• Tiada Hasil Ditemukan

View of Toleransi Berprinsip Menurut Kerangka Maqasid Shari’ah Dalam Interaksi Masyarakat Pelbagai Kaum Dan Agama Di Malaysia

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "View of Toleransi Berprinsip Menurut Kerangka Maqasid Shari’ah Dalam Interaksi Masyarakat Pelbagai Kaum Dan Agama Di Malaysia"

Copied!
8
0
0

Tekspenuh

(1)

Toleransi Berprinsip Menurut Kerangka Maqasid Shari’ah Dalam Interaksi Masyarakat Pelbagai Kaum Dan Agama

Di Malaysia

Enizahura Abdul Aziz

Pusa t Ka jia n Sha ria h, Unda ng-Unda ng da n Politik/ Institut Kefa ha man Isla m Ma laysia (IKIM), Kua la Lu mpur, Ma la ysia

*Penga ra ng Koresponden: eniza hura @ikim.gov.my

Accepted: 15 December 2020 | Published: 31 December 2020

_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Toleransi merupakan satu pendekatan penting dalam konteks interaksi masyarakat majmuk. Ia merujuk kepada satu keadaan di mana wujudnya sikap tolak ansur dan saling hormat-menghormati dalam masyarakat yang dicirikan dengan perbezaan dalam pelbagai bentuk. Lazimnya, perbezaan menjadi fokus kepada sikap toleransi ini. Namun begitu, toleransi tidak harus difahami hanya dari sudut menyantuni perbezaan. Ia juga harus merangkumi beberapa aspek lain seperti penerimaan kepada perbezaan, berpegang kepada prinsip-prinsip asas dalam agama serta berupaya memperkasakan nilai-nilai seperti muafakat, muhibah, harmoni dan keamanan. Dari perspkeitf Islam, istilah ‘toleransi’ dirujuk sebagai tasamuh. Ia berakar umbi daripada perkataan 'samaha' yang membawa maksud murah hati, menderma, lemah lembut dan pemaaf. Ini menjelaskan bahawa tasamuh atau toleransi itu berasaskan kedamaian, bertolak-ansur dan berlapang dada bukannya melalui pendekatan paksaan, diskriminasi atau penghinaan. Penulisan ini membincangkan toleransi berprinsip menerusi kerangka maqasid shariah seiring dengan pemahaman Islam sebagai agama rahmah. Pendekatan toleransi bukan bermaksud melonggarkan atau menggadaikan pegangan kepada prinsip-prinsip asas dalam Islam. Toleransi dalam Islam memastikan individu memainkan peranan positif sebagai sebahagian anggota masyarakat yang lebih beradab dan berakhlak seperti digariskan agama. Ia juga menitikberatkan kepada prinsip keadilan dan menghormati perbezaan sebagai asas interaksi dan hubungan di dalam masyarakat pelbagai agama dan budaya di Malaysia.

Kata kunci: toleransi, tasamuh, maqasid shariah, interaksi, keadilan

_________________________________________________________________________

1. Pengenalan

Kepelbagaian masyarakat merupakan satu yang lumrah bagi kebanyakan negara di dunia hari ini. Masyarakat yang terdiri daripada kelompok kaum, budaya dan agama yang berbeza menjadikan ia satu cabaran yang real dalam mengurus kemajmukan sosial ini. Cabaran ini wujud terutamanya dalam aspek membentuk keharmonian, keamanan dan interaksi positif antara kaum, agama dan budaya yang berbeza ini yang memerlukan pendekatan yang berhemah dan penuh rasa hormat.

Sebagai sebuah negara moden yang sedang melakar masa depan yang lebih dinamik serta berusaha untuk memposisikan diri sebagai salah sebuah negara maju menjelang tahun 2020, cabaran berterusan dari arus globalisasi dan pasca kemodenan merupakan satu realiti yang harus ditangani dengan sebaik mungkin. Ini termasuklah ancaman pelbagai krisis berbentuk

(2)

penindasan dari segi ekonomi, politik dan sosial serta isu-isu berkaitan pencabulan hak-hak kemanusian. Cabaran-cabaran ini, jika tidak diatasi dengan baik dan berhemah, akan menjadi halangan kepada proses pembinaan keharmonian dan perpaduan rakyat dalam negara ini.

Malaysia perlu dikenali bukan hanya sebagai sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi dan pembangunan, malahan perlu menjadi sebuah negara yang beridentitikan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya, namun dapat bersama dalam suasana yang aman dan hamoni.

Perpaduan nasional harus terus menjad i satu misi penting bagi negara seperti Malaysia. Ia memerlukan satu kerangka bersifat komprehensif yang akan mampu menterjemahkan sebaik mungkin wajah kerencaman masyarakat pelbagai kaum dan agama. Keadilan, penerimaan dan toleransi perlu menjadi prinsip-prinsip asas kepada kerangka perpaduan nasional ini. Prinsip- prinsip ini perlu digarap dengan menjadikan Islam sebagai kayu ukur utama dalam mendukung agenda perpaduan nasional dalam konteks Malaysia. Selain daripada melihat sifat Islam itu sebagai rahmatan lil álamin iaitu rahmah bagi keseluruhan alam, ciri Islam sebagai agama yang bersifat sejagat sebenarnya amat penting dalam memastikan Islam dan umat Islam kekal menerajui usaha-usaha baik ini. Sejujurnya, perlu wujud kesedaran dalam kalangan masayarakat bahawa usaha membina peradaban dan mencapai status kemajuan bagi Malaysia terutamanya dalam merealisasikan agenda Kemakmuran Bersama 2030, seharusnya bertunjangkan kepada persefahaman, tolak ansur dan rasa hormat-menghormati yang tinggi dalam kalangan rakyatnya agar ia menjadi asas kukuh kepada kemajuan negara.

Kesantunan insan dalam mengurus perbezaan dalam masyarakat pelbagai agama dan bangsa di Malaysia perlu dititkeberatkan. Ini adalah realiti yang harus difahami dan diterima oleh semua pihak bahawa Malaysia sangat majmuk sifatnya terutama dalam konteks budaya dan kepercayaan. Pendekatan integrasi yang menjadi tunjang kepada agenda perpaduan negara membolehkan masyarakat berbilang bangsa dan agama untuk hidup bersama dalam suasana yang harmoni disamping mengekalkan identiti dan ciri bangsa masing-masing. Dari perspektif Islam, kewujudan pelbagai agama dan budaya ini adalah merupakan sebahagian daripada tanda kebesaran Allah SWT yang menjadikan alam ini dan penghuninya dalam pelbagai rupa dan bangsa. Perkara ini jelas dinyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Dan sekiranya Tuhanmu menghendakki, nescaya Ia jadikan manusia (semua) satu umat, tetapi tetap mereka berselisih (berbeza-beza)” (Hud (11): 118).

Serta dinyatakan juga dalam ayat yang berikut:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat (49): 13)

Namun begitu, walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai penganut agama serta mengamalkan budaya yang berbeza, sifat kerbersamaan serta rasa cintakan keharmonian dan keamanan perlu ada bagi merealisasikan matlamat perpaduan nasional. Kesepaduan dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia yang kita lihat hari ini sebenarnya lahir dari semangat penerimaan dan rasa hormat yang tinggi antara kaum dan agama. Justeru, keutamaan harus diberi kepada usaha-usaha membina sikap penerimaan diiringi dengan nilai keluhuran budi pekerti dalam masyarakat. Ini adalah kerana keharmonian dan kesejahteraan dalam hubungan

(3)

masyarakat akan hanya dapat diwujudkan jika setiap individu mempunyai pemahaman yang baik tentang peranan masing-masing untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam interaksi seharian.

Islam adalah satu cara hidup yang menyeluruh menurut peraturan yang ditentukan oleh Allah SWT. Ia merangkumi segala aspek kehidupan dunia dan akhirat. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah.

(Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”

(Ar-Rum (30): 30)

Agama juga bukan bersifat menghukum, tetapi sebaliknya berperanan untuk menyusun kehidupan manusia . Dalam sejarah awal Islam umpamanya, Piagam Madinah telah diwujudkan di bawah kepimpinan Rasulullah SAW dengan tujuan utama untuk menyusun masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai ras, etnik dan agama di Madinah.

Perbincangan dan persetujuan yang dicapai bersama dengan masyarakat bukan Islam ketika itu terhasil atas prinsip Islam dan kepimpinan Rasulullah SAW yang mendokong keadilan, kebenaran dan kasih sayang sesama umat manusia. Islam juga menekankan bahawa semua manusia berasal dari Nabi Adam A.S dan terdapat rahmah Allah SWT dalam kepelbagaian kejadian manusia. Ini merupakan sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Tuhan yang Maha Pencipta agar manusia sentiasa befikir akan kekuasaan-Nya menerusi penguasaan ilmu dan sains. Justeru, asalnya manusia dari Adam seharusnya menjadi asas kesatuan dan solidariti umat manusia hari ini.

2. Toleransi dan Maqasid Shariah

Dalam konteks Malaysia, ciri-ciri kemajmukan masyarakatnya membentuk satu entiti sosial yang unik. Sejarah pada zaman penjajahan yang menyumbang kepada kepelbagaian kelompok etnik dalam negara ini juga menjadi faktor kepada kewujudan pelbagai agama yang sudah menjadi sebahagian dari kebudayaan dan kehidupan seharian setiap kumpulan etnik tersebut.

Lazimnya, apabila berhadpan dengan lanskap sosial yang sebegini, akan timbul cabaran- cabaran yang harus ditangani untuk meminimakan konflik dan jurang perbezaan serta menggandakan usaha untuk memupuk keharmonian dan persefahaman. Antara pendekatan penting di dalam menguruskan kepelbagaian dan aspek interaksi masyarakat di Malaysia ini adalah melalui toleransi.

Toleransi

Selain daripada melihat toleransi sebagai sekadar satu kaedah di dalam tindakan dan perlakuan individu, toleransi seharusnya dirujuk juga sebagai satu pendekatan penting kepada keamanan dan keharmonian dalam menguruskan perbezaan yang wujud dalam masyarakat. Melalui toleransi, kelompok masyaarakat yang berlainan budaya, kaum dan agama, dapat hidup bersama. Ia juga sebenarnya memperlihatkan penerimaan kepada amalan dan tatacara yang mungkin tidak diterima oleh seseorang atau sekelompok individu, namun menolak daripada menggunakan kuasa dalam apa jua bentuk terhadap perkara yang tidak disukai tersebut.

Istilah toleransi berasal daripada perkataan latin tolerantia yang bermaksud kelonggaran, kelembutan hati, keringanan dan kesabaran. Istilah ini menjelaskan bahawa toleransi memberi ruang secukupnya kepada pandangan, cara hidup dan amalan lain walaupun tidak dpersetujui

(4)

atau dirasakan salah. Namun, ada pandangan yang berpendapat bahawa toleransi ini menunjukkan satu bentuk hubungan yang bersifat superior-inferior antara pihak yang berbeza di mana kelompok yang bertoleransi ini merasakan bahawa keperluan untuk menerima perbezaan adalah bagi tujuan menjaga keharmonian semata dan tidak ke tahap menerima atau memahami perbezaan tersebut. Ia dilihat sebagai suatu pendekatan yang amat longgar sebagai kerangka hubungan masyarakat pelbagai agama.

Di dalam perspektif Islam, istilah tasamuh dilihat paling hampir untuk menjelaskan pendekatan toleransi. Di dalam bahasa Arab, Tasamuh adalah istilah dari kata dasar samh dan Jaffary (2003) menjelaskan bahawa al-tasamuh membawa maksud “memberi dan mengambil, tidak sahaja mengharapkan satu pihak memberi dan pihak lain menerima”. Hambali (2019) menerangkan bahawa sikap tasamuh harus seiiring dengan konsep mahabbah (kasih sayang), berlapang dada serta rasional dalam tindakan mahupun perkataan. Mazlan (2017) membincangkan konsep tasamuh dengan merujuk kepada perkataan-perkataan yang seerti dengannya di dalam Al-Quran iaitu lafaz al-safhu (berlapang dada) dan al-afwu (pemaaf).

Merujuk kepada kedua-dua istilah ini di dalam Al Quran dan aplikasinya dalam konteks hubungan umat Islam dan mayarakat bukan Islam, Allah SWT mengajar RasulNya dan hambaNya agar mempunyai sikap berlapang dada dan juga saling memaafkan setiap kesalahan yang dilakukan sama ada oleh umat Islam sendiri atau pun orang bukan Islam. Ini jelas dalam ayat-ayat Al Quran seperti di dalam surah Al Hijr, ayat 85:

“ Dan tidaklah Kami mencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara kedua-duanya itu, melainkan dengan cara yang hak. Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang; oleh itu maafkanlah mereka, serta layanlah mereka dengan cara yang sopan”.

Mutsalim & Jaffary (2014) menjelaskan padangan Al-Qaradawi mengenai toleransi di mana menurut beliau toleransi itu boleh diletakkan pada 3 peringkat yang berbeza dalam hubungan umat Islam dengan orang bukan Islam. Peringkat yang pertama menurut Al-Qardawi adalah memberi kebebasan kepada penganut agama lain untuk memilih kepercayaan mereka tanpa menggunakan apa-apa bentuk ugutan atau paksaan ke atas mereka. Kedua adalah peringkat di mana orang bukan Islam diberi hak untuk memilih kepercayaan dan tidak dipaksa untuk meninggalkan sesuatu yang dipercayainya. Peringkat ketiga adalah tidak menghalang mengamalkan upacara yang dihalakan oleh agama mereka walaupun perkara tersebut diharamkan oleh agama lain.

Maqasid Shariah

Para ilmuan Islam telah mengenengahkan beberapa definisi tentang maqasid shari’ah. Dari segi istilah maqasid diertikan sebagai tujuan, matlamat atau objektif. Secara lebih komprehensif, maqasid shariah bermaksud tujuan atau objektif yang ingin dicapai oleh hukum-hukum Islam dan juga rahsia yang diletakkan oleh Allah SWT terhadap setiap hukum hakamNya. Auda (2010) menghuraikan penerangan Imam Ghazali bahawa perintah dan larangan dari Allah SWT bagi manusia adalah sesuatu yang boleh difahami. Pensyariatan hukum bukan hanya untuk ianya dipatuhi tetapi sememangnya terdapat tujuan di sebaliknya Maqasid adalah sesuatu yang bersifat sejagat dan berlandaskan konsep fitrah manusia yang dicipta oleh Allah.

Sememangnya Islam adalah sangat bersesuaian dengan keadaan semula jadi manusia, berbeza dengan barat di mana kejadian manusia hanyalah sesuatu yang bersifat biologi dan fizikal sahaja. Imam Al-Ghazali dalam mendalami ilmu mengenai maqasid shariah telah mengklasifikasikan maslahah (kebaikan) kepada pemeliharaan 5 komponen penting: 1) Agama 2) Nyawa 3) Aqal 4) Keturunan/ Nasab 5) Harta. Sebarang usaha untuk memelihara 5 komponen ini adalah dikira sebagai memenuhi maslahah.

(5)

Penulisan Ibn Ashur, seperti diterjemahkan oleh El-Mesawi (2006) pula mendefinisikan maqasid shariah sebagai maksud dan tujuan bijaksana oleh ALLAH SWT yang sememangnya boleh difahami dalam semua keadaan di mana hukum itu diaplikasikan dan juga hukum itu tidak dilihat hanya terpakai secara eksklusif kepada keadaan tertentu. Dalam membincangkan maqasid shariah, beliau juga menyebut ianya sebagai pemeliharaan keamanan, pencapaian kebaikan dan larangan kebinasaan dan rasuah, mewujudkan kesamarataan sesama manusia yang akan memerlukan undang-undang untuk dikaji semula, dipatuhi dan menjadi effektif. Ini akan melahirkan ummah yang lebih kuat, dihormati dan melahirkan masyarakat yang penuh yakin diri.

Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi mentakrifkan maqasid shariah sebagai tujuan yang menjadi tujuan teks dan hukum-hukum untuk direalisasikan dalam hubungan manusia baik berupa perintah, larangan atau harus sama ada untuk individu, keluarga, bangsa dan umat. Maksud-maksud ini juga boleh diertikan sebagai hikmah-hikmah yang menjadi tujuan ditetapkan hukum yang disyariatkan oleh Allah untuk hamba-Nya. Syariat Islam dibina atas dasar kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat dan syariat itu sendiri mengandungi keadilan, rahmah dan hikmat.

Imam al Syatibi (di dalam Al-Raysuni (2006) )mengklasifikasikan keutamaan maslahah kepada tiga peringkat iaitu Dharuriyat, Hajjiyat dan Tahsiniyat. Dharuriyat adalah keperluan sesuatu maslahah sampai ketahap yang paling asas dan penting dan tanpanya kehidupan manusia akan menjadi rosak. Contoh dharuriyat adalah pemeliharaan 5 komponen yang ditekankan oleh Imam Ghazali seperti yang diterangkan di atas. Hajjiyat merupakan suatu keperluan yang bersifat memudahkan kehidupan dan menghilangkan kesempitan. Tanpa perkara-perkara berbentuk hajjiyat, hidup manusia tidaklah akan binasa. Manakala Tahsiniyat pula dijelaskan sebagai tujuan yang mengelokkan kehidupan manusia dan kecantikan seperti kebersihan dan etika.

3. Toleransi Berprinsip Menurut Maqasid Shari’ah

Memahami toleransi sebagai satu pendekatan mengurus kepelbagaian dalam masyarakat memerlukan perbincangan khusus. Menurut Kamar Oniah (2010) pendekatan toleransi dilihat sebagai satu pendekatan yang masih lagi membawa pemikiran berbentuk kolonial (penjajah) di mana wujudnya keadaan di mana pihak yang merasa mempunyai kedudukan atau berada di tahap yang lebih tinggi (superior) menerima atau bersabar dengan pihak yang dirasakan mempunyai kedudukan atau berada di tahap yang lebih rendah. Toleransi juga dirujuk oleh beberapa penulis Barat sebagai satu keadaan di mana sikap tolak ansur diterjemahkan terhadap sesuatu perkara yang tidak disukai atau dibenci, bukan satu nilai baik yang wujud dengan sendiri, sebaliknya hanya dicapai setelah berlaku kontrovesi, konflik atau kesedaran dan juga peperangan . Ini juga dijelaskan oleh Kamar Oniah seperti berikut;

“Tolerance contains the inherent paradox of accepting the things one rejects or objects to.

To overcome or avoid conflict, one needs to tolerate at least some of the very things one abhors, disagrees with, disapproves of or dislikes”

Toleransi berprinsip yang diketengahkan di dalam kertas ini merujuk kepada tindakan atau pendekatan toleransi yang berlandaskan kerangka maqasid shari’ah. Panduan yang jelas telah digariskan iaitu perlakuan toleransi itu seharusnya membawa kepada keamanan dan keharmonian agar tercapai kelima-lima maqasid iaitu pemeliharaan agama, aqal, nyawa, keturunan dan harta.

(6)

Dalam aspek pemeliharaan agama, toleransi haruslah berpaksikan kepada prinsip di mana Islam itu diletakkan di kedudukan yang paling tinggi. Tolerani dan interaksi dengan masyarakat pelbagai agama bukan Islam, dalam apa jua keadaan, Islam perlu diutamakan melebihi sebarang perkara lain termasuk diri sendiri, keluarga dan harta dunia. Ini dijelaskan di dalam Al-Quran:

“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun mereka itu ialah bapa-bapa mereka, anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka itu, Allah telah tetapkan iman dihati mereka, dan menguatkan mereka dengan pertolongan daripada-Nya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha dengan-Nya. Merekalah penyokong Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya mereka itulah orang yang berjaya”

(Al-Mujadalah (58): 22)

Toleransi berprinsip menekankan kepada sikap toleran terhadap perkara yang tidak melanggar batas peraturan dan tuntutan ajaran Islam. Toleransi dalam Islam memastikan individu memainkan peranan positif sebagai sebahagian anggota masyarakat yang lebih beradab dan berakhlak. Penerimaan kepada konsep toleransi yang sebegini dapat menjamin kerukunan, keamanan dan keharmonian dalam masyarakat agar melalui keadaan ini, nyawa, harta dan keturunan dapat dipelihara. Aspek keadilan, keharmonian, dan keamanan yang dibina melalui prinsip toleransi dan sikap tolak ansur dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama sebenarnya menjadi komponen penting kepada usaha pencapaian maqasid shariah.

Pemeliharaan 5 objektif yang digariskan dalam kerangka maqasid shari’ah tidak akan dapat dipenuhi jika tidak wujud keadaan yang kondusif untuk membolehkan pencapaiannya.

Selain daripada pemeliharaan agama, pemeliharaan akal juga merupakan satu objektif penting di dalam mencapai matlamat syariah. Mohammad Nidzam (2019) menjelaskan bahawa kemuliaan insan itu terletak pada aqal. Minda masyarakat pelu disuburkan dengan ilmu dan nilai-nilai baik yang dapat membentuk insan yang berperibadi mulia dan berakhlak.Juteru, penyebaran maklumat yang menimbulkan kebencian melampau, mengaibkan dan berasaskan fitnah serta buruk sangka akan menjadikan minda individu dalam masyarakat semakin lesu dan bercelaru. Melalui toleransi dan pembentukan nilai-nilai baik serta luhur akan dapat menjamin hidup yang lebih harmoni dan sejahtera dan menghindari sebarang usaha untuk memecahbelahkan masyarakat. Prinsip toleransi yang menggariskan sikap penerimaan kepada perbezaan dan sikap hormat adalah amat penting kerana d engan wujudnya keadaan yang harmoni, minda masyarakat dapat dibimbing untuk mencari elemen-elemen kebersamaan.

Maqasid syariah juga merangkumi usaha pemeliharaan kehidupan manusia, keturunan dan harta benda. Islam meletakkan nilai yang tinggi kepada nyawa manusia. Sebarang bentuk tindakan yang membawa kepada perbuatan mensia-siakan nyawa manusia adalah ditegah.

Tanpa sikap toleransi yang tinggi dan sikap hormat menghormati dalam kalangan masyarakat, ini akan membawa kepada pertelingkahan dan konflik yang boleh mendatangkan kemudharatan kepada kehidupan bermasayarakat yang mampu membahayakan nyawa dan harta benda apabila konflik ini menjadi sebab kepada pembunuhan dan peperangan. Toleransi berprinsip mengutamakan prinsip keadilan yang mampu untuk menghidarkan rasa tidak puas hati dan kekacauan.

(7)

Sikap dan tindakan yang berteraskan toleransi menekankan nilai-nilai baik seperti sabar, bertanggunjawab dan adil di dalam tindakan tersebut. Kesan daripada pendekatan ini akan menjadikan masyarakat lebih harmoni, aman serta menghormati perbezaan yang wujud.

Toleransi berprinsip tidak akan melonggarkan prinsip serta asas-asas agama bagi membina persefahaman atau mengharmonikan hubungan antara penganut agama atau kelompok etnik yang berbeza. Keharmonian serta keamanan adalah prasyarat penting kepada usaha sesebuah masyarakat memelihara aspek-aspek penting seperti kehidupan, harta benda dan keluarga (keturunan). Prinsip-prinsip agama yang mendasari pendekatan toleransi ini menunjukkan bahawa toleransi berprinsip mampu menjadi asas sesuatu kerangka nilai dan tindakan di dalam konteks mewujudkan budaya keamanan hidup bersama (peaceful coexistence) di dalam masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama.

Islam meletakkan panduan yang jelas mengenai hubungan umat Islam dengan masyarakat bukan Islam. Toleransi berprinsip iaitu berpegang kepada apa yang digariskan di dalam Al- Quran dan Sunnah sebagai panduan atau kerangka hubungan masyarakat pelbagai agama adalah kerangka utama kepada pendekatan toleransi di dalam Islam. Di dalam hal ini, adalah penting bagi sikap toleransi itu difahami sebagai satu pendekatan atau perlakuan yang baik bertepatan dengan objektif-objektif syariah. Antara prinsip penting yang perlu menjadi asas kepada aspek toleransi antara kaum dan agama di dalam konteks Malaysia khususnya adalah prinsip keadilan dan menghormati perbezaan.

Keadilan merupakan antara prinsip yang amat dititik beratkan di dalam. Keadilan tidak boleh disamakan dengan kesamarataan, sebaliknya, keadilan menurut Islam ialah meletakkan sesuatu perkara di atas tempatnya yang hak dan sewajarnya. Di dalam Islam, berlaku adil adalah sesuatu yang amat dituntut. Umat Islam disuruh untuk berlaku adil dan tidak membiarkan perasaan benci dan marah mempengaruhi tindakan terhadap orang lain walaupun berbeza agama atau kaum. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Al-Maidah (5): 8)

Islam juga menitikberatkan kepada prinsip saling hormat menghormati dan menerima perbezaan. Perbezaan yang wujud di dalam masyarakat tidak seharusnya menjadi punca kepada sebarang konflik atau membawa kepada kebencian. Tidak dinafikan setiap agama adalah berbeza terutama dalam konsep keimanan dan keTuhanan, namun begitu perasaan hormat - menghormati di antara penganut agama adalah perlu dalam menyantuni perbezaan ini. Ia tidak seharusnya menghalang masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti yang ada di Malaysia untuk hidup bersama dalam suasana yang harmoni. Ini jelas dinyatakan dalam Al-Quran,

“Bagimu agamamu, bagiku agamaku” (Al-Kafirun (109): 6) 5. Kesimpulan

Toleransi berprinsip yang dibincangkan oleh kertas ini adalah pendekatan yang lebih menyeluruh dalam memahami hubungan antara masyarakat pelbagai budaya dan agama mernerusi perspektif Islam. Toleransi bukan hanya dilihat dari sudut pandang hubungan dua

(8)

hala dan tanggapan kepada sikap tolak ansur dan penerimaan kepada kepelbagaian ini, tetapi apa yang diketengahkan melalui pend ekatan toleransi berprinsip adalah kepentingannya kepada kewujudan prinsip-prinsip lain seperti keadilan, hormat menghormati, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat berbilang budaya dan bangsa. Kerangka maqasid shariah yang menjadi kayu ukur kepada pendekatan toleransi dalam masyarakat akan dapat melahirkan kefahaman tentang keperluan dan kepentingannya dalam memelihara maslahah.

Sebagai kesimpulan, adalah penting bagi masyarakat pelbagai kaum dan agama menekankan kepada nilai-nilai murni sebagai asas interaksi di Malaysia. Persefahaman terhadap keperluan untuk memupuk sikap toleransi berasaskan nilai-nilai penting yang lazimnya adalah juga merupakan nilai sejagat yang ditekankan di dalam semua agama dan budaya. Justeru, jika ini menjadi asas kepada sikap toleransi di dalam kalangan masyarakat, ia akan menjadikan keamanan dan keharmonian negara ini bersifat jangka panjang dan lebih mampan.

Rujukan

Al-Quran al- Karim. Selangor: Yayasan Restu.

Al-Raysuni, Ahmad. (2006). Imam Al-Shatibi’s Theory of the Higher Objective and Intents of Islamic Law. Virginia USA:IIIT.

Auda, Jasser. (2010). Maqasid Al-Shariah as Philosophy of Islamic Law: A Systems Approach.

Virginia USA. IIIT. m.s. 2

Ibn Ashur, Muhammad Al-Tahir. (2006). Treatise on Maqasid al-Shariah. Translated by Mohamed El-Tahir El-Mesawi. Virginia USA.IIIT.

Jaffary Awang. (2003). Toleransi Agama dan Perpaduan Kaum: Response Intelek Malaysia – Satu Observasi Ringkas. Dalam Agama dan Perpaduan Kaum di Malaysia, diedit oleh Jaffary Awang, Mohd Nasir Omar dan Muda@ Ismail Abdul Rahman. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kamar Oniah Kamaruzaman. (2010). Religion and Pluralistic Co-Existence: The Muhibah Perspective. Kuala Lumpur: IIUM Press.

Khadijah Mohd Khambali, Suraya Sintang dan Nur Farhana Abdul Rahaman, Pemaknaan Semula Toleransi Agama. Dlm Azizan Baharuddin, Enizahura Abdul Aziz and Mohd Amiruddin Kamarulzaidi. (2019). Islam dan Hubungan antara Penganut Agama. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Khadijah Mohd Khambali@ Hambali. (2008). Islam Agama Rahmah dan Toleransi Beragama:

Realiti dan Cabaran. Dalam Isu dan Cabaran Hubungan antara Agama di Malaysia diedit oleh Khadijah Mohd Khambali@ Hambali, Mohamad Kamil Abdul Majid dan Syed Mohammad Hilmi Syed Abdul Rahman. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Mazlan Ibrahim. (2017). Al-Tasamuh Dalam Al-Quran: Satu Kajian Tafsir Tematik.

Proceedings of the International Conference on Islam, Development and Social Harmony in Southeast Asia 2017. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohammad Nidzam Abdul Kadir. (2019). Fiqh Ta’ayush dalam Konteks Maqasid Shariah:

Panduan Berinteraksi dan Bersosial antara Masyarakat Berbeza Etnik dan Agama. Shah Alam: Must Read Sdn Bhd.

Mutsalim Khareng & Jaffary Awang. (2014). Toleransi Beragama dan Implikasinya dalam kalangan Mahasiswa/i dan Buddha di Prince of Songkhla University, Jurnal of Islamic and Arabic Education 5 (2), 1-14.

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN

Sehubungan dengan itu, hasil kajian ini digunakan sebagai garis panduan merangka aktiviti dalam proses dan amalan penyeliaan yang meliputi aspek apa dan bagaimana

Dialog antara agama dalam konteks fiqh al-ta’ayusy membuktikan bahawa landasan dan prinsip kerukunan dan keharmonian adalah hak Islam yang menampilkan ajaran dan agama

Maklumat yang boleh diperoleh daripada keputusan yang dicapai oleh elit pelbagai etnik semasa perbincangan CLC adalah bahawa orang Melayu bersedia untuk menerima

Hasil daripada ulasan kajian-kajian ini dan isu- isu yang berbangkit, penyelidik dapat menyimpulkan bahawa kajian toleransi beragama yang menilai tentang sikap, persepsi,

Sikap terhadap toleransi beragama dalam kajian ini merujuk kepada persepsi pelajar terhadap pengamalan tentang toleransi beragama dalam pergaulan dengan rakan yang

Tanggungjawab terhadap negara dan masyarakat sebagai suatu agama yang mengamalkan prinsip kebangsaan sejagat, yang memberi pengiktirafan terhadap seluruh kaum yang

Pengetahuan agama yang sederhana ini juga masih belum cukup meyakinkan masyarakat bahawa pengetahuan ini mampu menjadi perisai dan benteng yang kukuh dalam

Ini adalah kerana Islam itu agama Ilahi yang mempunyai prinsip- prinsip yang stabil dan asas-asas yang jelas, tidak menolak kewujudan bersama kerana tujuannya ialah untuk