• Tiada Hasil Ditemukan

View of Cabaran Penerapan Strategi Metakognitif dalam Pengajaran Penyelesaian Masalah Ekonomi Tingkatan Enam

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Share "View of Cabaran Penerapan Strategi Metakognitif dalam Pengajaran Penyelesaian Masalah Ekonomi Tingkatan Enam"

Copied!
11
0
0

Tekspenuh

(1)

Cabaran Penerapan Strategi Metakognitif dalam Pengajaran Penyelesaian Masalah Ekonomi Tingkatan Enam

(Challenges of Implementing Metacognitive Strategies in the Teaching of Problem-Solving for Economics in Form Six)

Nur Izzatul Syahirah Tan Abdullah1*, Zaimuariffudin Shukri Nordin1, Norehan Zulkiply1

1 Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak, Kota Samarahan, Malaysia

*Pengarang Koresponden: izzatul.syahirahtan@gmail.com Accepted: 15 September 2021 | Published: 1 October 2021

_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Kemahiran penyelesaian masalah merupakan salah satu kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh pelajar khususnya pelajar Ekonomi yang sering mengalami kesukaran dalam pemahaman konsep dan teori Ekonomi yang bersifat abstrak. Beberapa kajian lepas mencadangkan bahawa terdapat perkaitan antara penguasaan kemahiran penyelesaian masalah dengan proses metakognitif. Komponen utama dalam regulasi metakognitif iaitu perancangan, pemantauan dan penilaian didapati berupaya meningkatkan kemahiran berfikir serta kemahiran penyelesaian masalah pelajar dalam Ekonomi. Penerapan strategi metakognitif dalam pengajaran penyelesaian masalah boleh dicadangkan sebagai salah satu intervensi untuk menangani kesukaran dalam pembelajaran Ekonomi di sekolah. Guru pula memainkan peranan yang amat penting untuk menggalakkan pelajar menggunakan strategi metakognitif dalam proses pembelajaran mereka. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk meneroka cabaran penerapan strategi metakognitif dalam pengajaran penyelesaian masalah Ekonomi Tingkatan Enam. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berbentuk kajian kes yang melibatkan dua orang guru Ekonomi Tingkatan Enam. Pengumpulan data dilakukan melalui temu bual mendalam dan dianalisis secara tematik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat empat cabaran utama yang dihadapi oleh guru iaitu kekangan masa, pengetahuan guru tentang strategi metakognitif, penyediaan bahan pengajaran dan kesediaan pelajar. Kajian ini diharapkan dapat memberi cadangan untuk memperkukuh kerangka model pengajaran Ekonomi berasaskan penyelesaian masalah dan strategi metakognitif yang bersifat praktikal dan mencadangkan implikasi kepada polisi melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta amalan pihak sekolah dan juga guru.

Kata kunci: Strategi Metakognitif, Pengajaran Penyelesaian Masalah, Guru Ekonomi, Tingkatan Enam, Cabaran

Abstract: Problem-solving skill is one of the important skills that need to be mastered by students, especially Economics students who often have difficulty in understanding Economic concepts and theories that are abstract. Several past findings suggest that there was a relationship between the mastery of problem-solving skills and metacognitive processes. The main components in metacognitive regulation namely planning, monitoring, and evaluation, were found to be able to improve students’ thinking and problem-solving skills in Economic.

The implementation of metacognitive strategies in the teaching of problem-solving can be proposed as one of the interventions to address difficulties in Economic learning in schools.

Teachers, on the other hand, play a very important role to encourage students to use metacognitive strategies in their learning process. Therefore, this study was conducted to

(2)

explore the challenges of implementing metacognitive strategies in the teaching of problem- solving for Economics in Form Six. This study used a qualitative approach, particularly a case study involving two Form Six Economics teachers. Data were collected using in-depth interviews and were analyzed thematically. The findings of the study showed that there were four main challenges faced by teachers; namely time constraints, teachers’ knowledge of metacognitive strategies, preparation of teaching materials, and student readiness. This study is expected to provide recommendations to strengthen the framework for Economic teaching model based on problem-solving and metacognitive strategies that are practical and suggest implications to policies involving the Ministry of Education Malaysia (MOE) as well as the schools and teachers' practices.

.

Keywords: Metacognitive Strategies, Teaching of Problem-solving, Economics Teachers, Form Six, Challenges

_________________________________________________________________________

1. Pengenalan

Kurikulum sekolah Malaysia bermatlamat untuk membangunkan pelajar secara menyeluruh, merangkumi dimensi intelek, rohani, emosi, dan jasmani seperti yang terkandung Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Untuk melahirkan insan yang seimbang, kriteria intelek turut diberi penekanan sesuai dengan potensi seseorang pelajar itu. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 turut menggariskan enam aspirasi yang diperlukan oleh setiap pelajar untuk berupaya bersaing di peringkat global, dan salah satunya ialah kemahiran berfikir (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Seiring dengan keperluan kompetensi global, setiap pelajar perlu menguasai pelbagai kemahiran berfikir termasuk penyelesaian masalah, penaakulan serta pemikiran kreatif dan inovatif. Guru pula memainkan peranan yang penting untuk mencorakkan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di dalam kelas. Guru yang menerapkan kemahiran berfikir dalam pengajaran berupaya untuk melahirkan pelajar yang berprestasi tinggi, lebih bekerjasama dan penyelesai masalah yang lebih baik (Rajendran, 2018). Sehubungan itu, guru yang bertindak sebagai pemudah cara di dalam bilik darjah perlulah mengambil inisiatif untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agar proses PdPc dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

