• Tiada Hasil Ditemukan

Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca "

Copied!
17
0
0

Tekspenuh

(1)

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 1

Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca

Perang Dingin

MOHAMAD ABU BAKAR 1

Pengenalan

Tamatnya Perang Dingin pada awal sembilan puluhan bukan sahaja didakap oleh Barat yang telah bergelumang dengannya selama 45 tahun (1945-90), tetapi ia turut didendang oleh sebahagian penting umat Islam yang bercita-cita membugar peradaban mereka sebagai gantian atau alternatif kepada Kominisme yang telah mengalami kepupusan itu.

Kalaulah euphoria atau keghairahan Amerika Syarikat dan sekutunya di Eropah dan di Asia khasnya, terpusat pada peluang untuk memasyarakatkan demokrasi liberal dan kapitalisme, maka anggota ummah yang teruja oleh perubahan landskap antarabangsa ini pula terpaku pada potensi agama mereka sebagai satu cara hidup yang menjanjikan ‘Rahmat kepada Sekalian Alam’.

Di Malaysia, sebahagian penting umat Islam juga menyambut baik penamatan Perang Dingin, atas sebab-sebab yang umumnya sama.

Mereka bukan sahaja tidak lagi dihantui oleh Komunisme, yang pernah memporak-perandakan negara dan masyarakat di zaman Darurat (1948- 60) khasnya, tetapi telah turut dihidang oleh kebebasan baru berbekalkan sejumlah organisasi dan individu yang komited untuk memartabatkan Islam di persada tanahair.

Namun selepas 25 tahun (1990-2015) berlangsungnya konflik ideologi Barat-Timor, period pasca Perang Dingin ternyata telah _________________________

1 Prof. Dato Mohamad Abu Bakar ialah bekas Ketua, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, dan Penyandang ke 12 Kursi Tun Abdul Razak di Universiti Ohio, Amerika Syarikat. Beliau juga pernah menjadi Profesor Pelawat di Universiti Nasional La Plata, Argentina, Sarjana Pelawat Fulbright di Universiti Washington, Amerika Syarikat, Felo Pelawat di Universiti Victoria, Wellington, New Zealand, Felo Pelawat di Pusat Pengajian Islam, Oxford, England, dan Pensyarah Undangan di Universiti Kaherah, Mesir.

(2)

ditunjangi oleh globalisasi yang memuat nilai-nilai sekular moden dan ditandai oleh pemusnahan beberapa buah negara dan masyarakat Muslim di tangan pihak-pihak luar. Penempahan dan penempatan kehidupan Islam dengan segala keseluruhannya sebagai pra-syarat kepada kemunculan sebuah peradaban yang mengagumkan masih belum menjadi kenyataan.

Masa Terbaik: Negara Muslim Pasca Perang Dingin

Tamatnya Perang Dingin menjanjikan suatu kelonggaran kepada negara dan masyarakat Muslim di seluruh dunia yang sebelumnya terperangkap oleh percaturan dan permainan politik kuasa besar. Pihak-pihak yang berangkaian dengan Barat dalam rangka penyelamatan demokrasi liberal dan kapitalisme ketika berdepan dengan musuh yang sama semacam terlepas daripada kongkongan lama. Turki yang bersekutu dalam NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) semenjak awal-awal penubuhannya lagi, Iraq yang pernah bergerak dalam METO (Pertubuhan Perjanjian Timor Tengah), Pakistan yang suatu ketika merupakan anggota SEATO (Pertubuhan Perjanjian Asia Tenggara), serta negara- negara seperti Arab Saudi dan Iran, yang sehala dan sehaluan dengan Amerika Syarikat dan Eropah Barat dalam pembendungan Komunisme, kelihatan terbebas oleh belenggu ideologi untuk merencana kehidupan nasional masing-masing. Pihak-pihak yang sebelumnya terangkum di bawah Soviet Union, atau bernaung di bawahnya, juga telah mengecap kebebasan serupa. Rantau Islam di Asia Tengah dan di Balkan yang pernah bergerak dalam litaran Moscow mengalami transformasi dengan kemunculan sebilangan negara merdeka. Suatu senario yang merangsangkan daripada sudut penggubah hidup keIslaman dan pembugaran nilai-nilai peradabannya.

Berlatarbelakangkan konfigurasi atau susunan kuasa yang baru tertempa inilah ummah yang sedang mengharungi Abad Ke 15 Hijrah merasakan bahawa masa sudah tiba untuk Islam mengorak langkah dan mengambil tempat sebagai peradaban pilihan manusia sejagat. Peradaban Islam lepas yang pernah disejarahkan menjadi pengalaman kebanggaan dan inspirasi, dan telah mencetus rasa kekitaan (ukhwah Islamiyyah) merata sesama Muslim. Jumlah penganut yang mencecah melebihi 1 bilion dan menetap di daerah-daerah yang kaya dengan hasil mahsul, serta berkedudukan strategik, dilihat dan diperlihatkan sebagai nilai tambah yang tidak ada tolak banding lagi. Iran selepas Revolusi Islam

(3)

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 3

ditayangkan sebagai peneraju ummah dan pejuang peradaban Islam semasa, yang terbebas daripada cengkaman Kapitalisme Barat dan Komunisme Timor. Dengan penularan perasaan bahawa Islam adalah suatu cara hidup yang berkemampuan menjadi penyelesaian kepada berbagai masalah, anggota ummah menjadi semakin berkeyakinan bahawa sekarang adalah waktunya untuk agama mereka membuktikan potensinya.

Dalam keperihalan ini, semakin tertara dan tertayang imej kegemilangan lepas Islam sebagai rujukan, ketika mana Muslim menjadi pelopor dan pembina tamadun, dan bukan-Muslim memperolehi manfaat daripada kewujudannya, sama ada di Madinah, Baghdad atau Andalusia.

Sesetengah daripada pendukung dan pejuang Islam mengukir gambaran secara berlebihan, melewati ‘the Golden Age of Islam’, berasaskan nilai- nilai peradabannya yang menjanjikan ‘Baldatun Tayibatun Warabun Rafur’. Pengutaraan ‘imagined societies’ seperti ini menambah-kuatkan lagi semangat anggota ummah untuk menyegerakan pengulangan sejarah zaman klasik tersebut. Dengan kehadiran OIC semenjak 1969, yang tercetus daripada persaudaraan Islam berikutan pembakaran Masjid al- Aqsa, penyatuan ummah dipercayai dapat membantu pengubahan peradaban Islam semasa.

