• Tiada Hasil Ditemukan

View of Keberkesanan VAKT Dalam Meningkatkan Penguasaan Membaca Perkataan Digraf Dan Konsonan Bergabung Bahasa Melayu Murid Melanau Di Kelas Pemulihan Khas

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "View of Keberkesanan VAKT Dalam Meningkatkan Penguasaan Membaca Perkataan Digraf Dan Konsonan Bergabung Bahasa Melayu Murid Melanau Di Kelas Pemulihan Khas"

Copied!
8
0
0

Tekspenuh

(1)

Keberkesanan VAKT Dalam Meningkatkan Penguasaan Membaca Perkataan Digraf Dan Konsonan Bergabung Bahasa

Melayu Murid Melanau Di Kelas Pemulihan Khas (The Effectiveness of VAKT Method in Improving The Reading Proficiency Involved Digraph and Consonant Blend Among Melanau

Pupils in The Special Remedial Class)

Nor Qadariah Ishak1*, Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad2

1 SK Orang Kaya Muda Pakeri

2 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

*Pengarang Koresponden: GP07152@siswa.ukm.edu.my

Accepted: 1 June 2020 | Published: 15 June 2020

_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Kajian dijalankan bagi mengkaji keberkesanan Kaedah VAKT dalam meningkatkan penguasaan kemahiran membaca perkataan melibatkan digraf dan konsonan bergabung dalam kalangan murid Tahun 2. Empat orang murid Melanau yang mengikuti kelas Pemulihan Khas telah dipilih sebagai sampel kajian kerana mereka tidak menguasai kemahiran bacaan awal dengan baik. Tujuan kajian adalah untuk menganalisis tahap penguasaan murid dalam kemahiran yang diuji setelah Kaedah VAKT diaplikasikan dalam pembelajaran. Pengkaji menggunakan kaedah ujian dan saringan untuk mengutip data kajian. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan dipersembahkan dalam bentuk kekerapan dan peratusan. Dapatan awal daripada Ujian Diagnostik dan saringan Literasi menunjukkan peserta kajian kurang menguasai kemahiran yang diuji. Intervensi dijalankan selama dua minggu dan Kaedah VAKT diaplikasi dalam setiap aktiviti pembelajaran kemahiran membaca perkataan melibatkan digraf dan konsonan bergabung. Selepas intervensi dilaksnakan, peserta kajian telah menunjukkan peningkatan yang positif dan dapat menguasai kemahiran tersebut dengan baik. Kajian ini telah memberikan kesan terhadap keupayaan murid dalam menguasai kemahiran bacaan awal dengan cekap dan lancar. Selain itu, hasil kajian juga menunjukkan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran yang dirancang secara sistematik menggunakan kaedah dan strategi yang bersesuaian dapat membantu murid meningkatkan penguasaan mereka dalam pelajaran.

Kata kunci: Kemahiran Bacaan Awal; Digraf; Konsonan Bergabung; Kaedah VAKT;

Pemulihan Khas

Abstract: This research was carried out to study the effectiveness of VAKT method in improving the reading proficiency which involved digraph and consonant blend among Melanau pupils in the Special Remedial class. Four Year 2 Melanau pupils from the Special Remedial class were chosen as the research samples because they were still unable to master the pre-reading skill. The objective of this research is to analyse the pupils’ level of proficiencies in the tested skill after the VAKT method is applied in lessons. The data for this study were collected by using two instruments; examination and screening test. Then, the data were analyzed by using statistic descriptive method and were presented in tables and percentages. Based on the diagnostic examination and literacy screening, the targets of the research were still weak in mastering the skill tested. The intervention was then carried out

(2)

for two weeks and the VAKT method was applied in each lesson which involved digraph and consonant blend in its activities. After the intervention was conducted, the targets were able to show positive improvements and master the pre-reading skill. This also affected pupils’

ability to master the pre-reading skill. Besides that, the result of the study also shows that a systematic teaching and learning process which using methods and strategies can help pupils to improve their abilities in their studies.

