy Shin. (2021). Kaedah pengajaran dalam talian guru Bahasa Melayu dan motivasi murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 11 (1), 57-74.

Hasliza Hashim, Siti Munira Mohd Nasri & Zarina Mustafa. (2016). Cabaran yang dihadapi oleh guru dalam pelaksanaan persekitaran pembelajaran maya VLE Frog di bilik darjah.

Asia Pacific Journal of Educators and Education, 31, 115-129.

Johari Hassan & Siti Norazlina Kamisan. (2010). Halangan terhadap penggunaan komputer dan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru di sekolah menengah luar bandar di Daerah Kulai Jaya, Johor. A. pp. 1-10.

http://eprints.utm.my/id/eprint/11032/ [21 Julai 2021]

Kurniawati Kamarudin. (2021). Mantapkan PdPR elak keciciran pelajar.

https://amp.utusanborneo.com.my/2021/01/20/mantapkan-pdpr-elak-keciciran-pelajar [22 Jun 2021].

Losius Goliong, Absly Kasin, Marcelus Johnny & Nazarius G. Yulip. (2020). Cabaran Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Jarak Jauh Semasa Perintah Kawalan Pergerakan. Sabah: Pejabat Pendidikan Daerah Ranau.

Meriam. (1998). Qualitative Research and Case Study Applications in Education. San Francisco: Jossey-Bass Inc.

Mohamad Idham Md Razak. (2020). COVID-19: Pembelajaran atas talian suatu keperluan ke arah menuju Malaysia maju. Astro Awani. https://www.astroawani.com/berita- malaysia/covid19-pembelajaran-atas-talian-suatu-keperluan-ke-arah-menuju-

malaysia-maju-237496 [23 Jun 2021].

Mohd Fairuz Jafar, Zetty Akmar Amran, Mohd Faiz Mohd Yaakob, Mat Rahimi Yusof &

Hapini Awang. (2020). Kesediaan pembelajaran dalam talian semasa pandemik COVID 19. Kertas kerja dibentang dalam Seminar Darulaman 2020 Peringkat Kebangsaan.

Muniroh Hamat, Siti Balqis Mahlan & Ch’ng Pei Eng. (2020). Adaptasi Pengajaran dan Pembelajaran Secara Maya dalam Kebiasaan Baharu Semasa Pandemik COVID-19.

Shah Alam: SIG:e-Learning@CS.

Nor Aidawati Abdillah & Mazidah Musa. (2021). Kesediaan pelajar terhadap proses pengajaran dan pembelajaran norma baru di Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin. Journal of Modern Education, 3 (8), 114-124.

Noraini Mohd Noh, Mohd Arif Ismail & Jamil Ahmad. 2010. Tahap penerimaan Inovasi EduwebTV dalam kalangan guru. Jurnal Penyelidikan Pendidikan, 3 (5), 118-128.

Nor Fauziana Mohd Salleh. (2020). Pandemik Coronavirus (COVID 19): Pengajaran dan pembelajaran secara atas talian suatu keperluan di Malaysia.

https://www.researchgate.net/publication/342886967_pandemik_coronavirus_covid- 19_pembelajaran_dan_pengajaran_secara_atas_talian_suatu_keperluan_di_malaysia . [21 Julai 2021]

(14)

Nur Hazirah Hairia’an & Masayu Dzainudin. (2020). Pengajaran dan pemudahcaraan dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan. Jurnal Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan, 9, 18-28.

Nur Izzati Hazwani Abdul Hadi. (2021). Cabaran pengajaran dan pembelajaran di rumah terhadap para pendidik. https://www.jejaktarbiah.com/cabaran-pengajaran-dan- pembelajaran-di-rumah-pdpr-terhadap-para-pendidik/ [23 Jun 2021].

Siti Azura Abu Hassan, Suzana Zainol Abidin & Zulkurnain Hassan. (2021). Keberkesanan pembelajaran dan pengajaran dalam talian (epembelajaran) terhadap pembelajaran pelajar di Kolej Komuniti Hulu Langat. International Journal of Humanities Technology and Civilization, 10 (2), 1-14.

Siti Balqis Mahlan & Muniroh Hamat. (2020). Pengajaran dan Pembelajaran dalam Talian Semasa Perintah Kawalan Pergerakan. SIG:e-learning@CS, eISBN: 978-967-0841-88- 5

Siti Nurbaizura Che Azizan & Nurfaradilla Mohamad Nasri. (2020). Pandangan guru terhadap pembelajaran dalam talian melalui pendekatan Home Based Learning semasa tempoh pandemik COVID 19. PENDETA: Journal of Malay Language, Education and Literature, 11 (Edisi Khas), 46-57.

Suhaidah Hussain. (2020). Dilema kesihatan fizikal dalam pengajaran dan pembelajaran secara maya. https://news.ump.edu.my/experts/dilema-kesihatan-fizikal-dalam-pengajaran- dan-pembelajaran-secara-maya [23 Jun 2021].

Tamilmullai Thannimalai & Salini Baloh. (2021). Cabaran PdPR BahasaTamil di sekolah luar bandar. Muallim Journal Social Sciences and Humanities, 5 (2).

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN

Dapatan kajian telah menunjukkan kedua-dua guru Bahasa Melayu lebih banyak menggunakan lingkaran soalan yang berkaitan dengan tajuk yang dipelajari sahaja

Di antara tujuan utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti kaedah-kaedah pengajaran yang paling popular dan selalu digunakan oleh guru-guru agama dan juga untuk mengenal

Dapatan kajian menunjukkan bahawa pemupukan kemahiran proses sains berlaku semasa proses pengajaran-pembelajaran sains melalui kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru, aktiviti

a) Hasil kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa simulasi realistik dan simulasi bukan realistik adalah kaedah pengajaran yang sesuai digunakan dalam pengajaran

Fokus kajian adalah terhadap amalan pengajaran guru Bahasa Arab bagi mengetahui persepsi mereka terhadap pelaksanaan kurikulum dan pengajaran mata pelajaran Bahasa Arab

Hasil kajian ini mencadangkan bahawa kaedah pengajaran menggunakan perisian kursus dengan peta konsep berkesan dan sesuai digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran tajuk

4.4 Mengenal Pasti Perbezaan Persepsi Murid Terhadap Kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran Guru Berkaitan Rukun Solat Menerusi KBS Antara Sekolah Di Bandar Dan Luar

Menurut mereka, strategi pengajaran, kaedah pengajaran kemahiran bahasa, kaedah pengajaran tatabahasa, pengunaan bahan pengajaran dan pembelajaran, dan teknik