Globalisasi yang merebak seiring dengan perkembangan pasca- Perang Dingin juga melapangkan kegiatan dakwah, sehingga para aktivisnya lebih bebas merentasi sempadan negara, dengan dibantu oleh keberadaan kemudahan seperti masjid dan kedai makanan halal di daerah-daerah bukan-Islam. Faktor campur ini turut diganding oleh kehadiran semakin ramai pelawat dan pelancong, pelabur dan pelajar asing, di negara Muslim, sambil mendedahkan diri mereka kepada apa sahaja nilai yang menular. Dunia yang diseratakan oleh globalisasi menjadi medan terbuka dan milik bersama untuk ditempah mengikut kemahuan dan kemampuan penerokanya, termasuk pendakwah Islam.

Malaysia tidak tersisih daripada perubahan ini: ketiadaan gugatan dan gangguan Kominisme telah membuka ruang yang luas untuk Islamisasi, satelah satu setengah dekad dilanda gelombang dakwah (1975-1990). Keadaan ekonomi yang agak baik pada penghujung Abad Ke 20 dan pada awal Abad ke 21, kecuali buat beberapa tahun kemelesetan, membentuk persekitaran yang kondusif bukan sahaja untuk pembangunan material, tetapi juga membolehkan Islamisasi, yang turut ditajai dan diterajui kerajaan, berkembang. Peningkatan taraf hidup dan penyediaan prasarana seperti perbankan Islam dan sistem takaful mewujudkan keperihalan keadaan yang mampu bertindak sebagai

(4)

pencetus dan pemangkin kepada pembinaan peradaban. Medan pengislaman turut diperluas oleh pembesaran ASEAN apabila ia bertukar menjadi pertubuhan serantau dengan 10 anggota, berikutan penyerapan beberapa buah lagi negara Asia Tenggara, termasuk sebilangan negara komunis.

Sungguhpun Malaysia bukan suatu contoh yang sempurna atau ideal daripada segi pengislaman, ia telah menjadi rujukan merata di peringkat antarabangsa. Kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial yang membaluti kehidupan ketika dakwah sedang berkembang memberinya imej yang memikat. Apabila Malaysia menjadi tumpuan puluhan ribu pekerja asing dari dalam Asia Tenggara dan dari luar rantau, kedudukannya semakin meningkat. Penglibatannya sebagai hos persidangan OIC dan NAM, dan penyertaannya sebagai penyumbang kepada misi keamanan di Bosnia, Kampuchea dan Somalia, menyebabkan namanya sebagai sebuah negara Muslim menjadi bertambah terkenal. Kemajuan material yang bersalutan cita-cita Islam yang berkembang semenjak fenomena Kebangkitan Semula Islam tahun- tahun tujuh puluhan diperlihat sebagai pembangunan Islam oleh banyak pihak luar, termasuk oleh beberapa negara Barat.

Masa Terburuk: Masyarakat Muslim Pasca Perang Dingin

Tamatnya Perang Dingin juga bererti negara dan masyarakat Muslim yang pernah bersyarikatan dengan Barat kehilangan nilai strategi pada pandangan pihak tersebut. Kalau sebelumnya, Turki, Pakistan, Arab Saudi, Iran dan sebagainya disayangi dan disanjung kerana bermusuhan dengan Komunisme, maka ketiadaan ideologi pencabar sebagai musuh utama itu menjadikannya kurang bermakna lagi dan semakin tidak relevan. Dahulunya, ‘musuh kepada musuhku’ menyebabkan kesemuanya bersahabat dalam pakatan dan perikatan antarabangsa, maka kini kesemuanya berada dalam suatu ‘world of nation-states’ atau dunia negara-bangsa, dengan penuh kecairannya, dan terdedah kepada bahaya luar, termasuk dari Barat sendiri.

Negara dan masyarakat Muslim yang berkembang dalam konteks pasca Perang Dingin pula tidak mengubah arah dan menggubal kehidupan antarabangsa yang lebih harmonis antaranya. Trek-trek kesejagatan yang terpapar dalam OIC gagal diterjemahkan menjadi realiti yang bermakna dalam persekitaran ini. Badan antarabangsa yang

(5)

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 5

dianggotai lebih daripada 50 negara Muslim dan didukung oleh jutaan anggota ummah kelihatan tidak relevan untuk mencetus suatu perubahan yang benar-benar bermakna. Idea peradaban Islam yang terungkap dalam penubuhan dan perjalanannya berkecai oleh pertelingkahan berpanjangan di antara beberapa negara anggotanya1.Turki, Arab Saudi dan Iran, lebih cenderung mencorak dasar luar mengikut kepentingan nasional masing- masing. Rantau Asia Tengah dan Balkan, dengan populasi Muslimnya yang besar dan sejarahnya yang gemilang, tidak bertukar menjadi daerah terpupuknya nilai-nilai Islam yang ketara, tanpa menafikan penumpuan antarabangsa yang bertambah kepadanya sebagai destinasi pelancongan.

Afganistan, Iraq, Somalia, Yemen dan Syria, tidak sekadar dirempuh oleh pihak luar, tetapi juga dikoyak rabak dari dalam oleh persengketaan dalaman. Semakin menyerlah keretakan dan kekusutan yang menyelubungi kehidupan bernegara apabila sentimen kesukuan, kepuakan, kekabilahan, keetnikan dan kemazhaban yang sebelumnya terpendam, diberi ruang untuk zahir lebih terbuka dalam persekitaran baru. Perlakuan dan pembawaan pemimpin dan pengikut mereka yang berfikiran abad-abad yang lalu, dan berbekalkan peralatan perang abad ke 20 dan ke 21, telah menghancurkan harapan Islam, sekali gus memusnah saki baki peninggalan peradaban Islam yang lalu. Kehidupan bernegara masa kini menjadi suatu pemanjangan kehidupan bernegara sebelumnya, dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga ke abad akan datang.2 Adalah sesuatu yang memalukan apabila kambing biri-biri yang telah dieksport ke Australia terpaksa dipulangkan ke tempat asal, sebuah negara di Timor Tengah, berikutan pemberitaan tentang penganiayaan terhadap binatang tersebut oleh kanak-kanak sebelum dimuat ke dalam kapal. Tidaklah keterlaluan kalau dikatakan bahawa sekiranya pemimpin dan umat Islam sebegini diberi kebebasan penuh untuk merencana dan membina peradaban Islam, tanpa gangguan dari luar sekalipun, mereka belum tentu dapat menghasilkan sesuatu yang konkrit, melihat pada lagak semasa yang dipertontonkan. Deskripsi “more of the same” terpakai untuk menjelaskan trend yang kekal berpanjangan ini. Gambaran negatif mengenai orang Islam sebagai ‘peruntuh peradaban’ dan bukannya

‘pembina peradaban’ bukanlah tidak berasas langsung bersandarkan gerangan dan gaya sesetengah anggota ummah.

Barat pula, yang sebelumnya beragenda dan bermatlamat pemusnahan Komunisme, berdepan dengan situasi ketiadaan musuh untuk meneruskan pertarungannya. Kesatuan berfikir dan kesatuan bertindak yang pernah mengikat negara-negara dalam kelompok tersebut

(6)

mengalami hakisan. Perpaduan nasional sukar dipertahankan, penjualan senjata semakin sukar mendapat pasaran, dan penerajuan antarabangsa bertambah sukar diperkekalkan, dengan kehancuran musuh yang pernah mempersatukannya. Saingan baru perlu dicari dan diburu, untuk mewujudkan solidariti lama, memastikan industrial-military complex kekal beroperasi, dan meneruskan kepimipinan global. Grand strategy yang terpacak atau terpadan pada pemikiran Barat yang mengakibatkan keruntuhan Soviet Union dan kelumpuhan Kominsme terpaksa dituding dan ditumpukan kepada sasaran baru. Islam dan penganutnya menjadi pilihan segera, dan mudah untuk dimunculkan sebagai ‘Kominisme Baru’. Tambahan pula, hubungan semasa Barat-Islam masih dipengaruhi oleh prasangka lama dan kejahilan merata, sehingga sentimen ini seringkali menguasai pendiriannya. Dengan ‘tercetusnya’ ‘Peristiwa 11 September’, perasaan ini menjadi bertambah mendalam dan meluas.

Pembentukan dan pemupukan ‘Orde Baru Dunia’ berlangsung dalam keperihalan keadaan ini, dan orang Islam menjadi korban kepada perancangannya.3

Barat dengan wawasan lamanya, yang terbentuk dalam persekitaran penjajahan selama ratusan tahun, terangsang untuk memupuk ‘peradaban sejagat’ beracuannya. Penonjolan Islam selepas ketewasan Kominisme, ditayangkan sebagai pencabar yang berkedudukan menjejas keselamatan Barat, dan berpotensi merosak Kristianiti, dengan segala pembawaannya.

Daripada situ lahirlah ungkapan ‘Clash of Civilizations’ yang dipopularkan oleh Samuel Huntington, dengan sorotan dan saranannya:

“...both are universalistic, claiming to be the one true faith to which all mankinds must adhere. Both are missionarary religions believing that their adherents have an obligation to convert non-believers to that one faith”.4 Lebih daripada itu lagi, pihak yang bermusuhan dengan Islam telah melebar-luaskan wacananya agar bukan-Barat dan bukan-Muslim turut sama berkongsi kebimbangan terhadap agama yang dipaparkan sebagai ‘an exotic and alien religion and culture’. Mengikut perspektif mereka, sekiranya Islam berkembang ia akan menempatkan diri sebagai ideologi pengganti Komunisme, dan kewujudannya sebagai suatu keseluruhan mampu menzahirkan sebuah “totalitarian Islamic empire that stretches from Indonesia to Spain”.5 Tidak hairanlah, NATO yang berpangkalan di Eropah Barat, dan suatu masa dahulu bertindak sebagai benteng penghalang kemaraan Kominisme, telah diperuntukkan dengan tugas baru, ia itu melumpuh dan menghancurkan fundamentalisme Islam.

Gambaran negatif tentang kebangkitan semula Islam, dengan deskripsi- deskripsi ‘Pax Islamica’ dan ‘Green Peril’ yang mengundang seribu

(7)

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 7

persoalan, dan pertentangan silam antara Darul Islam dan Darul Harb, dijaja dengan meluas untuk menakut-nakutkan bukan-Muslim. Iran selepas revolusi Iran, dengan warisan sejarah empayarnya dan wawasan Islamnya, dipaparkan sebagai musuh yang begitu berpotensi menjejaskan kepentingan Barat.6

Negara-negara yang mempunyai penduduk Muslim yang besar dan semakin menambah, seperti Russia dengan penganut Islamnya berjumlah melebihi 20 juta, atau China, dengan minoriti Muslim yang terdapat dengan ramainya di barat lautnya, merasa gelisah dengan kehadiran yang berpotensi menjadi ancaman nasional ini. Negara-negara Barat yang didatangi dengan banyaknya migran Muslim, khasnya dari negara-negara yang dilanda huru-hara, juga berusaha memastikan kehadiran penganut agama lain ini tidak mewujudkan persekitaran dan pemasyarakatan peradaban asing. Pihak pemerintah telah mengetatkan syarat bagi membendung kemunculan atau kemaraan anggota ummah ini, sekalipun dasar dan tindakannya berlawanan dengan prinsip demokrasi dan liberal yang menunjangi sejarahnya. Pihak-pihak dan parti-parti berhaluan kanan yang semakin popular di Amerika Syarikat, Austria, Belanda, Jerman, Perancis dan Sepanyol telah sama-sama membangkitkan persoalan kehadiran penduduk Muslim yang semakin bertambah di negara mereka, dan cabarannya kepada nilai sekular moden Barat.

