• Tiada Hasil Ditemukan

2 Ibrahim Lembut, “Kaedah Ta‘liq Talak di Mahkamah Syariah”, Jurnal Hukum xxi

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "2 Ibrahim Lembut, “Kaedah Ta‘liq Talak di Mahkamah Syariah”, Jurnal Hukum xxi "

Copied!
25
0
0

Tekspenuh

(1)

BAB SATU:

PENDAHULUAN 1.1. Latar Belakang Masalah

Ta‘liq talaq diperuntukkan dalam enakmen undang-undang keluarga Islam di Malaysia bertujuan melindungi hak dan kepentingan wanita.1 Menurut Ibrahim pengamalan ta‘liq di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu ta‘liq yang ditetapkan oleh enakmen undang- undang keluarga Islam di setiap negeri (selepas ini disebut ta‘liq rasmi) dan ta‘liq yang dilafazkan oleh suami dengan pilihannya sendiri (selepas ini disebut ta‘liq lisan).2 Ta‘liq rasmi dibaca oleh suami kepada isteri di hadapan naib kadi setelah selesai akad nikah. Kesemua lafaz ta‘liq berkenaan dicatat dalam perakuan ta‘liq atau sijil nikah.

Satu salinan perakuan atau sijil berkenaan akan diberikan kepada suami dan isteri sebagai bukti ta‘liq rasmi telah dibacakan oleh suami kepada isteri.3 Ta‘liq rasmi di setiap negeri tertumpu kepada tiga perkara iaitu kegagalan suami membayar nafkah, isteri ditingggalkan suami dan sebarang kemudaratan dan kecederaan oleh suami ke atas isteri (darar syarie).4 Menurut Zakaria, ketiga–tiga perkara berkenaan dimasukkan dalam ta‘liq rasmi bertujuan melindungi isteri.5 Hal ini kerana ketiga-tiga perkara berkenaan merupakan masalah utama yang sering dihadapi oleh isteri dalam tempoh

1Mahmud Saedon Awang Othman, “Hak Wanita dalam Undang–Undang Keluarga Islam,” dalam Undang–Undang Keluarga Islam dan Wanita di Negara–Negara Asean,ed. Abdul Monir Yaacob (Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 2000), 211., Mahmood Zuhdi Abdul Majid,

“Wanita dari Perspektif Undang–Undang Keluarga Islam di Malaysia,” dalam Undang –Undang Keluarga Islam dan Wanita di Negara – Negara Asean, ed. Abdul Monir Yaacob (Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 2000), 234., Rahimin Affandi Abd Rahim et al., “Reformasi Undang–Undang Keluarga Islam di Malaysia: Satu Analisis Terhadap Gagasan Fiqh Semasa,” Jurnal Syariah 16, no.2 (2008), 185-206., Rebecca Foley, “Muslim Women’s Challenges to Islamic Law: The Case of Malaysia,” International Feminist Journal of Politics, Routledge Taylor & Francis Group 6, no.1 (2004), 65., Nor Fadzlina Nawi, “Ta‘liq Agreement: a Proposal for Reform” dalam Islamic Family Law:

New Challenges In The 21st Century,ed. Zaleha Kamaruddin (Kuala Lumpur: International Islamic University Malaysia, 2004), 64.

2 Ibrahim Lembut, “Kaedah Ta‘liq Talak di Mahkamah Syariah”, Jurnal Hukum xxi (2006), 148.

3Ibid., 149., Najibah Mohd Zin, “Perceraian dalam Undang–Undang Keluarga Islam dalam Undang- Undang Keluarga Islam, ed. Najibah Mohd Zin (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007), 121., Ruzila Abd Halim, “Cerai Taklik: Satu Kajian di Mahkamah Syariah Kota Bharu dari Tahun 1994 - 1999” (disertasi sarjana, Universiti Malaya, 2005), 67., Nor Fadzlina Nawi, Ta‘liq Agreement, 64.

4Nor Fadzlina Nawi, Ta‘liq Agreement, 64., Najibah Mohd Zin , Perceraian dalam Undang–Undang Keluarga Islam, 122, Raihanah Abdullah, “Perceraian dan Mahkamah Syariah”, dalam Wanita dan Perundangan Islam, ed. Raihanah Abdullah (Selangor: Ilmiah Publishers Sdn Bhd, 2001), 104.

5 Tuan Haji Zakaria Abd Razak (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga Jabatan

Agama Islam Perak), dalam temu bual dengan penulis pada 27 September 2012.

(2)

perkahwinannya bersama pasangan.6 Selain itu, beliau menyatakan pengabaian suami terhadap perkara-perkara berkenaan akan membebankan isteri.7

Sebarang pelanggaran ta‘liq rasmi oleh suami akan memberikan hak kepada isteri untuk membuat aduan di mahkamah syariah. Mahkamah akan menyiasat aduan berkenaan di bawah seksyen 50 enakmen undang-undang keluarga Islam.8 Pembubaran perkahwinan dalam bentuk khul‘ dengan bayaran RM 10.00 oleh isteri seperti yang tercatat dalam sijil nikah akan disabitkan setelah mahkamah mensabitkan pelanggaran ta‘liq rasmi oleh suami.9 Dengan ini, hak dan kepentingan wanita terbela dan dilindungi menerusi pelaksanaan ta‘liq rasmi yang dikuatkuasakan di setiap negeri.

Selain ta‘liq rasmi, terdapat satu lagi bentuk ta‘liq yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Malaysia iaitu ta‘liq lisan. Ta‘liq lisan ialah ta‘liq yang dilafazkan oleh suami dengan pilihannya sendiri tanpa melibatkan isu-isu yang termaktub dalam ta‘liq rasmi.10 Suami bebas melafazkan sebarang ta‘liq berkenaan samada ianya diucapkan dengan kehendaknya sendiri seperti suami menghalang isteri dari keluar dari rumah atau ta‘liq berkenaan diucapkan dengan permintaan isteri seperti isteri mensyaratkan kepada suami agar tidak berpoligami.11 Ta‘liq lisan tidak diwajibkan kepada setiap pasangan seperti ta‘liq rasmi, namun pengamalannya wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia. 12 Hal ini dapat dibuktikan menerusi semakan terhadap rekod-rekod kes

6 Ibid.

7 Ibid.

8Mazlan Abd Manan,“Kesalahan Matrimoni dalam Kes Perceraian di Luar Mahkamah dan Tanpa Kebenaran Mahkamah: Kajian di Mahkamah Syariah Selangor” (desertasi sarjana, Universiti Malaya, 2010), 55.

9Lihat lampiran A- Perakuan Nikah bertarikh 5.6.2010.

10Lukman Abdul Mutalib,“Satu Tinjauan Terhadap Perceraian Taklik dan Implikasinya Terhadap Pembubaran Sesebuah Keluarga” (Seminar Hukum Islam Semasa Peringat Kebangsaan Kali Ke-II, 23- 24 Jun 1999), 6., Ibrahim, Kaedah Ta‘liq Talak, 148.

11Lukman Abdul Mutalib, Satu Tinjauan Terhadap Perceraian Taklik, 6.

12Lihat Yusida Yusof, “Perceraian di Luar Mahkamah: Kajian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur” (desertasi sarjana, Universiti Malaya, 2008), 68 dan 126.

(3)

perceraian luar mahkamah di mahkamah syariah.13 Mahkamah mengklasifikasikan pengucapan ta‘liq berkenaan sebagai perceraian luar mahkamah seperti yang dinyatakan di bawah seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984: 14

Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq dengan apa-apa bentuk di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.15

Hal ini kerana kerana pengucapan ta‘liq berkenaan berlaku di luar mahkamah dan tanpa kebenarannya. Perceraian luar mahkamah merupakan suatu kesalahan di bawah enakmen ini dan pihak suami boleh didenda sehingga RM 1000.00 ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. Menurut Mazlan, walaupun denda bagi kesalahan berkenaan dinyatakan dengan jelas dalam seksyen tersebut, namun beliau mendapati terdapat kes di mana pasangan tidak dikenakan sebarang denda oleh mahkamah syariah berkaitan kesalahan ini.16 Tindakan ini boleh meningkatkan bilangan kes perceraian luar mahkamah dan memberikan kebebasan kepada suami untuk menceraikan isterinya di luar mahkamah terutamanya menerusi pengucapan ta‘liq lisan.

Pengucapan ta‘liq lisan oleh suami dengan tujuan untuk memudaratkan isteri perlu ditangani dengan baik. Hal ini kerana kebanyakan ta‘liq berkenaan diucapkan oleh suami bertujuan untuk mengongkong isteri serta menghalangnya dari menjalani kehidupan yang baik.17 Ta‘liq lisan seperti suami menghalang isteri dari keluar rumah dan larangan suami terhadap isteri dari menziarahi rumah emaknya dianggap

13Ibid.

14Ibid.

15Seksyen 124, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303/1984)

16Mazlan Abd Manan, Kesalahan Matrimoni,70.

17Salina Ibrahim, “Taklik Bersepah Sepah,” Majalah al- Islam, Julai 2000, 23-25., Ruzila, Cerai Taklik, 92.

(4)

memudaratkan kehidupan isteri.18 Oleh itu suatu kaedah perlu dilakukan dalam usaha menambahbaik penggucapan ta‘liq berkenaan dalam kalangan suami agar matlamat asal pengenalan ta‘liq iaitu menjaga hak dan kepentingan wanita akan terlaksana.

1.2. Masalah Kajian.

Majalah al-Islam dalam keluaran Julai, 2000 menerbitkan sebuah rencana “taklik bersepah-sepah” yang memuatkan pandangan Raihanah Abdullah terhadap pengucapan ta‘liq lisan. 19 Raihanah menyifatkan ta‘liq berkenaan sebagai ta‘liq yang bersepah- sepah kerana suami mengucapkan ta‘liq berkenaan dengan sewenang-wenangnya dan tidak mendatangkan kebaikan kepada pasangan. Ta‘liq seperti suami berkata kepada isteri “jika kamu keluar rumah, aku ceraikan kamu” boleh memberi kesan negatif terhadap kehidupan isteri kerana tidak dapat bekerja dan melakukan rutin hariannya di luar rumah.

Pandangan yang dilontar oleh Raihanah menggambarkan pengucapan ta‘liq berkenaan oleh suami secara tidak bijaksana. Pandangan ini turut dikongsi oleh Fadzlina dan Nora et al. yang menyatakan kebanyakan ta‘liq berkenaan diucapkan oleh suami secara tergesa-gesa dan dipengaruhi oleh emosi yang tidak stabil seperti ta‘liq lisan yang diucapkan dalam keadaan marah.20 Ruzila menyokong kesemua pandangan di atas dan mendatangkan beberapa kes berkaitan pengucapan ta‘liq berkenaan dalam disertasinya.21 Hasil pemerhatiannya terhadap kes-kes berkenaan, beliau menyimpulkan pengucapan ta‘liq berkenaan lebih memihak kepada suami kerana hak dan kebebasan isteri disekat.

18 Salina Ibrahim, “Taklik Bersepah Sepah, 23.

19Ibid.,23-25.

20Nor Fadzlina Nawi, Ta‘liq Agreement, 3., Nora Abdul Hak et al, “Right of Women to Obtain Divore under Syariah and Islamic Law of Malaysia: with Special Reference of Ta‘liq and Khulu,” Australian Journal of Basic and Applied Sciences 11, no.6 (2012), 287.

21Ruzila Abd Halim, Cerai Taklik, 92.

(5)

Pengucapan ta‘liq lisan oleh suami bukan sahaja menyekat kebebasan isteri, malah membebankannya. Menurut Najibah, isteri diberatkan dengan beban pembuktian sekiranya dia membawa aduan pelanggaran ta‘liq lisan ke mahkamah syariah.22 Hal ini kerana isteri perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa suaminya pernah mengucapkan ta‘liq berkenaan ke atas dirinya dan membuktikan pelanggaran ta‘liq berkenaan telah berlaku. Tanpa sebarang catatan, pengucapan ta‘liq oleh suami tidak dapat dibuktikan dan aduan berkenaan akan ditolak oleh mahkamah.23 Situasi ini menyebabkan isteri tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Oleh itu, keperluan ta‘liq lisan untuk didokumen dan didaftar di hadapan pihak yang bertanggungjawab seperti Pegawai Tadbir Agama Daerah merupakan suatu keperluan yang sangat mendesak dalam menjaga kepentingan dan hak isteri. Ta‘liq lisan yang didokumen dan didaftar di hadapan pihak yang bertanggungjawab dikenali sebagai ta‘liq tambahan.

Ta‘liq tambahan merupakan ta‘liq yang dibuat berdasarkan kepada kehendak suami, permintaan isteri atau melalui perbincangan dan persetujuan bersama pasangan tanpa melibatkan isu-isu yang telah termaktub dalam ta‘liq rasmi.Ta‘liq berkenaan dibuat di hadapan pihak yang berkenaan seperti Pegawai Tadbir Agama dan setiap butiran maklumat didokumenkan dan direkodkan sebagai bukti kewujudan ta‘liq tambahan antara pasangan. Suami dan isteri masing-masing berhak memasukkan sebarang tuntutan yang memberikan kebaikan kepada mereka sebagai kandungan ta‘liq berkenaan seperti suami melarang isteri keluar rumah untuk bersuka ria. Isteri pula

22Najibah Mohd Zin, Perceraian dalam Undang–Undang Keluarga Islam., 122., Najibah Mohd Zin,“Pembubaran Perkahwinan dan Permasalahan yang Berbangkit” (Seminar Keperluan Manual Mengenai Undang –Undang Keluarga Islam, 8.

23 Ibid.

(6)

boleh menuntut agar suami berlaku adil dalam poligami dan melakukan pemeriksaan kesihatan apabila menghadapi penyakit yang mengganggu hubungan suami isteri.24

Pembentukan ta‘liq tambahan walaupun tidak diketahui dengan meluas oleh masyarakat umum, namun pengamalannya telah wujud dalam kalangan mereka.