Corak pemikiran yang menerapkan strategi metakognitif dilihat sebagai satu alternatif pendekatan pengajaran yang sangat berkesan kerana berupaya membantu pelajar untuk mengawal proses pembelajaran mereka dan menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar. Metakognitif pada asasnya ialah berfikir tentang pemikiran. Perkataan metakognitif mula diperkenalkan oleh Flavell dan Wellman pada tahun 1975 dengan dikenali sebagai metamemori pada ketika itu. Secara mudahnya, metakognitif juga boleh dikenali sebagai mengenali dan mengatur pemikiran seseorang (Hughes, 2017) atau pengetahuan seseorang mengenai proses pemikiran sendiri (Bruning et al., 1995). Metakognitif boleh dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu pengetahuan metakognitif dan regulasi metakognitif (Brown, 1987; Jacobs & Paris, 1987; Schraw & Moshman, 1995). Jacobs dan Paris, (1987) mengkategorikan pengetahuan metakognitif kepada pengetahuan deklaratif, prosedural dan kondisional, manakala Brown (1987) pula menjelaskan regulasi metakognitif sebagai aktiviti seperti perancangan, pemantauan, penilaian dan menyemak semula yang sangat signifikan dengan kemahiran berfikir. Menurut teori kognitif, metakognitif diperlukan untuk memahami bagaimana tugasan dilaksanakan (Garner, 1987) manakala strategi metakognitif pula berupaya membantu pelajar untuk menguruskan proses pembelajaran mereka seperti

(3)

menetapkan matlamat pembelajaran, merancang, memantau dan menilai proses serta hasil pembelajaran mereka (Shahlan Surat et al., 2013).

Selain itu, terdapat kajian-kajian lepas yang menunjukkan bahawa penerapan strategi metakognitif dalam pengajaran dapat meningkatkan prestasi pelajar (Shahlan Surat et al., 2013) dan memberi kesan positif terhadap tahap kemahiran penyelesaian masalah pelajar (Amin et al., 2018; Ariffin et al., 2019; Bunga et al., 2018; Hidayah et al., 2018). Pelajar yang menggunakan proses metakognitif pula dapat mengintegrasikan idea baharu dengan pengetahuan sedia ada untuk mencapai pemahaman yang lebih mendalam dan menjadikan pembelajaran lebih bermakna (meaningful learning) (Bahri & Corebima, 2019; Bran & Balaş, 2011; Khoo Yin Yin, 2008). Oleh itu, pembelajaran bermakna dengan menggunakan strategi metakognitif adalah sangat bersesuaian dengan pembelajaran Ekonomi yang memerlukan pelajar untuk menguasai pemahaman konsep yang abstrak bagi menyelesaikan masalah (Mokos & Kafoussi, 2013; Safari & Meskini, 2015). Pengintegrasian strategi metakognitif dalam pengajaran penyelesaian masalah juga dapat melatih pelajar dalam perancangan, pengurusan maklumat, pemantauan, penambahbaikan dan penilaian dalam penyelesaian masalah (Aisyafahmi et al., 2019). Contoh aktiviti pengajaran yang menerapkan strategi metakognitif ialah pertanyaan reflektif dan reflektif spontan, permodelan (scaffolding), berfikir secara verbal (think aloud), penilaian kendiri dan pengurus grafik (Gama, 2004). Pulmones (2007) pula menyatakan strategi metakognitif yang boleh diterapkan di dalam bilik darjah ialah mengenal pasti perkara yang diketahui dan perkara yang tidak diketahui, menyediakan jurnal pembelajaran (learning journals), merancang dan regulasi kendiri, meringkaskan proses berfikir dan penggunaan peta minda. Selain itu, aktiviti pembelajaran seperti tugasan atau projek, permainan, kajian kes dan inovasi juga boleh dilaksanakan untuk meningkatkan tahap pemikiran metakognitif pelajar (Smith, 2013). Walaupun strategi metakognitif telah terbukti bermanfaat kepada pelajar, tetapi kajian yang meneroka amalan penerapan strategi metakognitif dalam kalangan guru Ekonomi adalah terhad. Oleh itu, kajian ini dilaksanakan dengan meneroka cabaran penerapan strategi metakognitif dalam pengajaran penyelesaian masalah Ekonomi Tingkatan Enam.