Uberfremdung atau overforeignization dianggap suatu ancaman, dan menyebabkan The Republicaner dan Pegida di Jerman, Front Nasionale di Perancis, dan Liga Utara di Utara, umpamanya, mengatur serangan untuk melumpuhkan masyarakat Muslim di tengah-tengah kehidupan mereka. Pengenalan dan pembentangan adegan liar, termasuk adegan berciuman di tempat awam dan perlakuan berbogel di pantai, dibiar berkembang sebagai amaran kepada golongan luar supaya bersedia dan berkesanggupan menerima hakikat hidup seumpama itu jika mahu menjadi warganegara. Mesej yang cuba disampaikan ialah mereka hendaklah menjadi ‘Muslims tanpa Islam’, jika mahu meneruskan hidup di tempat baru. Britain yang mengamal dasar lebih liberal terhadap migran, termasuk pendatang beragama Islam, tidak terlepas daripada gejala anti-penghijrah luar ini, lantaran kehadiran mereka dianggap mencabar tradisi Anglo-Saxon. Ahli politik daripada kalangan Parti Konservatif, saperti Enoch Powell, John Townend dan Richard Body, pada masa-masa berlainan telah membangkit kebimbangan masing- masing.

Pertentangan dengan Islam bukan sahaja berlaku secara bersemuka (confrontational), tetapi juga melibat penghakisan nilai-nilainya

(8)

menerusi penyebaran dan penyejagatan demokrasi-liberal dan kapitalisme. Demokrasi-liberal yang dinobatkan sebagai ‘the final form of human government’ (Francis Fukuyama), dengan janji-janji kemewahan dan kesentosaan hidup, memikat dan memukau, termasuk di kalangan negara dan masyarakat Muslim. Suatu dimensi dalam pertentangan budaya ini ialah keupayaan Barat, atau pihak-pihak yang sehaluan dengannya, memapar dan mempamerkan kejayaan dalam bentok kehidupan negara dan kota yang mengagumi dan mengasyikkan, sebagai model dan wakil pencapaian demokrasi liberal dan kapitalisme.

Amerika Syarikat, Jerman, Negara-negara Nordik, Jepun, Korea dan Taiwan, New York, Paris, Amsterdam dan Tokyo umpamanya menjadi contoh ‘Syurga Dunia’, ‘Negara Kebajikan” atau ‘Land of Promise’ yang gagal ditandingi oleh umat Islam di mana-mana dewasa ini. Berita dan cerita yang tidak semestinya mewakili mengenai kehebatan kehidupan di Barat dan di Timor Jauh, daripada segi penjagaan kebersihan, disiplin dan alam sekitar, menerpa masuk sama. Budaya hidup yang terbentuk oleh developmentalisme dan komersialisme mempesona dan mengagumkan. Bukan sedikit di kalangan orang Islam sendiri, walaupun terasuh dalam pendidikan agama, merasakan agama mereka telah membawa kemunduran, atau menghalanya ke belakang. Bukanlah sesuatu yang ganjil apabila bukan sedikit anggota masyarakat Muslim, lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang pernah mengecap kehidupan material di bawah penjajahan, atau sedang mencari jalan keluar daripada kemelut hidup dan inginkan kemewahan, yang mendakap dan mendukung globalisasi dengan segala janjinya.

Malaysia tidak tersisih daripada bahang penyejagatan hidup ini, apatah lagi sebahagian para elitnya pernah mengharungi kehidupan moden-sekular pada masa-masa yang lalu. Tahun-tahun sebelum 1975 terutama sekali telah menyaksikan bagaimana kehidupan tempatan, khasnya di kota, berangkaian dalam litaran kebaratan, yang mengheret Muslim dan bukan-Muslim ke dalam jaringannya. Peranan NGO yang bersyarikatan dengan pihak luar dan MNC yang berpangkalan di Barat atau Timor Jauh telah sama-sama memastikan ikatan ini kekal kukuh.

Pasaraya dan pusat rekreasi, pelaburan dan pelancongan, kesemuanya menjadi saluran kepada penularan nilai-nilai asing yang semakin berimpak ke atas masyarakat.

Gelombang globalisasi menampakkan kesan negatifnya apabila sebahagian penduduk Malaysia, termasuk penganut Islam, terdorong sama menjejaki langkah orang Barat dan kebaratan. Idea kemajuan yang terpupuk dalam wadah sekular-moden diterima-pakai dan dijadikan

(9)

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 9

ukuran kejayaan. Kebendaan atau gejala materialisme, dan keseronokan atau unsur hedonisme, yang dinukilkan dalam wawasan tersebut telah menjejaskan pandangan-dunia tauhid yang belum betul-betul bertapak dalam masyarakat besar. Negara menjadi begitu terdedah kepada mainan dan manipulasi luar apabila kehidupan warganya berangkaian dan bertalian dengan kuasa asing.7 Tanpa menafikan bahawa telah berlaku perubahan minda di kalangan orang Melayu-Muslim ekoran kebangkitan semula Islam tahun-tahun tujuh dan lapan puluhan, warisan lama umumnya masih menguasai wajah dan wataknya mereka, menjadikannya golongan yang terkebelakang. Kampong halaman mereka boleh dikenali dengan melihat kawasan rumah yang terbiar dengan semak samunnya, berisi lalang dan kelontong kelapa.

Globalisasi sebagai lebuh raya informasi bukan sahaja memudahkan laluan kepada penyebaran pengaruh peradaban Barat ini, tetapi telah juga menjadi jalan kepada penularan fikiran Barat di rantau orang Islam. Di peringkat sosial, pemerkasaan media sosial oleh pendukung dan penyokongnya menyebabkan manusia dan masyarakat Muslim berangkaian sama dalam teknologi maklumat yang menyebabkan pemecahan atau fragmentation. Pembahagian ini memudahkan berlakunya pecah belah, dan mendedahkan anggotanya kepada nilai-nilai berbeza dan bercanggahan sehingga menyukarkan perpaduan dan penyatuan fikrah.

Kebebasan ini telah juga mencetus krisis intelektual di kalangan para pendukung Islam sendiri, apabila sebegitu ramai mereka yang berpendidikan agama atau berkecenderungan keagamaan bertarung mempertahankan pendirian masing-masing, sehingga menimbulkan kekeliruan dan kekusutan dalam negara dan masyarakat. Persoalan yang terbangkit tidak terhad kepada pertentangan antara mereka yang mahu mengekalkan keseluruhan ajaran Islam, ‘to the spirit and letter of the religion’ , dan mereka yang mahu sekadar ‘roh’ atau ‘semangat’

Islam dalam kehidupan, tetapi juga hampir setiap sudut khazanah ilmu yang pernah membaluti sejarah ummah. Pengkayaan pengetahuan yang terhasil daripada pengajaran di pusat-pusat Islam yang bertaburan, telah tersalur dengan bebas dan mudah sekali dalam persekitaran dewasa ini, sehingga perbezaan pendapat yang seharusnya merupakan suatu rahmat bertukar menjadi punca krisis intelektual yang berpanjangan. Lebih dahsyat lagi ialah apabila aspek-aspek Islam yang terdapat dalam ajaran agama dan sejarah ummah, dipertarungkan oleh para pendakwah atau pemikir Islam untuk muncul juara dan menjadi kaya. Bukan sedikit pula di kalangan mereka yang mendakwa sebagai pejuang dan pendukung

(10)

Islam membuat helah dan mengadakan halangan bagi membantut pelaksanaan Syariah, dengan mempopularkan pendirian bahawa masa belum tiba dan persiapan belum cukup untuk penempaannya.

Sungguhpun pandangan mereka tidak seratus sama dengan pandangan bukan-Islam yang berterangan menentang penggubahan hidup berlandaskan al-Quran dan hadith, atau golongan Muslim liberal, penyuaraan mereka jelas kelihatan senada dengan pihak tersebut, dan ini menyukarkan lagi perjuangan Islam. Sementara pada masa yang sama, sebahagian penting ulama dan cendekiawan Islam masih berhempas pulas merungkai berbagai persoalan halal-haram daripada barangan dan amalan yang didatangkan dari luar, yang kadangkala begitu sukar untuk difahami atau dihadamkan sebelum sesuatu keputusan dapat dibuat, dan diberitakan kepada umum.

Ringkasnya, semangat Islam yang tersuntik dan tersepuh berikutan tamatnya Perang Dingin, telah tidak dialir secara tersusun, sehingga kemunculan individu, pertubuhan dan agensi kerajaan, yang komited kepada penghayataan Islam berfungsi dan berperanan berasingan, dan kadangkala bercanggahan.

Peradaban Islam di Persimpangan Jalan

Umat Islam jelas berterusan terdampar di persada antarabangsa dan nasional tanpa dibaluti sebuah kehidupan keIslaman. Peradaban Islam berada di persimpangan jalan. Segala nilai-nilai dalam pengasasan dan pembugaran tamadunnya yang terangkum dalam al-Quran dan hadith masih menunggu penterjemahan menyeluruh.

Penekanan yang diberi kepada penjernihan kehidupan peribadi dan pemurnian hidup bermasyarakat, di surau dan masjid, di kaca tv dan menerusi radio, atau di majlis-majlis ilmu serupa, belum lagi berjaya membawa kepada transformasi berskala besar. Aspek keadilan, kebersihan diri dan kediaman, dan kecaknaan terhadap binatang peliharaan dan alam sekitar, umpamanya, yang ditekan oleh Islam, tidak tertonjol sebagai suatu tradisi kehidupan ini. Masih belum lahir suatu civilizational ambience (pertumpukan peradaban) dalam sejarah Islam kontemporari yang boleh menjadi rujukan dan kebangaan ummah. Lebih membimbangkan lagi ialah apabila perubahan dan pembangunan, sekalipun diselit dan disulami oleh nilai-nilai tamadun yang bersumberkan al Quran dan Hadith, atau sejarah ummah, semakin

(11)

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 11

terggarap oleh anasir dan unsur demokrasi liberal dan kapitalisme yang tidak semestinya selari dengan tuntutan keagamaan.

Ritorik dan ritus yang menguasai kehidupan Islam di mana-mana belum benar-benar bertukar menjadi kenyataan konkrit di peringkat kemasyarakatan dan kenegaraan. Benar dari semasa ke semasa telah muncul individu Muslim yang hebat sehingga mempengaruhi manusia lain, menyebabkan mereka memelok Islam, tetapi itu tidak mencukup untuk membawa kepada transformasi menyeluruh atau berskala peradaban.

Keadaan sebegini gampang mengundang pertanyaan, apakah benar kata-kata seorang pemikir Barat, bahawa ‘Islam is the best religion, Muslims are the worst followers”.

Pada masa yang sama, Barat menghidangkan sesuatu yang mengikjaz atau mengkagumkan, dengan kehidupan ketamadunnya yang berpusat di Amerika Syarikat atau Eropah Barat, manakala Timor pula menayangkan kemajuan materialnya yang mengasyikkan berpengkalan di China, Jepun dan Korea Selatan. Orang Islam tersempit antaranya, atau terpaksa hidup di celah-celah masyarakat bukan-Muslim ini. Muslim menjadi pembonceng sejarah semasa, sebahagian daripadanya, secara langsong dan tidak langsong, menjadi pendukong dan penggiat pergerakan peradaban asing. Jumlah orang Islam yang semakin membesar di Amerika Syarikat dan Eropah Barat terutama sekali sememangnya adalah suatu kehadiran bermakna daripada segi jangka jauh, tetapi setakat ini keberadaannya masih merupakan pelengkap kepada proses pentamadunan di daerah mereka bermastautin atau belum menjelma sebagai pembina peradaban Islam yang berjaya di persada baru mereka.

Segalanya tidak terhenti di situ. Barat yang pernah menjajah dan kemudiannya menggoda orang Islam sepanjang lebih daripada 500 tahun berterusan berada dalam perkarangan hidup Muslim di mana-mana, sebahagiannya daripadanya merancang untuk memusnah mereka dan mempastikan Islam tidak bangkit. Dalam keadaan orang Islam dan penduduk di negara-negara membangun yang lain memonopoli kebodohan daripada segi geo politik, mereka begitu mudah diperdaya dan dilaga-lagakan, sebagaimana yang pernah berlaku di Afghanistan, Iraq dan kini di Syria. Pengalaman lepas masih gagal memberikan kesedaran dan keinsafan tentang nasib yang telah menimpanya, sehingga mereka sanggup membiarkan sejarah berulang di mana-mana. Persekitaran kacau bilau dan tidak menentu yang

(12)

diakibatkan oleh adu dumba musuh Islam menyukarkan lagi pendukung dan penggiat Islam untuk menggubah peradaban yang diidam-idamkan.

Pengetahuan adalah pra-syarat dalam penggubahan peradaban.

Namun pada realitinya, kebebasan yang sedang dikecapi gagal dimanfatkan oleh ilmuan Islam yang berjumlah sebegitu besar dewasa ini. Curahan pengetahuan keagamaan dari masa lalu bertemu dan bertempur dengan maklumat dan informasi mengenai peradaban semasa yang didukong oleh Muslim dan bukan-Muslim. Gerakan Islam yang berusaha memaparkan peradaban Islam sebagai suatu gubahan ideal, menerusi penukilan daripada al-Quran dan hadith, dan penyaringan sejarah ummah, sedang bertembung dengan arus pemikiran yang menobat dan memartabatkan tamadun lain, sama ada yang tertara di Barat, atau yang tertubuh di Timor.

Dalam keadaan umat Islam sedang berada di persimpangan jalan ini, maka mahu tidak mahu, mereka seharusnya mengenal pasti landasan dan mengatur langkah, supaya perjalanan seterusnya adalah sebahagian daripada destinasi- ia itu kehidupan berperadaban. Ini adalah untuk menggelak kecelaruan yang sudahpun menjadi ciri pengalaman mereka selama ini. Paradigma peradaban yang bersauhkan dan berkerangkakan iman seharusnya diangkat menjadi pelan berfikir dan bertindak.

Ketakwaan ini pula disusuli dan diiringi oleh pemahaman situasi semasa dan pemilikan kebolehan dan kekayaan material, untuk mewujudkan komponen-komponen peradaban. Kehidupan yang dikonsepsikan sebegini mungkin dapat beroperasi di peringat lokal sebagai permulaan, tetapi menerusi penjelmaannya seterusnya, ia mampu mengembang menjadi suatu kesatuan dan keseluruhan yang besar dan berimpak tinggi.

Seorang penulis menamakan tahap-tahap yang terpaksa dilalui ini sebagai world-view formation atau pembentokan pandangan-dunia, diikuti oleh concretized level atau penghayatan yang nyata, dan seterusnya massive dissemination of the world-view, atau pemsyarakatan pandangan-dunia berkenaan.10

Di Malaysia, kondisi dan keadaan sama juga menjelaskan betapa sukarnya laluan yang terpaksa dihadapi oleh orang Islam untuk membumikan nilai-nilai peradaban. Pengislaman yang tidak mantap dan pandangan keIslaman yang tidak matang menghalang penyuburan cita- cita pembentokan tamadun. Kesemuanya pihak kekal berdepan dengan pertanyaan yang tidak terjawab: Bukankah ‘Islam itu tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya?’.

(13)

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 13

Grand Strategy dan Gubahan Peradaban Islam Masa Depan

Gubahan peradaban Islam dalam apa keadaan sekalipun mestilah berlandas prinsip-prinsip yang sedia tertara atau terterap dalam al-Quran dan Seerah Nabawiyyah, apatah lagi jika sekiranya pegangan dan pendirian ini pernah menkerangkakan sejarah ummah. Pengungkapan baru dalam konteks dunia semasa hendaklah bertitik tolak dari situ dan mengambil kira perkara ini; dalam bahasa lain, kaedah dan matlamat mestilah Islamik. Namun oleh kerana zaman sudah berubah, dan cabaran yang terpaksa dihadapi tidak sama, maka segala yang terkandong dalam khazanah masa lalu juga perlu disuluh dengan kritis, dengan dituruti oleh pendekatan sekarang, dan pengisian selari dengan tuntutan keadaan.

Malah perjalanan ummah selama inipun, sebagaimana yang ternukil dalam banyak tulisan, seharusnya dinilai semula supaya dimensi bukan Islamik disisihkan, dan tidak dibiar berlarutan mencemar nama baik agama. Pemahaman masa lalu sewajarnya didekati menerusi teropong pandangan-dunia Islam. Garisan ini penting dipertahankan untuk membolehkan kelahiran sebuah kehidupan yang menyeluruh tetapi masih berkerangkakan Islam.

Cabaran di peringkat antarabangsa dan nasional seharusnya ditangani dengan penuh kebijaksanaan. Persekitaran luar dengan ciri-ciri globalnya yang semakin berkembang masih merupakan dunia negara- bangsa, atau a world of nation-states. Sama ada ia bersifat satu-pusatan (unipolar), atau dwi-pusatan (bi-polar) atau banyak-pusatan (multi- polar), ia tetap bergerak mengikut retak dan ragam kepelbagaian negara, termasuk negara-negara Muslim. Kesatuan ummah dalam sejarah tidak mudah untuk dibangun kembali, apatah lagi di kalangan negara berpendudukan majoriti orang Islampun hampir tidak terdapat langsung pihak yang berkecenderongan untuk mengembalikan perpaduan zaman silam. Negara dan masyarakat Muslim jelas sekali tidak dapat berinteraksi dengan prinsip-prinsip peradaban secara seragam, di sebabkan sejarahnya yang berlainan, dan tahap kesedaran dan kefahaman Islam penganutnya yang tidak setara. Peradaban Islam juga tidak dapat bernaung di bawah sebuah kuasa Islam global, sebagaimana ia pernah berkembang di bawah Empayar Uthmaniyyah. Penyatuan fikrah amat sukar ditempa dalam keadaan sebegini.

Dengan segala konkongan dan kekangan ini, ditambah pula oleh asakan musuh yang sememangnya tidak mahu umat Islam bangkit dan menyainginya, saperti mana yang pernah berlaku pada zaman Perang

(14)

Salib, persoalan menterjemahkan nilai-nilai peradaban Islam menjadi realiti menjadi semakin mencabar. Sehubungan ini, pendukung cita-cita Islam dan pemaju ummah seharusnya berfikiran luas, berjangka jauh, dan bersasaran, ia itu mencipta grand strategy bagi menangani keadaan sekeliling yang berterusan menggugat ini. Selama ini, semenjak tamatnya Perang Dingin terutama sekali, orang Islam umumnya telah dibuai oleh impian dan imaginasi, sambil membuat invokasi terhadap masa lepas dengan penuh nostalgik, tetapi menyedari ia tidak boleh diresukreksi atau di reka bentok semula, atau berseronok dengan kelemahan dan kerapuhan tamadun sekular moden, walaupun menyedari ia sukar untuk ditandingi.

