• Tiada Hasil Ditemukan

View of TUAN GURU HAJI HASAN BIN MAT SAMAN: SUMBANGANNYA KEPADA MASYARAKAT

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "View of TUAN GURU HAJI HASAN BIN MAT SAMAN: SUMBANGANNYA KEPADA MASYARAKAT"

Copied!
7
0
0

Tekspenuh

(1)

International Journal of Social Science Research eISSN: 2710-6276 [Vol. 2 No. 2, June 2020]

http://myjms.moe.gov.my/index.php/ijssr

TUAN GURU HAJI HASAN BIN MAT SAMAN:

SUMBANGANNYA KEPADA MASYARAKAT

H. Y. Ahmad Mujahideen1*, H. Huzaini2, A. K. Abdullah3 dan C. D. Mohd Zaki4

1 Jabatan Usuluddin, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, MALAYSIA

2 3 Pusat Khidmat Akademik, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, MALAYSIA

4 Jabatan al-Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, MALAYSIA

*Pengarang penghubung: mujahideen@kias.edu.my

Article Information:

Article history:

Received date : 10 June.2020 Revised date : 15 June.2020 Accepted date : 4 May 2020 Published date : 12 May 2020

To cite this document:

Ahmad Mujahideen, H., Huzaini, H., Abdullah, A., & Mohd Zaki, C. (2020).

TUAN GURU HAJI HASAN BIN MAT SAMAN: SUMBANGANNYA KEPADA MASYARAKAT.

International Journal Of Social Science Research, 2(2), 32-38.

Abstrak: Kedatangan agama Islam telah merubah keadaan sosial, politik dan ekonomi masyarakat khasnya bagi masyarakat Melayu yang bergama Islam.

Kemunculan para ulama dianggap sebagai penyumbang kepada perkembangan Islam di Tanah Melayu tidak dapat disanggah dan dipertikaikan. Di Kelantan, terdapat seorang ulama tersohor yang mempunyai keistimewaannya tersendiri iaitu Tuan Guru Haji Hasan bin Mat Saman atau lebih masyhur dengan panggilan Pak Chu Hasan Tok Wali. Namun begitu, perihal dan sumbangan tokoh ulama ini kurang diketahui masyarakat kerana kurangnya kajian berkaitan dengannya dijalankan. Oleh itu, artikel ini bertujuan untuk menjelaskan sumbangan beliau kepada masyarakat agar lebih diketahui ramai. Artikel ini berbentuk kualitatif sepenuhnya yang menggunakan metode pengumpulan data dan penganalisaan data yang melibatkan kaedah kepustakaan dan temu bual. Artikel ini menjelaskan bahawa Tuan Guru Haji Hasan bin Mat Saman atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Chu Hasan Tok Wali merupakan seorang tokoh ulama Melayu Kelantan yang banyak memberikan sumbangan kepada masyarakat khususnya dalam penyebaran ilmu agama, perubatan Islam, pemberian sumbangan kepada yang memerlukan dan lain-lain sama ada di Kelantan atau di Selatan Thai. Beliau juga pernah terlibat dalam kancah politik tanah air dengan menjadi calon di Parlimen Ulu Kelantan dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1982.

Kata Kunci: Hasan bin Mat Saman, Pak Chu Hasan, Wali, Sumbangan.

(2)

1. Pengenalan

Kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu telah membawa sinar baharu dan sekaligus telah membawa perubahan yang besar secara menyeluruh kepada kehidupan masyarakat (Huzaini Hashim, 2020). Sumbangan para ulama dalam perkembangan Islam di alam Melayu adalah sangat besar. Para ulama memainkan peranan yang penting dalam usaha memartabatkan Islam (Ahmad Mujahideen Haji Yusoff, 2019). Semua bentuk sumbangan dan kesungguhan para ulama terdahulu dalam mencari dan menuntut ilmu serta mendidik telah membawa kepada satu perubahan yang positif kepada masyarakat di rumpun Melayu ini (Wan Mohd Shaghir Abdullah, 2000).

Kemunculan para ulama dianggap sebagai penyambung kepada kesinambungan keilmuan di alam Melayu sejak kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Kurun ke-20 telah menyaksikan kemunculan tokoh-tokoh ulama Melayu yang memainkan peranan yang penting dalam perkembangan Islam di Tanah Melayu (Nor Azrina @ Nor Azura Ab. Rahman, 2007). Antara usaha para ulama Melayu yang besar ialah melalui penyebaran ilmu-ilmu agama yang sangat berharga kepada masyarakat yang menjadi sumber rujukan dan panduan kepada masyarakat sehingga ke zaman sekarang (Ahmad Mujahideen Haji Yusoff, 2019).

Sejarah perkembangan Islam di Negeri Kelantan juga berkait rapat dengan perkembangan tokoh-tokoh ulama dan cendekiawan Melayu Kelantan yang telah menyumbang usaha bagi memberikan pengajaran dan kesedaran kepada masyarakat (Shafwan Ismail, 2019). Seiring dengan perkembangan zaman, penyebaran ilmu agama semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Perkembangan yang bermula sejak perluasan agama Islam di Tanah Melayu akhirnya tersebar ke negeri-negeri di Kepulauan Melayu dan Nusantara. Ini telah menggalakkan perkembangan keilmuan di institusi-institusi pendidikan antaranya institusi pengajian pondok (Nor Azrina @ Nor Azura Ab. Rahman, 2007).Termasuk dalam memberikan sumbangan besar tersebut ialah Tuan Guru Haji Hasan bin Mat Saman atau lebih dikenali dengan Pak Chu Hasan Tok Wali yang merupakan seorang tokoh ulama hebat. Menurut Md Ramly Mahmood (2006), Tuan Guru Haji Hasan bin Mat Saman banyak memberikan sumbangan dalam penyebaran ilmu yang dimiliki kepada masyarakat di Kelantan dan di Selatan Thai.

2. Sumbangan Hasan bin Mat Saman Kepada Masyarakat

Di Pondok Lati, Pasir Mas, Kelantan telah menetap seorang insan yang sangat dikenali dengan keperibadiannya oleh penduduk setempat yang lebih mesra dengan panggilan Pak Chu Hasan (Che Samsudin b. Mohamed Noor, 2004). Pak Chu Hasan tidak sebagaimana para pendakwah lain yang hanya ingin dikelilingi oleh orang-orang Islam yang kuat beramal ibadat di masjid.

Beliau muncul dalam masyarakat setempat di merata tempat dengan imej yang serba sederhana.

Pak Chu Hasan mengharungi kehidupannya dan berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa (Huzaini Hashim, 2020).

(3)

Pak Chu Hasan tidak hanya memilih masjid-masjid besar di negeri Kelantan untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu pengetahuan. Apa penting bagi beliau ialah mesej tentang kekuasaan Allah S.W.T perlu disampaikan dalam apa jua keadaan sekalipun (Rafeah Mamat, 2019). Selain daripada mengajar ilmu agama di Kelantan, Pak Chu Hasan suka merantau ke Selatan Thai untuk mengajar ilmu agama kepada masyarakat Melayu Islam di sana. Beliau mengajar ilmu agama di sana kerana masyarakatnya masih kurang tahu tentang agama Islam (Abdul Halim Mat Nor, 2019).

Keinginan Pak Chu Hasan untuk pergi mengajar ilmu agama di sana timbul selepas 35 tahun beliau memondok di Pondok Lati. Keinginan beliau akhirnya menjadi kenyataan apabila Pak Chu Khair yang merupakan antara saudara mara Pak Chu Hasan dari Kampung Golok Tua telah datang menjemput beliau ke Selatan Thai pada sekitar tahun 1967. Mulai saat itu, setiap minggu Pak Chu Hasan sentiasa berulang-alik dari Pondok Lati ke Kampung Golok Tua. Pak Chu Hasan hanya berada di Pondok Lati pada malam Selasa bagi memenuhi hajat orang ramai (Rafeah Mamat, 2019).