Berdasarkan masalah kajian di atas, terdapat beberapa persoalan berbangkit. Di antaranya :

1. Apakah konsep ta‘liq menurut syarak ?

2. Apakah peruntukan ta‘liq yang terkandung dalam Enakmen Keluarga Islam Perak 2004 ?

3. Apakah ta‘liq tambahan yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Ipoh?

4. Bagaimana ta‘liq tambahan memberi perlindungan kepada pasangan?

1.3. Objektif Kajian.

1. Menjelaskan konsep ta‘liq menurut Islam.

2. Menganalisis peruntukan ta‘liq yang terkandung dalam Enakmen Keluarga Islam Perak 2004

3. Mengenalpasti ta‘liq tambahan yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Ipoh.

4. Mengenalpasti bentuk perlindungan kepada pasangan melalui pembentukan ta‘liq tambahan.

24Lukman Abdul Mutalib, Satu Tinjauan Terhadap Perceraian Taklik, 6., Khoiruddin Nasution,

“Kekuatan Spiritual Perempuan Dalam Taklik Talak dan Perjanjian Perkawinan” (t.tp), 12.

(7)

1.4. Kepentingan Kajian.

Kajian ini penting sebagai suatu cadangan kepada Jabatan Agama Islam negeri dan mahkamah syariah untuk menguatkuasakan pelaksanaan ta‘liq tambahan demi melindungi hak dan kepentingan pasangan.

1.5. Skop dan Limitasi.

Kajian ini memfokuskan kepada ta‘liq tambahan kerana belum ada suatu kajian dan perbincangan yang khusus mengenainya dilakukan. Penulisan sedia ada hanya membincangkan ta‘liq berkenaan secara ringkas dan tidak bersifat menyeluruh.

Kajian ini meneliti ta‘liq tambahan yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Ipoh.

Maklumat ini diperolehi dari Pegawai Tadbir Agama Ipoh kerana sebahagian mereka pernah berhadapan dengan permohonan ta‘liq tambahan dari pasangan. Kajian ini menumpukan kepada ta‘liq tambahan yang pernah dikendalikan oleh salah seorang pegawai berkenaan. Pegawai berkenaan dipilih menerusi persampelan bertujuan. Kajian ini tidak melibatkan penelitian pandangan pasangan yang pernah membuat ta‘liq tambahan terhadap pengamalan ta‘liq berkenaan. Hal ini kerana maklumat mereka tidak didedahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Ipoh.

1.6. Ulasan Kajian Lepas.

Ulasan kajian lepas dibuat bagi meneliti kajian serta penulisan yang telah dihasilkan berkaitan dengan kajian ini. Ulasan ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu: pertama, ta‘liq rasmi dan kedua, ta‘liq tambahan.

(8)

1.6.1. Ta‘liq Rasmi.

Terdapat pelbagai bentuk penulisan oleh ahli akademik yang menyentuh mengenai ta‘liq rasmi secara khusus samada dalam bentuk desertasi sarjana, artikel dan kertas kerja persidangan. Ahli akademik meluaskan perbincangan ta‘liq rasmi dalam tema yang pelbagai dalam meneliti pengamalan ta‘liq rasmi di Malaysia. Di antara tema penulisan mereka ialah kesaksamaan hak wanita dalam membubarkan perkahwinan dan kepentingan ta‘liq rasmi kepada wanita. Donald L. Horowitz dalam tulisannya menjelaskan isteri diberikan hak untuk memohon perceraian melalui cerai ta‘liq.25 Mahmood Zuhdi dalam tulisannya menjelaskan persamaan taraf di antara hak lelaki dan hak wanita yang terkandung dalam enakmen undang–undang keluarga Islam di Malaysia. 26 Beliau menjelaskan permohonan perceraian ta‘liq diberikan kepada wanita menerusi prinsip keadilan sosial. Zanariah dalam tulisannya yang membincangkan pengaruh pemikiran mesra gender terhadap dalam masyarakat Malaysia dengan tumpuannya terhadap undang-undang keluarga Islam di Malaysia. 27 Beliau menyatakan hak yang diberikan ini memberi ruang kepada isteri untuk menfailkan permohonan cerai ta‘liq rasmi di mahkamah syariah apabila suami melanggar ta‘liq berkenaan. Rahimin Affandi et al, Mahmud Saedon, dan Rebecca mengakui peruntukan ta‘liq rasmi dalam enakmen undang-undang keluarga Islam di Malaysia bertujuan untuk melindungi hak dan kepentingan wanita. Rahimin Affandi et al. dalam tulisan mereka meneliti bagaimana syariah mampu menyelesaikan masalah sosial yang timbul dari krisis kekeluargaan melayu dan reformasi yang telah berlaku dalam aspek kekeluargaan Islam menyatakan beberapa pendekatan telah digunakan dalam melaksanakan pembaharuan dalam enakmen undang-undang keluarga Islam di Malaysia. 28 Di antara pendekatannya

25Donald L Horowitz, The Qur’an and The Common Law: Islamic Law Reform and The Theory of Legal Change, (t.tp).

26Mahmood Zuhdi, Wanita dari Perspektif Undang–Undang Keluarga Islam, 227 – 236.

27Zanariah Noor, “Gender Justice and Islamic Family Law Reform In Malaysia,” Kajian Malaysia XXV, no.2 (2007).

28Rahimin Affandi et al, Reformasi Undang–Undang Keluarga Islam di Malaysia,185-206.

(9)

ialah enakmen baharu ini akan menjaga kebajikan wanita dan anak-anak di samping mengelakkan sebarang penindasan dan penderaan terhadap mereka. Berasaskan pendekatan ini, cerai ta‘liq telah dimasukkan dalam enakmen undang-undang keluarga Islam yang baharu. Mahmud Saedon dalam tulisannya menjelaskan hak dan kepentingan wanita yang diperuntukan dalam enakmen undang-undang keluarga Islam di Malaysia.29 Menurut beliau, peruntukan ta’liq rasmi iaitu seksyen 50 merupakan suatu kaedah yang berkesan dalam memastikan isteri mendapat haknya dan mengelakkan diri mereka dari sebarang kezaliman dan pengabaian. Rebecca meneliti tuntutan reformasi golongan feminis terhadap enakmen undang-undang keluarga Islam di Malaysia dan cabaran yang mereka hadapi mengakui penguatkuasaan ta‘liq rasmi melindungi isteri dalam tiga isu iaitu isteri dari ditinggalkan suami, pengabaian nafkah isteri oleh suami dan sebarang darar syarie oleh suami terhadap isteri. 30

Perbincangan ta‘liq menurut pandangan fuqaha’ telah disentuh oleh Hazleena dalam disertasinya yang meneliti pandangan fuqaha’ dalam khul‘ dan ta‘liq serta hak isteri berkaitan kedua-duanya.31 Selain itu, Hamzah dalam disertasinya melihat kes-kes perceraian ta‘liq yang berlaku di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan dari tahun 1985 sehingga 1987 bagi mengenalpasti masalah- masalah yang berbangkit dalam prosedur perceraian ta‘liq.32 Hasil kajian mereka menunjukkan kebanyakan fuqaha’ berpandangan ta‘liq akan mensabitkan talaq apabila berlaku ta‘liq yang telah disebutkan oleh suami tanpa boleh ditarik balik. Lafaz ta‘liq yang diucapkan oleh

29Mahmud Saedon, Hak Wanita, 189-226.

30Rebecca, Muslim Women’s Challenges to Islamic Law, 53-84.

31 Hazleena Atma A.Mohd @ Atam, “Hak Isteri dalam Pembubaran Perkahwinan Khulu’ dan Ta‘liq:

Kajian Perbandingan antara Mazhab” (disertasi Sarjana, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2003).

32Hamzah Haji Maarof, “Cerai Taklik dari Sudut Hukum dan Pelaksanaan di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan” (disertasi sarjana, Universiti Islam Antarabangsa, 1988).

(10)

suami diambil kira dan dikuatkuasakan oleh syarak apabila memenuhi kesemua syarat yang telah diletakkan oleh fuqaha’.

Pemerhatian terhadap perceraian ta‘liq yang dipohon dan didaftarkan di mahkamah syariah negeri telah dilakukan oleh beberapa orang penulis. Antaranya Ismaliza dalam disertasinya meneliti cerai ta‘liq yang didaftarkan dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah Kota Bharu, Kelantan dari tahun 1996–2001 dan Ruzila dalam disertasinya melihat kes perceraian ta‘liq yang didaftar di Mahkamah Syariah Kota Bharu dari tahun 1994–1999.33 Selain itu, Noormala dalam disertasinya melihat kepada kes cerai ta‘liq yang didaftarkan di Mahkamah Syariah Melaka Tengah dari tahun 1995 sehingga tahun 2000 manakala Raihanah Abdullah dalam artikelnya meneliti trend perceraian hasil penggubalan enakmen undang-undang keluarga Islam di Malaysia dan kesan terhadap kedudukan wanita Islam.34 Kesemua mereka mendapati ta‘liq merupakan perceraian yang kedua terbanyak dipohon dan didaftarkan di mahkamah syariah negeri selepas talaq biasa. Para penulis menjelaskan terdapat perbezaan alasan permohonan perceraian ta‘liq mengikut kawasan kajian masing-masing. Noormala mendapati kebanyakan permohonan ta‘liq di Mahkamah Syariah Melaka Tengah adalah dengan alasan suami enggan memberikan nafkah dan suami meninggalkan isteri tanpa sebarang khabar melebihi tempoh 4 bulan. Ismaliza menjelaskan tuntutan ta‘liq tinggal paling banyak dituntut di Mahkamah Syariah Kota Bharu berbanding ta‘liq yang lain. Raihanah menjelaskan perceraian secara ta‘liq semakin berkurangan di Perlis selepas negeri tersebut tidak memperuntukan sebarang lafaz ta‘liq yang wajib dibaca oleh suami selepas akad pernikahan.

33Ismaliza Ismail, “Cerai Ta‘liq: Kajian Kes di Mahkamah Syariah Kota Bharu, Kelantan” (disertasi sarjana, Universiti Malaya, 2004)., Ruzila, Cerai Taklik.

34 Noormala Rabu, “Ta‘liq Talak: Kajian Kes di Mahkamah Syariah Melaka Tengah dari Tahun 1995–

2000” (disertasi sarjana, Jabatan Syariah dan Undang –Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2008)., Raihanah Abdullah, Wanita, Perceraian dan Mahkamah Syariah, 94-120.

(11)

Kritikan terhadap kelemahan pengendalian permohonan ta‘liq di mahkamah syariah serta kelompongan yang berlaku dalam pengamalan ta‘liq rasmi di Malaysia telah disentuh oleh beberapa orang penulis. Siti Juariah dalam disertasinya mengenalpasti faktor–faktor kelewatan dalam prosiding cerai ta‘liq di Mahkamah Syariah negeri Perak. Beliau mendapati pihak defendan gagal menghadirkan diri ke mahkamah pada tarikh sebutan kes sebagai faktor utama kelewatan mahkamah menyelesaikan permohonan pasangan. Selain itu, perbicaraan dan bebanan kes yang banyak ke atas peguam turut menyumbang kepada kelewatan ini.35 Saniah dalam disertasinya meneliti permasalahan tuntutan ta‘liq di dua mahkamah syariah, mendapati hanya sepertiga dari keseluruhan kes tuntutan ta‘liq dapat diselesaikan disebabkan masalah pengesahan lafaz ta‘liq.36 Masalah penyaksian seperti saksi enggan memberikan keterangan dan bilangan saksi yang tidak mencukupi melambatkan proses tuntutan ta‘liq di dua mahkamah syariah terbabit. Maznah dalam tulisannya menjelaskan mengenai beberapa diskriminasi yang dihadapi oleh wanita dalam proses perundangan berkaitan isu perkahwinan, perceraian dan nafkah.37 Melalui pemerhatian beliau, cerai ta‘liq sukar disabitkan oleh mahkamah syariah dan terdapat kes di mana pelanggaran ta‘liq tidak disabitkan oleh mahkamah walaupun isteri didera, tidak diberikan nafkah dan suaminya seorang penagih dadah, bahkan isteri diperintahkan untuk taat kepada suaminya. Selain itu, kebanyakan kes ta‘liq hanya boleh disabitkan apabila suami ghaib dan tuntutan isteri berkaitan nafkahnya jarang diterima oleh mahkamah walaupun alasan nafkah telah termaktub dalam ta‘liq rasmi. Kelemahan dan kritikan terhadap penguatkuasaan ta‘liq rasmi telah disentuh oleh beberapa orang penulis. Antaranya Abdul Monir dalam kertas kerjanya telah meyentuh mengenai perbezaan peruntukan dalam enakmen keluarga

35Siti Juariah Tarmuji, “Kelewatan Prosiding Ta‘liq di Mahkamah Syariah: Satu Kajian di Negeri Perak”

(disertasi sarjana, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2007).

36Saniah Saroji, “Tuntutan Taklik dan Permasalahannya dalam Mensabitkan Kes di Mahkamah Syariah Kuala Selangor dan Sabak Bernam” (disertasi sarjana, Universiti Islam Antarabangsa,1998).

37Maznah Mohamad,“di Mana Berlaku Diskriminasi dalam Undang-Undang Keluarga Islam,” dalam Undang –Undang Keluarga Islam dan Wanita di Negara – Negara Asean, ed. Abdul Monir Yaacob (Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 2000), 237-261.

(12)

Islam negeri-negeri di Malaysia dengan menyatakan terdapat perbezaan takrif terhadap ta‘liq di antara negeri-negeri di Malaysia.38 Beliau menjelaskan, negeri Perak mendefinisikan ta‘liq sebagai menggantungkan perceraian talaq dengan sesuatu manakala negeri Pahang mendefinisikan ta‘liq sebagai ikrar atau pengakuan yang dibuat oleh suami selepas akad. Negeri Kedah pula mendefinisikan ta‘liq sebagai lafaz yang dibuat oleh suami selepas pernikahan dan yang boleh mengakibatkan perceraian.Wilayah Persekutuan dan negeri Selangor mendefinikan ta‘liq sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak dan peruntukan akta. Mek Wok dan Sayed Sikandar dalam tulisan mereka meneliti dalil- dalil syarak berkaitan pembubaran perkahwinan sebagai teguran terhadap sikap umat Islam yang memandang ringan pembubaran perkahwinan.39 Menurut mereka, pelaksanaan ta‘liq di Malaysia membuka pintu yang lebih luas kepada pembubaran perkahwinan dan meningkatkan jumlah perceraian sekaligus bertentangan dengan kehendak syarak yang menyifatkan talaq sebagai perkara yang dibenci. Najibah dalam dua tulisannya meneliti bentuk pembubaran yang diamalkan di Malaysia dan kelemahan pelaksanaannya di Malaysia.40 Beliau menjelaskan ketidakseragaman lafaz ta‘liq rasmi yang dikuatkuasakan di setiap negeri sebagai satu kelemahan. Haron Din dalam dua tulisannya meneliti pengamalan ta‘liq rasmi yang sedia ada di Kelantan dan Malaysia.41 Beliau cenderung mengatakan pengamalan ta‘liq rasmi di Malaysia umumnya tidak dinamakan ta‘liq yang sebenar kerana terdapat pasangan hanya menandatangani borang perakuan ta‘liq tanpa melafazkannya. Selain itu, pelaksanaannya tidak bersifat menyeluruh kerana terdapat pasangan yang tidak diwajibkan untuk melafazkan ta‘liq

38Abdul Monir Yaacob,“Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia: Pelaksanaan dan Penyeragaman,”

dalam Undang –Undang Keluarga Islam dan Wanita di Negara – Negara Asean, ed. Abdul Monir Yaacob (Kuala Lumpur :Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 2000), 1-41.