2. Pernyataan Masalah

Pendekatan pengajaran yang berasaskan kemahiran berfikir semakin diberi penekanan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada masa kini, seperti yang dinyatakan dalam PPPM 2013-2025. Walau bagaimanapun, kekangan masa menyebabkan kebanyakan guru masih mengamalkan pendekatan pengajaran yang konvensional dan berpusatkan guru (Farrah Dina Yusop, 2011; Khoo Yin Yin, 2008; Yusuf et al., 2020). Kaedah kuliah merupakan kaedah yang paling banyak digunakan dalam pengajaran Ekonomi iaitu pelajar banyak menghabiskan masa untuk mendengar serta mencatat nota (Alkan & Kaya, 2015). Kaedah pembelajaran konvensional juga dikritik kerana tidak berupaya untuk menyediakan suasana persekitaran pembelajaran yang dinamik dan inovasi serta tidak menggalakkan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar (Amin et al., 2018). Sistem pendidikan di Malaysia yang masih berfokuskan peperiksaan serta sukatan pelajaran yang luas dan perlu dilaksanakan dalam tempoh masa yang singkat pula menyebabkan guru menghadapi masalah kekurangan masa untuk merancang aktiviti pengajaran serta menyediakan bahan pengajaran yang menerapkan kemahiran berfikir.

Akibatnya, pelajar lebih banyak menggunakan kaedah penghafalan fakta dan formula Ekonomi serta kaedah latih tubi berterusan. Hal ini menyebabkan pembelajaran menjadi tidak bermakna dan mendalam.

(4)

Pendekatan pengajaran yang kurang memberi penekanan terhadap kemahiran berfikir juga memberi kesan negatif terhadap tahap kemahiran penyelesaian masalah, kesedaran kendiri, pemikiran kritikal, kreatif, dan komunikasi pelajar. Hasil penyeliaan pedagogi yang dibuat oleh Belenkova (2020) mendapati bahawa guru menggunakan strategi pengajaran yang kurang berkesan semasa melaksanakan pembelajaran penyelesaian masalah. Hal ini memberi impak yang besar kerana pendekatan pengajaran guru memainkan peranan yang penting dalam merangsang pemikiran pelajar (Pertiwi et al., 2019). Pelajar Ekonomi yang mempunyai aras pemikiran yang tinggi juga lebih cemerlang dalam pembelajaran berbanding dengan pelajar yang lebih rendah aras pemikirannya (Valentina et al., 2019). Justeru, guru perlu mempelbagaikan strategi pengajaran bagi meningkatkan kefahaman serta pemikiran aras tinggi pelajar selain mengekalkan minat dan motivasi mereka terhadap subjek Ekonomi (Arsaythamby & Julinamary, 2015; Berková, 2015). Namun begitu, ramai guru kurang memberi tumpuan terhadap aspek pemikiran dan motivasi pelajar yang sekali gus menyebabkan pelajar tidak berminat terhadap proses penyelesaian masalah (Berková, K.;

Krejčová, 2016) serta akhirnya akan mempengaruhi tahap pencapaian akademik mereka (Yusuf et al., 2020).

Berdasarkan permasalahan ini, kajian ini dilaksanakan dengan memberi tumpuan terhadap cabaran yang dihadapi oleh guru Ekonomi Tingkatan Enam untuk menerapkan strategi metakognitif dalam pengajaran penyelesaian masalah Ekonomi Tingkatan Enam. Salah satu alternatif kepada strategi pengajaran yang sedia ada ialah pengintegrasian strategi metakognitif dengan pengajaran penyelesaian masalah bagi mengatasi masalah kesukaran pembelajaran dalam Ekonomi. Akhirnya, diharapkan dapat meningkatkan kemahiran berfikir dan kemahiran penyelesaian masalah pelajar dalam mata pelajaran Ekonomi serta menjadikan pembelajaran Ekonomi lebih bermakna dan mendalam.

3. Objektif dan Persoalan Kajian

Kajian ini bertujuan untuk meneroka cabaran yang dihadapi oleh guru Ekonomi Tingkatan Enam untuk melaksanakan penerapan strategi metakognitif dalam pengajaran penyelesaian masalah Ekonomi. Penerokaan cabaran ini adalah penting dan perlu diberi perhatian untuk menghasilkan cadangan kerangka model pengajaran penyelesaian masalah Ekonomi berasaskan strategi metakognitif. Persoalan kajian yang akan dijawab dalam kajian ini ialah, apakah cabaran yang dihadapi oleh guru untuk melaksanakan penerapan strategi metakognitif dalam pengajaran penyelesaian masalah Ekonomi?

4. Metodologi kajian

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berbentuk kajian kes. Kajian kes membolehkan pengkaji memahami sesuatu fenomena dengan lebih mendalam (Yin, 2011). Temu bual mendalam secara separa berstruktur telah dilaksanakan untuk meneroka fenomena dalam kajian ini iaitu cabaran yang dihadapi oleh guru Ekonomi Tingkatan Enam untuk melaksanakan amalan penerapan strategi metakognitif dalam pengajaran penyelesaian masalah. Dua orang peserta kajian telah dipilih dengan menggunakan teknik persampelan bertujuan. Kajian berbentuk penerokaan perlu memfokuskan kepada bilangan peserta kajian yang sedikit dan menggunakan teknik persampelan bertujuan bagi memperoleh maklumat yang mendalam (Miles & Huberman, 1994). Merriam (2009) pula mencadangkan agar penggunaan teknik persampelan bertujuan dimulakan dengan mengenal pasti kriteria utama dalam pemilihan peserta atau pun lokasi kajian. Oleh yang demikian, pengkaji telah menyenaraikan ciri-ciri utama pemilihan peserta kajian, iaitu; (1) berkhidmat di sekolah menengah di negeri Sarawak,

(5)

(2) mengajar mata pelajaran Ekonomi Tingkatan Enam, (3) telah dilantik sebagai guru akademik Tingkatan Enam, dan (4) bersedia untuk terlibat sebagai peserta kajian. Nama samaran (pseudonym) digunakan bagi menjaga kerahsiaan peserta kajian. Profil dua peserta kajian ini adalah seperti berikut:

Jadual 1: Profil Peserta Kajian

Cikgu Ho Cikgu Adi

Umur 52 tahun 45 tahun

Gred DG54 DG48

Kelulusan Akademik Tertinggi Ijazah Sarjana Muda Ijazah Sarjana Muda

Pengkhususan Ekonomi Perakaunan

Pengalaman Mengajar Ekonomi Tingkatan Enam

16 tahun 17 tahun

Kajian ini telah mendapat kelulusan daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kebenaran untuk menjalankan kajian juga telah diperoleh daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pengetua di sekolah yang terlibat. Penyertaan peserta kajian adalah secara suka rela dan persetujuan termaklum (informed consent) juga telah diperoleh daripada kedua-dua peserta kajian. Temu bual dirakam dengan menggunakan alat perakam suara dan hasil temu bual ditranskripsikan secara verbatim.

Data temu bual dianalisis secara tematik dengan memberi tumpuan untuk menjawab persoalan kajian. Kajian ini terbatas kepada dua orang peserta kajian yang dipilih daripada 13 orang peserta kajian dalam kajian penuh. Kajian ini juga terbatas kepada satu persoalan kajian sahaja yang dipilih oleh pengkaji.

5. Dapatan Kajian

Hasil temu bual mendalam mendapati bahawa, guru Ekonomi menghadapi beberapa cabaran untuk melaksanakan penerapan strategi metakognitif dalam pengajaran penyelesaian masalah Ekonomi, iaitu (i) kekangan masa, (ii) pengetahuan guru tentang strategi metakognitif, (iii) penyediaan bahan pengajaran dan (iv) kesediaan pelajar.

i) Kekangan masa

Cabaran utama yang dihadapi oleh guru Ekonomi Tingkatan Enam ialah kekangan masa.

Sukatan pelajaran yang luas serta perlu dihabiskan dalam semester yang agak pendek menyebabkan guru sukar untuk melaksanakan pengajaran yang menggalakkan pelajar untuk berfikir aras tinggi. Perkara ini seperti yang dinyatakan oleh Cikgu Ho.“Bagi saya, sebenarnya proses memikir ini, dia perlu step by step. Jadi bagi saya, masa bersemuka itu tidak mencukupi.

Kalau boleh, satu waktu 50 minit, itu sesuai. Itulah satu-satunya masalah saya. Sebab pelajar nak faham, masa tak cukup, sangat sayang. Nak habiskan syllabus, boleh. Tapi nak capai objektif tu, susah. Itu yang saya rasa.”

Sehubungan itu, pengajaran dilaksanakan dengan menggunakan kaedah konvensional seperti memberi penerangan secara kuliah serta latih tubi yang berterusan. Pelajar banyak menggunakan kaedah hafalan yang akhirnya menyebabkan pembelajaran menjadi kurang bermakna. Menurut Cikgu Adi, pengajaran dilaksanakan dengan berorientasikan peperiksaan menggunakan kaedah menghafal. Kata Cikgu Adi, “Yes. Exam oriented. At the same time, kita juga terapkan nilai-nilai murni. Macam saya katakan tadi. Saya beri soalan dulu untuk mereka study di rumah. Hadamkan semula apa yang telah saya sampaikan kepada mereka di dalam kelas. At least, kalau tak dapat ingat 100%, dapat ingat 50% pun dah kira syukur. Jangan zero atau pun lima peratus. Selepas itu, keesokan harinya, bagi kuiz untuk uji sejauh mana mereka

(6)

dapat menguasai tajuk yang telah dipelajari pada hari sebelumnya.” Pernyataan Cikgu Adi ini menunjukkan bahawa sistem pendidikan yang masih berorientasikan peperiksaan serta kekangan masa yang dihadapi menyebabkan guru terpaksa menggunakan kaedah kuliah untuk menyampaikan kandungan pelajaran serta pelajar perlu menghafal dan membuat latih tubi secara berterusan bagi mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

ii) Pengetahuan guru tentang strategi metakognitif

Cabaran seterusnya ialah kurangnya pengetahuan tentang strategi metakognitif. Cikgu Adi menyatakan bahawa beliau tidak pernah mendengar perkataan metakognitif sebelum ini tetapi selepas membaca maklumat yang dibekalkan oleh pengkaji, baharulah beliau faham serba sedikit tentang strategi metakognitif. Menurut beliau, “Ok, secara jujurlah. Saya baru tahu istilah metakognitif. Kognitif itu memang perkara biasalah, kita memang tahulah. Bila metakognitif tu, saya baru jumpalah dalam kajian cikgu. Dan bila saya tengok carta alir yang cikgu bagi tu, ada faham serba sedikitlah. Ia lebih kepada setakat mana pelajar itu sendiri tahu dia faham apa yang saya sampaikan. Lebih kurang macam itu. Jadi saya rasa ia berkaitan juga dengan objektif saya, untuk kenal pasti pelajar tahu ke tak, apa yang sedang saya ajar.

Dia sedar atau tidak.”

Perkara ini mungkin disebabkan guru Ekonomi tidak didedahkan dengan latihan-latihan yang boleh meningkatkan kompetensi mereka dalam pengajaran khususnya yang berkaitan dengan strategi untuk meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi. Kata Cikgu Ho, “Kami ada LDP, tapi kebanyakannya tentang perkara lain. Ikut fokus cikgulah. Tetapi memang tidak ada yang berkaitan dengan kemahiran berfikir ini. Kalau bengkel di luar tu, tentang rubrik kerja kursus sahaja. Yang lain, tak ada. Di sini, kami tak buat LDP seperti menjemput SIP atau SIC+ tu untuk buat apa-apa program.” Latihan-latihan pedagogi perlu dilaksanakan untuk memberi pendedahan kepada guru-guru tentang konsep strategi metakognitif, kepentingannya serta kaedah untuk menerapkan strategi tersebut dalam pengajaran penyelesaian masalah.

iii) Penyediaan bahan pengajaran

Kesukaran untuk menyediakan bahan pengajaran yang menerapkan strategi metakognitif juga merupakan salah satu cabaran kepada guru-guru Ekonomi. Tambahan pula mereka tidak diberi pendedahan berkaitan amalan penerapan strategi metakognitif ini di dalam PdPc. Menurut Cikgu Adi, perancangan bahan pengajarannya lebih kepada berpandukan sukatan pelajaran dan buku sahaja. “Kalau saya, memang tak jauh lari daripada, pelajar di akhir ceritanya akan menjawab peperiksaan STPM. Memang itu yang akan dilihat oleh pihak pengurusan dan kementerian. Pada masa yang sama, kita akan terapkan JERI di dalam setiap pelajar itu. Jadi perancangan saya memang berdasarkan syllabus dan bukulah. Saya risau tertinggal maklumat yang terdapat dalam buku tersebut. Memang saya akan explain satu persatu. Biasanya saya akan sediakan soalan kuiz dari subtopik yang dijangka akan keluar dalam STPM.”

Bagi Cikgu Ho pula, beliau mengakui bahawa jarang mempunyai masa untuk menyediakan bahan pengajaran yang boleh menggalakkan pelajar untuk berfikir aras tinggi. Beliau hanya menyediakan bahan pengajaran yang melibatkan aktiviti pelajar sebanyak empat hingga lima kali setahun iaitu ketika dicerap oleh pengetua. Kata beliau, “Ini khas untuk pengetua. Kalau setiap hari saya buat ini, saya tak ada masa. Saya akui, ini saya buat mungkin empat hingga lima kali sahaja dalam setahun.” Penyediaan bahan pengajaran yang boleh menggalakkan pelajar untuk berfikir aras tinggi adalah penting untuk keberkesanan penerapan strategi metakognitif dalam pengajaran.

(7)

iv) Kesediaan pelajar

Guru Ekonomi juga sering menghadapi cabaran dari segi kesediaan pelajar untuk melaksanakan strategi metakognitif dalam pengajaran Ekonomi. Apabila pelajar tidak bersedia, proses untuk menerapkan strategi metakognitif itu menjadi kurang berkesan. Menurut Cikgu Ho, beliau akan pastikan pelajar bersedia terlebih dahulu sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Kata beliau, “Ini satu proses yang sangat subjektif. Saya selalu tengok kesediaan pelajar. Kesediaan itu ada dua. Satu ialah ilmu, satu ialah faktor persekitaran. Dia akan mempengaruhi. Saya bagi contoh persekitaran. Contoh hari ini, kita memang bersemangat nak buat aktiviti. Buat pukul 7.00 pagi. Tapi disebabkan hujan lebat, kadang-kadang lewat sikit. Adakah mereka bersedia teruskan rancangan saya? Saya fikir kalau kita teruskan, objektif pembelajaran mungkin tidak tercapai.”

Selain itu, kebanyakan pelajar juga hanya memberi tumpuan kepada kandungan pelajaran seperti yang terdapat di dalam sukatan pelajaran. Maka, mereka lebih cenderung untuk menghafal kandungan pelajaran sahaja dan tidak bersedia untuk membuat aktiviti yang menggalakkan mereka berfikir seperti membuat peta minda. Kata cikgu Adi, “Saya pernah minta pelajar untuk buat peta minda, tapi ini yang pelajar komenlah. “Membebankan”, kata mereka. Mereka kurang berminat, jadi tak boleh paksa. Mereka malas fikir bentuk peta minda tu sebab mereka bukan jenis yang visual. Mereka jenis yang menghafal.”

Kesimpulannya, empat cabaran untuk menerapkan strategi metakognitif dalam pengajaran penyelesaian masalah telah dikenal pasti daripada dua orang peserta kajian. Langkah proaktif perlu diambil oleh pihak pentadbiran sekolah, JPN dan KPM untuk mengatasi cabaran ini agar pengajaran penyelesaian masalah yang berasaskan strategi metakognitif dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

6. Perbincangan

Faktor kekangan masa merupakan salah satu cabaran yang perlu diberi perhatian untuk menerapkan strategi metakognitif dalam pengajaran penyelesaian masalah Ekonomi Tingkatan Enam. Jumlah masa bersemuka semasa PdPc yang agak singkat menjadi kesukaran kepada guru untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran yang menerapkan kemahiran berfikir seperti strategi metakognitif. Dapatan ini selari dengan kajian yang dibuat oleh Farrah Dina Yusop (2011), Khoo Yin Yin (2008) dan Yusuf et al. (2020) yang mendapati bahawa faktor kekangan masa menjadi penghalang kepada guru-guru untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran.