Dalam kehidupan seharian, Pak Chu Hasan dikenali sebagai seorang yang ringan tulang kerana suka menolong golongan yang susah khasnya mereka yang menghidapi pelbagai penyakit. Di pondok Lati, Pasir Mas, Kelantan nama beliau semakin menyerlah dan dikenali ramai sebagai seorang pengamal perubatan Islam yang hebat. Susulan ini, pondok Pak Chu Hasan sering dikunjungi oleh mereka yang menghadapi pelbagai penyakit dan masalah peribadi. Dalam pada itu, mereka juga memberi sedekah (hadiah) kepada Pak Chu Hasan sebagai tanda terima kasih di atas usaha beliau mengubati pelbagai penyakit yang mereka hidapi (Che Deraman Che Wil, 2019).

Dalam pada itu, Pak Chu Hasan turut menyediakan tempayan hijau bagi mengatasi masalah pesakit-pesakit yang datang dari jauh ketika ketiadaan beliau. Kebiasaannya Pak Chu Hasan akan menjampi air dalam tempayan hijau sebelum beliau berangkat untuk berdakwah di Kampung Golok Tua, Selatan Thai. Kedatangan orang ramai untuk mendapatkan air tawar Pak Chu Hasan tidak pernah putus malah mereka saling meninggalkan sedekah wang ringgit untuk Pak Chu Hasan (Sepiah Yakub, 2019). Antara kaedah yang digunakan oleh beliau dalam mengubati pesakit yang datang menemui beliau ialah dengan cara mendoakan dan memberikan air tawar (air penawar yang telah dibacakan doa, selawat dan ayat-ayat suci al-Quran) (Rafeah Mamat, 2019).

Kebiasaannya pada setiap hari Selasa, pondok tersebut dibanjiri oleh ratusan manusia dari seluruh pelusuk tanah air untuk menuntut ilmu daripada beliau. Selain itu, beliau mempunyai kepakaran dalam mengubati penyakit secara Perubatan Islam. Oleh sebab itu, orang ramai yang datang berjumpa dengan beliau untuk mendapatkan rawatan daripada beliau (Abdul Halim Mat Nor, 2019). Beliau berusaha membantu untuk memulihkan individu-individu yang menghidap penyakit zahir dan juga penyakit batin seperti individu yang terkena sihir. Puan Munah binti Salleh yang merupakan anak saudara beliau sering disuruh untuk membuang barang-barang sihir yang telah dipulihkan oleh Pak Chu Hasan ke sepohon pokok nibong yang berada di belakang rumah beliau (Munah Salleh, 2019).

(4)

Pak Chu Hasan bukan sahaja dikunjungi oleh masyarakat Melayu yang beragama Islam, malah pelbagai bangsa dan anutan agama daripada segenap lapisan masyarakat turut datang mengunjungi beliau. Pihak Istana Kelantan dan Pahang pernah mencemar duli mengunjungi beliau untuk mendapatkan rawatan (Mohd Zulhisyam bin Che Wil, 2019). Selain itu, ada juga individu-individu tertentu yang datang bagi tujuan-tujuan lain seperti mendapatkan nombor ekor termasuk orang-orang kenamaan, namun Pak Chu Hasan amat marah kepada golongan ini (Munah Salleh, 2019).

Orang ramai yang datang menemui beliau banyak memberikan sumbangan. Namun begitu, beliau ada memulangkan semula duit sumbangan tersebut kepada penyumbang berdasarkan kepada situasi penyumbang yang miskin atau susah. Duit sumbangan tersebut biasanya beliau simpan dalam lipatan kain pelikat yang dipakai beliau atau dibawah tikar tempat beliau duduk (Sepiah Yakub, 2019).

