• Tiada Hasil Ditemukan

View of Kaedah Dan Cabaran Pengajaran Terbeza Dalam Meningkatkan Penguasaan Membina Ayat Bahasa Melayu Murid Sekolah Rendah

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "View of Kaedah Dan Cabaran Pengajaran Terbeza Dalam Meningkatkan Penguasaan Membina Ayat Bahasa Melayu Murid Sekolah Rendah"

Copied!
11
0
0

Tekspenuh

(1)

Kaedah Dan Cabaran Pengajaran Terbeza Dalam Meningkatkan Penguasaan Membina Ayat Bahasa Melayu Murid Sekolah

Rendah

(Methods and Challengers of Differentiated Teaching in Improving The Mastery of Sentence Building in Malay Language among Primary

Schools’ Pupils)

Halida Jawan1*, Zamri Mahamod2

1 Sekolah Kebangsaan Nanga Sempili, D/A Pejabat Pendidikan Daerah, 96800, Kapit, Sarawak

2 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600, Bangi, Selangor

*Pengarang Koresponden: halidajawan85@gmail.com

Accepted: 15 February 2021 | Published: 1 March 2021

_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Kajian ini bertujuan untuk mengetahui kaedah dan cabaran pengajaran terbeza dalam meningkatkan penguasaan membina ayat bagi mata pelajaran bahasa Melayu murid di sekolah rendah. Kajian ini dijalankan menggunakan pendekatan kualitatif iaitu memilih persampelan bertujuan. Seramai empat orang guru yang mengajar bahasa Melayu tahap 2 di empat buah sekolah sebagai peserta kajian. Lokasi sekolah-sekolah yang dipilih untuk kajian ini adalah di kawasan pedalaman Kapit. Temu bual digunakan sebagai alat pengumpulan data kemudian dianalisis melalui transkripsi temu bual untuk mengenal pasti tema yang ada.

Dapatan menunjukkan bahawa guru-guru menerima serta menggunakan pelbagai kaedah pengajaran terbeza yang sesuai dengan murid dalam meningkatkan penguasaan membina ayat. Kreativiti guru melaksanakan pengajaran terbeza ini dapat merapatkan lagi jurang penguasaan membina ayat dalam kalangan murid pandai, sederhana dan lemah. Namun begitu, masih terdapat cabaran untuk guru-guru di sekolah pedalaman dalam melaksanakan pengajaran terbeza dengan jayanya. Kesimpulannya, kaedah pengajaran terbeza ini penting untuk meningkatkan penguasaan murid membina ayat terutamanya murid yang lemah dan juga kemudahan yang mencukupi agar semua guru dapat melaksanakan kaedah ini sebaiknya di dalam kelas.

Kata kunci: pengajaran terbeza, cabaran pengajaran terbeza, membina ayat, murid sekolah rendah

Abstract: The aim of this study is to find out the methods and challengers of the differentiated teaching in improving the mastery of the sentence building for Malay Language subject among the primary school pupils. This study were carried out using the qualitative method by using the purposed sample. There were four level 2 Malay Language subject teacher in four different were selected as research sample. All four schools were from rural areas in Kapit. The method for data collection that were used in this research was the analysis through the interview that have been conducted for the theme selection. The result shows that these teachers accepted and have been using variety of differentiated teaching method which are suitable for different pupils in improving the mastery of sentence building. The teacher’s creativity in implementing this differentiated teaching method is crucial part in closing the gap of sentence building mastery among the good and weaker pupils. However, there are a lots more challengers for the teahers in the rural area to succesfully implement the differentiated teaching. In conclusion,

(2)

differentiated teaching is a crucial part to improve the pupil’s mastery in sentence building especially the weaker pupils and as well as enough facilities for the teachers to implement this method successfully in their classroom.

Keywords: differentiated teaching, different teaching challengers, sentence building, primary school pupils

_________________________________________________________________________

1. Pengenalan

Pendidikan yang adil dan saksama harus diberikan tanpa melihat jurang perbezaan keperluan, kognitif dan latar belakang semua murid. Pendidik memainkan peranan yang sangat penting dan sedar keperluan setiap murid di dalam kelas. Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2010) (KPM) semua guru perlu merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti tinggi serta bersungguh-sungguh untuk mengembangkan potensi serta pencapaian murid pada tahap yang maksimum. Justeru, pendidik harus peka dengan murid yang diajar di sekolah rendah dalam pengajaran bahasa Melayu agar dapat meningkatkan penguasaan terutamanya dalam aspek mendengar dan bertutur, membaca serta menulis.

Rentetan daripada itu, pemilihan kaedah pengajaran terbeza merupakan salah satu cara terbaik untuk memudahkan proses mengajar murid membina ayat dengan betul. Hal ini kerana dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) salah satu kurikulum penting dalam pembelajaran murid adalah kurikulum menulis yang melibatkan mata pelajaran wajib iaitu bahasa Melayu. Melalui PPPM ini kesamarataan dan kualiti pendidikan untuk setiap murid di Malaysia adalah untuk mentransformasi Pendidikan ke arah Abad ke-21(PAK21).

Oleh itu, masalah penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid di sekolah rendah harus diatasi melalui pengajaran terbeza. Menurut Mazura dan Wak (2018) pengajaran terbeza perlu menjadi keperluan asas kepada guru untuk melihat kemenjadian murid menguasai pelbagai kemahiran dalam pembelajaran. Jadi, pengajaran terbeza ini boleh dijadikan sebagai salah satu kaedah pembelajaran untuk meningkatkan penguasaan membina ayat dalam kalangan murid di sekolah rendah.

Menurut Abd. Khahar et al. (2018) pengajaran terbeza merupakan satu cara atau metodologi pengajaran berdasarkan keperluan murid. Cara pengajaran ini memudahkan lagi pengajaran bahasa Melayu untuk memberikan pembelajaran yang lebih bermakna kepada murid di sekolah rendah serta mempunyai sifat keterbezaan. Dalam aspek pengajaran ini, konsep keadilan kepada semua murid menjadi perkara utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di dalam kelas. Maka pengajaran terbeza ini sangat penting untuk meningkatkan penguasaan murid dalam membina ayat bahasa Melayu terutama dalam kalangan murid sekolah rendah. Kemahiran menulis merupakan antara salah satu kemahiran berbahasa yang teras kepada Standard Kurikulum Bahasa Melayu selain daripada kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca, aspek seni bahasa dan asek tatabahasa. Dalam Standard Kandungan Pendidikan bahasa Melayu (Tahap 1), kemahiran menulis yang dipelajari ialah asas menulis, menulis perkataan, frasa dan ayat yang bermakna serta menghasilkan penulisan. Oleh sebab itu, murid-murid di sekolah rendah hendaklah menguasai kemahiran menulis terutamanya menulis ayat dengan betul melalui bimbingan daripada guru dari semasa ke semasa. Keterbezaan murid menuntut semua guru menggunakan pelbagai kaedah untuk mengajar kemahiran menulis dalam kalangan murid di sekolah rendah.

(3)

2. Ulasan Kajian Lepas

Pengajaran terbeza ini merupakan salah satu kaedah guru untuk memaksimumkan kemampuan murid terutama dalam kalangan murid yang pandai. Malah dapat merapatkan jurang kognitif bagi murid yang sederhana dan lemah. Hal ini kerana fokus guru yang mengajar adalah berdasarkan keperluan murid dalam kelas. Menurut Fairuz et al. (2017) amalan pengajaran berbeza merupakan kaedah pendekatan pengajaran yang dilihat memenuhi keperluan pembelajaran murid yang berbakat kerana ia memperuntukan peluang pembelajaran yang sama kepada semua murid.

Menurut Zamri et al. (2018) pengajaran berbeza (differentiated instruction) atau pengajaran terbeza merupakan kaedah pendekatan pengajaran yang memenuhi keperluan pembelajaran dan memberi peluang pembelajaran yang sama kepada setiap murid agar mereka mampu belajar secara optimum mengikut aras kognitif dan situasi pembelajaran mereka. Jadi, jelaslah bahawa semua murid di Malaysia mendapat kesamarataan ilmu dan belajar mengikut kepada kesesuaian murid tersebut termasuklah penguasaan membina ayat bagi mata pelajaran bahasa Melayu.

Dalam Kandungan Bahasa Melayu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Semakan 2017) digubal untuk membolehkan murid berketerampilan berbahasa dan boleh berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu pengetahuan, kemahiran maklumat, nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian. Maknanya, murid-murid yang belajar bahasa haruslah sentiasa dapat menggunakan bahasa tersebut dengan sebaiknya serta dapat menggunakannya dalam kehidupan seharian dan bukan seperti kurikulum sebelum ini yang menginginkan semua murid lulus dalam peperiksaan sahaja. Oleh itu, semakan semula dalam kurikulum Bahasa Melayu sangat penting untuk menyediakan murid-murid ke arah proses pembelajaran yang menyeluruh termasuk penguasaan membina ayat bahasa Melayu dengan betul.

3. Masalah Kajian

Terdapat pelbagai masalah yang menimbulkan kelemahan murid dalam menguasai bahasa Melayu dengan baik. Faktor guru menjadi salah satu daripada penyumbang kepada kelamahan murid dalam penguasaan kemahiran seperti komunikasi, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah Carlgren (2013). Jelaslah bahawa guru memainkan peranan yang sangat penting terhadap penerimaan ilmu dalam kalangan murid-murid. Guru bukan sahaja bijak menguasai pedagogi dalam proses pengajaran dan pembelajaran malah harus sentiasa peka dengan perkembangan dan penerimaan ilmu setiap murid di dalam kelas. Hujah ini disokong oleh Noraini (2015) yang turut mengatakan bahawa kefahaman guru terhadap sesuatu konsep sangat penting untuk memberikan gambaran yang jelas terhadap tindakan, keputusan dan amalan di dalam bilik darjah. Maknanya, perkembangan setiap murid dan suasana bilik darjah sangat bergantung dengan kreativiti seorang guru dalam menentukan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Malah masalah pengajaran terbeza ini kurang difahami oleh guru-guru yang mengajar bahasa Melayu. Menurut Danial Arif (2020) guru Bahasa Melayu yang mengajar di sekolah pedalaman kategori 3 kurang pengetahuan pendekatan pengajaran terbeza oleh itu, pihak KPM perlu memberi pendedahan meluas melalui kursus, bengkel dan sebagainya supaya pengetahuan pedagogi pengajaran terbeza dapat dikuasai oleh guru bahasa Melayu dan mengaplikasinya dalam pengajaran mereka di dalam bilik darjah. Hal ini bertepatan dengan kajian yang dijalankan di sekolah rendah di pedalaman Kapit yang turut mengalami masalah dalam

(4)

menyebar luas bahan pengajaran terbeza daripada KPM untuk panduan semua guru. Maka dengan itu, guru-guru bahasa Melayu harus didedahkan dengan pengetahuan pengajaran terbeza yang lebih luas serta mudah diakses agar dapat mengatasi masalah pembelajaran membina ayat dalam kalangan murid-murid di sekolah rendah.

Mengikut Zaliza Mohamad Nasir (2017) kekurangan pengetahuan dan kekeliruan murid dalam penggunaan sistem bahasa menyebabkan murid lemah dalam penulisan. Di samping itu, murid tidak dapat menulis ayat mengikut struktur yang betul. Masalah menguasai kemahiran membina ayat juga disebabkan oleh murid yang masih lemah untuk menguasai kemahiran membina ayat. Oleh itu, penggunaan kaedah pengajaran terbeza penting untuk mengenal pasti murid yang masih lemah dalam kemahiran membina ayat. Masalah penguasaan murid dalam membina ayat juga disokong oleh He (2016) mendapati bahawa murid bermasalah dalam mengorganisasi kandungan penulisan dengan baik dan penulisan mereka terpengaruh dengan bahasa ibunda. Menurut Loh Pei Wen dan Zanaton (2019) Pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis merupakan satu cabaran kepada guru dan murid.

Masalah pelaksanaan pengajaran terbeza ini juga disebabkan kurangnya kemudahan di sekolah terutamanya seperti sekolah rendah di kawasan kajian iaitu di pedalaman Kapit. Menurut Suraidah Roslan (2019) guru-guru di kawasan pedalaman Sabah mengalami kesukaran untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah kerana alat bantu mengajar yang terhad. Perkara ini terjadi juga di kawasan pedalaman Sarawak iaitu terhadnya kemudahan untuk kelangsungan proses pengajaran guru di dalam kelas.

Tujuan Kajian

Kajian ini dijalankan bertujuan untuk sebagai panduan guru menggunakan kaedah pengajaran terbeza dalam meningkatkan penguasaan menulis ayat murid di sekolah rendah. Kajian ini juga diharapkan dapat menjadi panduan kepada semua guru untuk mengendalikan pengajaran terbeza dalam kelas untuk menghadapi keperluan penerimaan yang berbeza dalam kalangan murid-murid. Kajian ini juga boleh digunakan untuk melihat pelbagai cabaran pengajaran terbeza yang dilaksanakan untuk diatasi dengan sebaiknya oleh pelbagai pihak.

Objektif Kajian

1) Meneroka kaedah pengajaran terbeza yang digunakan oleh guru untuk meningkatkan penguasaan membina ayat dalam kalangan murid sekolah rendah.

2) Mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh guru bahasa Melayu dalam menjalankan pengajaran terbeza di sekolah rendah.

4. Metodologi Kajian

Menurut Tomlinson (1999) pengajaran terbeza membawa makna sebagai pendekatan pengajaran di mana guru-guru secara proaktif mengubah suai kurikulum, kaedah pengajaran, sumber-sumber, aktiviti, pembelajaran dan hasil pelajar untuk memenuhi pelbagai keperluan setiap pelajar dan kumpulan kecil pelajar bagi memaksimumkan peluang pembelajaran untuk setiap pelajar di dalam kelas. Menurut Tomlinson (2001) pengajaran terbeza sebagai falsafah pengajaran yang menyediakan pelbagai cara dalam menyampaikan kandungan, memahami idea dan menilai hasil pembelajaran. Jadi, jelaslah bahawa pembelajaran terbeza ini penting untuk memberikan ilmu yang sama untuk setiap keperluan murid-murid. Oleh itu, Model Tomlinson dijadikan sebagai panduan dalam kajian ini untuk merapatkan keterbezaan pengetahuan murid-murid di dalam kelas.

(5)

Reka bentuk kajian ini menggunakan kaedah kajian kualitatif. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif kerana pengkaji berada berhampiran dengan data yang diperolehi. Menurut Kamarul (2012) pengkaji kualitatif berada dekat dengan kajian yang dikaji sehingga boleh menyelami semua situasi dapat dihuraikan dengan mudah tanpa keraguan kerana berada di situasi yang sebenarnya. Kajian ini dijalankan di sekolah-sekolah di Zon Balleh Kapit yang bertepatan dengan kawasan kajian iaitu sekolah rendah. Pemilihan sampel adalah dalam kalangan empat orang guru bahasa Melayu di zon tersebut yang agak berpengalaman dalam menjalankan kaedah pengajaran terbeza kesan daripada kekurangan murid dalam kelas dan kepelbagaian tahap kognitif murid. Instrumen kajian meliputi soalan temu bual yang separa berstruktur dan dianalisis melalui transkripsi temu bual untuk mengenal pasti tema yang ada hasil daripada temu bual tersebut. Analisis data temu bual dalam kajian ini secara deskriptif iaitu hasil perbualan dinilai dari aspek kehendak objektif kajian yang dilaksanakan. Dapatan temu bual yang dicatat untuk mendapatkan data dan tema. Seterusnya, data juga diperolehi melalui analisis dokumen yang melibatkan hasil penulisan ayat dalam kalangan murid sebelum dan selepas pelaksanaan pengajaran terbeza oleh guru di dalam kelas untuk meningkatkan kemahiran menulis ayat dengan betul.

5. Dapatan Kajian

Pembelajaran bahasa Melayu mempunyai beberapa kemahiran penting yang harus dikuasai oleh semua murid. Antaranya kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis. Jadi, semua murid harus menguasai kemahiran - kemahiran tesebut. Oleh itu, pengajaran terbeza ini penting untuk meningkatkan penguasaan murid-murid dalam menguasai mata pelajaran bahasa Melayu kerana pengkaji mendapati kebanyakan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman Kapit mempunyai murid-murid yang berbeza tahap penguasaan. Maka dengan itu, pengajaran terbeza ini dilihat sebagai salah satu kaedah guru bahasa Melayu meningkatkan penguasaan semua murid. Dalam kajian hasil dapatan yang diperolehi daripada empat peserta kajian yang terdiri daripada guru bahasa Melayu sekolah rendah di kawasan pedalaman Kapit.

Kaedah Pelaksanaan Pengajaran Terbeza

Kaedah temu bual dijalankan terhadap peserta kajian yang merupakan guru Bahasa Melayu di sekolah rendah terhadap kaedah pengajaran terbeza yang sering digunakan untuk merapatkan jurang tahap penguasaan murid-murid sama ada pada tahap cemerlang, sederhana ataupun lemah untuk menguasai kemahiran menulis ayat dengan betul. Jadi, dapatan ini berdasarkan cara yang digunakan oleh peserta kajian dalam kaedah pengajaran terbeza untuk meningkatkan penguasaan menulis ayat murid-murid.

Jadual 1: Kaedah Pelaksanaan Pengajaran Terbeza

Kaedah GBM1 GBM2 GBM3 GBM4 Jumlah

Gandingkan murid lemah dan pandai / / x x 2

Bina ayat mudah ke ayat sukar / / / / 4

Latih tubi / x / x 2

Salin semula contoh ayat x / x / 2

(6)

Hasil dapatan temu bual daripada peserta kajian menunjukkan terdapat beberapa kaedah pengajaran terbeza yang telah digunakan oleh peserta kajian di sekolah untuk meningkatkan penguasaan membina ayat. Antaranya adalah gandingkan murid lemah dan murid pandai, bina ayat mudah ke ayat sukar, latih tubi dan salin semula contoh ayat.

Pelajar yang cemerlang dan sederhana saya menggalakkan mereka membina ayat menggunakan formula SALAK (dan murid lemah pula saya tekankan membina ayat menggunakan formula SAK iaitu sekurang-kurangnya mereka dapat membina ayat tunggal….SALAK (Siapa, Apa dilakukan, Lokasi, Alatan, Keterangan) manakala SAK (Siapa, Apa dilakukan, Keterangan)…saya juga sering memberikan latihan supaya mereka lebih ingat cara membina ayat yang betul…(GBM1)

Berdasarkan dapatan daripada soalan temu bual, menunjukkan peserta kajian mementingkan tahap murid-murid semasa melaksanakan pengajaran terbeza. Bagi GBM1, pelaksanaan pengajaran terbeza yang dijalankan menggunakan teknik mudah ke senang iaitu murid yang masih lemah menulis ayat dengan betul akan diberikan panduan menulis ayat menggunakan SAK iaitu menulis ayat yang agak mudah berbanding murid yang cemerlang dan sederhana akan diwajibkan menulis ayat yang lengkap menggunakan format SALAK. Jadi, pengajaran terbeza berlaku mengikut tahap murid tetapi masih menggunakan unit dan tema yang sama semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Jadi, tidak berlaku perbezaan penerimaan ilmu dalam kalangan murid kerana tema dan unit yang sama tetap digunakan hanya cara menulis ayat sahaja yang berbeza mengikut tahap penguasaan murid.

Saya selalu gandingkan murid lemah dengan murid cemerlang agar mereka dapat membimbing murid yang lemah…iaitu memberikan tunjuk ajar membina ayat mudah di samping dibimbing oleh guru…murid juga akan salin semula ayat yang dibetulkan…(GBM2)

Menurut GBM2 pula, pengajaran terbeza pula dilaksanakan melalui bimbingan rakan sebaya dan juga guru. Murid yang lemah dalam penguasaan menulis ayat dibimbing oleh rakan yang cemerlang dan sederhana. Cara ini penting untuk murid-murid membina keyakinan diri membimbing rakan-rakan terutamanya untuk menerangkan kepada rakan-rakan yang lemah sekaligus memotivasikan murid lemah agar dapat menguasai kemahiran menulis ayat dengan baik.

Latih tubi penting semasa proses memberikan pengajaran kepada murid yang lemah agar tindakan berulang dapat membantu mereka mengingati cara menulis ayat dengan betul…latih tubi berlaku juga di luar waktu mengajar agar mereka terus dapat dipantau dari semasa ke semasa semasa menulis ayat namun ikut kepada tahap murid tersebut…(GBM3)

Hasil temu bual daripada GBM3, peserta kajian menggunakan kaedah latih tubi untuk meningkatkan penguasaan menulis ayat terutamanya dalam kalangan murid yang lemah dan sederhana. Kaedah kerap menulis dan latih tubi dilihat dapat meningkatkan penguasaan murid- murid menulis ayat termasuk juga di luar waktu sekolah. Maknanya, berlaku kelas tambahan untuk murid-murid yang lemah agar tidak ketinggalan dalam menguasai kemahiran menulis ayat dengan betul.

Pada peringkat awal, saya galakkan murid lemah menulis ayat menyalin semula contoh ayat mudah sebanyak mungkin dalam buku latihan sebelum mereka diajar menulis ayat yang lebih sukar…ia penting untuk menambah kosa kata dan mengingkatkan mereka cara menulis ayat dengan betul…dan jika masih lemah, murid tersebut saya utamakan

(7)

untuk membina ayat mudah sahaja…bahan murid lemah akan berbeza dengan murid sederhana dan cemerlang tetapi masih berfokus pada tema yang sama agar jurang ilmu dapat dielakkan dalam kalangan mereka. (GBM4)

GBM4, menyatakan bahawa salah satu kaedah pengajaran terbeza yang digunakan ialah dari mudah ke sukar. Misalnya, murid lemah disuruh menyalin ayat daripada bahan rujukan sebelum menulis ayat sendiri berdasarkan perkataan yang diberikan oleh guru. Proses menyalin semula ayat daripada bahan rujukan untuk menambahkan kosa kata murid-murid yang lemah agar dapat digunakan untuk menulis ayat yang lebih sukar kelak. Kemudian murid lemah tadi diajar membina ayat mudah tetapi masih mengikut tema yang sama agar jurang ilmu dan pengetahuan dapat dikurangkan dalam kalangan murid-murid yang berbeza tahap pengetahuan dalam satu kelas yang sama. Pelbagai kaedah boleh dilaksanakan dalam pengajaran terbeza ini yang bertujuan untuk memberikan keadilan ilmu untuk semua murid.

Cabaran Pelaksanaan Pengajaran Terbeza

Dapatan seterusnya berkaitan dengan cabaran-cabaran yang terpaksa dilalui oleh guru dalam pelaksanaan pengajaran terbeza di dalam kelas. Meskipun kaedah ini dilihat berkesan namun masih terdapat cabaran yang harus dihadapi oleh guru untuk melaksanakannya.

Jadual 2 : Cabaran Pelaksanaan Pengajaran Terbeza

Kaedah GBM1 GBM2 GBM3 GBM4 Jumlah Penyediaan bahan mengikut tahap kognitif

murid / x / x 2

Murid sentiasa melakukan kesalahan yang sama / / x / 3

Murid kurang berminat membina ayat dengan betul

x / x / 2

Pengaruh bahasa ibunda x x x / 1

Bagi hasil dapatan untuk cabaran pengajaran terbeza terdapat empat cabaran yang dikenal pasri daripada perbualan antaranya adalah cabaran semasa dalam penyediaan bahan untuk pengajaran terbeza mengikut tahap kognitif murid, murid sentiasa melakukan kesalahan yang sama, murid kurang berminat untuk membina ayat dengan betul dan juga pengaruh bahasa ibunda.

Murid selalu melakukan kesalahan yang sama berulang kali meskipun menulis ayat mudah dan mendapat bimbingan daripada guru.(GBM1)

Terdapat beberapa cabaran yang masih menjadi kekangan untuk menggunakan kaedah pengajaran terbeza di sekolah-sekolah kawasan pedalaman antaranya, GBM1 menyatakan bahawa murid masih juga melakukan kesalahan yang sama meskipun menulis ayat yang mudah meskipun mendapat bimbingan daripada guru.

Murid-murid masih agak kurang kesedaran terhadap kepentingan aspek menulis ayat…bagi mereka…dah boleh baca…dah pada tahap yang sangat baik bagi mereka. (GBM2)

GBM2 pula menyatakan tahap kesedaran murid-murid di pedalaman masih kurang akan kepentingan kemahiran menulis ayat dengan baik.

(8)

Penyediaan bahan yang berbeza setiap hari merupakan kekangan di sekolah terutamanya jika berlaku ketiadaan elektrik untuk menyediakannya. (GBM3) GBM3 menyatakan berlaku cabaran ketika penyediaan bahan yang berbeza mengikut tahap murid terutamanya gangguan pada prasarana sekolah terutamanya bekalan elektrik.

Murid-murid yang lemah menganggap aktiviti hanya untuk keseronokan dan kurang berminat untuk menulis ayat. Mereka juga sering melakukan kesalahan yang sama terutamanya kesalahan menggunakan mengeja perkataan dalam bahasa ibunda. (GBM4)

GBM4 pula menyatakan masih ada murid lemah yang menganggap setiap aktiviti semasa pengajaran terbeza ini hanya untuk keseronokan dan masih kurang berminat untuk menulis ayat dengan baik.

6. Perbincangan

Kaedah Pengajaran Terbeza

Hasil dapatan menunjukkan bahawa guru-guru bahasa Melayu telah menggunakan kaedah pengajaran terbeza ini agar dapat merapatkan jurang ilmu dalam kalangan murid. Hasil dapatan menunjukkan guru-guru harus peka dengan latar belakang yang mempengaruhi tahap pembelajaran meraka di dalam kelas. Menurut Mohamad Johdi (2009) faktor keterbezaan yang mempengaruhi pembelajaran turut mempengaruhi pencapaian murid. Oleh itu, hasil dapatan menunjukkan kesemua peserta kajian bersetuju untuk mengenali dahulu tahap murid-murid dalam kelas sebelum memulakan pengajaran kerana terdapat murid yang mempunyai tahap cemerlang, sederhana dan lemah yang pastinya menuntut guru menggunakan kaedah terbeza agar ilmu dan tahap penguasaan murid terutamanya dalam menulis ayat dapat disamakan dari semasa ke semasa. Kaedah yang pelbagai dalam hasil dapatan menunjukkan peserta kajian sedar kepentingan pengajaran terbeza untuk murid. Kepelbagaian murid di dalam kelas menyebabkan guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran mereka (Zamri et al. 2015). Oleh itu, guru mesti peka dengan kepelbagaian tahap kognitif murid terutama dalam kemahiran membina ayat. Keperluan pelbagai murid di dalam kelas hendaklah sentiasa dipenuhi untuk kemenjadian murid pada masa akan datang. Hujah ini disokong oleh Mustaqim (2001), guru- guru seharusnya menguasai kemahiran pengajaran terbeza secara konsisten kerana kemahiran mengajar merupakan perkara penting dalam kompenen keperluan guru.

Menurut Kamarul Azmi dan Ab. Halim (2007) menegaskan antara sifat-sifat guru yang berkesan ialah mempunyai kemahiran mengajar, termasuk menghubungkan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam pengajarannya. Guru yang prihatin dengan murid sentiasa mempertimbangkan pelbagai aspek di dalam kelas semsa mengajar. Tugas guru bukan sahaja untuk meyampaikan ilmu malah turut menerapkan nilai sejagat agar murid-murid sentiasa dihargai serta mendapat pendidikan yang sama meskipun terpaksa diajar dengan kaedah yang berbeza. Jadi, pelaksanaan pengajaran terbeza menuntut guru yang sentiasa peka dengan tahap kebolehan murid-murid di dalam kelas.

Cabaran Pelaksanaan Pengajaran Terbeza

Kajian ini juga melihat beberapa cabaran guru untuk melaksanakan pengajaran terbeza terutamanya di sekolah-sekolah kawasan pedalaman. Masih terdapat murid-murid yang kurang berminat terhadap kemahiran menulis. Menurut Roasharimah (2017) penguasaan bahasa kedua terus terhalang jika setiap gangguan tidak diatasi dengan baik. Setiap masalah pembelajaran murid Iban untuk mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua harus dipandang serius terutama dari aspek penulisan. Ini terbukti daripada hasil dapatan mendapati masih ada murid

(9)

yang kurang berminat untuk membina ayat yang betul. Namun guru hendaklah sentiasa konsisten dan fokus untuk melaksanakan pengajaran terbeza kerana terdapat hasil murid yang amat baik dalam menulis ayat selepas mendapat pengajaran terbeza daripada guru.

Terdapat juga cabaran daripada aspek prasarana sekolah pedalaman yang mengekang guru menyediakan bahan-bahan mengikut tahap murid-murid di dalam kelas. Namun peserta kajian menyarankan guru hendaklah sentiasa kreatif untuk menghadapi kepelbagaian murid di dalam kelas. Hasil dapatan menunjukkan terdapat cabaran dari aspek kemudahan apabila guru ingin membuat persediaan untuk mengajar terutamanya apabila bahan yang disediakan tidak sama kerana terdapat kepelbagaian tahap kognitif murid. Hujah ini bertepatan dengan kajian Suraidah Roslan (2019) guru-guru di kawasan pedalaman Sabah mengalami kesukaran untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah kerana alat bantu mengajar yang terhad. Jadi, cabaran ini harus dipandang serius oleh semua pihak termasuk juga prasarana di sekolah rendah negeri Sarawak terutamanya di sekolah luar bandar dan pedalaman agar proses pengajaran terbeza dapat dilaksanakan sebaiknya di sekolah.

7. Implikasi Kajian

Hasil daripada kajian ini seharusnya dapat memberikan manfaat serta panduan yang baik dalam dunia pendidikan terutamanya untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Justeru, kajian ini memberi kesan kepada dua pihak berikut :

1) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak

Kajian ini boleh memberikan manfaat khususnya JPN Sarawak kerana boleh memperolehi panduan yang berguna dalam membina modul yang di sarankan oleh KPM dalam pelaksanaan pengajaran terbeza untuk disebar luas kepada semua jabatan pendidikan di seluruh Sarawak.

Kajian ini dapat memberikan idea kepada JPN Sarawak untuk memberikan modul kepada para guru agar jurang keterbezaan mendapat ilmu harus dikurangkan dengan pelbagai kaedah pembelajaran yang bersesuaian dengan kawasan dan latar belakang murid. Hal ini kerana setiap kawasan pengetahuan dan pengalaman murid adalah berbeza misalnya kawasan bandar dan luar bandar cara modul yang disarankan akan berbeza namun masih memberikan ilmu yang sama sesuai dengan keupayaan murid tersebut.

2) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kapit

Kajian ini perlu dilihat PPD Kapit sebagai satu panduan bahawa terdapat guru yang ingin dan telah melaksanakan pengajaran terbeza di sekolah. Namun setiap cabaran terutamanya dari aspek bahan serta kemudahan harus diatasi agar pengajaran terbeza ini dapat dilaksanakan dengan baik. Selain itu, PPD Kapit harus merangka bengkel untuk pendedahan kepada semua guru di daerah ini untuk meningkatkan penguasaan murid terutamanya untuk sekolah yang kurang murid di kawasan pedalaman.

3) Guru Bahasa Melayu

Kajian ini boleh dijadikan panduan oleh guru bahasa Melayu terutamanya dalam kalangan guru-guru di kawasan pedalaman agar jurang penguasaan membina dalam kalangan murid dapat dirapatkan. Maka guru bahasa Melayu boleh menjadikan hasil dapatan dan masalah dalam kajian ini sebagai kajian tindakan sendiri di sekolah untuk mengatasi masalah membina ayat dalam kalangan murid.

(10)

8. Kesimpulan

Kesimpulannya, menunjukkan terdapat hasil yang positif dalam penghasilan pelbagai kaedah pengajaran terbeza yang dilaksanakan oleh guru di dalam kelas. Kaedah ini boleh dilaksanakan dengan pelbagai aktiviti yang bersesuaian dengan tahap penguasaan murid-murid. Perkara yang sangat penting sebelum memulakan pengajaran, guru-guru disarankan untuk mengenali murid-murid terlebih dahulu dari pelbagai aspek misalnya latar belakang murid-murid yang mempengaruhi tahap penguasaan murid-murid tersebut. Kemudian semai keyakinan serta minat untuk menguasai kemahiran menulis ayat dengan baik misalnya, melalui bimbingan rakan sekelas serta bimbingan guru dari tahap mudah ke sukar. Cabaran memang wujud namun guru-guru harus kreatif menanganinya agar tahap penguasaan menulis ayat dengan baik dapat dikuasai oleh semua murid tanpa meninggalkan muird-murid yang agak lemah dan sederhana.

Oleh hal demikian pengajaran terbeza sesuai dilaksanakan di sekolah rendah untuk meningkatkan penguasaan menulis ayat dalam kalangan murid-murid. Kepelbagaian tahap pembelajaran murid-murid harus menjadi salah satu perkara utama yang hendaklah diberikan perhatian oleh semua guru agar kesaramataan menerima ilmu berlaku kepada semua murid.

Ketidakadilan penerimaan ilmu tidak seharusnya berlaku dalam kalangan murid-murid kerana terdapat pelbagai kaedah terutamnya dalam PAK21 untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Salah satu kaedah yang sesuai iaitu pengajaran terbeza dalam kalangan murid-murid di sekolah rendah. Ia bertujuan memenuhi kepelbagaian yang sedia ada dalam kalangan murid-murid agar ilmu menulis ayat dapat diterima oleh semua murid dan bukan sekadar untuk penyediaan untuk ujian semata-mata malah untuk kegunaan pada masa akan datang supaya dapat menulis ayat menggunakan Bahasa Melayu dengan baik sebagai satu Bahasa Kebangsaan.

Rujukan

Abdul Rahim Abu & Mohd Sharifudin Yusop. 2014. Sikap kanak-kanak Orang Asli di bandar raya Kuala Lumpur terhadap penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 4 (2) Nov.: 57-66.

Ainun Rahman Iberahim, Zamri Mahamod & Wan Muna Ruzana Wan Mohamad. 2017.

Pembelajaran Abad Ke-21 dan Pengaruhnya Terhadap Sikap, Motivasi dan Pencapaian Bahasa Melayu Pelajar Sekolah Menengah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 2: 77-88.

Danial Arif. (2020). Pelaksanaan Pendekatan Pengajaran Terbeza dalam Kalangan Guru Bahasa Melayu yang Mengajar di Sekolah Rendah Pedalaman Kategori 3.Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu ISSN: 2180-4842. Vol. 10, Bil. 2 (Nov. 2020): 29-42.

Fairuz Adlidna Badrul Hissam, Mohd Hasrul Kamarulzaman, Nurul Suzaina Joli & Noriah Mohd Ishak. (2017). Impak pengajaran terbeza ke atas motivasi pelajar pintar dan berbakat di dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Biologi. E-Prosiding of the Global Summit on Education. Bangi: Penerbitan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hj Amir bin Juhari dan Hjh Noor Zila binti Md. Yusuf. Pengaruh Persekitaran Linguistik dalam Pembelajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua.

Hjh Noor Zila binti Md. Yusuf, Hj Amir bin Juhari. 2014. Pengaruh Persekitaran Linguistik Dalam Pembelajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua. Available from:

Ilangko Subramaniam, Noorulafiza Abdul Muthalib. 2013. Penggunaan Bahasa Ibunda dalam Pengajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid Peribumi di Sekolah Pedalaman Sarawak. Available from:

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2006. Pelan induk pembangunan pendidikan 2006-2010.

(11)

Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2013. Pelan pembangunan pendidikan Malaysia 2013- 2025. Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Kementerian Pelajaran Malaysia, KPM. (2016). EPU: Rancangan Malaysia Kesebelas. Kertas Strategi 10: Mentransformasi Sistem Pendidikan. Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Terbitan Mac 2016. ISBN976-967-420-093-0.

Mazura Sulaiman & Wak Chu Wok. 2018. Tinjauan tentang Pengetahuan dan Penerimaan terhadap Pengajaran Terbeza dalam Kalangan Siswa Pendidik Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan. IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.

R. Arbaa, H. Jamil & M. Z. Ahmad 2017. Model bersepadu penerapan kemahiran abad ke-21 dalam pengajaran dan pembelajaran. Jurnal Pendidikan Malaysia 42(1)(2017): 1-11.

Tomlinson, C.A (1999). The differentiated classroom: Responding to the needs of all learners.

Alexandria, VA: Association for Supervision and Curriculum Development.

Zaliza Mohamad Nasir & Zaitul Azma Zainon Hamzah, 2014. Sikap dan Motivasi Pelajar Terhadap Pembelajaran Bahasa Melayu. Pcocedio Social And Behavioral Sciences, 134(2014): 408- 415

Zamri Mahamod, Kamiliah Ayu Ab. Ghani & Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad. 2016.

Penggunaan strategi pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan murid Cina berdasarkan sikap dan kemahiran bahasa. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 6 (1): 38- 51.

Zamri Mahamod & Noriah Hj. Mohd Ishak. 2004. Analisis Cohen Kappa Dalam Penyelidikan Bahasa: Satu Pengalaman.

Zamri Mahamod, Ruslin Amir & Mohamed Amin Embi. (2015). Kepelbagaian Pelajar dan Perbezaan Pembelajaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN

Kaedah ini bersesuaian dengan tujuan kajian dijalankan, iaitu untuk mengetahui tahap motivasi belajar dan keterlibatan murid-murid tingkatan dua yang rendah pencapaian dalam

Ini bertepatan dengan kajian ini, iaitu untuk mengenal pasti masalah kemahiran membaca dan menulis mata pelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah rendah di

Menurut kajian Tay Meng Huat (2003) tentang sikap dan masalah guru dalam pengajaran Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan, mendapati masalah utama

Dapatan kajian menunjukkan murid-murid Iban sekolah rendah mempunyai sikap yang positif dan motivasi yang tinggi ketika mempelajari Bahasa Melayu sebagai bahasa

Kajian ini bertujuan untuk meneroka penguasaan murid dalam mata pelajaran bahasa Melayu Penulisan serta kekangan yang dihadapi oleh semasa pengajaran dan pembelajaran

Populasi sasaran dalam kajian ini ialah populasi murid tahun enam di sebuah sekolah rendah luar bandar di daerah kecil Debak, Sarawak yang gagal menguasai kemahiran menulis

Kajian ini bertujuan untuk meneliti teknik dan strategi pengajaran kemahiran menulis dalam bahasa Inggeris oleh guru-guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah

Kajian ini dapat mendalami faktor atau punca yang mempengaruhi pencapaian akademik murid India di sekolah menengah rendah. Hasil kajian ini akan dijadikan panduan untuk