• Tiada Hasil Ditemukan

Memperkasakan pelajar pasca-siswazah Indonesia dalam penulisan akademik Bahasa Melayu

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "Memperkasakan pelajar pasca-siswazah Indonesia dalam penulisan akademik Bahasa Melayu"

Copied!
10
0
0

Tekspenuh

(1)

ISSN: 1675-8021

Memperkasakan Pelajar Pasca-Siswazah Indonesia Dalam Penulisan Akademik Bahasa Melayu

Norsimah Mat Awal norsimah@pkrisc.cc.ukm.my

Hafriza Burhanudeen riza@pkrisc.cc.ukm.my Nor Zakiah Abdul Hamid zakiah@pkrisc.cc.ukm.my

Mohd Azlan Mis whg5026@pkrisc.cc.ukm.my Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak

Menurut perangkaan kemasukan pelajar pasca-siswazah antarabangsa sesi 2004/2005 di UKM, bilangan pelajar Indonesia merupakan yang tertinggi berbanding pelajar antarabangsa yang lain. Untuk memenuhi keperluan pengijazahan pelajar-pelajar pasca- siswazah ini dikehendaki menulis tesis atau disertasi di dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris namun kebanyakan pelajar Indonesia ini lebih cenderung memilih untuk menulis di dalam bahasa Melayu. Masalahnya mula timbul dalam pemilihan kata atau ungkapan dalam penulisan mereka sehingga mengganggu kelancaran pemahaman pembaca. Kertas kerja ini akan membentangkan dapatan kajian kami di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, FSSK dengan kerjasama Pusat Pengajian Siswazah (PPS), UKM. Kajian ini bertujuan untuk melihat variasi makna laras akademik di antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Dapatan kajian menunjukkan masalah pemahaman timbul ekoran dari tiga perbezaan yang ketara di antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Perbezaan tersebut ialah pertama, istilah/ungkapan yang berbeza tetapi merujuk kepada makna yang sama, kedua ialah istilah/ungkapan yang sama digunakan tetapi membawa makna yang berbeza dan ketiga ialah amalan mentransliterasi bahasa Inggeris dalam bahasa Indonesia.

Pendahuluan

‘Walaupun tingginya gunung dan luasnya lautan, dunia ini kecil saja sebenarnya.’

Demikian bermulanya ucapan bekas Menteri Luar Negara Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi kepada ahli-ahli perniagaan Amerika Syarikat pada 17 September 1998, di Asia Society California Centre, California, Amerika Syarikat. Dato’ Seri Abdullah, kini Perdana Menteri Malaysia, telah menyatakan pandangannya tentang dunia tanpa sempadan melalui kuasa globalisasi, kebebasan dan kuasa-kuasa lain. Melalui

(2)

ISSN: 1675-8021

kemajuan dan perkembangan pesat dalam penggunaan Internet dan teknologi komunikasi, konsep dunia tanpa sempadan ini telah menggalakkan rakyat daripada pelbagai bangsa bersatu menjalani kehidupan dalam perkampungan global. Rakyat dalam perkampungan global ini ditawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan dalam dunia yang penuh dinamik dan juga penuh dengan persaingan yang hebat. Mereka mewah dengan pelbagai pilihan berikutan dari pendedahan kepada maklumat terkini yang disediakan oleh perkhidmatan teknologi maklumat yang canggih dalam abad ke 21 ini.

Dalam dunia akademia, kesan dari faktor globalisasi dan liberalisasi produk dan perkhidmatan ini dapat dilihat dalam usaha-usaha mengantarabangsakan pendidikan tinggi.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia (selepas ini UKM), usaha untuk mengantarabangsakan institusi ini dijalankan dengan mempromosikan pelbagai program professional dan akademik secara agresif kepada pelajar siswazah dan pasca siswazah dari luar negara melalui aktiviti-aktiviti seperti menghadiri ekspo pameran pendidikan antarabangsa yang selalu diadakan di Eropah dan Asia. Selain itu, maklumat juga dipertambahkan dengan menyediakan brosur dan buku panduan dalam bahasa Inggeris yang mengandungi maklumat seperti program universiti yang ditawarkan, program pertukaran pelajar, penyelidikan bersama, penerbitan, pengajaran dan pada masa yang sama berusaha menyediakan satu infrastruktur yang boleh dianggap bertaraf dunia (Abdul Samad Hadi et.al. 2002).

