• Tiada Hasil Ditemukan

Persidangan Manila 1954 dan Persidangan Bandung 1955: Amerika Syarikat, Perang Dingin dan Cabaran dari Keberkecualian

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "Persidangan Manila 1954 dan Persidangan Bandung 1955: Amerika Syarikat, Perang Dingin dan Cabaran dari Keberkecualian"

Copied!
8
0
0

Tekspenuh

(1)

Persidangan Manila 1954 dan Persidangan Bandung 1955: Amerika Syarikat, Perang Dingin dan Cabaran dari Keberkecualian

RICHARD MASON

PENGENALAN

Persidangan Manila pada 1954 dan Persidangan Bandung pada 1955 adalah dua persidangan yang terkenal pada awal Perang Dingin. Persidangan Manila, ditaja kuasa-kuasa Barat, telah mengesahkan Perjanjian Manila yang menubuhkan SEATO (Southeast Asia Treaty Organization), sebuah pakatan ketenteraan untuk membendung perluasan komunisme di Asia Tenggara. Sementara itu, Persidangan Bandung pada 1955 pula telah diilhamkan oleh Republik Indonesia, sebuah negara baru yang pada ketika itu mencapai kemerdekaan hanya beberapa tahun sebelum itu. Persidangan Bandung, sedikit sebanyak, merupakan reaksi terhadap SEATO. Merentasi ideologi yang pelbagai sifat itu, Persidangan Bandung bertujuan untuk merapatkan hubungan antara negara-negara Asia dan Afrika yang baru merdeka selain mengesyorkan negara-negara yang masih bergelut menentang penjajahan untuk mendapatkan kemerdekaan masing-masing. Berbeza dengan strategi-strategi SEATO yang militer, Persidangan Bandung menegaskan penyelesaian yang aman untuk mengelakkan Perang Dunia III. Untuk menyekat perluasan Perang Dingin antara Soviet dengan Amerika itu sendiri, India dan Indonesia, dua buah negara penaja Persidangan Bandung, telah menggalakkan keberkecualian dalam Perang Dingin.

Sehubungan itu, sekiranya Persidangan Manila menekankan perbalahan Timur-Barat, tetapi Persidangan Bandung menggalakkan dialog Selatan- Selatan.

Kedua-dua persidangan itu mempunyai kejayaan yang terbatas. Mula-mula sekali, Perjanjian Manila tidak pernah digunapakai dalam perang ‘panas’

dalam Perang Dingin di Asia Tenggara. Sementara itu, walaupun Persidangan Bandung telah menarik perhatian hangat, tetapi ianya juga mempunyai kesan yang agak terhad, lagipun ‘Semangat’ Bandung adalah mitos semata-mata. Hanya setelah bilangan negara-negara merdeka meningkat secara mendadak pada 1960an baharulah neutralisme dan keberkecualian dalam Perang Dingin mulai terasa.

Sehubungan itu, dalam kajian ini ingin dilihat semula

kedua-dua Persidangan Manila dan Persidangan Bandung. Dengan menggunakan dokumen-dokumen Jabatan Negara Amerika Syarikat berkenaan dasar luarnya, makalah ini akan menganalisa persepsi Amerika Syarikat tentang kedua-dua persidangan itu, khususnya tanggapan pihak Amerika Syarikat mengenai reaksi negara-negara Asia terhadap penubuhan SEATO dan juga kebimbangan pihak Amerika mengenai Persidangan Afro-Asia di Bandung pada 1955. Kalau selama ini kebanyakan penulisan ilmiah tentang keberkecualian agak cenderung untuk memberi fokus kepada India, tetapi makalah ini akan memberi fokus kepada Indonesia.

Tema utama makalah ini adalah tentang cabaran- cabaran daripada keberkecualian kepada dasar Amerika Syarikat dalam usahanya membendung komunisme.

KONTEKS

Kedua-dua persidangan itu telah diadakan dalam konteks masa kuasa-kuasa imperialis Barat berundur dari tanah jajahan mereka ekoran tentangan hebat dari nasionalisme Dunia Ketiga. Ini berlaku seiring dengan mulanya Perang Dingin selepas tamatnya Perang Dunia II. Dalam tempoh sedekad selepas berakhirnya Perang Dunia II, negara-negara yang baru merdeka telah muncul di negara selatan yang amnya dikenali sebagai Dunia Ketiga. Kebanyakan negara Dunia Ketiga ini pernah bergelut menentang penjajahan sejak Perang Dunia I atau sebelumnya lagi, tetapi hanya selepas Perang Dunia II nasionalisme Dunia Ketiga menjadi tidak lagi dapat dikawal. Perkembangan nasionalisme Dunia Ketiga, khususnya nasionalisme orang Asia, telah diberi rangsangan besar semasa Perang Pasifik.

Kemenangan Jepun dalam Perang Russo-Jepun pada tahun 1904, dan juga kepantasan pihak penjajah diusir dari Asia Tenggara oleh Jepun dalam Perang Pasifik telah menghancurkan mitos akan kekuatan Barat dan bangsa orang kulit putih. Selain itu, di sesetengah kawasan yang mereka duduki, pihak Jepun telah menyemarakkan semangat nasionalisme dengan memberi lebih banyak peluang kepada penduduk tempatan untuk mentadbir diri mereka

(2)

berbanding semasa di bawah penjajahan Barat.

Maka, tidaklah menghairankan bahawa sesetengah bekas tanah-penjajahan tidak sanggup lagi menerima semula kembalinya penjajahan selepas kekalahan Jepun; dan di mana kuasa-kuasa penjajah berdegil, nasionalisme Dunia Ketiga menyemarakkannya menjadi revolusi.

Proses dekolonialasi di Dunia Ketiga telah berlaku secara kebetulan dengan tercetusnya Perang Dingin. Konflik Amerika-Soviet telah membawa bencana, selain membuka peluang kepada pemimpin nasionalis di Dunia Ketiga kerana kuasa-kuasa yang bergelut dalam Perang Dingin telah bersaing sengit untuk mendapatkan persahabatan dan kesetiaan dari negara-negara Dunia Ketiga. Di Asia Tenggara selepas Perang Dunia II, misalnya, pihak nasionalis di Indonesia telah mempermainkan anti-komunisme dengan bijaksana demi memperoleh sokongan Amerika Syarikat dalam perang kemerdekaan Indonesia menentang Belanda. Pihak Washington yakin bahawa meneruskan sokongan kepada orang Belanda bukan sahaja menyisihkan nasionalisme Indonesia, tetapi juga memberi laluan kepada pihak komunis untuk mengeksploitasi dan merampas revolusi nasionalis Indonesia. Tetapi, dalam perang kemerdekaan Vietnam, Amerika Syarikat telah menyokong penjajah Perancis untuk menentang pihak nasionalis Vietnam kerana gerakan nasionalis Vietnam dikawal oleh komunis. Selain itu, Amerika Syarikat telah menggantikan pihak Perancis menentang pihak nasionalis Vietnam selepas Perancis diusir dari Indochina. Ini bermakna Perang Dingin telah membolehkan negara-negara Dunia Ketiga menerima bantuan daripada kedua-dua pihak selain membenarkan pemimpin-pemimpin nasionalis yang berupaya dan berani di Dunia Ketiga untuk mempermainkan kuasa-kuasa yang bergelut dalam Perang Dingin antara satu dengan yang lain. Akan tetapi, permainan politik Perang Dingin telah membawa risiko dalam mengkompromikan kedaulatan dan kemerdekaan Negara.

Satu konsep yang berkait rapat dengan Persidangan Bandung adalah ‘keberkecualian.’

Ramai sarjana telah keliru dengan konsep keberkecualian sebagai yang sama dengan

‘neutralisme’ sehinggakan dua perkataan ini digunakan saling berganti. Itu tidak betul.

Neutralisme, sebagai dasar luar, adalah pasif dan selalu dikaitkan dengan dasar ‘tidak-campur tangan.’

Keberkecualian, sebaliknya, bermakna tidak menyebelahi mana-mana negara yang sedang bergelut. Dalam Persidangan Bandung 1955, Jawaharlal Nehru, Perdana Menteri India, telah cuba

mengetengahkan keberkecualian, berbeza daripada neutralisme. Timbalan Presiden Republik Indonesia, Mohammad Hatta, juga telah memberi gambaran jelas mengenai makna keberkecualian dalam sebuah makalah di jurnal Foreign Affairs yang diterbitkan pada April 1953: “Indonesia tidak memilih kasih antara mana-mana pihak yang sedang bertentangan dan ia mengikut arah dirinya sendiri dalam pelbagai masalah antarabangsa....Dasar kebebasannya untuk mengelakkannya daripada bermusuhan dengan kedua-dua pihak, dan melindungi dirinya daripada kerosakan yang mungkin diperoleh sekiranya menyebelahi mana-mana pihak, selain membenarkannya berkawan dengan semua negara atas dasar saling hormat-menghormati.” Indonesia bersedia untuk menerima bantuan intelektual, kebendaan dan juga moral dari mana-mana negara,

“asalkan ia tidak menjejaskan atau mengkompromikan kedaulatan dan kemerdekaan Indonesia.” Hatta menerangkannya dengan lebih lanjut bahawa dasar luar yang berkecuali adalah juga diperlukan oleh politik dalaman Indonesia: Bagi beberapa tahun selepas mendapat kemerdekaan,

“penyatuan dalaman adalah tugas utama....Dasar luar yang memihak kepada sebarang mana Kuasa Besar [dalam Perang Dingin] akan menyebabkan tugas dalaman ini menjadi lebih sukar.”1

Kuasa-kuasa Barat, terutamanya Amerika Syarikat, menganggap neutralisme dan keberkecualian itu sebagai naïf, menipu diri dan juga berbahaya. Dalam kenyataan beliau pada Disember 1954, Presiden Eisenhower menyoal logiknya untuk berkecuali memandangkan perbezaan yang amat kritikal antara pihak yang menghormati kedaulatan dan kebebasan manusia berbanding pihak yang menganggap manusia hanya sebagai catur sesebuah negara.2 Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Foster Dulles lebih tegas dalam kutukan beliau ke atas negara-negara yang ‘tidak komited’.

Neutralisme, kata beliau dalam sebuah ucapan di Iowa pada pertengahan 1956 adalah “usang” dan

“tidak bermoral”.3

PERSIDANGAN MANILA DAN SEATO Perkembangan yang mendorong ke arah pembentukan SEATO sudah banyak dibincangkan.4 Pakatan itu adalah cabang Asia Tenggara dalam jaringan pakatan-pakatan ketenteraan yang merentasi dunia yang telah didirikan pentadbiran Eisenhower untuk menyekat perluasan komunisme.

SEATO telah ditubuhkan sebagai reaksi kepada

(3)

kekalahan Perancis di Vietnam dan Penyelesaian Geneva yang menyusulinya pada Julai 1954. Namun, Amerika Syarikat telah membantah tindakan pihak Perancis berunding dengan pihak komunis Vietnam dan juga memandang Penyelesaian Geneva itu sebagai kekalahan serius bagi pihak Barat, maka mempunyai implikasi berbahaya bagi masa depan.

Sehubungan itu, beberapa minggu sebelum Persidangan Geneva bermula, pentadbiran Eisenhower kelihatan sudah bersiap sedia untuk campur tangan ketenteraan di Vietnam, tetapi ia telah dielakkan kerana sebahagian besar ahli Senate dan ahli kongres Amerika Syarikat enggan menyokong resolusi campur tangan di Vietnam tanpa penglibatan pihak British. Akan tetapi, tidak lama selepas Persidangan Geneva, Setiausaha Negara Dulles berjaya mendorong penubuhan SEATO.

Pada 8 September 1954, Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Australia, New Zealand, Pakistan, Thailand dan Filipina telah menandatangani Perjanjian Manila. Mereka bersetuju tentang sebarang serangan bersenjata terhadap mana-mana satu daripada mereka atau terhadap “sebarang negeri atau wilayah yang mereka telah setujui atau akan namai” akan “menjejas keamanan dan keselamatan”

kesemua mereka; dan dalam keadaan sedemikian, mereka akan bertindak bersama-sama untuk membanteras bahaya itu. Selepas perdebatan sengit, zon pertahanan SEATO telah diperluaskan sehingga meliputi Cambodia, Laos dan Vietnam Selatan. Bagi tujuan politik yang berkait dengan kongres, satu

“pemahaman” telah dimasukkan ke dalam perjanjian SEATO untuk mengehadkan tanggungjawab Amerika Syarikat kepada hanya “pencerobohan komunis.”

Para arkitek SEATO sebenarnya mahu pakatan yang menyeluruh dan luas. Selain kuasa-kuasa Barat yang mempunyai banyak kepentingan di rantau itu, pakatan itu harus dianggotai semua negara Asia, termasuk negara berkecuali. Akan tetapi, dari benua Asia, hanya Pakistan, Thailand dan Filipina menyertai SEATO. Pegawai-pegawai British dan Amerika Syarikat yang terlibat dalam perancangan SEATO memang sangsi dengan negara yang tidak sudi menyertainya. Sehubungan itu, mereka telah menjemput negara-negara itu untuk menyertai pakatan itu dengan harapan akan diterima. Pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat juga ingin memastikan negara yang tidak menyertai SEATO tidak juga membantah penubuhan SEATO.5 Ada kemungkinannya Belanda yang telah meninggalkan SEATO adalah untuk menangkis bantahan pihak Indonesia akan penubuhan pakatan itu. Para arkitek

SEATO yakin Indonesia tidak mahu menyertainya, tetapi mereka berharap Indonesia tidak membantah penubuhan SEATO.6

Keraguan pihak Barat mengenai penyertaan Indonesia dalam SEATO telah terbukti benar; tetapi tanggapan mereka yang Indonesia tidak akan membantah penubuhan SEATO itu sudah silap.

Apabila Oscar Morland, duta British di Jakarta, mengusulkan sebuah pakatan pertahanan bersama kepada Perdana Menteri Ali Sastroamijojo,7 Ali telah mengatakan dengan tegas “tidak kira sama ada perjanjian penyelesaian telah dicapai di Geneva mengenai Indochina atau tidak” kerajaan Indonesia tidak akan menyertai penubuhan pertahanan kolektif di Asia Tenggara “kerana ini bertentangan dengan dasar ‘aktif berkecuali’ yang diamalkan kerajaan Indonesia.”8 Selain itu, Indonesia juga tidak akan hantar pemerhati ke Persidangan Manila. Moreland kemudiannya memberitahu Hugh Cumming, duta besar Amerika Syarikat ke Indonesia, bahawa daripada jawapan Ali kepada diri beliau Indonesia pasti tidak akan mempertimbangkan-semula keahliannya dalam SEATO; malahan, Indonesia akan membantah penubuhan SEATO.9

Namun, Cumming berpendapat sikap Indonesia itu tidak harus menghalang Amerika Syarikat daripada melaksanakan sistem pakatan pertahanannya dengan negara-negara Asia lain yang sudi menyertainya. Beliau melaporkan Indonesia masih belum bersedia disebabkan dasar ‘neutralis bebasnya,’ untuk mengambil sebarang tindakan yang boleh dipandang sebagai antikerajaan Rakyat China.

Menurut Cumming lagi, dalam penulisan dan perbincangan di pihak Indonesia mengenai masalah itu, Indonesia cenderung mempercayai British dan Amerika Syarikat tidak akan membiarkan Indonesia jatuh ke tangan China; dan dalam kedudukan kepulauan Indonesia itu akan ditambah kekuatan udara dan laut di pihak Anglo-Amerika untuk membolehkan Indonesia menikmati keselamatan dengan percuma dan menangguhkan keputusan diambilnya terhadap permasalahan China. Cumming percaya sikap Indonesia pada masa depan banyak bergantung pada tanda-tanda baru tentang keganasan dari pihak komunis. Melainkan diancam secara langsung, Indonesia tidak mungkin menghiraukan sebarang idea mengenai keselamatan bersama. Sementara itu, tambah Cumming, ada setengah pihak di Indonesia telah menyedari kemungkinan bahaya ‘pembebasan’ dari dalam.

Ramai pemimpin yang bukan komunis dalam kerajaan Indonesia meragui niat pihak komunis Indonesia. Kebanyakan pemimpin pembangkang di

(4)

Indonesia agak sensitif tentang ancaman dari pihak komunis, baik dari dalam atau luar. Cumming mencadangkan Amerika Syarikat perlu memberitahu kerajaan Indonesia mengenai perkembangan penubuhan SEATO pada setiap fasa perundingan.

Tindakan sedemikian akan mengurangkan perasaan di pihak Indonesia yang Amerika Syarikat ‘bersikap angkuh’ dan telah mengambil tindakan yang boleh menjejaskan kepentingan Indonesia tanpa berbincang dengannya. Ini akan juga menarik hati pihak Indonesia yang bersimpati dengan tindakan yang akan memberi perlindungan kepadanya daripada ancaman Komunis China10

Akan tetapi, Cumming telah silap memahami maksud sebenar pihak Indonesia dan negara berkecuali yang lain dalam membantah penubuhan SEATO. Bagi kerajaan Indonesia, masalah utama di Asia Tenggara bukanlah komunisme atau keganasan negara China berbanding dengan usaha Amerika Syarikat untuk membendung komunisme secara ketenteraan. Negara-negara yang berkecuali seperti India, Burma dan Indonesia yakin SEATO tidak akan membawa kestabilan ke Asia Tenggara, sebaliknya akan mempertingkatkan lagi ketegangan Perang Dingin di rantau Asia Tenggara. Ali kemudiannya menulis dalam memoir beliau bahawa disebabkan adanya Penyelesaian Geneva, SEATO pada hakikatnya adalah tidak perlu lagi.

Sesungguhnya, beliau percaya SEATO bukan sahaja akan memusnahkan semua manfaat daripada Persidangan Geneva, tetapi juga “pakatan ketenteraan SEATO akan membawa Perang Dingin secara rasmi ke rantau Asia Tenggara, dengan segala implikasinya dan ketegangannya.” Selain itu, kerajaan Indonesia juga cenderung melihat SEATO sebagai jentera bagi mengekalkan penjajahan Barat di Asia.11

PERSIDANGAN BANDUNG

Kebanyakan makalah mengenai Persidangan Bandung 1955 telah memberi pujian kepada Presiden Sukarno sebagai tokoh yang telah mengilhamkan persidangan itu.12 Berkarisma dan menawan, watak Presiden Sukarno sememangnya telah mendominasi persidangan itu semasa ia berlangsung. Yang sebenarnya, idea untuk persidangan itu telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Ali yang mengusulkan buat pertama kali dalam mesyuarat bersama perdana-perdana menteri dari Sri Lanka, India, Pakistan, Myanmar dan Indonesia di Colombo pada April 1954. Mesyuarat Colombo itu telah

diadakan atas inisiatif Sir John Kotelawala, perdana menteri Sri Lanka, untuk mempengaruhi dan memberi tekanan yang memihak kepada penyelesaian secara aman di Indochina di Persidangan Geneva khususnya dan, amnya ke atas menyelesaikan isu-isu Perang Dingin Asia secara rundingan. Dalam mesyuarat itu, Ali mencadangkan satu persidangan besar di peringkat yang tertinggi bagi negara-negara merdeka di Asia dan Afrika untuk menggalakkan pengenduran ketegangan Perang Dingin di dua buah benua itu dan juga bertindak sebagai jentera untuk memperjuangkan anti- kolonialisme di Asia dan Afrika.

Cadangan Ali itu, pada mulanya, tidak mendapat sokongan baik di Persidangan Colombo, tetapi kemudian Jawaharal Nehru, perdana menteri India, nampak peluang untuk menggunakan persidangan itu untuk mengakhiri pemulauan ke atas China. Nehru amat bimbang tentang ketegangan yang semakin membahayakan antara Amerika Syarikat dan China ke atas Indochina dan kepulauan yang berhampiran dengan tanah besar China. Nehru kagum dengan sikap sederhana China di Persidangan Geneva.

Justeru itu, selepas lawatan Zhou Enlai, menteri luar negara China, ke New Delhi pada Jun 1954, setelah pertikaian Sino-India ke atas Tibet selesai, Nehru berharap untuk dapat menggunakan persidangan yang dicadangkan Ali itu bukan sahaja untuk mendamaikan hubungan antara China dengan kuasa- kuasa Barat, tetapi juga, mungkin lebih penting lagi, untuk meletakkan batu asas dalam hubungan antara China dengan negara-negara jirannya di Asia.

Sehubungan itu, apabila Ali melawat New Delhi pada September 1954, Nehru bersetuju dengan projek Persidangan Asia-Afrika itu, dengan syarat China dijemput hadir. Cadangan asal Ali adalah persidangan untuk ahli-ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sahaja, tetapi beliau setuju dengan perubahan yang dicadangkan Nehru. Kedua-dua tokoh itu berharap agar persidangan itu akan berjaya merapatkan hubungan China dengan negara-negara lain di Asia dan dalam pada itu mengendurkan hubungannya dengan Kesatuan Soviet.13

Dalam mesyuarat negara-negara penganjur di Bogor di Indonesia pada akhir Disember 1954 telah dipersetujui Persidangan Afro-Asia akan diadakan selama seminggu di Bandung pada pertengahan April 1955. Tiga-puluh buah negara di Asia dan Afrika telah dijemput hadir, termasuk China, Vietnam Utara dan Vietnam Selatan. Kedua-dua Korea Utara dan Selatan, Mongolia Luar, Israel dan Afrika Selatan tidak dijemput, manakala kerajaan Persekutuan Afrika Tengah telah menolak jemputan. Telah

(5)

dipersetujui juga bahawa agenda persidangan akan ditentukan semasa persidangan. Tujuan persidangan yang dinyatakan itu adalah untuk menggalakkan perasaan muhibah, kerjasama dan kebaikan bersama untuk membincangkan masalah-masalah ekonomi, sosial dan kebudayaan, untuk membincangkan masalah-masalah khusus di Asia dan Afrika seperti perkauman, penjajahan dan kemerdekaan serta sumbangan Asia dan Afrika dalam menggalakkan keamanan dan kerjasama sejagat.

Pentadbiran Eisenhower khuatir Persidangan Asia-Afrika itu akan membawa mudarat kepada Amerika Syarikat. Sehubungan itu, pegawai-pegawai Amerika menjangka Nehru akan menggalakkan pembentukan ‘kuasa ketiga’ di tengah-tengah kuasa Timur dan Barat. Setiausaha Dulles bimbang akan

“bahaya yang amat” bahawa persidangan itu

“mungkin akan menghasilkan kecenderungan kuat di Asia untuk mengikut aliran antibarat dan antikulit putih, maka mendatangkan kesan yang amat mudarat pada masa depan.” Sebuah persatuan Asia-Afrika yang longgar dan bersidang dari masa ke masa mungkin boleh menjadi yang amat berkesan. Dulles bimbang sekiranya negara-negara yang dijemput ke Bandung “memperoleh tabiat suka bermesyuarat dari masa ke masa tanpa penyertaan Barat, India dan China pasti akan mendominasi scenario itu dengan hasil daripadanya ialah sebuah blok antibarat yang kukuh dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.” 14

Permasalahan yang lebih mendesak adalah mengenai penyertaan negara China. Ini bertentangan dengan dasar Amerika Syarikat yang enggan memperakui kerajaan Republik Rakyat China.

Pegawai-pegawai Amerika amat mengkhuatiri persidangan itu mungkin akan meluluskan resolusi mengesahkan kemasukan kerajaan komunis China ke dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Walter Robertson, pegawai kanan di Jabatan Negara Amerika Syarikat, bimbang Persidangan Bandung akan memberi Zhou Enlai “forum yang cemerlang untuk menerangkan ideologi komunis dalam samaran antipenjajahan kepada penonton yang naïf.”

Mengingat kemahiran komplot diplomatik Zhou di Geneva, Robertson percaya Persidangan Bandung akan dimanipulasikan. “Para komunis akan memperkenalkan satu atau lebih resolusi antipenjajahan dengan tiada pemimpin Asia akan berani menentangnya, sekali gus memerangkap ahli diplomat yang kurang berpengalaman untuk menyokong resolusi yang seolah-olah memihak kepada kebaikan, keindahan dan kebenaran.”

Walaupun negara-negara komunis hanyalah minoriti

dalam persidangan itu, pegawai Amerika yakin Komunis China akan berusaha sedaya upaya menggunakan persidangan itu untuk meningkatkan prestijnya sekali gus mencemar nama Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya dalam mata negara- negara Asia dan Afrika. Pegawai-pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat nampaknya tidak yakin pemimpin dari negara yang baru merdeka mampu berfikir dengan bebas, selain terikut-ikut dengan pengaruh China. Selain itu, mereka mendapati tidak ada mana-mana pemimpin negara di Asia dan Afrika berkaliber untuk menangkis propaganda komunis dengan berkesan bagi pihak dunia bebas.15

Pada mulanya, Jabatan Negara Amerika Syarikat cenderung untuk mempengaruhi sekutu Amerika dan negara yang lain yang mesra dan yang telah dijemput ke persidangan supaya tidak hadir.

Akan tetapi, selepas pertimbangan dengan wajar dan berunding dengan pihak kerajaan British,16 pentadbiran Eisenhower mula yakin yang dia telah silap untuk menghalang persidangan itu.

Memandangkan persidangan itu tetap akan diadakan, maka adalah penting bagi Amerika Syarikat memastikan wakil-wakil yang berwibawa dari negara-negara probarat yang telah dijemput akan menghadirinya. Amerika Syarikat sekarang berharap untuk “menjatuhkan atau mengambil alih”

persidangan itu dengan menyediakan resolusi-balas untuk wakil-wakil yang berkenaan.17 Oleh kerana hanya dua daripada tiga puluh buah negara peserta itu komunis, maka objektif Amerika di Bandung disasarkan kepada anasir-anasir yang tidak komited di kalangan negara neutralis dan negara yang bersekutu dengan Amerika Syarikat. Objektif ini adalah “untuk menangkis dengan berkesan tuduhan daripada pihak komunis, dan mendorong tanggapan afirmatif terhadap Dunia Bebas serta matlamat dan pencapaian Amerika Syarikat.”18 Atas cadangan Setiausaha Dulles, Majlis SEATO yang bermesyuarat di Bangkok pada bulan Februari 1955 telah mengirim salam ke Bandung, dan berharap persidangan di Indonesia itu akan meneruskan matlamat untuk memastikan “negara-negara bebas akan kekal bebas.” Dulles menulis kepada Eisenhower bahawa mesej kepada Persidangan Afro-Asia itu, jika dilakukan dengan betul, akan mempunyai nilai propaganda yang sangat baik selain boleh menggelisahkan persidangan itu.19

Nampaknya, rasa bimbang di pihak Washington mengenai persidangan itu terbukti tidak berasas. Zhou Enlai telah tampil sebagai peserta yang efektif di persidangan itu, berpendirian sederhana dan juga meminta Amerika Syarikat membuat rundingan

(6)

secara langsung bagi mengurangkan ketegangan di Timur Jauh untuk mengelakkan konflik bersenjata di Selat Taiwan. Selain itu, tidak ada apa-apa ideologi Afro-Asia timbul di persidangan itu. Pelbagai negara-negara yang datang ke Bandung itu tidak dapat bersetuju dengan banyak isu antarabangsa yang penting. Oleh sebab itu, maka communiqué yang dikeluarkan adalah umum sifatnya untuk menggalakkan kerjasama di bidang ekonomi dan budaya. Ia juga mengecam penjajahan dalam segala bentuk dengan kesemua penanda tangannya inginkan kesejahteraan dan keamanan.

Pentadbiran Eisenhower lega dengan hasil persidangan di Bandung. Sebelum persidangan itu berlangsung, Jabatan Negara Amerika Syarikat amat khuatir Bandung mungkin akan menjadi demonstrasi antiAmerika dan antiBarat; tetapi ini tidak terjadi.

Setiausaha Dulles kemudiannya memberitahu dalam mesyuarat kabinet bahawa Jabatan Negara pada mula-mulanya khuatir persidangan itu akan di dominasi oleh Zhou Enlai dan Nehru, tetapi ternyata adalah yang sebaliknya kerana telah dikuasai oleh

“kumpulan negara-negara Asia yang proAmerika yang menaruh kepercayaan pada berkawan dengan Barat.” Menurut Dulles, kecuali persoalan Palestine, kenyataan akhir dari persidangan itu boleh diterima oleh Amerika Syarikat sendiri. Malah, rujukannya kepada penjajahan “bersesuaian dengan apa yang kita rasai di hati kita” tetapi tidak dapat menyatakan secara terbuka kerana sensitiviti pihak-pihak sekutu.

Percubaan Nehru untuk mengembang falsafah keberkecualian untuk menerajui kepimpinan Asia telah gagal pada kedua-duanya. Dulles mengaku bahawa Komunis China telah berjaya dalam menenangkan jiran-jirannya, tetapi ini telah didapati hanya dengan kos meninggalkan beberapa polisi militant mereka. Menurut beliau, hasil yang positif daripada persidangan itu disebabkan kemampuan negara-negara Asia yang proAmerika untuk kerja berpasukan dan menyelaras strategi-strategi yang sangat memuaskan walaupun tiada pemimpin di kalangan mereka menikmati prestij seperti Zhou.

Oleh sebab itu, negara-negara ini telah mempelajari semangat berdikari dan keyakinan diri yang baru yang akan membawa manfaat kepada dunia bebas pada masa depan.20

Namun, beberapa isu-isu yang dibangkitkan dalam persidangan Bandung itu masih kekal. Selain itu, sudah pun ada cadangan untuk mengadakan persidangan Afro-Asia yang kedua. Untuk menangkisnya, Setiausaha Dulles mencadangkan untuk mengadakan satu mesyuarat pendahuluan antara Britain, Perancis dan Amerika Syarikat untuk

membincangkan persoalan yang berkait dengan penjajahan. Pada musim luruh tahun 1955, beliau mengusulkan idea itu kepada Harold MacMillan, menteri kewangan British. British pada mulanya berminat, tetapi kemudiannya menyedari niat Dulles itu bukan sahaja ditujukan kepada negara-negara neutralis, tetapi juga mungkin untuk mengusir British dan Perancis atas isu penjajahan. Justeru itu, pihak British telah berlengah untuk mengadakan mesyuarat itu; dan apabila Mesir memiliknegarakan Terusan Suez pada tahun 1956, projek counter-Bandung itu telah diluputkan.21

KESIMPULAN

Perang Dingin semestinya adalah lebih dinamik daripada hanya konfrontasi antara Timur dan Barat.

Selain konflik Soviet-Amerika, neutralisme dan keberkecualian telah timbul sebagai kuasa ketiga dalam kedinamikan Perang Dingin yang melibatkan negara-negara Dunia Ketiga yang baru. Kebanyakan negara Dunia Ketiga yang daripada awal-awal lagi sudah tidak mahu memilih untuk menyebelahi mana- mana pihak dalam konflik Soviet-Amerika itu mahu berkawan dengan kedua-dua kuasa yang sedang berkonflik itu. Berpegang kepada dasar ‘bebas’

dalam Perang Dingin adalah lanjutan logik bagi perjuangan menentang penaklukan penjajahan.

Sehubungan itu, bagi kebanyakan negara Dunia Ketiga, neutralisme dan keberkecualian adalah keperluan politik domestik. Keberkecualian juga membolehkan negara-negara baru untuk menerima bantuan daripada kedua-dua pihak yang berperang dingin itu. Perspektif ini memang tidak dapat diterima oleh pihak Soviet ataupun pihak Barat.

Bagi pegawai Amerika, memang tidak ada ruang bagi neutralisme dan keberkecualian dalam Perang Dingin kerana Perang Dingin adalah situasi yang tidak boleh bertolak-ansur. Yakin yang dia berada di pihak yang bermoral betul, Washington menjangka negara-negara yang baru merdeka akan menyebelahinya. Selain pegangan bahawa neutralisme adalah ‘usang’ dan ‘tidak bermoral,’

pegawai Washington bimbang Persidangan Bandung akan memulakan pembentukan blok antiBarat dan antikulit putih di PBB, sekali gus merumitkan lagi Perang Dingin Amerika Syarikat dengan Kesatuan Soviet. Analisis ke atas reaksi Amerika Syarikat terhadap persidangan itu juga mendedahkan kecenderungan pegawai Washington untuk bertanggapan bahawa pemimpin Dunia Ketiga tidak mampu berfikir secara bebas, selain mudah terikut-

(7)

ikut dengan pengaruh komunis. Kebanyakan rasa bimbang Amerika mengenai persidangan Bandung adalah disebabkan sikapnya memandang rendah terhadap pemimpin Afro-Asia, kesilapan pentadbiran Eisenhower yang cepat diakuinya semasa membuat post-mortem dalam Persidangan Bandung. Sejauh mana pengajaran ini benar adalah perkara yang lain.

Persidangan Bandung pada 1955 itu mempunyai kesan yang terhad. Tidak ada ideologi Dunia Ketiga dibangkitkan dalam persidangan itu. Negara yang menghadiri persidangan itu yang datang daripada pelbagai kumpulan tidak sependapat mengenai isu- isu yang penting. Oleh sebab itu, kenyataan akhir yang dikeluarkan sangatlah umum. Hanya setelah semakin banyak negara Dunia Ketiga mencapai kemerdekaan dan mengamalkan keberkecualian dalam dasar luar, barulah ‘pergerakan’ Bandung menjadi ketara. Ini bermula pada 1960an, maka pada tahun 1955, pencapaian persidangan masih belum jelas lagi.

NOTA HUJUNG

1 Mohammad Hatta, Indonesia’s Foreign Policy Foreign Affairs (April 1935). Petikan ini adalah daripada cetakan- semula makalah tersebut dalam karya Mohammad Hatta, Potrait of a Patriot: Selected Writings of Muhammad Hatta (Singapore: Gunung Agung, 1981): 550-51, 555.

2 Department of State Bulletin, 31 (27 Disember 1954): 980

3 Ibid, 34 (18 Jun 1956): 999-1000.

4 Antara yang lain, lihat Gary Hess, “The American Search for Stability in Southeast Asia: The SEATO Structure of Containment.” dalam Warren I. Cohen dan Akira Iriye (eds.), The Great Powers in East Asia, 1953-1960 (New York: Columbia University Press, 1990); Lloyd Gardner, Approaching Vietnam. From World War II through Dienbienphu, 1941-1954 (New York: W.W. Norton & Co., 1988); George C. Herring, America’s Longest War. The United States and Vietnam, 1950-1975 (New York: John Wiley & Sons, 1979); Evelyn Colbert, Southeast Asia in International Politics, 1941-1956 (Ithaca: Cornell University Press, 1977); Russell H. Fifield, Americans in Southeast Asia. The Roots of Commitment (New York:

Thomas Crowell Company, 1973); George Modelski (ed.), SEATO. Six Studies (Canberra: F.W. Cheshire, 1962);

Chatham House Study Group, Collective Defense in Southeast Asia. The Manila Treaty and its Implications (London: Oxford University Press, 1956). Untuk penilaian yang kritikal, lihat Laszek Buszynski, SEATO: The Failure of An Alliance Strategy (Singapore: Singapore University Press, 1983).

5 Telegram, Dulles ke Jabatan Negara, 30 April 1954, Foreign Relations of the United States 1952-1954, XI: East Asia and the Pacific (Washington: US Government Printing Press, 1987), Part 1: 436.

6 Mengenai kebimbangan pihak Indonesia akan penyertaan Belanda dalam SEATO, lihat telegram daripada Douglas

Dillon, Duta Amerika Syarikat ke Perancis, ke Jabatan Negara, 26 April, 1954, Ibid.,: 433.

7 Kementerian Luar British dan Jabatan Negara Amerika Syarikat bersetuju bahawa jemputan untuk menghadiri Persidangan Manila akan diberi kepada Filipina dan Thailand oleh Amerika Syarikat; kepada negara-negara Komanwel British dan Kuasa-kuasa Colombo oleh Britain;

dan jemputan bersama Amerika Syarikat dan Britain kepada Perancis. Indonesia adalah ahli Kuasa-kuasa Colombo.

8 Memorandum Perbincangan, 21 Julai 1954, Department of State Central File, 790.5/7-2154, Confidential US State Department Central Files: The Far East, Internal Affairs and Foreign Affairs, 1949 1959 (Washington: University Publication of America, 1991) reel 11. Rujukan selanjutnya kepada fail ini dipendekkan sebagai Central File Far East.

9 Telegram, Cumming ke Jabatan Negara, August 3, 1954, Department of State Central File, 790.5/8354, ibid.

1 0 Telegram, Cumming ke Jabatan Negara, 14 Julai 1954, Department of State Central File, 790.5/7-2354, Ibid.

1 1 Ali Sastroamijojo, Milestones in My Journey: Memoirs of Ali Sastroamijojo, Indonesian Patriot and Political Leader, suntingan C.L.M. Penders (St. Lucia, Queensland:

University of Queensland Press, 1979): 280

1 2 Sebagai contoh lihat Jason C. Parker, “Small Victory, Missed Chance: The Eisenhower Administration, the Bandung Conference, and the Turning of the Cold War”

dalam Kathryn C Statler dan Andrew L. Jones (penyunting), The Eisenhower Administration, the Third World, and the Globalization of the Cold War (Lanham, MD: Rowan and Littlefield Publishers Inc, 2006): 153-74.

1 3 Lihat terutamanya George McTurnan Kahin, The Asian- African Conference. Bandung, Indonesia, April 1955 (New York: Kennikat Press, 1955); David Kimche, The Afro- Asian Movement. Ideology and Foreign Policy of the Third World (Jerusalem: Israel Universities Press, 1973).

1 4 Minit Mesyuarat Pegawai Pejabat Setiausaha, 7 January, 1955, Foreign Relations of the United States 1955 1957, Volume XXI: East Asian Security; Cambodia; Laos (Washington: US Government Printing Office, 1990), 1-4;

Memorandum Perbincangan, 9 April 1955, Ibid.: 82-4.

1 5 Ibid.; Minit Mesyuarat, Pejabat Setiausaha, 18 Januari, 1955, Ibid.: 11-16.

1 6 Untuk perbincangan mengenai reaksi British terhadap Persidangan Bandung, lihat Nicholas Tarling, “’Ah-Ah’:

Britain and the Bandung Conference of 1955.” Journal of Southeast Asian Studies, 23, 1 (Mac 1992): 74-11.

1 7 Memorandum Perbincangan, 10 Januari, 1955, FRUS 1955- 1957, XXI., 5; Minit Mesyuarat, 18 Januari 1955, Ibid., 11-14; Telegram Pekeliling Jabatan Negeri kepada Misi Diplomatik Amerika Syarikat tertentu, 25 Januari 1955, Ibid., 23; Memorandum Perbincangan, 27 Januari, 1955, Department of State Central Files, 670.901/1-2755, Central File Far East, reel 11.

1 8 Memorandum daripada Pemangku Ketua Kumpulan Kerja Afro-Asia kepada Setiausaha Negara, 8 Februari 1955, FRUS 1955-1957, XXI: 29-30.

1 9 Setiausaha Dulles kepada Eisenhower, 26 Februari, 1955 sebagaimana petikan dalam H.W. Brands, The Spectre of Neutralism: The United States and the Emergence of the Third World, 1947-1960 (New York: Columbia University Press, 1989): 111.

(8)

2 0 Minit Mesyuarat Kabinet, 29 April, 1955, FRUS 1955- 1957, XXI, pp. 91-92; Memorandum Perbincangan, 5 Mei, 1955, Ibid: 95-98.

2 1 Brands, Spectre of Neutralism:116-118

(Karya asal : The Manila Conference 1954 versus the Bandung Conference 1955: the United States, the Cold War and the Challenge of Non-alignment telah disiarkan dalam Jebat:

Malaysian Journal of History, Politics & Strategic Studies, vol.

38, 1 (2011): 1-11).

Penulis dan penterjemah: Richard Mason, Ph.D Institut Kajian Oksidental

Universiti Kebangsaan Malaysia Email: masan5565@gmail.com Pembantu Penterjemah: Rita Razlan

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN

Objektif: Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji faktor yang mendorong kepada kitar semula sisa bateri dengan memahami tingkah laku dan kesedaran pelajar

“Para peserta persidangan yang datang dari pelbagai negara juga dapat mewujudkan suasana untuk bersidang yang lebih baik serta matlamat persidangan dapat dicapai

Ini termasuk gabungan MIC bersama UMNO dan MCA untuk bertanding dalam pilihan raya tempatan dan Persekutuan pada tahun 1954 dan 1955 serta peranan dan

Huraikan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada pengeboman Jepun oleh Amerika Syarikat dalam Perang Dunia Kedua dan nyatakan pandangan anda berhubung dengan hal ini4. Jelaskan

Persidangan Meja Bundar Caux, Switzerland (The Caux Round Table) yang disertai oleh pemimpin-pemimpin perniagaan dari Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat telah memutuskan satu kod

Jelaskan tafsiran sejarawan tradisionalis tentang Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union selepas tamatnya Perang Dunia Kedua dan tunjukkan bagaimana tafsiran

Objektif persidangan adalah untuk mengkaji ilmu tempatan dan menempatkannya ke dalam bentuk pengetahuan baharu, menggalakkan pemeliharaan dan pemuliharaan Kearifan

“Subtema bagi persidangan ini adalah Antropologi, Bahasa dan Kesusasteraan, Kearifan Tempatan dan Teknologi, Kearifan Tempatan dan Sains, Kearifan Tempatan dan Pentadbiran,