• Tiada Hasil Ditemukan

View of Hubungan Antara Tahap Kebolehan Pengajaran Dengan Pengalaman Mengajar Guru Bahasa Melayu Dalam Mengaplikasikan Pedagogi Responsif Budaya

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "View of Hubungan Antara Tahap Kebolehan Pengajaran Dengan Pengalaman Mengajar Guru Bahasa Melayu Dalam Mengaplikasikan Pedagogi Responsif Budaya"

Copied!
16
0
0

Tekspenuh

(1)

Hubungan Antara Tahap Kebolehan Pengajaran Dengan Pengalaman Mengajar Guru Bahasa Melayu Dalam

Mengaplikasikan Pedagogi Responsif Budaya

(The Relationship Between Teaching Ability Level and Teaching Experience for Malay Teacher in Applying Culturally Responsive

Pedagogy)

Lisa Wong Siao Ching1*, Nurfaradilla Mohamad Nasri1

1 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Malaysia

*Pengarang Koresponden: P98972@siswa.ukm.edu.my

Accepted: 15 July 2021 | Published: 1 August 2021

_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Kajian ini bertujuan untuk meninjau hubungan antara tahap kebolehan pengajaran dengan pengalaman mengajar guru Bahasa Melayu terhadap pengaplikasian pedagogi responsif budaya. Seramai 84 orang guru Bahasa Melayu yang mengajar di 24 buah sekolah rendah di negeri Selangor telah dipilih sebagai sampel kajian. Kajian ini berbentuk tinjauan dengan menggunakan borang soal selidik. Analisis deksriptif digunakan untuk memperoleh peratusan, kekerapan, min dan sisihan piawai bagi tahap kebolehan pengajaran dan juga pengalaman mengajar guru. Hasil daripada analisis deskriptif menunjukkan bahawa majoriti guru mempunyai pengalaman mengajar di antara 11 hingga 15 tahun. Dapatan kajian juga menunjukkan guru-guru Bahasa Melayu mempunyai tahap kebolehan pengajaran yang tinggi untuk mengaplikasikan pedagogi responsif budaya. Analisis inferensi pekali korelasi Pearson menunjukkan bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tahap kebolehan pengajaran dengan pengalaman mengajar guru Bahasa Melayu bagi mengaplikasikan pedagogi responsif budaya. Ini bermakna pengalaman mengajar guru tidak mempengaruhi pendekatan dan kaedah pengajaran yang digunakan dalam bilik darjah. Namun begitu, kursus-kursus yang berkaitan dengan pendekatan pengajaran haruslah dilaksanakan bagi memperkukuh kefahaman guru-guru terhadap pendekatan pengajaran terkini.

Kata kunci: tahap kebolehan pengajaran, pedagogi responsif budaya, pengalaman mengajar

Abstract: This study aims to investigate the relationship between teaching ability level and Malay Language teacher’s teaching experience towards the implementation of culturally responsive pedagogy. A total of 84 teachers who teach Malay Language in 24 primary schools in Selangor state have been selected for this study. The survey design was selected by using questionnaire. Descriptive analysis was used to obtain the percentage, frequency, mean and standard deviation for the teaching ability level as well as the teaching experience of teachers.

The results of the descriptive analysis showed that majority of teachers had between 11 to 15 years of teaching experience. The results showed the Malay Language teachers have a high level of ability to apply culturally responsive pedagogy. Pearson correlation test showed that there was no significant relationship between the teaching ability level and Malay Language teacher’s teaching experience towards the implementation of culturally responsive pedagogy.

This means that teaching experience does not influence the teaching approaches and methods used in the classroom. However, courses related to teaching approaches should be implemented to strengthen teachers' understanding of latest teaching approaches.

(2)

Keywords: teaching ability level, culturally responsive pedagogy, teaching experience _________________________________________________________________________

1. Pengenalan

Negara Malaysia mengandungi berbilang bangsa, budaya dan agama. Kepelbagaian budaya dalam kalangan rakyat merupakan suatu cabaran untuk sebuah negara bagi mengekalkan kemakmuran sesama rakyat. Bilik darjah sekolah di Malaysia dicirikan oleh kepelbagaian pelajar masing-masing, di mana pelajar berasal dari latar belakang pelbagai budaya seperti etnik Cina, India, Melayu. Pelajar yang berlainan budaya dan latar belakang telah mendorong kepada penguasaan pengetahuan serta pengalaman seharian yang berbeza sesama sendiri.

Dalam situasi sebegini, ia telah memberi cabaran kepada guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu di sekolah rendah kebangsaan yang terdiri daripada golongan pelajar yang kepelbagaian budaya.

Menurut Muhammad Zakwan, Nasri & Mohamad Asyraf (2020), situasi kepelbagaian pelajar jelas diperlihat di sekolah kebangsaan. Namun begitu, pada masa kini semakin banyak pelajar Melayu menerima pendidikan di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina. Keadaan ini dapat dilihat berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang melaporkan bahawa terdapat 9 peratus pelajar Melayu menuntut pendidikan di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina. Peningkatan peratusan pelajar Melayu di sekolah rendah jenis kebangsaan telah membuktikan bahawa kepelbagaian pelajar di sekolah memerlukan guru mengamalkan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran bagi membolehkan pelajar kepelbagaian budaya dapat menghayati budaya pelajar lain yang wujud dalam kelas.

Kajian ini membincangkan hubungan tahap kebolehan pengajaran dan pengalaman mengajar guru Bahasa Melayu dalam mengaplikasikan pedagogi responsif budaya semasa pengajaran.

Pedagogi guru amat berkait rapat dengan tahap kebolehan pengajaran dan pengalaman mengajar kerana ia membawa kepada keberkesanan pedagogi yang digunakan dalam bilik darjah yang mengandungi kepelbagaian budaya pelajar. Tambahan pula, tahap kebolehan pengajaran dan pengalaman mengajar guru membantu guru menggunakan pendekatan pengajaran yang bersesuaian dengan persekitaran pembelajaran pelajar.

Guru yang profesional sepatutnya sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengajaran (Anuar & Nelson, 2015). Tahap keupayaan guru dalam menggunakan pendekatan pengajaran yang sesuai dengan pelajar dapat menentukan keberkesanan pengajaran. Tahap kebolehan yang tinggi bagi guru dalam pengajaran bermakna guru dapat menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki serta mempunyai sikap yang positif dalam melaksanakan pendekatan pengajaran. Menurut Zaiha (2014), teknik pedagogi dan tahap pengetahuan pedagogi guru akan mempengaruhi keberkesanan pengajaran. Kajian yang berkaitan tahap kebolehan pengajaran guru dengan pendekatan pengajaran telah dijalankan oleh pengkaji-pengkaji seperti Sapie, Mohamad Faud & Mohd Kamal (2014), Shamsiah &

Azman (2015), Hasnah & Jamaludin (2017), Muhd Zulhilmi & Mohd Muslim (2020) dan Fazida & Nasri (2017). Dapatan yang diperoleh daripada kajian Sapie, Mohamad Faud & Mohd Kamal (2014) telah menunjukkan bahawa guru mempunyai tahap pelaksanaan pendekatan yang baik dan berupaya menggunakan pendekatan yang sesuai dengan hasil pembelajaran.

Selain tahap kebolehan melaksanakan pendekatan dikatakan penting dalam pengajaran, pengalaman guru juga mempunyai pengaruh dalam menghasilkan pengajaran yang berkesan.

(3)

Efikasi guru dalam pengajaran juga dipengaruhi oleh pengalaman mengajar guru. Efikasi yang tinggi bagi guru berpengalaman dalam melaksanakan strategi pengajaran (Shaukat, 2019;

Noorleha & Lilia, 2011; Norsimah & Mohd Mahadzir, 2020). Kajian Roslan (2014) menunjukkan bahawa guru yang kurang pengalaman sukar mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran disebabkan kekurangan kemahiran mengajar yang dimiliki oleh guru. Ini juga disokong oleh pengkaji Chia (2015) yang menyatakan bahawa amalan pengajaran efektif guru berkait rapat dengan pengalaman mengajar mereka. Terdapat juga kajian yang membuktikan bahawa guru berpengalaman dapat melibatkan pendekatan dan kaedah pengajaran yang berkesan dalam pengajaran (Mohd Salihin et al., 2017; Syed Kamaruzaman et al., 2018).

Namun begitu, kajian Nor Hadibah et al. (2020) mendapati amalan pengajaran guru Bahasa Melayu tidak dipengaruhi secara keseluruhan oleh pengalaman guru.

Kajian mengenai pengalaman terhadap kesediaan guru dalam melaksanakan pedagogi responsif budaya juga ditemui dalam kajian lepas. Kajian Olson & Rao (2016) telah meneroka perspektif guru tentang pengalaman klinikal mempengaruhi kesediaan guru menjadi pendidik yang responsif budaya. Manakala, didapati bahawa pedagogi responsif budaya kurang diamalkan oleh guru dalam pengajaran (Muhammad Zakwan, Nasri & Mohamad Asyraf, 2020). Kajian Yasmin & Najeemah (2016) juga membuktikan bahawa guru-guru kurang mempraktikkan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran. Kajian berkenaan dengan pedagogi responsif budaya banyak ditemui dalam mata pelajaran Pendidikan Seni dan Matematik. Penerapan pedagogi responsif budaya oleh guru dalam pengajaran Matematik telah dikaji bagi melihat kesan intervensi terhadap pencapaian Matematik pelajar (Gamlem et al., 2019).

Selain itu, kajian mengenai pedagogi responsif budaya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu masih terhad. Oleh sebab masih terdapat jurang mengenai kajian pedagogi responsif budaya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, jadi pengkaji meneroka kajian mengenai kebolehan guru Bahasa Melayu mengaplikasikan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran. Bukan itu sahaja, kajian ini telah menggunakan unit analisis berbentuk kumpulan iaitu guru yang mengajar Bahasa Melayu. Para guru Bahasa Melayu yang dikaji lebih tertumpu bagi sekolah rendah. Dalam konteks kajian ini, pedagogi responsif budaya merupakan pedagogi yang menegaskan ekuiti dan inklusif di mana mengesahkan modal budaya pelajar dalam pembelajaran seharian mereka (Arvanitis, 2018). Menurut Pledger (2018), pedagogi responsif budaya dikenali sebagai pendekatan yang berpusatkan pelajar yang meliputi identiti budaya pelajar di dalam bilik darjah untuk memacu reka bentuk kurikulum, amalan pengajaran dan juga struktur bilik darjah.

Kajian ini memberi fokus kepada tahap kebolehan guru Bahasa Melayu dalam mengaplikasikan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran. Pengalaman guru dikaji untuk memperlihat sama ada terdapat hubungan dengan tahap kebolehan pengajaran guru Bahasa Melayu dalam mengaplikasikan pedagogi responsif budaya. Kajian ini memberi gambaran yang jelas kepada guru Bahasa Melayu terhadap pengaplikasian pedagogi responsif budaya dalam kalangan pelajar yang kepelbagaian budaya. Melalui kajian ini, maklumat yang jelas berkenaan dengan tahap kebolehan pengajaran guru Bahasa Melayu dapat disampaikan kepada pengkaji yang lain. Secara ringkasnya, guru-guru Bahasa Melayu dapat memahami kepentingan penerapan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran dan kesan positif yang membawa kepada pelajar daripada latar belakang yang berbeza.

(4)

2. Ulasan Kajian Lepas

Penggunaan strategi dan pendekatan pengajaran yang pelbagai dalam kalangan guru amat penting untuk membawa kesan terhadap pembelajaran pelajar. Walaubagaimanapun, kebolehan guru dalam mengaplikasikan pendekatan yang sesuai dengan kepelbagaian pelajar telah menimbulkan banyak isu. Menurut Abdul Hakim (2006) dalam kajian Zaimah & Sazuani (2017) telah menjelaskan bahawa kebolehan boleh difahami sebagai potensi yang terdapat dalam diri seseorang di mana potensi tersebut akan membawa kesan pada objektif yang ingin dicapai. Kebolehan guru merangkumi pengetahuan kandungan, pengetahuan kandungan pedagogi, dan pengetahuan kurikulum. Pengetahuan yang dikatakan dalam kajian ini meliputi pengetahuan bagi subjek mengajar, konsep, ciri-ciri, kepentingan tentang pedagogi responsif budaya. Menurut Coe (2017), pengajaran yang berkualiti bergantung pada pengetahuan yang dimiliki oleh guru dan juga instruksi berkualiti yang disampaikan oleh guru. Pernyataan ini juga dapat disokong oleh pengkaji Nur Ilda & Aliza (2020) yang menyatakan bahawa pelaksanaan teknik dan model pengajaran memerlukan pengetahuan guru dalam bidang yang diajar.

Menurut Nur Hawa & Ghazali (2018) pula, kebolehan guru bermakna kesanggupan guru untuk melaksanakan kewajipan yang merangkumi aspek-aspek seperti kemahiran, pengetahuan, minat dan sikap. Tingkah laku yang profesional juga merupakan aspek yang penting bagi menghasilkan guru yang berkemampuan (Coe, 2017). Seseorang guru yang berkebolehan dapat menyelesaikan masalah dan mencapai objektif dalam pengajaran. Kemampuan dan kredibiliti seseorang dapat ditingkatkan melalui proses pembentukan keupayaan seseorang (Ma’arof et al., 2012). Menurut Kauchak & Enggan (1989) dalam Abdul Rahim et al. (2006), telah menyatakan bahawa luas kemahiran dan pengetahuan bagi seseorang guru terhadap subjek dapat menghasilkan pengajaran yang berkesan. Keberkesanan pengajaran di dalam bilik darjah dapat diwujudkan melalui penggunaan bahan bantu mengajar oleh guru (Fadilla & Zamri, 2019).

Pengalaman mengajar dikenali sebagai jumlah tahun seseorang guru mengajar atau berkhidmat di sekolah (Chia, 2015). Menurut Nur Fatahiyah & Siti (2020), pengalaman mengajar boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu guru dianggap kurang berpengalaman sekiranya mengajar lima tahun ke bawah dan guru yang dianggap berpengalaman adalah guru mempunyai pengalaman mengajar lima tahun ke atas. Menurut Donkoh (2017), guru yang berpengalaman mempunyai tahap pemahaman yang tinggi terhadap kandungan yang diajar, memahami tingkah laku dan sikap pelajar. Mengikut kajian Donkoh (2017), guru yang berpengalaman telah memperoleh latihan tambahan dan melalui pengalaman langsung tersebut, guru juga memperoleh pengetahuan tambahan berkenaan kandungan subjek yang diperlukan dalam melaksanakan tanggungjawab profesional mereka.

Pedagogi responsif budaya dikatakan sebagai suatu pendekatan yang berupaya mengatasi cabaran dalam mendidik golongan murid yang kepelbagaian budaya kerana ia dapat memfokuskan pendidik terhadap variasi dalam pengamalan budaya bagi setiap kumpulan etnik (Ahmad dan Yusof, 2015). Pedagogi responsif budaya merupakan suatu pengajaran yang efektif dalam mengurangkan jurang prestasi pencapaian dan mempromosi identiti etnik yang positif untuk pelbagai kaum (Dickson, Chun & Fermandez, 2015). Satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menghubungkan pengalaman kehidupan, pengetahuan budaya, gaya persembahan yang berlainan mengikut perbezaaan etnik murid. Pendekatan ini menekankan pembelajaran berpusatkan murid dan memahami kepentingan budaya murid dalam proses pembelajaran. Pendekatan pedagogi responsif budaya merupakan pedagogi yang dapat

(5)

menyedari perbezaan pelajar, mengesahkan budaya pelajar dan menegaskan bahawa amalan pengajaran yang kesesuaian dapat meningkatkan kejayaan pelajar di sekolah (Ragoonaden, 2017).

Kajian Hsiao (2015) telah menerangkan faktor dan aspek kompetensi guru terhadap pelaksanaan pedagogi responsif budaya dalam melihat tahap keupayaan guru terhadap pelajar yang kepelbagaian budaya. Guru yang berkebolehan dalam mengaplikasikan pedagogi reponsif budaya bermakna mereka mampu menggunakan pengalaman, pengetahuan budaya dan pengetahuan sedia ada pelajar dalam pengajaran. Selain itu, guru perlulah menyediakan dan membina persekitaran bilik darjah yang sesuai dengan budaya pelajar semasa mengaplikasikan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran. Di samping itu, kepelbagaian pelajar di dalam bilik darjah memerlukan guru menggunakan pedagogi responsif budaya untuk menyampaikan kandungan pengajaran kepada para pelajar. Keperluan dan kesediaan pembelajaran bagi pelajar daripada kepelbagaian budaya memerlukan guru mengamalkan pedagogi yang bersesuaian dan berkesan (Tengku Nor Rizan, Nooreiny & Manisah, 2014).

Pengaplikasian pedagogi responsif budaya membolehkan guru menyediakan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan oleh pelajar dalam proses pembelajaran. Selain itu, pelaksanaan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran juga membantu guru untuk menilai perkembangan pelajar dan arahan yang disampaikan kepada pelajar juga lebih berkesan (Saraswathy & Nasri, 2019). Kesesuaian tajuk pembelajaran dengan budaya pelajar akan mendorong pelajar untuk terlibat dalam pembelajaran. Guru-guru lebih mengenali dan memahami perbezaan pelajar yang kepelbagaian budaya di samping meningkatkan pencapaian pelajar melalui pelaksanaan pedagogi responsif budaya (Melchior, 2011). Guru yang mengaplikasikan pedagogi responsif budaya juga berupaya membentuk pengetahuan asas tentang kepelbagaian budaya pelajar dengan berkesan di mana pelajar mampu menguasai subjek pengetahuan dengan mudah.

Menurut Yasmin (2014), aspek kompetensi kepelbagaian budaya iaitu pengetahuan, kemahiran, sikap dan kesedaran terhadap kepelbagaian budaya berdasarkan jantina dan etnik guru telah menunjukkan perbezaan yang signifikan. Sikap guru terhadap pelajar akan mempengaruhi pengalaman pembelajaran dan pencapaian akademik pelajar (Koyama, Plash &

Davis, 2011). Hal ini dikatakan sedemikian kerana perhubungan antara guru dengan pelajar akan dipengaruhi oleh sikap guru terhadap pelajar. Guru yang responsif budaya dapat menunjukkan keprihatinan dan membina perhubungan dengan pelajar kepelbagaian budaya.

Menurut Olson & Rao (2016), guru yang berhubung dengan budaya dan komuniti pelajar akan memberi kesan kepada kesediaan guru menjadi pendidik yang responsif budaya. Jadi, guru yang responsif budaya berupaya komunikasi dengan pelajar yang pelbagai etnik dengan berkesan.

Pengalaman mengajar guru akan membawa kesan kepada hasil pembelajaran pelajar (Podolsky, Kini & Hammond, 2019). Menurut Podolsky, Kini & Hammond (2019), guru yang berpengalaman mampu meningkatkan pembelajaran pelajar dan menunjukkan keberkesanan pengajaran dalam bidang profesion perguruan. Menurut Yasmin (2014), guru telah menunjukkan tahap sensitiviti dan kompetensi kepelbagaian budaya yang sederhana. Kajian Yasmin (2014) juga menyatakan bahawa pengalaman guru yang kurang terhadap kepelbagaian budaya merupakan suatu cabaran bagi guru dalam bilik darjah yang mengandungi pelajar kepelbagaian budaya. Pernyataan ini juga disokong oleh kajian Siti Zuraida et al. (2016) yang melaporkan tahap kesedaran guru mengikut pengalaman dalam mengaplikasikan pedagogi responsif budaya dalam Pendidikan Seni masih berada pada tahap yang kurang memuaskan.

(6)

Pengalaman klinikal akan mempengaruhi kesediaan guru menjadi pendidik yang responsif budaya (Olson & Rao, 2016).

Kajian yang berkait dengan pedagogi responsif budaya telah banyak dijalankan untuk mengkaji pedagogi ini dengan pencapaian murid dan juga mengkaji tentang kesedaran dan keberkesanan guru terhadap penggunaan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran. Menurut John &

Nasri (2019), guru perlu memahami dan melengkapkan diri dengan ciri-ciri pedagogi responsif budaya agar dapat menghasilkan pengajaran yang berkesan. Menurut Noriati et.al. (2014), ramai pendidik berpendapat bahawa dengan penggunaan pedagogi responsif budaya, kecemerlangan akademik pelajar terjamin kerana pengalaman dan budaya pelajar akan disepadukan dengan proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Guru kurang berupaya mengaplikasikan pedagogi responsif budaya disebabkan oleh pengetahuan yang terhad terhadap pedagogi responsif budaya (Muhammad Zakwan, Nasri & Mohamad Asraf, 2020).

Menurut dapatan kajian Muhammad Zakwan, Nasri & Mohamad Asraf (2020), amalan pedagogi responsif budaya masih kurang diamalkan oleh guru dalam pengajaran.

Kajian berkaitan dengan kompetensi kepelbagaian budaya dalam kalangan guru yang dijalankan oleh pengkaji Yasmin (2014) telah menunjukkan tahap yang sederhana. Kajian Kayatri & Nasri (2019) juga menyatakan guru kurang pengalaman mengajar dalam pelaksanaan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran. Menurut Saraswathy & Nasri (2019), kajian terhadap pembelajaran Bahasa Melayu dengan menggunakan pedagogi responsif budaya masih kurang. Oleh itu, jelaslah bahawa kajian yang mengenai hubungan tahap kebolehan pengajaran dengan pengalaman mengajar guru Bahasa Melayu harus dijalankan untuk dijadikan panduan kepada pembentukan guru yang lebih responsif budaya.

3. Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah untuk

i. Mengenal pasti pengalaman mengajar guru Bahasa Melayu terhadap pengaplikasian pedagogi responsif budaya dalam pengajaran.

ii. Mengenal pasti tahap kebolehan pengajaran guru Bahasa Melayu dalam mengaplikasikan pedagogi responsif budaya.

iii. Mengenal pasti hubungan antara tahap kebolehan pengajaran dengan pengalaman mengajar guru Bahasa Melayu dalam mengaplikasikan pedagogi responsif budaya.

4. Metodologi Kajian

Kajian ini menggunakan kajian tinjauan yang berbentuk penyelidikan kuantitatif. Pendekatan kuantitatif bagi kajian ini telah merangkumi analisis statistik deskriptif dan inferensi bagi mendapatkan keputusan mengenai objektif kajian yang ditetapkan. Kajian korelasi digunakan untuk mengkaji tahap kebolehan pengajaran dan pengalaman mengajar guru Bahasa Melayu dalam pengaplikasian pedagogi responsif budaya. Kajian ini telah dijalankan di sekolah rendah negeri Selangor. Fokus kajian di negeri Selangor kerana negeri Selangor mempunyai sekolah rendah yang terbanyak di Semenanjung. Kajian ini melibatkan sebanyak 24 buah sekolah rendah yang dipilih secara rawak tetapi memenuhi kriteria-kriteria kajian seperti sekolah jenis kebangsaan, mempunyai guru yang ramai supaya dapat memenuhi jumlah populasi yang dikehendaki serta lokasi sekolah di daerah Selangor.

Populasi bagi kajian ini hanya melibatkan guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu di sekolah rendah negeri Selangor sahaja. Jumlah sampel ditentukan mengikut jadual penentuan sampel

(7)

yang dicadangkan oleh Krejcie dan Morgan (1970). Mengikut jadual penentuan sampel Krejcie dan Morgan (1970), seramai 80 hingga 86 orang sampel yang diperlukan bagi saiz populasi sebanyak 100 hingga 110. Sampel kajian yang dipilih sebenarnya mewakili keseluruhan populasi. Populasi kajian ini sebanyak 106 orang guru Bahasa Melayu yang mengajar di sekolah rendah. Seramai 84 orang guru yang mengajar Bahasa Melayu di sekolah rendah telah dipilih menjadi sampel bagi kajian ini daripada jumlah populasi. Dalam proses pemilihan sampel kajian, kaedah persampelan kebarangkalian telah digunakan. Teknik persampelan rawak mudah telah digunakan supaya setiap individu dalam populasi mempunyai peluang untuk dipilih menjadi sampel kajian.

Instrumen yang digunakan oleh kajian ini ialah borang soal selidik bagi mengumpul maklumat data yang berkenaan dengan objektif kajian. Analisis interprestasi berdasarkan item dalam borang soal selidik diukur melalui lima skala. Skala Likert lima mata telah digunakan sebagai skala pengukuran bagi borang soal selidik. Skala ini dipilih untuk digunakan kajian ini kerana sampel kajian diberi peluang untuk membuat pilihan yang tepat dan skala ini juga mempunyai nilai kebolehpercayaan yang tinggi (Fadilla & Zamri, 2019). Instrumen ini digunakan untuk mengenal pasti tahap kebolehan guru Bahasa Melayu mengaplikasikan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran.

Borang soal selidik yang dibina mengandungi dua bahagian iaitu bahagian A dan bahagian B.

Bahagian A merupakan maklumat demografi sampel kajian manakala bahagian B meliputi aspek kemahiran mengajar, pengetahuan, bahan bantu mengajar dan sikap. Item dalam borang soal selidik dibentuk berdasarkan kajian-kajian lepas ke dalam konteks kajian ini bagi memantapkan hasil kajian. Pengkaji telah mengadaptasikan item-item yang sesuai dengan aspek yang ingin dikaji daripada instrumen yang digunakan oleh pengkaji Hsiao (2015), Khairunnisa & Anuar (2018), Almeida (2014) dan Karacabey, Ozdere & Bozkus (2019).

Bentuk item juga diubahsuaikan oleh pengkaji untuk disesuaikan dengan konteks kajian ini.

Soal selidik ini merangkumi 40 item yang mewakili pemboleh ubah kajian iaitu tahap kebolehan guru.

Kajian rintis telah dijalankan untuk menentukan kebolehpercayaan instrumen soal selidik, Kajian rintis dilakukan untuk membantu penyelidik memastikan item-item dalam soal selidik sesuai digunakan untuk mengkaji sampel kajian dan juga mudah difahami oleh sampel kajian.

Kajian rintis terhadap soal selidik telah dilaksanakan terhadap 28 orang guru Bahasa Melayu sekolah rendah di sebuah negeri utara Semenanjung Malaysia. Perisian SPSS digunakan untuk menganalisia data-data yang dikumpul daripada kajian rintis. Nilai pekali Cronbach Alpha juga dirujuk bagi menentukan indeks kebolehpercayaan item-item soal selidik yang digunakan dalam kajian ini.

Dalam kajian rintis yang telah dijalankan, didapati bahawa kebolehpercayaan bagi setiap konstruk dalam borang soal selidik ialah 0.80 hingga 0.92 dengan nilai indeks kebolehpercayaan keseluruhan konstruk ialah 0.95. Indeks kebolehpercayaan bagi nilai pekali Cronbach Alpha terhadap konstruk kemahiran mengajar ialah 0.92. Manakala, nilai pekali Cronbach Alpha bagi konstruk pengetahuan, bahan bantu mengajar dan sikap pula ialah 0.90, 0.81 dan 0.80. Berdasarkan Valette (1977), nilai pekali kebolehpercayaan paling minima iaitu 0.50 digunakan dan menjadi rujukan paling minimum untuk diterima dalam kajian. Oleh sebab nilai-nilai Alpha yang diperoleh daripada setiap konstruk melebihi 0.70 dan ini bermakna instrumen kajian ini mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi. Jadi, instrumen borang soal selidik ini diterima dan digunakan untuk menjalankan kajian.

(8)

Jadual 1: Nilai kebolehpercayaan soal selidik

Konstruk Nilai alfa

Kemahiran mengajar 0.92

Pengetahuan 0.90

Bahan bantu mengajar 0.81

Sikap 0.80

5. Dapatan Kajian

Data statistik deskriptif iaitu peratusan, taburan frekuensi, min dan sisihan piawai dalam kajian ini. Latar belakang sampel kajian yang melibatkan variable umur dan pengalaman mengajar dianalisis secara deskriptif dalam kajian ini. Taburan frekuensi dan peratusan bagi variabel akan dipaparkan secara terperinci.

Aspek demografi yang diperoleh daripada sampel kajian melalui instrumen kajian telah dianalisis. Seramai 84 orang sampel kajian yang menjawab instrumen soal selidik. Berdasarkan jadual analisis demografi di bawah seramai 25 orang lelaki dan 59 orang perempuan. Jadual berikut menunjukkan taburan kekerapan dan peratusan sampel kajian mengikut pengalaman mengajar. Boleh didapati bahawa seramai 29 orang (34.5%) yang berpengalaman mengajar di antara 11 hingga 15 tahun, manakala 21 orang (25.0%) sampel kajian yang memiliki pengalaman mengajar melebihi 16 tahun, kemudian diikuti oleh 20 orang (23.8%) yang berpengalaman mengajar di antara 1 hingga 5 tahun dan bilangan sampel kajian yang paling kurang ialah 14 orang (16.7%) yang mempunyai pengalaman mengajar di antara 6 hingga 10 tahun.

Jadual 2: Taburan kekerapan dan peratusan bagi pengalaman mengajar

Demografi Ciri Kekerapan Peratusan

Pengalaman Mengajar 1 - 5 20 23.8

6 – 10 14 16.7

11 - 15 29 34.5

> 16 21 25.0

Tahap Kebolehan Pengajaran Guru Bahasa Melayu dalam Mengaplikasikan Pedagogi Responsif Budaya

Tahap kebolehan pengajaran merangkumi aspek kemahiran mengajar, pengetahuan, bahan bantu mengajar dan sikap diterangkan dengan menggunakan nilai min dan sisihan piawai.

Skala jawapan sampel kajian dianalisis dalam bentuk nilai skor min. Nilai skor min yang diperoleh daripada setiap aspek dalam instrumen akan ditentukan dengan jadual tahap nilai skor min.

Jadual interpretasi skor min daripada Nunnaly & Bernstein (1994) telah digunakan dalam kajian ini untuk menentukan tahap kebolehan pengajaran guru Bahasa Melayu mengaplikasikan pedagogi responsif budaya. Berdasarkan kepada persoalan kajian tentang apakah tahap kebolehan pengajaran guru Bahasa Melayu dalam mengaplikasikan pedagogi responsif budaya, analisis tahap kebolehan pengajaran bagi aspek kemahiran, pengetahuan, bahan bantu mengajar dan sikap telah ditunjukkan melalui jadual di bawah.

Jadual 3: Interpretasi skor min daripada Nunnaly & Bernstein (1994)

Skor Min Interpretasi Skor Min

1.00 - 2.49 Rendah

2.50 – 3.79 Sederhana

3.80 – 5.00 Tinggi

(9)

Jadual menunjukkan tahap kebolehan pengajaran guru Bahasa Melayu terhadap pengaplikasian pedagogi responsif budaya dari aspek sikap adalah paling tinggi (M=4.11, SD=0.37).

Kemudian diikuti dengan aspek kemahiran (M=4.08, SD=0.42) dan aspek bahan bantu mengajar (M=4.06, SD=0.50). Manakala aspek pengetahuan merupakan aspek yang menunjukkan nilai min yang rendah (M=3.94, SD=0.53) antara aspek yang dikaji. Secara keseluruhannya, interpretasi skor min terhadap tahap kebolehan pengajaran guru Bahasa Melayu dalam melaksanakan pedagogi responsif budaya adalah pada tahap yang tinggi (M=

4.05, SD= 0.61).

Jadual 4: Analisis aspek tahap kebolehan pengajaran guru Bahasa Melayu

Konstruk Min Sisihan Piawai Interpretasi

Kemahiran 4.08 0.42 Tinggi

Pengetahuan 3.94 0.53 Tinggi

Bahan Bantu Mengajar 4.06 0.50 Tinggi

Sikap 4.11 0.37 Tinggi

Kebolehan 4.05 0.61 Tinggi

Analisis Korelasi antara Tahap Kebolehan Pengajaran dengan Pengalaman Mengajar Guru Bahasa Melayu dalam Mengaplikasikan Pedagogi Responsif Budaya

Analisis korelasi Pearson digunakan dalam kajian ini untuk melihat hubungan antara pembolehubah bersandar iaitu tahap kebolehan pengajaran guru Bahasa Melayu dengan pembolehubah bebas iaitu pengalaman mengajar guru Bahasa Melayu. Bagi menentukan jenis korelasi yang digunakan dalam kajian ini, ujian normaliti telah dilakukan untuk melihat sama ada data bertaburan normal ataupun tidak normal. Berdasarkan jadual, boleh didapati nilai skewness bagi aspek kemahiran = - 0.33 dan kurtosis = -1.00, manakala nilai skewness bagi aspek pengetahuan = -0.89 dan kurtosis = -0.61, kemudian nilai skewness bagi aspek bahan bantu mengajar = -0.62 dan kurtosis = -0.46 serta nilai skewness bagi aspek sikap = 1.10 dan kurtosis = -0.60. Hasil dapatan juga mendapati keempat-empat konstruk berada dalam kelompok bertaburan secara normal kerana nilai skewness dan kurtosis yang diperoleh berada dalam lingkungan (± 1.96). Oleh sebab konstruk-konstruk dalam instrumen bertaburan secara normal, jadi ujian parametrik korelasi Pearson “r” digunakan untuk melihat hubungan signifikan antara tahap kebolehan pengajaran dengan pengalaman mengajar guru Bahasa Melayu dalam mengaplikasikan pedagogi responsif budaya.

Jadual 5: Normaliti data melalui skewness dan kurtosis

Konstruk Skewness Kurtosis

Kemahiran -0.33 -1.00

Pengetahuan -0.89 -0.61

Bahan Bantu Mengajar -0.62 -0.46

Sikap 1.10 -0.60

Ho: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tahap kebolehan pengajaran dengan pengalaman mengajar

Pekali korelasi digunakan dalam kajian ini untuk mengetahui nilai kekuatan bagi perhubungan antara dua pembolehubah kajian. Interpretasi kekuatan korelasi daripada kajian Rowntree (1981) akan digunakan untuk menentukan tahap kekuatan korelasi. Aras kesignifikan yang digunakan ialah 0.05.

(10)

Jadual 6: Nilai pekali korelasi “r”

Nilai pekali korelasi “r” Kekuatan hubungan

0.90-1.00 Sangat Kuat

0.70-0.89 Kuat

0.40-0.69 Sederhana

0.20-0.39 Lemah

0.00-0.19 Sangat Lemah

Sumber: Adaptasi daripada Rowntree (1981)

Hasil dapatan menunjukkan bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tahap kebolehan pengajaran guru Bahasa Melayu daripada aspek kemahiran dengan pengalaman mengajar (r = 0.13, p = 0.25), bahan bantu mengajar dengan pengalaman mengajar (r = 0.05, p

= 0.63) dan sikap dengan pengalaman mengajar (r = -0.01, p = 0.93). Hal ini disebabkan dapatan kajian mendapati aras signifikan yang diperoleh lebih besar daripada aras yang ditetapkan (p > 0.05). Namun begitu, hasil daripada analisis korelasi dalam jadual menunjukkan bahawa terdapat satu hubungan yang signifikan positif antara aspek pengetahuan dengan pengalaman mengajar. Korelasi antara aspek pengetahuan dan pengalaman mengajar adalah menunjukkan signifikan (r = 0.23, p = 0.04).

Jadual 7: Nilai korelasi “r” mengikut konstruk

Konstruk Korelasi (r) dengan Pengalaman Mengajar Sig

Kemahiran 0.13 0.25

Pengetahuan 0.23 0.04

Bahan Bantu Mengajar 0.05 0.63

Sikap -0.01 0.93

Jadual di bawah menunjukkan korelasi Pearson antara tahap kebolehan pengajaran dengan pengalaman mengajar guru Bahasa Melayu. Hasil dapatan menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tahap kebolehan pengajaran dengan pengalaman mengajar guru Bahasa Melayu. Nilai koefisien korelasi Pearson (r) antara tahap kebolehan pengajaran (r

= 0.13, p = 0.23) dengan pengalaman mengajar adalah tidak signifikan dengan nilai p >0.05.

Maka, Ho gagal ditolak. Dapatan ini telah menunjukkan bahawa pengalaman mengajar tidak mempunyai kaitan dengan tahap kebolehan pengajaran guru Bahasa Melayu terhadap pelaksanaan pedagogi responsif budaya. Guru mempunyai pengalaman mengajar yang lama tidak bermakna mereka mempunyai kebolehan untuk mengaplikasikan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran.

Jadual 8: Nilai korelasi “r” bagi tahap kebolehan guru Bahasa Melayu Korelasi (r) dengan Pengalaman Mengajar Sig

Tahap Kebolehan 0.13 0.23

6. Perbincangan & Implikasi

Berdasarkan kepada dapatan kajian yang diperoleh, guru yang mempunyai pengalaman mengajar di antara 11 hingga 15 tahun merupakan golongan majoriti dalam kajian ini.

Sebanyak 29 peratus sampel kajian sudah mengajar antara 11 hingga 15 di sekolah. Kemudian diikuti oleh guru yang mempunyai pengalaman mengajar melebihi 16 tahun diikuti dengan 1 hingga 5 tahun akhirnya 6 hingga 10 tahun. Dapatan ini mungkin disebabkan oleh guru yang mempunyai berumur 35 tahun ke atas lebih ramai di negeri Selangor berbanding dengan kategori umur yang lain.

(11)

Bagi menganalisis tahap kebolehan pengajaran guru Bahasa Melayu terhadap pelaksanaan pedagogi responsif budaya, penyelidik telah mengemukakan 40 item yang berkait dengan kebolehan pengajaran guru. Hasil dapatan kajian melibatkan 84 orang sampel kajian menunjukkan bahawa tahap kebolehan pengajaran guru-guru Bahasa Melayu dalam mengaplikaskan pedagogi responsif budaya adalah tinggi (min = 4.05, sisihan piawai= 0.61).

Setiap konstruk dalam domain kebolehan menunjukkan tahap yang tinggi. Guru-guru Bahasa Melayu telah menguasai kemahiran, pengetahuan, bahan bantu mengajar serta memiliki sikap yang baik dalam pelaksanaan pedagogi responsif budaya. Kajian Hasnah & Jamaludin (2017) juga menyatakan bahawa guru Bahasa Melayu mempunyai kesedaran dapat menjadi guru yang berkesan dalam pelaksanaan pendekatan pengajaran. Guru-guru yang mempunyai tahap kebolehan yang tinggi dalam pelaksanaan pendekatan pengajaran dapat menghasilkan pengajaran yang berkesan. Kajian ini juga seiras dengan kajian Muhamad Zaki et al. (2013) yang membuktikan bahawa guru yang berupaya menguasai pelbagai kaedah pengajaran, alat bantu mengajar dan pengetahuan bagi mata pelajaran dapat menghasilkan amalan pengajaran yang bermakna dan efektif.

Kajian Roslan (2014) yang mendapati bahawa proses pengajaran dan pembelajaran dapat disampaikan dengan berkesan sekiranya guru menguasai kemahiran, berpengetahuan dalam isi pengajaran dan memiliki sikap yang baik. Tambahan pula, kajian Normazidah (2012) juga menyokong pernyataan bagi kedua-kedua kajian tersebut dengan menyatakan pengetahuan, kemahiran, kebolehan dan sikap positif yang dimiliki oleh guru dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran. Pengetahuan guru diperlukan untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran berlaku secara efektif (Sharifah Nor, 2012; Rahimah, 2016). Pengetahuan guru berada pada tahap yang tinggi dalam pelaksanaan pendekatan (Hazlim, 2016; Nor Hasmaliza, 2016). Sungguhpun begitu, dapatan kajian ini bertentangan dengan hasil kajian yang diperoleh oleh kajian Zamri, Jamalul & Mohammed Sani (2011) dan Rohani (2011) yang melaporkan tahap pengetahuan guru-guru menunjukkan tahap yang sederhana. Berdasarkan dapatan kajian Muhammad Zakwan, Nasri & Mohamad Asyraf (2020), hampir separuh responden tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi berkenaan dengan pedagogi responsif budaya.

Dapatan kajian Nurul, Chew dan Zuraidah (2020) juga melaporkan bahawa tahap sederhana bagi tahap pengetahuan pedagogi guru Bahasa Melayu. Selain itu, ketidakselarasan dapatan turut didapati dalam kajian Jamilah & Zamri (2016) yang melaporkan tahap yang rendah bagi pengetahuan guru.

Kajian ini menunjukkan bahawa guru Bahasa Melayu memiliki tahap kebolehan yang tinggi dalam pelaksanaan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran. Perkara ini bermakna guru dapat menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki dalam mengaplikasikan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran Bahasa Melayu terutamanya bagi bilik darjah yang terdiri daripada kepelbagaian budaya pelajar. Berdasarkan kajian Normazidah (2012) keberkesanan pengajaran guru dapat dihasilkan melalui penguasaan kemahiran pedagogi.

Guru-guru Bahasa Melayu yang memiliki pengetahuan yang mendalam berkenaan dengan kaedah mengajar, bahan bantu mengajar yang digunakan dan mempunyai kemahiran untuk menerapkan pedagogi secara kreatif dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran.

Bukan itu sahaja, hasil kajian ini juga menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tahap kebolehan dengan pengalaman mengajar guru Bahasa Melayu terhadap pengaplikasian pedagogi responsif budaya dalam pengajaran. Perkara ini dapat dijelaskan bahawa walaupun pengalaman mengajar yang lama bagi seseorang guru tetapi tidak semestinya mereka berupaya mengaplikasikan pendekatan pengajaran dengan berkesan. Dapatan ini disokong oleh Syed Zamaruzaman, Parwazalam & Norkhalid (2017) yang menyatakan bahawa

(12)

pengalaman mengajar guru tidak berkait dengan tahap perancangan pengajaran. Dapatan kajian ini juga sejajar dengan kajian Muhamad Yazid (2018) yang menyatakan tahap pengetahuan dalam kemahiran pemikiran guru Sejarah di sekolah rendah tidak dipengaruhi oleh pengalaman mengajar. Menurut dapatan kajian Azizi, Shahrin & Fadhlina (2010), kaedah pengajaran tidak terdapat hubungan yang signifikan dengan pengalaman mengajar. Dapatan kajian ini juga selaras dengan kajian Norhiza, Zamri & Wan Muna (2016) yang melaporkan pengalaman guru tidak akan mempengaruhi pengaplikasian pendekatan dalam pengajaran.

Selanjutnya, kajian Mehrak dan Fatemeh (2012) dan Jaggil & Muhamad (2018) telah melaporkan bahawa pengurusan bilik darjah tidak mempunyai hubungan signifikan dengan pengalaman mengajar seseorang guru. Pernyataan ini juga disokong oleh kajian Huang & Li (2012) yang menyatakan bahawa guru novis dan guru berpengalaman memaparkan persamaan tingkah laku dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini dapat dijelaskan bahawa guru novis dan guru berpengalaman dapat menguasai pendekatan pengajaran dengan baik dan pengalaman mengajar tidak akan menjadi faktor kepada ketidaksamaan pendekatan dan kaedah pengajaran yang digunakan dalam bilik darjah. Pengalaman seseorang guru tidak dapat ditentukan oleh tempoh berkhidmat mereka, malah pengalaman tersebut bergantung pada kekerapan guru berjaya dalam melaksanakan tugas (Goh et al.,2017). Hasil yang diperoleh daripada kajian ini bercanggah dengan hasil kajian yang dijalankan oleh pengkaji sebelum ini iaitu kajian Podolsky, Kini & Hammond (2019) yang menyatakan bahawa guru yang berpengalaman mampu meningkatkan pembelajaran pelajar dan menunjukkan keberkesanan pengajaran dalam bidang profesion perguruan. Pernyataan ini juga selaras dengan kajian Yasmin & Najeemah (2016) yang menunjukkan bahawa tahap sensitiviti kepelbagaian budaya yang tinggi bagi guru yang pengalaman mengajar berbanding dengan guru yang kurang pengalaman mengajar. Berdasarkan bacaan literatur, pengalaman mengajar dikenali sebagai faktor demografi yang penting dalam kajian pengurusan bilik darjah, namun begitu tidak terdapat hubungan yang signifkan antara pengalaman mengajar dengan tahap kebolehan pengajaran guru dalam kajian ini.

Hasil daripada kajian ini, beberapa implikasi penting telah dikesan. Secara khususnya, pelaksanaan pedagogi responsif budaya dapat menunjukkan keberkesanan sekiranya guru memiliki pengetahuan, kemahiran serta sikap yang positif dalam melaksanakan pendekatan pengajaran. Infomasi yang ditemui daripada kajian ini berupaya dijadikan panduan kepada organisasi seperti Kementerian Pendidikan Malaysia dalam merancang dan mengadakan lebih banyak kursus dan ceramah berkenaan dengan pedagogi pengajaran bagi meningkatkan dan memperkukuh lagi pengetahuan dan kemahiran pedagogi guru. Kursus-kursus berkenaan dengan pedagogi responsif budaya juga perlu digalakkan oleh KPM agar lebih ramai guru memahami dan menguasai pedagogi ini dalam pengajaran. Oleh itu, kajian ini diharapkan dapat memberikan implikasi kepada pihak sekolah yang terdiri daripada pelajar kepelbagaian budaya supaya guru-guru dapat menggunakan pendekatan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran pelbagai mata pelajaran. Pihak kementerian dan sekolah sama-sama dapat memanfaatkan kajian ini untuk mereka menekankan pelbagai pendekatan pengajaran kepada para guru agar menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Kajian ini juga dapat digunakan oleh guru untuk memperbaiki dan menambahbaikan mutu pengajaran supaya dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran. Guru-guru juga sedar akan kepentingan pedagogi responsif budaya dalam bilik darjah yang terdiri daripada pelajar kepelbagaian budaya. Penguasaan pengetahuan dan kemahiran pedagogi penting kepada guru supaya memudahkan mereka mengaplikasikan pendekatan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran. Sikap positif guru juga menentukan kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran

(13)

kerana sikap akan mempengaruhi motivasi guru dalam melaksanakan pendekatan pengajaran.

Persekitaran bilik darjah yang terdiri daripada kepelbagaian budaya pelajar memerlukan guru mengamalkan pendekatan pedagogi responsif budaya bagi menggalakkan penglibatan aktif dalam kalangan pelajar. Justeru, guru perlu selalu mempertingkat profesionalisme sendiri dari segi pengetahuan, kemahiran dan personaliti untuk meningkatkan kualiti pengajaran.

Melalui kajian ini, penyelidik mencadangkan supaya mempelbagaikan kaedah pengumpulan data selain hanya berfokus kepada penggunaan instrumen soal selidik dalam kajian. Selain itu, kajian lanjutan berkaitan dengan perspektif pelajar terhadap pedagogi responsif budaya yang dilakasanakan oleh guru boleh dijalankan. Pembolehubah yang lain seperti latar belakang pelajar boleh diambil kira bagi mengenalpasti keberkesanan pendekatan ini dalam pengajaran guru. Pemerhatian terhadap elemen dalam pedagogi responsif budaya juga dapat membekalkan lebih banyak maklumat tambahan kepada guru tentang cara melaksanakan pendekatan ini dalam pengajaran. Tambahan pula, diharapkan penyelidikan ini boleh berfokus bagi sekolah di luar bandar untuk melihat tahap kebolehan guru di luar bandar dalam mengaplikasikan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran.

7. Kesimpulan

Secara keseluruhannya, kajian ini menunjukkan bahawa tahap kebolehan pengajaran guru Bahasa Melayu yang tinggi membolehkan pedagogi responsif budaya diaplikasikan dalam pengajaran dengan berkesan. Guru Bahasa Melayu didapati mempunyai pengetahuan, kemahiran dan sikap yang positif dalam mengaplikasikan pedagogi responsif budaya. Dengan tahap kebolehan pengajaran guru yang tinggi terhadap mengaplikasikan pedagogi responsif budaya, sudah semestinya dapat membantu guru menghasilkan pengajaran yang berkesan terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu khususnya bagi bilik darjah yang terdiri daripada kepelbagaian budaya pelajar. Pendekatan pedagogi responsif budaya berpotensi untuk meningkatkan kefahaman dan pencapaian akademik pelajar disebabkan guru-guru telah berjaya menguasai dan mengaplikasikan pedagogi ini dalam pengajaran. Keupayaan guru dalam menguasai pengetahuan, kemahiran dan sikap yang baik amat penting agar pendekatan yang bersesuaian dengan pembelajaran pelajar dapat menunjukkan keberkesanan.

Kejayaan pengajaran dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran banyak bergantung pada tahap keupayaan yang dimiliki oleh seseorang guru kerana guru merupakan pengamal ilmu yang berperanan menyampaikan ilmu kepada pelajar. Justeru, guru-guru perlu mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap pendekatan pedagogi responsif budaya supaya guru dapat menerapkan pendekatan tersebut dengan efektif. Secara ringkasnya, penyelidikan ini dapat memberikan maklumat yang jelas tentang tahap kebolehan guru terhadap mengaplikasikan pedagogi responsif budaya dalam pengajaran serta memberikan gambaran kepada para pihak tentang hubungan antara pengalaman mengajar dengan tahap kebolehan pengajaran guru dalam melaksanakan pedagogi resposif budaya.

Rujukan

Aminah Jekri & Crispina Gregory K Han. (2020). Pengaruh pengalaman mengajar dalam pengetahuan, motivasi dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran STEM. Jurnal Pendidikan Sains & Matematik Malaysia 10(2),45-56.

Anon. Covid-19: pendidikan menerusi dunia maya cabaran baharu buat guru. Berita Harian Online, 16 Mei: 20.

(14)

Anuar Ahmad & Nelson Jinggan. (2015). Pengaruh kompetensi kemahiran guru dalam pengajaran terhadap pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran Sejarah. Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik 3(2), 1-11.

Azlina Mohd Kosnim & Rohana Ahmad. (2017). Hubungan di antara stres kerja dengan kepuasan kerja dalam kalangan guru-guru besar di daerah Batu Pahat. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia: 1-8.

Chia, L.L. (2015). Amalan pengajaran efektif dalam kalangan guru sekolah menengah di Johor Bahru. Tesis Dr. Fal, Universiti Teknologi Malaysia.

Coe, R. (2017). 6 element of great teaching. https://www.cem.org/blog/6-elements-of-great- teaching. [ 18 Mei 2021].

Donkoh, S. (2017). Investigating the effect of teaching experience on teacher knowledge.

International Journal of Scientific and Research Publications 7(6), 319-327.

Fadilla Layang & Zamri Mahamod. (2019). Tahap pengetahuan, kesediaan dan sikap guru Bahasa Melayu sekolah rendah dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran peta pemikiran i-think. Jurnal Pendidikan Malaysia 44(1), 33-44.

Fazida Ahmad & Nurfaradilla Mohamad Nasri. (2017). Tahap kompetensi pengetahuan guru Sejarah dalam melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran abad ke-21.

International Conference on Geography and Education 1(1), 338-346.

Gamlem, S.M. et al. (2019). Developing teachers’ responsive pedagogy in mathematics, does it lead to short-term effects on student learning? Cogent Education 6(1), 1-18.

Goh, P. S. C., Qismullah Yusuf & Wong, K. T. (2017). Lived experience: Perceptions of competency of novice teachers. International Journal of Instruction 10(1), 21-36.

Hasnah Isnon & Jamaludin Badusah. 2017. Kompetensi guru Bahasa Melayu dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 7(1), 56-65.

Hazlin Mohamat. (2016). Tahap pengetahuan, sikap dan amalan penggunaan peta i-think dalam kalangan guru bahasa Melayu. Kertas Projek Sarjana Pendidikan. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Huang, R., & Li, Y. (2012). What Matters Most: A Comparison of Expert and Novice Teachers’ Noticing of Mathematics Classroom Events. School Science and Mathematics 112(7), 420- 432.

Jaggil Apak & Muhamad Suhaimi Taat. (2018). Pengaruh kesediaan guru terhadap pengurusan bilik darjah abad ke-21. Malaysia Journal of Sciences and Humanities 3(4), 6-22.

Ma'rof Redzuan, Abd Razak Abd Rahman & Nurfazreen Aina Muhamad Nasharudin. (2012).

Pembentukan keupayaan individu dalam kalangan usahawan wanita industri kecil.

Akademika 82, 57-64.

Mehrak Rahimi & Fatemeh Asadollahi. (2012). On the relationship between Iranian EFL teachers’ classroom management orientations and teaching style. Procedia-Social and Behavioral Sciences 31, 49-55.

Mohd Salihin Hafizi Mohd Fauzi et al. (2017). Tahap kelayakan akademik dan pengalaman guru bukan opsyen terhadap pengajaran Bahasa Arab. Seminar Islamic Creative Art Therapy 2017. Anjuran Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (PK MAINS), Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah Paroi, 1-2 November.

Muhammad Zakwan Abdul Rahim, Nurfaradilla Mohamad Nasri & Mohamad Asyraf Abd Talib. (2020). Pedagogi responsif budaya: kesedaran, pengetahuan dan kesediaan guru.

Jurnal Pendidikan Malaysia 45(1), 25-34.

Muhd Zulhilmi Haron & Mohd Muslim Md Zalli. (2020). Pengetahuan pedagogi, kemudahan pembelajaran dan hubungannya dengan kualiti pengajaran guru tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) di Malaysia. Seminar Darulaman 2020 Peringkat Kebangsaan, 20 Oktober 2020.

