• Tiada Hasil Ditemukan

View of Hubungan Tingkah Laku Kepimpinan Guru Besar dan Beban Kerja Guru Terhadap Prestasi Kerja Guru

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "View of Hubungan Tingkah Laku Kepimpinan Guru Besar dan Beban Kerja Guru Terhadap Prestasi Kerja Guru"

Copied!
11
0
0

Tekspenuh

(1)

Hubungan Tingkah Laku Kepimpinan Guru Besar dan Beban Kerja Guru Terhadap Prestasi Kerja Guru

(Relationship Between Headmaster Leadership Behaviour, Teacher Workload and Job Performance Among Teacher)

Dalila Abdul Muttalip1*, Ruslin Amir1, Salleh Amat1

1 Falkulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Malaysia

*Pengarang Koresponden: ae.dyla86@gmail.com

Accepted: 15 February 2021 | Published: 1 March 2021

_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Kajian kuantitatif tinjauan ini dijalankan untuk meninjau tahap dan hubungan antara tingkah laku kepimpinan guru besar dan beban kerja guru terhadap prestasi kerja guru- guru sekolah rendah dari tiga jenis sekolah di daerah Sarikei. Borang soal selidik yang direka bentuk daripada kajian-kajian lepas diedarkan kepada 127 orang responden guru sekolah rendah dari sekolah-sekolah terpilih. Data dianalisis menggunakan Statistic Package for Social Science (SPSS) bagi mendapatkan analisis deskriptif dan korelasi. Dapatan kajian mendapati tahap tingkah laku kepimpinan guru besar, beban kerja guru dan prestasi kerja guru di daerah Sarikei adalah sederhana manakala analisis hubungan korelasi menunjukkan adanya hubungan positif yang lemah bagi tingkah laku kepimpinan guru besar dan sederhana bagi beban kerja guru terhadap prestasi kerja guru. Secara umumnya, kajian ini mencadangkan agar kepimpinan sekolah dapat dipertingkatkan bagi meningkatkan kualiti prestasi kerja guru pada masa akan datang.

Kata kunci: Tingkah laku kepimpinan, beban kerja, prestasi kerja

Abstract: The quantitative study (survey design) aims to examine the level and relationship between the headmasters’ leadership behavior and teacher’s workload on the job performance among primary school teachers from three types of schools in Sarikei district. Data collected through a survey questionnaire distributed to 127 primary school teacher respondents from selected schools. Questionnaire forms are designed based on previous studies. Data were analyzed using Statistical Package for Social Science (SPSS) to obtain descriptive statistical analysis and correlation analysis. The findings of the study found that the level of headmaster leadership behavior, teacher workload and job performance among teachers in Sarikei district is moderate while correlation analysis showed a weak positive relationship for headmaster leadership behavior and moderate positive relationship for teacher workload to job performance among teacher. In general, this study has implications to those who involve in the effort for improving the quality of teacher job performance in the future.

Keywords: Leadership behaviour, teacher workload, job performance

_________________________________________________________________________

1. Pengenalan

Dunia pendidikan kini menempuh banyak cabaran baru yang menuntut perubahan dan peralihan paradigma dalam pendidikan agar kewujudannya masih releven dengan keperluan semasa. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat menitikberatkan kualiti dalam sistem

(2)

pendidikan bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal relevan dan berkualiti. Salah satunya dengan melaksanaan Program Transformasi Pendidikan Negara pada tahun 2010 selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Reformasi pendidikan kini banyak memberi tumpuan kepada kualiti prestasi kerja warga pendidik. Ini kerana prestasi kerja memainkan peranan penting dalam kecemerlangan sekolah. Prestasi kerja atau Key Performance Indicator (KPI) menjadi satu alat ukur yang mudah dan berkesan bagi memacu dan membantu menjelaskan tahap kemajuan sesuatu proses kerja yang disampaikan selaras dengan matlamat yang ditetapkan. Rusli et al. (2007) menyatakan prestasi kerja adalah satu mekanisme pengukuran indeks kecemerlangan dalam mengukur prestasi pekerja selaras dengan objektif organisasi. Kini instrumen penilaian SKPMg2 (Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2) digunakan pihak sekolah sebagai panduan pengoperasian sekolah untuk menilai pendidikan secara berterusan bagi meningkatkan prestasi kerja guru.

Penilaian prestasi berdasarkan instrument SKPMg2 ini berorientasikan tindakan, menitikberatkan kualiti dan berasaskan evidens yang memberi penekanan kepada peranan guru besar dan pengetua sebagai pembimbing, peninjau dan pendorong dalam melaksanakan kepemimpinan di sekolah selain sebagai pemudah cara kepada guru dalam pembelajaran dan pengajaran mereka. Kenyataan rasmi NUTP (National Union of The Teaching Profession Peninsular Malaysia) bertarikh 23 Mei 2018 menyatakan isu SKPMg2 adalah satu ‘kerja bodoh’ yang menyusahkan dan membuang masa guru-guru selain tidak berbaloi dengan tuntutan kerja sehingga mengurangkan face time guru dengan murid. Selain itu juga NUTP melalui kenyataan pada 1 Jun 2018 menyatakan wujudnya isu kerja tidak berbaloi daripada perlaksanaan SKPMg2. Ini kerana pentadbir dan guru diminta untuk menyediakan satu dokumen data lain untuk pemantauan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti sedangkan data tersebut telah wujud dalam sistem data yang dibangunkan KPM sebelumnya seperti sistem eOperasi, sistem SSDM, sistem PAJSK dan lain-lain sistem secara online mahupun offline.

KPI yang berorientasikan tindakan, menitikberatkan kualiti dan berasaskan evidens yang dilaksanakan sepanjang tahun melibatkan semua warga sekolah menyebabkan guru mula hilang fokus dalam bidang utama mendidik dan mengajar. KPI menjadi penentu kepada tahap prestasi kerja guru (Zakaria, 2017; Suzani Mohamad Samuri et al, 2016). Para guru dituntut menjalankan tanggungjawab yang diarahkan pihak KPM dan kepimpinan sekolah bagi memastikan prestasi kerja kekal baik dan cemerlang. Fenomena sebegini menyebabkan guru memikul beban tugas melangkau tugas hakiki dalam mendidik yang akhirnya membebankan guru dengan pelbagai kerja pentadbiran, pengkeranian dan sebagainya (Azita, 2012). Tidak hairanlah jika dikatakan kerjaya guru merupakan satu profesion yang luas dan mencabar. Pada dasarnya kewujudan penilaian prestasi SKPM pada tahun 2003 adalah sebagai satu langkah untuk mewujudkan ‘ranking’ sekolah dalam pemilihan Sekolah Kluster dan Sekolah Berprestasi Tinggi. Hal ini menjadi matlamat perjuangan dalam kepimpinan pemimpin tertinggi sekolah untuk menaikkan nama organisasi pentadbirannya. Sedikit sebanyak ini memberi pengaruh kepada gaya kepimpinan dan tingkah laku yang diamalkan oleh setiap pemimpin dalam pentadbirannya sama ada berorientasikan pencapaian atau sumber manusia semata-mata.

Menurut Sarvinder (2008) prestasi kerja juga dipengaruhi oleh gaya kepimpinan seseorang.

Frasa Standard 1 dalam penataran SKPMg2 2016 (Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pendidikan Malaysia) memberi penekanan kepada peranan guru besar sebagai pembimbing, pendorong, peneraju dan pemimpin yang bertanggungjawab menggembleng dan menggerakkan warga sekolah ke arah memajukan juga meningkatkan kecemerlangan sekolah selain meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran guru dan murid. Amalan dalam gaya

(3)

kepimpinan guru besar akan mempengaruhi prestasi kerja guru. Ini disokong Norbayah dan Norazah (2011) dalam penyataannya - kepimpinan guru besar akan mempengaruhi komitmen kerja guru seterusnya memberi kesan kepada prestasi kerja mereka. Fullan (2002) berpendapat pemimpin sekolah yang memiliki tanggungjawab moral bagi membentuk warga sekolah dan sosiobudaya sekolah akan mampu mencapai status kecemerlangan sekolah yang baik. Namun tidak dinafikan ada wujudnya kepincangan dalam pengurusan kepimpinan pentadbir yang mempengaruhi kepuasan kerja guru seterusnya mempengaruhi komitmen dan produktiviti kerja guru. Menyedari adanya isu-isu sebegini maka kajian ini dilakukan bagi meneliti dan mendapatkan pandangan dari perspektif guru sekolah rendah terhadap tingkah laku kepimpinan guru besar dan bebanan kerja guru juga hubungannya terhadap prestasi kerja guru.

Tujuan dan Objektif Kajian

Tujuan kajian adalah untuk meninjau persepsi guru-guru sekolah rendah daerah Sarikei dari tiga jenis sekolah iaitu sekolah agama, sekolah kebangsaan dan sekolah mubaligh terhadap tingkah laku kepimpinan guru besar, beban kerja guru dan prestasi kerja guru. Objektif kajian adalah:

i. Mengenalpasti tahap tingkah laku kepimpinan guru besar daerah Sarikei.

ii. Mengenalpasti tahap beban kerja guru sekolah rendah daerah Sarikei.

iii. Mengenalpasti tahap prestasi kerja guru sekolah rendah daerah Sarikei.

iv. Mengenalpasti hubungan antara tingkah laku kepimpinan guru besar dan prestasi kerja guru sekolah rendah daerah Sarikei.

v. Mengenalpasti hubungan antara beban kerja guru dan prestasi kerja guru sekolah rendah daerah Sarikei.

2. Ulasan Kajian Lepas

Dalam kajian Dr Azizi Yahaya et al. (2004) mendapati tekanan kerja guru dan tingkah laku kepimpinan berada di tahap rendah manakala tahap keberkesanan organisasi di tahap sederhana. Hasil kajian Ibrahim Mohammad dan Khairuddin Abdullah (2017) pula mendapati bagi meningkatkan kepuasan kerja guru, faktor-faktor tingkah laku kepimpinan, komitmen organisasi dan efikasi kendiri guru perlu diberi perhatian sebaiknya. Nurlaili Abd Wahab dan Mohd Yusof Abdullah (2018) mengatakan setiap gaya kepimpinan yang diamalkan guru besar dalam pengurusan kerjanya akan memberi pengaruh kepada nilai kepuasan kerja guru.

Seterusnya dalam kajian Dg Maimunah Sidek et al. (2017) mendapati adanya hubungan antara gaya kepimpinan guru besar terhadap motivasi kerja guru terutamanya dalam gaya kepimpinan guru besar dimensi menyokong. Ini berbeza dengan kajian Faridah Abdul Rahman dan Tan Bo Ji (2017) yang mana gaya kepimpinan berorientasikan kejayaan menjadi dominan pilihan gaya kepimpinan guru besar.

Dalam melihat aspek beban tugas kajian Norashid Othman dan Hamzah Md Omar (2014) mendapati tahap beban tugas akademik dan tahap beban tugas bukan akademik di aras tinggi manakala tahap motivasi pengajaran guru pula di aras sederhana. Dapatan kajian merumuskan bahawa semakin tinggi beban kerja guru semakin rendah motivasi pengajaran guru. Kajian Arzizul Antin dan Dg Norizah Ag Kiflee (2017) pula mendapati lambakan beban kerja guru mempengaruhi motivasi guru yang seterusnya akan mempengaruhi keefisienan kerja guru di sekolah. Dapatan kajian ini berbeza dengan dapatan kajian Rosmah Ishak dan Siti Nur Fatihah Rusman (2019) apabila didapati beban kerja guru tidak mempunyai sebarang hubungan dengan prestasi kerja guru. Keputusan kajian ini tidak menyokong kajian-kajian lain yang mendapati adanya hubungan beban kerja dengan kepuasan mahupun prestasi kerja guru.

(4)

Antara beberapa kajian yang mengkaji berkenaan prestasi kerja guru adalah kajian Nadiah Bani Amin et al. (2019) bagi melihat hubungan di antara KPI (Key Performance Indicators) tugas guru dengan prestasi kerja guru. Kajian beliau mendapati sasaran beban kerja guru melalui KPI membantu meningkatkan prestasi kerja guru. Kajian Abdul Ghani Kamesan Abdullah et al.

(2019) pula terbukti secara empirikal bahawa nilai kerja guru, budaya sekolah dan amalan spiritualiti di tempat kerja mampu meningkatkan pemerolehan berlipat kali ganda ke atas prestasi sekolah dan kemenjadian pelajar. Seterusnya kajian Che Mohd Syaharuddin et al.

(2017) telah membuktikan bahawa terdapat beberapa faktor penting yang mempengaruhi prestasi kerja penjawat awam termasuk faktor diri sendiri; iaitu motivasi, autonomi pembelajaran personaliti diri dan faktor kelompok kumpulan; iaitu gaya kepimpinan ketua.

3. Metodologi Kajian

Reka bentuk kajian tinjauan melalui instrumen soal selidik digunakan. Analisis deskriptif dan inferensi (korelasi Pearson) digunakan untuk menganalisis data kajian.

Sampel kajian seramai 127 orang responden adalah dari lima buah sekolah luar bandar yang mewakili tiga jenis sekolah iaitu sekolah agama, sekolah kebangsaan dan sekolah mubaligh.

Responden ini mewakili responden guru sekolah rendah daerah Sarikei. Jadual penuntuan saiz sampel Krejcie dan Morgan (1970) dijadikan panduan dalam menentukan jumlah responden.

Instrumen soal selidik ini terdiri daripada empat bahagian utama dengan skala likert empat mata seperti dalam Jadual 3.1.

Jadual 3.1: Kandungan Borang Soal Selidik

Sebanyak 30 set kajian rintis telah dijalankan di daerah Sarikei bagi melihat ketepatan, nilai kefahaman dan kejelasan penerangan item-item soalan soal selidik. Pekali kebolehpercayaan kajian ini ditentukan dengan nilai alfa Cronbarch. Jadual 3.2 adalah dapatan nilai alfa Cronbarch kajian ini.

Jadual 3.2: Nilai Kebolehpercayaan Item Soal Selidik

Analisis data diperolehi menggunakan perisian program Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) untuk mendapatkan analisis statistik deskriptif (nilai peratus, min dan sisihan piawai) dan analisis inferensi bagi melihat hubungan signifikan antara semua pembolehubah.

(5)

4. Dapatan Kajian

Seramai 127 orang responden terlibat iaitu 22 orang (17.6%) guru sekolah agama, 51 orang (39.9%) guru sekolah mubaligh dan 54 orang (42.5%) guru sekolah kebangsaan. Analisis keseluruhan bagi prestasi markah pencapaian SKPMg2 responden berada dalam kedudukan baik dan cemerlang berdasarkan taraf pengiraan skor SKPMg2 yang ditetapkan kementerian.

Persepsi Responden Terhadap Tahap Tingkah Laku Kepimpinan Guru Besar

Kajian tingkah laku kepimpinan guru besar meliputi dua komponen iaitu merintis struktur dan bertimbang rasa.

Jadual 4.1: Analisis Komponen Tingkah Laku Kepimpinan Guru Besar Merintis Struktur

Dalam kajian ini, tahap tingkah laku kepimpinan guru besar merintis struktur diukur oleh 15 item seperti jadual 4.1 di atas. Item yang mempunyai skor tertinggi adalah item B24, iaitu guru besar anda mementingkan supaya semua guru mengikut peraturan dan arahan sebanyak 55.9%.

Ini diikuti dengan item B17 - Guru besar anda mementingkan pelaksanaan kerja mengikut jadual sebanyak 51.2%. Item yang mencatat peratus terendah sebanyak 1.6% adalah item B18 - Guru besar anda enggan memberi layanan seolah-olah guru tidak sama taraf dengannya.

Secara keseluruhan, skor tahap tingkah laku kepimpinan guru besar merintis struktur (min=2.82, SP=.357) adalah pada tahap sederhana.

Seterusnya, jadual 4.2 menunjukkan 15 item yang diukur bagi melihat tahap tingkah laku kepimpinan guru besar bertimbang rasa. Dapatan kajian mendapati skor tertinggi sebanyak 48.0% adalah item B26 - Guru besar anda menerangkan dengan jelas apa yang beliau harapkan daripada semua guru diikuti item B2 - Guru besar anda menjelaskan pendapatnya kepada semua guru sebanyak 44.9%. Item B1 - Guru besar anda memberi pertolongan secara peribadi kepada semua guru pula mencatatkan skor terendah sebanyak 24.4%. Analisis keseluruhan

(6)

komponen tahap tingkah laku kepimpinan guru besar bertimbang rasa adalah pada tahap sederhana (min=3.17, SP=.488).

Jadual 4.2: Analisis Komponen Tingkah Laku Kepimpinan Guru Besar Bertimbang Rasa

Oleh kerana tingkah laku kepimpinan guru besar merangkumi tingkah laku merintis struktur dan bertimbang rasa, maka kedua-duanya digabung sebagai satu pemboleh ubah, iaitu tingkah laku kepimpinan guru besar. Hasil kajian menemui tahap tingkah laku kepimpinan guru besar di daerah Sarikei berdasarkan persepsi guru-guru sekolah rendah di Sarikei adalah sederhana dengan nilai min 2.99 dengan sisihan piawai .375. Analisis ini diperlihatkan dalam jadual 4.3 di bawah.

Jadual 4.3: Analisis Tingkah Laku Kepimpinan Guru Besar

Persepsi Responden Terhadap Tahap Beban Kerja Guru

Kajian beban kerja guru terbahagi kepada beban kerja akademik dan beban kerja bukan akademik.

(7)

Jadual 4.4: Analisis Komponen Beban Kerja Akademik

Jadual 4.4 memberi gambaran kepada tahap beban kerja akademik guru yang diukur berdasarkan 9 item tertera. Item C45 iaitu saya menggunakan masa selepas waktu persekolahan untuk menyiapkan laporan ujian dan peperiksaan mencatatkan skor tertinggi sebanyak 46.5%

diikuti item C35 iaitu saya menggunakan masa selepas waktu persekolahan untuk membuat refleksi pengajaran sebanyak 34.6%. Tempoh persekolahan di sekolah ini menyebabkan tumpuan saya terhadap pengajaran berkurangan iaitu item C31 pula mencatatkan nilai skor terendah sebanyak 1.6%. Secara keseluruhannya analisis kajian mendapati, tahap beban kerja akademik guru berada pada tahap sederhana (min=2.68, SP=.455).

Jadual 4.5: Analisis Komponen Beban Kerja Bukan Akademik

Dalam kajian ini, tahap beban kerja bukan akademik pula diukur oleh 9 item seperti jadual 4.5.

Berdasarkan analisis dalam jadual berkenaan skor tertinggi sebanyak 70.9% adalah pada item C34 - Saya memastikan murid di bawah kawalan saya mematuhi peraturan sekolah. Hal ini diikuti dengan item C38 iaitu saya menjadi guru ganti apabila ada guru yang tidak hadir ke sekolah sebanyak 48.0% manakala skor terendah adalah C32 iaitu tempoh persekolahan di sekolah ini menyebabkan tugas mengawal murid di dalam kelas menjadi semakin mencabar sebanyak 7.1%. Ini sejajar dengan kehendak pekeliling KPM (2001) yang menuntut semua guru bertindak sebagai guru disiplin. Keseluruhannya tahap beban kerja bukan akademik mencatatkan tahap sederhana (min=2.71, SP=.488).

(8)

Jika dilihat dalam analisis sebelum ini, beban kerja guru terbahagi kepada beban kerja akademik dan beban kerja bukan akademik. Namun sekiranya digabungkan keduanya dalam satu pemboleh ubah, ianya menunjukkan dapatan seperti dalam jadual 4.6 berikut. Hasil kajian mendapati tahap beban kerja guru-guru sekolah rendah di daerah Sarikei adalah sederhana (merujuk kepada jadual 3.3) dengan catatan nilai min 2.99 dengan sisihan piawai .375.

Jadual 4.6: Analisis Beban Kerja Guru

Persepsi Responden Terhadap Tahap Prestasi Kerja Guru

Berdasarkan jadual 4.7 berikut, sebanyak 18 item menjadi ukuran dalam menilai tahap prestasi kerja guru.

Jadual 4.7: Analisis Prestasi Kerja Guru

Item yang mencatatkan skor tertinggi ialah item D50 - Apabila berada di sekolah, saya menghadiri kelas saya seperti mana masa yang telah ditentukan iaitu sebanyak 86.6%. Ini diikuti dengan item D51 - Saya mengekalkan disiplin dalam kelas saya sebanyak 82.7% dan item D49 - Saya cuba sedaya upaya untuk meningkatkan prestasi kerja saya sebanyak 67.7%.

Skor terendah sebanyak 14.2% adalah pada item D53 - Murid dalam kelas saya mendapat markah yang baik. Ini menunjukkan guru-guru masih komited dalam tanggungjawab memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran berpadanan dengan panduan Nasional

(9)

Union of Teacher (NUT) (2006). Analisis keseluruhan menunjukkan tahap prestasi kerja guru adalah sederhana dengan nilai min 3.42 dengan sisihan piawai .370.

Analisis Hubungan Tingkah Laku Kepimpinan Guru Besar, Beban Kerja Guru dan Prestasi Kerja Guru.

Hubungan antara semua pemboleh ubah dianalisis menggunakan analisis korelasi Pearson dengan pemerolehan analisis seperti jadual 4.8 berikut.

Jadual 4.8: Analisis Inferensi Korelasi

Hubungan antara Prestasi Kerja Guru dengan Tingkah Laku Kepimpinan Guru Besar

Keputusan kajian mendapati bahawa pekali korelasi Pearson menunjukkan adanya hubungan positif yang lemah dan signifikan antara tingkah laku kepimpinan guru besar dengan prestasi kerja guru [r(127)=0.265, p<0.05].

Hubungan antara Prestasi Kerja Guru dengan Beban Kerja Guru

Keputusan kajian mendapati bahawa pekali korelasi Pearson menunjukkan adanya hubungan positif yang sederhana dan signifikan antara beban kerja guru dengan prestasi kerja guru [r(127) = 0.438, p < 0.05].

Berdasarkan kedua-dua dapatan ini, dapat disimpulkan bahawa semakin tinggi tahap tingkah laku kepimpinan guru besar dan tahap beban kerja guru semakin tinggi hubungannya dengan prestasi kerja guru. Hasil dapatan jelas menunjukkan tingkah laku kepimpinan guru besar dan beban kerja guru mempunyai hubungan yang signifikan walaupun ditahap hubungan yang berbeza terhadap prestasi kerja guru.

5. Perbincangan

Secara keseluruhnya, hasil kajian menunjukkan persepsi guru-guru sekolah rendah di daerah Sarikei terhadap tingkah laku kepimpinan guru besar, beban kerja guru dan prestasi kerja guru berada pada tahap sederhana. Ini menunjukkan guru-guru mempunyai pandangan positif yang baik terhadap elemen-elemen dalam tingkah laku kepimpinan guru besar, beban kerja dan prestasi kerja mereka. Tahap sederhana tingkah laku kepimpinan guru besar dalam kajian ini menyokong kajian Indra Maniam (2010) yang dijalankan di Zon Perdana, Kuantan. Sebagai guru besar penekanan amalan kedua-dua gaya tingkah laku kepimpinan penting bagi memberi kestabilan dalam memimpin organisasi dengan baik. Tahap sederhana beban kerja membuktikan guru-guru masih komited dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang kerap berubah seiring dengan keperluan perkembangan semasa. Beban kerja yang mencabar sememangnya mempengaruhi tahap prestasi kerja guru (Arzizul Antin, et al, 2017).

Analisis kajian juga menemui bahawa adanya hubungan lemah antara tingkah laku kepimpinan guru besar dan prestasi kerja guru. Dalam hal ini, guru-guru masih mampu berusaha mencapai matlamat prestasi kerja yang baik tanpa dipengaruhi corak dan amalan gaya tingkah laku kepimpinan guru besar. Hasil kajian ini sedikit berbeza dengan dapatan yang diperolehi Azizi Yahya et al (2004), Ibrahim Mohammad dan Khairuddin Abdullah (2017) dan Nurlaila Abd Wahab dan Mohd Yusuf Abdullah (2018) yang mendapati gaya kepimpinan mempunyai

(10)

hubungan tinggi dengan prestasi kerja seseorang. Menurut Sharfudin (2012) seorang guru besar haruslah mengenali dan memahami guru dan peka terhadap keselesaan dan keperluan guru berkenaan. KPM juga menuntut guru besar sebagai pembimbing, peninjau, pendorong dan pemudah cara dalam melaksanakan aspek kepimpinan di sekolah. Jesturu, guru besar haruslah mengamalkan kepimpinan yang seimbang dalam mengekalkan tahap prestasi kerja guru di peringkat yang baik berdasarkan elemen-elemen penilaian dalam SKPMg2.

Kajian juga mendapati beban kerja guru mempunyai hubungan signifikan yang sederhana terhadap prestasi kerja guru. Hal ini menunjukkan adanya nilai kebergantungan saling hubung antara beban kerja dan prestasi kerja. Ini bermakna beban kerja akan mempengaruhi tahap prestasi kerja guru. Keputusan kajian ini menyokong kajian Gahlann (2014) dan Azreen Harina, Zuraida dan Noruhin (2016) yang juga membuktikan kedua-dua pembolehubah ini saling berkaitan yang mana menunjukkan beban kerja yang seimbang akan memberi pengaruh kepada peningkatan prestasi kerja seseorang. Namun, kajian ini juga turut tidak menyokong kajian Rosnak Ishak dan Siti Nur Fatihah (2019) yang dijalankan di Ranau, Sabah, membuktikan bahawa tiada hubungan antara beban kerja dengan prestasi kerja guru. Dalam konteks kajian ini, tahap beban kerja guru adalah sederhana seiring dengan tahap prestasi kerja guru. Ini bermakna guru-guru masih berpuas hati dengan kerja mereka selanjutnya menggambarkan efikasi guru baik dalam menguruskan tekanan beban kerja yang diamanahkan kepada mereka.

6. Kesimpulan

Prestasi kerja guru amat dititikberatkan dalam mencapai matlamat perkhidmatan yang baik.

Prestasi kerja juga merupakan salah satu cara bagi menentukan amalan pengurusan sumber manusia dalam menentukan tahap pencapaian yang diperolehi. Kepimpinan dan pengurusan yang diamalkan guru besar akan memberi impak kepada kualiti kerja, komitmen dan kepuasan kerja guru selain keberkesanannya terhadap pengurusan pentadbiran (Bragg, 2000). KPI yang digariskan KPM juga mempunyai perkaitan rapat dengan beban kerja guru yang mana perlaksanaannya bertujuan untuk mencapai matlamat organisasi. Dalam hal ini, peningkatan mahupun pengurangan bebanan kerja guru akan memberi kesan kepada prestasi kerja guru.

Walau bagaimanapun, pemerolehan dari kajian ini menyumbang kepada bidang ilmu seterusnya memberi impak kepada pemerkasaan dan pengukuran dalam meningkatkan prestasi kerja guru.

Rujukan

Abdul Ghani Kanesan A., Azians A. H. & Ying L. L. (2019). Kesan Nilai Kerja Guru dan Budaya Sekolah Ke Atas Spiritualiti Di Tempat Kerja. Jurnal Kepimpinan Pendidikan 6(2): 1-13.

Abdul Said A. & Christina A. (2014). Persepsi Terhadap Penilaian Prestasi, Komitmen dan Motivasi Kerja Guru Sekolah Menengah Teknik Di Sabah. Jurnal Sains Humanika 2(1):

171-178.

Arzizul A. & Dg Norizah A. K. (2017). Pengaruh Beban Tugas, Motivasi Terhadap Keefisienan Kerja Guru Sekolah Menengah di Sabah. Malaysian Journal of Social Sciencess and Humanities 3(2): 77-84.

Arzizul A. & Dg Norizah A. K. (2017). Pengaruh Beban Tugas, Motivasi Terhadap Keefisienan Kerja Guru Sekolah Menengah di Sabah. Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam 2017, hlm 235-241.

Azreen Harina A., Norudin M. & Zuraida M. (2016). Impak Beban Kerja Terhadap Prestasi

(11)

Kerja Pensyarah: Kes Kajian Di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA). e- Academia Journal UiTMT 5(1): 1-11.

Che Mat. (2008). Ujian Psikologi dan Pengurusan. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.

Che Mohd Syaharuddin C. C., Bahyah A. H. & Aziz A. (2017). Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Prestasi Kerja Dalam KAlangan Penjawat Awam: Satu Kajian Teoritikal. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah 4(1): 67-74.

Choy M. W. & Mohd Izham M. H. (2018). Amalan Kepimpinan Transformasional Pengetua Dan Hubungannya Dengan Kepuasan Kerja Guru. Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Universiti Awam 2018, hlm. 433-443.

Dg Maimunah S. & Dg Norizah A. K. (2017). Gaya Kepimpinan Guru Besar Terhadap Motivasi Kerja Guru Sekolah Agama Negeri (SAN) Pendalaman Bawah. Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam 2017, hlm 78-89.

Ibrahim M. & Khairuddin A. (2017). Tingkah Laku Kepimpinan transformasi Pengetua, Komitmen Organisasi Sekolah dan Efikasi Kendiri Guru Terhadap Kepuasan Kerja Dalam Kalangan Guru-Guru Sekolah Menengah Pendalaman Sabah. Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam 2017, hlm 13-21.

Mohd Faiz M. Y. (2019). Beban Tugas Guru Dan Pertindihan Dasar Pendidikan. Seminar Wacana Pendidikan 2019, hlm 244-251.

Nadiah Bani A., Amizawati M. A. & Siti Farahhani I. (2019). Key Performance Indicators Tugas, Ganjaran dan Prestasi Kerja Guru Sekolah Kerajaan. Jurnal Kepimpinan Pendidikan 6(4): 38-57.

Norashid O. & Hamzah M. O. (2014). Beban Tugas dan Motivasi Pengajaran Guru Di Sekolah Menengah Daerah Ranau. Jurnal Pemikir Pendidikan (5): 35-57

Nurlaili A. W. & Mohd Yusof A. (2018). Hubungan Gaya Kepimpinan dan Pengurusan Kerja Guru Besar Dengan Kepuasan Kerja Guru Sekolah Agama Kerajaan Johor. Jurnal Ilmi 8: 136-150.

Nurul Shafinaz H. (2013). Menentukan Faktor Tekanan Kerja Guru Sekolah Menengah Gred A Daerah Batu Pahat. Tesis Sarjana. Falkulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Prof Madya Dr Azizi Y., Noordin Y. & Sharifudin I. (2004). Tingkah Laku Kepimpinan Pengetua dan Hubungannya Dengan Tekanan Kerja dan Keberkesanan Organisasi di Beberapa Buah Sekolah Terpilih Di Negeri Sembilan. Seminar Pengurusan dan Kepimpinan Ke-12, 2004, hlm 1-12.

Raziah M.& Ahmad E. (2009). Hubungan Gaya Kepimpinan Guru Besar Dengan Kepuasan Kerja Guru Di Tiga Buah Sekolah Rendah Di Seremban. Seminar Kebangsaan Pengurusan Pendidikan PKPGB 2009.

Rosmah I. & Siti Nur Fatihan R. (2019). Prestasi Kerja Guru Dan Hubungannya Dengan Faktor Beban Tugas, Persekitaran Kerja dan Personal: Kajian kes Di Sebuah Sekolah Di Sabah. Jurnal Kepimpinan Pendidikan 5(1): 1-15.

Rosmah I. & Siti Nur Fatihan R. (2019). Prestasi Kerja Guru Dan Hubungannya Dengan Faktor Beban Tugas, Persekitaran Kerja dan Personal: Kajian kes Di Sebuah Sekolah Di Sabah. Jurnal Kepimpinan Pendidikan 5(1): 1-15.

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN

Kajian tinjauan ini dijalankan untuk mengetahui tahap amalan kepimpinan multidimensi guru besar serta hubungannya dengan kepuasan kerja dalam kalangan 132 guru dari lima sekolah

Dapatan kajian menunjukkan tahap kepuasan kerja guru di sekolah daerah Ledang berada pada tahap tinggi dan tidak terdapat perbezaan yang signifikan kepuasan kerja guru

Oleh yang demikian, model yang dicadangkan menunjukkan prestasi kerja mempunyai hubungan dengan kecerdasan emosi, tingkah laku kepimpinan dan trait personaliti adalah sesuai

Dapatan kajian menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara hasil kerja dan tingkah laku berdasarkan pengajaran yang digunakan oleh guru-guru

Kajian ini telah mengenal pasti persepsi guru-guru di sekolah menengah di Kajang terhadap gaya kepimpinan pengetua wanita, tahap motivasi kerja mereka dan hubungan antara persepsi

Berdasarkan dapatan kajian, tahap amalan kepimpinan lestari guru besar sekolah amanah di daerah Jeli adalah tinggi di mana dimensi penerapan budaya perkongsian pembelajaran dalam

Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti hubungan antara amalan kepimpinan transformasional guru besar dengan kepuasan kerja guru sekolah transformasi 25 di daerah

Sesuatu kepimpinan yang efektif merupakan satu asas bagi kenaikan taraf sekolah secara berterusan, bersama kepimpinan transformasi guru besar akan memberi impak