39Mek Wok Mahmud dan Sayed Sikandar Shah, “Muslims Attitude Towards Divorce: The Problem of Fiqih Postulates,” Jurnal Syariah 15, no,11 ( 2007), 129-144.

40Najibah Mohd Zin, Perceraian dalam Undang –Undang Keluarga Islam, 101-151., Najibah Mohd Zin, Pembubaran Perkahwinan, 1-19.

41Haron Din, “Persoalan Taklik Talak: Suatu Analisis Tentang Wajar Tidaknya Taklik Talak Terus Diamalkan di Malaysia,” Jurnal Islamiyat no.1 (1977), 23-40., Haron Din, “Perceraian Taklik di Kelantan” (Seminar Pentadbiran Undang–Undang Keluarga Islam Kelantan, 20- 21 Julai 1977).

(13)

berkenaan seperti pasangan yang melangsungkan akad pernikahan di luar negara.

Ibrahim dalam artikelnya menjelaskan pengamalan ta‘liq di Malaysia dan cadangan bagi mengatasi kelemahan yang berlaku.42 Beliau menjelaskan tiada suatu piawaian yang seragam dalam menentukan tahap minimum pelanggaran ta‘liq rasmi oleh suami bagi membantu hakim mahkamah syariah seperti tahap minimum darar syarie kepada isteri oleh suami. Fadzlina dalam tulisannya meneliti pengamalan ta‘liq rasmi yang diamalkan di Malaysia dan mencadangkan pembentukan perjanjian pra perkahwinan kepada pasangan sebagai suatu langkah reformasi terhadap pengamalan ta‘liq yang sedia ada.43 Beliau berpandangan ta‘liq rasmi hanya melindungi sebelah pihak sahaja iaitu wanita dalam isu yang terhad di samping wujud elemen paksaan ke atas suami.

Sayed Sikandar dalam artikelnya menjelaskan kekurangan yang terdapat dalam pelaksanaan undang-undang keluarga Islam di Malaysia dan beliau mencadangkan beberapa penambahbaikan terhadap kelemahan yang berlaku.44 Beliau mencadangkan pengurangan beban bukti terhadap isteri apabila isteri memfailkan aduan pelanggaran ta‘liq rasmi kepada mahkamah melalui penafsiran yang lebih luas terhadap konsep bayyinah tanpa menghadkan kepada pengakuan dan kehadiran 2 orang saksi lelaki.

Lukman dalam kertas kerjanya menerangkan mengenai pengamalan ta‘liq di Malaysia dan penguatkuasaannya di beberapa buah negeri serta implikasinya terhadap pasangan.

Beliau mencadangkan kepada mahkamah syariah agar memberikan perhatian yang khusus terhadap pemakaian qarinah dalam pembuktian ta‘liq dan tidak tertumpu kepada bayyinah dan syahadah sahaja bagi membantu mahkamah syariah menyelesaikan tuntutan ta‘liq oleh pasangan.45

42Ibrahim Lembut, Kaedah Ta‘liq, 147–157.

43Nor Fadzlina Nawi, Ta‘liq Agreement, 63-82.

44Sayed Sikandar Shah Haneef,“Women and Malaysian Islamic Family Law: Towards a Women Affirming Jurisprudental Reform,” Journal of Social Welfare and Family Law, no.1 ( 2011), 47-60.

45Lukman Abdul Mutalib,Satu Tinjauan Terhadap Perceraian Taklik, 1-25.

(14)

Terdapat tuntutan dan gesaaan agar kandungan ta‘liq rasmi ditambah dan tidak tertumpu kepada tiga isu sahaja iaitu kegagalan suami membayar nafkah, isteri ditingggalkan suami dan sebarang kemudaratan dan kecederaan oleh suami kepada isteri (darar syarie) dengan memasukkan poligami sebagai salah satu dari kandungan ta‘liq rasmi. Zainah Anwar et al. dalam tulisan mereka menjelaskan mengenai prinsip hak kesaksamaan di antara lelaki dan wanita seterusnya menuntut prinsip ini diaplikasikan dalam pelaksanaan undang-undang keluarga Islam di setiap negara.46 Beliau mendatangkan beberapa contoh pendirian beberapa buah negara Organisation of Islamic Cooperation (OIC) terhadap isu poligami dalam melindungi hak dan kepentingan wanita dengan menjelaskan sebahagian negara membenarkan isteri untuk meletakkan syarat larangan poligami terhadap suami dan sekiranya suami melanggar syarat berkenaan isteri boleh mengemukakan permohonan untuk mensabitkan perceraian. Nik Noriani dalan tulisannya membincangkan mengenai cadangan dan tuntutan Sister in Islam yang memperjuangkan hak wanita dalam menambahbaik pelaksanaan undang-undang keluarga Islam di Malaysia dalam isu-isu yang terpilih berkaitan wanita demi kepentingan dan hak wanita.47 Sister in Islam mencadangkan agar poligami dimasukkan sebagai salah satu dari kandungan ta‘liq rasmi supaya suami lebih bertanggungjawap sebelum berpoligami dan kepentingan isteri terbela dengan mematuhi prosedur yang sedia ada termasuk mendapatkan kebenaran mahkamah syariah dan kebenaran isteri pertama.

1.6.2. Ta‘liq Lisan.

Penulisan berkaitan ta‘liq lisan oleh ahli akademik dibuat secara tidak langsung dalam perbincangan mereka berkaitan ta‘liq rasmi dan perceraian di luar mahkamah. Ismaliza menjelaskan ta‘liq lisan ialah ta‘liq yang dibuat oleh suami dengan pilihannya sendiri

46Zainah Anwar et al.,CEDAW and Muslim Family Laws In Search of Common Ground, (Selangor:

Musawah, 2011).

47Nik Noriani Nik Badli Shah, “The Syariah Law System: Family Law Concerns and Reforms,” The Singapore Law Gazette, Julai 2004, 25.

