Pembudayaan integriti dalam kalangan warga kampus Universiti Malaya

11  Download (0)

Full text

(1)

1

PEMBUDAYAAN INTEGRITI DALAM KALANGAN WARGA KAMPUS UNIVERSITI MALAYA

Nor Aishah binti Samah1, Mahfuza binti Mohd Nasir2 dan Mohamad Nazreen bin Abd Razak3

Unit Integriti, Pejabat Naib Canselor, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, Malaysia

1nas74@um.edu.my, 2mahfuza_mn@um.edu.my dan 3nazreenrazak@um.edu.my

ABSTRAK

Integriti (Integrity) merupakan salah satu daripada lima (5) nilai teras yang dilaksanakan di Universiti Malaya (UM) selain daripada Kesungguhan (Passion), Perpaduan (Oneness), Keikhlasan (Sincerity) dan Empati (Empathy) [P.O.I.S.E]. UM percaya bahawa dalam memastikan kecemerlangan sesebuah organisasi dapat dikekalkan, nilai integriti yang tinggi perlu diterapkan dalam diri setiap warganya. Bagi memastikan nilai integriti dapat diselami dan ditunjangi dalam setiap pelaksanaan tugas, ia perlu dibudayakan dan diinstitusikan. Dalam menyokong amalan berintegriti sebagai salah satu Nilai Teras UM, Unit Integriti (UI) telah menjalankan pelbagai program kesedaran mengenai integriti kepada warga kampus. Di samping itu, kepentingan membudayakan amalan berintegriti turut diberi penekanan kepada pihak pengurusan di pusat tanggungjawab (PTj) yang perlu bersama- sama untuk menggerakkan usaha menanam nilai integriti dalam kalangan warga PTj masing-masing selari dengan pelaksanaan Nilai Teras UM. Sehubungan itu, Unit Integriti telah merangka beberapa program lagi untuk terus membudayakan amalan berintegriti dalam kalangan warga universiti dengan turut melibatkan peranan di pihak PTj. Antaranya adalah melalui pelaksanaan tiga program, iaitu (1) Peringatan Integriti; (2) Sudut Integriti di setiap PTj; dan (3) Pelantikan Felo Integriti di setiap PTj. Kertas kerja ini akan membincangkan perincian usaha dan amalan Unit Integriti UM dalam memastikan strategi pembudayaan dan penginstitusian integriti dapat berjalan dengan lancar dan selaras dengan Nilai Teras Universiti. Oleh demikian usaha memperkukuhkan integriti dan tadbir urus yang terbaik memerlukan komitmen daripada semua pihak di dalam UM, tidak kira staf akademik, staf bukan akademik mahupun pelajar dengan mengikuti segala peraturan serta amalan-amalan terbaik. Kertas kerja ini membincangkan definisi konsep, isu fokus yang terlibat serta impak pelaksanaannya untuk dikongsikan dengan masyarakat khususnya warga Universiti Awam (UA) mengenai usaha dan inisiatif yang telah dan sedang diambil oleh Unit Integriti UM ke arah membudayakan dan menginstitusikan amalan berintegriti di kalangan warga UM disamping boleh menjadi contoh amalan yang boleh dihidupkan di UA yang lain dalam usaha untuk mendidik dan menerapkan nilai integriti di kalangan penjawat awam. Tiada sumber data primer atau sekunder digunakan dalam penghasilan kertas kerja ini kerana ianya hanyalah usaha dan inisiatif Unit Integriti UM untuk berkongsi amalan terbaik dalam memastikan setiap individu warga kampus dapat menghayati dan seterusnya mengamalkan integriti dalam pelaksanaan tugas.

Kata Kunci: Integriti, Pembudayaan, Pengukuhan, Penginstitusian Integriti

(2)

2 PENDAHULUAN DAN LATAR BELAKANG

“Integrity is doing the right thing, even when no one is watching.” C.S. Lewis (1898 - 1963), begitulah maksud Integriti dari sudut pandang seorang penulis novel terkenal dan ahli falsafah Inggeris kerana takrif integriti memerlukan individu bertingkah laku berdasarkan prinsip moral dan nilai-nilai etika, tanpa mengambil kira sama ada dilihat ataupun tidak. Tahap konsistensi antara nilai moral yang dipegang seseorang individu dengan cerminan tingkah laku melalui perkataan atau perbuatannya perlu ditunjukkan sejajar dengan keperibadian pekerti yang tertinggi. Integriti berasal daripada perkataan latin: ‘integer’ yang bermaksud menyeluruh, sempurna dan kesatuan yang teguh (Widang & Fridlund, 2003).

Kita mungkin biasa mendengar pernyataan yang berbunyi “In looking for people to hire, look for three qualities; Integrity, Intelligence and Energy. And if they don’t have the first, the other two will kill you” [Warren Edward Buffett – seorang tokoh perniagaan, pelabur dan dermawan Amerika]. Bertitik tolak daripada falsafah inilah UM memutuskan untuk menjadikan Integriti sebagai salah satu Nilai Teras yang perlu diamalkan oleh setiap warganya. Bagi mendokong usaha Universiti untuk menerapkan elemen berintegriti ini, Unit Integriti telah mengambil pelbagai inisiatif ke arah membudayakan dan menginstitusikan amalan berintegriti di kalangan warga UM selaras dengan fungsi teras Unit Integriti sebagaimana yang ditetapkan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 6 Tahun 2013 mengenai Penubuhan Unit Integriti di Sektor Awam iaitu melaksanakan fungsi Pengukuhan Integriti bagi memastikan pembudayaan, penginstitusian dan pelaksanaan integriti dalam organisasi. Unit Integriti percaya dalam usaha untuk membudayakan dan menginstitusikan amalan berintegriti ini ianya tidak boleh hanya semata-mata menjadi tanggung jawab Unit Integriti sebaliknya tanggung jawab ini perlu jua dipikul bersama oleh pihak pengurusan dan pentadbiran di setiap jabatan dan PTj. Justeru, Unit Integriti telah membawa kertas cadangan untuk kelulusan Jawatankuasa Antirasuah Universiti (JAR) bagi pelaksanaan beberapa program yang secara khususnya melibatkan peranan dan penglibatan pihak pengurusan di PTj.

DEFINISI KONSEP

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, “Pembudayaan” adalah bermaksud proses atau cara membudayakan sesuatu (pemikiran, ilmu, dll). Dalam konteks perbincangan mengenai pembudayaan integriti, ianya membawa maksud usaha atau inisiatif yang diambil untuk menjadikan integriti sebagai satu amalan dan budaya dalam pelaksanaan tugas. Perkara- perkara yang berkaitan dengan nilai etika dan budi pekerti yang tinggi cuba untuk diterapkan dan sentiasa diberi peringatan kepada warga kampus. Manakala “Penginstitusian” pula, berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat adalah bermaksud perihal menginstitusikan sesuatu (badan, organisasi, kaedah) supaya kukuh dalam masyarakat atau organisasi. Dalam konteks Nilai Teras UM, penginstitusian integriti bermaksud inisiatif yang diambil untuk mengukuhkan nilai integriti supaya ianya sentiasa menjadi tunjang utama dalam setiap proses kerja dan pelaksanaan tugas oleh setiap warganya.

OBJEKTIF

Objektif kertas kerja ini adalah untuk berkongsi dengan masyarakat khususnya warga universiti awam mengenai usaha dan inisiatif yang telah dan sedang diambil oleh Unit Integriti UM ke arah membudayakan dan menginstitusikan amalan berintegriti di kalangan warga UM.

Ianya juga mungkin boleh menjadi contoh amalan yang boleh dihidupkan di universiti awam yang lain dalam usaha untuk mendidik dan menerapkan nilai integriti di kalangan penjawat awam.

(3)

3 ISU FOKUS

Melalui kertas kerja ini, terdapat tiga (3) usaha atau inisiatif yang ingin dibincangkan iaitu:

(1) Peringatan Integriti;

(2) Sudut Integriti di setiap PTj; dan (3) Pelantikan Felo Integriti di setiap PTj

(1) Peringatan Integriti

Peringatan Integriti merupakan satu inisiatif di mana peringatan mengenai amalan untuk berintegriti akan dibacakan dalam setiap mesyuarat dan majlis rasmi yang diadakan di peringkat Universiti dan peringkat PTj untuk diambil perhatian oleh ahli mesyuarat dan hadirin yang hadir ke majlis rasmi tersebut. Isi kandungan Peringatan Integriti adalah seperti di Lampiran A. Peringatan Integriti ini akan dibacakan oleh pengerusi mesyuarat atau rakaman suara yang perlu diperdengarkan kepada semua ahli mesyuarat sebelum mesyuarat dimulakan. Bagi majlis rasmi pula, ianya akan dibacakan oleh pengacara majlis atau rakaman suara yang diperdengarkan kepada hadirin yang hadir atau melalui paparan di skrin dalam majlis berkenaan. Dokumen mengenai Peringatan Integriti ini boleh disediakan sama ada di dalam bentuk:

(a) Salinan Keras: secara fizikal (untuk dibaca dan diambil maklum oleh ahli mesyuarat atau hadirin; atau

(b) Salinan Lembut: secara dalam talian (untuk dibaca, dipapar dan diambil maklum oleh ahli mesyuarat atau hadirin).

Setiausaha atau urusetia mesyuarat bertanggung jawab untuk mencatatkan bahawa Peringatan Integriti ini telah dibacakan dan diambil maklum oleh ahli mesyuarat. Bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan, Unit Integriti akan menjalankan audit bagi memastikan pematuhan pelaksanaan perkara ini oleh semua mesyuarat dan majlis rasmi di peringkat Universiti dan PTj. Audit pematuhan ini akan diadakan sekurang- kurangnya sekali pada setiap tahun, dan pelaporan akan dibuat kepada Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR).

(2) Sudut Integriti di Setiap PTj

Setiap PTj dikehendaki untuk menyediakan satu ruang yang dinamakan sebagai

“Sudut Integriti” di mana ruang ini digunakan sebagai sudut untuk memaparkan atau mempamerkan maklumat, info atau berita dan menjalankan aktiviti yang bersesuaian berkaitan integriti dan nilai etika. Setiap PTj dikehendaki untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu Sudut Integriti di peringkat PTj. Walau bagaimanapun PTj boleh menghendaki Sudut Integriti juga diwujudkan di peringkat Jabatan. Bagi memastikan pelaksanaan program Sudut Integriti ini, beberapa program berikut dicadangkan untuk dijadikan sebahagian daripada aktiviti sudut integriti seperti berikut:

(a) Pameran Poster;

(b) Integrity Talk di PTj;

(c) Anugerah Staf/ Pelajar Berintegriti;

(d) Pertandingan yang bersesuaian dan berkaitan integriti atau nilai etika; atau

(e) Apa-apa aktiviti lain berdasarkan kreativiti PTj

(4)

4

Unit Integriti akan membuat penilaian Sudut Integriti di setiap PTj pada setiap penggal (penggal pertama Januari - Mac, penggal kedua April - Jun dan penggal ketiga Julai - September), dan akan memberikan pemarkahan berdasarkan Borang Penilaian seperti di Lampiran B. Penilaian yang dibuat terhadap Sudut Integriti ini akan dilaporkan dalam mesyuarat JAR dan Sudut Integriti PTj yang diberikan markah penilaian tertinggi serta diperakukan oleh JAR akan diberi penghargaan semasa sambutan Hari Integriti yang diadakan setiap tahun pada bulan November atau Disember.

(5)

5 Contoh Sudut Integriti:

(6)

6 (3) Pelantikan Felo Integriti di Setiap PTj

Bagi tujuan memastikan Strategi Pembudayaan Integriti UM berjalan lancar, dan bagi membantu Unit Integriti di dalam pelaksanaan fungsi pengesanan dan pengesahan serta pematuhan, setiap PTj diminta untuk menamakan seorang staf (sama ada dari kalangan staf akademik atau bukan akademik) untuk dilantik sebagai Felo Integriti di PTj. Antara peranan Felo Integriti ini adalah:

(a) bertanggung jawab untuk memastikan aktiviti dijalankan di Sudut Integriti PTj berdasarkan kreativiti masing-masing;

(b) menjadi Liaison Officer kepada Unit Integriti semasa proses penilaian Sudut Integriti dijalankan;

(c) menjadi rakan strategik kepada Unit Integriti dalam melaksanakan program berkaitan integriti di PTj masing-masing;

(d) membantu Ketua PTj dalam pelaksanaan program pembudayaan dan penginstitusian integriti dalam kalangan warga PTj masing-masing;

(e) membantu Unit Integriti dalam urusan Pengesanan dan Pengesahan kepada sesuatu isu yang dirujuk khususnya yang melibatkan PTj masing-masing;

(f) menjadi ‘mata dan telinga’ Unit Integriti di peringkat PTj masing-masing.

Kriteria yang ditetapkan bagi pelantikan sebagai Felo Integriti ini adalah antaranya:

(a) bebas daripada isu disiplin, integriti,tatatertib dan rekod jenayah;

(b) staf Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Akademik atau Bukan Akademik) Gred 41 dan ke atas;bersedia menyokong hasrat dan falsafah Universiti selaras dengan nilai P.O.I.S.E;

(c) mengamalkan etika kerja yang berintegriti tinggi termasuklah seorang yang menjaga kerahsiaan;

(d) mempunyai personaliti atau perwatakan yang disenangi ramai;

(e) bersedia mengambil tanggungjawab di luar skop tugas dan multi-tasking;

(f) menjadi “role model” kepada warga PTj secara keseluruhan.

Felo Integriti ini akan dilantik oleh Naib Canselor bagi tempoh lantikan selama tiga (3) tahun dan boleh dipertimbangkan untuk dilantik semula. Felo Integriti ini akan diberikan latihan dan peluang untuk mengikuti program yang membawa kepada pentauliahan sebagai Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) sama ada ditauliahkan oleh Universiti atau pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Buat masa ini UM telah melantik seramai 40 orang Felo Integriti yang mewakili setiap PTj akademik dan PTj bukan-akademik di UM.

IMPAK PELAKSANAAN

Organisasi atau agensi-agensi kerajaan terutamanya UM sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman sama ada dari dalam mahupun luar persekitaran dan ancaman tersebut mungkin akan menjejaskan prestasi, produktiviti serta masa hadapan UM sebagai universiti terulung di negara ini. Kebanyakan ancaman terhadap organisasi berpunca daripada individu-individu di dalam organisasi itu sendiri dan seterusnya melibatkan individu- individu lain yang merosakkan identiti organisasi. Lazimnya, ancaman ini mempunyai hubungkait yang erat dengan isu etika dan integriti. Melalui usaha Universiti memperkenalkan inisiatif seperti yang dibincangkan di atas, ianya memberikan impak positif kepada warga kampus. Rata-rata maklum balas yang diterima daripada PTj, menunjukkan usaha dan inisiatif tersebut disokong penuh malah ada PTj yang telah mewujudkan sudut integriti lebih awal. Hal ini membuktikan kesungguhan PTj dalam usaha memberikan galakan dalam usaha membudayakan nilai integriti di PTj mereka masing-masing. Wajarlah amalan baik ini

(7)

7

dijalankan secara meluas bagi memastikan warga kampus lebih cakna dalam hal-hal berkaitan integriti.

KESIMPULAN

Dalam memastikan setiap individu warga kampus dapat menghayati dan seterusnya mengamalkan integriti dalam pelaksanaan tugas, ianya perlu dibudayakan dan diinstitusikan.

Bagi Universiti Malaya, Integriti telah diinstitusikan dengan menjadikannya sebagai salah satu daripada Nilai Teras Universiti. Setiap warga kampus perlu menjadikan Integriti sebagai pegangan mereka. Peranan dan tanggung jawab untuk membudayakan amalan berintegriti tidak hanya diletakkan kepada Unit Integriti atau pihak Pengurusan Universiti semata-mata.

Sebaliknya peranan dan tanggung jawab ini perlu dipikul bersama oleh semua lapisan pengurusan di Universiti. Usaha dan inisiatif membudayakan integirit juga perlu dilakukan secara berterusan, bukannya bermusim, kerana manusia ini mudah lupa. Justeru, usaha memperkukuhkan integriti yang terbaik memerlukan komitmen daripada semua pihak di Universiti Malaya bagi memastikan Universiti Malaya bukan hanya cemerlang dari segi pencapaian kedudukannya malah turut disokong oleh nilai teras terpuji di kalangan warganya.

UM sentiasa ke hadapan selaras dengan visi dan misinya.

RUJUKAN

Widang I, Fridlund B (2003) Self-respect, Dignity and Confidence: Conceptions of Integrity Among Male Patients. Journal of Advanced Nursing 42 (1), p47p.

(2005). Kamus Dewan (Edisi keempat.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

(8)

8

Lampiran A

PERINGATAN INTEGRITI

Dengan segala hormatnya, ahli mesyuarat adalah diminta mengambil perhatian terhadap perbuatan-perbuatan berikut yang boleh menjejaskan integriti diri sendiri dan Universiti Malaya, malah adalah suatu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atau Kanun Keseksaan atau Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 atau mana-mana Akta/Statut yang berkaitan:

1. Menggunakan dana atau wang Universiti untuk kepentingan peribadi;

2. Memperoleh wang, barang atau perkhidmatan secara paksa daripada pelanggan;

3. Menerima hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan bagi khidmat yang diberikan;

4. Terlibat secara langsung dalam proses pemberian kontrak kepada anggota keluarga dan kepada mereka yang ada kepentingan dengan diri anda;

5. Terlibat secara langsung dalam proses melantik anggota keluarga untuk mengisi sesuatu kekosongan jawatan atau memegang jawatan pentadbiran yang berada di bawah kawal selia anda;

6. Mengemukakan tuntutan yang mempunyai butiran palsu atau yang meragukan;

7. Mengambil atau menggunakan kemudahan atau peralatan pejabat untuk kegunaan peribadi atau keluarga;

8. Menggunakan kuasa/kedudukan untuk mendapatkan manfaat atau faedah yang tidak sah;

9. Memberi wang atau insentif untuk memperoleh/membeli undi atau sokongan;

10. Menggunakan media sosial bagi tujuan meluahkan ketidakpuasan hati terhadap Jabatan, atau PTj atau Universiti termasuk membocorkan rahsia atau maklumat sulit Jabatan, PTj atau Universiti;

11. Meminta orang politik/kenamaan untuk mempengaruhi urusan berkaitan pekerjaan atau kedudukan anda atau kedudukan anda (contoh, dalam urusan dalam urusan pelantikan, pertukaran, kenaikan pangkat, penyambungan perkhidmatan, penyambungan perkhidmatan dan sebagainya);

12. Melakukan sebarang bentuk penipuan atau apa-apa tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai ketidakjujuran akademik seperti plagiat, penipuan atau manipulasi data atau analisis/dapatan dan yang berkaitan seperti plagiat, penipuan atau manipulasi data atau analisis/dapatan dan yang berkaitan.

Senarai peringatan di atas hanya sebahagian daripada sejumlah tindakan, sama ada yang termaktub dalam undang-undang ataupun tidak, yang tidak wajar dilakukan dan sebaliknya harus bertindak jujur pada setiap masa dengan penuh amanah, jujur dan mengamalkan budaya berintegriti. Semoga dengan peringatan ini, ahli mesyuarat sekalian akan terhindar daripada perkara-perkara yang tidak beretika dan kesan tindakan undang-undang atau tohmahan liar.

(9)

Lampiran B

UNIT INTEGRITI UNIVERSITI MALAYA

BORANG PENILAIAN SUDUT INTEGRITI

DI PUSAT TANGGUNGJAWAB (PTj) UNIVERSITI MALAYA

Borang Penilaian Sudut Integriti di Pusat Tanggungjawab (PTj) Universiti Malaya

A MAKLUMAT PENYERTAAN

1. Nama PTj :

2. Wakil PTj untuk

dihubungi :

3. Lokasi Sudut Integriti di

PTj :

4. Penilaian Penggal

*Sila tandakan (✓) pada

kotak berkenaan. : Penggal 1 (Jan – Mac) Penggal 2 (April – Jun) Penggal 3 (Jul – Sept)

B PENILAIAN

Bil. Spesifikasi Penilaian Peruntukan

Markah (%) Markah 1. Kandungan & Bahan Pameran (%)

Bahan yang dipamerkan pada sudut integriti adalah bersesuaian dengan keperluan syarat seperti berikut:

a) Terdapat lima (5) poster yang berkaitan dengan pencegahan rasuah dan amalan pembudayaan integriti;

b) Poster yang dipamerkan adalah dari medium Sembang Integriti keluaran Unit Integriti atau sumber luaran seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

c) PTj juga digalakkan untuk mewujudkan sudut secara maya (virtual) di Laman Web PTj sebagai usaha PTj membudayakan nilai integriti kepada warga melalui saluran alternatif bersifat dalam talian. (akan di link ke

Laman Web Unit Integriti)

50 %

2. Aktiviti Sudut Integriti di PTj

a) Kesesuaian lokasi Sudut Integriti.

b) Dekorasi Sudut Integriti yang menarik.

c) Susunan bahan mestilah mengikut Inovasi dan kreativiti

masing-masing. 40%

3. Penglibatan Staf & Pelajar a) Pengurusan PTj

b) Staf Eksekutif & Operasi

c) Pelajar 10%

(10)

Lampiran B

UNIT INTEGRITI UNIVERSITI MALAYA

BORANG PENILAIAN SUDUT INTEGRITI

DI PUSAT TANGGUNGJAWAB (PTj) UNIVERSITI MALAYA

Borang Penilaian Sudut Integriti di Pusat Tanggungjawab (PTj) Universiti Malaya

Jumlah Keseluruhan 100%

(11)

Lampiran B

UNIT INTEGRITI UNIVERSITI MALAYA

BORANG PENILAIAN SUDUT INTEGRITI

DI PUSAT TANGGUNGJAWAB (PTj) UNIVERSITI MALAYA

Borang Penilaian Sudut Integriti di Pusat Tanggungjawab (PTj) Universiti Malaya

C GAMBAR SUDUT INTEGRITI (Lampiran Gambar)

D ULASAN/ PERAKUAN

Ketua Unit

Integriti : Ulasan/Perakuan

Tandatangan & Cop Rasmi

Signature & Official Stamp Tarikh Date

Figure

Updating...

References

Related subjects :