• Tiada Hasil Ditemukan

Amalan pentaksiran alternatif dalam program Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "Amalan pentaksiran alternatif dalam program Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19"

Copied!
12
0
0

Tekspenuh

(1)

Amalan Pentaksiran Alternatif dalam Program Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam mendepani Cabaran Pandemik COVID -19

Exploration of Alternative Assessment Practices in Islamic Studies at Universiti Kebangsaan Malaysia in facing COVID-19 Pandemic

HaziyaH Hussin najaH nadiaH amran nur FarHana abdul raHman

‘adawiyaH ismail zamzuri zakaria

ABSTRAK

Krisis Pandemik COVID-19 menyebabkan perubahan mendadak dan menjadi cabaran baharu terhadap amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di institusi pendidikan tinggi, termasuklah bidang Pengajian Islam. PdP dalam Pengajian Islam lebih sinonim dengan amalan PdP secara bersemuka meskipun Pendidikan 4.0 menekankan kaedah penyampaian yang transformatif dan pengaplikasian pentaksiran alternatif. Keupayaan bidang Pengajian Islam mengadaptasi ciri-ciri ini khususnya pentaksiran alternatif dianggap terhad dan kurang diyakini kerana umumnya masih ramai pensyarah yang selesa melaksanakan penilaian sumatif atau peperiksaan akhir. Artikel ini bertujuan menganalisis amalan pentaksiran alternatif dalam kursus-kursus yang ditawarkan oleh semua program prasiswazah Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia serta menganalisis bentuk-bentuk penilaian yang digunakan dalam PdP. Kajian ini adalah kajian kualitatif yang menggunakan reka bentuk analisis kandungan. Data dikumpulkan daripada analisis dokumen ke atas proforma kursus berdasarkan penawaran kursus pada sesi akademik 2018-2019 dan 2019-2020, kemudiannya dianalisis secara statistik deskriptif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa amalan pentaksiran alternatif dalam pengajian Islam telah bermula pada sesi 2012-2013 namun jumlah kursusnya sangat sedikit dan tidak konsisten. Namun, dengan adanya pelbagai inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 dan Kerangka Pendidikan 4.0 UKM yang dilaksanakan pada tahun 2017 telah mendorong peningkatan bilangan kursus yang menggunakan penilaian berterusan pada sesi 2018-2019 dan 2019-2020. Kajian mendapati pelbagai kaedah penilaian yang memenuhi elemen Pendidikan 4.0 telah digunakan merangkumi pembelajaran berasaskan aktiviti, kerja lapangan, penulisan esei dan pembentangan, penganjuran seminar serta penggunaan teknologi digital. Hal ini menjelaskan bahawa amalan PdP Pendidikan 4.0 dalam bidang Pengajian Islam mampu dilaksanakan dan berpeluang dijalankan secara maksima khususnya dalam mengimplementasi kaedah pentaksiran alternatif yang sahih dan autentik. Ia juga memberi impak positif ke atas kemahiran insaniah pelajar dan pengalaman pembelajaran, selain mengurangkan kebergantungan pensyarah kepada peperiksaan akhir untuk mengukur hasil pembelajaran kursus.

Kata kunci: Pentaksiran alternative; pengajian Islam; Pendidikan 4.0; Pandemik COVID-19 ABSTRACT

The outbreak of COVID-19 pandemic has led to abrupt changes and new challenges to teaching and learning (TL) practice at all levels of learning institutions. This includes tertiary Islamic studies courses, often associated with face-to-face TL. This research aims to explore the implementation of TL which applies Education 4.0 characteristics that emphasize on the use of alternative assessment. The capacity to incorporate Education 4.0 in TL practice of Islamic studies courses is considered average. Only a few courses were adapted for the Education 4.0 characteristics as many lecturers prefer conducting summative assessment. This study explored alternative assessment and analyzed the different forms practised in Islamic studies courses at Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) before the outbreak of COVID-19 pandemic. This is a qualitative study using content analysis design. Data were collected from course proforma of all courses offered for two academic sessions, 2018-2019 and 2019-2020. The data were analyzed statistically and descriptively. The findings show that the practice of alternative assessment in the studies courses was initiated in the academic session 2012-2013. Yet the number of courses involved was small and inconsistent. Various

(https://doi.org/10.17576/islamiyyat-2021-4301-01)

(2)

initiatives introduced in the Malaysian Higher Education Plan for 2015-2025 and UKM Education 4.0 Framework in 2017 motivated some lecturers to apply alternative assessment in TL sessions. Additionally, various forms of alternative assessment used by the lecturers included project-based activities, fieldwork, essay writing, oral presentation, seminars and online assessment using digital technology. This study underlines the importance of alternative assessment in Islamic studies courses as it contributes to development of students’ generic skills and learning experience. Besides, it reduces lecturers’ dependence on using final examination to assess student performance for course learning outcomes.

Further, the implementation of alternative assessments portrays the flexibility of Islamic studies courses in adapting to current changes and challenges.

Keywords: Alternative assessment; Islamic studies; Education 4.0; COVID-19 pandemic

PENGENALAN

The Fourth Industrial Revolution (IR4.0) atau Revolusi Industri 4.0 bermula pada tahun 2016 disebabkan peningkatan permintaan terhadap automasi beserta rangkaian internet dan proses- proses fizikal yang lain, juga kemunculan sistem berbentuk siber-fizikal serta penemuan pelbagai teknologi baharu selaras dengan perkembangan pelbagai industri dan menjangkau peringkat global (Mohd Fairuz 2017). Sehubungan dengan itu, agenda Pendidikan 4.0 diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sebagai respons terhadap perkembangan tersebut. Pendidikan 4.0 ialah istilah umum yang digunakan oleh ahli pendidikan untuk mendeskripsi pelbagai cara bagi mengintegrasikan teknologi siber dan teknologi automasi sama ada secara fizikal atau tidak ke dalam pembelajaran (Sigit 2018). Beberapa kriteria baharu digariskan dalam pendidikan itu antaranya, menuntut kewujudan kerangka kurikulum pengajian yang lentur dan organik, menekankan penglibatan industri secara aktif, penggunaan teknologi dalam pembelajaran imersif, kemahiran abad ke-21, kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) transformatif bercirikan fleksibiliti dalam melahirkan graduan tersedia masa hadapan yang adaptif. Ciri penting dalam Pendidikan 4.0 juga ialah perlaksanaan pentaksiran alternatif atau holistik. Pentaksiran alternatif merupakan salah satu sistem pentaksiran baharu yang digunakan untuk menilai kebolehan dan pencapaian pelajar secara holistik dan auntentik yang menjurus aspek “know-how” yang bukan semata prestasi tertentu atau bukan berdasarkan aspek penguasaan pengetahuan atau pengukuran semasa peperiksaan. Pelajar mendemonstrasi kebolehan mereka dalam melaksanakan tugasan dan memperolehi maklumbalas menerusi pentaksiran sahih, berasaskan portfolio, projek dan sebagainya.

Dalam pengajian ilmu Islam, guru menjadi individu pusat dalam kegiatan pembelajaran dan sumber pengetahuan di dalam kelas. Walau

bagaimanapun konteks pendidikan sekarang menekankan pembelajaran berpusatkan pada murid.