(15)

dan tidak menyentuh isu-isu yang telah dinyatakan dalam ta‘liq rasmi.48 Ibrahim menyatakan sebab dan alasan suami melafazkan ta’liq lisan kepada isterinya hanya diketahui oleh dirinya sendiri. Beliau membuat adaian bahawa suami berkemungkinan ingin memperbaiki sikap isterinya yang tidak menyenangkan dirinya atau suami sememangnya ingin menceraikan isterinya melalui ta‘liq sebagai sebab ta‘liq lisan diucapkan oleh suami.49 Lukman mengakui ta‘liq lisan merupakan hak suami sepenuhnya namun beliau menjelaskan ta‘liq berkenaan boleh dilafazkan oleh suami dengan permintaan isteri seperti isteri mensyaratkan kepada suami untuk tidak berpoligami walaupun keadaan ini jarang berlaku.50 Noormala menegaskan ta‘liq lisan merupakan ta‘liq yang tidak diwajibkan kepada pasangan seperti ta’liq rasmi.51 Menurut Fadzlina dan Nora et al. kebanyakan ta‘liq lisan dibuat oleh suami secara melulu dan dipengaruhi oleh emosi yang tidak stabil seperti ta‘liq lisan diucapan oleh suami dalam keadaan marah.52 Ruzila menyenaraikan beberapa kes pembentukan ta‘liq lisan dalam kajiannya di Mahkamah Syariah Kota Bharu, Kelantan dan menyimpulkan pembentukan ta‘liq lisan lebih banyak melibatkan kepentingan suami berbanding isteri.53 Menurut Raihanah, pengucapan ta‘liq lisan oleh suami menyekat kebebasan isteri dan lebih banyak mendatangkan kemudaratan kepada isteri berbanding kebaikan seperti suami melarang isterinya pergi ke rumah ibunya.54 Yusida dalam disertasinya meneliti statistik kes perceraian di luar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dari tahun 1997-2002 di samping melihat kaedah penghakiman perceraian luar mahkamah serta faktor-faktor berlakunya perceraian ini. 55 Beliau menjelaskan ta‘liq lisan yang diucapkan oleh suami di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah

48Ismaliza Ismail, Cerai Ta‘liq, 83.

49Ibrahim Lembut, Kaedah Ta‘liq Talak, 148.

50Lukman Abdul Mutalib, Satu Tinjauan Terhadap Perceraian Taklik, 6.

51 Noormala Rabu, Ta‘liq Talak, 29.

52 Nor Fadzlina Nawi, Ta‘liq Agreement, 3., Nora Abdul Hak et al, Right of Women, 287.

53 Ruzila Abd Halim, Cerai Taklik, 92.

54 Salina Ibrahim, “Taklik Bersepah Sepah, 23-25.

55 Yusida Yusof,” Perceraian di Luar Mahkamah,126.

(16)

termasuk dalam perceraian luar mahkamah. Mazlan dalam disertasinya meneliti faktor- faktor berlakunya perceraian di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah syariah di Selangor bermula dari tahun 2002-2005.56 Beliau menjelaskan bahawa perceraian di luar mahkamah merupakan suatu kesalahan di bawah seksyen 124 Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang memperuntukkan bahawa kesalahan ini boleh didenda sebanyak RM 1000.00 atau penjara enam bulan atau kedua-duany tetapi terdapat sejumlah kes di mana mahkamah syariah tidak mengenakan sebarang hukuman dan denda berkaitan kesalahan ini. Ibrahim mencadangkan agar pelanggaran ta‘liq lisan dibicarakan di bawah seksyen 50, enakmen undang-undang keluarga Islam kerana seksyen ini hanya digunapakai di mahkamah syariah dalam perbicaraan melibatkan ta‘liq rasmi sahaja.57 Najibah menyifatkan pengucapan ta‘liq lisan memberi impak negatif kepada wanita sekiranya aduan pelanggaran lisan difailkan oleh isteri ke mahkamah syariah kerana mahkamah sukar mensabitkan kewujudan ta‘liq lisan di antara pasangan. 58 Hal ini kerana ketiadaan bukti bertulis bagi membuktikan kewujudan ta‘liq berkenaan di antara pasangan.

Hasil penelitian terhadap kajian–kajian lepas, pengkaji berpandangan perbincangan secara khusus berkaitan ta‘liq tambahan perlu dilakukan kerana kajian-kajian yang lepas hanya membincangkan mengenai ta‘liq rasmi dan ta‘liq lisan. Hal ini bertujuan bagi membuka ruang perbincangan mengenai ta‘liq tambahan agar kewujudannya diberikan perhatian. Oleh itu, kajian ini akan meneliti ta‘liq tambahan bagi memenuhi tujuan berkenaan.

56Mazlan Abd Manan, Kesalahan Matrimoni dalam Kes Perceraian di Luar Mahkamah, 70.

57Ibrahim Lembut, Kaedah Ta‘liq Talak, 151.

58 Najibah Mohd Zin, “Perceraian Dalam Undang –Undang Keluarga Islam, 122.

(17)

1.7. Metodologi Kajian.

Pengkaji membahagikan metodologi kajian ini kepada dua bahagian iaitu: pertama, metodologi pengumpulan data dan kedua, metodologi analisis data.59 Metodologi pengumpulan maklumat dilakukan bagi mengumpulkan dan mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan kajian ini. Metode berkenaan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu : pertama, kajian perpustakaan dan kedua , kajian lapangan.60 Metodologi analisis data dilaksanakan bagi meneliti dan memproses maklumat yang telah diperolehi bagi mencapai objektif kajian ini.

1.7.1. Metode Pengumpulan Data.

1.7.1.1. Kajian Perpustakaan.

Kajian perpustakaan digunakan untuk mendapatkan maklumat dan data yang berkaitan dengan kajian ini dengan merujuk kepada sumber bertulis seperti karya ulama silam, disertasi, jurnal, artikel dan kertas kerja persidangan. Bahan-bahan ini diperolehi dari perpustakaan universiti seperti Perpustakaan Utama Universiti Malaya, Perpustakaan Tun Sri Lanang Universiti Kebangsaan Malaysia dan Perpustakaan Universiti Islam Malaysia. Kaedah dokumentasi turut digunakan dengan meneliti sijil seperti sijil perakuan ta‘liq.

1.7.1.2. Kajian Lapangan.

Kajian lapangan dilaksanakan bertujuan mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai pelaksanaan ta‘liq tambahan melalui kaedah temu bual. Kaedah temu bual dipilih kerana pengkaji dapat berjumpa secara langsung dengan pihak yang mengendalikan ta‘liq berkenaan bersama pasangan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi melengkapkan kajian ini.

59 Pejabat Ijazah Tinggi Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya,” Buku Panduan Penulisan Tesis /Disertasi Ijazah Tinggi”, (Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2006), 15.