Kehadiran pelajar-pelajar antarabangsa, selain daripada menjadi sumber kewangan untuk UKM, juga boleh dikatakan sebagai petunjuk kepada kewujudan program-program akademik yang berkualiti di UKM. Seiring dengan objektif universiti untuk menambahkan perhubungan strategik dengan universiti luar negara, pelbagai usaha telah dijalankan seperti menawarkan yuran akademik yang lebih kompetetif berbanding dengan yuran pengajian yang ditawarkan oleh universiti tempatan yang lain dan juga universiti luar negara. Perundingan untuk memudahkan permohonan visa untuk pelajar-pelajar antarabangsa juga diusahakan untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa (Rumusan Arahan Kerja Persijilan ISO, 2005).

Usaha-usaha mengantarabangsakan program siswazah dan pasca siswazah di UKM telah menghasilkan satu peningkatan dalam jumlah pelajar antarabangsa (Ismail, 2003).

Kajian terkini menunjukkan lebih dari 1075 orang (Pusat Pengajian Siswazah, 2005) pelajar antarabangsa yang telah mendaftar pada semester orang pelajar antarabangsa yang telah mendaftar pada semester lepas dalam program-program yang ditawarkan seperti program Sains Bersekutu, Sains Sosial dan Kemanusiaan, Pendidikan, Perubatan, Kejuruteraan, Pengurusan Perniagaan, Sains dan Teknoloji, Undang-undang dan Sains dan Teknoloji Maklumat. Pelajar-pelajar antarabangsa tersebut kebanyakannya datang dari Indonesia, diikuti negara-negara Asia Timur dan Asia Tenggara seperti Thailand, Brunei, Vietnam, Cambodia, Filipina, China, Japan and Korea Selatan. Pelajar-pelajar antarabangsa lain datangnya dari negara-negara Timur Tengah, Asia Selatan dan Afrika seperti Iran, Iraq, Libya, Sudan, Nigeria, Jordan, Oman, Kuwait, Arab Saudi, Yemen, Algeria, Turki, Pakistan dan Bangladesh.

(3)

ISSN: 1675-8021

Dari segi bilangan pelajar antarabangsa, para pelajar Indonesia merupakan kumpulan terbesar di antara pelajar-pelajar antarabangsa di UKM. Berikut adalah profil pelajar antarabangsa di UKM yang terbaru:

Profil pelajar antarabangsa, Semester 2, 2005/2006

NEGARA BILANGAN PELAJAR-PELAJAR

Indonesia 522

Libya 86

Iran 68 Yemen 66

Jordan 61

Sudan 29

Iraq 28

Lain-lain 193

Sumber: Statistik Pelajar Antarabangsa, Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Kebangsaan Malaysia.2005.

Jumlah pelajar-pelajar Indonesia yang ramai di kampus tidak menghairankan kerana kedudukan geografi di antara Indonesia dan Malaysia dan juga hubungan bilateral yang baik di antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Senario Penulisan Akademik Pelajar Indonesia

Di dalam pengajian mereka, pelajar-pelajar antarabangsa di UKM diberi pilihan untuk menulis tesis mereka sama ada di dalam Bahasa Melayu, Inggeris atau bahasa Arab.

Bahasa Arab biasanya digunakan oleh pelajar yang berminat untuk mengikuti pengajian di Fakulti Pengajian Islam. Walau bagaimanapun, majoriti pelajar antarabangsa memilih untuk menghasilkan penulisan tesis mereka di dalam bahasa Inggeris. Bagi pelajar- pelajar Indonesia pula, mereka lebih cenderung untuk menulis di dalam bahasa Melayu kerana merasakan terdapat banyak persamaan di antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Tidak dapat dinafikan memang terdapat persamaan di antara kedua-dua bahasa ini tetapi pelajar-pelajar Indonesia tetap menghadapai masalah dalam penulisan akademik mereka. Ini kerana mereka menghadapi masalah untuk menyesuaikan perbezaan- perbezaan semantik di antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Masalah ini bukan sahaja membebankan para pelajar tetapi juga penyelia mereka untuk memahami penulisan yang dihasilkan oleh pelajar. Masalah-masalah yang dibincangkan di atas membawa kepada fokus penulisan kertas kerja ini iaitu membincangkan masalah penulisan akademik yang dihadapi oleh para pelajar Indonesia di UKM.