Justeru itu, kaedah pengajaran yang konvensional seperti penyampaian pengajaran melalui kaedah kuliah dan latih tubi berterusan menjadi pilihan kerana lebih efektif untuk menyampaikan sukatan pelajaran dengan cepat. Kekangan masa juga menyebabkan guru-guru tidak berpeluang untuk meningkatkan pengetahuan pedagogi serta kompetensi pengajaran.

Hasil temu bual daripada kedua-dua peserta kajian mendapati bahawa guru kurang pengetahuan berkenaan strategi metakognitif. Kajian yang dibuat oleh Ozturk (2020) mendapati bahawa guru yang mempunyai pengetahuan tentang strategi metakognitif cenderung untuk menerapkan strategi tersebut kepada pelajar. Menurut beliau lagi, guru mestilah mendalami ilmu untuk membimbing proses pembelajaran agar dapat mengembangkan autonomi dan pencapaian pelajar. Memandangkan guru merupakan orang yang bertanggungjawab ke atas pembelajaran pelajar, maka latihan pemantapan profesionalisme perlu dilaksanakan untuk meningkatkan kompetensi serta pengetahuan guru tentang strategi metakognitif (McKendree, 2019). Kekurangan pengetahuan tentang strategi

(8)

metakognitif akan menyukarkan guru-guru dalam penyediaan bahan pengajaran yang boleh menggalakkan pelajar untuk berfikir aras tinggi.

Penyediaan bahan pengajaran merupakan satu elemen yang penting agar sesi PdPc dapat dilaksanakan dengan jayanya. Namun begitu, guru-guru masih mengalami kesukaran untuk menyediakan bahan pengajaran yang berasaskan kepada strategi metakognitif. Tambahan pula, mereka tidak diberi pendedahan dan latihan untuk melaksanakan strategi pengajaran yang melibatkan kemahiran berfikir. Selain itu, mereka juga mengalami kesukaran untuk menilai tahap pemikiran metakognitif pelajar. Kajian yang dijalankan oleh Afifah dan Retnawati (2019) mendapati bahawa guru-guru menghadapi cabaran seperti kekurangan pengetahuan dan kemahiran untuk menyediakan bahan pengajaran yang sesuai bagi menggalakkan pelajar berfikir aras tinggi. Beliau juga mendapati bahawa guru-guru tidak berupaya untuk memilih pendekatan pengajaran, kaedah serta teknik yang betul bagi meningkatkan pemahaman pelajar.

Akhirnya, guru akan menggunakan kaedah pengajaran tradisional dan tidak menggunakan sebarang inovasi dalam pengajaran kemahiran berfikir kepada pelajar.

Akhir sekali, kesediaan pelajar juga memainkan peranan yang penting dalam menerapkan strategi metakognitif dalam pengajaran penyelesaian masalah. Pelajar Tingkatan Enam perlu bersedia untuk mempelbagaikan kaedah pembelajaran yang boleh meningkatkan kemahiran berfikir secara kritikal dan kemahiran penilaian kendiri agar pembelajaran menjadi lebih bermakna. Kaedah pembelajaran aktif yang diintegrasikan dengan strategi metakognitif adalah penting bagi membolehkan pelajar peringkat menengah atas menguasai kandungan pelajaran dengan lebih bermakna (Santangelo et al., 2021). Selain itu, strategi metakognitif yang memberi tumpuan kepada pengetahuan sedia ada pelajar juga penting bagi menilai tahap kesediaan pelajar agar mereka boleh mendapatkan makna yang tepat dan menghubungkan pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan baharu (Channa et al., 2018) serta menjadikan pembelajaran lebih bermakna (Bahri & Corebima, 2019; Bran & Balaş, 2011; Khoo Yin Yin, 2008). Justeru itu, guru dan pelajar perlu sentiasa bersedia dan proaktif untuk meneroka amalan terbaik yang boleh meningkatkan proses metakognitif dalam sesi PdPc.

7. Kesimpulan

Kesimpulannya, kajian ini menggambarkan cabaran yang dihadapi oleh guru Ekonomi Tingkatan Enam untuk melaksanakan strategi metakognitif dalam pengajaran penyelesaian masalah yang seterusnya diharapkan berupaya memberi implikasi serta cadangan kepada pihak KPM, JPN, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan pentadbiran sekolah untuk merangka program- program latihan serta menyediakan bahan pengajaran bagi memperkasakan penerapan strategi metakognitif dalam kalangan guru. Antara latihan yang boleh dianjurkan untuk meningkatkan pengetahuan serta kompetensi guru dalam amalan strategi metakognitif ialah bengkel pedagogi berasaskan strategi metakognitif mengikut mata pelajaran. Majlis Peperiksaan Malaysia juga boleh menghasilkan modul pengajaran penyelesaian masalah Ekonomi berasaskan strategi metakognitif dengan kolaborasi guru-guru cemerlang Ekonomi bagi mengatasi cabaran kekangan masa untuk menyediakan bahan pengajaran yang dihadapi oleh guru. Akhir sekali, guru-guru perlulah memainkan peranan untuk menciptakan suasana pembelajaran aktif yang memberi peluang kepada pelajar untuk menguruskan pembelajaran mereka sendiri serta memperkembangkan kemahiran metakognitif yang seterusnya berupaya untuk meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar.

(9)

Penghargaan

Pengarang pertama ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bahagian Tajaan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia atas tajaan pengajian kedoktoran bawah program Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

Rujukan

Afifah, I. R. N., & Retnawati, H. (2019). Is it difficult to teach higher order thinking skills?

Journal of Physics: Conference Series, 1320(1).

Aisyafahmi, D., Suratno, & Yushardi. (2019). The Analysis of Pattren on Empowering Metacognition Skills with Models Based on Problem Based Learning. Journal of Physics:

Conference Series, 1211(1).

Amin, I., Waluya, S. B., & Mariani, S. (2018). Metacognitive Strategy And Problem Solving Ability On Mathematics Teaching-Learning Process Of High School Students. Semarang State University, Semarang, (2), 14–26.

Ariffin, M., Bakar, A., & Ismail, N. (2019). Impak Pelaksanaan Strategi Pembelajaran Regulasi Metakognitif dalam Pembelajaran Matematik: Satu Kajian Literatur. Jurnal Dunia Pendidikan, 1(1), 18–26.

Arsaythamby, V., & Julinamary, P. (2015). Students’ Perception on Difficulties of Symbols, Graphs and Problem Solving in Economic. Procedia - Social and Behavioral Sciences, 177(September), 240–245.

Bahri, A., & Corebima, A. D. (2019). Improving PBL in Empowering Metacognitive Skill of Students. Indian Journal of Science and Technology, 12(17), 1–9.

Belenkova, Y. S. (2020). Metacognitive Skills and Reflection as Essential Components of Self- Education. MIER Journal of Educational St, 10(1), 30–46.

Berková, K.; Krejčová, K. (2016). Effect of Teachers ’ Abilities on Students ’ Motivation With Varying Levels of Intellectual Abilities in the Economics. Journal on Efficiency and Responsibility in Education and Science, 9(3), 81–87.

Berková, K. (2015). Analysis of Teaching Styles of Teachers of Economics Subjects, with the Emphasis on Teaching Accounting in Secondary Schools` Education in Czech Republic.

In 2nd International Multidisciplinary Scientific Conference on Social Sciences and Arts SGEM2015 (2015) 2, 2(August 2015).

Bran, C. N., & Balaş, E. C. (2011). Metacognitive Regulation and In-depth Learning. A Study on the Students Preparing to become Teachers. Procedia - Social and Behavioral Sciences, 11(October 2008), 107–111.

Brown, A. (1987). Metacognition, Executive Control, Self-regulation, and other more Mysterious Mechanisms. In Weinert, F., and Kluwe, R. (Eds.), Metacognition, Motivation, and Understanding, Erlbaum, Hillsdale, NJ, 65–116.

Bruning, R. H.,Schraw, G. J. & Ronning, R. R. (1995). Cognitive Psychology and Instruction.

New Jersey, USA: Prentice Hall, Inc, 99–100.

Bunga D. Amin, Helmi Abdullah, J. D. M. (2018). Sketch Strategy of Knowledge in Physics Learning and its Influence on Metacognitive. Educational Research and Reviews, 13(7), 230–235.

Channa, M. A., Nordin, Z. S., & Abassi, A. M. (2018). Metacognitive Scaffolding in Reading Comprehension: Classroom Observations Reveal Strategies to Overcome Reading Obstacles of Engineering Students at QUEST, Nawabshah, Sindh, Pakistan. International Journal of English Linguistics, 8(3), 131.

Farrah Dina Yusop. (2011). Pembelajaran Kolaboratif Menggunakan Blog dalam Pembelajaran Mata Pelajaran Ekonomi Asas. Jurnal Pendidikan, 31(January 2011), 79–

89.

(10)

Flavell, J. H. & Wellman, H. M. (1975). Metamory. Paper Presented at the Meeting of the American Psychological Association, Chicago, IL.

Gama, C. (2004). Metacognition in Interactive Learning Environments: The Reflection Assistant Model. Lecture Notes in Computer Science (Including Subseries Lecture Notes in Artificial Intelligence and Lecture Notes in Bioinformatics), 3220(200275), 668–677.

Garner, R. (1987). Metacognition and reading comprehension. Metacognition and reading comprehension. Westport, CT, US: Ablex Publishing.

Hidayah, N., Farumananda, F. P., Made, N., & Putra, D. (2018). Problem Based Learning with Metacognitive Strategy to Improve Concept Understanding. Journal of Innovative Science Education, 7(2), 287–292.

Hughes, A. J. (2017). Educational complexity and professional development: Teachers’ need for metacognitive awareness. Journal of Technology Education, 29(1), 25–44.

Jacobs, J. E., & Paris, S. G. (1987). Children’s Metacognition About Reading: Issues in Definition, Measurement, and Instruction. Educational Psychologist, 22(3–4), 255–278.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013- 2025). Pendidikan Prasekolah Hingga Lepas Menengah. Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Khoo Yin Yin. (2008). Keberkesanan Kaedah Penyelesaian Masalah Secara Kolaboratif Dalam Kalangan Pelajar Ekonomi Tingkatan Enam. Tesis PHD, (April).

McKendree, R. B. (2019). Teacher Perceptions of Student Metacognition in Project-based Learning Contexts Before and After Professional Development. Kansas State University Manhattan, Kansas, PhD Thesis.

Merriam, S. B. (2009). Qualitative Research: A Guide to Design and Implementation. San Francisco, CA: Jossey-Bass.

Miles, M. B. & Huberman, A. M. (1994). An Expanded Sourcebook: Qualitative Data Analysis (2nd Edition). Thousands Oak, CA: Sage Publications, Inc.

Mokos, E., & Kafoussi, S. (2013). Elementary Student’ Spontaneous Metacognitive Functions in Different Types of Mathematical Problems. Journal of Research in Mathematics Education, 2(2), 242–267.

Ozturk, N. (2020). An analysis of teachers’ metacognition and personality. Psychology and Education, 57(1), 40–44.

Pertiwi, R. S., Khafid, M., & Setyadharma, A. (2019). Factors Influencing Difficulties of Learning Economics (Study in Students of Kudus District High School ). Journal of Economic Education, 8(37), 48–56.

Prof, A., Alkan, Ö., & Kaya, P. V. (2015). Main Determinants of Difficulty in Understanding and Learning Macroeconomics Course Ataturk University Faculty of Economics and Administrative Sciences Ataturk University Faculty of Economics and Administrative Sciences, 2(4), 152–160.

Pulmones, R. (2007). Learning Chemistry in a Metacognitive Environment. The Asia-Pacific Education Researcher, 16(2).

Rajendran, N. . (2018). Pengajaran dan Penguasaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (Teori dan Amalan). Tanjung Malim, Malaysia: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Safari, Y., & Meskini, H. (2015). The Effect of Metacognitive Instruction on Problem Solving Skills in Iranian Students of Health Sciences. Global Journal of Health Science, 8(1), 150–156.

Santangelo, J., Cadieux, M., & Zapata, S. (2021). Developing Student Metacognitive Skills using Active Learning with Embedded Metacognition Instruction. Journal of STEM Education, 22(2), 75–87.

Schraw, G., & Moshman, D. (1995). Metacognitive Theories. Educational Psychology Review, 7(4), 351–371.

(11)

Shahlan Surat, S. R. & S. R. (2013). Sumbangan Elemen Metakognitif Terhadap Pencapaian Penulisan Karangan. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 3(2), 79–91.

Smith, M. J. (2013). An exploration of metacognition and its effect on mathematical performance in differential equations. Journal of the Scholarship of Teaching and Learning, 13(1), 100–111.

Valentina, H. S., Nugrahadi, E. W., & Budiarta, K. (2019). The Effect of Learning Strategy and Thinking Ability on The Students’ Learning Outcomes in Economics Subject of XI Social Students in Senior High School State 1 in Pematang Siantar. Budapest International Research and Critics in Linguistics and Education (BirLE) Journal, 2(4), 451–460.

Yin, R. K. (2011). Qualitative Research from Start to Finish. New York, NY: The Guilford Press.

Yusuf, A. W., Bako, R. B., Guga, A., & El-Yakub, S. U. (2020). Effect of Heuristic Teaching Approach on Students Performance in Economics in Senior Secondary Schools in Kano State , Nigeria. Journal of Teaching & Teacher Education ISSN (2210-1578), 1(1), 53–

60.

Rujukan

DOKUMEN BERKAITAN

Teori perdagangan manakah yang menyatakan bahawa negara boleh meningkatkan kemakmuran ekonomi dengan mengkhusus dalam pengeluaran barangan yang mereka paling

Secara ringkas, Rajah 2 menunjukkan bahawa melalui pengalaman pengajaran, seseorang pensyarah itu dapat mempraktikkan apa yang telah dipelajari semasa beliau mengikuti

c) Pengkaji memilih pelajar seramai 25 orang pelajar untuk kajian soal selidik yang kesemuanya adalah pelajar peringkat Program Persiapan Bahasa (I’dad Lughawy) di

Menurut Mokhtar (1996), persoalan yang sering timbul dalam isu peningkatan kualiti adalah sama ada tahap kualiti yang dicapai oleh sesebuah organisasi mencecah tahap yang dimiliki

Ini menunjukkan walaupun malu mempunyai hubungan negatif dengan pencapaian akademik, pelajar yang pemalu boleh meningkatkan pencapaian akademik mereka jika dapat menggunakan

Perbezaan signifikan bagi ujian sikap pelajar kimia kerana pelajar yang didedahkan dengan kaedah pengajaran secara PIP melibatkan strategi-strategi yang membimbing

Kaedah analisis kandungan digunakan untuk mengkaji artikel-artikel berkaitan penyelidikan ICT dalam pendidikan guru yang diterbitkan dalam dua prosiding konvensyen utama

Penemuan kajian, menunjukkan masalah dasar perumahan adalah subjek yang sangat luas, yang tidak hanya member tumpuan kepada strategi pembangunan ekonomi dan politik