60 Ibid.

(18)

Sebelum menjalankan temu bual, kajian rintis dilakukan bagi mengenalpasti pihak yang mempunyai maklumat mengenai pembentukan ta‘liq tambahan dalam kalangan masyarakat Ipoh. Menerusi kajian rintis berkenaan, pengkaji menemui beberapa pihak yang terlibat dalam menguruskan hal berkaitan kekeluargaan Islam di Ipoh. Pihak-pihak berkenaan ialah Hakim Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Perak (dahulunya dikenali sebagai Kadi Besar), Pegawai Tadbir Agama Ipoh dan naib-naib kadi dalam kawasan Ipoh bagi mendapatkan pengalaman mereka dalam menguruskan pembentukan ta‘liq tambahan. Hasil pertemuan berkenaan, pengkaji dapat menyatakan bahawa Hakim Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pernah terbabit secara tidak langsung dengan memberikan cadangan kepada pasangan yang bermasalah untuk membuat ta‘liq tambahan. Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Perak tidak pernah berhadapan dengan permohonan pasangan untuk membuat ta‘liq berkenaan dan hanya dimaklumkan oleh beberapa Pegawai- PegawaiTadbir Agama Daerah bahawa terdapat pasangan yang membuat ta‘liq tambahan dalam daerah masing-masingnya. Naib-naib kadi dalam kawasan Ipoh pula menyatakan bahawa mereka akan memaklumkan kepada Pegawai Tadbir Agama Ipoh apabila terdapat permohonan dari pasangan untuk membuat ta‘liq tambahan sebelum kebenaran kahwin diberikan. Pegawai Tadbir Agama Ipoh merupakan individu yang pernah berhadapan dengan permohonan pasangan untuk membuat ta‘liq berkenaan.

Menerusi maklumat yang diberikan oleh Pejabat Agama Daerah Ipoh, terdapat seramai tiga orang pegawai yang pernah bertugas sebagai Pegawai Tadbir Agama Ipoh dari tahun 2004-2012. Maklumat dan data peribadi mereka secara terperinci tidak didedahkan atas permintaan mereka. Pengkaji menamakan tiga pegawai ini mengikut urutan abjad berdasarkan tahun perkhidmatan mereka seperti jadual di bawah :

(19)

Jadual 1.1. Senarai Pegawai Tadbir Agama Ipoh Dari 2004-2012.

Nama Pegawai Tahun Perkhidmatan Pegawai A (April) 2004- (Jun) 2009

Pegawai B Jun 2009 pemangku memangku jawatan PTAI.

2010- Dilantik memegang jawatan PTAI

Pegawai C Penghujung 2010- Memangku jawatan PTAI dan seterusnya dilantik sebagai PTAI sehingga Jun 2012.

Hasil pertemuan pengkaji bersama ketiga-tiga pegawai berkenaan, kesemua mereka mengakui pernah berhadapan dengan permintaan ta‘liq tambahan dari pasangan ketika menjawat jawatan berkenaan. Oleh itu, persampelan bertujuan digunakan bagi meneliti ta‘liq tambahan yang pernah dikendalikan oleh salah seorang dari pegawai berkenaan bagi melengkapkan kajian ini. Dalam menjalankan persampelan berkenaan, dua ciri telah ditetapkan iaitu pertama, pegawai berkenaan pernah berhadapan dengan permohonan pasangan untuk membuat ta‘liq tambahan dan kedua, pegawai berkenaan mengendalikan ta‘liq tersebut secara sempurna iaitu dengan membantu pasangan merangka draf ta‘liq berkenaan sehingga pegawai berkenaan menyerahkan kembali draf ta‘liq tambahan yang telah dipersetujui secara bersama kepada pasangan sebagai bukti kewujudan ta‘liq tambahan di antara mereka. 61

Hasil persampelan berkenaan, pengkaji memilih untuk meneliti ta‘liq tambahan yang dikendalikan oleh pegawai C berbanding pegawai lain kerana pegawai berkenaan memenuhi kedua-dua ciri yang telah ditetapkan iaitu pegawai berkenaan pernah berhadapan dengan permohonan pasangan untuk membuat ta‘liq tambahan dan pegawai

61Fraenkel et al., How to Design and Evaluate Researech in Education (New York: McGraw Hill International Edition, 2012), 100.

(20)

berkenaan telah mengendalikan ta‘liq tambahan bersama pasangan dengan sempurna.

Pemilihan pegawai C juga dibuat kerana pegawai A tidak pernah mengendalikan ta‘liq tambahan bersama pasangan kerana pegawai berkenaan menolak permohonan pasangan dan tidak membenarkan pasangan untuk membuat ta‘liq berkenaan.Meskipun pegawai B pernah mengendalikan satu pembentukan ta‘liq tambahan bersama pasangan namun pegawai berkenaan tidak mengendalikannya dengan sempurna bersama pasangan kerana pasangan yang berkenaan tidak hadir untuk melafazkan ta‘liq di hadapan pegawai berkenaan. Oleh itu, kajian ini menumpukan kepada pengendalian ta‘liq tambahan yang telah dikendalikan oleh Pegawai C bersama pasangan.Temu bual bersama pegawai C dijadikan sebagai temu bual utama oleh pengkaji dalam melengkapkan kajian ini.

Di samping itu, pengkaji turut melakukan lima temu bual dengan pihak yang lain iaitu pegawai A, pegawai B, Hakim Mahkamah Rendah Ipoh dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga Islam Perak dan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Ipoh sebagai sokongan dan tambahan terhadap temu bual utama yang dilakukan oleh pengkaji bagi mengukuhkan kajian ini.

Terdapat tiga jenis temu bual dalam menjalankan sesuatu penyelidikan dan kajian iaitu:

temu bual berstruktur, temu bual semi berstruktur, temu bual tidak berstruktur.62 Kesemua temu bual yang dibuat bagi melengkapkan kajian ini adalah temu bual semiberstruktur. Temu bual semiberstruktur dipilih kerana pengkaji tidak perlu terikat sepenuhnya dengan soalan yang telah disediakan.63 Tindakan ini dilakukan untuk

62 Chua Yan Piaw, Kaedah Penyelidikan (Kuala Lumpur: MC Graw Hill Education, t.t), 114.

63 Ibid.,115.

(21)

mengetahui jawapan yang lebih mendalam terhadap soalan formal yang telah diajukan dan pengkaji bebas mengemukakan soalan tambahan yang dirasakan perlu.64

Sebelum temu bual semiberstruktur dilakukan, soalan temu bual disediakan sebagai panduan kepada pengkaji semasa temu bual dijalankan. Objektif kajian dijadikan sebagai asas utama dalam pembentukan soalan temu bual dengan setiap soalan yang dibentuk bertujuan untuk mencapai objektif berkenaan.65 Set soalan ini dijadikan sebagai senarai semak kepada pengkaji agar semua persoalan dijawab dengan baik oleh pihak yang ditemu bual. Sebelum semua temu bual yang dijalankan, pengkaji menghantar soalan temu bual bersama surat permohonan kepada pihak yang terlibat untuk melakukan temuramah. Soalan temu bual ini dihantar terlebih dahulu bagi membolehkan mereka lebih bersedia dan dapat memberikan maklumat yang jelas dan tepat.

Kaedah temu bual bersemuka secara individu dipilih dalam menjalankan kesemua temu bual semiberstuktur. Hal ini bertujuan bagi membantu pengkaji mendapatkan jawapan terhadap persoalan yang dikemukakan dan maklum balas yang diterima dari responden dapat dikumpul dengan lebih cepat berbanding temu bual yang dikirimkan melalui email.66 Pengkaji terlebih dahulu meminta kebenaran kepada pihak yang ditemu bual untuk merakam temu bual yang dijalankan. Sekiranya kebenaran diberikan, pengkaji akan merakam temu bual tersebut dengan menggunakan perakam suara.Terdapat pihak yang ditemu bual tidak membenarkan pengkaji merakam sebarang percakapannya dan hanya catatan secara bertulis sahaja dibenarkan. Semasa temu bual dijalankan, pengkaji

64 Ibid.

65 Ibid.,119.

66 Ibid.

(22)

mencatat setiap butiran percakapan pihak yang ditemu bual termasuk reaksi pihak berkenaan seperti isyarat menganggukkan kepada sebagai tanda setuju beserta isyarat yang lain.