Meskipun begitu, Pak Chu Hasan tidak pernah menetapkan bayaran dalam khidmat mengubati pesakit yang datang. Beliau juga tidak pernah meminta sedekah daripada sesiapa demi menampung kehidupan beliau. Bukan harta kekayaan dan kemasyhuran yang beliau kejar, bahkan beliau hanya menggunakan sedikit sahaja wang yang diperolehi untuk keperluan peribadi. Manakala wang yang selebihnya disedekahkan pula kepada orang lain yang beliau fikirkan berhak untuk dibantu (Munah Salleh, 2019). Contohnya apabila ada orang yang datang memohon sumbangan untuk membina surau dan masjid, beliau tidak pernah mengira jumlah yang beliau sumbangkan kepada penerima tersebut. Antara individu yang kerap datang untuk memohon sumbangan ialah individu dari Kampung Kubang Ikan, Selatan Thailand (Rafeah Mamat, 2019).

Pak Chu Hasan juga banyak memberikan sumbangan kepada pembinaaan surau dan masjid di Kelantan. Antaranya sebuah masjid di Kampung Gaung dan sebuah surau di Kampung Padang Jelapang, Pasir Mas. Surau ini dibina hasil dari sumbangan beliau sepenuhnya sehingga orang ramai menamakan surau tersebut dengan nama Surau Pak Chu Hasan (Kamilah Che Roni, 2019).

Selain daripada memberi sumbangan dalam pembinaan surau dan masjid, Pak Chu Hasan juga banyak memberikan sumbangan dalam pembinaan wakaf-wakaf berteduh. Kebanyakan wakaf- wakaf yang disumbangkan itu dibina di padang sawah padi untuk kegunaan orang ramai berteduh (Hasan Daud, 2019).

Sebahagian besar hasil sedekah orang ramai kepada beliau digunakan untuk perbelanjaan adik- beradik dan saudara mara beliau untuk menunaikan fardu haji di Mekah. Ini kerana Pak Chu Hasan begitu yakin dengan pahala dan janji Allah S.W.T yang disampaikan melalui Rasul-Nya S.A.W (Rafeah Mamat, 2019).

Perkara ini mendorong Pak Chu Hasan membelanjakan sebahagian besar daripada harta beliau untuk menunaikan fardu haji di Mekah. Malah beliau sendiri telah empat kali menunaikan fardu haji. Keutamaan mengerjakan ibadah haji lebih tertumpu kepada adik-beradik perempuan dan anak-anak saudara perempuan beliau. Dalam kesempatan ini juga, Pak Chu Hasan menghantar cucu saudara beliau iaitu Mak Cik Som dan suaminya ke Mekah. Hal ini juga sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis (Sepiah Yakub, 2019).

Lantaran ini, Pak Chu Hasan turut bermurah hati menanggung perbelanjaan mereka bersama

(5)

perempuannya yang bernama Mariam yang tidak berkahwin. Ini kerana kewujudan mahram sebagai teman atau penjaga merupakan syarat utama bagi kaum muslimat untuk menunaikan ibadah haji di Mekah (Rafeah Mamat, 2019).

Di antara perbuatan yang sentiasa dilakukan oleh Pak Chu Hasan walaupun di mana sahaja beliau berada, hati beliau tidak pernah lekang daripada keinginan untuk melakukan kebajikan, antaranya ialah mengusahakan tanah yang terbiar. Kebiasaannya Pak Chu Hasan akan mendirikan wakaf untuk berteduh di sepanjang laluan perjalanan beliau. Di samping itu, beliau juga akan memastikan laluan tersebut bersih daripada segala apa yang menghalang keselesaan perjalanan orang ramai seperti duri, bangkai binatang dan sebagainya (Hydzelan Hashim, 2006).

Dalam pada itu, beliau juga menghidupkan dan menyuburkan tanah-tanah yang terbiar dengan penanaman pokok-pokok kelapa, duku, durian dan sebagainya yang boleh dimakan dan dimanfaatkan oleh sekalian makhluk. Dalam usaha tersebut, beliau tidak pernah mengharapkan balasan atau ganjaran hadiah daripada tuan tanah. Pak Chu Hasan tidak suka membiarkan tanah dengan begitu sahaja tanpa disuburkan dengan pelbagai tanaman. Apa yang lebih utama bagi Pak Chu Hasan hanyalah pahala sedekah yang bakal diterima daripada Allah S.W.T (Saudah Ahmad, 2019).

Pak Chu Hasan juga pernah terlibat secara langsung dalam arena politik tanah air. Cikgu Muhammad Fakhruddin bin Abdullah iaitu bekas ahli parlimen PAS bagi kawasan Pasir Mas pada tahun 1964 dan 1969 telah dilantik oleh PAS pusat sebagai pengarah pilihan raya PAS pada masa itu. Beliaulah yang mengemukakan nama Pak Chu Hasan kepada Ahli Jawatankuasa Agung PAS untuk bertanding di kawasan parlimen Ulu Kelantan bagi menentang Tengku Razaleigh Hamzah. Antara alasan yang dikemukakan oleh beliau ialah kerana Pak Chu Hasan disegani oleh pelbagai lapisan masyarakat di Kelantan. Perbelanjaan pilihanraya tidak menelan belanja yang besar sekiranya Pak Chu Hasan bertanding. Hal ini juga dapat menjimatkan tenaga kerja jentera PAS (Abu Hasan Musa, 2019).

Setelah mendapat persetujuan daripada semua Ahli Jawatankuasa Agung PAS, Cikgu Muhammad Fakhruddin telah diamanahkan oleh PAS untuk memaklum serta mendapatkan persetujuan Pak Chu Hasan untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut. Beliau bersama bapa mertua beliau iaitu Pak Kob Cabang Tiga Lati pergi berjumpa dengan Pak Chu Hasan dengan tujuan untuk berunding tentang pencalonan diri di Parliman Ulu Kelantan. Perundingan antara mereka tidak menjadi rumit. Pak Chu Hasan tidak menolak tawaran tersebut. Apa yang difikirkan oleh Pak Chu Hasan hanya bagaimana beliau dapat beribadat kepada Allah S.W.T dan berkhidmat kepada masyarakat di samping sentiasa menambahkan pahala melalui jawatan Yang Berhormat yang bakal disandang nanti (Bakhtiar Mohd. Fakhruddin, 2019).

Hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum 1982 jatuh pada 7 April 1982. Sebanyak 152 tempat penamaan calon dibuka pada hari tersebut. Bagi kawasan Parlimen Ulu Kelantan, pusat penamaan calon bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Krai. Waktu penamaan calon yang ditetapkan oleh Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya 1981) bermula dari jam 9 pagi hingga 11 pagi. Manakala masa bantahan terhadap penamaan calon pula bermula dari jam 11 pagi hingga jam 12.30 tengah hari. Borang penamaan calon Pak Chu Hassan disiapkan sehari lebih awal di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan di Kota Bharu (Abu Hasan Musa, 2019).

(6)

Mengikut laporan SPR, jumlah pemilih di perlimen tersebut ialah seramai 32350 orang. Kertas undi yang dikeluarkan pula sebanyak 26100 keping. Peratus undian adalah sebanyak 80.68%.

Manakala undi yang ditolak pula sebanyak 717. Setelah undi dikira, keputusan kemenangan didapati berpihak kepada Tengku Razaleigh Hamzah. Secara keseluruhan juga, Barisan Nasional masih dapat mengekalkan kedudukan parti pemerintah. Dalam pilihan raya tersebut, Barisan Nasional memenangi 133 kerusi daripada 154 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Manakala bagi kerusi dun pula, Barisan Nasional meraih sebanyak 294 kerusi dun daripada jumlah 312 kerusi dun (Hydzelan Hashim, 2006).

Bagi kawasan P27 Ulu Kelantan, N34 Jeli, N35 Gua Musang dan N36 Manik Urai, keputusan pengiraan undi yang diterima oleh SPR agak terlewat daripada tempoh masa yang ditetapkan iaitu pada pukul 10 malam, 23 April 1982. Mengikut laporan SPR, kelewatan pengiraan dan keputusan pilihanraya di kawasan-kawasan tersebut disebabkan kerana beberapa buah peti undi yang tidak dapat dibawa ke tempat pengiraan undi kerana terhalang oleh banjir yang membahayakan pendaratan helikopter yang ditugaskan pada hari itu (Hydzelan Hashim, 2006).

Dalam hal ini, Pak Chu Hasan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pilihanraya P27 Ulu Kelantan yang diterima beliau. Beliau mendesak pucuk pimpinan PAS supaya mengemukakan rayuan ke mahkamah untuk dibicarakan, namun tiada sebarang tindakan susulan daripada mereka. Walaupun diistiharkan kalah, namun Pak Chu Hasan tetap yakin beliau telah menang. (Bakhtiar Mohd. Fakhruddin, 2019).

Selepas itu, Pak Chu Hasan meneruskan aktiviti rutinnya ke Kampung Golok Tua, Selatan Thai.

Beliau kembali untuk memenuhi hajat masyarakat di Kelantan hanya pada hari Selasa.

Walaupun pada ketika ini usia beliau sudah menjangkau 67 tahun, namun semangat untuk berkhidmat dan menambah pahala sentiasa utuh di jiwa beliau sehingga ke akhir hayat beliau (Saudah Ahmad, 2019).

3. Penutup

Kesimpulannya dapatlah diterangkan bahawa Tun Guru Hasan bin Mat Saman atau lebih dikenali dengan Pak Chu Hasan Tok Wali adalah seorang tokoh ulama yang disegani dan dihormati oleh setiap lapisan masyarakat serta banyak memberikan sumbangan. Ini kerana, beliau bukan sahaja seorang yang hebat dari segi ilmu dan penyebarannya bahkan mahir dalam perubatan Islam serta seorang yang pemurah dan suka menolong orang ramai. Selain itu, beliau bukan seperti kebanyakan ulama Melayu lain kerana beliau pernah melibatkan diri dalam medan politik tanah air dengan menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum 1982. Maka seharusnya pihak-pihak yang tertentu perlu mengambil usaha dengan mengadakan wacana, syarahan, diskusi atau seumpama dengannya untuk menerangkan sumbangan besar tokoh ulama hebat ini kepada umum agar masyarakat dapat lebih mengenali tokoh ini dan mengambil pedoman daripada beliau. Amat rugi sekiranya sumbangan besar yang beliau pernah berikan ini dibiarkan dengan begitu sahaja tanpa disebar luaskan kepada umum.

(7)

Rujukan

Abdul Halim Mat Nor. (2019, 5 Mac). Sumbangan Hasan Mat Saman (Temu bual).

Abu Hasan Musa. (2019, 4 April). Sumbangan Hasan Mat Saman (Temu bual).

Ahmad Mujahideen Haji Yusoff. (2019). Metodologi Penulisan Dan Takhrij Hadis Dalam Kitab Bersiri 40 Hadis Membudayakan al-Sunnah”. Tesis Dr. Fal, Pusat Pengajian Bahasa Dan Pembangunan Insaniah, Universiti Malaysia Kelantan.

Bakhtiar Mohd. Fakhruddin. (2019, 2 April). Sumbangan Hasan Mat Saman (Temu bual).

Che Deraman Che Wil. (2019, 19 Februari). Sumbangan Hasan Mat Saman (Temu bual).

Che Samsudin b. Mohamed Noor. (2004). Pengajian Hadis Di Kelantan: Satu Kajian Di Institusi Pengajian Pondok. Tesis Sarjana, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Hasan Daud. (2019, 12 Mac). Sumbangan Hasan Mat Saman (Temu bual).