Keywords: Pre-reading Skill; Digraph, Consonant Blend; VAKT method; Special Remedial _________________________________________________________________________

1. Pengenalan

Kemahiran asas berbahasa merupakan antara elemen utama yang ditekankan dalam pembelajaran kanak-kanak di peringkat awal persekolahan. Disebabkan itu, tiga kemahiran asas utama, iaitu membaca, menulis dan mengira (3M) sangat ditekankan kepada kanak- kanak semasa berada di peringkat prasekolah. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa memandang masalah buta huruf dan numerasi dalam kalangan masyarakat sebagai suatu masalah yang serius. Pelbagai tindakan dirangka dan dilaksanakan bagi membasmi isu ini dari peringkat akar umbinya. Usaha ini telah diterjemahkan melalui beberapa program yang dijalankan di sekolah rendah seperti Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M), Program Penguasaan 3M (ProTIM), Program Literasi dan Numerasi (Linus) dan Program Pemulihan Khas. Semua program tersebut mempunyai objektif yang sama, iaitu untuk mengenal pasti dan seterusnya mengatasi masalah 3M yang dihadapi oleh murid sekolah.

Ketidakupayaan murid untuk menguasai kemahiran bacaan awal boleh mempengaruhi penguasaan mereka dalam kemahiran membaca pada peringkat yang lebih tinggi. Membaca ialah kemahiran asas berbahasa yang penting untuk dikuasai bagi membolehkan individu menambah ilmu pengetahuan dan memperkaya kosa kata. Menurut Husin Fateh Din dan Nazariyah Sani (2014), kemahiran membaca terbahagi kepada dua peringkat, iaitu peringkat prabacaan dan bacaan. Peringkat prabacaan merupakan peringkat paling asas yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak manakala pada peringkat bacaan pula mereka mula mengenal abjad sehinggalah dapat membaca ayat. Kemahiran bacaan awal merupakan peringkat seterusnya yang kanak-kanak perlu kuasai selepas peringkat prabacaan. Pada peringkat ini, mereka perlu berupaya untuk memecahkan kod perkataan, iaitu dapat membatangkan suku kata dan membaca perkataan, mengetahui dan mengenal pasti struktur ejaan standard serta memahami makna perkataan yang dibaca berdasarkan pengalaman bahasa mereka. Naimah Yusoff, Nor Hashimah Hashim dan Hashim Othman (2011) pula menyatakan proses membaca dan perkembangan bahasa terjadi apabila wujudnya kesepaduan mental dan emosi kanak-kanak dengan persekitaran bahasa mereka. Kanak-kanak yang memperoleh kemahiran bacaan awal melalui pendedahan bunyi yang tidak seragam, konsep dan makna yang tidak kukuh boleh menyebabkan mereka keliru. Keadaan ini akan melambatkan mereka menguasai kemahiran membaca. Oleh itu, dalam mendedahkan kemahiran bacaan awal, guru perlu menggunakan kaedah penerokaan berdasarkan sensori, manipulasi huruf dan perkataan secara hands on.

Justeru, kajian ini telah dijalankan ke atas empat orang murid Tahun 2 yang mengikuti Kelas Pemulihan Khas. Mereka mempunyai masalah dalam menguasai Kemahiran 30 Pemulihan Bahasa Melayu, iaitu membaca atau menulis perkataan mengandungi digraf dan konsonan bergabung dengan baik. Mereka bukan hanya tidak mampu untuk menyebut perkataan dalam

(3)

kemahiran tersebut, malah tidak mampu membatangkan suku kata yang mengandungi huruf digraf atau konsonan bergabung. Hal ini menyebabkan mereka kurang menguasai kemahiran membaca dengan cekap dan lancar. Mereka kerap keliru dengan bunyi huruf, seperti bunyi

‘ng’ dan ‘ny’, bunyi ‘kh’ dengan bunyi ‘k’, serta bunyi ‘sy’ dengan bunyi ‘s’. Ini menyebabkan peserta kajian sering tertukar bunyi ketika mereka membatangkan suku kata yang mengandungi bunyi-bunyi tersebut. Bahkan, mereka juga sukar menyebut perkataan yang mengandungi huruf konsonan bergabung. Dalam hal ini, mereka bukan hanya tidak menguasai kemahiran membaca, malah turut mempunyai kesukaran untuk menguasai kemahiran mengeja perkataan. Ketidakupayaan peserta kajian untuk membaca perkataan melibatkan digraf serta konsonan bergabung menyebabkan mereka gemar melakukan kesalahan ketika aktiviti membaca. Keadaan ini menyebabkan timbulnya pola bacaan secara merangkak, menyebut perkataan yang berlainan dengan bunyi asal ejaan dan meninggalkan bunyi huruf dalam perkataan semasa membaca. Khairuddin Mohamad (2011) telah menyenaraikan beberapa kategori masalah membaca yang sering dihadapi oleh murid sebelum mereka dapat menguasai kemahiran tersebut. Antara kesalahannya seperti keliru dengan huruf, kesukaran dalam pengamatan, masalah membatangkan suku kata dan murid sukar untuk membaca ayat.

Oleh itu, pengkaji merasakan perkara ini perlu diatasi supaya peserta kajian dapat menguasai kemahiran bacaan awal dengan lebih baik. Keputusan ujian pra, iaitu Saringan Literasi dan Ujian Diagnostik Lisan Bahasa Melayu telah menunjukkan kesemua peserta yang terlibat mempunyai kesukaran untuk membaca perkataan yang melibatkan digraf dan konsonan bergabung. Dapatan daripada Ujian Diagnostik tersebut juga telah menunjukkan aspek kelemahan mereka dalam kemahiran yang diuji. Mereka mempunyai masalah untuk membatangkan suku kata dan membaca perkataan yang melibatkan konsonan bergabung dan digraf. Maka, kajian ini dijalankan untuk membantu murid menguasai kemahiran bacaan awal menggunakan Kaedah VAKT yang menggabungkan penggunaan deria penglihatan, pendengaran dan kinestetik-sentuhan semasa proses pembelajaran. Kaedah ini membantu murid untuk meningkatkan daya pengamatan dan memudahkan mereka untuk mengingati perkara yang telah dipelajari terutamanya dalam proses pembelajaran bahasa kedua.

2. Ulasan Kajian Lepas

Abdul Said Ambotang (2018) menyatakan kemahiran membaca ialah asas kepada pembentukan diri murid ke arah mempelajari ilmu pengetahuan. Individu yang bermasalah dalam menguasai kemahiran membaca akan mengalami kesukaran untuk menghuraikan bahan bertulis kepada bentuk pertuturan dan pemahaman pemikiran. Dalam situasi ini, murid yang tidak dapat menguasai kemahiran bacaan dan pemahaman akan ketinggalan dalam pelajaran kerana konsep membaca itu yang merentasi semua kurikulum. Terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi keupayaan murid untuk menguasai kemahiran membaca.

Penguasaan murid dalam kemahiran bacaan awal akan mempengaruhi keupayaan mereka untuk menguasai kemahiran membaca pada tahap yang seterusnya. Pada tahap bacaan mekanis dan bacaan mentalis, murid bukan hanya berupaya untuk membaca perkataan dan ayat mudah dengan baik, malah mereka perlu memahami makna dan konteks bahan yang dibaca. Disebabkan itu, masalah membaca yang dihadapi oleh murid boleh mempengaruhi kefahaman mereka tentang bahan yang dibaca.

Antara pola perkataan yang lazimnya sukar dikuasai oleh murid ialah perkataan yang mengandungi vokal berganding, digraf dan konsonan bergabung. Mengikut Nur Shakirah

(4)

Azizan dan Muhammad Saiful Haq (2017), antara punca murid lemah dalam kemahiran membaca perkataan mengandungi digraf dan konsonan bergabung disebabkan faktor lemah daya pengamatan dan mereka kurang memahami maksud perkataan yang dibaca. Murid yang mempunyai masalah pengamatan lazimnya akan melakukan beberapa kesalahan seperti meninggalkan huruf ketika membaca, salah menyebut bunyi perkataan dan sebagainya.

Mazirah Abd Malik (2016) pula berpendapat murid kurang menguasai kemahiran membaca kerana mereka tidak cekap untuk mengecam huruf vokal dan konsonan, tidak membunyikan perkataan dengan tepat, tidak menyebut semula perkataan seperti yang dieja serta kerap melakukan kesalahan meninggalkan huruf ketika membaca. Keadaan ini menggambarkan bahawa murid masih lemah dan belum menguasai kemahiran bacaan asas. Kebiasaanya, murid yang menghadapi masalah sebegini akan mempelajari kemahiran bacaan awal melalui kemahiran mengeja dan membatangkan suku kata. Walau bagaimanapun, cara pembelajaran melalui kaedah mengeja dan membatangkan suku kata ini juga mempunyai kesukaran untuk dikuasai. Menurut Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad (2011), kebanyakan murid lemah dalam kemahiran mengeja disebabkan oleh masalah memori auditori, iaitu mereka sukar untuk mengingat bunyi huruf dan suku kata. Dalam situasi ini, murid memerlukan bantuan petunjuk visual untuk mengingat kembali perkataan yang dieja. Daya pengamatan yang rendah merupakan faktor mereka tidak dapat mengingati semula perkara yang dipelajari dan membayangkan bentuk sebenar sesuatu perkataan. Disebabkan itu, ketidakupayaan murid untuk mengingati bunyi huruf digraf misalnya, akan menyebabkan mereka menambah huruf lain di antara huruf digraf tersebut ketika membaca perkataan.

Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran seperti murid Pemulihan Khas, kaedah pengajaran yang bersesuaian dengan tahap murid perlu diaplikasikan dalam pembelajaran bagi membantu mereka menguasai kemahiran membaca. Nurul Haniza Samsudin (2017) yang menjalankan kajian berkaitan kemahiran membaca kanak-kanak Pemulihan Khas berpendapat guru perlu lebih kreatif semasa menerapkan faktor pembelajaran bahasa, penggunaan Bahan Bantu Mengajar dan tahap keupayaan murid dalam aktiviti pengajaran bahasa. Kaedah pengajaran yang digunakan haruslah mengambil kira tahap kebolehan dan keupayaan murid dari segi kognitif, psikomotor dan afektif. Selain itu, Nor Laila Kuslan (2014) pula menyatakan bahawa terdapat empat faktor yang menyokong kejayaan program bacaan pemulihan, iaitu faktor guru, kemudahan infrastruktur, eleman yang berkaitan pengajaran-pembelajaran bacaan pemulihan dan faktor sokongan. Walau bagaimanapun, faktor guru dan elemen pengajaran-pembelajaran juga boleh menjadi punca kegagalan Program Pemulihan Khas di sekolah. Ini menunjukkan bahawa faktor guru dan elemen pengajaran-pembelajaran antara faktor utama yang membantu murid Pemulihan Khas menguasai kemahiran bacaan. Justeru, bagi membantu murid yang lemah menguasai kemahiran tersebut, perancangan yang sistematik dan bersesuaian dengan tahap murid perlu dilakukan oleh guru.

Dalam pengajaran kemahiran bacaan asas, guru biasanya akan menggunakan beberapa kaedah yang bersesuaian. Antaranya Kaedah Abjad, Kaedah Fonik dan Kaedah Pandang Sebut. Walau bagaimanapun, bagi memastikan kejayaan program bacaan pemulihan, guru perlu lebih kreatif dalam memilih kaedah dan teknik pengajaran bacaan. N. S. Mohd Noor dan Aliza Alias (2019) yang mengkaji keberkesanan Kaedah Visual, Auditori, Kinestetik- Taktil (VAKT) terhadap pengamatan murid Pemulihan Khas telah mendapati kaedah ini mampu meningkatkan penguasaan murid dalam kemahiran membaca. Kaedah VAKT membantu murid untuk meningkatkan daya pengamatan mereka. Ini akan memudahkan murid untuk mengingati perkara-perkara yang dipelajari. Dalam mempelajari kemahiran membaca, daya pengamatan penting untuk membantu murid mengenal dan memahami bunyi

(5)

dan bentuk huruf, binaan suku kata serta perkataan. Annalene van Staden dan Nicole Purcell (2016) pula mendapati Kaedah Multisensori dapat meningkatkan penguasaan kemahiran ejaan dari aspek proses ingatan jangka pendek, pemahaman fonologi dan ejaan perkataan dalam kalangan murid yang mempelajari Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Ketidakupayaan murid untuk mengingat dan membayangkan bunyi sebenar sesuatu kata dan persekitaran bahasa menjadi punca mereka kurang menguasai kemahiran bahasa tersebut.

Menurut Dayang Sufilkawany Ujai dan Wan Muna Ruzana (2016), faktor persekitaran dapat mempengaruhi pengetahuan dan pengalaman bahasa murid. Murid melakukan kesalahan menyebut bunyi perkataan berbeza dengan ejaan sebenar kerana mereka kurang memahami makna perkataan tersebut. Pengaruh bahasa ibunda sering menjadi faktor kegagalan murid untuk menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kedua (Jocylene C. Columbus & Jamaludin Badusah, 2015). Murid yang tidak boleh membaca biasanya akan menyebut perkataan yang dieja dengan bunyi lain daripada ejaan sebenar. Oleh itu, pemahaman murid terhadap makna perkataan yang dibaca memainkan peranan yang penting bagi membolehkan mereka dapat membaca dengan lancar. Justeru, kaedah kepelbagaian deria digunakan bagi membantu murid yang mempelajari Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua serta mempunyai masalah dalam menguasai kemahiran membaca.

Jadual dan Rajah

Jadual 1: Perbezaan Pencapaian Peserta Kajian dalam Saringan Literasi, Ujian Diagnostik dan Ujian Pasca Kemahiran Membaca Melibatkan Digraf dan Konsonan Bergabung

Peserta kajian

Jumlah skor yang diperoleh Saringan

Literasi (Ujian Pra)

(/ 5 )

Peratus (%)

Ujian Diagnostik (Ujian Pra)

(/16)

Peratus (%)

Ujian Pasca (/47)

Peratus (%)

Peserta 1 3 60 9 56.25 47 100

Peserta 2 1 20 6 37.5 47 100

Peserta 3 2 40 5 31.25 47 100

Peserta 4 2 40 7 43.75 45 95.71

Rajah 1: Perbezaan Pencapaian Peserta Kajian dalam Saringan Literasi, Ujian Diagnostik dan Ujian Pasca Kemahiran Membaca Melibatkan Digraf dan Konsonan Bergabung

0 20 40 60 80 100 120

Peserta 1 Peserta 2 Peserta 3 Peserta 4

Saringan Literasi Ujian Diagnostik Ujian Pasca

(6)

3. Perbincangan dan Kesimpulan

Dapatan daripada ujian pra, iaitu Saringan Literasi dan Ujian Diagnostik telah menunjukkan tahap penguasaan peserta-peserta kajian dalam kemahiran membaca melibatkan digraf dan konsonan bergabung. Berdasarkan dapatan ini, mereka masih lemah dan tidak dapat membaca perkataan dalam kemahiran yang diuji dengan baik. Peserta 1 menunjukkan tahap penguasaan yang lebih baik berbanding peserta-peserta lain. Walaupun begitu, peserta ini hanya dapat membaca tiga daripada lima perkataan yang disaring dalam Saringan Literasi dan sembilan daripada 16 patah perkataan yang disaring dalam Ujian Diagnostik. Pencapaian peserta ini menunjukkan bahawa dia masih lemah dan belum mampu membaca semua perkataan yang melibatkan digraf serta konsonan bergabung. Tahap penguasaan kemahiran membaca peserta-peserta lain juga berada pada tahap yang lemah dan kurang menguasai dengan pencapaian dalam saringan dan ujian yang dijalankan kurang daripada 50%. Ini disebabkan mereka tidak dapat membaca beberapa patah perkataan yang disaring dengan baik dan tepat. Peserta-peserta kajian sering melakukan kesalahan dari aspek sebutan, menambah huruf vokal di antara huruf digraf dan tidak berupaya untuk membatangkan suku kata daripada beberapa perkataan yang disaring. Malahan, terdapat juga perkataan yang langsung tidak dapat dibaca oleh mereka. Ini menyebabkan mereka berempat gagal mencapai peratusan 100% dalam kedua-dua ujian awal tersebut.

Walau bagaimanapun, dapatan daripada Ujian Pasca yang dijalankan selepas Kaedah VAKT diaplikasi dalam proses PdP telah menunjukkan peningkatan yang positif dalam kemahiran yang diuji. Jumlah penguasaan membaca perkataan melibatkan digraf dan konsonan bergabung telah meningkat. Peserta 1, Peserta 2 dan Peserta 3 telah berjaya membaca semua perkataan yang diuji. Perkataan-perkataan tersebut melibatkan huruf digraf ‘ny’, ‘ng’, ‘sy’,

‘gh’ dan ‘kh’ serta perkataan yang mengandungi konsonan bergabung. Mereka dapat menyebut semua perkataan dengan baik tanpa melakukan sebarang kesalahan. Para peserta telah berupaya untuk mengenal dan mengecam bunyi-bunyi huruf digraf dan konsonan bergabung. Keadaan ini telah memudahkan mereka untuk membaca perkataan yang diuji dengan lancar. Namun begitu, Peserta 4 hanya berjaya membaca 45 daripada 47 patah perkataan yang diuji. Walau bagaimanapun, peserta ini juga telah menunjukkan peningkatan positif berbanding keputusan pencapaiannya dalam Ujian Diagnostik dan Saringan Literasi.

Keputusan Ujian Pasca ini menunjukkan bahawa peserta-peserta kajian telah menguasai Kemahiran 30 Pemulihan Bahasa Melayu. Peningkatan pencapaian ini telah membuktikan bahawa Kaedah VAKT yang digunakan berjaya membantu mereka menghadapi masalah penguasaan kemahiran bacaan awal tersebut.

Pendekatan pembelajaran yang melibatkan kepelbagaian deria dalam Kaedah VAKT telah dapat merangsang otak murid kerana deria penglihatan, pendengaran dan sentuhan bergerak aktif semasa proses pembelajaran berlangsung. Melalui deria penglihatan, murid dapat melihat huruf, suku kata, perkataan serta gambar berkaitan perkataan yang dibaca. Setelah itu, murid mendengar bunyi-bunyi huruf, suku kata dan perkataan tersebut. Kemudiannya, peneguhan diberikan melalui aktiviti menyentuh huruf-huruf yang membentuk perkataan sambil membacanya, menulis semula perkataan berdasarkan ingatan, membina perkataan sambil mengejanya dan sebagainya. Keadaan ini dapat meningkatkan daya pengamatan murid dan sekaligus dapat membetulkan konsep bunyi huruf yang mengelirukan mereka.

Sepiah Mohd Noor dan Aliza Alias (2019) juga mendapati Kaedah VAKT berjaya meningkatkan tahap pencapaian murid dalam kemahiran membaca. Kaedah VAKT mampu meningkatkan tahap pengamatan murid dan memudahkan mereka untuk mengingati perkara yang dipelajari.

(7)

Selain itu, penggunaan Kaedah VAKT dalam pembelajaran kemahiran membaca telah menarik minat murid. Mereka lebih fokus dan terlibat secara aktif dalam setiap aktiviti semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Mengikut Irving J. Bierer (2018), kaedah pembelajaran secara multisensori menyebabkan murid lebih fokus dan aktif berinteraksi dengan guru serta rakan sebaya sepanjang sesi pembelajaran berlangsung. Ini telah memberikan kesan yang positif terhadap prestasi pembelajaran mereka. Sri Utami Soraya Dewi (2015) juga berpendapat bahawa Kaedah VAKT atau multisensori dapat menarik tumpuan murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran yang dijalankan. Natijahnya, penguasaan membaca kanak-kanak semakin baik.

Kesimpulannya, Kaedah VAKT berkesan dalam membantu murid yang bermasalah pembelajaran seperti murid Pemulihan Khas untuk menguasai Kemahiran 30 Pemulihan Bahasa Melayu dengan baik. Penguasaan kosa kata yang terhad disebabkan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua juga telah menyukarkan murid untuk membaca perkataan yang kurang difahami maknanya. Justeru, penggunaan kad bergambar dapat memudahkan mereka untuk memahami makna semasa mempelajari perkataan tersebut. Pembelajaran secara berulang-ulang dan peneguhan yang diberikan dapat mengukuhkan ingatan dan pemahaman murid tentang kemahiran yang dipelajari. Dengan itu, mereka dapat mengenal dan mengingati bunyi-bunyi huruf digraf dan konsonan bergabung dengan baik. Maka, jelaslah bahawa kaedah pengajaran yang menarik dan berkesan dapat membantu kanak-kanak menguasai kemahiran bacaan awal dengan cepat dan cekap. Oleh itu, guru perlu kreatif semasa merancang aktiviti PdP agar bersesuaian dengan tahap dan keupayaan mereka.

Rujukan

Annalene van Staden & Nicole Pucell (2016). Multi-sensory learning strategies to support spelling development: a case study of second-language learners with auditory processing difficulties. LCCE, 3(1).

Bahagian Pendidikan Khas (2012). Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas.

Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dayang Sufilkawany Ujai & Wan Muna Ruzana Wan Mohamad (2016). Pengaruh faktor sosial dalam pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan murid Iban. Jurnal pendidikan Bahasa Melayu, Vol. 7, Bil. 1: 74-84.

Husin Fateh Din & Nazariyah Sani (2014). Literasi Bahasa Melayu. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Irving J. Bierer (2018). The effect of multi-sensory repetition on students with language base learning differences in U.S. history course. Thesis Master of Arts in Teaching Degree.

Goucher College.

J.C. Columbus & J. Badusah (2017). Pengaruh persekitaran linguistik terhadap penguasaan lisan dalam kalangan murid Melanau di daerah Mukah.

Khairuddin Mohammad (2011). Literasi Bahasa Melayu. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Mazirah Malik (2016). Meningkatkan penguasaan kemahiran asas bacaan menggunakan model jari jemariku menari. Kajian Tindakan Sekolah Rendah.

Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad (2011). Kaedah dan Strategi Pengajaran Kanak- kanak Berkeperluan Khas. Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Naimah Yusoff, Nor Hashimah Hashim & Hashim Othman (2014). Kemahiran Bacaan Awal Bahasa Melayu Prasekolah. Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Nor Laila Kuslan (2014). Aktiviti pemulihan bacaan di sebuah sekolah rendah; satu kajian kes. Tesis Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Malaya.

(8)

Nurul Haniza Samsudin (2017). Penggunaan kit asas membaca bahasa Melayu untuk kanak-kanak Pemulihan Khas. Tesis Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Malaya.

Nurul Sepiah Mohd Noor & Aliza Alias (2019). Aplikasi strategi VAKT (visual, audio, kinesthetic, tactile) terhadap pengamatan murid Pemulihan Khas dalam

kemahiran membaca. Prosiding Seminar Wacana Pendidikan (SWAPEN 2.0). Alor Setar.

Nur Shakirah Azizan & Muhammad Saiful Haq (2017). Penguasaan asas membaca Bahasa Melayu melalui Program LINUS di utara Semenanjung Malaysia. Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 28.

Sri Utami Soraya Dewi (2015). Pengaruh metode multsensori dalam meningkatkan kemampuan membaca permulaan pada anak kelas awal sekolah dasar.

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN