• Tiada Hasil Ditemukan

Kisah percintaan dan penggemblengan watak dan perwatakan dalam novel popular Adam dan Hawa karya Aisya Sofea

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "Kisah percintaan dan penggemblengan watak dan perwatakan dalam novel popular Adam dan Hawa karya Aisya Sofea"

Copied!
12
0
0

Tekspenuh

(1)

Kisah Percintaan dan Penggemblengan Watak dan Perwatakan dalam Novel Popular Adam dan Hawa Karya Aisya Sofea

Love Story and the Manipulation of Characters and Characteristics in Aisya Sofea’s Adam dan Hawa

Nurul HilwaNy CHe SHaffiNe, MoHd. Zariat abdul raNi, NoraZliNa Haji MoHd. KiraM & MuHd. ZulKifli iSMail

ABSTRAK

Kajian ini bertitik tolak daripada pemahaman umum bahawa kisah percintaan sering dijadikan sebagai tema utama dalam novel-novel popular. Kebanyakan penyajian kisah percintaan dalam novel popular ini dikatakan menggembleng watak dan perwatakan yang ada dengan cara yang amat ketara. Bersandarkan tanggapan umum ini, artikel ini meneliti novel Adam dan Hawa (2013) iaitu sebuah novel popular karya Aisya Sofea yang diterbitkan oleh Alaf 21 Sdn. Bhd.

Bagi mencapai matlamat kajian, analisa terhadap aspek watak dan perwatakan, dan seterusnya rumusan terhadap fungsi aspek watak dan perwatakan dalam pembikinan naratif novel telah dijalankan. Hasil daripada analisis mendapati bahawa pembikinan naratif novel Adam dan Hawa telah menggembleng sepenuhnya aspek watak dan perwatakan dengan merealisasikan tiga strategi, iaitu pembinaan watak dengan perwatakan yang kondusif, pembinaan watak dengan perwatakan yang saling bertentangan, dan olahan perwatakan watak-watak secara drastik. Melalui dapatan- dapatan ini, kajian ini merumuskan bahawa penggemblengan aspek watak dan perwatakan dalam novel Adam dan Hawa berfungsi membangunkan sebuah kisah percintaan.

Kata kunci: Kisah percintaan; watak dan perwatakan; novel popular; Adam dan Hawa; Aisya Sofea ABSTRACT

This study was drawn from a general notion that romance stories are often used as the main theme in popular novels.

Much of the romance in the popular novel is said to embody the characters and characteristics in many significant ways. Based on this general notion, this article examines the novel Adam and Eve (2013), a popular novel by Aisya Sofea published by Alaf 21 Sdn. Bhd. To achieve the aim of the study, an analysis of character and characteristics and a conclusion on the function of the character and characteristics aspects were conducted. The result of the analysis found that the narrative construction of Adam and Eve’s novels fully integrates the aspects of character and characteristics by recognising three strategies, namely i) character building with conducive characters ii) character building with opposing characters, and iii) dramatization of characters. Through these findings, this study concludes that the combination of the characters and characteristic in the novel Adam and Eve works to develop a love narration.

Keywords: Love story; characters and characteristics; popular novel; Adam dan Hawa; Aisya Sofea

PENGENALAN

Secara amnya, “novel popular” atau ada kalanya disebut juga sebagai “fiksyen popular” rata- rata ditakrifkan sebagai karya fiksyen yang berupaya memenuhi selera pembaca awam (Kamariah Kamarudin 2014: 241). Pemahaman ini menyebabkan novel popular dikaitkan dengan beberapa kriteria yang dijadikan sebagai ukuran atau petunjuk popularitinya antaranya angka jualannya yang laris di pasaran awam. Selain itu ialah garapan cerita yang dikaitkan pula dengan kecenderungan serta tuntutan selera pembaca.

Dengan kata lain, terdapat cerita-cerita tertentu yang dikatakan popular kerana disukai oleh pembaca awam, lantas cenderung digarap dalam novel-novel popular. Antara yang sering dikaitkan dengan novel popular ialah kisah percintaan. Pemahaman ini jelas antaranya dalam pandangan Scott McCracken (seterusnya Cracken) tentang novel popular.

Menurut Cracken (1998: 75), novel atau fiksyen popular menjadikan kisah percintaan sebagai bentuknya yang asli (original form). Nada yang hampir sama juga kedengaran dalam pengamatan Kamariah Kamarudin (seterusnya Kamariah) terhadap situasi penerbitan novel popular di Malaysia. Berdasarkan pengamatannya, Kamariah

(2)

berpendapat bagi tujuan komersial, novel popular di Malaysia cenderung menggembleng kisah cinta, sebagaimana yang dijelaskan oleh Kamariah:

Perkembangan novel popular ini selaras dengan kelahiran ratusan atau ribuan novel Melayu yang bernuansa “komersial”;

sama ada dari segi kulit buku dengan menjadikan wanita sebagai penghias mahupun tajuk karya yang dipersembahkan kepada khalayak yang bernada “cinta”, “kasih”, “sayang”, “asmara”,

“rindu” dan sebagainya yang bertujuan untuk memancing dan mempesona pembaca. Sementelahan pula tema yang diketengahkan turut memperlihatkan novel tersebut dalam kategori novel popular kerana menjadikan “cinta”, “kasih”,

“sayang”, “asmara”, “rindu” dan seumpamanya ungkapan yang mengasyikkan sebagai mauduk perbincangan.

(Kamariah 2014: 241)

Lanjutan daripada pemahaman di atas, beberapa sarjana serta pengkaji sastera turut memperincikan lagi ciri-ciri kisah percintaan yang digemari ramai.

Antaranya ialah Talib Samat (seterusnya Talib) (2013) yang membandingkan antara “novel popular”

dengan “novel serius”. Dalam konteks perbandingan ini, artikel Talib turut mengamati trend penerbitan novel popular di Malaysia sekitar dekad 2000- an. Berdasarkan pengamatannya, Talib mengenal pasti kecenderungan syarikat-syarikat penerbitan popular seperti Alaf 21 Sdn. Bhd. yang dikatakan menetapkan “unsur cinta” (istilah Talib sendiri) atau lebih tepat kisah percintaan, sebagai “resipi”

atau “menu” (kedua-duanya istilah Talib sendiri juga) yang wajib ada dalam novel popular terbitan mereka (Alaf 21 Sdn. Bhd.). Lebih penting lagi, kisah percintaan yang disajikan itu mestilah sebuah kisah yang penuh dengan konflik (disebut oleh Talib sebagai “unsur cinta dan permasalahannya”). Kisah konflik percintaan ini dianggap menjadi daya tarikan yang sekali gus mampu melariskan penjualan novel, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan di bawah:

…novel-novel popular terbitan Alaf 21, Creative Enterprise dan sebagainya yang cara penghasilannya lebih mudah, kurang mencabar, cukup mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh penerbit berkenaan misalnya perlu dimasukkan unsur cinta sekian-sekian peratus dan masalah hidup lainnya sebagai daya penarik pembaca khususnya golongan pembaca wanita yang merupakan golongan majoriti yang membeli dan membaca novel popular. Penerapan unsur cinta dan permasalahannya merupakan resipi dan menu wajib dalam penulisan novel popular yang perlu dihasilkan oleh pengarang novel popular menurut cara gaya Alaf 21, Creative Enterprise dan seumpamanya yang mendominasi penerbitan novel popular di negara ini. [Garisan ditambah.]

(Talib 2013: 215)

Seiring dengan pandangan Talib di atas, S.

Othman Kelantan (2004) (seterusnya S. Othman) dalam tulisannya bertajuk “Karya Picisan dan Karya Popular” (2004) turut menyentuh tentang ramuan-ramuan yang mengisi sesebuah novel popular. Menurutnya, novel popular cenderung memaparkan kisah percintaan yang dilingkari dengan konflik-konflik yang melanda hubungan cinta yang diceritakan itu, sebagaimana yang dijelaskan seperti berikut:

Karya popular memilih tema percintaan, tetapi sepanjang pengisahannya berkisar kepada percintaan, kerenah percintaan, merajuk dan pujukan, penderitaan kerana percintaan, pengorbanan dalam percintaan, pertentangan keluarga, berakhir dengan perkahwinan atau menderita sampai mati, tetapi tidak digambarkan perlakuan seks.

(S. Othman 2004: 13)

Seiring dengan pandangan-pandangan di atas, Bibhu Datta Rout (seterusnya Rout) dalam tulisan bertajuk “Five Popular in Genre Fiction” (2017) turut menganggap bahawa kisah percintaan atau romance sebagai antara “genre fiksyen” yang paling popular dalam kalangan pembaca awam. Rout juga berpendapat bahawa kebanyakan pembaca awam menganggap bahawa kisah-kisah percintaan yang disajikan dalam novel popular berkaitan dengan pengalaman mereka. Lebih penting lagi, Rout melakarkan ciri-ciri sebuah kisah percintaan yang digemari ramai. Antaranya, kisah percintaan yang melibatkan dua watak dalam satu hubungan cinta romantis. Seterusnya, hubungan cinta romantis mereka disulami pula dengan elemen seperti konflik dan emosi. Dalam hal ini, Rout berpendapat bahawa cerita lazimnya akan memisahkan watak pasangan kekasih untuk satu jangka masa tertentu.

Ini bererti, percintaan pasangan kekasih ini bukan merupakan hubungan yang sepenuhnya bahagia, tetapi dipenuhi dengan konflik. Meskipun begitu, cerita tetap menjanjikan harapan bahawa hubungan cinta penuh konflik itu bakal bertaut semula. Dengan kata lain, kisah percintaan dianggap digemari ramai ialah “kisah percintaan penuh konflik yang berakhir dengan kebahagiaan”. Selain ciri-ciri cerita di atas, turut jelas pada pandangan Rout bahawa aspek penting yang menunjangi cerita ialah watak dan perwatakan yang digembleng sepenuhnya untuk membangunkan sebuah kisah percintaan penuh konflik. Rout menjelaskan hal di atas seperti berikut:

Most of the readers will associate with this genre [merujuk genre romance] today. These stories are about romantic relationship between two characters. The stories are characterized by

(3)

conflict, sensual tension, emotions, desire etc. The writer will keep the characters apart from each other most of the time but an emotionally satisfying and optimistic ending.

(Rout 2017)

Seperti yang telah dinyatakan di atas, watak dan perwatakan dianggap sebagai aspek penting dalam membangunkan sebuah kisah percintaan yang menepati cita rasa popular pembaca. Tesis kedoktoran Samsiah Mohd. Nor (2012) (seterusnya Samsiah) memperkukuhkan lagi pandangan di atas apabila beliau juga mendapati bahawa watak dan perwatakan sememangnya menjadi aspek yang diberikan penekanan dalam novel-novel popular. Lebih lanjut lagi, Samsiah turut melakarkan ciri-ciri watak protagonis yang menerajui kisah-kisah percintaan dalam novel popular. Antaranya, aspek fizikal watak protagonis yang dikatakan sempurna. Umpamanya, cantik serta menawan bagi watak wanita, manakala kacak dan bergaya pula bagi watak lelaki. Tidak kurang penting ialah perwatakan watak protagonis itu sendiri yang dikatakan bersifat “ideal”. Ciri-ciri di atas dikatakan dapat menjadi daya penarik kepada pembaca. Samsiah (2012) menjelaskan seperti berikut:

Penggarapan dan pelukisan watak terutamanya bagi watak utama sangat dititikberatkan oleh pengarang novel popular. Didapati bahawa rata-rata garapan watak protagonis (lelaki atau wanita) dijelmakan dengan ideal. Kesempurnaan watak wira dan wirawati tersebut diukur daripada bentuk fizikal dan emosi mereka. Hal ini demikian bertujuan untuk menarik minat pembaca [Garisan ditambah.]

(Samsiah 2012: 113)

Berkaitan dengan ciri-ciri watak protagonis yang dilakarkan oleh Samsiah di atas, Jerry Palmer (seterusnya Palmer) dalam bukunya bertajuk Potboilers Methods, Concepts and Case Studies in Popular Fiction (1991) turut membincangkan pandangan Janice A. Radway tentang romance atau kisah cinta.

Merujuk kepada genre ini, antara ramuan yang dikenal pasti menjadi kegemaran pembaca ialah kehadiran watak-watak yang bersifat “hitam-putih” (istilah Palmer - ‘good’ and ‘bad’ characters). Kehadiran sifat watak yang sedemikian dikatakan berfungsi bagi mencetuskan perasaan empati pembaca yang dapat menyelami gejolak emosi watak, sebagaimana yang dijelaskan oleh Palmer:

In outline, what readers nominate as a good romance is based upon a set of psychological characteristics attributed to ‘good’

and ‘bad’ characters, and a narrative structure which distributes these characteristics clearly between characters who are the object of reader’s empathy and those who are not.

(Palmer 1991: 31)

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa watak “hitam-putih” memainkan peranan yang signifikan dalam memungkinkan sesebuah fiksyen cinta untuk menyajikan kisah cinta penuh konflik yang digemari ramai, seperti yang telah dibincangkan di atas. Dengan kata lain, sebagaimana pandangan Bibhu Datta Rout (2017) dan Samsiah Mohd. Nor (2012), Palmer (1991) turut memperakukan pentingnya penggemblengan watak dan perwatakan dalam pembikinan sesebuah novel cinta popular.

PERMASALAHAN KAJIAN

Perbincangan di atas melakarkan tiga ciri sebuah cerita yang digemari ramai serta mampu melariskan penjualan sesebuah novel, menurut pemahaman umum. Pertama, cerita menyajikan kisah percintaan romantis yang penuh konflik. Kedua, kesudahan cerita yang berakhir dengan kebahagiaan.

Dan ketiga, aspek watak dan perwatakan yang digembleng bagi memperkukuhkan kedua-dua ciri di atas. Pemahaman terhadap tiga ciri ini mengundang kajian ini untuk meneliti Adam dan Hawa (seterusnya ADH), iaitu sebuah novel karya Aisya Sofea yang diterbitkan Alaf 21 Sdn. Bhd.

pada tahun 2006. Hal ini kerana ADH merupakan sebuah novel popular atau “bestseller” terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd. yang juga merupakan sebuah syarikat penerbitan swasta di Malaysia yang terkenal dalam penerbitan novel popular di Malaysia. ADH diulang cetak sebanyak 30 kali dalam tempoh tujuh tahun iaitu 2006 hingga 2013. Frasa “Best Seller” dan

“Terjual lebih 50,000 naskhah” tercetak pada kulit depan novel (Aisya Sofea 2013). Global Station sebuah syarikat produksi tempatan kemudiannya mengadaptasi ADH ke drama televisyen bersiri untuk rangkaian Astro Malaysia dan Singapura (Zaidi Mohamad 2017). Sesuatu yang jelas dan sukar dinafikan ialah hakikat bahawa ADH memang merupakan sebuah novel yang popular, sebagaimana yang terserlah pada angka jualannya yang tinggi sehingga diulang cetak sebanyak 30 kali dalam tempoh tujuh tahun. Populariti novel ini mengundang kajian ini untuk mengaitkannya dengan pemahaman umum yang melakarkan ciri-ciri penting novel popular, iaitu menyajikan kisah percintaan romantis yang penuh konflik, dan kesudahan cerita yang berakhir dengan kebahagiaan, yang kedua-duanya direalisasikan melalui penggemblengan aspek watak dan perwatakan. Dengan kata lain, kajian ini

(4)

ingin menguji apakah aspek watak dan perwatakan memang memainkan peranan yang signifikan dalam pembikinan naratif novel popular karya Aisya Sofea ini iaitu ADH, sebagaimana yang ditanggapi umum.

OBJEKTIF DAN BATASAN KAJIAN Dengan permasalahan di atas, kajian ini diusahakan bagi mencapai dua objektif. Pertama, menganalisis aspek watak dan perwatakan dalam novel ADH. Kedua, merumuskan fungsi aspek watak dan perwatakan dalam pembikinan cerita ADH. Untuk itu, kajian ini akan menjadikan novel ADH sebagai teks kajian dan hanya meneliti hal-hal yang berkaitan dengan penggemblengan aspek watak dan perwatakan, dalam konteks pembikinan naratifnya.

“WATAK DAN PERWATAKAN”: SATU KERANGKA KONSEPTUAL

Seiring dengan tujuan di atas, adalah relevan untuk kajian ini membicarakan serba sedikit tentang aspek “watak” dan “perwatakan” berdasarkan kepada pandangan sarjana dan pengkaji sastera.

Perbicaraan ini penting untuk dijadikan sebagai satu kerangka dalam memahami aspek “watak”

dan “perwatakan” dalam pembikinan novel, dan seterusnya diguna pakai dalam menganalisis novel

ADH yang dikaji. Menurut Ismail Ahmad (1988),

“watak dan perwatakan” merujuk kepada pelaku atau tokoh dalam sesebuah cerita dengan sifat fizikal dan sikap-sikap yang digembleng sepenuhnya oleh penulis untuk membangunkan cerita, sebagaimana yang dijelaskan seperti berikut:

Watak-watak ini di dalam novel adalah penjelmaan manusia dalam novel, ada bayangan manusia biasa, dicampurkan dengan pengolahan perwatakan oleh pengarangnya dan sebarang penambahan yang difikirkan oleh pengarangnya untuk menjadikan manusia yang dikehendaki bagi mengisi satu-satu novel itu.

(Ismail Ahmad 1988: 20)

Korrie Layun Rampan (seterusnya Korrie) (1995) pula menjelaskan bahawa “watak dan perwatakan” sebagai aspek penting dalam pembentukan sesebuah cerita, sebagaimana katanya:

Watak atau karakter merupakan pelukisan manusia pelaku yang memiliki keistimewaan dan kelemahan, sebagaimana manusia secara darah daging. Dalam menghadapi benturan atau peristiwa, bahkan suasana suka atau duka, memperlihatkan pengaruh khusus bagi watak atau karakter itu memang mula-

mula atau ditandai dengan sikap, gerak geri, bagaimana ia makan, bercakap-cakap, berbagai-bagai kebiasaannya – buruk atau baik – akan tetapi sesungguhnya watak atau karakter adalah penampilan tokoh itu secara utuh menyeluruh yang menandai sifat; cara berfikirannya, keinginannya, perasaannya, ketakutannya, keberaniannya dan sebagainya.

(Korrie 1995: 46)

Syed Othman Kelantan (seterusnya Othman Kelantan) dalam tulisannya bertajuk Teknik Mengkaji Novel (Dalaman dan Luaran) (1985) turut menjelaskan bahawa watak memainkan peranan penting dalam sesebuah karya. Oleh sebab kepentingan ini, watak-watak yang digambarkan dalam sesebuah karya dilukiskan dengan bentuk fizikal serta sifat perwatakan yang tersendiri mengikut kehendak novelis dan jalan cerita yang dibangunkan. Watak dan perwatakan yang digembleng dalam pembikinan naratif diwujudkan dengan beberapa sebab munasabah, sebagaimana yang dijelaskan Othman Kelantan dalam petikan di bawah:

Watak ialah gambaran tentang pelaku yang memegang peranan dalam novel, sama ada watak itu manusia atau binatang.

Gambaran watak ialah mengenai bentuk tubuhnya, besar kecilnya, tinggi rendahnya, hitam putihnya, gemuk atau kurus dan sesuatu tentang sifat peribadinya. Kalau watak itu manusia, sifat tentang manusia itu dijelaskan secara terperinci. Gambaran tentang watak itu menjelaskan kesesuaian peranannya dalam seluruh novel. Maksud perwatakan pula ialah mengenai sikap, kebolehan, pendidikan, tabiat, kelakuan dan sesuatu yang berhubung dengan tingkah laku watak. Dalam makna lain, gambaran watak ialah tentang sifat fizikal; gambaran perwatakan tentang sifat mental, yang diwujudkan oleh pengaruh persekitaran, keturunan, pendidikan, pergaulan, pemikiran dan sikap hidup.

(Othman Kelantan 1985: 26)

Sejajar dengan pandangan di atas, Ali Ahmad dalam bukunya bertajuk Asas Menganalisa Cereka (1978) menjelaskan bahawa watak- watak yang digambarkan dalam sesebuah karya merupakan khayalan atau ciptaan semata-mata.

Walau bagaimanapun, menurut Ali Ahmad, watak- watak khayalan atau ciptaan ini sering kali mendapat perhatian daripada pembaca awam. Ini kerana pembaca awam menganggap bahawa watak-watak yang dilukiskan oleh novelis betul-betul wujud dalam kehidupan seharian mereka, sebagaimana yang dijelaskan seperti berikut:

Pengarang cereka pula mengetengahkan kelakuan-kelakuan dan sifat-sifat beberapa orang manusia yang direka oleh fikirannya. Pada karya-karya yang baik gambaran mengenai watak-watak yang direkanya itu amat meyakinkan hingga kita kerap menyamakan kelakuan watak itu dengan orang-orang

(5)

yang benar-benar ada di sekeliling kita. Usaha melahirkan watak-watak yang dilakukan oleh pengarang itu dinamakan perwatakan.

(Ali Ahmad 1978: 15)

Lanjutan daripada pemahaman di atas, para sarjana serta pengkaji sastera turut menggolongkan watak rata-rata kepada dua jenis, iaitu watak protagonis dan watak antagonis. Merujuk kepada watak protagonis, Shahnon Ahmad (1979) menjelaskan bahawa kedudukan watak yang berbeza mempengaruhi perwatakan yang dibina pada watak tersebut. Dengan menjadikan novel-novel Melayu sebelum perang sebagai contoh, Shahnon antara lain menggariskan sifat-sifat yang membezakan antara watak protagonis dengan antagonis. Menurut Shahnon, watak protagonis merupakan watak baik yang tampil dengan imejnya yang bersih, manakala watak antagonis pula merupakan watak jahat yang tampil dengan imejnya yang hitam, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan di bawah:

Perbezaan-perbezaan antara para watak juga banyak membantu pengembangan perwatakan. Ia boleh memperkukuhkan lagi hasratnya untuk menonjolkan seseorang watak supaya lebih berkesan. Biasanya dalam novel-novel Melayu sebelum perang, perbezaan-perbezaan itu amat jauh; agak melampau sehingga menimbulkan ke tidak-munasabah. Protagonisnya itu amat kacak, jujur, berani, dan murah hati sedangkan antagonisnya itu curang, penakut, kedekut dan hodoh pula rupa parasnya.

Segala-galanya berkembang sehala. Yang baik sebaiknya, yang buruk seburuknya. Ini adalah perbezaan yang terlalu.

Yang seorang putih seputih-putihnya, yang seorang lagi hitam sehitam-hitamnya.

(Shahnon Ahmad 1979: 70)

Berbanding penjelasan Shahnon yang lebih merujuk kepada perwatakan watak protagonis dan antagonis, Ali Ahmad (1978) memberikan penjelasan yang lebih khusus terhadap fungsi watak protagonis dan watak antagonis. Menurut Ali Ahmad, watak protagonis merujuk kepada watak yang memainkan peranan penting dalam perkembangan cerita daripada awal hingga akhir.

Dengan kata lain, cerita itu sendiri membawakan kisah yang melibatkan matlamat atau impian watak protagonis. Manakala, watak antagonis pula merujuk kepada watak yang menjadi penghalang atau penentang terhadap matlamat atau impian watak protagonis, sebagaimana yang dihuraikan seperti berikut:

Pengarang mungkin mengemukakan seorang wira (hero) yang kacak dan baik hati, yang biasanya didampingi oleh seorang wirawati (heroine) yang berkelakuan baik dan sopan. Sekiranya wira mengambil peranan penting atau utama dari awal hingga

akhir, ia dinamakan protagonis. Lawannya yang utama dalam pertentangan yang terlihat dalam novel atau cerpen itu, misalnya dalam mengharungi cita-cita dan tindakan protagonis tadi dinamakan pula antagonis. Tidak semestinya seorang protagonis itu seorang wira. Seorang penjahat adalah protagonis sekiranya pengarang mementingkan daripada watak-watak yang lain dalam ceritanya. Protagonis mengambil peranan yang terbesar dalam sesebuah karya. Dan kiranya hero menghalangi tindakan watak terpenting ini maka ia digelar antagonis pula. Sifat-sifat antagonis, protagonis dan lain-lain pelaku dapat disimpulkan dari tindakan-tindakan dan hubungannya dengan watak-watak yang lain.

(Ali Ahmad 1978: 19)

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa aspek “watak” dan “perwatakan”

merujuk kepada tokoh-tokoh yang ditampilkan dalam sesebuah naratif. Penampilan tokoh-tokoh ini dilengkapi dengan karakter-karakter (characters) tertentu yang dibina sejajar dengan keperluan naratif. Dalam konteks ini, kehadiran watak-watak dalam cerita rata-rata digolongkan kepada dua, iaitu watak protagonis dan watak antagonis. Watak protagonis merujuk kepada watak yang menerajui cerita dengan matlamat atau impiannya. Manakala, watak antagonis pula merujuk kepada watak yang menjadi penghalang kepada matlamat atau impian watak protagonis. Berdasarkan pengertian ini, analisis terhadap novel ADH akan dilakukan dengan meneliti watak-watak yang dianggap memainkan peranan penting dalam pembikinan cerita secara keseluruhannya. Analisis terhadap watak-watak ini akan dilakukan dengan meneliti aspek watak dan perwatakan bagi watak-watak penting dalam novel, dan seterusnya bagaimana watak dan perwatakan bagi watak-watak penting itu berfungsi dalam pembikinan cerita ADH secara keseluruhannya.

ANALISIS PENGGEMBLENGAN ASPEK WATAK DAN PERWATAKAN DALAM

NOVEL ADAM DAN HAWA

Bacaan awal mengenal pasti dua watak protagonis iaitu watak Ain Hawani dan watak Adam Mukhriz yang hadir sebagai watak pasangan kekasih yang menerajui kisah cinta dalam ADH. Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam kerangka konseptual, watak protagonis merujuk kepada watak yang menerajui cerita dengan matlamat atau impiannya.

Berdasarkan pengertian ini, dapat dikatakan bahawa cerita dalam ADH pada asasnya diterajui oleh matlamat atau impian kedua-dua watak protagonis iaitu Ain Hawani dan Adam Mukhriz. Matlamat

(6)

atau impian ini merujuk kepada matlamat atau impian cinta kedua-dua watak protagonis untuk mengecap kebahagiaan dalam perhubungan cinta mereka. Selain itu, bacaan awal turut mengenal pasti satu watak antagonis yang turut memainkan peranan yang signifikan dalam pembikinan cerita, iaitu watak Dee.

Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam kerangka konseptual, watak antagonis pula merujuk kepada watak yang menjadi penghalang kepada matlamat atau impian watak protagonis.

Berdasarkan pengertian ini, watak Dee dikenal pasti sebagai watak antagonis kerana kehadirannya berfungsi bagi menghalang watak pasangan protagonis dalam mencapai matlamat atau impian bagi mengecap kebahagiaan dalam perhubungan cinta mereka. Analisis akan dimulakan dengan meneliti watak pasangan protagonis iaitu Ain Hawani dan watak Adam Mukhriz, selain watak antagonis iaitu watak Dee.

STRATEGI MEMBINA PERWATAKAN YANG KONDUSIF

Analisis ini mendapati bahawa salah satu daripada strategi penceritaan yang digembleng dalam membangunkan sebuah kisah cinta romantis ialah membina watak-watak dengan perwatakan yang kondusif sebagai persediaan untuk mencetuskan konflik cerita. Dalam konteks kajian ini, istilah

“kondusif” dapat merujuk kepada ciri-ciri perwatakan yang sesuai dan dapat menjadi penyebab kepada berlakunya sesuatu yang diingini. Kamus Dewan Edisi Keempat (2016: 813) mentakrifkan perkataan “kondusif” seperti berikut, “sesuai, baik dan sebagainya untuk membantu, mencapai atau mendorong menghasilkan sesuatu”. Dalam konteks pengertian ini, watak protagonis Ain Hawani, Adam Mukhriz serta watak antagonis Dee didapati hadir dengan ciri-ciri fizikal yang kondusif serta mampu untuk melahirkan cerita- cerita yang berlegar dalam kisah percintaan. Bacaan awal mendapati bahawa cerita dalam ADH diterajui oleh watak protagonisnya iaitu watak Ain Hawani.

Peranannya yang signifikan dalam cerita antaranya diperikan pada judul novel yang turut mengambil sempena namanya. Perkataan “Hawa” pada judul diambil daripada nama “Hawani”. Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam konflik seperti di atas, watak Ain Hawani merupakan seorang remaja yang menunggu keputusan Sijil Tinggi

Pelajaran Malaysia. Kehadiran watak Ain Hawani dalam novel dilengkapkan dengan perwatakan tertentu. Antaranya, ciri fizikal Ain Hawani yang menggambarkan keremajaannya, sebagaimana yang digambarkan dalam petikan di bawah:

Aku [merujuk watak Ain] masih berdiri di depan cermin hias, melihat penampilanku. Baju kurung kain kapas warna hijau muda itu menampakkan aku [merujuk watak Ain] lebih remaja.

Ditambah pula dengan rambut panjang lurus yang aku ikat seperti ekor kuda.

(Aisya Sofea 2013: 4)

Soal keremajaan ini didapati turut menyumbang terhadap tercetusnya cerita, apabila dengan keremajaannya, Ain Hawani diceritakan terperangkap dengan godaan Adam Mukhriz, seperti yang dijelaskan dalam petikan di bawah:

Dalam usia semuda ini dan belum pernah terdedah pada godaan lelaki dan alam percintaan, aku [merujuk watak Ain] bagaikan tidak daya menolak satu kuasa yang sedang Am [merujuk watak Adam] tunjukkan padaku [merujuk watak Ain]. Terlalu asing, terlalu aneh tapi indah dan mengasyikkan.

(Aisya Sofea 2013: 34)

Merujuk kepada contoh di atas, dapat dikatakan bahawa watak Ain Hawani yang masih mentah ini mewajarkan dia jatuh cinta pandang pertama kepada Adam Mukhriz, dan sekali gus membolehkan novel untuk mencetuskan sebuah kisah cinta romantis.

Dalam konteks inilah, analisis ini mendapati bahawa

ADH membina watak dengan perwatakan yang kondusif sebagai satu strategi bagi membolehkan novel untuk menyediakan konflik-konflik yang diperlukan bagi membina sebuah kisah cinta romantis.

Sehubungan dengan itu, analisis ini mendapati bahawa novel turut memanipulasi strategi yang sama terhadap watak Adam Mukhriz (Adam).

Sebagaimana yang telah dinyatakan, watak Adam Mukhriz hadir sebagai kekasih kepada Ain Hawani.

Peranannya yang signifikan dalam cerita antaranya diperikan pada judul novel yang turut mengambil sempena namanya. Perkataan “Adam” pada judul diambil daripada nama “Adam Mukhriz”. Sebagai watak protagonis, Adam Mukhriz hadir dalam naratif novel sebagai seorang juruterbang yang memiliki rupa paras yang tampan dan kacak. Dengan memiliki wajah yang tampan dan mempunyai pekerjaan yang baik, maka adalah logik sekiranya Adam Mukhriz diceritakan menjadi rebutan ramai wanita. Soal rupa paras Adam Mukhriz ini, antaranya diperlihatkan dalam novel sebagaimana dalam petikan di bawah:

(7)

Rambutnya [merujuk watak Adam] ikal keperangan. Memiliki hidung mancung dan kulitnya putih kemerahan. Sekilas mata memandang, aku [merujuk watak Ain] dapat mengagak lelaki itu bukan Melayu tulen. Dia [merujuk watak Adam] mungkin berdarah kacukan Inggeris.

(Aisya Sofea 2013: 5)

“Hmm… kau [merujuk watak Ain] belum kenal lagi dengan Am [merujuk watak Adam] tu, Ain. Sekarang bolehlah kata tak kisah atau tak peduli. Tapi bila lelaki itu datang nanti, bergetar jantung dibuatnya. Kak Cham yang dah kahwin ni pun, masih lagi berdebar bila dia [merujuk watak Adam] datang jumpa Kak Cham,” seloroh Kak Cham.

(Aisya Sofea 2013: 31) Setelah bertahun berlalu, kekacakannya [merujuk watak Adam]

kini lebih mencerminkan kematangan. Aura seorang lelaki dewasa yang lebih peka dengan setiap yang berlaku jelas kelihatan di kejernihan wajahnya.

(Aisya Sofea 2013: 162)

Sesungguhnya, soal fizikal watak Adam Mukhriz ini penting dibangkitkan kerana analisis ini mendapati bahawa ia menjadi strategi yang memungkinkan tercetusnya kisah cinta romantis dalam ADH. Hal ini jelas apabila dengan menghadirkan watak Adam Mukhriz dengan ciri perwatakannya yang tampan dan kacak, maka novel dengan mudah menjadikannya sebagai sebab yang memungkinkan Ain Hawani untuk jatuh cinta kepada Adam Mukhriz, dan seterusnya membolehkan kedua-dua watak protagonis ini melalui liku-liku perjalanan kisah romantis yang bahagia pada kesudahan ceritanya. Dalam konteks ini, ADH didapati membina watak-watak dengan perwatakan yang kondusif sebagai satu strategi yang membolehkan novel untuk menyediakan konflik- konflik yang bakal tercetus dalam membangunkan sebuah kisah cinta romantis.

Strategi yang sama didapati turut digembleng terhadap watak Dee yang hadir dalam novel sebagai watak antagonis yang menghalang impian cinta antara pasangan protagonis, Ain Hawani dan Adam Mukhriz. Dalam hal ini, novel didapati menghadirkan watak Dee sebagai teman wanita kepada Adam Mukhriz. Sebagaimana yang telah dinyatakan di atas, watak Dee telah menganiaya Adam Mukhriz dan Ain Hawani sehingga mereka ditangkap khalwat. Sesuai dengan peranannya itu, dan sebagaimana perwatakan watak pasangan protagonis (Ain Hawani dan Adam Mukhriz), watak Dee juga hadir dengan rupa parasnya yang cantik dan moden dengan gayanya yang seksi, sebagaimana yang dijelaskan dalam novel seperti berikut:

Aku [merujuk watak Ain] cuba mencuri pandang ke arah perempuan di dalam kereta itu. Rambutnya [merujuk watak Dee] berombak keperangan. Wajahnya [merujuk watak Dee] nampak jelita dengan alat solek yang digunakan. Aku [merujuk watak Ain] menghadiahkan senyuman bila mata kami bertentangan. Tapi dia [merujuk watak Dee] segera memalingkan wajahnya dengan sombong.

(Aisya Sofea 2013: 5)

Penting untuk ditegaskan bahawa kehadiran Dee dengan ciri perwatakan yang sedemikian membolehkan novel untuk menyediakan cerita yang bakal tercetus dalam kisah cinta Ain Hawani-Adam Mukhriz. Dengan kata lain, kejelitaan dan gaya seksi Dee menjadi ciri perwatakan yang kondusif bagi membolehkan watak ini hadir sebagai penghalang kepada impian cinta Ain Hawani dan Adam Mukhriz. Pada tahap ini, memadai difahami bahawa dalam membangunkan sebuah kisah cinta romantis,

ADH didapati membina watak-watak utamanya dengan ciri-ciri perwatakan yang kondusif sebagai persediaan untuk mencetuskan cerita.

STRATEGI MEMBINA PERWATAKAN YANG SALING BERTENTANGAN

Selain strategi di atas, analisis ini turut mendapati bahawa ADH turut membina watak-watak dengan ciri-ciri perwatakan yang saling bertentangan, sebagai satu strategi bagi mencetuskan cerita dan sekali gus mengekalkan perjalanan kisah cinta romantis antara Ain Hawani dengan Adam Mukhriz.

Strategi ini jelas apabila novel membina watak Ain Hawani dengan perwatakannya yang baik. Kebaikan ini, umpamanya jelas apabila novel menceritakan bagaimana watak Ain Hawani berkhidmat sebagai seorang guru tadika yang penuh dedikasi. Ain Hawani diceritakan ikhlas bekerja lebih masa tanpa dibayar gaji tambahan. Keikhlasan Ain Hawani ini kemudiannya membolehkan Adam Mukhriz mengambil kesempatan untuk mendekati dirinya.

Adam Mukhriz diceritakan sering ke tadika tempat Ain Hawani bekerja, selepas waktu bekerja.

Perbuatan Adam Mukhriz ini membolehkan cerita dimulakan dengan bibit-bibit perkenalan antara Ain Hawani dengan Adam Mukhriz.

Seterusnya, perwatakan Ain Hawani yang baik ini juga memainkan peranan dalam membolehkan novel untuk memperkembangkan cerita. Hal ini jelas apabila dengan sifatnya yang baik itu, watak Ain Hawani diceritakan sedia membantu rakan sekerjanya iaitu Kak Rubi untuk menghantar bekas-

(8)

bekas makanan ke rumah Kak Zah (pengurus tadika tempat Ain Hawani bekerja yang juga merupakan kakak Adam Mukhriz). Ketika bertandang ke rumah Kak Zah, Ain Hawani dan Adam Mukhriz ditangkap khalwat disebabkan niat jahat Dee yang ingin mengaibkan teman lelakinya itu (Adam Mukhriz). Dalam konteks cerita yang sedemikian, adalah jelas bahawa perwatakan Ain Hawani yang baik iaitu suka menolong, dijadikan punca dia dan Adam Mukhriz dianiaya oleh Dee yang berdendam kepada Adam Mukhriz. Dalam konteks ini, novel didapati telah membina dan seterusnya memperuntukkan dua jenis perwatakan yang saling bertentangan, iaitu perwatakan yang baik untuk watak Ain Hawani, dan perwatakan yang jahat untuk watak Dee. Pertembungan antara dua perwatakan yang saling bertentangan ini (baik vs jahat) telah memungkinkan cerita untuk mencetuskan konflik apabila Ain Hawani dan Adam Mukhriz ditangkap khalwat sehingga memaksa mereka untuk dinikahkan. Penting untuk diamati bagaimana pernikahan Ain Hawani-Adam Mukhriz memainkan peranan penting dalam perkembangan cerita yang selanjutnya. Ini kerana dengan pernikahan tersebut, cerita kemudiannya diisi dengan konflik demi konflik yang tercetus sepanjang perkahwinan Ain Hawani dengan Adam Muhkriz. Ini bererti, pembinaan watak-watak dengan ciri perwatakan yang saling bertentangan menjadi satu strategi bagi mencetuskan cerita dan sekali gus mengekalkan perjalanan kisah cinta romantis.

Penggemblengan strategi yang sama juga jelas apabila novel menampilkan watak Adam Mukhriz dengan perwatakannya seorang kaki perempuan.

Perwatakan ini jelas bertentangan dengan Ain Hawani yang hadir dalam cerita sebagai seorang gadis remaja yang baik dan sentiasa berusaha memelihara maruah dirinya. Kebaikan watak Ain Hawani juga jelas apabila dia diceritakan berpendirian untuk tidak dapat menerima Adam Mukhriz, antaranya disebabkan oleh perwatakan watak lelaki itu yang kaki perempuan. Ain Hawani diceritakan pernah menyaksikan Adam Mukhriz berpegangan tangan dengan wanita. Adalah jelas bahawa pertembungan antara dua ciri perwatakan watak pasangan protagonis ini membolehkan novel untuk memperkembangkan ceritanya iaitu dengan mencetuskan konflik yang dapat membawa cerita ke hadapan. Ini merujuk kepada konflik rumah tangga Ain Hawani-Adam Mukhriz yang antara tercetus disebabkan kebencian Ain Hawani pada perangai suaminya yang kaki perempuan itu. Ain

Hawani diceritakan takut untuk menerima Adam Mukhriz sebagai suaminya (meskipun setelah mereka diijabkabulkan kerana ditangkap khalwat) kerana perangai Adam Mukhriz yang suka berfoya- foya. Adalah jelas bahawa ADH membina watak- watak dengan ciri-ciri perwatakan yang saling bertentangan sebagai satu strategi bagi mencetuskan cerita dan sekali gus mengekalkan perjalanan kisah cinta romantis penuh konflik antara Ain Hawani dengan Adam Mukhriz.

PERUBAHAN PERWATAKAN WATAK- WATAK SECARA DRASTIK

Selain dua strategi di atas, analisis ini juga mendapati bahawa ADH turut menggembleng strategi mengubah perwatakan watak-watak secara drastik bagi mencetuskan konflik dan sekali gus mengekalkan perjalanan kisah cinta romantis antara Ain Hawani dengan Adam Mukhriz.

Penggemblengan strategi ini jelas apabila novel mengubah perwatakan Ain Hawani yang pada mulanya diceritakan seorang remaja yang baik, tetapi kemudiannya berubah menjadi seorang yang tekad dan begitu membenci suaminya. Bagi membolehkan perubahan drastik ini terjadi, novel memanipulasi peristiwa tangkap khalwat sebagai

“asal mula” atau antecedent yang mewajarkan perubahan perwatakan itu. Dalam konteks ini juga, agak menarik untuk diamati pandangan Shikin Ali (2013) yang mengkategorikan Ain Hawani sebagai watak pemberontak. Dalam konteks ini juga, kajian Shikin Ali (2013) merumuskan bahawa watak Ain Hawani dibina dengan perwatakan yang berlainan dengan watak-watak wanita lain dalam novel-novel Melayu yang dikajinya, yang rata-rata ditampilkan sebagai isteri yang taat dan patuh kepada suami, sebagaimana katanya:

Dalam Adam dan Hawa, penulis telah menyorotkan watak Ain Hawani yang degil, memberontak dan tidak seperti isteri lain yang mudah taat dan patuh kepada suaminya… watak Ain Hawani sebagai isteri menunjukkan kelainan sedikit daripada watak-watak isteri yang ditonjolkan dalam novel-novel yang lain, yakni sebagai isteri yang taat setia dan patuh suami.

(Shikin Ali 2013: 85)

Begitu juga pandangan Halimah Mohamed Ali yang menganggap Ain Hawani sebagai watak wanita yang berlawanan dengan adat dan agama.

Dalam kajiannya bertajuk “Searching New Paradigms of Malay Women: What We Can Learn

(9)

From Literature?” (2015), Halimah Mohamed Ali berpendapat bahawa wanita Melayu terikat dengan agama serta adat yang menuntut mereka untuk taat kepada suami. Justeru, penampilan watak Ain Hawani dengan perwatakan sedemikian dianggap berlawanan dengan adat dan agama, sebagaimana yang dijelaskan oleh Halimah Mohamed Ali (2015:

118), “The Malay woman, however, is governed by both because Islam states that it is a woman’s duty to be by her husband’s side. The author through Ain Hawani, challenges this fundamental adat”.

Merujuk kepada penampilan watak Ain Hawani dengan perwatakan yang sedemikian sebagaimana yang diakui dalam kedua-dua kajian di atas, analisis ini berpendapat bahawa perkara yang lebih pokok sebenarnya terletak pada perubahan drastik perwatakan Ain Hawani yang sebelum itu ditampilkan sebagai seorang gadis yang baik, tetapi kemudiannya berubah menjadi wanita yang tekad dan begitu membenci suaminya. Dalam konteks pembikinan naratif, perubahan drastik watak protagonis ini penting bagi membolehkan cerita untuk mengekalkan konflik cinta yang sedia tercetus antara Ain Hawani dengan Adam Mukhriz. Hal ini jelas apabila perubahan drastik perwatakan Ain Hawani membolehkan novel untuk memisahkan pasangan protagonisnya dalam dua lokasi latar cerita yang berbeza, iaitu Ain Hawani di Australia dan Adam Mukhriz di Malaysia. Merujuk kepada perpisahan antara kedua-dua watak protagonis ini, novel menceritakan bagaimana kebencian Ain Hawani yang meluap-luap terhadap Adam Mukhriz menyebabkan dia bertindak memulangkan cincin perkahwinannya kepada Adam Mukhriz, selain meminta supaya Adam Mukhriz menceraikannya.

Lebih penting apabila perubahan perwatakan ini mendorong Ain Hawani untuk “melarikan” diri ke Australia selama lapan tahun atas alasan melanjutkan pelajaran. Pemisahan pasangan protagonis tersebut dalam dua latar cerita yang berbeza, membolehkan novel diisi dengan kisah-kisah kesedihan Ain Hawani di perantauan, terutamanya apabila dia mengenang nasibnya yang ditangkap khalwat sehingga terpaksa berkahwin dalam usia yang muda, sedangkan dia ceritakan ingin mengejar cita-citanya terlebih dahulu.

Selain itu, novel turut diisi dengan kisah- kisah kesungguhan Adam Mukhriz yang sentiasa berusaha untuk menyelamatkan perkahwinannya dengan Ain Hawani. Dalam konteks ini juga, analisis ini mendapati bahawa novel sekali lagi menggembleng strategi mengubah perwatakan

watak secara drastik bagi mencetuskan konflik dan sekali gus melanjutkan kisah cinta romantis Ain Hawani-Adam Mukhriz. Penggemblengan ini jelas apabila perwatakan Adam Mukhriz berubah secara drastik, daripada seorang kaki perempuan kepada seorang suami yang bertanggungjawab, penyabar dan bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan perkahwinannya. Novel menceritakan bagaimana setelah ditangkap khalwat dan dinikahkan dengan Ain Hawani, Adam Mukhriz secara drastik bertaubat dan insaf dengan tingkah lakunya sebelum itu dan benar-benar membuang tabiatnya yang suka berfoya- foya serta kaki perempuan. Dengan perubahan drastik itu, watak Adam Mukhriz diceritakan sentiasa berusaha untuk memujuk Ain Hawani supaya kembali ke pangkuannya. Adam Mukhriz diceritakan masih memberi nafkah zahir secara sembunyi kepada Ain Hawani (Adam Mukhriz berpakat dengan ibu mertuanya, yang mengirimkan wang bulanan kepada Ain Hawani), selama isterinya itu melanjutkan pelajaran di Australia. Begitu juga dengan kesabaran Adam Mukhriz dalam tindakan Ain Hawani yang begitu membenci dirinya.

Antaranya, Adam Mukhriz diceritakan tetap setia dan tidak menceraikan Ain Hawani itu meskipun ditinggalkan oleh isterinya itu selama lapan tahun kerana melanjutkan pelajaran di Australia. Dalam konteks ini, adalah jelas bagaimana perwatakan yang saling bertentangan iaitu tekadnya Ain Hawani meninggal suaminya di satu pihak, dan sabarnya Adam Mukhriz menanti isterinya di pihak yang lain, telah membolehkan novel untuk mengekalkan konflik-konflik yang melanda rumah tangga pasangan protagonis. Sesungguhnya, pengekalan konflik ini adalah signifikan bagi membolehkan cerita terus berkembang.

Tidak kurang signifikan apabila analisis ini mendapati bahawa novel menggembleng strategi yang sama iaitu mengubah perwatakan watak-watak secara drastik, dan kali ini dengan tujuan untuk meleraikan konflik dan sekali gus menamatkan cerita. Penggemblengan strategi ini jelas apabila novel sekali lagi mengubah secara drastik perwatakan watak Ain Hawani daripada seorang yang tekad dan begitu membenci suaminya, kepada seorang yang pemaaf. Perubahan drastik ini dimungkinkan dengan cerita tentang Ain Hawani yang mengetahui bahawa Adam Mukhriz yang sebenarnya mengirimkan wang bulanan bagi menampung kos kehidupannya selama lapan tahun di Australia. Hal ini diceritakan telah melembutkan hati Ain Hawani yang dapat memaafkan Adam Mukhriz setelah menyimpan

(10)

kebencian kepada suaminya itu selama lapan tahun. Ain Hawani juga diceritakan lembut hati setelah melihat Adam Mukhriz mengimamkan solat jemaah yang diterimanya sebagai satu petanda bahawa suaminya itu telah berubah perwatakannya, daripada seorang yang suka berfoya-foya serta kaki perempuan kepada seorang suami yang soleh dan bertanggungjawab. Dalam konteks pembikinan cerita, sifat pemaaf watak Ain Hawani ini penting bagi membolehkan novel merungkaikan konflik- konflik yang dicetuskan sepanjang perhubungannya dengan Adam Mukhriz. Perwatakan Ain Hawani yang pemaaf ini, antaranya diperlihatkan dalam novel sebagaimana dalam petikan-petikan di bawah:

Rupa-rupanya, benci isteri terhadap suami tidak ke mana. Tidak akan kekal lama. Jauh di sudut hati, si isteri tetap inginkan sebuah rumah tangga yang aman dan bahagia hingga ke saat akhir hidupnya. Dia [merujuk watak Ain] inginkan kesetiaan dan kejujuran. Paling penting, kasih sayang yang abadi.

(Aisya Sofea 2013: 341) Rupa-rupanya aku [merujuk watak Ain] silap menduga.

Aku [merujuk watak Ain] tidak patut memperlekehkan keupayaannya mengimamkan solat fardu ini. Aku cuba menafikan dirinya dan secara tidak langsung memikirkan betapa cetek pengetahuan agamanya [merujuk watak Adam]. Apatah lagi dengan sikapnya yang kaki perempuan itu. Suaranya begitu lunak memulakan solat maghrib malah setiap tajwid yang diperdengarkan membuatkan aku [merujuk watak Ain]

betul-betul terpaku. Am [merujuk watak Adam] mengimamkan jemaah 40 orang itu dengan penuh yakin, khusyuk dan tawaduk.

(Aisya Sofea 2013: 395)

Strategi untuk meleraikan konflik dan sekali gus menamatkan cerita melalui perubahan drastik perwatakan watak-watak juga jelas pada tindakan novel yang juga secara drastik mengubah watak Dee, daripada seorang pendendam kepada seorang wanita yang insaf dan baik. Perubahan ini jelas apabila Dee yang sebelum itu mendendami Adam Mukhriz (sehingga menyebabkan lelaki itu ditangkap khalwat) dan mengganggu rumah tangga lelaki itu, berubah menjadi baik setelah bersemuka dengan Ain Hawani. Watak Dee diceritakan insaf setelah mengetahui bahawa Ain Hawani sedang hamil setelah dia kembali ke pangkuan suaminya.

Analisis ini berpendapat bahawa sebab yang membawa kepada keinsafan watak Dee itu agak dangkal serta terlalu mudah (simplistic), namun perubahan drastik perwatakan watak itu diperlukan bagi membolehkan novel meleraikan konflik rumah tangga Ain Hawani-Adam Mukhriz dan sekali gus menamatkan kisah percintaan penuh liku itu.

Adalah jelas bahawa ADH menggembleng strategi

mengubah perwatakan watak-watak secara drastik bukan sahaja untuk mencetuskan konflik dan sekali gus mengekalkan perjalanan cerita, tetapi juga menamatkan kisah cinta romantis antara Ain Hawani dengan Adam Mukhriz.

KESIMPULAN

Analisis ini berhasil dalam merealisasikan dua objektif kajiannya, iaitu menganalisis aspek watak dan perwatakan, dan merumuskan fungsi aspek watak dan perwatakan dalam pembikinan cerita

ADH. Merujuk kepada objektif pertama, analisis ini berhasil dalam mengenal pasti strategi novel yang membina watak-watak dengan perwatakan yang kondusif sebagai persediaan untuk mencetuskan konflik cerita. Untuk tujuan itu, ADH menampilkan watak Ain Hawani dan watak Adam Mukhriz dengan perwatakan masing-masing terutamanya perwatakan fizikal kedua-duanya yang menarik bagi membolehkan kedua-duanya untuk saling tertarik dan jatuh cinta. Begitu juga tindakan novel yang menghadirkan watak Dee dengan ciri-ciri perwatakan yang membolehkannya hadir sebagai watak antagonis yang menjadi penghalang kepada impian cinta watak pasangan protagonis Ain Hawani-Adam Mukhriz. Dengan kata lain, ADH menampilkan watak-wataknya dengan ciri-ciri perwatakan yang kondusif sebagai satu strategi bagi membina sebuah kisah cinta romantis.

Selain itu, analisis ini juga mendapati bahawa

ADH turut membina watak-watak dengan ciri-ciri perwatakan yang saling bertentangan sebagai strategi bagi mencetuskan konflik dan sekali gus mengekalkan perjalanan kisah cinta romantis antara pasangan protagonisnya. Untuk tujuan itu, ADH

menampilkan watak Ain Hawani yang baik yang dengan kebaikannya itu memungkinkan dirinya dianiaya oleh watak Dee yang jahat sehingga dia ditangkap khalwat dengan Adam Mukhriz. Begitu juga dengan strategi novel yang menampilkan watak Adam Mukhriz dengan perwatakannya yang kaki perempuan bagi mencetuskan konflik setelah dia dinikahkan (setelah ditangkap khalwat) dengan Ain Hawani yang baik. Adalah jelas daripada analisis bahawa cerita dalam ADH dipenuhi dengan konflik- konflik yang rata-rata berlegar sekitar perhubungan cinta antara Ain Hawani dengan Adam Mukhriz.

Justeru, dengan membina watak-watak terutamanya pasangan protagonisnya dengan perwatakan masing- masing yang berbeza serta saling bertentangan,

(11)

ADH berupaya mencetuskan konflik dan sekali gus mengekalkan perjalanan ceritanya.

Selain itu, analisis ini juga mendapati bahawa

ADH turut mengubah perwatakan watak-watak secara drastik sebagai strategi untuk mencetuskan konflik demi konflik bagi mengekalkan perjalanan ceritanya, selain menggembleng strategi yang sama bagi merungkaikan konflik dan sekali gus menamatkan ceritanya. Untuk tujuan itu, ADH mengubah secara drastik perwatakan-perwatakan watak pasangan protagonisnya. Dalam hal ini, watak Ain Hawani berubah secara drastik daripada baik kepada pembenci, manakala watak Adam Mukhriz pula berubah secara drastik daripada kaki perempuan kepada lelaki yang soleh. Analisis ini mendapati bahawa perubahan drastik perwatakan kedua- dua watak protagonis ini telah secara signifikan membolehkan novel untuk mengekalkan intensiti konflik yang sudah sedia tercetus, dan hal ini dengan sendirinya membolehkan cerita untuk berkembang.

Analisis juga mendapati bahawa strategi yang sama telah digembleng bagi membolehkan konflik- konflik dikendurkan intensitinya dan sekali gus membolehkan novel untuk menamatkan cerita.

Strategi ini jelas digunakan dengan mengubah secara drastik perwatakan Ain Hawani daripada pembenci kepada pemaaf, dan perwatakan Dee daripada pendendam kepada insaf atas segala kesalahannya. Analisis ini mendapati bahawa perubahan drastik perwatakan kedua-dua watak wanita itu diwajarkan atas sebab-sebab yang agak dangkal dan terlalu mudah (simplistic), namun dalam konteks pembikinan naratif, sebab-sebab itu dapat dianggap memadai bagi membolehkan novel untuk meleraikan konflik-konflik yang dicetuskannya dan sekali gus menamatkan cerita.

Lanjutan itu, kajian ini kemudiannya berhasil dalam merealisasikan objektif kedua kajian ini, iaitu merumuskan fungsi aspek watak dan perwatakan dalam pembikinan cerita ADH. Adalah jelas bahawa dalam konteks penggemblengan aspek watak dan perwatakan, ADH menggembleng tiga strategi penceritaan. Pertama, membina watak dengan perwatakan yang kondusif sebagai persediaan bagi mencetuskan konflik cerita. Kedua, strategi membina watak dengan perwatakan yang saling bertentangan bagi mencetuskan konflik dan mengekalkan cerita. Dan ketiga, mengubah perwatakan watak-watak secara drastik untuk mencetuskan konflik dan akhirnya merungkaikan konflik bagi menamatkan ceritanya. Dengan penemuan-penemuan di atas, kajian ini merumuskan

bahawa ketiga-tiga strategi penggemblengan aspek watak dan perwatakan yang dikenal pasti itu pada asasnya berfungsi bagi membangunkan sebuah kisah percintaan. Rumusan ini dengan sendirinya memperkukuhkan tanggapan umum yang rata-rata berpendapat bahawa penggemblengan aspek watak dan perwatakan merupakan antara resipi penting dalam menyajikan sebuah kisah cinta dalam sebuah novel popular, sebagaimana yang dibangkitkan pada awal perbincangan.

RUJUKAN

Aisya Sofea. 2013. Adam dan Hawa. Shah Alam: Grup Buku Karangkraf, Alaf 21 Sdn. Bhd.

Ali Ahmad. 1978. Asas Menganalisa Cereka. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Halimah Mohamed Ali. 2015. Searching New Paradigms of Malay Women: What We Can Learn From Literature?

http://malayliterature.dbp.my/wordpress/wp-content/

uploads/2015/05/5-New-paradigm.pdf [Diakses pada 26 Oktober 2016].

Ismail Ahmad. 1988. Memahami Novel dan Cerpen. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.

Kamariah Kamarudin. 2014. Novel Melayu dalam Pelbagai Perspektif. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Kamus Dewan Edisi Keempat. 2016. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Korrie Layun Rampan. 1995. Dasar-dasar Penulisan Cerita Pendek. Ende, Flores: Penerbit Nusa Indah.

McCracken, Scott. 1998. Pulp: Reading Popular Fiction. New York: Manchester University Press.

Palmer, Jerry. 1991. Potboilers: Methods, Concepts and Case Studies in Popular Fiction. London: Routledge.

Rout, Bibhu Datta. 2017. Five Popular Genres in Fiction. https://

yourstory.com/mystory/5031a01c53-five-popular-genres- in-fiction [Diakses pada 17 April 2018].

S. Othman Kelantan. 2004. Karya Picisan dan Karya Popular.

Dewan Sastera. Mac. 12-13.

Samsiah Mohd. Nor. 2012. Ekspresi Bahasa Wanita dalam Novel-novel Popular. Tesis Kedoktoran, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Shahnon Ahmad. 1979. Gubahan Novel. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pelajaran Malaysia.

Shikin Ali. 2013. Isteri Mithali: Satu Kajian Persepsi Isteri dalam Novel dan Masyarakat Melayu. Tesis Sarjana, National University of Singapore.

Syed Othman Kelantan. 1985. Tenik Mengkaji Novel (Dalaman dan Luaran). Kuala Lumpur: Karya Bestari Sdn. Bhd.

Talib Samat. 2013. Perbandingan Novel Popular dengan Novel Serius. Jurnal Antarabangsa Persuratan Melayu 1 (Januari): 214-228.

Zaidi Mohamad. 31 Oktober 2017. Nadiya dan Aaron Bakal Cetus Fenomena Lagi. https://www.bharian.com.my/

hiburan/selebriti/2017/10/344551/nadiya-aaron-bakal- cetus-fenomena-lagi [Diakses pada 16 Januari 2018].

(12)

Nurul Hilwany Che Shaffine

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia

E-mel: nurulhilwany90@gmail.com Mohd. Zariat Abdul Rani

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia

E-mel:zariat@upm.edu.my Norazlina Haji Mohd. Kiram

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia

E-mel: noraz@upm.edu.my Muhd. Zulkifli Ismail

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia

E-mel: zulismail@upm.edu.my Diserahkan: 18 Januari 2019 Diterima: 14 Mei 2019

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN

Data dikumpulkan pada pelajar prestasi belajar di kedua-dua pra- ujian dan pasca ujian untuk dua topik yang berbeza (Watak dan Nilai Moral) dalam cerita-cerita

Dalam konteks Wajah Seorang Wanita, dikesani watak Siti Musalmah digambarkan sebagai seorang wanita yang beriman dan memiliki satu pegangan akidah yang kuat.. Ia dikesani apabila

Sebagai seorang penulis wanita yang sealiran dengan Eileen Chang, kebanyakan watak utama dalam karya-karya Zaharah Nawawi adalah wanita.. Cinta dan wanita menjadi unsur inti dalam

Sementara ciri dalaman berikut bertindak sebagai pemangkin iaitu tema percintaan muda mudi, konflik perkahwinan dan kekeluargaan; watak fizikal yang menarik,

Oleh itu, kajian ini sedikit berlainan daripada kajian Bassnett kerana penilaian strategi tidak tertumpu kepada satu watak atau satu cerita tetapi pelbagai watak dan cerita dalam

Manakala analisis perbandingan elemen kecerdasan emosi watak-watak lelaki yang dilakukan berdasarkan Teori Kecerdasan Emosi Goleman membuktikan bahawa watak-watak lelaki Melayu

Dalam filem kepolisan, watak lelaki ditonjolkan sebagai bersifat maskulin dan tidak kurang juga watak wanita yang mana wanita bersifat mencabar stereotaip dan menunjukkan

Perbezaan nilai number atom kalium dan argon adalah satu, namun unsur-unsur ini ditempatkan pada hujung yang bertentangan dalam Jadual Berkala dan mempunyai ciri-ciri yang