Guru sebaliknya berfungsi sebagai fasilitator bagi murid (Sigit 2018). Selain itu, tradisi pengajian Islam juga bercirikan penggunaan teks ilmuan Islam klasik dari Timur Tengah dalam Bahasa Arab di samping pentaksiran berasaskan peperiksaan. Malahan sistem pengajian tinggi Islam pernah dikritik dan dikatakan mengamalkan sistem pengajian yang ketinggalan zaman, bersifat tradisional dan tidak kondusif dengan realiti semasa. Laporan Jabatan Pendidikan Tinggi (2010) merumuskan beberapa isu antaranya kurikulum pengajian tidak membantu kemahiran teknologi maklumat, kurang menekankan aspek keusahawanan, kurang merangsang kemahiran komunikasi, berfikiran kritis dan kreatif, bahkan tidak membantu meningkatkan kemahiran pelajar membaca dan memahami kitab primer yang klasik (turath). Pelaksanaan kriteria Pendidikan 4.0 dalam pengajian Islam khususnya di peringkat pendidikan tinggi menghadapi dilema berkaitan kesesuaiannya mengadaptasi ciri-ciri ini, apatah lagi IR4.0 ini dikatakan menghakis nilai-nilai adab dan moral, kemanusiaan dan keadilan (Banu Prasetyo & Umi Trisyanti 2018) sedangkan nilai tersebut signifikan dalam pendidikan Islam. Ia juga dianggap merubah paradigma tradisi pendidikan Islam seperti interaksi akrab antara murid dengan guru yang menjadi indikator keberhasilan proses pendidikan. Bagi menangani isu ini, sistem pengajian tinggi Islam perlu membuat semakan ke atas kurikulum dan pendekatan pengajaran yang diamalkan termasuklah bentuk pengukuran ke atas pencapaian pelajar.

Bidang Pengajian Islam di institusi pendidikan tinggi (IPT) juga sewajarnya responsif dan proaktif terhadap keperluan terkini pendidikan di era IR4.0 dan bersiap siaga dalam mendepani cabaran semasa sama ada yang diduga atau tidak terduga seperti pandemik COVID 19.

Transformasi pentaksiran merupakan satu proses perubahan ke arah penambahbaikan PdP (Mohd Huzaimi et al. 2020). Proses pentaksiran penting sebagai kayu ukur keberhasilan dan

(3)

kebolehan yang ditunjukkan ataupun dicapai oleh pelajar. Melalui pentaksiran, objektif pembelajaran kursus, tahap pengetahuan, kompetensi serta bakat yang dicapai dan dipamerkan oleh pelajar dapat diukur dan direkodkan (Gikandi et al. 2011).

Sehubungan dengan itu, artikel ini bertujuan menganalisis amalan pentaksiran alternatif dalam program Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia semasa awal pandemik COVID-19 berlaku serta menganalisis bentuk-bentuk penilaian yang digunakan dalam PdP. Kajian ini juga memperlihatkan keperluan pentaksiran alternatif diamalkan dalam pengajian Islam, cabaran dalam menjamin kesahihan dan kebolehpercayaan kaedah pentaksiran ini.

ULASAN LITERATUR

Dalam menjelaskan tentang falsafah dan konsep pendidikan dalam pengajian Islam, Sigit (2018) mengemukakan ada dua makna yang dibincangkan oleh sarjana-sarjana Muslim. Pertama, makna yang lebih menampakkan Islam sebagai subject matter dalam pendidikan justeru menjadikan pendidikan sebagai proses pengalihan nilai-nilai Islam daripada generasi tua kepada generasi muda tanpa perlu menciptakan kondisi yang membuat anak didik berfikir kreatif dan progresif. Contohnya, Muhammad Hamid al-Nashir dan Qullah Abdul Qadir Darwis mendefinisikan pendidikan Islam sebagai proses pengarahan perkembangan manusia dari aspek jasmani, akal, bahasa, tingkah laku, dan kehidupan sosial keagamaan kepada kebaikan yang menuju kesempurnaan. Omar Muhammad al-Taumi al-Syaibani pula berpandangan bahawa pendidikan Islam adalah usaha mengubah tingkah laku individu dalam kehidupan peribadi atau kehidupan kemasyarakatan dan kehidupan di alam sekitarnya. Makna kedua pula lebih menempatkan Islam sebagai perspektif dalam Pendidikan Islam. Ia menghasilkan pendidikan sebagai suatu proses yang menjadi sebahagian dari sistem kehidupan Islam, bukanlah mata pelajaran yang harus diajarkan kepada murid.

Hakikatnya, kedua-dua makna ini terpakai dalam konteks pendidikan atau pengajian Islam meskipun makna pertama lebih dominan dalam sistem pendidikan negara kerana prosesnya diukur dan ditaksir secara rasmi. Namun dari sudut tujuan pendidikan dalam Islam, kedua-duanya menfokuskan kepada usaha membangunkan potensi dinamik dalam setiap diri manusia yang terletak pada keimanan atau keyakinan, ilmu pengetahuan

(intelektual), akhlak dan pengalamannya sehingga menjadi manusia muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT serta berakhlak mulia dalam kehidupan (Sigit 2018). Bagi menentukan tercapai atau tidak tujuan pendidikan tersebut, maka proses pengukuran, pentaksiran dan penilaian perlu dilakukan.

Pelaksanaan pentaksiran penting bagi mencapai Falsafah Pendidikan Negara (Azizi & Kamisah 2018). Oleh itu, kesediaan terhadap perubahan corak pentaksiran merupakan titik tolak kepada transformasi pendidikan masa kini (Artika Rasul t.th). Kesediaan pensyarah melaksanakan pentaksiran alternatif adalah suatu elemen penting dan ia dapat diukur melalui pengetahuan terhadap amalan pentaksiran bilik darjah, kesedaran terhadap kepelbagaian pelajar, refleksi, motivasi dan pengurusan rekod (Marziah & Jamil 2014). Terdapat dua jenis pentaksiran yang digunakan dalam proses PdP iaitu penilaian sumatif dan formatif. Ujian sumatif dikaitkan dengan penilaian pada akhir semester atau akhir tahun dengan peperiksaan atau ujian formal. Ia adalah pentaksiran tradisional yang dilakukan secara berasingan dan terpisah dari PdP untuk menilai dan menghakimi tahap kejayaan sesuatu proses yang telah sempurna dilaksanakan (Mohd Haidzir & Norasmah 2019). Tujuan penilaian sumatif juga adalah untuk mendapat maklumat tentang kemajuan pelajar dan mengukur penguasaan pelajar terhadap topik atau unit tertentu di akhir kursus atau program. Walau bagaimanapun ujian sumatif tidak berupaya mengukur keseluruhan pencapaian pelajar terutamanya berkaitan pencapaian kemahiran generik (Azizi & Kamisah 2018). Penilaian formatif pula merujuk kepada pentaksiran yang dilaksanakan semasa atau sepanjang proses pembelajaran dan instruksi bagi melihat perkembangan pelajar. Guru atau pensyarah hendaklah memberi maklumbalas segera dalam memperbaiki pencapaian pada domain pengetahuan, psikomotor dan afektif mengikut hasil pembelajaran (Azizi & Kamisah 2018). Pentaksiran sumatif dan formatif mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ia boleh dilaksanakan serentak bagi mengimbangi antara satu sama lain.

DEFINISI DAN CIRI PENTAKSIRAN ALTERNATIF Penilaian adalah suatu proses membuat pertimbangan dan keputusan mengenai prestasi pelajar (dan prestasi program) bersandarkan kepada standard tanda aras yang dinyatakan oleh kriteria prestasi dan sasaran prestasi bagi sesuatu hasil pembelajaran berdasarkan bukti yang telah

(4)

diperolehi daripada proses pentaksiran (MQA 2013). Pentaksiran pula merujuk kepada kaedah pengumpulan data langsung dan tidak langsung serta bukti pembelajaran pelajar yang dijalankan secara sistematik, berterusan dan berulang dengan menggunakan sumber yang pelbagai dan berbeza.

Data yang dikumpul, dianalisis dan dibincangkan adalah bertujuan untuk mengetahui dan memahami secara lebih mendalam mengenai apa yang pelajar benar-benar tahu dan mampu lakukan supaya maklum balas dapat disampaikan untuk tujuan menambahbaik kualiti prestasi pelajar, kemajuan pelajar, pengajaran staf akademik dan lain-lain (MQA 2013). Ringkasnya, pentaksiran adalah suatu proses pengukuran dan penilaian secara bersistematik yang melibatkan aktiviti pengumpulan, penganalisisan dan penterjemahan tentang tahap pencapaian pelajar terhadap objektif pembelajaran.

Pentaksiran alternatif bermaksud proses pengumpulan, analisis, sintesis dan interpretasi keseluruhan maklumat berkaitan pengajaran dan pembelajaran untuk membantu pelajar meningkatkan kebolehan dan membuat keputusan bagi membuat penambahbaikan proses PdP serta mencapai matlamat dalam pembelajaran (Gipps & Stotbart 2003; Mohd Haidzir & Norasmah 2019; Mohd Haidzir et al. 2020). Dalam konteks pendidikan di Malaysia, ia juga dikenali sebagai penilaian atau pentaksiran berterusan dan ia mula ditekankan secara serius oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2011. Keseriusan KPM dalam pelaksanaan pentaksiran alternatif berkait rapat dengan penekanan dan usaha mentransformasikan pentaksiran kepada pentaksiran berpusatkan pelajar dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Azizi & Kamisah 2018). Biarpun pada awalnya pentaksiran alternatif atau berterusan ini ditekankan untuk pelajar peringkat persekolahan, pelaksanaan di peringkat pengajian tinggi turut dipergiatkan sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015- 2025 terutamanya apabila kajian kebolehpasaran graduan memperlihatkan kepentingan pengukuran pencapaian kemahiran abad ke-21 dan kemahiran generik graduan menjadi tumpuan dan pilihan bakal majikan dalam menawarkan pekerjaan.

Gipps dan Stotbart (2003) menjelaskan pentaksiran alternatif merujuk kepada kaedah pengukuran selain kaedah peperiksaan seperti pengukuran berasaskan pilihan jawapan. Ia juga merujuk kepada kaedah pengukuran yang menggunakan atau berbantukan alat teknologi.

Pentaksiran alternatif juga merujuk kepada

pendekatan yang menggabungkan aspek penilaian sebagai sebahagian proses pengajaran dan pembelajaran. Fokus utama yang pentaksiran alternatif ialah pengukuran kepada kebolehan (performance) yang ditunjukkan ataupun dicapai.

Antara kosa ilmu yang berkaitan dengan pentaksiran alternatif adalah pengukuran kebolehcapaian (performance assessment), pengukuran autentik (authentic assessment), pengukuran secara langsung (direct assessment) dan penilaian portfolio (portfolio assessment) (Gipps & Stortbart 2003;

Fatemeh 2015). Menurut Azizi & Kamisah (2018) dan Fatemeh (2015), pentaksiran alternatif merujuk kepada kaedah pentaksiran dalam bentuk yang bukan konvensional. Antara ciri-cirinya adalah:

1. Ia adalah sebahagian proses pembelajaran kerana melihat perkembangan cara pelajar belajar dan membina konstruk pengetahuan.

2. Ia menfokuskan pada meninjau kekuatan pelajar bagi mempertingkatkan lagi dan kelemahannya bagi memperbaiki.

3. Ia membuka peluang pembelajaran secara bermakna. Pelajar mengasah kebolehan menyelesaikan masalah, pemikiran tinggi dan kreativiti.

4. Ia menunjukkan prestasi pencapaian dan perkembangan pelajar

5. Ia melibatkan pembuktian hasil pembelajaran seperti produk atau projek, prestasi dan kemahiran proses.

6. Ia melibatkan maklumbalas pensyarah/guru serta respons pelajar terhadap maklumbalas tersebut.

Secara khususnya, ciri-ciri pembuktian hendaklah sah, autentik, kecukupan, semasa dan tekal. Sah merujuk kepada pembuktian yang dikemukakan pelajar adalah relevan bagi menggambarkan standard dan hasil pembelajaran.

Autentik pula bermaksud pembuktian yang dikumpulkan dan dihasilkan adalah usaha pelajar dan keaslian hasil kerja pelajar. Ciri kecukupan pula ialah pembuktian yang menunjukkan hasil kerja dan kemampuan pelajar yang mengikut kriteria atau rubrik yang ditetapkan. Pembuktian yang semasa (real-time) menunjukkan pelajar melaksanakan dan menyelesaikan tugasan mengikut piawaian semasa atau masa yang ditetapkan dan tekal merujuk kepada pembuktian ketekalan perlakuan dan keputusan. Sekalipun pentaksir orang berbeza, mereka memberikan penilaian dan keputusan yang sama (Gipps & Stortbart 2003; Fatemeh 2015; Azizi

& Kamisah 2018). Berdasarkan kajian-kajian di atas

(5)

dapat dirumuskan bahawa matlamat dan falsafah pendidikan dalam pengajian Islam menekankan aspek pembinaan keilmuan dan potensi. Dalam mengukur dua aspek tersebut, suatu kaedah penilaian yang holistik dan berterusan perlulah digunakan oleh pendidik bagi mengenalpasti kemampuan dan pencapaian sebenar pelajar/murid sepanjang tempoh pembelajaran.

AMALAN PENTAKSIRAN DI FPI

Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM merupakan fakulti terawal ditubuhkan bagi pengajian tinggi Islam awam di Malaysia iaitu pada 18 Mei 1970.

Penubuhannya bertujuan menyediakan peluang pendidikan tinggi bagi pelajar lepasan sekolah agama yang semakin bertambah (Mohd Roslan &

Wan Mohd Tarmizi 2011). Hal ini sejajar dengan era kebangkitan Islam di Malaysia berikutan timbulnya kesedaran golongan Melayu pertengahan dan trend positif terhadap pendidikan Islam untuk anak-anak, kerana kepercayaan bahawa pendidikan agama menjadi benteng bagi mendepani masalah sosial.

FPI menawarkan lima program Pengajian Islam di peringkat Sarjana Muda. Program Syariah serta Usuluddin dan Falsafah mula ditawarkan pada tahun 1970, program Pengajian Arab dan Tamadun Islam pula pada tahun 1974 manakala program Pengajian Dakwah dan Kepimpinan dan program Pengajian al-Quran dan al-Sunnah pada tahun 1979 (Ahmad Sunawari & Zaizul 2012). Dalam usia fakulti ini yang mencecah 50 tahun, program pengajian Islam melalui fasa-fasa perubahan yang signifikan dari segi kurikulum, pendekatan PdP dan pentaksiran bagi mempastikan daya saing dan kerelevanan program serta kebolehpasaran graduannya.

Perubahan yang agak ketara boleh dilihat pada tahun 2015, bermula dengan semakan kurikulum program prasiswazah, penglibatan industri dalam pengajaran dan pembelajaran, program mobiliti pelajar ke luar negara bagi pemindahan kredit, serta PdP berteraskan Amalan Pendidikan Berimpak Tinggi (High Impact Educational Practices-HIEP).

Dari sudut pentaksiran pula, sebagaimana amalan dalam bidang pengajian yang lain, program- program pengajian Islam di UKM melaksanakan kedua-dua pentaksiran formatif dan sumatif secara bersama. Hal ini disebabkan ketidakupayaan ujian sumatif untuk mengukur pencapaian pelajar secara holistik terutamanya berkaitan pencapaian kemahiran generik (Azizi & Kamisah 2018) justeru gabungan kedua-duanya dapat mengimbangi kebolehpercayaan pengukuran. Beberapa bentuk

tugasan diberikan kepada pelajar seperti penulisan esei, penyediaan poster, pembentangan, kuiz dan ujian pertengahan semester untuk mengukur pencapaian dalam pembelajaran. Manakala peperiksaan akhir dengan komposisi antara 30 hingga 70 peratus (berdasarkan Perkara 4.2 Peraturan-peraturan UKM-Pengajian Sarjana Muda 2020) dijadikan amalan tradisi bagi melengkapkan penilaian pencapaian keseluruhan pelajar. Kajian ini mendapati pada semester kedua sesi akademik 2012- 2013 empat kursus Bahasa Arab iaitu Maharat al- Qiraat, Maharat al-Muhadathah wa al-Khatabah, Maharat al-Kitabah dan Maharat al-Istima’wa al- Fahm menggunakan penilaian berterusan sebagai alternatif kepada peperiksaan akhir. Namun, kaedah pentaksiran ini tidak dilaksanakan secara konsisten pada sesi-sesi akademik berikutnya. Oleh itu, kajian ini menganalisis perkembangan amalan pentaksiran alternatif di FPI UKM dan mengenalpasti bentuk penilaian yang digunakan di samping melihat beberapa aspek cabaran dalam pelaksanaan serta faktor perubahan.

METODOLOGI

Kajian ini adalah kajian kualitatif dengan menggunakan reka bentuk analisis kandungan. Data dikumpulkan daripada proforma-proforma kursus bagi semua program Sarjana Muda Pengajian Islam di UKM, iaitu Program Usuluddin dan Falsafah, Syariah, Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, serta Pengajian al-Quran dan al-Sunnah. Kursus-kursus yang tidak menggunakan peperiksaan akhir sebagai kaedah penilaian dijadikan sebagai subjek kajian dan dianalisis secara deskriptif statistik bagi mendapatkan jawapan tentang tahap amalan pentaksiran alternatif dan bentuk-bentuk pentaksiran yang digunakan bagi mengukur pencapaian hasil pembelajaran kursus (HPK).

Limitasi dalam kajian ini ialah kursus-kursus yang ditawarkan oleh semua program pengajian pada Semester 2 sesi 2018/2019 dan Semester 1 sesi 2019/2020 bagi memenuhi satu pusingan kurikulum program pengajian. Kursus-kursus tersebut merangkumi kursus bertaraf wajib fakulti (WF), teras program atau wajib jabatan (WJ) dan elektif program (LJ) sahaja, manakala kursus-kursus dalam kategori wajib universiti tidak dimasukkan kerana ketidakcapaian sumber data selain faktor pemantauan perlaksanaan PdP kursus-kursus ini diuruskan oleh fakulti atau pusat perkhidmatan lain di UKM.

(6)

DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN Hasil dapatan kajian ke atas amalan pentaksiran alternatif bagi lima program Sarjana Muda Pengajian Islam di UKM pada semester 2 sesi akademik 2018- 2019 dan semester 1 sesi akademik 2019-2020 adalah sebagaimana berikut:

BILANGAN KURSUS YANG MELAKSANAKAN PENTAKSIRAN ALTERNATIF

Kursus-kursus dalam program pengajian Islam dikategorikan kepada empat, iaitu wajib universiti, wajib Fakulti (WF), wajib jabatan/program (WJ) dan elektif jabatan/program (LJ). Jumlah kursus WF

adalah sama bagi semua program iaitu 12 kursus.

Jumlah kursus WJ dan LJ yang ditawarkan pada setiap semester berbeza antara program-program pengajian kerana bilangan kursus elektif (LJ) tidak sama. Program-program Syariah, Usuluddin dan Falsafah serta Pengajian Arab dan Tamadun Islam menawarkan kursus elektif yang banyak, manakala Pengajian al-Quran dan al-Sunnah serta Pengajian Dakwah dan Kepimpinan menawarkan jumlah minima sahaja. Jumlah penawaran kursus serta bilangan kursus per program yang menggunakan pentaksiran alternatif berbanding dengan kursus- kursus yang melaksanakan peperiksaan akhir dapat ditunjukkan seperti di Jadual 1.

JADUAL 1. Jumlah penawaran kursus dan perlaksanaan pentaksiran alternative

Sya – Syariah; Usul- Usuluddin & Falsafah; Arab- Pengajian Arab & Tamadun Islam; DK- Pengajian Dakwah & Kepimpinan;

QS- Pengajian al-Quran & al-Sunnah

Sumber: Proforma kursus dan Senarai penawaran kursus semester 2 2018-2019 dan semester 1 2019-2020 (PPP/B/AK01/1/06) Status Kursus Jumlah Kursus/Jenis

pentaksiran Sem. 2 2018/2019 Sem. 1 2019/2020

Program Pengajian Program Pengajian

Sya Usul Arab DK QS Sya Usul Arab DK QS Jumlah

WF*

(dikira 1 kali) Jumlah penawaran 7 7 7 4 4 5 5 5 8 8 12

Kursus Taksir Alternatif 1 1 1 1 1 0 0 0 0 0 1

WJ Jumlah penawaran 10 6 7 8 8 7 8 7 7 6 74

Kursus Taksir Alternatif 1 2 2 1 1 0 0 2 0 1 9

LJ Jumlah penawaran 17 14 13 9 8 18 14 15 9 4 121

Kursus Taksir Alternatif 2 1 1 0 0 0 4 6 0 0 7

Jumlah Kursus Pentaksiran Alternatif 4 4 4 2 2 0 4 8 0 1 29

Kursus tunggal bertaraf WF yang melaksanakan pentaksiran alternatif ialah PPPY1122 Maharat al- Muhadathah wa al-Khatabah iaitu kursus sepunya bagi semua program pada semester 2, manakala

RAJAH 1. Jumlah kursus yang melaksanakan pentaksiran alternatif mengikut program pengajian

kursus WJ pula ialah Latihan Ilmiah yang dinilai pada semester 2. Perbandingan tahap perlaksanaan penilaian alternatif antara program-program ditunjukkan dalam Rajah 1 dan Rajah 2.

(7)

RAJAH 2. Perbandingan perlaksanaan pentaksiran alternatif antara Program-program pengajian

Program yang paling banyak melaksanakan penilaian alternatif ialah Pengajian Arab dan Tamadun Islam dengan jumlah 12 kursus (22%) daripada 54 kursus yang ditawarkan. Pencapaian program-program lain adalah: Syariah (6.3%), Usuluddin & Falsafah (14.8%), Pengajian Dakwah dan Kepimpinan (4.4%), Pengajian al-Quran dan al-Sunnah (7.9%). Secara tuntas, tahap pengamalan pentaksiran alternatif dalam pengajian Islam di UKM masih rendah iaitu 14% atau 29 daripada 207 kursus yang ditawarkan sama ada bertaraf WF, WJ dan LJ. Meskipun begitu, jumlah ini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding 4 kursus pada sesi 2012-2013 di peringkat permulaan.

Kajian-kajian lepas menunjukkan bahawa faktor-faktor perlaksanaan pentaksiran alternatif adalah untuk mengurangkan kesan negatif ujian semasa peperiksaan seperti perasaan gemuruh, stress dan rasa cemas. Ia juga membantu guru meninjau perkembangan pengetahuan dan potensi pelajar, guru/pensyarah boleh mengukur keberkesanan pengajaran, pembelajaran berpusatkan pelajar serta penekanan kepada kebolehan/kompetensi, kemahiran abad ke-21 dan pemikiran kognitif aras tinggi (Azizi & Kamisah 2018). Dalam konteks perkembangan kaedah pentaksiran di FPI, faktor perubahan juga disebabkan oleh inisiatif pensyarah bagi memenuhi hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi (2015-2025), impak semakan kurikulum program pengajian, pengenalan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Bersepadu (iCGPA) serta hasrat universiti dan

pengalaman pensyarah dalam mentransformasikan pengajaran dan pembelajaran aktif. Kewujudan Kerangka Pendidikan 4.0 UKM (2017) juga menjadi pemangkin kepada perlaksanaan ini. Berdasarkan kerangka tersebut, ciri-ciri pentaksiran alternatif yang perlu dilaksanakan dalam sesuatu program pengajian adalah dengan kaedah-kaedah berikut;

kaedah pentaksiran sahih atau autentik secara menyeluruh; kaedah pentaksiran yang selari dengan HIEP; kaedah bukan peperiksaan dan kaedah kreatif yang sesuai dengan taksonomi hasil pembelajaran kursus.

BENTUK DAN KAEDAH PENTAKSIRAN ALTERNATIF

Setiap kursus menggunakan pelbagai kaedah dalam menilai pencapaian pelajar bagi setiap hasil pembelajaran kursus (HPK) malah penamaan kaedah juga rencam dan sebahagiannya bersifat umum seperti tugasan, laporan dan projek berkumpulan atau projek individu. Penamaan umum ini bagi mengelak kekerapan pindaan proforma kursus tetapi diperincikan dalam pelaksanaan. Sebahagian kecil kursus yang lain pula memperuntukkan pemberat atau markah bagi komitmen dan kehadiran pelajar ke kuliah dan tutorial serta partisipasi dan tindakan pelajar semasa proses pembelajaran (assesment on learning). Kaedah-kaedah yang dilaksanakan dalam 29 kursus pentaksiran alternatif dikategorikan kepada sebelas tema utama sebagaimana ditunjukkan dalam Rajah 3.

(8)

RAJAH 3. Taburan Kaedah-kaedah Pentaksiran Alternatif di FPI Sumber: Proforma Kursus Semester 2 2018-2019 dan Semester 1 2019-2020

Penulisan esei merangkumi penulisan artikel, tugasan esei, laporan atau laporan penyelidikan bagi kursus Latihan Ilmiah. Pembentangan pula sama ada secara peer review, forum, wacana atau seminar.

Ulasan kandungan atau teks pula dilaksanakan dalam bentuk ulasan buku, artikel, analisis teks atau analisis dokumentari. Kebanyakan kaedah kuiz pula dilakukan secara atas talian menerusi kahoot atau sistem ifolio UKM yang membolehkan pelajar mendapat maklumbalas pencapaian mereka seusai menjawab. Rajah 3 di atas juga menunjukkan dua kaedah yang paling kerap dilaksanakan bagi menilai perkembangan dan pencapaian kognitif, psikomotor dan afektif pelajar ialah penulisan esei dan pembentangan. Ujian dan kuiz pula digunakan untuk mengukur pengetahuan dan penguasaan pelajar bagi beberapa topik yang terangkum dalam satu-satu HPK.

CABARAN PELAKSANAAN DAN KEPERLUAN BERUBAH

Pelaksanaan pentaksiran alternatif berdepan dengan kekangan dan cabaran tertentu seperti kesediaan guru, sikap guru, pengetahuan pentaksiran, peruntukan masa pengajaran dan pembelajaran, bebanan guru serta pengaruh pihak berautoriti (Mohd Haidzir & Norasmah 2019). Dalam konteks FPI, isu utama ialah kesediaan dan sikap guru/

pensyarah untuk berubah dan melaksanakan pentaksiran berterusan. Hal ini dipengaruhi oleh faktor-faktor lain contohnya pengetahuan terkini tentang pentaksiran dan keperluan Pendidikan 4.0.

Tidak dapat dinafikan bahawa amalan pentaksiran alternatif yang dilaksanakan secara berterusan ini

memerlukan komitmen yang tinggi dan peruntukan waktu yang banyak untuk pensyarah menilai dan memberi maklumbalas kepada pelajar sepanjang PdP (Artika Rasul t.th). Apatah lagi pada masa yang sama pensyarah tersebut mempunyai tanggungjawab pentadbiran dan kerja-kerja penyelidikan serta khidmat kepada pihak luar (Haziyah et al. 2020).

Pengajian Islam pada abad ke 21 berdepan dengan perkembangan internet dan teknologi baharu, data raya, kecerdasan buatan dan elemen-elemen yang agak asing dan berbeza dengan tradisi pengajian Islam. Ia mengubah cara hidup, cara bekerja dan cara berhubungan satu sama lain (M.A. Ghufron 2018). Teknologi digital dan informasi telah menjadi basis dalam kehidupan manusia yang menyebabkan segala hal menjadi tanpa batas dan data tidak bersempadan (unlimited). Implikasinya, rasional dan kebebasan berfikir menjadi dasar, nilai agama, adab dan kemanusiaan semakin menipis bahkan generasi yang terhasil rapuh kerana tidak memiliki mentaliti dan nilai-nilai yang kuat lalu diibaratkan sebagai generasi strawberi (Banu Prasetyo & Umi Trisyanti 2018). Pendidikan kini berada pada masa pengetahuan (knowledge age) dengan percepatan peningkatan pengetahuan yang luar biasa. Oleh yang demikian, kurikulum pengajian Islam juga perlu berubah bagi berperanan dalam menjaga kualiti manusia (pengguna teknologi) bahkan proaktif dalam menyiapkan graduan yang berkualiti, adaptif dan mampu bersaing secara global, dan menguasai perkembangan teknologi (Hasan et al. 2018; Banu

& Umi Trisyanti 2018). Kurikulum seharusnya lebih mempersiapkan pelajar dengan keterampilan dalam kemahiran belajar dan berinovasi, kemahiran menggunakan teknologi dan media maklumat,

(9)

bersedia ke alam pekerjaan, dan berupaya menggunakan keterampilan kemahiran kehidupan untuk berjaya. Gaya kegiatan pembelajaran juga perlu disesuaikan malah bahan pembelajaran harus memberikan bentuk yang lebih autentik agar pelajar dididik untuk dapat berkolaborasi menciptakan solusi, memecahkan masalah pelajaran dengan menggunakan sumber daya informasi yang tersedia.

Hal ini kerana, menurut Etistika Yuni et. al. (2016) pada era IR4.0 ini “pembelajaran didefinisikan sebagai proses belajar yang dibangunkan oleh pensyarah untuk mengembangkan kreativiti berfikir yang dapat meningkatkan kemampuan pelajar dalam mengkonstruksi pengetahuan baru sebagai upaya untuk meningkatkan penguasaan yang baik terhadap bahan pelajaran”. Guru/pensyarah berperanan untuk memberikan stimulus, bimbingan, pengarahan dan dorongan kepada pelajar agar terjadi proses belajar.

Pembelajaran dalam definisi ini bukanlah sebuah proses pembelajaran pengetahuan, sebaliknya proses pembentukan pengetahuan oleh pelajar melalui prestasi kognitifnya.

Panduan Pembelajaran Abad ke 21 di peringkat pendidikan tinggi pula menekankan penguasaan elemen 4C bagi pelajar iaitu Critical Thinking & Problem Solving, Communication, Collaboration dan Creativity pada semua peringkat pengajian dan mesti diasah setiap penjuru kehidupan, di kolej kediaman, dewan kuliah, merentasi aktiviti kesukarelawanan dan keusahawanan dan juga di padang sukan (Mohd Fairuz 2017: Ab Halim &

Nur Hanani 2017). Kemahiran yang perlu ialah kemahiran penyelesaian masalah kompleks;

kemahiran komunikasi lisan dan bertulis dengan berkesan termasuk kompetensi banyak bahasa yang mengangkat pelajar di arena globalisasi; kemahiran sebagai pemimpin dan ahli pasukan yang berkesan;

kepintaran emosi sebagai kunci kejayaan hubungan sosial dan profesional; kebijakan merebut peluang, kreatif dan berinovatif dalam mengemukakan cadangan dan berani ambil risiko.

Sehubungan dengan itu, Sigit (2018) mencadangkan agar para pengajar subjek pengajian Islam berubah dengan menyesuaikan diri dengan perubahan dan tuntutan masyarakat serta berorientasi pada masa depan serta bersedia mendepani sebarang implikasinya. Bertahan dengan sistem lama boleh menyebabkan pendidikan Islam semakin tertinggal, bahkan sekiranya membenarkan kritikan pula ia menunjukkan bahawa pendidikan Islam kurang responsif terhadap dinamika perubahan sosial masyarakat. Oleh itu, tiga perkara berikut mesti dilakukan iaitu:

Pertama, mengubah mindset lama yang terkongkong aturan birokrasi menjadi mindset disruptif (disruptive mindset) yang memajukan cara-cara yang korporat (respons yang cepat, tidak terikat waktu dan tempat) bagi menghasilkan sistem pengurusan yang efektif dan efisien. Dalam konteks pembelajaran, pengajar perlu lebih fleksibel dalam menjalankan tugas dan fungsinya, lebih proaktif memberikan kemudahan, bimbingan, dan mendekati kepada pelajar; tidak terikat dengan kewangan yang menghentikannya berinovasi; memaksimakan fungsi media sosial sebagai alat komunikasi yang efektif, alat bantu kerja, dan inspirasi dalam berinovasi.

Pengajar juga harus berfikir solutif jika dihadapkan masalah, di samping tidak terkejut terhadap perubahan kerana ia telah menjadi keperluan.

Pengajar juga berfikir dan bertindak secara strategik dengan sasaran yang realistik, fleksibel, kontekstual, dan futuristik dari segi orientasi kurikulum dan visi pendidikan Islam serta program. Kedua, melakukan self-driving agar mampu melakukan inovasi-inovasi sesuai dengan tuntutan era 4.0.

Bidang pengajian Islam perlu diterajui pemimpin atau pentadbir akademik bermental good driver yang mahu membuka diri, cepat dan tepat membaca situasi, berintegriti, tangkas dalam bertindak, waspada terhadap segala kemungkinan buruk, dan mampu bekerja efektif, inovatif, dan efisien.

Ketiga, merekabentuk (reshape or create) terhadap segenap aspek di dalamnya agar selalu kontekstual terhadap tuntutan dan perubahan. Cara lama yang masih baik dan relevan dipertahankan dan perlu untuk dimodifikasi sesuai dengan perubahan dan perkembangan zaman. Manakala cara atau sistem yang tidak mungkin dipakai lagi hendaklah diganti dengan cara dan sistem yang baru seperti penggunaan sistem digital dan model pembelajaran terkini dengan sepenuhnya memanfaatkan teknologi digital (Sigit 2018). Contohnya pembelajaran pengajian Islam dicorakkan dengan bantuan teknologi seperti e-learning, pembelajaran teradun (blended learning) dan flipped learning. Meskipun begitu, dalam keghairahan meraikan Revolusi 4.0, pengajian Islam perlu komited dengan teras pengajiannya yang berasaskan didikan tauhid, syariah dan akhlak (Ruzman et al. 2014) dan tujuan pendidikan dalam Islam, iaitu membentuk akhlak mulia, menyediakan bekal kehidupan dunia dan akhirat secara seimbang, menumbuhkan ruh ilmiah dan memuaskan rasa ingin tahu, serta menyiapkan pelajar dari segi profesional dan teknikal supaya dapat mencari rezeki dalam hidup dan hidup dengan

(10)

mulia di samping persiapan mencari rezeki dan pemeliharaan segi-segi kemanfaatan (Sigit 2018).

Kejayaan dan kemenjadian pendidikan Islam bukan sekadar diukur dengan kebolehgajian graduan atau jawatan yang disandang tetapi juga keupayaannya beradaptif, bersosialisasi, menjaga tradisi kearifan tempatan, bermasyarakat-berbangsa, bernegara serta menjadi sumber modal insan yang andal (reliable) dengan pengembangan ilmu pengetahuan bagi kesejahteraan dan kebahagiaan masyarakat secara seimbang dan harmonis (Hasan Subekti et al. 2018).

Bagi mencapai hasrat di atas, pengukuran kursus berdasarkan elemen kognitif yang mengandungi hafalan fakta tanpa makna sebagaimana warisan dari sistem pendidikan tradisional perlu diubah.

Ini kerana pencapaian pelajar tidak lagi terikat dengan bidang pengajian dan peperiksaan semata- mata. Kebolehlenturan kognitif amat diperlukan agar masalah kompleks ditangani secara agresif dan holistik bagi melahirkan pelajar dan graduan yang berkebolehan menangani masalah kompleks.

Mereka perlu dididik agar berupaya mengumpulkan data yang autentik dari sumber terbuka dan tanpa terhad, mempunyai kedalaman analisis dan pengetahuan, mengambilkira pemegang taruh yang pelbagai dan impak penyelesaian terhadap pelbagai aspek seperti ekonomi, persekitaran, sosial, politik, etika, kesihatan dan kelestarian (Haziyah et al. 2020; Afendi 2021). Sehubungan dengan itu, pentaksiran alternatif sangat wajar dipertimbangkan kerana ia melihat perkembangan pelajar membina pengetahuan dan mengasah kebolehan menyelesaikan masalah dengan pemikiran tinggi dan kreativiti. Walau bagaimanapun, tidak semua kursus/subjek dalam pengajian Islam perlu melaksanakan pentaksiran alternatif atau penilaian secara berterusan. Sebahagian nature kursus lebih sesuai diukur dengan penilaian sumatif (peperiksaan akhir), manakala sebahagian yang lain wajar dinilai secara campuran antara sumatif dan formatif. Hal ini bergantung kepada hasil pembelajaran yang ingin dicapai dari sesuatu kursus itu selain hasil pembelajaran program.

Kajian juga mendapati PdP bagi kursus dan program Pengajian Islam di FPI berpotensi untuk mencabar kelaziman dan melakukan perubahan khususnya melalui pelaksanaan pentaksiran alternatif malah perlaksanaannya boleh dijalankan dalam talian. Faktor krisis pandemik Covid-19 membuka peluang kepada pensyarah untuk meneroka dan mempertingkatkan kemahiran dalam pengajaran dan pentaksiran dalam talian. Kesukaran

dan kekangan untuk mengadakan peperiksaan akhir secara bersemuka disebabkan oleh pandemik ini telah mendorong pelaksanaan penilaian berterusan dalam kursus dan sekaligus melaksanakan pelbagai kaedah pentaksiran alternatif. Pada semester 2 sesi akademik 2019-2020, semua kursus yang ditawarkan oleh Program Pengajian al-Quran dan al-Sunnah melaksanakan kaedah pentaksiran berterusan. Malah, pengurangan yang ketara berlaku pada bilangan kursus dalam program yang lain yang melaksanakan pentaksiran sumatif atau peperiksaan akhir iaitu 17 kursus (FPI 2020). Perlaksanaan pentaksiran alternatif di fakulti ini juga menunjukkan perkembangan yang lebih memberangsangkan pada semester 1, sesi 2020-2021 dengan 11 kursus sahaja yang menjalankan peperiksaan akhir atas talian. Manakala Program Pengajian al-Quran dan al-Sunnah dan Program Pengajian Arab dan Tamadun Islam menggunakan kaedah pentaksiran alternatif sepenuhnya (FPI 2021). Sungguhpun sebilangan pelajar yang telah kembali ke kampus, namun masih ramai yang berada di rumah masing- masing. Faktor jarak, akses internet, keselamatan dan kesihatan menjadikan kaedah pentaksiran alternatif menjadi pilihan pensyarah bagi mengukur potensi dan pencapaian pelajar. Perkembangan ini jelas menunjukkan kemampuan program Pengajian Islam beradaptasi secara positif dengan perubahan dan cabaran.

KESIMPULAN

Kajian menunjukkan bahawa kaedah pentaksiran kursus-kursus pengajian Islam di UKM telah berubah dari pentaksiran konvensional kepada pentaksiran alternatif walaupun kadarnya masih rendah dan tidak seimbang antara program-program pengajian sebelum pandemik COVID 19 berlaku. Kewujudan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015- 2025 dan Kerangka Pendidikan 4.0 UKM pada tahun 2017 dengan kriteria-kriteria yang digariskan itu merupakan faktor pendorong kepada perubahan ini.

Bentuk penilaian yang digunakan pula bukan sahaja terfokus kepada pembelajaran berasaskan aktiviti, kerja lapangan, penulisan esei dan pembentangan sebaliknya menjangkau penganjuran seminar dan persidangan di samping penggunaan teknologi seperti pembikinan video dan poster, penilaian secara atas talian. Aktiviti-aktiviti ini mencirikan amalan pendidikan yang berimpak tinggi sejajar dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan

(11)

Tinggi Negara. Pelaksanaan pentaksiran alternatif ini memberi impak positif ke atas pembangunan kemahiran insaniah pelajar serta penglibatan mereka secara aktif dalam pengalaman pembelajaran.

Ringkasnya, banyak lagi kursus dalam program pengajian Islam berpotensi untuk mengimplimentasi kaedah pentaksiran alternatif tanpa mengabaikan ciri-ciri teras tradisi pengajian Islam. Sehubungan dengan itu, pensyarah perlu diberi pendedahan terhadap pelbagai teknik pentaksiran alternatif dan diberi latihan secukupnya. Galakan daripada pengurusan fakulti juga seperti penyediaan kemudahan PdP, penghargaan atau pengiktirafan boleh menjadi pendorong kepada pelaksanaan pentaksiran alternatif bahkan kriteria-kriteria Pendidikan 4.0 yang lain. Hasil perbincangan ini dapat menjadi amalan terbaik yang boleh dikongsi dengan Institusi-institusi Pendidikan Islam yang lain dalam menambahbaik proses pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada.

PENGHARGAAN

Makalah ini adalah satu daripada hasil penyelidikan di bawah Geran Penyelidikan Khas Top Down UKM: Pengajaran dan Pembelajaran GPK-P&P-2020-009 yang bertajuk Pembinaan Model Pentaksiran Alternatif Digital dalam Pengajian Islam.

RUJUKAN

Ab. Halim Tamuri & Nur Hanani Hussin. 2017.

Pendidikan Abad ke-21 dalam Kepelbagaian Budaya:

Cabaran dan Harapan. Kertas kerja Seminar Pedagogi Antarabangsa ke 8. Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur. https://www.researchgate.

net/publication/320858903_Pendidikan_Abad_

ke_21_Dalam_Kepelbagaian_Budaya_Cabaran_dan_

Harapan. Diakses pada: 19 Januari 2020.

Afendi Ahmad. 2021. Integriti, kualiti dan peperiksaan buka-buku. Astro Awani. 11 Februari. https://www.

astroawani.com/berita-malaysia/integriti-kualiti- dan-peperiksaan-bukabuku-282454? [akses pada 1 Mac 2021]

Ahmad Sunawari Long, Zaizul Ab. Rahman. 2012.

40 Tahun Penyelidikan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia. International Journal of Islamic Thought. 1: 8-18

Artika Rasul bin Sulaiman. t.t. Tahap Kesediaan Guru Pendidikan Islam Dalam Pentaksiran Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Sekolah Rendah.

Universiti Malaysia Pahang. http://umpir.ump.edu.

my/id/eprint/26899/1/ [akses 1 Mac 2021].

Azizi Alias, Kamisah Osman. 2018. Pentaksiran Alternatif: Pembinaan dan Pelaksanaan Rubrik dalam Pendidikan Sains. Bangi: Penerbit UKM.

Banu Prasetyo, Umi Trisyanti. 2018. Revolusi Industri 4.0 dan tantangan perubahan sosial. Prosiding SEMATEKSOS 3 “Strategi Pembangunan Nasional Menghadapi Revolusi Industri 4.0”. IPTEK Proceeding Series. 5: 22-27.

Caroline Gipps, Gordon Stobart. 2003. Alternative Assessment. International Handbook of Educational Evaluation. 9: 549-575. Springer Link https://link.

springer.com/chapter/10. [akses pada 1 Mac 2021].

Etistika Yuni Wijaya, Dwi Agus Sudjimat, Amat Nyoto.

2016. Transformasi pendidikan abad 21 sebagai tuntutan pengembangan sumber daya manusia di era global. Prosiding Seminar Nasional Pendidikan Matematika. Universitas Kanjuruhan Malang.

263-278.

Fakulti Pengajian Islam UKM. Penawaran Kursus FPI Semester 2 2018-2019 dan Semester 1 2019-2020 (PPP/B/AK01/1/06).

Fakulti Pengajian Islam. 2020. Senarai Jadual Waktu Peperiksaan Akhir Berjadual Fakulti (Secara Atas Talian dan Bawa Pulang) Semester II Sesi 2019-2020 Fakulti Pengajian Islam.

Fakulti Pengajian Islam. 2021. Senarai Jadual Waktu Peperiksaan Akhir Berjadual Fakulti (Secara Atas Talian dan Bawa Pulang) Semester 1 Sesi 2020-2021 Fakulti Pengajian Islam.

Fatemeh Ghanavati Nasab. 2015. Alternative versus traditional assessment. Journal of Applied Linguistics and Language Research 2(6): 165-178.

Hasan Subekti, Mohammad Taufiq, Herawati Susilo

& Ibrohim, Hadi Suwono. 2018. Mengembangkan literasi informasi melalui belajar berbasis kehidupan terintegrasi STEM untuk menyiapkan calon guru sains dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0:

revieu literature. Education and Human Development Journal. 3(1): 81-90.

Haziyah Hussin, Najah Nadiah Amran, Zamzuri Zakaria, Nur Farhana Abdul Rahman, ‘Adawiyah Ismail, Md. Nor Abdullah& Salamiah Ab. Ghani.

2020. Perlaksanaan Pentaksiran Alternatif dalam Program Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kertas Kerja dibentangkan dalam Kongres & Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Persidangan (KNovasi) di Hotel Tenera, Bangi, 5-6 Februari 2020.

Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementeria Pengajian Tinggi.

2010. Hala Tuju Pengajian Islam di Malaysia. Bangi:

Penerbit UKM.

Joyce Gikandi. 2011. Achieving meaningful online learning through effective formative assessment. In Changing Demands, Changing Directions, edited by G. Williams, P. Statham, N. Brown, B. Cleland.

Proceedings ascilite Hobart 2011, pp. 452-454.

(12)

M.A. Ghufron. 2018. Revolusi Industri 4.0: tantangan, peluang dan solusi bagi dunia pendidikan. Seminar Nasional dan Diskusi Panel Multidisiplin Hasil Penelitian & Pengabdian kepada Masyarakat, Jakarta, 2 Ogos 2018.

Malaysia Qualification Agency. 2013. Garis Panduan Amalan Baik: Penilaian Pelajar. Selangor: Agensi Kelayakan Malaysia. www.mqa.gov.my

Maziah Mohamad, Jamil Ahmad. 2014. Kesediaan pensyarah mentranformasi pentaksiran program prauniversiti: Satu Analisis faktor. Sains Humanika 2(4): 107-113.

Mohd Fairuz Mohd Yusof. 2017. Revolusi Perindustrian Keempat / Industri 4.0 / IR 4.0. http://

mohdfairuzmohdyusof.blogspot.com/2017/11/

industri-40-ir-40-revolusi.html [akses pada 8/2/2020]

Mohd Haidzir Yusof@Jusoh & Norasmah Othman. 2019.

Isu dan permasalahan pentaksiran alternatif dalam sistem penilaian di Malaysia. E-prosiding Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan. Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. 337-349.

Mohd Huzaimi Abdul Manap, Zolkepli Haron &

Norasmah Othman. 2020. Penilaian Pelaksanaan Program Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) di Sekolah Rendah Pendidikan Khas Integrasi.

Jurnal Pendidikan Malaysia 45(1) Isu Khas: 9-16.

Mohd Roslan Mohd Nor & Wan Mohd Tarmizi Wan Othman. 2011. Sejarah dan Perkembangan Pendidikan Islam di Malaysia. Jurnal at-Ta’dib 6(1): 59-78.

Ruzman Md Noor, Rahimin Affandi Abd. Rahim, Muhammad Kamil Abd Majid, Abdul Karim Ali, Nor Adina Abdul Kadir, Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar &

Norhidayah Yusof. 2014. Peranan Institut Pengajian Tinggi Islam dalam pembangunan modal insan di Malaysia: Satu analisis. Jurnal Kemanusiaan 12(1):

1-20.

Sigit Priatmoko. 2018. Memperkuat eksistensi pendidikan Islam di era 4.0. TA’LIM Jurnal Studi Pendidikan Islam 1(2): 1-19.

PENGARANG Haziyah Hussin

Pusat Kajian Al-Quran & Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam

Universiti Kebangsaan Malaysia haziyah@ukm.edu.my

Najah Nadiah Amran

Pusat Kajian Al-Quran & Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam

Universiti Kebangsaan Malaysia najah@ukm.edu.my

Nur Farhana Abdul Rahman

Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah Fakulti Pengajian Islam

Universiti Kebangsaan Malaysia nfarhana@ukm.edu.my

‘Adawiyah Ismail

Pusat Kajian Dakwah & Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam

Universiti Kebangsaan Malaysia ada@ukm.edu.my

Zamzuri Zakaria Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam

Universiti Kebangsaan Malaysia zamz@ukm.edu.my

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN

Saranan dunia-tanpa kertas (paperless world) mungkin terlalu jauh untuk dicapai tetapi sebagai salah satu kaedah penyampaian maklumat untuk memastikan e-masyarakat di kampus,

Sebagai contohnya, Program Sejarah di dalam Pusat Pengajian yang sama juga menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan bidang sains politik seperti Sejarah Hubungan Luar

Supyan (2005, 2006a, 2006b, 2008) menjalankan siri kajian tentang forum atas talian dalam kursus pengajian bahasa di Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati 10 perkara yang

Diharapkan cadangan aras penilaian prestasi pelajar di KKB pada peringkat keJja kursus dan peperiksaan akhir dapat mernbantu universiti dalarn rnemantau pelaksanaan proses

Program baru ini akan mengurniakan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang (Bachelor in Shariah and Law atau ringkasnya B.ShL). Program baru ini menyaksikan

Bagi mendapatkan penilaian peserta Kursus Jangka Pendek Komputer (KJPK), soalan kaji selidik telah digunakan sebagai instrument utama di dalam kajian ini. Setiap peserta KJPK

Diharap kajian ini boleh dijadikan sebagai panduan untuk mengembangkan penggunaan elemen animasi didalam pembelajaran dan pengajaran bagi kursus yang berteraskan kepada konsep

Pemberian nilai gred untuk sesuatu kursus yang ditawarkan oleh Fakulti selain daripada kursus-kursus tanpa peperiksaan akhir semester adalah dengan cara penilaian berasaskan