Kesemua temu bual yang telah dilakukan disalin kembali dalam bentuk catatan bertulis.

Catatan bertulis ini akan dibuat dua salinan untuk diserahkan kepada pihak yang ditemu bual bagi mendapatkan pengesahan berkaitan kenyataan yang telah buat. Sebarang pembetulan dan kesilapan akan diperbetulkan sebelum mereka mengesahkan kenyataan yang telah dibuat. Satu salinan catatan bertulis ini akan disimpan oleh pihak yang ditemu bual dan satu salinan lagi akan dikembalikan kepada pengkaji samada dengan pindaan atau tanpa sebarang pindaan. Satu surat perakuan yang disediakan oleh pengkaji akan ditandatangani oleh pihak yang ditemu bual bagi menguatkan pengesahan catatan yang telah diberikan oleh mereka kepada pengkaji.

1.7.2. Metode Analisis Data.

Pengkaji membahagikan enam temu bual yang telah dibuat kepada enam kelompok yang berbeza dengan menggunakan simbol sebagai ringkasan bagi mewakili maksud yang tertentu. Keterangan lebih lanjut seperti jadual di bawah :

Jadual 1.2. Simbol Bagi Mewakili Pihak Yang Ditemu Bual Simbol Maksud

P1 Temu bual bersama pegawai C P2 Temu bual bersama pegawai A P3 Temu bual bersama pegawai B

P4 Temu bual bersama Hakim Mahkamah Rendah Syariah Ipoh

P5 Temu bual bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga Islam Perak P6 Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah

Syariah Ipoh.

(23)

Kesemua data temu bual berkenaan kemudiannya diteliti. Maklumat yang diperolehi dari temu bual berkenaan disusun berdasarkan kepada tema-tema yang telah disediakan oleh pengkaji bagi menjawab objektif kajian. Kesemua maklumat berkenaan kemudiannya dianalisis menggunakan tiga kaedah berikut iaitu :

1.7.2.1. Metode Induktif.

Kaedah ini bermaksud membuat pernyataan yang berbentuk universal berasaskan pernyataan–peryataan yang khusus.67 Metode ini digunakan dalam kajian ini terutamanya dalam membuat kesimpulan umum terhadap pengamalan ta‘liq tambahan yang dikendalikan oleh pegawai C bersama pasangan setelah melihat peranan dan perlindungan yang boleh diberikan oleh ta‘liq berkenaan kepada pasangan.

1.7.2.2. Metode Deduktif.

Metode ini adalah satu kaedah yang menghuraikan sesuatu maklumat yang umum kepada bentuk yang lebih jelas dan terperinci.68 Ianya berlawanan dengan metode induktif kerana data-data yang umum dikumpulkan akan diperjelaskan dalam bentuk yang lebih khusus. Metode berkenaan digunakan ketika meneliti prinsip melindungi hak dan kepentingan wanita dalam pengamalan ta‘liq tambahan.

1.7.2.3. Metode Komparatif.

Metode ini digunakan dengan melakukan perbandingan di antara data–data yang diperolehi melalui dapatan kajian terhadap perkara yang sama dan satu kesimpulan dibuat bagi menjelaskan perbezaan tersebut. 69 Metode ini digunakan oleh pengkaji ketika melakukan perbandingan terhadap pandangan pihak yang ditemu bual terhadap

67Bhisma Murti, Inferensi Induktif, deduktif dan Epistemologi Popper dalam Riset Epideimologi, Maj Kedokt. Indon 52, No.6, Jun (2002), 227.

68 Ibid.

69Rudi Susilana, “Modul 4: Metode Penelitian” (t.tp), 20.

(24)

pengamalan ta‘liq tambahan serta bentuk perlindungan yang mampu diberikan kepada pasangan melalui pembentukannya.

Perbincangan dalam kajian ini dikuatkan dengan pemindahan data temu bual yang telah dikumpulkan ke dalam perbincangan berkenaan. Hal ini bagi membuktikan kenyataan yang dibuat oleh pengkaji. Pemindahan data berkenaan dibuat melalui format yang khusus. Penjelasan format berkenaan adalah seperti berikut :

Jadual 1.3. Kod Temu Bual Dan Keterangannya.

Kod Tafsiran Keterangan

T1 Temu bual kali pertama yang dilakukan bersama pihak berkenaan.

Nombor yang dinyatakan selepas simbol T merujuk kepada bilangan temu bual yang telah dilakukan bersama pihak yang terbabit. Contoh T2 merujuk kepada temu bual kali kedua bersama pihak tersebut.

P5 Temu bual bersama Ketua

Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga Islam Perak.

Sila rujuk jadual 1.3

“Simbol bagi Mewakili Pihak yang Ditemu Bual”

(100-104) Baris kenyataan yang

dibuat oleh pihak yang ditemu bual.

1.8. Pecahan bab

Pengkaji membahagikan kajian ini kepada lima bab iaitu :

Bab satu menjelaskan berkaitan masalah kajian dan menyimpulkannya dalam bentuk persoalan. Persoalan kajian dijawab melalui objektif kajian yang jelas. Keperluan terhadap kajian ini dikuatkan dengan ulasan terhadap kajian lepas. Ulasan ini membuka ruang kepada kajian ini dilakukan dan membantu mengukuhkan penulisan yang sedia

(25)

ada berkaitan tajuk ini. Metode kajian dalam pengumpulan data dan analisis data diterangkan untuk mencapai semua objektif yang telah dinyatakan dalam kajian ini.

Bab dua membincangkan definisi ta‘liq dan mendatangkan pandangan fuqaha’ dalam masalah ini beserta hujah di kalangan mereka. Penelitian berkaitan syarat yang diletakkan oleh fuqaha’ dibincangkan sebelum lafaz ta‘liq yang dibuat diambilkira dan dikuatkuasakan oleh syarak ini.

Bab tiga akan menjelaskan peruntukan ta‘liq yang terkandung dalam Enakmen Keluarga Islam Perak 2004 dan fasa-fasa perubahan lafaz ta‘liq rasmi di negeri Perak.

Prosedur permohonan cerai ta‘liq di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh turut dijelaskan bagi memenuhi objektif kajian ini.

Bab empat akan meneliti pengamalan ta‘liq tambahan di Ipoh Perak yang pernah dikendalikan oleh pegawai C. Kajian akan meneliti pengendalian ta‘liq oleh pegawai berkenaan setelah terdapat permohonan dari kalangan pasangan. Dokumen dan ta‘liq tambahan dibuat akan diteliti bagi melihat samada ta‘liq tambahan dibentuk untuk kepentingan bersama atau sebaliknya. Perlindungan dalam ta‘liq tambahan juga dikaji bagi melihat samada pengamalannya membantu melindungi hak pasangan atau sebaliknya.

Bab lima akan merumuskan hasil kajian dan memberikan cadangan penambahbaikan dalam pengamalan ta‘liq tambahan agar dapat membantu pasangan.

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN