• Tiada Hasil Ditemukan

View of Hubungan Antara Tahap Kepimpinan Lestari Guru Besar Dengan Tahap Kesihatan Mental Guru Di Salah Sebuah Sekolah Rendah Di Negeri Selangor

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "View of Hubungan Antara Tahap Kepimpinan Lestari Guru Besar Dengan Tahap Kesihatan Mental Guru Di Salah Sebuah Sekolah Rendah Di Negeri Selangor"

Copied!
9
0
0

Tekspenuh

(1)

Hubungan Antara Tahap Kepimpinan Lestari Guru Besar Dengan Tahap Kesihatan Mental Guru Di Salah Sebuah Sekolah

Rendah Di Negeri Selangor

(The Relationship Between The Level of Sustainable Leadership of Headmaster And The Level of Mental Health of Teachers In One of

The Primary Schools In The State of Selangor)

Zakiah Fathiyyah Mohd Nasir1, Ruslin Amir1

1 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Malaysia

*Pengarang Koresponden: zizifathiyyah@gmail.com Accepted: 15 January 2022 | Published: 31 January 2022

DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2022.3.4.33

_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Salah satu faktor penentu kecemerlangan bagi sesebuah organisasi adalah melalui kepimpinan. Berlakunya konflik kepimpinan antara pentadbir dengan guru-guru di sekolah disebabkan oleh kegagalan di dalam pemilihan trend kepimpinan di dalam organisasi. Justeru, tujuan kajian yang dilakukan ini adalah untuk mengenal pasti hubungan antara tahap kepimpinan lestari guru besar dengan tahap kesihatan mental guru di salah sebuah sekolah rendah di negeri Selangor. Kajian ini telah dijalankan ke atas 52 orang responden yang terdiri daripada guru-guru di salah sebuah sekolah rendah yang berada di dalam daerah Petaling Perdana. Pengkaji menggunakan kaedah tinjauan berbentuk kuantitatif dengan menggunakan instrumen soal selidik. Data yang diperolehi dianalisis secara deskriptif menggunakan min dan sisihan piawai manakala secara inferensi dengan menggunakan Korelasi Pearson.

Dapatan menunjukkan bahawa tahap kepimpinan lestari guru besar adalah tinggi (M = 4.30, SP = 0.49) dan tahap kesihatan mental guru adalah rendah (M = 1.43, SP = 1.54). Selain itu, hasil dapatan kajian juga turut membuktikan bahawa terdapat hubungan antara tahap kepimpinan lestari guru besar dengan tahap kesihatan mental guru di sekolah (r = 0.293, p<0.05). Oleh yang demikian, gaya kepimpinan yang diamalkan oleh guru besar di sekolah akan menentukan jatuh bangun bagi sesebuah organisasi dan seterusnya akan turut memberi kesan kepada kesihatan mental guru di sekolah.

Kata kunci: kepimpinan lestari guru besar, kesihatan mental guru

Abstract: One of the determining factors of excellence for an organization is through leadership. The occurrence of leadership conflict between administrators and teachers in schools is due to failure in the selection of leadership trends in the organization. Thus, the purpose of this study is to identify the relationship between the level of sustainable leadership of headmaster and the level of mental health of teachers in one of the primary schools in the state of Selangor. This study was conducted on 52 respondents consisting of teachers in one of the primary schools in the district of Petaling Perdana. The researcher used a quantitative survey method by using a questionnaire instrument. The data obtained were analyzed descriptively using mean and standard deviation while inferentially using Pearson Correlation. The findings showed that the level of sustainable leadership of headmaster was high (M = 4.30, SP = 0.49) and the level of mental health of teachers was low (M = 1.43, SP

(2)

= 1.54). In addition, the results of the study also prove that there is a relationship between the level of sustainable leadership of headmaster with the level of mental health of teachers in schools (r = 0.293, p<0.05). Therefore, the leadership style practiced by the headmaster in the school will determine the ups and downs of an organization and in turn will also affect the mental health of teachers in the school.

Keywords: sustainable leadership of head teachers, mental health of teachers

___________________________________________________________________________

1. Pengenalan

Menurut Abdul Jawi dan rakan (2012), kepimpinan di sekolah memberi kesan terhadap prestasi guru di dalam sesebuah organisasi kerana pemimpin dianggap sebagai agen perubahan. Jenis kepimpinan yang diamalkan oleh guru besar di sekolah adalah sangat penting dalam menguruskan sistem pentadbiran kerana ianya akan memberi kesan kepada jatuh bangun bagi sesebuah institusi (Ibrahim Ahmad Bajunid, 2000). Menurut kajian daripada Raziah Mansor (2009), kegagalan guru besar di dalam sistem pentadbiran di sekolah mampu memberi impak negatif kepada tahap perkembangan sosial dan persekitaran sekolah. Hal ini juga secara tidak sedar akan menyebabkan wujudnya suasana yang kurang harmonis dalam kalangan guru di sekolah.

Justeru, kajian yang dilaksanakan ini adalah untuk mengenal pasti hubungan antara tahap kepimpinan lestari guru besar dengan tahap kesihatan mental guru di salah sebuah sekolah rendah di negeri Selangor. Di Malaysia, peratusan guru-guru yang mengalami masalah kesihatan mental adalah sebanyak (43.0%) bagi kemurungan, kebimbangan (68.0%) dan gejala stress adalah sebanyak (32.3%) (Othman Zahiruddin dan Sivasubramaniam, 2019). Jarvis (2002) mendapati bahawa 25% guru mempunyai masalah kesihatan, seperti hipertensi, insomnia, kemurungan, dan gangguan gastrousus. Hal ini jelas menunjukkan bahawa persekitaran sekolah memainkan peranan yang penting dalam membentuk kesejahteraan mental guru. Demikian, gaya kepimpinan yang diamalkan oleh guru besar di sekolah dapat memberi impak yang besar terhadap tahap kesihatan mental guru di sekolah.

Kajian-kajian awal telah mendedahkan bahawa terdapatnya beberapa kelemahan dalam kepimpinan guru besar semasa mengendalikan sekolah. Menurut Azlin Norhaini Mansor (2006), kelemahan utama di dalam kepemimpinan guru besar adalah apabila mereka beranggapan bahawa gaya kepimpinan autokratik ini adalah gaya kepimpinan yang paling sesuai bagi memastikan guru-guru di sekolah menjalankan peranan masing-masing. Tanpa sedar, golongan guru-guru besar seperti ini telah mengetepikan peranannya sebagai pemimpin untuk menjana modal insan yang berkualiti (Herbert, 2006). Oleh yang demikian, dapatan kajian di atas menunjukkan bahawa gaya kepimpinan guru besar akan memberi kesan kepada pentadbiran sekolah seterusnya memberi kesan terhadap tahap kesihatan mental guru pada masa akan datang.

Selain itu, melihat kepada senario yang berlaku di dalam dunia pendidikan pada hari ini, isu mengenai tahap kesihatan mental dalam kalangan guru pada hari ini hanya dipandang sebagai isu yang remeh. Hakikatnya, isu ini boleh memberi impak yang besar kepada dunia profesion perguruan yang kian mencabar. Kajian mengenai gaya kepimpinan lestari ini bukanlah suatu perkara yang baharu. Ianya telah banyak dibincangkan oleh pengkaji-pengkaji yang terdahulu.

Namun, kajian-kajian lepas mengenai gaya kepimpinan lestari ini banyak dikaitakan dengan beban tugas guru, tahap kepuasan bekerja, prestasi kerja dan lain-lain lagi yang berkaitan

(3)

dengan bidang profesion perguruan. Oleh yang demikian, pengkaji telah menjadikan isu kesihatan mental dalam kalangan guru di sekolah sebagai isu keprihatinan yang perlu dikaji di dalam kajian ini kerana isu ini masih kurang dibincangkan oleh pengkaji-pengkaji yang lain.

Demikian, kajian ini akan dilaksanakan ke atas guru-guru di salah sebuah sekolah rendah di negeri Selangor untuk melihat hubungan antara tahap kepimpinan lestari guru besar dengan tahap kesihatan mental guru di sekolah.

2. Ulasan Kajian Lepas

Terdapat beberapa model kepimpinan yang telah dibina oleh pelopor kepimpinan. Salah satunya adalah kepimpinan lestari yang dibina untuk menilai kepimpinan di dalam bidang pendidikan. Kepimpinan lestari bermaksud tersebar dan berkekalan yang merujuk kepada perkongsian tanggungjawab yang tidak menghapuskan sumber manusia dan kewangan berdasarkan penjelasan oleh Hargreaves dan Fink (2003). Jika seseorang ketua mengamalkan kepimpinan lestari, maka akan terlahirnya persekitaran pendidikan yang menggalakkan percambahan idea dan juga suasana kepimpinan yang harmonis di dalam sesebuah organisasi.

Oleh itu, kepimpinan lestari amat diperlukan di semua sekolah supaya proses perkongsian ilmu dan kuasa ini dapat dilaksanakan dengan baik di sekolah.

Hargreaves dan Fink (2003), telah menggariskan beberapa prinsip mengenai kepimpinan lestari. Terdapat tujuh prinsip iaitu membudayakan pembelajaran di sekolah, mewujudkan pemimpin pelapis, mengagihkan kepimpinan di sekolah, meningkatkan kapasiti sekolah, mengoptimumkan sumber aset, matlamat jangka panjang dan perkongsian faedah. Di samping itu, kedua-dua tokoh ini juga menyarankan agar kepimpinan lestari perlu diamalkan oleh semua pemimpin di sekolah dalam melaksanakan tugas-tugas mereka sebagai seorang pemimpin.

Oleh itu, untuk menguruskan sekolah dengan lebih efektif, para pentadbir seharusnya menguasai dan memahami pendekatan kaedah yang digariskan di dalam kepimpinan lestari bagi memastikan warga sekolah berada dalam keadaan harmoni dan sejahtera.

Kesihatan merujuk kepada sesuatu keadaan dimana berlakunya kesempurnaan dari segi fizikal, mental dan juga sosial menurut definisi yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Selain itu, melalui kajian Md. Safian Mohd Tajuddin (2007), kesihatan ini bukanlah merujuk kepada penyakit sahaja, tetapi ianya juga membawa maksud sesuatu keadaan dimana membawa konsep bahawa seseorang itu berada dalam keadaan yang baik dari segi mental, jasmani, esmosi, rohani dan sosial. Namun begitu, sekiranya permasalahan yang berlaku melibatkan aspek fizikal, mental dan sosial tidak ditanggani dengan efektif, maka tahap kesempurnaan dan kesejahteraan tersebut tidak dapat dicapai oleh individu tersebut. Justeru, masyarakat yang harmoni dan sejahtera juga tidak dapat diwujukan di dalam sesebuah komuniti. Oleh yang demikian, kesihatan dapat dirumuskan sebagai suatu keadaan dimana individu tersebut berada dalam keadaan yang sihat sejahtera dari aspek fizikal, emosi dan sosial seseorang individu.

Tuntasnya, kesihatan mental yang baik dalam kalangan guru di sekolah amat dititikberatkan dalam usaha menjalani suasana bekerja yang harmoni dan sejahtera di sekolah. Oleh itu, memiliki kesihatan yang sejahtera adalah sangat penting di dalam kehidupan seseorang individu bagi melahirkan individu yang produktif dan bermanfaat kepada masyarakat di sekeliling.

Seterusnya, antara kajian yang telah dilakukan mengenai tahap kepimpinan lestari guru besar di sekolah adalah menerusi kajian daripada Khairun Najjat Hussnani dan Rabiatul-Adawiah

(4)

Ahmad Rashid (2016). Kajian yang dijalankan adalah untuk melihat hubungan antara kepimpinan lestari dengan prestasi kerja guru di sekolah jenis kebangsaan cina yang menerima bai’ah. Hasil dapatan menunjukkan bahawa tahap kepimpinan guru besar yang diamalkan di sekolah berada pada tahap yang tinggi. Begitu juga dengan tahap prestasi kerja guru juga berada pada tahap yang tinggi. Kesimpulannya, kajian ini membuktikan bahawa guru besar di sekolah ini telah mengamalkan kepimpinan lestari dengan baik.