(4)

ISSN: 1675-8021

Seperti yang disebutkan sebelum ini, walaupun kelihatan terdapat persamaan di antara kedua-dua bahasa, perbezaan-perbezaan dalam sejarah kebudayaan dan sosial telah mengakibatkan perbezaan bentuk, fungsi dan makna dalam penggunaan bahasa Melayu di kedua-dua negara. Ini telah mengakibatkan masalah kepada pelajar, pensyarah dan penyelia akademik.

Bahasa Melayu Dan Bahasa Indonesia

Adakah bahasa Melayu dan bahasa Indonesia itu dua bahasa yang berlainan? Atau adakah ianya dua variasi dialek dari satu bahasa iaitu bahasa Melayu? Menurut Asmah Hj. Omar (1979) istilah “bahasa” untuk kedua-duanya adalah tidak tepat dan beliau mengatakan istilah yang lebih tepat ialah “dialek” atau “loghat”. Ini kerana menurut beliau bahasa Indonesia ialah pertumbuhan dari bahasa Melayu. Perbezaan kedua-dua bahasa ini juga dikaitkan dengan arus perkembangan yang berbeza di antara kedua-dua bahasa.

Perbincangan mengenai kedudukan dan perbezaan di antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia tidak pernah berhenti. Asmah Hj. Omar (2002) sekali lagi membincangkan isu perbezaan/persamaan di antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Seperti yang beliau nyatakan sebelum ini, perbezaan yang terdapat di antara kedua-dua bahasa ini disebabkan oleh arus perkembangan yang berbeza. Menurut beliau, “Penyimpangan ini digerakkan oleh laluan sosiopolitik, perkembangan budaya hidup serta lingkungan etnik yang berbeza” (Asmah, 2002).

Dalam kajiannya tentang penyebaran bahasa Melayu, Asmah Haji Omar (2005) menegaskan bahawa terdapat perbezaan yang jelas dalam pengertian konsep “Melayu” di antara Malaysia dan Indonesia. Bangsa Melayu ditakrifkan sebagai “orang yang lazimnya menggunakan bahasa Melayu, hidup cara Melayu, dan beragama Islam” dalam Perlembagaan Malaysia (Asmah 2005). Takrifan ini jelas memperlihatkan perkaitan di antara agama Islam dengan bangsa Melayu, sedangkan Perlembagaan Indonesia tidak merujuk tentang hubungan antara agama dan bangsa. Perbezaan ini berlaku disebabkan sejarah pembentukan negara dan etos yang berbeza di antara Malaysia dan Indonesia.

Para pengguna bahasa Indonesia lebih berani dalam usaha memodenkan bahasa Indonesia. Usaha memodenkan bahasa ini merujuk kepada praktis peminjaman dari bahasa asing terutama bahasa Belanda. Negara Belanda pernah menjajah Indonesia satu masa dahulu dan oleh yang demikian bahasa Indonesia banyak dipengaruhi oleh bahasa Belanda. Bahasa Melayu juga melakukan praktik yang sama tetapi tidak “seberani”

seperti apa yang dilakukan di Indonesia.

Dari segi sejarah budaya pula, walaupun Malaysia dan Indonesia sama-sama mengalami pengaruh Hindu dan Islam, bahasa Melayu lebih banyak mempunyai pengaruh bahasa Arab berbanding bahasa Indonesia yang lebih cenderung kepada bahasa Sanskrit.

Kecenderungan yang berbeza ini merupakan salah satu sebab akan perbezaan di antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.

(5)

ISSN: 1675-8021

Akhir sekali Asmah mengatakan bahasa Indonesia dipengaruhi kuat oleh budaya suku- suku kaum bumiputra di sana yang mencorakkan perkembangan bahasa itu. Berlainan pula di Malaysia kerana suku bangsa lain yang besar di Malaysia ialah kaum China dan India. Mengikut sejarah, kaum China dan India datang ke Malaysia atas tujuan ekonomi dan oleh itu bahasa mereka tidak mempengaruhi bahasa Melayu. Bahasa Melayu lebih banyak mendapat pengaruh dari dialeknya sendiri (Asmah, 2002).

Oleh yang demikian di atas latar yang berbeza inilah yang membawa kepada perbezaan di antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.

Metodologi

Pengkaji menerapkan beberapa teknik secara bersepadu untuk mengumpul data dan maklumat yang berkaitan dengan tajuk kajian. Dalam kajian yang dilakukan ini, secara terperincinya digunakan empat teknik yang utama, iaitu kaedah soal-selidik, temu- bual/wawancara, analisis kandungan dan kerja perbengkelan.

Mengenai jenis data pula, terdapat dua jenis data yang utama digunakan di dalam kajian ini. Data yang pertama ialah data dari sumber temubual dan soal selidik manakala data kedua dari analisis kandungan. Data yang lain adalah hasil dari kerja perbengkelan iaitu untuk mengenal pasti kelemahan dan kesilapan di dalam penulisan pelajar Indonesia.

Semasa perbengkelan dilakukan, para pelajar Indonesia tersebut diberi beberapa latihan penulisan dan penggunaan kata Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia dan Bahasa Indonesia- Bahasa Melayu.

Soal selidik

Kerja lapangan dibuat dengan penyediaan instrumen soal selidik1 dan temu bual/

wawancara. Pemilihan sampel soal selidik adalah daripada pelajar-pelajar Indonesia di UKM yang sedang menuntut dalam pelbagai bidang. Pelajar-pelajar yang dipilih merupakan pelajar yang telah menjalani pengajian di UKM sekurang-kurangnya setahun.

Ini kerana kami berpendapat setelah mengikuti pengajian selama lebih kurang setahun, para pelajar Indonesia telah mendapat gambaran dan pengalaman akan kesukaran yang mereka hadapi dalam menggunakan bahasa Melayu di dalam pengajian mereka.

Bentuk soal selidik ini dibahagikan kepada dua jenis soalan. Jenis soalan yang pertama ialah soalan objektif2 dan seterusnya soalan subjektif3. Kegunaan soalan terbuka adalah untuk mendapatkan maklumat yang lebih tuntas mengenai satu-satu perkara untuk dijadikan peneguh dan tambahan kepada data yang dijawab oleh responden. Responden ditanya secara umum masalah yang mereka hadapi dalam penggunaan bahasa Melayu

1 Soal selidik merupakan penyambung di antara penyelidik dengan responden. Ia mengandungi soalan-soalan sebagaimana penyelidik bertanyakan soalan kepada responden tetapi dalam kiraan yang lebih teliti (Mohd. Sheffie Abu Bakar, 1991: 54).

2 Soalan tertutup.

3 Soalan terbuka.

(6)

ISSN: 1675-8021

dan secara spesifiknya pula para pelajar diminta memberikan contoh masalah-masalah yang dihadapi.

Temu bual/Wawancara

Sesi temu bual atau wawancara juga dilakukan. Temu bual dilakukan dengan pelajar- pelajar Indonesia yang telah dipilih secara rawak. Temu bual dilakukan untuk mendapatkan pandangan daripada pengalaman mereka mengenai permasalahan dan hal- hal yang berkaitan dengan pembelajaran bahasa Melayu. Teknik ini berlandaskan soalan- soalan yang telah disediakan dan juga soalan-soalan akan diubah suai atau ditambah mengikut keperluan semasa temu bual dilakukan.

Analisis kandungan

Kaedah analisis kandungan digunakan bagi mendapat maklumat asas tentang kesalahan yang ditulis oleh pelajar-pelajar Indonesia di dalam menulis tesis dan disertasi mereka.

Tesis dan disertasi yang dipilih adalah tesis-tesis dan disertasi-disertasi jurusan Sains Sosial dari tahun 90-an sehinggalah kepada 2004. Analisis ini merujuk kepada kandungan yang terdapat di dalam penulisan tesis dan disertasi terutamanya pada bahagian kesalahan penggunaan istilah/kosa kata dan penggunaan ayat bahasa Melayu.

Bengkel

Teknik yang seterusnya adalah melalui program berbengkel di antara pengkaji dan pelajar dari Indonesia. Bengkel sehari bertajuk Bengkel Bahasa Melayu Akademik ini telah diadakan pada 21 Disember 2004 bertempat di Hotel Equatorial Bangi, Selangor. Ia telah dihadiri oleh 25 orang pelajar Indonesia yang sedang melanjutkan pengajian mereka di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah. Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk mengenal pasti kelemahan dan kesilapan di dalam penulisan yang sering dilakukan oleh pelajar Indonesia. Di samping itu, ia juga untuk meningkatkan pengetahuan bahasa Melayu pelajar-pelajar Indonesia, khususnya bahasa Melayu ilmiah dan mendedahkan kepada pelajar ini tentang adanya perbezaan di antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Akhirnya bengkel ini dapat memberi pengetahuan yang diperlukan oleh pelajar-pelajar Indonesia mengenai bahasa Melayu yang lebih berkesan dan dapat meningkatkan kecemerlangan pelajar di dalam bidang penulisan dan penerbitan.

Dalam masa yang sama, objektif utama bengkel ini dianjurkan adalah untuk membuat perbincangan dua hala dalam mendapatkan data secara langsung dari pelajar berkaitan masalah yang mereka hadapi dalam pembacaan dan penulisan. Para pelajar digalakkan untuk memberitahu masalah yang mereka hadapi semasa menggunakan bahasa Melayu terutama sekali apabila mereka menulis tesis dan disertasi. Perbincangan ini juga telah dihadiri beberapa orang sarjana bahasa yang dapat memberi komen dan cadangan yang akan membantu pelajar dan kajian yang dilakukan.

(7)

ISSN: 1675-8021 Dapatan Kajian

Asmah Hj Omar (2002) dalam kajiannya telah melabelkan perbezaan di antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia dalam empat kategori iaitu telus dan legap di dua penghujung penilaian dan di antara keduanya terdapat dua kategori lagi iaitu samar- samar dan kabur. Dalam kajian tentang perbezaan istilah Malaysia dan Indonesia, Nor Hashimah Jalaluddin & Halimah Hj. Ahmad (2005) pula melabelkan perbezaan- perbezaan tersebut sebagai telus, konflik dan legap. Data untuk kajian mereka diperolehi daripada Projek Penyelidikan Persilihan Istilah Malaysia Indonesia (2004). Oleh yang demikian kami telah mengambil ketetapan untuk mengadaptasi kedua-dua kajian tersebut dan melabelkan perbezaan yang kami dapati dalam kajian ini sebagai telus, samar- samar dan legap.

Kategori telus

Untuk kategori telus, ungkapan-ungkapan dan perkataan-perkataan yang disenaraikan adalah terdiri dari kata-kata pinjaman terutamanya dari bahasa Inggeris dan kemudiannya ditransliterasikan ke dalam bahasa Indonesia. Perbezaan ejaan pada kata-kata tersebut tidak mendatangkan masalah kerana maknanya masih boleh dikenalpasti. Selain daripada itu terdapat juga kata-kata yang berbeza ejaan (bukan kata pinjaman) dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Perbezaan ejaan ini tidak mendatangkan masalah pemahaman, cuma ianya tidak mengikuti kelaziman ejaan bahasa Melayu. Antara contoh- contoh perkataan untuk kategori telus adalah seperti berikut:

a. kondisi/condition keadaan b. minoritas/minority minoriti c. mayoritas/majority majoriti d. koalisi/coalition perikatan

e. karena kerana

f. majelis majlis

g. mau mahu

h. bagian bahagian

Seperti yang ternyata daripada contoh-contoh di atas, penggunaan ejaan bagi kata-kata tersebut di dalam penulisan akademik tidak membawa kepada masalah pemahaman.

Penggunaan kata-kata seperti minoritas, koalisi, mau dan bagian masih boleh difahami Cuma ianya tidak memenuhi konvensi ejaan bahasa Melayu dan juga praktik peminjaman kata yang terlalu liberal. Apa yang dimaksudkan dengan ’terlalu liberal’ di sini adalah meminjam kata (terutamanya dari bahasa Inggeris) walaupun terdapat padanannya di dalam bahasa Melayu.

Kategori samar

Ungkapan-ungkapan dan perkataan-perkataan yang boleh disenaraikan dalam kategori samar ini merangkumi ungkapan-ungkapan yang kelihatan sama (atau hampir sama) dari segi bentuk dan ejaannya di antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia, namun

(8)

ISSN: 1675-8021

membawa makna yang berbeza dalam kedua-dua bahasa. Di antara contohnya adalah seperti berikut:

a. Lewat (melalui)

b. Pantas (sesuai/secocok)

c. Ribut (bising)

d. Sulit (sukar)

e. Menjemput (mengambil orang di suatu tempat) f. Pusing (pening kepala)

g. Lelah (letih)

h. Hawa (cuaca)

i. Gedung (bangunan) j. Tanggal (tarikh)

Daripada contoh-contoh di atas dapat dilihat beberapa perkataan daripada bahasa Indonesia yang juga wujud dalam bahasa Melayu, tetapi berlainan pengertiannya dalam bahasa Melayu. Apabila perkataan ini digunakan oleh pelajar Indonesia, tentu sahaja kekeliruan akan timbul di kalangan pembaca, iaitu para pensyarah dan penyelia di Malaysia. Kekeliruan atau silap faham di antara dua pihak ini timbul disebabkan oleh kesamaran makna yang wujud dalam konteks penggunaan ungkapan dan perkataan tersebut. Sebagai contoh, pelajar menganggap pensyarah dapat memahami makna perkataan gedung dengan tanggapan perkataan itu ada dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, mereka tidak menyedari bahawa medan makna gedung dalam bahasa Indonesia lebih luas merangkumi pelbagai bentuk binaan sama ada kecil ataupun besar, sedangkan dalam bahasa Melayu gedung hanya merujuk kepada bangunan yang besar seperti gedung membeli-belah.

Kategori legap

Kategori legap pula merangkumi penggunaan perkataan-perkataan bahasa Indonesia yang tidak dapat difahami langsung oleh pensyarah walaupun telah cuba ditafsirkan maknanya berdasarkan konteks penggunaannya. Ungkapan-ungkapan dalam kategori legap ini termasuklah perkataan yang tidak pernah didengar, dan penggunaan akronim atau singkatan yang dianggap asing penggunaannya dalam bahasa Melayu. Disebabkan oleh maknanya yang legap, maka dengan itu menghalang kefahaman pensyarah terhadap sesuatu penulisan yang menggunakan akronim atau ungkapan tertentu. Beberapa ungkapan yang termasuk dalam kategori ini adalah seperti berikut:

a. Gratis (percuma)

b. Tata krama (kesusilaan)

c. Kasus (kes)

d. Bioskop (pawagam)

e. Ganteng (kacak/tampan) f. Terawangan (layar)

g. Pabrik (kilang)

h. Kulkas (peti sejuk) i. Macet (kesesakan lalulintas)

(9)

ISSN: 1675-8021 Kesimpulan

Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia adalah dua variasi dari bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu. Walaubagaimana pun, oleh kerana kedua-dua bahasa ini telah mengalami perubahan dan perkembangan yang tersendiri maka terdapat perbezaan yang mungkin akan mengelirukan pengguna kedua-dua bahasa.

Perbezaan-perbezaan di antara kedua-dua bahasa ini telah mendatangkan masalah kepada para penyelia pelajar sarjana Indonesia di UKM. Ini kerana para pelajar Indonesia ini sering menggunakan laras bahasa Indonesia di dalam penulisan akademik mereka.

Amalan ini mendatangkan masalah apabila sesetengah penggunaan perkataan itu amat ketara perbezaan maknanya dan ini akan mengganggu pemahaman pembaca iaitu penyelia mereka. Oleh yang demikian kajian ini bertujuan untuk menghasilkan sebuah buku kecil yang akan memuatkan kosa kata yang berbeza bentuk dan makna sebagai panduan atau rujukan kepada para pelajar Indonesia di dalam penulisan akademik mereka.

Rujukan

Abdul Samad Hadi, Yang Farina Abdul Aziz, Mazlin Mokhtar and Zalizan M. Jelas.

(2002). UKM-The National University with an International Reach. Dlm. Senada, (251):14-15.

Asmah Hj Omar. (1979). Perbandingan Abdullah Hassan dan Anas Makruf dalam penterjemahan karya Steinbeck “The Pearl”. Dlm Asmah Hj. Omar (pnyt.) Aspek Penterjemahan dan Interpretasi, hlm. 99-107. Kuala Lumpur: Pusat Bahasa, Universiti Malaya.