(15)

Noorleha Mohd Yusoff & Lilia Halim. (2011). Pengaruh pengalaman mengajar terhadap efikasi guru dalam amalan pengajaran kemahiran berfikir. International Seminar On Global Education II 3(1), 2348-2369.

Nor Hadibah Hushaini et al. (2020). Hubungan antara lokasi sekolah rendah dan pengalaman mengajar guru Bahasa Melayu sekolah rendah dengan amalan pengajaran mereka. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 10(2), 1-14.

Nor Hasmaliza Hasan. (2016). Penerapan kemahiran berfikir aras tinggi dalam pengajaranguru bahasa Melayu daerah Kuala Terengganu. Tesis Sarjana Pendidikan. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Norhiza Fadila, Zamri Mahamod & Wan Muna Ruzanna Wan Mohamad. (2016). Kompetensi, sikap dan penggunaan aplikasi web 2.0 sebagai bahan bantu mengajar dalam kalangan guru Bahasa Melayu sekolah rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 6(2), 52-58.

Normazidah Mahmood. (2012). Penggunaan kaedah pengajaran Bahasa Arab dalam kalangan guru peringkat sekolah rendah: Satu penilaian. Tesis Dr. Fal, Universiti Malaya.

Norsimah Dasan & Mohd Mahadzir Rahimi Mohamed Nawi. 2020. Hubungan efikasi kendiri guru dengan prestasi kerja dalam kalangan guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Journal of Social Sciences and Humanities 17(4), 173-187.

Nunally, J., & Bernstein, I. (1994). Psychometric Theory. Edisi ke-3. New York: McGraw Hill.

Nur Hawa Hanis Abdullah & Ghazali Darusalam. 2018. Kesediaan guru melaksanakan kemahiran berfikir aras tinggi dalam pengajaran. Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik 6(3), 22-31.

Nur Ilda Kamaruzaman & Aliza Alias. (2020). Hubungan antara pengetahuan dengan sikap guru sekolah kebangsaan pendidikan khas terhadap pembelajaran kolaboratif. Journal of Educational Research & Indeginous Studies 1(1), 1-11.

Nurul Ashikin Md.Yatim, Chew, F.P. & Zuraidah Abdullah. (2020). Tahap pengetahuan pedagogi kandungan guru Bahasa Melayu sekolah rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 10(2), 43-53.

Podolsky, A., Kini, T. & Hammond, L.D. (2019). Does teaching experience increase teacher effectiveness? A review of US research. Journal of Professional Capital and Community 4(33), 22-23.

Rahimah Ahmad. (2016). Penerapan kemahiran berfikir aras tinggi dalam pengajaran karangan guru Bahasa Melayu sekolah berprestasi tinggi: Satu kajian kes. Kertas Projek Sarjana Pendidikan. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Revathy Subramaniam & Mohd Izham Mohd Hamzah. (2020). Amalan kepimpinan teknologi guru besar serta cabaran dan cadangan penambahbaikan di sekolah. Prosiding Seminar Nasional FIP, hlm. 281-294.

Rohani Aziz. (2011). Pengetahuan, sikap dan kemahiran ICT di kalangan guru-guru matematik di sekolah menengah Pahang. Tesis Sarjana, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Roslan Abu Hassan. (2014). Kompetensi guru bukan opsyen yang mengajar kemahiran teknikal di Kolej Vokasional negeri Pahang. Laporan akhir projek penyelidikan UTHM.

Sapie Sabilan, Mohamad Faud Ishak & Mohd Kamal Din @Nasirudin. (2014). Tahap pelaksanaan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran dalam latihan mengajar menurut persepsi guru-guru pelatih Fakulti Pendidikan KUIS: satu tinjauan awal. Jurnal Pendidikan 1(2), 88-97.

Shamsiah Sidek & Azman Hasan. (2015). Kebolehan guru-guru mata pelajaran Geografi menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah menengah Malaysia. Journal of Global Business and Social Entreoreneurship 1(2), 35-43.

Sharifah Nor Puteh. (2012). Keperihatinan guru bahasa melayu dalam melaksanakan kemahiran berfikir kritis dan kreatif. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 2(9): 19-31.

(16)

Shaukat, S., Vishnumolakala, V. R., & Al Bustami, G. (2019). The impact of teachers’

characteristics on their self-efficacy and job satisfaction: a perspective from teachers engaging students with disabilities. Journal of Research in Special Educational Needs 19(1), 68–76.

Syed Kamaruzaman Syed Ali, Parwazalam Abdul Rauf & Norkhalid Salimin. (2017).

Hubungan antara pengalaman mengajar dan perancangan pengajaran dalam kalangan guru Pendidikan Jasmani Tingkatan 4. International Journal of Education, Psychology and Couseling 2(6), 268-277.

Tengku Sarina Aini Tengku Kasim & Fatimah Sahida Abdurajak. (2018). Pengalaman pengajaran guru novis Pendidikan Islam: implikasi terhadap bentuk kurikulum latihan pendidikan guru. Jurnal Pendidikan Malaysia 43(1), 59-66.

Valette, R.M. (1977). Modern Language Testing: A Hand Book. (2nd Edition). New York:

Harcourt Brace Jovanovich.

Yun, J.H. (2015). The culturally responsive teacher preparedness scale: an exploratory study.

Contemporary Issues in Educational Research- 4th Quarter 8(4), 241-250.

Zaiha Nabila Md Harun. (2014). Kompetensi guru dalam pengajaran amali reka bentuk dan teknologi di sekolah rendah daerah Batu Pahat. Laporan akhir projek penyelidikan UTHM.

Zaimah R. & Sazuani Abdullah. (2017). Tahap keupayaan usahawan dalam perusahaan kecil dan sederhana di Kuala Terengganu. Journal of Scienty and Space 13(4), 117-125.

Zamri Mahamod, Jamalul Lail Abdul Wahab & Mohammed Sani Ibrahim (pnyt.). (2011).

Transformasi dan Inovasi dalam Pendidikan. Bangi: Penebrit Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zulkifli Awang. (2012). Strategi pengajaran mata pelajaran Pendidikan Jasmani yang berkesan.

Tesis Sarjana, Universiti Malaya.

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN

Oleh itu, objektif kajian ini adalah menilai tahap pengetahuan guru melayu dalam aspek sintaksis Bahasa Arab, dan mengenalpasti tajuk sintaksis yang menjadi

Hasil kajian mendapati tahap pengetahuan, tahap kesediaan dan tahap sikap guru Bahasa Melayu sekolah rendah terhadap pelaksanaan peta pemikiran i-think dalam

Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pengetahuan dan sikap guru Bahasa Melayu dalam penggunaan Enam Topi Pemikiran sebagai alat berfikir dalam pengajaran dan

Hasil kajian menunjukkan walaupun tahap pengetahuan dan pemahaman guru Bahasa Melayu terhadap Kajian Pengajaran adalah tinggi namun masih terdapat sebilangan guru yang

Dapatan kajian yang mengkaji hubungan antara beban tugas dengan kesediaan guru Bahasa Melayu dalam daerah Hulu Langat melaksanakan kajian pengajaran menimbulkan persoalan kepada

Hasil analisis kuantitatif dalam kajian ini menunjukkan kebanyakan guru Bahasa Melayu mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi, tahap kemahiran yang sederhana, tahap

Namun begitu, terdapat item soalan negatif yang menyatakan guru tidak memerlukan kursus tertentu untuk mengaplikasikan pembelajaran menyeronokkan dalam pengajaran

Peta kesukaran item-kebolehan individu juga menunjukkan tahap keupayaan guru pelatih Bahasa Melayu adalah lebih tinggi berbanding dengan tahap kesukaran item bagi