Kemudian, kajian daripada Roslizam Hassan dan Yusof Boon (2012) berkaitan dengan kepimpinan lestari guru besar telah menunjukkan bahawa para guru di sekolah telah memberikan tahap penilaian yang tinggi terhadap gaya kepimpinan guru besar di sekolah. Hasil dapatan menunjukkan bahawa purata min berada pada skor 3.29 iaitu berada pada paras tinggi.

Ini membuktikan bahawa gaya kepimpinan lestari yang diamalkan oleh guru besar mereka dapat difahami dan diterima pakai oleh para guru di sekolah. Justeru, hal ini telah menyebabkan guru-guru memberi penilaian yang tinggi terhadap amalan kepimpinan guru besar kerana mereka berasa selesa untuk terus bekerja di sekolah tersebut.

Kajian-kajian lepas yang berkaitan dengan tahap kesihatan mental secara umumnya tidak banyak disentuh atau dikaji oleh penyelidik-penyelidik yang terdahulu. Namun, terdapat juga beberapa kajian yang mengkaji mengenai kesihatan mental guru di sekolah. Antaranya ialah menerusi kajian daripada Siti Nur Ain Rembli dan rakan (2020) yang bertujuan untuk mengenal pasti hubungan tekanan pekerjaan ke atas kesihatan mental guru. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat dua punca utama yang telah mempengaruhi kesihatan mental guru iaitu faktor kebertanggungjawaban terhadap kerja dan juga faktor karenah pelajar.

Tuntasnya, kajian yang dilakukan ini memberi gambaran bahawa pekerjaan di dalam bidang perguruan ini merupakan satu pekerjaan yang amat mencabar dari segi mental dan juga fizikal.

Hal ini disebabkan oleh pelbagai faktor atau cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh para guru sepanjang berada di sekolah mampu memberi kesan yang besar terhadap kesihatan mental guru. Antara cabaran yang harus ditempuhi oleh para guru disekolah termasuklah gaya kepimpinan yang dilaksanakan oleh guru besar.

Oleh yang demikian, melihat kepada betapa pentingnya tahap kepimpinan guru besar mampu memberi kesan kepada tahap kesihatan mental guru di sekolah, maka pengkaji telah mengambil keputusan untuk menjadikan isu mengenai kepimpinan lestari guru besar dan kesihatan mental guru sebagai kajian utama di dalam penyelidikan ini. Tambahan pula, kajian berfokuskan tentang tahap kesihatan mental guru di sekolah masih belum banyak dilakukan oleh pengkaji di luar sana. Justeru, melihat kepada keadaan ini, pengkaji telah mengambil keputusan untuk melihat adakah terdapat hubungan antara tahap kepimpinan lestari guru besar dengan tahap kesihatan mental guru di sekolah. Oleh itu, di dalam kajian ini pengkaji memilih pendekatan kuantitatif melalui kajian tinjauan untuk mengumpul dan menganalisis data berpandukan kepada dua teori iaitu Teori Kepimpinan Lestari dan Teori Fungsionalisme

3. Metodologi

Kajian yang dilaksanakan bertujuan untuk melihat sejauh manakah hubungan antara tahap kepimpinan lestari guru besar mempengaruhi tahap kesihatan mental guru di sekolah. Oleh itu, di dalam kajian ini pengkaji memilih pendekatan kuantitatif dan kajian tinjauan untuk mengumpul dan menganalisis data. Kajian tinjauan membolehkan proses memungut data dilakukan serentak dan cepat serta keputusan dianalisis dalam masa yang singkat. Di samping itu, kajian yang dilakukan ini juga diklasifikasikan sebagai penyelidikan deskriptif kerana ianya merupakan kajian yang akan menerangkan secara lebih terperinci mengenai fenomena

(5)

yang berlaku (Mohd. Majid Konting, 1998). Penggunaan soal selidik, reka bentuk dan juga analisis data untuk melihat perhubungan antara pemboleh ubah bersandar dan pemboleh ubah tidak bersandar.

Dalam kajian ini, populasi sasaran pengkaji adalah guru-guru di sebuah sekolah rendah di negeri Selangor. Pengkaji telah mendapatkan data daripada pihak sekolah dan data tersebut menunjukkan bahawa jumlah keseluruhan guru adalah seramai 62 orang. Dengan berpandukan kepada jadual penentuan saiz sampel Krejcie dan Morgan (1970), sekiranya populasi seramai 62 orang maka jumlah sampel yang bersesuaian adalah seramai 52 orang. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan persampelan rawak berlapis kerana mempunyai sub-sub sampel seperti jantina. Terdapat empat cara pemilihan sampel iaitu rawak mudah, rawak strata, rawak kluster dan rawak dua peringkat. Oleh itu, persampelan rawak mudah telah dipilih dalam kajian ini kerana sampel dipilih tanpa bias dan teknik ini bersesuaian dengan objektif dan tujuan kajian.

Maklumat dikumpul dengan menggunakan borang soal selidik yang diadaptasi daripada kajian lepas. Instrumen kajian yang terkandung di dalam borang soal selidik ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Bahagian A (Demografi), Bahagian B (Kepimpinan Guru Besar) dan Bahagian C (Kesihatan Mental Guru). Instrumen yang telah diadaptasi daripada Supian Hashim dan Khadijah Daud (2014) digunakan untuk mengukur tahap kepimpinan lestari guru besar dan instrumen Depression, Anxiety and Stress Scale 21 item (DASS-21) digunakan untuk mengukur tahap kesihatan mental guru di sekolah. Skala pengukuran yang bersesuaian dan tepat akan menjawab persoalan kajian dan mencapai objektif dan tujuan kajian. Pengkaji telah menggunakan skala Likert lima mata di dalam instrumen ini kerana mudah ditadbir dan difahami oleh para responden.

Di samping itu, satu kajian rintis telah dijalankan di dua buah sekolah rendah yang berada di dalam negeri Selangor. Data-data yang diperolehi dianalisis bagi menentukan setiap item mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi. Data ujian rintis akan menentukan sama ada item- item dikekalkan atau dimansuhkan dengan menggunakan Kaedah Cronbrach. Item yang memiliki kurang daripada 0.65 nilai cronbrach alfa (α) akan digugurkan kerana mempunyai kebolehpercayaan yang rendah. Kemudian, analisis deskriptif dan juga analisis inferensi diaplikasikan di dalam kajian ini. Data yang berkaitan dengan min, mod, median dan sisihan piawai yang terdapat di dalam kajian ini akan dianalisis dengan menggunakan analisis deskriptif. Dalam kajian ini, analisis deskriptif menghuraikan tentang kepimpinan lestari guru besar dan juga kesihatan mental guru di sekolah. Analisis inferensi pula digunakan untuk menghuraikan perhubungan di antara kedua-dua pemboleh ubah ini dengan menggunakan Ujian Korelasi Pearson. Tujuan ujian korelasi ini dilakukan adalah untuk melihat kewujudan perhubungan antara kedua-dua pemboleh ubah ini. Ujian Korelasi Pearson ini juga diguna pakai untuk menilai kekuatan korelasi bagi mengenal pasti hubungan yang signifikan di antara tahap kepimpinan lestari guru besar dengan tahap kesihatan mental guru di sekolah.

4. Dapatan Kajian

4.1 Tahap Kepimpinan Lestari Guru Besar

Jadual 4.1 menunjukkan skor tahap kepimpinan lestari guru besar. Berdasarkan Jadual 4.1, dapatan kajian menunjukkan bahawa kesemua elemen kepimpinan lestari guru besar berada pada tahap yang tinggi dengan min skor keseluruhan, M=4.30 dan sisihan piawai, SP=.49.

Elemen membudayakan pembelajaran di sekolah merupakan min skor tertinggi dengan nilai M=4.51 dan SP=.45.

(6)

Jadual 4.1: Tahap Kepimpinan Lestari Guru Besar

Elemen Min SP Tahap

Membudayakan pembelajaran di sekolah 4.51 .45 Tinggi

Mewujudkan pemimpin pelapis 4.46 .44 Tinggi

Mengagihkan kepimpinan di sekolah 4.05 .50 Tinggi Meningkatkan kapasiti sekolah 4.23 .57 Tinggi

Mengoptimumkan sumber aset 4.35 .44 Tinggi

Matlamat jangka panjang 4.17 .55 Tinggi

Perkongsian faedah 4.36 .47 Tinggi

Jumlah skor 4.30 .49 Tinggi

4.2 Tahap Kesihatan Mental Guru

Jadual 4.2 menunjukkan skor bagi tahap kesihatan mental guru. Berdasarkan Jadual 4.2, dapatan kajian menunjukkan bahawa kesemua kategori kesihatan mental guru berada pada tahap yang rendah dengan min skor keseluruhan, M=1.43 dan sisihan piawai, SP=1.54. Jadual 4.2 menunjukkan skor tahap kesihatan mental guru.

Jadual 4.2: Tahap Kesihatan Mental Guru

4.3 HubunganAntara Tahap Kepimpinan Lestari Guru Besar Dengan Tahap Kesihatan Mental Guru.

Kekuatan hubungan antara pemboleh ubah diinterpretasikan berdasarkan kepada nilai pekali, r berpandukan kepada tafsiran korelasi oleh Niel J. Salkind (2007) seperti di dalam Jadual 4.3.1

Jadual 4.3.1: Aras kekuatan nilai pekali korelasi Aras Kekuatan Nilai Pekali Korelasi

Saiz Pekali Pearson r Kekuatan Korelasi

.8 hingga 1.0. Sangat kuat

.6 hingga .8 Kuat

.4 hingga .6 Sederhana

.2 hingga .4 Lemah

.0 hingga .2 Lemah hingga tiada korelasi Sumber: Diadaptasi daripada Niel J. Salkind (2007)

Berdasarkan Niel J. Salkind (2007), data di dalam jadual 4.3.2 menunjukkan bahawa terdapatnya hubungan antara tahap kepimpinan lestari guru besar dengan tahap kesihatan mental guru di sekolah (r = 0.293, p < 0.05). Dengan itu, Ho4 berjaya ditolak.

Jadual 4.3.2: Hubungan Antara Tahap Kepimpinan Lestari Guru Besar Dengan Tahap Kesihatan Mental Guru

Kategori Min Sd Tahap

Stres 1.92 1.69 Rendah

Kemurungan 1.20 1.56 Rendah

Kebimbangan 1.18 1.37 Rendah

Jumlah Skor 1.43 1.54 Rendah

Elemen Kesihatan Mental Guru

r Sig. Tahap

Kepimpinan Lestari Guru

Besar .293** .000

Rendah

(7)

5. Perbincangan dan Kesimpulan

5.1 Tahap kepimpinan lestari yang diamalkan oleh guru besar di sekolah.

Dapatan yang diperolehi menunjukkan bahawa tahap kepimpinan lestari yang diamalkan oleh guru besar di sekolah adalah tinggi. Ketujuh-tujuh elemen menunjukkan bahawa tahap kepimpinan lestari guru besar berada pada tahap yang tinggi. Ini membuktikan bahawa guru besar telah mengamalkan kepimpinan lestari ini dengan baik sepanjang menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ketua di sekolah. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa guru besar berjaya memahami pendekatan kaedah yang digariskan di dalam kepimpinan lestari bagi memastikan warga sekolah berada dalam keadaan harmoni dan sejahtera. Hal ini bertepatan dengan kajian daripada Habib Ismail dan Zaimah Ramli (2012) yang membuktikan bahawa kepimpinan lestari telah membawa kepada perubahan positif terhadap tahap keberkesanan sekolah sekaligus berjaya meningkatkan tahap prestasi kerja guru di sekolah.

5.2 Tahap kesihatan mental guru di sekolah.

Dapatan menunjukkan bahawa tahap kesihatan mental guru di sekolah berada pada tahap yang rendah. Ini membuktikan bahawa guru-guru di sekolah tidak mengalami masalah mental yang melibatkan stres, kemurungan dan juga kebimbangan. Dapatan juga menunjukkan bahawa tahap kesihatan mental guru di sekolah berada dalam keadaan yang baik dan sejahtera. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan merujuk kepada sesuatu keadaan dimana berlakunya kesempurnaan dari segi fizikal, mental dan juga sosial. Selain itu, melalui kajian Md. Safian Mohd Tajuddin (2007), kesihatan ini bukanlah merujuk kepada penyakit sahaja, tetapi ianya juga membawa maksud sesuatu keadaan dimana membawa konsep bahawa seseorang itu berada dalam keadaan yang baik dari segi mental, emosi, rohani, jasmani dan sosial. Namun begitu, sekiranya permasalahan yang berlaku melibatkan aspek fizikal, mental dan sosial tidak ditanggani dengan efektif, maka tahap kesempurnaan dan kesejahteraan tersebut tidak dapat dicapai oleh individu tersebut.

Hal ini bertepatan dengan kajian daripada Siti Aisyah Panatik dan Siti Khadijah Zainal Badri (2012) yang mengkaji mengenai isu konflik kerja-keluarga, kesihatan mental dan kecenderungan tukar ganti kerja yang mempu memberi kesan terhadap kesihatan mental guru di Malaysia. Kemudian, hasil kajian menunjukkan bahawa konflik kerja-keluarga didapati memberi kesan negatif yang sangat tinggi terhadap tahap kesihatan mental dan kecenderungan untuk berhenti kerja. Konflik yang berlaku antara guru dengan majikan dan juga rakan sekerja memberi kesan yang negatif dan seterusnya telah menyebabkan berlakunya penurunan terhadap tahap kesihatan mental dalam kalangan guru di sekolah.

5.3 Dimensi kepimpinan lestari yang paling kerap diamalkan oleh guru besar di sekolah.

Hasil dapatan menunjukkan bahawa dimensi kepimpinan lestari yang paling kerap diamalkan oleh guru besar di sekolah adalah elemen membudayakan pembelajaran di sekolah. Sikap guru besar yang menitikberatkan pembudayaan ilmu pengetahuan di sekolah akan meningkatkan tahap prestasi akademik di sekolah. Guru besar di sekolah merupakan tunjang kepada pentadbiran sekolah. Berdasarkan kepada prinsip ini, guru besar berperanan untuk memberi sokongan kepada pembelajaran yang berterusan di sekolah. Bagi melestarikan pembudayaan pembelajaran di sekolah, guru besar juga haruslah memastikan setiap guru dapat menguasai ilmu dan juga berkemahiran untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc). Penyediaan dari segi latihan, kursus dan juga seminar-seminar yang berkaitan dengan pedagogi pengajaran membolehkan para guru di sekolah meningkatkan tahap profesionalisme mereka di dalam bidang perguruan.

(8)

5.4 Hubungan antara tahap kepimpinan lestari dengan tahap kesihatan mental guru di sekolah.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang rendah antara tahap kepimpinan lestari guru besar dengan tahap kesihatan mental guru di sekolah. Oleh kerana terdapatnya hubungan antara tahap kepimpinan lestari guru besar dengan tahap kesihatan mental guru di sekolah, maka Ho4 berjaya ditolak. Hal ini kerana kesemua elemen kepimpinan lestari guru besar berada pada skor yang tinggi dan kesihatan mental guru pula berada pada skor yang rendah. Justeru, dapatan membuktikan bahawa jika guru besar berjaya mengamalkan kepimpinan lestari dengan baik, maka tahap kesihatan mental guru akan berada dalam keadaan yang baik dan sejahtera. Ini bermakna, para guru di sekolah bebas daripada permasalahan kesihatan mental seperti stres, kemurungan dan kebimbangan. Sikap proaktif dan juga keberkesanan guru besar dalam mengamalkan gaya kepimpinan yang tepat mampu melahirkan sebuah komuniti yang hamonis di dalam sesebuah organisasi sekolah (Abdul Jawi dan rakan, 2012).

Rujukan

Abdul Jawi, Mohd Yusof & Usang. (2012). Implikasi Kepimpinan Pengetua, Kepuasan Kerja Guru dan Pengajaran Guru Terhadap Pembelajaran Pelajar. Seminar Nasional Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan Kali Ke 19 (SN19).

Azlin Norhaini Mansor. (2006). Amalan Bidang Pengetua: Satu Kajian Kes. Tesis Ijazah Doktor Falsafah. Jabatan Asas Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Habib Ismail & Zaimah Ramli. (2012). Amalan Kepimpinan Transformasi Pengetua dan Hubungannya Dengan Kepuasan Kerja Guru. Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke VII (PERKEM VII): Transformasi Ekonomi Dan Sosial Ke Arah Negara Maju 2: 1471–1478.

Hargreaves, A & Fink, D. (2003). The Seven Principles of Sustainable Leadership.

Herbert, S. (2006). Citizens, Cops, and Power: Recognizing the Limits of Community. Chicago:

University of Chicago Press

Ibrahim Ahmad Bajunid. (2000). Looking At the Practices of Educational Management and Administration. Institut Aminuddin Baki.

Jarvis, M. (2002).Teacher stress: A Critical Review of Recent Findings and Suggestions for Future Research Directions.

Khairun Najjat Hussnani & Rabiatul-Adawiah Ahmad Rashid. (2016). Hubungan Antara Kepimpinan Lestari Dengan Prestasi Kerja Guru Sekolah Rendah Yang Menerima Bai’ah. Journal of Human Development and Communication 5: 87-102.

Krejcie, R. V & Morgan, D. W. (1970). Determining Sample Size for Research Activities.

Educational and Psychological Measurement 30: 607-610.

Md. Safian Mohd Tajuddin. (2007). Kesan Aspek Kesihatan Terhadap Produktiviti Kerja Dalam Kalangan Pensyarah Maktab Perguruan. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Mohd. Majid Konting. (1998). Kaedah Penyelidikan Pendidikan (Edisi Kedua). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Zahiruddin & Sivasubramaniam, V. (2019). Depression, Anxiety, and Stress Among Secondary School Teachers In Klang, Malaysia. International Medical Journal (1994) 26: 71-74.

Raziah Mansor. (2009). Hubungan Gaya Kepimpinan Guru Besar Dengan Kepuasan Kerja Guru Di Tiga Buah Sekolah Rendah Di Seremban. Seminar Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pkpgb 2009.

(9)

Roslizam Hassan & Yusof Boon. (2012). Gaya dan Ciri Kepimpinan Guru Besar Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Di Negeri Johor. Masters Thesis, Universiti Teknologi Malaysia.

Siti Aisyah Panatik & Siti Khadijah Zainal Badri. (2012). Konflik Kerja-Keluarga, Kesihatan Mental dan Kecenderungan Tukar Ganti Kerja Dalam Kalangan Guru. Jurnal Teknologi: 1-6.

Siti Nur Ain Rembli, Norazlina Ripain & Marhaini Abdul Ghani. (2020). Tekanan Pekerjaan Dan Kesihatan Mental Guru. Proceeding of the 7th International Conference on Management and Muamalah 2020: 1-8.

Supian Hashim & Khadijah Daud. (2014). Amalan Kepimpinan Lestari Dan Hubungannya Dengan Prestasi Kerja Guru Sekolah Rendah Yang Menerima Tawaran Baru Di Daerah Segamat. Sains Humanika 2(4): 197–208.

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN

Berdasarkan dapatan kajian, tahap amalan kepimpinan lestari guru besar sekolah amanah di daerah Jeli adalah tinggi di mana dimensi penerapan budaya perkongsian pembelajaran dalam

Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti hubungan antara amalan kepimpinan transformasional guru besar dengan kepuasan kerja guru sekolah transformasi 25 di daerah

Kegagalan dalam mengatasi tekanan yang di alami akan memberi impak kepada kesihatan guru dari segi fizikal mahupun mental serta memberi kesan terhadap interaksi antara

Dapatan seperti dalam Jadual 5 menunjukkan Ujian Korelasi Pearson yang dijalankan dalam menentukan hubungan tahap amalan kepimpinan lestari guru besar dan tahap kepuasan kerja guru

Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji hubungan antara gaya kepimpinan transformasi pentadbir dengan komitmen guru di Sekolah Rendah Islam (SERI) Zon Tengah,

Kajian ini mendapati hubungan positif yang signifikan pada tahap tinggi antara amalan kepimpinan distributif pengetua dengan kepimpinan guru di sekolah

Jadual 4.12 di atas menujukkan hasil data analisis regresi iaitu nilai R-square adalah 0.140 atau bersamaan dengan 14% dalam analisis regresi yang

Dapatan kajian mendapati tahap tingkah laku kepimpinan guru besar, beban kerja guru dan prestasi kerja guru di daerah Sarikei adalah sederhana manakala analisis