Asmah Haji Omar. (2002). Wujudkah Tembok Bahasa Antara Malaysia dan Indonesia?

Dlm. Setia dan Santun Bahasa. Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Asmah Haji Omar (2005). Alam dan Penyebaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Annual Report (2002). Center for Public and International Relations, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ismail Sahid. (2003). Dasar dan Matlamat Pengajian Siswazah UKM. Centre for Graduate Studies, UKM.

Mohd. Sheffie Abu Bakar. (1991). Metodologi Penyelidikan (Edisi Kedua). Bangi:

Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

(10)

ISSN: 1675-8021

Nor Hashimah Jalaluddin dan Halimah Hj. Ahmad. (2005). Perbezaan Istilah Malaysia- Indonesia: Satu Analisis Linguistik.. Kertas kerja di Persidangan Antarabangsa Leksikologi dan Leksikografi Melayu (PALMA). Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Projek Penyelidikan Persilihan Istilah Malaysia Indonesia. (2004). Bahagian Peristilahan.

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rumusan Arahan Kerja Persijilan ISO 9001:2000 Pengajian Siswazah Sesi 2004/2005.

Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2005.

Statistik Pelajar Antarabangsa, Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Kebangsaan Malaysia.2005.

Biodata penulis

Dr. Norsimah Mat Awal ialah seorang pensyarah kanan di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. Makalah penulisan beliau telah diterbitkan di dalam jurnal dan juga sebagai bab di dalam buku. Beliau juga telah menjalankan kajian mengenai dialek dan juga kajian perbezaan semantik di antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.

Nor Zakiah Abdul Hamid merupakan seorang pensyarah dalam bidang pengajian terjemahan di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. Bidang penyelidikan beliau tertumpu kepada isu sosio-budaya dalam terjemahan serta perbandingan struktur bahasa, dan meminati bidang pengajian terjemahan berasaskan korpus.

Dr. Hafriza Burhanudeen ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. Beliau juga menyandang jawatan Ketua Unit Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa di Pusat Pengajian Siswazah, UKM. Beliau mendapat ijazah kedoktoran dari Georgetown University, Washington D.C. Bidang penyelidikan beliau ialah bahasa dan isu sosial dengan tumpuan pada bahasa dan diplomasi dan bahasa dalam undang-undang antarabangsa.

Mohammed Azlan Mis bertugas di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. Beliau memiliki ijazah Sarjana Falsafah dalam bidang linguistik. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang dialektologi, sosiolinguistik dan pendidikan bahasa sebagai bahasa kedua.

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN

Hasil penelitian ini menunjukkan bahwa terjadinya kesamaan dan kemiripan bentuk dengan makna yang sama dalam bahasa Indonesia dan bahasa Makassar disebabkan oleh adanya

Kajian ini bertujuan untuk meneroka penguasaan murid dalam mata pelajaran bahasa Melayu Penulisan serta kekangan yang dihadapi oleh semasa pengajaran dan pembelajaran

Oleh itu, buku ini amat relevan sebagai sumber rujukan kepada pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan pengajian tinggi seperti pensyarah, penyelidik, pelajar pascasiswazah

Kelima, kerana nilai makna, iaitu penutur Bahasa Melayu sering menggunakan kosa kata dalam Bahasa Inggeris untuk menyampaikan sesuatu yang ingin diungkapkan kerana sukar mencari

Secara umumnya, kajian ini adalah kajian kuantitatif yang dijalankan bagi mengukur saiz kosa kata bahasa Arab dalam kalangan pelajar Melayu yang mengikuti pengajian di

Oleh yang demikian, kajian ini dijalankan bagi mengenalpasti salah satu cabaran yang dihadapi oleh pelajar pasca siswazah: cabaran dalam mempraktikkan bahasa

Oleh yang demikian, di sini perlunya satu garis panduan piawai yang boleh menjadi rujukan kepada pengguna dan pereka ruang dapur dalam menghasilkan reka bentuk kabinet

Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar akan aspek–aspek yang berkaitan dengan sosiolinguistik bahasa Melayu.. Bahasa dalam masyaraka dijadikan asas