Grand strategy yang dimaksudkan diharap dapat menjadi jalan keluar dalam kepelbagaian keadaan yang menyelubungi ummah hari ini.

Pada peringkat nasional, penajaan dan penjanaannya boleh berlaku dalam konteks kehidupan individu dan masyarakat, dan kalau keadaan mengizinkan, di peringkat nasional. Manusia dan masyarakat Muslim di mana-mana beroperasi mengikut kedudukan masing-masing, dengan segala cabaran dan ancaman yang terpaksa dihadapi, tetapi masih terhala kepada cita-cita besar, ia itu penghayatan nilai peradaban Islam yang menyeluruh. Namun begitu, pemikir dan penglibat Islam tidak sepatutnya memilih jalan mudah atau jalan pintas untuk menghayati nilai-nilai peradaban Islam seperti ‘keadilan’, ‘amanah’, ‘toleransi’,

‘kesederhanaan’, dan ‘keamanan’ dengan mengetepikan Syariah. Tanpa kaedah yang betul matlamat boleh terbatal, kerana dalam Islam, ‘the end justifies the means’ hanya dibenarkan dalam situasi-situasi tertentu, saperti darurah. Paling tidak, pembugaran nilai-nilai ini seharusnya dilakukan serentak dan seiring dengan permartabatan Syariah, supaya pelakuannya tidak terasing daripada teras ajaran agama. Korupsi, nepotisme, kronisme, yang sering diberi penekanan sebagai gejala-gejala negatif boleh terhapus, apabila manusia dan masyarakat berkembang dalam wadah dan wawasan Islam. Adalah suatu perkembangan yang tidak sihat apabila pemberatan berlebihan diberi kepada ‘Maqasid Syariah’, sehingga perjalanan Islam terhindar daripada pengamalan dasar beragama. ‘Islamicty Index’ yang telah dimantrakan sebagai penanda aras oleh Hossein Askari Scheherazade Rahman dari Universiti George Washington boleh dijadikan rujukan dan rangsangan untuk membangun peradaban Islam, tetapi pembangunan ekonomi dan politik, penguatkuasaan undang-undang dan pertahanan hak asasi, hendaklah berlandaskan agama. Ternyata debat lama antara ‘the substance of Islam’

(15)

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 15

dan ‘the spirit of Islam’ yang mencirikan perbahasan mengenai kemajuan ummah dalam dunia moden terbangkit kembali sehubungan ini.

Pemupukan kehidupan masyarakat dan negara dalam wawasan peradaban Islam ini mampu menghasilkan dua kesan besar di peringkat antarabangsa; pertama, sekiranya gubahan ini wujud merata, maka akan berlaku pertautan antaranya, dan akhirnya akan berlaku penyeragaman atau pengharmonian dalam dunia Islam. Kehidupan berskala kecil di peringkat tempatan akan bertemu sebagai batu bata dalam penggubahan peradaban sejagat. Kedua, manusia dan masyarakat Muslim yang tergarap oleh nilai-nilai keislaman ini masih berkedudukan bergerak seiring dengan dunia global yang memberi penekanan kepada hak asasi manusia, kebebasan dan kesejahteraan hidup, persekitaran ekologi dan seumpamannya, dengan mendukung Universal Declaration of Human Rights, Biological Weapons Convention against Germ Warfare8 dan sebagainya. Partisipasi jenis ini memungkinkan lahirnya win-win situation, bilamana pihak Muslim dan bukan-Muslim meraih keuntungan bersama, menerusi persefahaman dan kerjasama . Manfaat yang diterima akan turut dinikmati oleh kelompok-kelompok Muslim di rantau bukan- Islam.

Komuniti Muslim yang terhimpit di negara-negara bukan-Muslim, khasnya di Barat dan di Timor Jauh, mempunyai saham tersendiri dalam pembangunan peradaban Islam ini. Mereka ini mempunyai ciri-ciri tersendiri yang tidak dimiliki oleh Muslim lain. Pertama, mereka adalah penghijrah daripada negara asal dan kini sedang menempa kehidupan baru di bumi tamu dengan segala kemudahan dan kesusahannya. Kedua, mereka ini terhumban dan dikelompakkan bersama pendatang lain, yang membolehkan mereka berinteraksi melewati batas-batas kepuakan dan keetnikan, dan membugarkan kehidupan Islam di dunia asing. Ketiga, mereka turut didedahkan kepada nilai-nilai tinggi peradaban di daerah barunya, yang boleh menjadi ikutan dan dipadankan sebagai nilai-nilai Islam. Jumlah mereka juga sedang bertambah. Di Perancis terdapat sekitar 2.5 juta penganut Islam, sebahagian daripadanya adalah pendatang baru. Daripada 5,4 juta penduduk Denmark, sebuah negara terpencil di Eropah, sudah terdapat lebih daripada 200 000 Muslim. Di New York sahaja sudah wujud 140 masjid dan surau bagi menampung keperluan Muslim di kotaraya itu. Golongan Islam lain terdiri penganut baru, yang semakin bertambah jumlahnya, khasnya di Barat. Seandainya, semakin ramai daripada kalangan bangsa Eropah Utara, atau bangsa Nordik, memilih Islam, apakah haluan Islam akan berubah, dan

(16)

peradabannya berkembang, memandangkan mereka ini sedia terbukti hebat daripada segi keupayaan meneroka dan mencipta.

Dalam keperihalan keadaan di Malaysia, realiti semasa dengan pembebasan bergerak dan bersuara, dan pengkayaan ilmu, seharusnya ditangani menerusi grand strategy yang sama, yakni pemerkasaan hidup Islamiyyah dan penyatuan sasaran hidup bermasyarakat dan bernegara.

Hanya nilai-nilai peradaban yang terpugar dalam acuan yang kukuh sahaja mampu berkembang segar dan berimpak. Kehidupan di Malaysia yang semakin ditandai oleh kebebasan bergerak dan bersuara, dan kehadiran puluhan ribu pendakwah, sepatutnya dikerangkakan sebegitu rupa agar pemimpin dan pengikut Islam bertindak dalam aliran fikiran perdana, berlandaskan pegangan hidup yang menyatupadukan Muslim dan bukan-Muslim, dan berkembang dalam wawasan peradaban.