Huzaini Hashim et. al. (2020). Allahyarham Hasan Bn Mat Saman: Sejarah Hidup, Karamah Dan Sumbangannya Kepada Masyarakat. Kota Bharu: Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismal Petra (KIAS).

Hydzelan Hashim. (2006). Tok Wali Hasan: Kota Bharu: Futraco Sdn. Bhd.

Kamilah Che Roni. (2019, 19 Mac). Sumbangan Hasan Mat Saman (Temu bual).

Md Ramly Mahmood. (2006). Peranan Pondok Dalam Pendidikan Islam Di Kelantan: Satu Kajian Di Pasir Mas, Kelantan. Tesis Sarjana, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Mohd Zulhisyam Che Wil. (2019, 26 Februari). Sumbangan Hasan Mat Saman (Temu bual).

Munah Salleh. (2019, 19 Februari). Sumbangan Hasan Mat Saman (Temu bual).

Nor Azrina @ Nor Azura Ab. Rahman. (2007). Metodologi Penulisan Hadith Dalam Kitab Mastika Hadith Rasulullah S.A.W. Karangan Syeikh Abdullah Basmeih Dan Kawan- Kawan. Tesis Sarjana, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Rafeah Mamat. (2019, 26 Februari). Sumbangan Hasan Mat Saman (Temu bual).

Saudah Ahmad. (2019, 19 Mac). Sumbangan Hasan Mat Saman (Temu bual).

Sepiah binti Yakub. (2019, 26 Februari). Sumbangan Hasan Mat Saman (Temu bual).

Shafwan Ismail. (2019). Pemikiran Ahmad Ismail Asasi Dalam Bidang Sosial Dan Politik Di Kelantan: Penelitian Terhadap Majalah al-Hikmah. Tesis Dr. Fal, Pusat Pengajian Bahasa Dan Pembangunan Insaniah, Universiti Malaysia Kelantan.

Wan Mohd Shaghir Abdullah. (2000). Wawasan Pemikiran Islam: Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah.

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN

Badlihisham Mohd Nasir (2006), “Ketokohan Dan Pemikiran Dakwah Tuan Haji Yusof Rawa (1922-2000)”, Farid Mat Zain, Jaffary Awang & Rabitah Mohd Ghazali (ed.),

Tetapi Ramli Awang lebih cenderung untuk menyokong pendapat yang dikemukakan oleh Tuan Guru Haji Saleh di atas dua sebab iaitu, Ramli Awang menyebutkan bahawa

Paradigma masyarakat yang masih menilai bahawa al-Qard al-Hasan merupakan produk pembiayaan sosial yang bersifat bantuan, sehingga pinjaman/pembiayaan al- Qard

Ibn Qayyim al-Jawziyyah, AbË ÑAbd AllÉh MuÍammad bin AbÊ Bakr bin ÑAyyËb, IÑlÉm al- MuwaqqiÑÊn Ñan Rabb al-ÑÓlamÊn, ed.: AbË Ubaydah MashËr bin Hasan Óli

Konsep rabitah yang difahami oleh Tuan Guru Haji Jahid bin Haji Sidek adalah lebih luas daripada apa yang telah dikemukakan oleh tokoh tasawuf silam kerana beliau menyifatkan rabitah

101 Dalam usaha membantu penduduk kampung, kumpulan parang panjang dari Kampung Semat yang dianggotai oleh Tuan Haji Yop Dun bin Haji Jana, Tuan Haji Mohd Jana bin Nordin, Tuan

Penglibatan beberapa orang ulama tempatan seperti Tuan Haji Salleh bin Abdul Manan, Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Manan dan Tuan Haji Shahbudin bin Lebai Sulaiman Bakul telah

52 Taklimat Kepada Jawatankuasa Tindakan dan Pembangunan Negeri pada 15 Februari 2000 di Bilik Gerakan Negeri, h. 54 Dasar Kebudayaan Negeri Kelantan 1998, Unit Perancang