Gagasan ini mungkin berbentuk Fiqh Malaysia, yang mengambil kira sejarah tempatan dan realiti semasa yang menyelubungi masyarakat di sini, tetapi selama dan selagi ia boleh dirangkai dan dirantaikan dengan grand strategy ummah yang merentasi sempadan negara, maka ia adalah batu bata yang akan membantu dan membangun keseluruhan peradaban Islam semasa. Persoalannya ialah untuk melahirkan kehidupan peradaban melewati batas-batas individu, dengan kehidupan Islam berjangkitan di peringkat sosial, sehingga terbentuknya pusat perkembangan peradaban (civilizational growth centres). Anggota masyarakat bukan sekadar berpakaian menutup aurat dan mengecapi makanan halal, anak-anak mereka bukan setakat berpendidikan madrasah dan ma’had tahfiz, dan orang tua dan orang muda bukan hanya berkunjung ke masjid dan surau dengan ramainya untuk bersembahyang berjemaah, tetapi keberadaan ini berhubungan dan berangkaian dalam suatu sistem kehidupan yang aktif, kreatif dan kumulatif. Penjelmaan kehidupan sosial yang berkerangkakan akidah dengan pengisian Islamnya, dari segi penyusunannya, penjagaan keamanan, kebersihan dan alam sekitarnya, tidak semestinya berlaku di bandar dan kota, sekalipun sesebuah peradaban biasanya dikaitkan dengan kehidupan kebandaran atau kekotaan. Dalam konteks inilah, diharapkan semoga bandar dan kota saperti Bangi dan Shah Alam mempelupuri proses perdaban, dengan berkembang beracuankan pandangan-dunia Islam, dan menjadi pusat perkembangan peradaban. Kehadiran pusat perkembangan peradaban yang berimpak akan menjadi celupan kepada mereka yang mengharungi kehidupan di dalamnya, dan menjadi rujukan kepada mereka yang melihatnya dari luar.

(17)

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 17

Kesimpulannya, kerangka peradaban amat diperlukan, supaya kehidupan Islam terhala dan terurus menuju gubahan peradaban. Kegagalan berbuat demikian menjanji mala petaka, dan itulah yang diharapkan berlaku oleh pihak musuhnya. Gerakan Islam sudahpun di perihalkan sebagai “...a movement which finally will exhaust itself, since it lacks the intellectual resources capable of giving the Islamic people what they want”.9 Apakah pada hari kita berada dalam situasi sebegini?

Nota Hujung

(1) Perbahasan lanjut terdapat dalam Mohamad Abu Bakar, “OIC dan Fiksyen Perpaduan Ummah”, PEMIKIR, Julai-September 1999, hlm. 1-26.

(2) Untuk kupasan seterusnya, lihat Mohamad Abu Bakar, “Managing the Future:

Islam in the Post-Cold War Era”, dalam Syed Othman Alhabshi dan Nik Mustapha Nik Hassan (ed.), Islamic Civilization. Present and Future Challenges, IKIM, Kuala Lumpur, 1995.

(3) Sebahagian daripada perbincangan mengenai ini terdapat dalam Mohamad Abu Bakar, Without Locke or Lenin. The Impact of Resurgent Islam on International Politics, Syarahan Perdana, Universiti Malaya, 7 Oktober, 2004.

(4) Samuel Huntington, Clash of Civilizations and the Remaking of the New World Order, New York: Simon & Schuster, 1996, hlm. 211.

(5) Andrew Osborne, “Putin: Collapse of the Soviet Union was a ‘catastrophe of the century’”, Independent (London), April 26, 2005.

(6) Lihat umpamanya, Henry Kissinger, World Order, Penguin Books, 2014, hlm.

146-171.

(7) Perbincangan terperinci terkandong dalam Mohamad Abu Bakar, “Dilema Dakwah. Pengislaman dalam Era Pensejagatan”, PEMIKIR, Oktober- Disember, 1997, hlm.60-89

(8) Sebahagian daripada persoalan ini termuat dalam Mohamad Abu Bakar, “The Globalization of Islamic Values and the Future of International Relations”, Kertaskerja International Congress of Cultural Contacts in Building a Universal Civilization: The Role of Islamic Contribtuitons, American University of Sharjah, Sharjah, United Arab Emirates, January 17-19, 2004.

(9) William Pfaff, Wrath of Nations. Civilization and the Futures of Nations, A Touchstone Book, New York, 1994, hlm. 197

(10) Suatu perbahasan menarik terdapat dalam Alparslan Acikgenc, “The Conceptual Foundation for the Emergence of Islamic Civilization”, dalam Syed Othman Alhabshi dan Nik Mustapha Nik Hassan (ed.), Islamic Civilization. Present and Future Challenges, IKIM, Kuala Lumpur, 1995.

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN

Hasil kajian juga menunjukkan bahawa wujud kegusaran dalam kalangan masyarakat Cina bukan Muslim dengan fenomena konversi agama Islam hasil dialog kehidupan yang

Kesimpulannya ialah, sesuatu masalah terutamanya yang berkaitan dengan hak Muslim dan bukan Muslim yang menghuni asrama akan menjadi lebih mudah diselesaikan apabila

Setelah menggariskan langkah-Iangkah yang diambil oleh kerajaan, boleh dirurnuskan bahawa Malaysia mampu bersaing dengan negara-negara lain dalam ICT. Bukan itu sahaja,

Perniagaan Sfiameera Mousing (Plan Consultant ini menjadi pilihan kami kerana pada masa kini masyarakat lebih cenderung untuk mencuba sesuatu yang baru, yang mana

Ini menunjukkan bahawa jika di dalam sesebuah kehidupan, elemen muzik diketepikan, tiada sesuatu yang boleh menjadikan ianya lebih menarik dan bermakna.ini

Dimana masa menunggu bagi pelanggan dapat di kurangkan dan lebih banyak pemasangan dapat dilakukan .Kami berharap agar lebih banyak lagi syarikat seperti ini dapat di tubuhkan

Perkembangan yang di lihat menjadi keperluan pada masa depan adalah persekitaran kerja yang lebih fleksibel yang memenuhi keperluan semua pekerja, memberikan mereka

Cadangan kerja menaiktaraf kafe dan ruang santai kelab COBRA di Lot 7, Lorong Utara B, Jalan Utara, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan adalah daripada klien saya yang